Yang Ikut

Wednesday, 12 October 2011

Artis, dakwah dan agama

Reactions: 
Tidak berapa hari yang lalu, beberapa orang artis telah ditemubual oleh wartawan untuk bertanyakan pandangan mereka mengenai hukum hudud.

Walaupun tidak salah bertanyakan pandangan itu, tetapi kumpulan yang ditanya itu tentulah bukan kumpulan sasaran yang betul. Mereka mungkin boleh ditanya hal ibadat yang umum, tetapi mengapa harus ditanya mereka yang bukan ahlinya bagi hal yang agak kompleks.

Persoalan hukum hudud itu juga tidak patut ditanya pandangan pun. Ia sudah termaktub dalam hukum. Hal seperti ini dengan mudah akan dijawab oleh para ulama yang ahli dalam hukum. Kalau media ingin mencipta sensasi pun, tentu ada banyak hal lain yang boleh ditanya. Misalnya, adakah mereka berpuasa kalau penat atau letih sangat berlakon. Jadi jawapan mereka mungkin boleh dijadikan panduan sama ada patut atau tidak kegiatan seni yang memenatkan dilakukan ketika bulan puasa.

Bertanya hukum hudud kepada mereka yang bukan ahli, samalah seperti bertanya susah atau tidak teori matematik kepada mereka yang belajar sastera.

Tatkala pandangan artis itu dapat dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia - kita pula membaca berita bagaimana Bob Lokman ditahan penguatkuasa agama kerana memberi tazkirah di sebuah masjid. Beliau diatahan kerana memberi kuliah tanpa tauliah.

Kita tidak mempertikaikan tindakan penguatkuasa itu. Benar, tidak semua orang patut memberikan kuliah agama. Kalau semua orang dibenarkan, maka bermakna sesiapa sahaja boleh bercakap hal agama. Bimbang, akan ada hal yang tidak betul disampaikan pula.

Bagaimana pun, tentu agama bukanlah sesempit itu. Tentu ada hal-hal yang patut dibolehkan. Walaupun bercakap di dalam masjid, tidak semestinya seseorang itu hanya bercakap hal agama sahaja. Misalnya, katakan guru ingin memberikan tazkirah berkaitan dengan gejala sosial pelajar untuk mengingatkan jemaah masjid tentang perlunya menjaga anak-anak, tentu ia bukan hal yang salah. Mereka mungkin menceritakan pengalaman sebenar mereka.

Begitu juga kalau ada seseorang pakar ingin mengajar ilmu bagi satu-satu bidang, walaupun ia selepas waktu solat di masjid - menjadikan ia seperti 'tazkirah', adakah hal seumpama ini juga tidak boleh dibenarkan?

Begitu juga Bob Lokman atau sesiapa sahaja yang ingin menceritakan pengalaman mereka, yang mungkin ada sedikit daripadanya dapat dimanfaatkan ahli masyarakat, adakah hal seumpama itu boleh atau tidak?

Atau hal seumpama itu mungkin hanya boleh disurahkan di luar masjid, dan bukan di dalam masjid?

Semua ini patut didefinisikan semula. Semua ini patut diperjelaskan. Kalau tidak, ia akan memberi imej buruk kepada agama kita sendiri.

Kita bimbang - tatakala mereka yang sudah insaf dan ingin memberikan kebaikan dihalang, tetapi mereka yang masih bergelumang dengan hal salah dibenarkan pula. Orang bertanya mengapa tidak diserbu mereka yang sedang bermaksiat di disko dan kelab malam. Mengapa harus ditahan orang yang berdakwah di dalam masjid?

Semua ini bukan kerana agama kita begitu sempit. Semua ini kerana kita kabur dan keliru dengan definisi yang kita ciptakan sendiri.

Mungkin ada baiknya ada label bagi kuliah tertentu. Misalnya bagi tazkirah berbentuk agama, kita berikan label 'A' - dan mereka ini patut mendapat tauliah terlebih dahulu. Bagi tazkirah berbentuk umum - kita berikan label 'U' - dan mereka ini tidak perlulah mendapatkan tauliah kerana mereka hanya ingin bercakap hal kebaikan, dan bukan spesifik hukum ibadat.

Label ini perlu digantung ketika mereka memberikan ceramah.

Itu pun, kalau kita berasa itu hal yang perlu. Walaupun yang patut kita bimbang ialah mengapa banyak orang yang tidak mahu ke masjid, dan bukannya siapa yang sedang memberikan tazkirah.





3 comments:

ank_ayah said...

Alhamdulillah setuju sgt.

alien said...

betul tu,
zaman skng ni judi maksiat pun ada lesen utk jadi halal..
payah la camni..

Dr. Ben said...

Dr Fakir,

Apa pendapat Tuan tentang penggunaan Fibre Reinforced Polymer sebagai bahan ganti konkrit dan besi dalam sektor pembinaan?

(Walaupun Tuan adalah Duktur Ph.D, tetapi bidang Tuan bukan bidang ini. Sekian)

*sekadar retorik kritis

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails