Yang Ikut

Saturday, 1 January 2011

Satu hari di tahun baru

Reactions: 
Tahun 2011 - ku mulakan hari dengan berjaga hingga Subuh. Semalam di Adelaide, mereka membakar bunga api. Aku mendengar dentuman itu beberapa kali. Aku lihat sinar percik bunga yang cantik. Aku tidak pergi ke sana. Dari rumah aku boleh lihat semuanya. Rumah aku cuma 1.5 km dari bandar.

Jam 1 pagi - kawan lama aku di sini - Nizam pekerja mahir dalam bidang konkrit paip datang. Mendukung anak yang sudah tidur. Kami bersembang. Mereka baru balik dari pesta bunga api. Dia tidak membawa balik abunya. Kami minum kopi. Makan maggie. Bersembang-sembang segala macam hal.

Jam 3 pagi - aku memperbaiki kertas jurnal. Menggodek segala statistik dan formula. Menulis dan mengarang. Berkali-kali ke ruang dapur mencucuh rokok Dunhill bebas cukai. Stok kian berkurang. Siapa datang ke Adelaide, tolong belikan aku rokok baru.

Bangun jam 10. Anak aku selalu kacau aku. Dia mengejutkan aku. Isteriku sudah lama menghilang. Entah ke mana dia pergi. Aku buka tv. Cerita Ben10. Ini rancangan anak aku. Aku buka komputer. Baca internet. Laman web wajib untuk aku sejak beberapa tahun ini www.goal.com. Mengejar anak aku untuk mandi. Dia selalu protes setiap kali disuruh mandi. Mandi adalah trauma untuk semua budak-budak sepanjang zaman. Aku dulu juga akan protes kalau disuruh mandi. Akan bertambah protes kalau diminta sabun dan shampoo.

Jam 11.30 pagi, Razak datang ambil aku. Bawa aku ke rumah Zainol. Rupanya mereka sedang meniaga Garage Sale. Isteri aku salah seorang darinya. Banyak barang yang dibeli dari garage sales - kini dijual pula di garaj kereta di rumah Zainol. Pinggan mangkuk, baju, periuk, tayar buruk, tilam busuk, kerusi cabuk semua cuba dijual. Ada juga set noritake. Hidup ini dunia berjual beli. Hidup ini menghimpunkan barang buruk. Menggalas biawak hidup.

Aku lepak bawah pokok limau oren. Aku buka jurnal tulisan Sharon Clark. Aku baca berkali-kali. Sudah lumat kertas ini. Untuk orang yang mengkaji organisational climate - ini antara tokoh yang wajib anda kenal. Anda juga patut kenal Schneider. Zohar dan Luria juga. Mearn juga. 10 tahun lagi, anda patut baca tulisan aku. Jangan sekarang. Aku belum popular. Aku masih bawa ajaran sesat.

Jam tengahari - sesudah makan, aku mengantuk. Aku tidur di ruang tamu. Banyak orang di rumah Zainol. Kini ia menjadi port baru kami. Ia tempat kami makan dan membuang sampah. Ia tempat kami menghabiskan masa. Ia tempat bermalas, sudah menjadi bar baru untuk kami warga Adelaide yang tidak lagi banyak masa.

Petang - barang garage sale mereka banyak yang terjual. Isteri aku mungkin dapat $50 dolar hari ini. Duit dia, duit dia. Duit aku, duit dia. Itulah bahayanya ideologi persamaan hak wanita. Ini topik popular tahun 1940-an.

Ke rumah Nizam untuk mengambil 'air cond'. Sekarang musim panas. Esok ada tetamu dari Melbourne datang. Mereka 3 keluarga. Tetamu tidak boleh hidup dalam panas. Mereka semua aku minta tidur di rumah aku. Terselamat duit sewa hotel yang mahal. Aku pula akan berpindah beberapa malam ke rumah Zainol. Inilah hidup. Pinjam meminjam. Tumpang menumpang. Kerabat mengkerabat. Kita tidak akan mati.

4 haribulan aku akan Melbourne pula. Menemankan saudara dari Malaysia melancong beberapa hari.

Sibuknya hidup ini. Tidak sempat aku merencana azam tahun baru. Nanti kalau aku sudah tidak sibuk, aku akan senaraikan azam tahun 2011.

Terima kasih semua yang membaca. Dari Kodiang sampailah ke Kulai. Dari Malaysia sampai ke Indonesia. Juga untuk mereka yang merempat di bumi asing seperti aku. Teman-teman dan pelajar di bumi Adelaide. Juga mereka yang membaca dari UK dan blogger Zarch di Swiss.

1 comment:

ihsan_huhu said...

wah kulai. dah lama tak pergi sana

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails