Yang Ikut

Friday, 17 June 2011

Mat Sabu, politik dan kita.

Reactions: 
Beberapa hari lalu, seorang teman yang menjadi ketua pemuda sebuah parti politik mengirimkan sms bertanyakan bagaimana pandangan aku mengenai Mat Sabu. Aku tidak tahu mengapa ia bertanyakan soalan itu. Mungkin sebab sekarang Mat Sabu ialah Timbalan Presiden PAS, atau mungkin juga sebab penganjuran demontrasi BERSIH.

Aku tidak menjawab sms itu, kerana aku tidak tahu bagaimana aku harus menjawabnya. Aku juga tidak perlu menjawabnya kerana aku juga bukan orang politik. Lagi pula, aku tidak pernah mengenali Mat Sabu melainkan apa yang aku baca di media. Di masa muda aku, sesekali kalau aku tidak ada kerja, kalau Mat Sabu datang berceramah politik di kampung kami, aku menjenguk juga. Itu ketika dia masih popular di zaman pertengahan 1990-an.

Dia mungkin bukan pemidato yang hebat seperti Anwar Ibrahim atau mempunyai karisma ucapan seperti Tun Mahathir. Ia biasa sahaja, tetapi caranya yang berjenaka itulah kelebihannya. Tidak semua orang mampu membuat orang ketawa.

Bagi aku, Mat Sabu seorang yang kelakar dan berjiwa kampung. Orang seperti ini kalau menjadi Menteri Besar, beliau akan disukai ramai. Ia mempunyai karektor seperti Shahidan Kassim di Perlis atau Isa Samad di Negeri Sembilan. Watak politik seperti ini boleh dengan mudah berinteraksi dengan orang kampung. Sama ada ia watak yang sengaja diwujudkan atau tidak, itu hal lain. Apa yang penting, ialah persepsi masyarakat.

Bagaimana pun, bagi aku - apa pun bentuk pemimpin, yang paling utama ialah mereka ini haruslah tidak mempunyai sifat memanipulasi kuasa untuk kepentingan diri. Sebenarnya kuasa dan politik adalah dua hal yang berkait rapat. Ada yang mampu mengawalnya, ada yang tidak. Banyak pemimpin politik yang kita dengar ada kekayaan luar biasa yang datang kerana kuasa politiknya. Ini antara sifat kepimpinan yang boleh merosakkan masyarakat. Pemimpin seperti ini mudah dirasuah. Anda tentu pernah membacanya.

Adakah Mat Sabu mampu memberikan imej baru kepada PAS?

Kita tunggu dan lihat. Kita tidak perlu menjawabnya. Kita hanyalah manusia yang memerhatikan dinamika politik. Ada ketikanya kita menjadi objek yang dimainkan ahli politik, ada ketikanya kita teruja dengan banyak hal luar biasa ahli politik.

Pada akhirnya, kita perlu kembali ke sudut dapur - melihat sama ada makanan yang boleh dimasak atau tidak, dan memerhatikan sama ada tabung wang siling kita masih ada untuk belanja sekolah anak-anak.

Kita bukan orang politik. Kita hanya mengharapkan kebaikan manusia politik.

1 comment:

Anonymous said...

Yang ni pun kene letak komen "Luar Biasa Bagus". Kita hanya mengharapkan kebaikan ahli politik, dan akhirnya kembali ke medan dapur dan tabung syiling. Aduh, sebak rasanya. Huhuhu...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails