Yang Ikut

Friday, 22 July 2011

Cerita PhD saya

Reactions: 
Tinggal 32 hari sahaja lagi sebelum saya menghabiskan cerita PhD di bumi Australia. Saya tidak tahu sama ada saya sedang gelisah atau gembira. Saya tidak terasa apa-apa sangat sebenarnya. Ada satu lagi manuskrip perlu saya siapkan sebelum saya boleh memberi titik akhir kepada tulisan kajian saya.

Terus terang, saya sebenarnya sudah bosan dan agak keletihan. Sepanjang 4 tahun ini, inilah jadual hidup saya. Mencari wang untuk membolehkan rakan-rakan saya di Malaysia melakukan kutipan data. Kalau saya ada wang gaji yang lebih, saya akan menggunakannya. Kalau tidak ada, saya akan menelefon teman-teman saya di Malaysia. Mereka ini baik dan rakan terbaik saya. Sehari atau dua, mereka memasukkan wang itu ke akaun saya.

Saya ada banyak kawan yang baik sebenarnya. Salah seorang darinya ialah bekas rakan sekerja saya. Dialah yang melakukan proses transaksi upah ini. Sudah hampir 4 tahun dia memegang kad Maybank saya. Dia tahu berapa baki wang yang saya ada, malah dia lebih tahu dari saya tarikh kenaikan gaji saya. Dia bukanlah seorang akauntan. Beliau ialah pereka grafik. Dialah yang melukiskan banner FakirFikir seperti yang anda lihat di atas.

Tetapi dia seperti saya juga. Dia tidak ada banyak wang. Jadi, untuk mendapatkan wang, saya terpaksa menghubungi orang lain.

Selepas data diperolehi, saya menganalisisnya. Tetapi kerana saya melakukan banyak kali kutipan data, 6 kali sebenarnya - maka sebelum saya sempat siap menganalisis data, biasanya akan ada data baru yang sampai pula. Inilah yang membolehkan kerja menulis saya tidak pernah ada titik hujungnya.

Sekarang ini pun - dengan hanya baki 32 hari, saya sedang lagi menganalisis data yang baru. Kalau saya pemilik universiti ini, saya akan memberikan anugerah kepada diri saya sendiri, kerana menjadi penyelidik yang rajin. Itulah yang membuatkan saya tidak pernah ada wang dalam poket.

Pengalaman belajar PhD ini bagus juga. Saya belajar banyak analisis statistik yang kompleks. Saya juga menulis banyak jurnal. Setakat ini sudah ada 6 jurnal yang diterima. Malah, saya kini boleh menjadi penilai jurnal orang lain. Saya juga sudah boleh mengendalikan bengkel penulisan jurnal saya sendiri, semuanya berdasarkan pengalaman saya.

Tetapi jangan bimbang, saya tetap begini juga. Kalau ditakdirkan saya mendapat PhD pun, tidak perlulah saya dipanggil Dr. Saya lebih senang dipanggil Saudara Fakir sahaja. Bagi saya, PhD hanyalah sekeping kertas untuk memasuki alam pekerjaan. Tidak ada lebih atau kurangnya saya berbanding orang lain. Banyak orang di kampung saya, tidak tahu pun sekarang ini saya di Australia. Setiap kali saya balik, saya hanya beritahu saya kerja di Kuala Lumpur.

Tetapi ada satu hal yang pelik dengan diri saya. Saya ini tergolong dalam Type A personality. Saya akan pastikan semua kerja dilakukan dengan cepat dan sempurna. Saya rasa itu hal yang akan menyusahkan pelajar saya nanti. Saya takut mereka tidak terbiasa dengan cara saya berkerja.

Apa lagi yang saya belajar?

Banyak.

Satunya - saya dapati tidak ada sesiapa pun yang bergelar Profesor di universiti Barat yang sombong. Ada di antara mereka yang kini adalah kawan baik saya.

Di tempat kita bagaimana?

3 comments:

alien said...

di tempat kita, ada sesetengah yg berjaya mendapat master pun sudah mendabik dada..

em..

eira eixora said...

sngat terkesan dengan sikap rendah diri tuan.

insyaAllah apa yang baik akan saya applykan dalam kehidupan seharian saya.

btw, ini pertama kali saya ke sini. dan saya rasa blog ini bermanfaat untuk saya.

insyaAllah saya akan datang lagi.

jemari ameera said...

Orang kita ingin sentiasa dihormati, nak dipanggil Dr, Prof etc. kalau kat Aussie, mereka prefer dipanggil nama saja. Ni semua disebabkan oleh perbezaan budaya, power distance orang kita lebih tinggi berbanding dgn orang barat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails