Yang Ikut

Tuesday, 2 August 2011

Membenih budaya ilmu - I

Reactions: 
Dibandingkan dengan bangsa lain, bangsa Melayu tidaklah mempunyai tulisan kita sendiri. Di zaman pra-sejarah, ada banyak tulisan yang terpamir, misalnya di Gua Niah atau di beberapa tempat lain. Tetapi, ia bukanlah tulisan dalam erti kata masyarakat sekarang ini, ia lebih merupakan tulisan atau lukisan kuno.

Penemuan batu bersurat pula menunjukkan kita sama ada terpengaruh dengan tulisan Sankrit atau Arab. Walaupun tulisan Jawi kita ditulis dalam bahasa Melayu, tetapi huruf itu datangnya dari masyarakat Arab. Kemudiannya tulisan roman moden pula mengubah cara kita menulis.

Ini menunjukkan bangsa Melayu bukanlah bangsa yang menulis. Ia berbeza dengan orang Cina, India, Jepun atau orang Arab. Malah, bangsa Siam, jiran kita yang terdekat juga ada memiliki tulisan mereka sendiri.

Maksudnya, tradisi kita menulis ini sangat baru. Itu pun setelah kita dijajah atau dipengaruhi oleh beberapa tamadun lain. Bahasa yang kita pakai sekarang ini pun banyak yang dipinjam dari tamadun lain. "Kapal" misalnya, disebut dalam buku sejarah ialah bahasa yang dipinjam dari bahasa Siam - 'Phao'. Kalau anda menggogle, hari Sabtu yang kita pakai ini disebut Sabato di Itali. Ini menunjukkan kita ini tamadun yang masih baru.

Sebab itu, dalam budaya kita - kita masih berpegang dengan tradisi lisan. Ia cerita yang dibawa dari satu generasi kepada generasi yang lain. Kerana ia bersifat lisan, maka tentulah ia boleh ditokok tambah di sana sini, sesuai dengan siapa yang bercerita dan siapa pula yang mendengarnya. Kita banyak mendapat tahu nama tempat atau sejarah lokal masyarakat berdasarkan cerita lisan ini. Tidak ada muzium atau tulisan yang membuktikannya. Ia dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi.


Dan cerita itu pula mungkin ditiru dari tempat lain. Itu yang kita tidak tahu. Hang Tuah mungkin cerita betul, atau juga cerita yang disadur dari Pendewa Lima dari epik India. Kita tidak tahu.

Tapi kerana budaya kita bermula dengan budaya lisan, dan bukannya menulis, jadi tradisi ilmu kita banyak bertokok tambah dengan hal mitos, dongeng dan sesekali mungkin fitnah. Bahan bertulis boleh dibaca, dan orang boleh membuat kritikan, atau komen yang membina. Tetapi, tidak ada apa yang boleh dilakukan kalau ia bersifat lisan.

Buku-buku yang kita anggap sebagai menceritakan tamadun kita - misalnya Sejarah Melayu yang dikatakan ditulis oleh Tun Sri Lanang juga - sebenarnya berbaur dengan banyak perkara mitos yang diragui. Anda perlu membacanya. Anda akan dapati bagaimana muntah lembu ini melahirkan manusia. Begitu juga dengan Hikayat Merong Mahawangsa.

Ini bukanlah bermakna buku itu tidak betul. Tetapi itulah caranya manusia berfikir pada waktu itu. Pemikiran bercapah di antara dua perkara, ada yang logik, ada yang dongeng. Ada yang fakta, ada yang khayal. Ia mungkin bagi menarik perhatian masyarakat waktu itu. Mungkin juga itulah cara manusia berfikir.


Sebenarnya, sampai sekarang pun, begitu jugalah cara kita berfikir. Sesekali apabila anda membaca suratkhabar, anda akan dapati di zaman moden ini pun ada suratkhabar yang sukar melaporkan cerita sejadah berdiri. Pastilah wartawan itu tahu ia bukan cerita yang patut dilaporkan. Tetapi mereka menulis juga. Banyak juga cerita misteri dan tahyul yang ada dalam laporan berita kita.

Begitu juga dengan banyak hal lain.


Tatkala kita baru singgah di klinik membeli ubat, kita juga sangat terpesona dengan hujah penjual ubat di pasar malam. Kita seolah-olah percaya, mungkin untung-untung apa yang dihujahkan penjual ubat tadi betul. Sedangkan kita juga tahu, kalau benar penjual ubat itu betul, dia mungkin sudah ada klinik sendiri - tidak perlu berpindah dari satu pasar malam ke pasar yang lain. Tatkala kita baru sahaja balik dari belajar Fizik Gunaan di waktu malam, kita jadi pula
seram sejuk melalui kawasan berkubur.


Kita cuma bernasib baik - dengan datangnya Islam, banyak ilmuwan kita yang lahir. Mereka inilah kumpulan sarjana waktu itu - yang kita gelar sebagai alim ulama. Mereka inilah yang banyak menulis. Mungkin inilah antara bahan bacaan yang membolehkan manusia membahas atau merujuk semula sumbernya, walaupun ada daripadanya yang sukar dijejak sanadnya. Tetapi kerana yang mengajar juga tahu akan ilmu sesuatu bidang, maka mereka tahu sumbernya - yang mungkin disebut dalam kitab yang lain.

Apabila orang bertanya mengapa masyarakat kita tidak cenderung dengan tradisi ilmu, jawapannya mungkin pelbagai. Ini baru permulaan. Nanti kita sambung lagi.

3 comments:

Kolek Kecil said...

Wah, tuan Fakir FIkir rasanya posting terbaru saya kebetulan bincang isu yang hampir sama. Walaupun bukan kisah menulis, tapi hampir2 kot.

Betullah, kita masih kurang budaya ilmu. Budaya borak kedai kopi lebih jauh ke depan berbanding diskusi di dewan kuliah. Budaya menulis surat layang lebih ke depan dari menulis bahan ilmiah.

Dr. Ben said...

Define ilmu.

alfindani said...

Terima kasih. :)Mukaddimah yang menarik.

Bangsa Arab sblm Islam juga bergantung kepada tradisi lisan. Tetapi berbeza dgn org Melayu,mereka mempunyai kekuatan hafalan yang menakjubkan. Mampu mengingat ribuan bait syair yang nyata sukar di dalam kepala. Juga nasab kabilah-kabilah.

Orang Melayu hendak mengingat nasab sendiri pun paling tinggi sekadar sampai kepada moyang sahaja. Setelah itu sudah tidak tahu siapa nama datuk nenek yang seterusnya.

Mungkin juga disebabkan sikap tidak apa (loi,buat tak sedey kata org Kedah :)), sikap biaq pi la dsb. Sikap tidak suka melakukan sesuatu yg mencabar, didikan ibu bapa yg banyak sgt "jangan"nya.....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails