Yang Ikut

Friday, 22 July 2011

Cerita PhD saya - Part 2

Reactions: 
Saya bernasib baik kerana saya memang seorang penulis, walaupun tidak terkenal. Ini menjadikan saya boleh menulis lebih cepat. Kalau saya dapat menulis tesis dalam bahasa Melayu, mungkin ia akan lebih cepat lagi.

Orang selalu takutkan bahasa Inggeris. Bahasa hanyalah medium. Bagi saya, kelemahan utama menulis bukanlah bahasa, tetapi pada struktur ayat. Orang yang lemah menulis, mereka akan lemah dalam semua bahasa juga. Jadi, bukanlah bahasa itu yang menghalang penulisan, tetapi kemahiran mengolah pemikiran itulah halangan utamanya.

Ketika saya masih muda, saya selalu menulis surat cinta kepada kekasih saya. Sekarang ini, saya tidak boleh lagi menulis surat cinta itu, kerana kekasih saya sudah berkahwin dengan saya. Saya tidak boleh 'mengayat'nya lagi kerana dia tidak akan percaya. Jadi, sebab itu saya tidak lagi menulis surat cinta yang berbunga-bunga.

Koleksi surat itu masih ada dalam simpanan album isteri saya.

Sepanjang saya di sini, saya berpeluang melihat banyak perkara. Ada di antara pelajar PhD kita yang terpaksa pulang lebih awal. Anda ingin tahu mengapa?

Saya teringat kata kawan saya, PhD ini bukan kita punya. Ia milik penyelia kita. Kita hanya akan ada PhD sendiri bila kita menyelia orang lain.

Anda tahu maknanya? Kalau anda menjadi pelajar, ikut sahajalah rentak penyelia anda, walaupun adakalanya ia bukan mudah. Jangan sesekali kita menunjuk pandai, kerana ia tidak akan berguna apa pun. Kita akan dianggap pelajar juga. Kalau kita asyik bertekak dengan penyelia kita, akhirnya kita juga yang akan menanggung nasib buruk.

Masalah pertembungan dan krisis pelajar-penyelia ini nampaknya berlaku banyak di antara mereka yang masih muda dan baru berjinak dengan dunia pekerjaan. Sebenarnya, dalam dunia ini, semua yang kita lakukan adalah 'permainan'. Jadi, bermainlah dengan cara yang pintar.

Ketika saya baru mendaftar dulu, saya ikut sahaja apa yang penyelia saya cakapkan. Saya tidak kisah, walaupun ia tidak logik. Bayangkan, beliau meminta saya melakukan kajian populasi. Ia bukan projek kecil. Ia kajian yang patut ditaja. Walaupun saya tidak ada wang, saya lakukan juga.

Waktu itu, banyak perkara yang ingin saya kaji sebenarnya terpengaruh dengan idea penyelia saya.

Kini, setelah beberapa kali kajian, beliau tidak kisah lagi dengan apa yang ingin saya kaji. Malah, saya boleh merancang apa yang saya mahukan, dan bagaimana kajian yang ingin saya lakukan. Saya juga kini boleh memberi pandangan terhadap kajiannya pula. Beliau kini menjadi seperti rakan baik saya. Adakalanya, saya boleh mengajak beliau minum kopi.

Dulu, saya perlu membuat appointment kalau ingin bertemu dengan penyelia saya. Kini, saya hanya perlu menjenguk muka ke biliknya dan terus bertanya. Saya boleh mengirim sms atau telefon kalau ada hal yang sangat mendesak.

Sebab itulah, saya rasa perkara pokok dalam proses kajian PhD ialah memberi ruang untuk membina kepercayaan orang terhadap kita dulu. Kemudian, semuanya akan lebih mudah apabila kita sudah membina reputasi kita sendiri.

Anda mungkin tidak tahu, bahawa saya jugalah yang melakukan proses screening pelajar dari Malaysia yang memohon untuk membuat PhD di bawah penyelia saya.

Nanti saya sambung pengalaman saya membuat PhD. Ia mungkin berguna untuk anda.

2 comments:

Anak Pendang Sekeluarga said...

fuh,dahsyat tu,....ramai ke karkun malaysia di sana...student la..

jemari ameera said...

Suka baca crita pasal buat PhD ni pasal tak lama lagi saya pun kena jugak buat PhD. Thanks for the info

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails