Yang Ikut

Sunday, 4 September 2011

Selamat tinggal Adelaide - II

Reactions: 
Selamat tinggal Adelaide!

Sepanjang usia hidupku - aku banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur. Ia bukanlah kota kesukaanku. Aku lebih sukakan pekan Changlun yang kecil. Ia tiada apa-apa, tetapi membahagiakan. Di sana semua sanak saudara dan teman akrabku tinggal. Ada yang sudah mati, ada yang masih hidup. Changlun mengajar aku makna kehidupan yang susah semasa kecil.

Kuala Lumpur pula mengenalkan aku dengan alam dewasa. Ia membuka pintu untuk aku mengenal makna kehidupan yang keras. Manusia hipokrit dan penuh tipudaya. Kuala Lumpur juga membuka aku pintu untuk mengenal buku akademik dan hal ilmu.

Sebahagian dari kecil masa hidupku dihabiskan di Jakarta. Ia kota yang lebih keras. Ia kota pertembungan manusia kaya dan papa kedana. Ia kota pertembungan antara hanyir lendir dan zikir. Berbezakah manusia alim yang hidupnya bercakap soal kebaikan dengan kuli pengutip najis yang ingin membersihkan kota? Berbezakah nelayan miskin yang sampan kecil di Muara Angke telah menjadi rumahnya, digigit nyamuk dan agas - saban hari menghidu bau busuk sampah sarap yang hanyut - dengan seorang alim yang tidur di dalam masjid sepanjang malam tanpa sebarang gangguan?

Kita tidak tahu. Tuhan yang memberi pahala hidup manusia. Kita hanya menjalani tugas sesuai dengan apa yang telah disuratkan.

11 tahun dulu - aku ke Dhaka - ia kota yang lebih keras dengan manusia papa yang dilayan lebih buruk dari anjing kurap. Satu hari - terdapat sebiji donut yang tidak sempat kami makan. Ia menjadi basi keesokan harinya. Majikan aku mahu membuangnya sahaja ke dalam tong sampah. Datang seorang kaya Bangladesh - dia berkata jangan dibuang. Katanya, pemandunya masih layak memakannya.

Menafsir apakah yang dimaksudkan 'makanan' juga berbeza dalam konteks berbeza. Lihatlah betapa kita ini hidup dalam dunia yang sama, tetapi kita memberi erti yang berbeza bagi sesuatu. Bergantung kepada siapa kita, dan di mana kita.

Sepanjang 4 tahun ini - aku berkelana di Adelaide. Ia kota kecil yang aman. Ia bukan Kuala Lumpur. Ia juga bukan Jakarta, apatah kota Dhaka. Di sini manusia hidup tanpa darjat. Yang sedang menunggang basikal di tepi jalan itu mungkin seorang jutawan. Yang menaiki kereta buruk berasap hitam juga mungkin profesor ternama. Yang menaiki kereta Hyundai Excell buruk berwarna perang yang asapnya berkepul di waktu pagi - ada lekuk kemek di pintu kereta tentulah aku yang bukan sesiapa.

Di sini tiada siapa pun pedulikan anda.

Adelaide juga bandar pertemuan warga Melayu yang berkelana atas banyak sebab. Ada yang datang kerana kecewa. Ada yang singgah kerana menuntut ilmu. Ada yang lari dari sistem kenegaraan yang mereka tafsirkan sebagai tidak memberi ruang hidup yang sempurna. Ada yang datang entah tanpa apa sebab.

Jangan ingat kami bersatu. Kami bertemu, tetapi belum tentu punyai citra mimpi yang sama. Apa yang menjadikan kita berbeza. Jawapannya mudah sahaja. Kita mempunyai makna kita sendiri bagi setiap perkara. Seperti supir di Dhaka yang melihat donut basi sebagai makanan. Atau seorang alim yang mengimpikan bidadari yang jelita dengan bertasbih sepanjang malam, dan seorang nelayan hamis yang mengharapkan sejuta pahala dengan menongkah ombak keras mencari makanan untuk manusia. Kita berdiri atas prinsip dan tafsiran kita sendiri.

Adelaide bandar yang nyaman. Anda boleh menjadi apa sahaja di sini kalau anda mahu. Anda boleh menjadi warga Barat berambut Blonde, atau lelaki gagah bertatoo di kaki. Kalau mahu meneguk secawan anggur pun tidak ada siapa ambil peduli. Di sini juga anda boleh memegang apa sahaja mazhab, tanpa mazhab dan tafsiran agama. Siapa boleh berkata apa kepada anda? Tidak.

Adelaide bandar yang cantik. Ia memberikan anda warna dan wangi bunga. Ia menyejukkan. Kadang-kadang sangat panas. Berjalan dan hidupilah ia selagi anda masih ada waktu. Kalau anda masih bernyawa besok pagi - anda bersukurlah kepada Tuhan kerana masih memberikan anda secebis nafas.

Selamat berjumpa lagi Adelaide. Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi sahabat.



6 comments:

Othman Juliana said...

Selamat pulang ke Malaysia. Post topik sebelum ini mengenai sistem pendidikan barat. Tak sempat nak reply. Sebagai seorang guru (sekarang, cuma tidak pasti sampai bila), sangat berharap agar kita mempunyai sistem pendidikan seperti itu. Bukan mengagungkan tetapi lebih kepada mahu anak-anak ini tahu dan faham mengenai kehidupan dari HANYA exam oriented-silibus yang perlu mereka habiskan seperti sekarang. Dan mereka terlebih manja pula sekarang~

ismadiyusuf said...

hujan batu di negeri sendiri, betapa bahagianya...

ihsan_huhu said...

sasterawan negara dah balik mesia. cun la

Dr. Ben said...

ko datang Adelaide 2007 ke 2006 eh?

isuzu_aizu said...

abg ben: bulan puasa 2007 (sy tolong jawabkan ye) hehe

selamat kembali abg dr awang :)

FakirFikir said...

Terima kasih Intan kerana tolong ingatkan. Terima kasih juga kerana tolong tumpangkan rumah bulan puasa 2007 itu. he he

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails