Yang Ikut

Tuesday, 18 October 2011

Ceritalah!

Reactions: 
Setiap malam, sebelum tidur anak saya akan minta saya ceritakan sesuatu. Biasanya cerita pertembungan kuasa baik Ultraman dan rasaksa yang ganas. Anak saya akan tidur dengan memimpikan bahawa kuasa baik akan selalu menang, dan yang jahat akan selalu mati kehinaan.

Itu hanya cerita angan anak-anak. Ketika kita masih kecil, kita juga selalu didendangkan cerita yang sama. Kuasa baik akan selalu menang.

Hakikatnya, semakin kita membesar, kita akan merasa begitu hampa, ia hanya sekadar cerita. Ia jarang terjadi dalam dunia yang sedang kita hidupi sekarang. Banyaknya kuasa baik mati kehinaan, yang jahat terus meraja. Manusia baik yang berkata benar juga akan ditertawakan, dan yang jahat terus didodoikan tindak buruknya.

Kita didendangkan dengan cerita rogol dan bunuh. Kita jadi risau dengan cerita simbah cuka, tetapi tidak pula kita dengar sesiapa yang pernah ditangkap pun. Mangsa malang merana seumur hidup.

Kita juga merasa hampa, Ultraman kita yang gagah jarang datang menolong tatkala ada wanita diragut, ada yang parah, ada yang menuju ajal. Kita tidak dapat melihat kelibat pun siapa yang meragut itu. Tidak ada sesiapa pun yang sempat menolong mereka yang diragut.

Tatkala restoran mamak diserbu para perompak, orang ramai yang duduk bertempiran lari. Tinggallah tauke kedai sendirian menghitung nasibnya. Kita tidak mengharapkan ada seorang hero yang gagah datang membantu. Tetapi, tentulah perompak itu juga terkejut besar kalau semua pengguna yang duduk di kedai mamak itu datang menyerbu.

Sebenarnya, dalam dunia ini, tidak ada sesiapa pun yang akan datang membantu kita. Semalam, seorang warga Pakistan ditemui dalam keadaan nyawa ikan di bawah sebuah jambatan setelah kepalanya ditetak. Dua temannya pula sudah mati berulat.

Itulah realiti hidup kita. Kuasa baik yang menang hanyalah dongeng cerita untuk menidurkan anak-anak. Kitalah sendiri yang akan menyelamatkan kita kalau sesuatu yang buruk terjadi. Jangan bermimpi akan ada kuasa baik mematikan kuasa buruk dalam keadaan yang sangat hina. Ia jarang berlaku lagi di negara kita ini.

Ceritalah. Ceritalah ayahku. Ceritalah yang sebenarnya. Jangan sembunyikannya lagi.

3 comments:

School Of Tots said...

Setuju. Ceritalah cerita yg benar walupun pahit. Supaya ada pengajaran. Yg elok dapat dijadikan ikutan. Yg tak elok sama2 dihindarkan.

Norsha said...

begitu juga tragisnya apabila seorang kanak2 yg dilanggar, dibiarkan begitu lama tanpa ada org yg sudi membantu, seolah nyawa kanak2 itu tak lebih dari seperti barang permainan....manusia semakin kejam dan hilang peri kemanusiaan...

Kolek Kecil said...

Minta diselamatkan dari pelbagai musibah dunia akhirat. amin...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails