Yang Ikut

Wednesday, 22 June 2011

Jangan datang lagi Jun!

Reactions: 
Tiada apa hendak ditulis. Juga tidak ada perkara hendak dibuat. Sudah hampir 4 tahun aku di Adelaide. Jadi banyak yang sudah selesai. Kehidupan aku sekarang ini banyak bersantai. Berpindah dari satu kampus ke satu kampus. Isnin aku di Magill, semalam di City West, hari ini pula di City East. Nampaknya susah juga hidup tak ada benda yang hendak dibuat ni.

Sesekali, kalau terserempak dengan sesiapa bertanya statistik, aku berborak dulu hal statsitik. Kalau terserempak dengan kawan-kawan bertanya bagaimana menulis abstrak, aku berborak pula hal abstrak. Ini musim aku memberikan khidmat sosial percuma.

Bulan Jun ini ialah bulan emak aku melahirkan aku. Seingat aku, semasa aku kecil dulu, perut aku buncit dan selalu berkaki ayam. Tidak tahulah sama ada aku susah atau itu 'trend' anak-anak zaman 70-an.

Beberapa dekad sudah berlalu. Hidup aku ini, hendak dikatakan berjaya tidak juga. Hendak dikatakan gagal, juga tidak. Hidup aku secukup ada sahaja. Sekarang ini, aku tidak ada kereta, rumah juga tidak ada. Hutang yang banyak.

Dibandingkan ayah atau emak aku, aku mungkin berjaya. Aku sudah hidup di dua buah negara luar. Sudah beberapa kali naik kapal terbang. Sudah ada dua keping ijazah. Kalau aku lulus PhD, aku akan ada 3 keping. Tapi 2 ijazah aku - sudah koyak rabak. Aku tidak pernah menjaganya, atau memasukkan ke dalam frame. Entahlah. Aku tidak berminat sangat. Sijil sekolah aku sudah lama lunyai.

Beberapa hari lagi umur aku masuk 39 tahun. Entah tua, entah muda. Bergantung kepada siapa yang mengira umur aku.

Bulan Jun biasanya bulan yang baik untuk aku. Aku mendaftar masuk universiti tahun 1992 pada hari jadi aku. Itu lama dulu.

Bulan Jun tahun 2011 ini pun baik juga nampaknya. Minggu lepas sebuah makalah aku diterima untuk penerbitan jurnal.

Pagi tadi, membuka email ada tertera "Dear Dr. Idris: I am so happy that we have arrived at this moment when I am able to write that we are happy to accept your paper for publication in the International Journal of Stress Management . Congratulations!

Jangan terkejut pula, kalau tertera nama Dr di depan nama ayah aku. Setiap kali kita menghantar manuskrip ke jurnal, mereka akan menggunakan istilah Dr untuk nama kita tidak kira sama ada kita ini sudah ada PhD atau tidak. Ia bagi mengelakkan tersalah 'downgrade' manusia.


Begitu juga kita. Kalau menulis email kepada Ketua Editor, biasanya kita letakkan gelar "Prof" di depannya. Tidak kiralah mereka profesor atau tidak. Ia bagi mengelakkan kita tersalah pangkat. Orang jarang marah kalau kita meletakkan sesuatu yang lebih baik.


Bulan Jun - aku kalau boleh mengharapkan ia lambat datang. Ia hanya menambah usia aku walaupun aku masih merasa aku seorang remaja!


1 comment:

mala said...

Happy birthday Dr!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails