Yang Ikut

Tuesday, 19 July 2011

Bodek yang sedang memakan kita

Reactions: 
Bodek mungkin hal yang janggal bagi kebanyakan masyarakat dunia yang lain. Tetapi bodek sudah menjadi rutin hidup masyarakat kita. Setiap hari, kita kalau boleh ingin membodek sesiapa sahaja yang boleh memberikan manfaat kepada kita.

Orang kecil seperti kita perlu membodek orang yang lebih besar dengan harapan kita mendapat sedikit manfaat. Guru biasa perlu membodek pengetua agar mudah dinaikkan pangkat. Pensyarah perlu membodek para birokrat agar mudah diluluskan geran penyelidikan. Pegawai kerajaan perlu membodek pengarah berpangkat besar dengan belajar bermain golf agar ia memudahkan banyak urusan pekerjaan.

Bodek. Dari mana istilah ini datang dan siapa menciptakan istilah ini kita tidak begitu tahu. Tetapi bodek ini telah berakar umbi dalam jiwa kita, menjadikan bodek ini darah baru yang mengalir dalam urat saraf kita. Tanpa bodek kita akan mati sebelum mencapai usia yang sepatutnya.

Siapa yang mengajar kita membodek ini. Di universiti, para pelajar seolah-olahnya sudah diberitahu bahawa kalau ingin mendapat markah yang baik, bodek terlebih utama dari banyak membaca buku. Berdiri di tengah panas di lapangan terbang menunggu menteri pulang adalah terlebih utama untuk mendapat gelar 'Datuk' berbanding dengan berjalan di tengah kampung melihat siapa yang susah tidak cukup makan. Mencium tangan orang besar terlebih mulia sebagai tanda penghormatan, walaupun jarang mencium jari kasar ibu tua di rumah.

Bodek ini kini sedang memakan masyarakat kita sedikit demi sedikit. Bodek telah menyebabkan banyak orang naik lebih cepat walaupun orang tahu jasa orang itu mungkin tidak ada. Malah penilaian prestasi kerja sekarang ini tidak lagi perlu mengisi borang atau menunjukkan kecemerlangan kerja, tetapi siapa yang pintar membodek akan dilayan mulia.

Di kaca televisyen dan suratkhabar berita bodek ini telah menenggelamkan hal yang terlebih utama untuk dibahaskan. Orang lebih suka menayangkan berita sumbangan derma ahli politik, dari menunjukkan berita anak yatim yang hanya ada sehelai seluar dalam berlubang. Orang sanggup berbelanja puluhan ribu membeli iklan muka depan suratkhabar untuk meraikan harijadi dari menghulurkan derma di tabung masjid.

Semua ini adalah budaya bodek.

Dari mana datangnya bodek ini?

Inilah budaya fuedal yang sedang membalut minda kita walaupun kita mengaku kita ini adalah antara manusia termaju di dunia.

Selagi mana kita tidak boleh menghilangkan budaya bodek ini, selagi itulah kita tidak akan mampu menjadi manusia berjiwa besar dan menjadi masyarakat kreatif. Kita tidak mampu berdebat dan berfikir secara rasional kerana minda bodek sedang menapis keupayaan akal kita yang waras.

Anda ingin membodek siapa besok pagi?

2 comments:

Dr. Ben said...

bodek ni tak baik secara mutlak ke bro?

zarch said...

Tak silap saya, dalam istilah bahasa, perkataan bodek ini memang dikaitkan dengan sesuatu yang negatif (kecuali dalam hal seorang suami membodek isterinya untuk memasak makanan kegemarannya atau seorang anak emmbodek ayahnya untuk membeli laptop buatnya), sedang sesuatu yang baik seperti membodek seseorang yang lain untuk datang kemasjid atau melakukan perkara-perkara yang baik, lazimnya disebut mendorong atau menargib.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails