Yang Ikut

Thursday, 29 September 2011

Kita semua sama sahaja

Reactions: 
Dalam ruangan komen, ada pembaca mencadangkan agar guru diberikan latihan semula kerana ada tanggapan bahawa guru sendiri kelihatannya kurang bermaya dalam mendidik anak-anak.

Pastilah, sebagai bukan guru - aku tidak layak memberikan pandangan dalam hal seumpama ini.

Bagaimana pun, bagi aku - meletakkan salah kepada guru yang tidak bermaya dalam mendidik anak-anak juga bukanlah satu tindakan yang betul. Sebenarnya kelompok manusia tidak bermaya ini ada di mana-mana, dalam setiap ceruk pekerjaan. Ia bukan hanya guru. Ia merangkumi semua. Kita mungkin salah seorang darinya.

Masalah utama bukanlah kerana kurangnya komitmen - tetapi ada satu hakikat yang perlu kita fahami, kita sedang hidup dalam dunia yang peluang pekerjaan sangat terbatas. Kawah persaingan ekonomi telah menyebabkan kita semua berpusu-pusu untuk berkerja apa sahaja, asalkan diberi wang. Kita semua ada keluarga untuk diberi makan. Setidak-tidaknya, kita perlu memberi makan diri kita sendiri.

Dalam ruang pekerjaan yang sangat terbatas, banyak graduan muda memilih apa sahaja kerja, asalkan ada jaminan untuk mereka terus survival. Ada yang memilih menjadi polis, ada yang memilih menjadi tentera. Ada yang memilih memasuki perkhidmatan awam, atau menjadi buruh swasta.

Hakikatnya, kita semua telah memohon apa sahaja pekerjaan. Kita tidak kisah sama ada ia merupakan kerjaya yang menjadi minat kita atau tidak.


Bayangkan, graduan bidang angkasa lepas misalnya - terpaksa memohon menjadi guru setelah bersusah payah belajar belajar di universiti. Begitu juga bidang lain seperti agrotech - yang sekarang ini kita tidak dengar lagi istilah ini. Ia menjadi istilah yang sudah pupus.

Istilah ini datangnya dari mana? Ia datang dari invisible hand yang mempromosi satu-satu bidang agar kelihatan begitu gah. Tiba-tiba, ia bertukar lagi apabila invisible hand ini bertukar ganti. Ia memomokkan istilah yang lain pula. Mahasiswa yang keluar dari universiti terpinga-pinga apabila diberitahu tidak ada pekerjaan yang ditawarkan dalam bidang pengajian mereka.

Jadi - dalam keadaan serba keliru dan tidak pasti, manusia memilih apa sahaja pekerjaan. Minat hanyalah dongeng di zaman ini. Yang benar-benar nyata ialah wang membayar hutang dan membeli makan.

Sebab itu, apabila ada yang berpandangan bahawa guru juga patut diberikan tarbiah, sesekali kita juga perlu mendongak sedikit tinggi melihat puncanya yang asal. Puncanya utama ialah pasaran kerja. Kita tidak mampu mengubah semua manusia dalam keadaan mereka itu sebenarnya adalah manusia yang telah dipilih oleh kerjanya, dan bukan mereka yang memilih pekerjaannya.

Kalau kita ada ruang pekerjaan yang luas, pastilah manusia akan memilih kerja yang disukainya. Mereka akan menjadi manusia yang hebat dengan melakukan hal yang disukainya. Tetapi mereka akan menjadi bonzai apabila terpaksa hidup dalam cuaca yang tidak ada banyak pilihan untuknya bernafas.

Ada yang mampu bertahan, ada yang tidak. Ada yang mampu mengawal gelodak hatinya, ada yang karam.

Jadi - jangan terkejut kalau ada polis yang memukul orang awam - walaupun mereka patut menjaga keselamatan orang awam. Mereka menjadi polis bukan kerana ingin menegakkan undang-undang, tetapi menjadi polis kerana itu sahaja peluang yang datang pada waktu itu. Jangan begitu panik kalau ada guru yang tidak mampu mendengar suara bising anak-anak, kerana itu bukan suara yang mahu didengarnya. Ada pensyarah yang menggoda anak muridnya, kerana mereka bukanlah dilahirkan untuk mendidik manusia. Mereka hanya ditakdirkan menjawat pekerjaan yang bukan miliknya. Ada pula merasuah dengan kuasa jawatannya, kerana minatnya ialah wang dan bukannya memberikan perkhidmatan.

Kalaulah kita semua mampu memilih apa yang kita sukai, tentulah dunia ini tidak menjadi padang ujian lagi. Ia menjadi ruang sepi yang sangat membosankan. Kita akan pulang kerja dengan tersenyum sepanjang hari.

Tetapi - ia tidak akan jadi begitu. Sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun ini.

2 comments:

Norsha said...

setuju, kelompok manusia yg tidak bermaya ada dimana2...

ajaq said...

mereka juga menukar kerja yang mereka suka kerana keluarga...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails