Yang Ikut

Sunday, 16 January 2011

Ini cerita PhD

Reactions: 
Dunia PhD aku di Australia sudah berada di penghujung jalan. Data terakhir aku sudah dipos Jumaat lalu. Ia kutipan data terakhir aku bagi tujuan pengajian ini. Kajian lain yang bukan untuk PhD, Insyaallah akan aku buat lagi.

Sejak kecil, aku tidak berangan-angan pun untuk masuk universiti, apatah sampai ke luar negeri. Kampung aku jauh di luar bandar. Waktu aku masih kecil, kampung aku masih kawasan hitam. Sekarang ini orang tidak tahu apa itu istilah kawasan hitam.

Jam 6 pagi - bapa menghantar ke sekolah naik basikal. Waktu itu basikal kenderaan paling popular selain berjalan kaki. Hanya ada sebiji dua motosikal. Itu pun Honda C-50 yang aku lihat dipakai oleh tauke kedai runcit di kampung aku.

Sesampai di pekan Changlun - kami perlu menunggu sehingga pagar besi dibuka. Ia ditutup menjelang malam. Tidak orang boleh melalui jalan itu. Sekarang ini, tidak ada istilah tutup pagar juga. Orang boleh keluar masuk jam berapa yang kita suka. Yang ada hanya pagar tol. Pagar tol - istilah baru yang memeritkan.

Masuk universiti sangat jauh dari igauan. Aku pun tidak pasti sama ada aku tahu apa itu universiti ketika aku masih kecil. Rasanya tidak. Mungkin setelah aku di sekolah menengah, aku mendengar betapa hebatnya universiti. Walaupun setelah berusia ini, aku tahu universiti juga bukanlah tempat yang hebat. Yang hebat ialah manusianya.

Sebaik sahaja aku mendapat keputusan 4A 1C dalam Peperiksaan Darjah 5, aku jadi kebingungan. Waktu itu, ia dianggap peperiksaan yang hebat untuk orang kampung seperti kami. 5A ialah pencapaian yang hebat. Mustahil aku akan dapat 5A - bahasa Inggeris aku sangat teruk. Waktu itu aku masih keliru mengapa perkataan "I" mesti dalam huruf besar.

Di kampung aku - pertengahan tahun 1980-an, hanya beberapa orang yang berjaya masuk sekolah asrama. Aku salah seorang darinya. Itu pencapaian hebat untuk anak kampung seperti aku. Sama seperti anugerah Nobel untuk penulis besar.

Hanya di sekolah menengah itulah - baru aku kenal nama universiti. Sebab biasanya, banyak pelajar yang tamat di sekolah itu akan masuk universiti. Jadi - universiti bukan lagi hal yang pelik. Yang pelik ialah apabila ada yang gagal masuk universiti.

Sekarang - seperti bermimpi pula - aku sudah di tahun akhir pengajian PhD, di luar negara pula. Ia pengajian peringkat tertinggi bagi orang awam. Tetapi percayalah, PhD hanyalah sijil sahaja. Manusia tidak akan berbeza hanya kerana ada PhD atau tidak. Kebodohan dan kepandaian tidak boleh diukur dengan sekeping sijil. Ia sama sahaja.

Bezanya cuma ada yang berpeluang, dan ada yang tidak. Itu sahaja.

Tidak perlulah anda menangis teresak-esak kalau tidak mampu masuk universiti, atau menyambung pengajian ke peringkat PhD. Tidak juga perlu menepuk dada berasa besar kalau mendapat PhD sekalipun. Ia hanya sekeping sijil. Kalau kita mati - sijil itu hanya boleh disimpan di dalam almari. Itu pun kalau ada yang sudi menyimpannya.

Dunia aku juga berbeza dengan banyak orang lain yang membuat PhD. Banyak pelajar PhD ialah ahli akademik. Mereka pelajar yang pintar. Mereka sudah lama menjadi pensyarah.

Aku dihadapkan dengan pelbagai bentuk kerja. Sebelum masuk universiti tahun 1992 - aku berkerja kontrak. Juga pernah menanam rumput di UUM. Sekali itu terserempak seorang kawan sedang membuat matrikulasi. Tapi aku tidaklah kisah sangat. Kemudiannya berkerja kilang di Selayang.

Setelah keluar universiti - aku turun naik pejabat. Aku berkerja di kilang di Pulau Pinang. Kalau jodoh aku lama dengan kilang, mungkin aku menikah dengan budak kilang dan menjadi kuli kilang buat selama-lamanya. Jodoh dengan kilang tidak lama, tidak juga berjodoh dengan orangnya. Aku juga berkerja di tempat lain. Kerja menulis. Kerja marketing. Jadi kuli dan menjadi bos kecil. Berpindah ke Jakarta. Berhenti dan kerja lagi. Kembali ke Kuala Lumpur - aku berkerja di tempat lain.

Sampai sekarang - aku masih merasakan belajar di luar negara satu mimpi. Apatah lagi menyambung pengajian dalam bidang PhD.

2 comments:

HAFIZ said...

maka, dengan setiap laluan yang ditempuhi, harus diiringi dengan rasa bersyukur.....

umu6point said...

Assalamualaikum..Alhamdulillah..akhirnya akn kembali semula ke tanah air tidak berapa lama lg.. selamat pulang :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails