Yang Ikut

Wednesday, 19 January 2011

Hiruk pikuk itu sangat menjengkelkan

Reactions: 
1. Tidak ada cerita yang paling menonjol dalam rutin hidup di Malaysia mutakhir ini - melainkan - cerita-cerita perkauman. Isu surau disimbah cat, cerita ahli politik bukan Islam memasuki surau, isu kepala lembu, istilah 'pariah' dalam novel Interlok, isu azan, dan terakhir cerita seorang remaja Punjabi dikacip rambutnya ketika mengikuti program PLKN.

2. Banyak lagi isu perkauman lain yang muncul. Senarainya mungkin lebih panjang dari jalan keretapi Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

3. Apa yang tidak kena? Kita sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku setiap kali kita membelek berita utama akhbar. Benarkah kita ini sedang bermusuhan dan xenophobia sesama sendiri. Kalaulah Gordon Allport penulis buku The Nature of Prejudice hidup semula - tentu Malaysia salah sebuah negara yang akan dicatatkan dalam bukunya.

4. Apa yang kita mahu sebenarnya?

5. Hakikatnya inilah real politik Malaysia. Kita tidak dapat mengelak dari terus bermain dengan sentimen perkauman - kerana inilah asas pembinaan politik Malaysia. Pelajar-pelajar sains politik - ketika di tahun pertamanya akan diberitahu hal ini. Ia hal yang tidak bakal terpisah dari realiti politik dan cara hidup kita.

6. Sejak merdeka - kita sudah mencorakkan warna politik negara ini dengan parti yang mewakili parti berasaskan etnik. Dan setiap pemimpin yang bakal melonjak naik ialah mereka yang berani menjadi juara etniknya.

7. Ingat - menjadi juara tidak semestinya mereka memperjuangkan etnik yang diwakilinya. Menjadi juara boleh jadi kebijaksanaan memanipulasi isu agar kelihatan mereka adalah orang yang peka dengan rakyat.

8. Pada hemat aku - semua ini adalah permainan politik. Ia ditambah dengan kesukaan media memainkan berita - mengulang dan mengolah agar lebih sensasi.

9. Apakah manfaatnya mempolitikkan kepala lembu - sedangkan banyak lagi isu utama yang diabaikan. Isu kemiskinan, beban hutang bank, penagihan dadah - malah masih ada rakyat kita yang tidur di bawah jambatan, di tanah haram jalan keretapi - dan ada yang rumahnya sekadar sebuah pondok. Malangnya isu besar ini tidak pernah muncul dan diberitakan. Ia hanya muncul sekali sekala - itu pun tatkala menjelang pilihanraya.

10. Motif dibangkitkan hal kemiskinan juga bukanlah kerana ingin menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh mereka yang bernasib malang itu, melainkan untuk menikam musuh politik yang satu lagi.

11. Isu azan - cuma cerita biasa sahaja. Banyak lagi kebisingan lain yang boleh dilaporkan. Ada disko yang berbunyi sampai ke pagi. Ada jentera berat masih melewati kawasan perumahan walaupun hari sudah larut malam. Bunyi bising kuari meletupkan bukit juga menyesakkan telinga.

12. Tetapi - semua ini tidak menjadi berita kerana ia tidak ada hubungkait dengan perkauman - tidak ada nilai untuk menjadi bahan politik.

13. Akhirnya - tatkala kita riuh dengan gagasan Satu Malaysia - kita juga sedang riuh dengan hal perkauman yang sepatutnya bukanlah berita. Tidak perlu seorang menteri turun bagi menyelesaikan isu azan. Tidak perlu seorang Menteri Besar membuat kenyataan mengenai kepala lembu. Ia boleh diselesaikan oleh pegawai yang berkaitan sahaja.

14. Tetapi itulah cara kita. Kita telah dikacaukan dengan banyak hal remeh yang menyebabkan banyak agenda besar lain sepatutnya boleh diselesaikan.

15. Menyelesaikan pengistilahan perkataan paria dalam novel Interlok tidak bakal menyelesaikan masalah kaum India.

16. Isu utamanya bukan semua itu. Isu utamanya ialah sejauh mana kita dapat mengurangkan perbezaan pendapatan bagi semua rakyat. Isu utamanya ialah bagaimana ahli politik mampu melihat apa yang terlebih utama bagi keperluan rakyat.

17. Kalau tidak - sampai bila-bila pun kita akan tetap begini. Kerana sampai bila-bila pun, kita akan tetap bersama untuk hidup dan melihat wajah bangsa yang berbeza di sekeliling kita.

18. Makan roti canai di kedai Melayu, membeli barang di kedai Cina dan menggunting rambut di kedai India. Kita mungkin tidak pernah bermusuhan. Tetapi berita dan hiruk pikuk manusia politik pengaut untung membuatkan kita semakin rimas dan resah.

19. Percayalah - sebulan atau kurang daripada itu, akan ada isu baru yang muncul. Ia sudah menjadi lagu hidup kita yang dilabelkan dalam pakej lirik bangsa Malaysia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails