Yang Ikut

Saturday, 10 September 2011

Barang basi pun kita akan membelinya

Reactions: 
Ada ura-ura syarikat telekomunikasi ingin menaikkan caj perkhidmatan pra bayar sebanyak 6 peratus. Sebulan dua yang lalu, syarikat televisyen berbayar juga cuba membuat perkara yang sama, yakni menaikkan caj perkhidmatan mereka.

Sebenarnya, banyak lagi perkara yang sudah naik di Malaysia ini. Sampai ke satu tahap, kita tidak ambil peduli lagi.

Kita mungkin tidak begitu kecewa kalau kenaikan ini mengambil kira kenaikan mutu perkhidmatan.

Di rumah aku di Changlun, seorang teman aku merungut kerana siaran televisyen berbayarnya tidak dapat menerima saluran TV1. Dia cuba membuat aduan. Dia mengadukan masalahnya. Seorang kakitangan menjawab bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa, kerana kerja mereka hanya mengutip bil.

Setelah pergi ke satu pejabat, dia diminta pergi ke pejabat lain di Kangar. Sampai di sana, dia diminta pula untuk mengadukan masalahnya dengan menelefon bahagian khidmat pelanggan. Dia menjadi seperti bola, di tolak ke sana sini. Akhirnya, dia membuat keputusan memotong sahaja perkhidmatan itu. Tetapi, dia diminta untuk membayar lagi bagi pemotongan.

Rungutan juga selalu kedengaran apabila siaran tidak diterima apabila hari hujan atau mendung. Tetapi pengguna tetap juga membayar harga yang sama, sedangkan pada hari atau bilangan jam yang siaran tidak dapat diterima, ia perlu diberikan rebet.

Di kampung aku di Changlun, tidak semua perkhidmatan broadband Internet dapat diterima. Hanya satu sahaja 'line' yang boleh mengakses Internet. Itupun, dengan syarat kita perlu mencari beberapa lokasi tertentu di luar rumah, dan bukannya duduk di dalam rumah. Ini hal yang janggal dan pelik.

Sepatutnya, hal inilah yang perlu ditingkatkan dulu. Bukannya hanya mencari peluang dengan menaikkan caj dan harga.

Kelajuan internet juga kita sebenarnya tidak selaju mana. Ia begitu lembap.

Di Australia, perkhidmatan telekomunikasinya secara relatifnya murah. Pengguna juga ada banyak pilihan kerana terdapat begitu banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan. Dengan $10, anda boleh menelefon ke Malaysia selama 200 minit. Sekiranya anda melakukan topup sebanyak $30, anda akan menerima kredit sebanyak $150. Ia cukup untuk anda bercakap selama sebulan.

Bagi sesetengah syarikat telekomukasi, anda boleh membuat panggilan percuma ke talian telefon yang lain. Sesetengahnya pula menawarkan sms atau panggilan percuma kepada talian yang sama. Ia bergantung kepada pakej yang anda langgan.

Begitulah cara mereka bersaing. Kerana ada banyak syarikat, kita boleh memilih yang terbaik dan sesuai dengan corak penggunaan kita.

Dengan melakukan topup sebanyak $10, anda akan mendapat 1.8 GB akses internet. Ia lebih dari cukup kalau sekadar mengakses Internet biasa. Anda juga tidak perlu menggunakan komputer, cukup diakses internet melalui telefon bimbit sahaja - kerana ia tetap laju.

Bagaimana pun, kalau kita menggunakan perbandingan ini, nanti akan ada yang berhujah bahawa $10 itu ialah RM30. Jadi ia masih mahal. Sebenarnya, ini hujah yang selalu digunakan bagi menunjukkan negara kita masih memberikan harga yang murah.

Sebenarnya tidak. Gaji yang diterima oleh pekerja biasa - seperti tukang cuci dan pekerja kilang lebih kurang $550-650 seminggu. Jadi, nilai $10 itu sebenarnya masih kecil. Pekerja biasa kita mungkin hanya bergaji RM550-650 sebulan. Jadi nilai RM 10 itu sudah boleh dikira mahal.

Sebab itulah telefon Blackberry tidak terkenal pun di Australia sebab orang boleh mengakses Internet dari apa sahaja jenis telefon bimbit.

Tetapi, apa yang pengguna biasa boleh lakukan? Kita tidak boleh berbuat apa kalau dinaikkan apa caj sekalipun. Kita tidak ada banyak pilihan.

Pemerintah perlu melakukan sesuatu agar monopoli ini dapat dipecahkan.

Mereka yang terlibat juga perlu prihatin bagi menjaga nasib pengguna.

Seorang ahli politik apabila diajukan soalan berkaitan kenaikan caj televisyen berbayar, berkata bahawa kalau tidak ada wang, janganlah dilanggan. Ini satu komen yang sangat mengecewakan. Mereka sepatutnya memberi reaksi yang memihak pengguna, kerana mereka kita pilih untuk menjaga kita.

Kalau tidak, satu hari nanti - barang basi pun terpaksa kita beli kerana tidak ada banyak pilihan lagi. Sekarang ini pun, kita selalu menonton rancangan yang diulang-ulang.

Apa boleh kita buat?

3 comments:

alfindani said...

salaam.
Ada typo pada tajuk, "basi" menjadi "nasi".

Sikap "tidak apa" satu punca menjadikan kapiatalis perniagaan mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Seperti isu-isu yang lain, akhirnya apabila ia tidak dimainkan lagi kerana ada isu baru ditimbulkan, maka rakyat akan melupakan isu ini dan tetap membeli seperti biasa.

Juga seperti kes-kes terjumpa bangkai cicak di dalam makanan, dan seumpamanya, habis macam itu sahaja. Kalau di sesetengah negara mau disaman juta-juta RM.

Persatuan-persatuan Pengguna kena memainkan peranan lebih proaktif lagi la nampaknya. Tetapi kerajaan sepatutnya yang mengambil tanggungjawab menyelamatkan rakyatnya daripada terus dihisap darahnya oleh para kapitalis yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

ismadiyusuf said...

itulah malaysia, rakyat sentiasa diketepikan haknya

Muhammad Fahmi said...

bak kata ustaz yg pernah mengajar saya subjek Hubungan Etnik:

"Yang kaya semakin kaya, manakala yang miskin semakin bangsat."

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails