Yang Ikut

Wednesday, 19 January 2011

Mengapa mereka berhijrah ke sini?

Reactions: 
Sepatutnya aku cuba menulis hal kuliah psikologi kali ini. Tetapi entah mengapa tiba-tiba tiada angin untuk menulis. Kali ini aku terasa membahasakan diri sebagai saya.

---------------

Seorang teman lama - juga seorang peguam akan datang berhijrah ke Adelaide sebulan lagi. Entah apa yang tersembunyi di benaknya untuk memulakan penghidupan baru di sini. Saya mula berkawan dengannya di Kuala Lumpur dulu ketika kami sama-sama berkerja di satu syarikat. Kemudiannya saya berhenti dan berkerja di tempat lain. Dia juga, saya rasa berhenti dan berkerja di tempat lain juga.

Kali terakhir kami berjumpa beberapa tahun dulu. Ketika itu, saya mengajar secara sambilan di sebuah universiti. Lepas itu hilang tidak bertemu lagi. Cuma tiba-tiba, dua bulan lalu dia menelefon memberitahu akan datang menetap di Australia. Entah mengapa dia memilih Adelaide, dan bukan Melbourne atau Sydney yang peluang kerja lebih banyak, saya tidak begitu tahu.

Sebenarnya, dia mendapatkan nombor telefon saya dari seorang kawan yang lain, kini menyambung PhD di Melbourne. Kawan saya ini juga adalah rakan sekerja saya di Kuala Lumpur dulu. Dia juga berhenti dan hilang sejak sekian lama. Terakhir saya dengar dia berkerja di universiti awam. Kini, setelah dia sampai di Melbourne sejak lebih setahun dulu, hanya dua kali saya menelefonnya. Itu ketika dia mula sampai dulu. Saya tidak pernah berhubungan dengannya lagi sejak itu.

Sebenarnya, saya sepatutnya ada seorang lagi bekas rakan sekerja di Australia ini. Dulu, syarikat kami ada cawangan di Hay Street, Perth. Saya di Jakarta, dia di Australia. Seorang kawan saya dihantar ke sini. Walaupun kemudiannya operasi syarikat telah ditutup, dia tidak pulang juga. Saya pernah sekali bertemu dengannya lama dulu. Itu pun setelah saya balik dari Jakarta dan berhenti kerja. Dia ada berbual tentang kerja barunya di Perth. Saya pernah ke rumahnya di Perth. Isterinya orang kampung seperti saya tidak begitu betah dengan hidup di Australia. Tetapi kawan saya pula tidak betah hidup di Malaysia.

Saya tidak tahu sama ada dia masih menetap di Perth atau sudah berhijrah ke negara lain.

Sebenarnya banyak sebab orang berhijrah. Ada yang kerana kerja, ada yang kerana belajar. Ada yang tidak begitu selesa dengan kehidupan di Malaysia. Semua orang ada alasan tersendiri.

Saya bagaimana?

Oh, saya tidak boleh melupakan teh tarik mamak dan roti banjir. Saya juga kuat melepak di kedai kopi. Saya tidak boleh hidup lama di negara orang. Saya terasa kehilangan sesuatu.

Lagi pula kalau saya terus di luar negara, bagaimana pula perasaan orang tua saya yang tentunya setiap hari berharap saya akan segera pulang. Itulah kebahagiaan terbesar dalam hidup seorang saya.

3 comments:

Muhammad Teja said...

teringat kata abang waktu kami sekeluarga menziarah abang di adelaide dulu:

"dekat adelaide ini, semua ada. tapi mak bapak aja yang tak ada."

benar, abang. walaupun adelaide itu umpama 'syurga dunia' namun tanah melayu tetap menjadikan diri saya - saya.

saya said...

Saya suka tuan membahasakan diri tuan 'saya'. Nampak manis semanis gula. Tapi jika bahasakan 'aku' nampak macho seperti ayam sabung.

ihsan_huhu said...

ayat last tuh mmg best r

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails