Yang Ikut

Saturday, 25 June 2011

Keganasan isteri yang tidak kita tahu

Reactions: 
Rumahtangga ialah padang permainan sebuah keluarga. Seperti biasa dalam permainan, ia melibatkan kegembiraan, kesedihan dan adakalanya keganasan.

Selalu kita mendengar isteri disimbah cuka oleh suami, atau keganasan melampau oleh suami yang menyebabkan isteri menderita. Ia sering kita baca dalam akhbar.

Jarang kita mendengar keganasan isteri terhadap suami.

Semalam, saya menerima sms dari seorang kawan, bertanya sama ada saya mempunyai sesiapa yang arif dalam hal perundangan. Teman saya ini diminta oleh satu keluarga di kampung saya, untuk membawa anak lelakinya balik dari Melaka. Anak lelakinya kini terlantar koma di rumah.

Saya bertanya apa sebabnya. Dalam ceritanya, teman saya itu memberitahu, lelaki ini telah koma kerana dipukul oleh isterinya. Saya tidak tahu bagaimana bentuk pukulan atau keganasan yang telah dilakukan hingga menyebabkan koma. Jarang saya membayangkan akan ada suami yang dipukul begitu ganas oleh isteri hingga koma. Sehabis ganas yang saya dengar hanyalah kes membaling pinggan dan pecah di muka.

Lelaki yang koma ini, saya kenal. Tetapi sudah puluhan tahun saya tidak melihatnya. Dia mungkin muda belasan tahun dari saya. Itu pun saya lihat, ketika saya masih remaja dulu, ketika hidup saya lebih banyak di kampung. Lelaki ini pula masih kanak-kanak waktu itu. Setelah dia menjadi seorang lelaki dewasa, saya tidak tahu pula bagaimana karektornya. Tetapi berdasarkan watak anak-anaknya, dia seorang budak kurus yang baik. Dia bukanlah berada dalam karektor mereka yang nakal, setidak-tidaknya seperti karektor saya.

Sebenarnya, itulah antara cerita yang jarang kita dengar. Saya biasa mendengar ada isteri yang ditampar atau dipukul dengan ganas oleh suami masing-masing. Ada di antaranya ialah teman saya sendiri. Seorangnya daripadanya, saya membantunya menghantar pulang ke kampung terpencil di Negeri Sembilan jam 1 pagi. Jalan berliku-liku, gelap dan hutan memang menyeramkan. Tetapi, saya tidaklah terkejut sangat hal ini. Dia wanita. Wanita selalu menjadi simbol mangsa keganasan.

Bagaimana pun, lelaki yang dipukl oleh isteri hingga koma hanya saya dengar malam tadi. Saya tidak tahu cerita sebenarnya lagi, dan apa kesudahan cerita ini.

Pagi tadi, sesudah subuh, teman saya sudah berada di Melaka. Mereka dalam urusan membawa lelaki malang ini pulang ke kampung.

Kasihan dia. Jarang orang ambil tahu keganasan isteri!



5 comments:

ismadiyusuf said...

kesian, hak lelaki sentiasa terabai selalu kerana signifikan keganasan yang dimonopoli oleh mereka sekian lama.

Norsha said...

Kesiannya, mmg jarang didengar tapi tidak mustahil berlaku kerana wanitapun ada juga yg 'senget'....dunia akhir zaman !

mulan said...

sebelum buat apa apa andaian, elok kalau tanya khabar si isteri juga...takut nanti suami koma...isteri pula dah "aruah"...

Dr. Ben said...

peh... tercakap nak kawin dua kot?

Bawang Goreng said...

Jarang isteri mahu bertindak ganas, kecuali ada sesuatu yang memangkinkan ia berbuat demikian...

Antara yang boleh dipertimbangkan :

1. Sejarah keluarga isteri seperti ibu isteri yang garang dan pernah memukul ayahnya suatu ketika dahulu yang menyebabkan perkara itu diteruskan oleh isteri apabila dia berkahwin.

2. Peribadi isteri yang garang dan tegas berbanding suami yang lembut turut mendorong isteri menjadi seorang pendera dalam rumahtangga yang akhirnya, isteri mula mengabaikan tanggungjawab dan mengetepikan batas-batas sebagai seorang isteri.

3. Faktor ekonomi keluarga juga boleh menyebabkan berlaku kes penderaan suami. Isteri mungkin memberi sumbangan yang lebih banyak kepada ekonomi keluarga selain sikap suami yang kurang bertanggungjawab dan ini mengakibatkan isteri menjadi terlampau tertekan dan bertindak di luar dugaan.

4. Kurangnya pengetahuan agama dan pasangan gagal memahami semangat institusi perkahwinan.

5. Suami yang lemah syahwat juga boleh mendorong isteri bertindak ganas. Suami kerap menolak ajakan isteri untuk melakukan hubungan seks sehingga isteri tidak mampu lagi merayu si suami hingga dia sanggup bertindak memukul suami. Sesiapa pun apabila tahap kesabaran tidak mampu dibendung lagi boleh melakukan perkara yang di luar kemampuannya.

6. Faktor peribadi seperti seorang wanita yang panas baran mungkin juga menjadi punca. Isteri hilang rasa takut kepada suami sekaligus mendorong wanita itu menggunakan kekerasan.

7. Faktor perubatan dan emosi boleh mendorong isteri mendera suami seperti semasa dia meroyan selepas bersalin.

Pakar psikologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Suradi Salim yang MENEGASKAN, “Apa-apapun, yang sebenarnya jika suami tidak buat hal, selalunya isteri tidak terdorong untuk mendera suami...”

Rujukan : Keganasan isteri terhadap suami

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails