Yang Ikut

Wednesday, 10 August 2011

Membenih budaya ilmu - II

Reactions: 
Kita kononnya percaya bahawa menjadi orang Melayu kita tidak boleh bangga diri kerana ia akan bertentangan dengan ajaran agama. Kita kononnya perlu menjadi sufi yang merendah diri. Jangan tunjukkan kehebatan kita.

Benar, kita tidak menunjukkan kehebatan dan kemampuan kita. Sayangnya kita menjadi ahli sufi yang separuh masak. Kita hanya tidak menunjuk dalam hal keilmuan. Tetapi, tidak pula kisah kalau membina rumah banglo 3 tingkat, atau ada kereta mewah berpuluh biji. Kita tidak mahu berbangga dalam hal yang patut, tetapi berbangga dalam hal yang tidak patut.

Sebab itu, kalau ada manusia hebat dalam penciptaan misalnya - kita akan merendahkannya. Kita memandang sinis. Kita sebaliknya berbangga kalau ada orang yang hebat dalam hal kekayaan dunia.

Budaya ini dipupuk dari mana?

Sejak kecil lagi, dalam masyarakat kita, kita diasuh untuk mencapai kejayaan. Kita diasuh untuk berbangga dengan kejayaan seseorang. Misalnya, kalau ada anak seseorang mendapat 10A1, kita akan berkata - wah pandainya anak si polan dan si polan. Kalau ada seseorang di kampung kita menjadi kaya raya, kita akan berkata - wah, banyak sungguh duit dia.

Kita cenderung memberi keutamaan kepada matlamat akhirnya sahaja. Kita tidak bertanya bagaimana anak si polan itu mendapat 10A1. Kita tidak juga bertanya bagaimana Pak Ali tiba-tiba menjadi kaya raya. Kita tidak berfikir caranya, kita hanya melihat hasilnya.

Seperti juga kalau 2 + 2 = 4, kita hanya melihat hasilnya juga. Kita tidak diasuh untuk berfikir kenapa 4, dan bukan 5.

Tradisi tidak berfikir itu sekarang ini sedang menjadi halangan besar bangsa kita. Sistem kita sendiri sedang membenihkannya.

Anda bacalah suratkhabar Melayu. Suratkhabar kita tidak memberi ruang untuk kita berfikir. Suratkhabar kita memaksa kita menelan apa sahaja yang kita baca. Kalau dikatakannya putih, maka semua orang harus percaya bahawa ia putih dan bukan hitam.

Benar, apa yang dilaporkan oleh akhbar adalah fakta. Tapi banyak hal yang disembunyikan menyebabkan kita mandul berfikir. Ia sama seperti anak kecil menangis dan memberitahu ibunya, kakak sulung telah memukulnya. Ia fakta yang benar. Tetapi, anak kecil tadi tidak memberitahu kenapa kakaknya memukulnya. Tidak pula diceritakan oleh anak kecil tadi bahawa dia telah menarik rambut kakaknya. Inilah fakta yang tidak diceritakan.

Pandangan ahli akademik yang neutral telah tidak ada lagi. Bukan kita tidak ada tokoh yang hebat. Dulu kita ada Syed Hussien al-Attas. Sekarang ini, kita masih ada banyak lagi cendekiawan tempatan yang hebat. Khoo Kay Kim salah satu darinya. Bagaimana pun, kini banyak dipetik pandangan ahli akademik yang kita pun tidak tahu apa latar ilmunya. Ingat, ada gelar pensyarah di depan nama seseorang bukanlah bermakna mereka itu cendekiawan. Banyak juga yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Aku berkata benar. Aku mungkin salah satu darinya,

Tulisan yang ada pun tidak memberi ruang untuk kita berfikir. Ruangan yang baik seperti ditulis oleh Prof Taib Othman atau Nordin Selat mungkin hanya sedikit. Kalau ditulis pun mungkin tidak ada sesiapa yang membacanya lagi.

Semua ini menjadikan otak kita tidak berfikir secara kreatif lagi. Malah, berfikir secara pelik dan kreatif menjadikan kita dianggap orang gila.

Anda tidak percaya?

Besok pagi, sebaik sahaja terbangun dari tidur - beritahulah ibu bapa anda, atau rakan-rakan anda bahawa anda akan mencipta satu formula baru bagi mengurangkan asap kereta. Atau beritahulah bahawa anda akan mencipta roket baru ke bulan.

Semua orang akan ketawa terbahak-bahak.

Tetapi, cuba anda beritahu bahawa anda ingin menjadi calon Raja Lawak atau artis Akademi Fantasia. Semua orang akan berbangga dengan anda. Orang akan kagum dengan keberanian anda.

Itulah cara kita berfikir. Kita berfikir untuk menjadi hebat dalam perkara tidak penting. Masyarakat pula meneguhkan sikap tadi. Tetapi, kalau anda berfikir sesuatu yang hebat, orang akan menganggap anda gila.

Bagaimana pun, kalau anda bercerita bahawa malam tadi anda terserempak dengan hantu pocong di tepi kubur - ia akan menjadi berita besar. Banyak orang akan percaya dengan anda. Banyak orang akan bertanya dan ingin mendengar lebih lanjut cerita aneh tadi. Sebab itu, orang kita sangat teruja dengan cerita pelepah pinang berwajah manusia, air menitis dari batang petai atau sejadah berdiri.

Kita suka mendengar cerita aneh tanpa perlu banyak berfikir. Kita sebenarnya jarang berfikir.

Budaya tidak berfikir ini sebenarnya diajar dalam sistem kita. Di universiti, tidak banyak lagi mahasiswa kita yang berani menyatakan pendapatnya sendiri. Ini kerana guru yang mengajarnya juga tidak ada pendapatnya sendiri. Kita mengulang balik apa yang telah ditulis dalam buku. Kita mengulang balik apa yang pernah dibuat orang lain.

Hasilnya kita tidak berbuat apa-apa pun yang baru. Kita kemudiannya mendidik mahasiswa kita dengan hal yang sama juga. Mengulang kesilapan yang kita lakukan setiap hari.

Bersambung.

2 comments:

alfindani said...

Melayu mudah terpengaruh dgn lambang2 dan gelaran2. Kerana itu ramai yg mendapatkan title Dr tipu boleh rancak menipu.

Dlm hal agama pun serupa. Asal berlabel Islam atau berimej Islam, terus taksub membabi-buta.

Melayu suka berfikir yg ringan2. Berfikir sekadar di permukaan. Baru TERbaca tajuk berita, terus mengulas berjela-jela.

Melayu berminda pengguna. "Buat apa nak susah2 mereka-reka, biar org lain susah mereka-reka, kita guna saja. kan senang tu?" ayat febretnya.

Yang disebutkan adalah kebanyakan dan kebiasaan yg dapat disaksikan.

Dalam bab merekacipta, remaja Melayu kreatif sebenarnya, tapi tidak dihargai. Lihat saja motosikal, kilang Jepun keluarkan laju maksimum 160kmj, anak Melayu kita boleh upgradekan lagi sehingga cecah 200kmj. :)

Anak Pendang Sekeluarga said...

ilmu itu adalah cahaya...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails