Yang Ikut

Tuesday, 6 September 2011

Changlun - kini aku pulang

Reactions: 
Semalam, aku sampai di KLIA. Pagi ini, aku di Changlun. Aku menemui semula apa yang hilang beberapa tahun ini. Tadi, turun dari kapal terbang Air Asia di Alor Setar - aku singgah di pekan Jitra bersama teman lama Khalid - yang banyak memberikan aku hutang sepanjang aku belajar ini. Pesanan pertama tentulah sebungkus nasi lemak dan sebiji roti canai banjir. Sepanjang 4 tahun yang lalu, inilah perkara indah yang telah hilang.

Di KL LCC Terminal pagi tadi - jam 5 manusia sudah bersesak di lapangan terbang. Seperti biasa, setiap kali berjalan - sama ada orang akan memerhatikan kepelikan kita, atau kita yang sedang memerhatikan kepelikan orang. Ia hal yang jarang ada di Adelaide. Di sana, kita tidak peduli dengan orang lain. Orang juga tidak peduli akan hal kita. Tidak ada sesuatu yang dianggap pelik.

Semalam, beberapa orang teman menghantar aku pulang. Terima kasih. Maaf, kerana aku tidak menitiskan air mata. Sebenarnya, aku tidak akan menitiskan air mata untuk hal seperti ini. Aku sudah menitiskan banyak air mata ketika ayah aku pulang menemui Tuhan tahun 1980, dan kemudiannya aku sekali berasa sayu kerana tidak sempat berada di sisi abang aku di saat terakhir hayatnya.

Antara yang datang itu - termasuklah blogger kontroversi
SwingingBowl yang selama 4 tahun ini menjadi antara rakan yang dibawa berbincang apabila kami ada hal untuk ditulis. Cara beliau menulis mungkin agak keras, dan sesekali tidak sesuai dibaca remaja bawah umur. Tetapi, hakikatnya itu hanyalah perwatakan virtualnya sahaja. Di luarnya, beliau seperti orang lain juga. Caranya menulis juga mungkin tidak akan seperti aku. Tetapi, aku pula berbeza di dunia luar.

Sebab itulah, jangan terpesona dengan apa yang anda baca.

Adelaide kini sudah menjadi sebahagian dari sejarah cerita aku. Aku akan cuba tuliskan hal yang lain pula.

Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang Kepala Batas ke Jitra, kita akan melihat banyak sawah bendang sudah bertukar rupa. Ia menjadi kawasan perumahan baru. Ada besi dan tiang dipacak di sana sini. Ada jentera berat sedang mengambus.

Kita selalu melihatnya. Kita sentiasa memerhatikannya.

Yang mungkin jarang kita bertanya - tanah siapakah itu. Dan siapa pula pemilik baru tanah itu?

Malaysia - aku kini di sini. Aku akan menulis sesuatu untuk tanahairku.

3 comments:

Mohd Hisham Mohd Sharif said...

Selamat kembali ke tanahair, jangan lupa pi pekena mee goreng awang depan public bank dan tentunya capati legenda bersama teh tarik di hadapan pasar changlun.

Sayang kesempatan kita bersama tidak terlalu lama untuk kita sama-sama bertukar-tukar fikiran dan pendapat. Terasa banyak yang ingin dipelajari dan ruginya tidak dapat mengutip mutiara dalam kesempatan yang ada.

Walau takdir, jarak dan waktu mungkin memisahkan kita, tapi tidak teknologi. Insyaallah.

Selamat berjuang di tanahair!

Kolek Kecil said...

Ish hiba plak tuan buat entry gini.

ajaq said...

....tahniah ......selamat kembali

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails