Yang Ikut

Thursday, 26 May 2011

Saya anak Malaysia

Reactions: 
Di Malaysia, kita banyak bercakap tentang percakaran bangsa. Semua parti bermain dengan politik bangsa. Sesekali bercampur baur dengan hal agama. Ada pula persatuan yang dibangun khusus untuk memperhangatkan lagi sentimen pekauman bangsa. Aku tidak tahu sama ada apa yang dibuat itu betul atau tidak. Kalau kita tidak ada pertubuhan yang bermain dengan sentimen bangsa, ada pula orang lain membuatnya. Jadi bagaimana?

Kehidupan di luar negara sesekali membuka mata kita bahawa bangsa hanyalah entiti kepada negara. Tidak orang ambil tahu sama ada seseorang itu dilahirkan di Jerman, Itali atau Greek. Yang penting setiap orang menjadi anak bangsa kepada negara. Memang, sesekali ada kes 'rasis' atau prejudis. Tetapi, itu banyaknya berkaitan warna kulit - hitam atau putih. Ia tidak begitu berkait dengan bangsa.

Aku tidak pasti aku ini seorang yang bersifat rasis atau tidak. Di sini, aku berkawan dengan anak semua bangsa. Aku tidak kisah siapa mereka dan asal keturunan mereka.

Teman baik meminum kopi aku ialah Dr Wong - seorang pensyarah dari UPSI. Dia seorang Cina. Kami berbual banyak hal. Kami tidak pernah merasa curiga pun walaupun berlainan bangsa. Kerana tidak ada orang pun yang mengapi-apikan hubungan bangsa.

Sesekali, aku terserempak dengan seorang wanita Cina, asal Melaka. Dia menjadi rakyat Australia, dan berkerja di universiti. Dia fasih bahasa Melayu dan berkahwin dengan warga tempatan, tetapi sebangsa dengannya. Dia juga sesekali melepak dan minum kopi dengan aku. Katanya, dia sudah lama tidak bercakap bahasa Melayu. Kerana takut bahasa Melayunya hilang, dia perlu mencari seseorang untuk bercakap bahasa Melayu.

Seperti Dr Wong, dia juga tidak kisah pun minum kopi dan berbual dengan aku sebagai anak Melayu. Kami merasa bahawa kami adalah anak Malaysia, dan bukannya dipisahkan oleh bangsa.

Sebulan lalu, ketika singgah di sebuah taman - park - aku terserempak dengan Suresh, pemuda India asal Negeri Sembilan. Terakhir kami berjumpa ialah tahun 2008 ketika kami satu trip ke Melbourne. Dia sangat gembira bertemu aku, dan terus mengajak aku ke rumahnya. Dia menunjukkan aku rumahnya yang baru dibeli dan berbual dengan emaknya yang baru sahaja sampai untuk bercuti.

Dia kemudiannya menghantar aku ke taman semula. Di sana ada 5 atau 6 keluarga anak muda India yang semuanya fasih bahasa Melayu. Semuanya adalah anak Malaysia yang kini menetap di Australia. Mereka juga tidak kisah pun kami berlainan bangsa. Kami berbual banyak hal. Mereka bercakap Melayu berloghat minang. Kami seolahnya gembira kerana bertemu sesama kami dan bertukar nombor telefon. Yang penting, kami adalah anak Malaysia.

Kini, tatkala semua mereka yang ingin menjadi pejuang bangsa - melalak dan melolong bercakap apa sahaja yang boleh membangkitkan kemarahan sesama kita, tidakkah mereka terfikir kita ini sebenarnya anak Malaysia.

Tidak ada apa pun kelebihan antara kita. Darah kita sama sahaja. Mungkin berbeza sama ada terlebih kolestrol atau tidak. Yang miskin tetap susah. Yang kaya tidak membahagikan hartanya.

Kita rakyat jelata - tidak pernah terfikir bermusuhan. Bagi kita, semua orang sama sahaja. Kita menghantar kereta yang rosak ke bengkel Cina. Menggunting rambut di kedai India. Makan nasi lemak di Warung Mak Jah.

Kita anak Malaysia tidak kisah pun hubungan kita berlainan bangsa. Mereka inilah yang sedang memainkan emosi kita, untung-untung tahun depan bakal menjadi calon lagi!

Dan air kopi yang sedang aku telan ini tidak akan pernah berubah rasanya. Yang berubah hanya mereka. Yang berubah hanyalah nada retorik cauvanist yang datang dari setiap mereka yang ingin mengaut untung.

2 comments:

Anonymous said...

:)
Suresh?
Yang Tuan FakirFikir pau rokok Marlboro & kantoi depan isterinya tu?

Ex-Lobethal 2008

alfindani said...

Salaam.

1stly, terima kasih sbb muncul kembali. Mmg benar, yg mengeruhkan suasana di negara kita dan di mana jua pun adalah mereka yg mempergunakan sentimen bagi mengaut keuntungan diri saja.

Sepatah kata Ghandi: "Seluruh dunia ini cukup untuk memenuhi keperluan semua manusia, namun tidak cukup utk memenuhi ketamakan seorang manusia".

Ketamakan politician kpd kuasa, ketamakan kapitalis etc.. itulah puncanya.

p/s: kena panggil Dr. Fakir la lps September ni eh? ;)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails