Yang Ikut

Tuesday, 30 November 2010

Bahasa bukan isunya, pengetahuan itu kuncinya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan, telah diminta oleh universitinya untuk melanjutkan pengajian PhD di luar negara. Bagaimana pun, dia bimbang dengan penguasaan bahasa Inggerisnya.

Kalau orang bertanya aku - aku akan katakan bahasa bukan isunya, pengetahuan itulah kuncinya. Bahasa hanya alat penyampaian. Tanpa pengetahuan yang memadai, tidak apa yang dapat ditulis dalam apa bentuk bahasa sekalipun. Tanpa ilmu yang mencukupi, bahasa yang baik sekalipun tidak akan menjadi alat penulisan.

Berapa banyak orang kita yang arif dalam bahasa Melayu. Sejak lahir hingga ke liang kubur terus bercakap bahasa Melayu. Bagaimana pun, mereka tidak mampu menulis hal pengetahuan. Bukan kerana mereka tidak tahu menulis dalam bahasa Melayu. Sebaliknya mereka tidak ada pengetahuan. Itulah halangan utamanya.

Bagi orang yang belajar di luar negara, tidak semua orang pandai bahasa Inggeris. Salah seorangnya ialah aku. Bagaimana pun, aku tidaklah sedikit pun merasa ragu atau bimbang baik menulis atau bercakap dalam bahasa ini. Kerana aku tahu, kalau aku bercakap atau menulis salah sekalipun, ia bukan bahasa aku. Penyelia aku pun tidak pernah ambil 'port' kalau ada tatabahasa aku yang salah. Tapi, akan selalu kisah kalau pengiraan statistik aku salah, atau penghujahan teori aku tidak betul. Bahasa boleh diperbetulkan kemudian, tetapi isi di dalam minda tidak ada sesiapa boleh membantu mentafsirkannya.

Sebab itu - kepada mereka yang takutkan dengan kelemahan bahasa Inggeris - jangan berasa ragu. Bahasa bukan halangan utama. Ada banyak editor yang boleh memperbaiki ayat. Ada banyak orang yang boleh membantu anda menyampaikan mesej anda. Tetapi, tidak ada sesiapa pun tahu bidang anda. Itulah penguasaan yang patut anda lebihkan. Bukan bahasa, tetapi pengetahuan.

Di Australia - setiap hari kita terserempak dengan warga Vietnam, China, Korea, Jepun, Filipina atau Thai yang mungkin tidak pernah pun mendengar patah Inggeris ketika mereka bersekolah dulu. Tetapi mereka hidup juga. Malah, sekarang ini mereka sedang menguasai ekonomi Australia. Siapa yang peduli bahasa Inggeris mereka. Orang hanya peduli apa kelebihan mereka.

Monday, 29 November 2010

Bila kita dilanda kacau

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada berita hari ini.

Aliph al-Turkistani telah datang ke rumah aku membawa bersama 3 orang ahli jemaah tabliqh dari Kedah. Tidaklah mereka mensurahkan aku apa-apa. Kami sekadar bercakap hal beberapa orang ustaz di Kedah. Bercerita juga tentang orang itu dan orang ini yang aku kenal.

Lama juga sebenarnya aku tidak mendengar loghat Kedah tulen seperti yang dibualkan oleh 3 orang ahli jemaah itu. Sekurang-kurangnya, bolehlah aku mendengar nada suara orang Kedah. Kebetulan salah seorangnya dari Jitra.

Sebetulnya dari semalam - aku menulis satu kertas baru. Sudah 1,000 patah perkataan. Pagi tadi aku mengirimkan emel kepada penyelia aku menyatakan hal yang aku tidak akan ke universiti. Dia tahu kalau aku menulis artikel, aku biasanya menulis di rumah.

Balasan emelnya membuatkan aku kembali stress. "Given that you have more time, I think we should revise the strategy and aim for getting the best possible publications. Dia menyuruh aku berhenti dulu menulis. Dia tahu aku akan mempunyai banyak masa. Beberapa hari dulu, aku memberitahu yang permohonan perlanjutan mengaji PhD untuk 6 bulan mungkin diluluskan.

Itu yang menyebabkan dia ada idea lain. Dia kalau boleh mahu aku menambah lagi penyelidikan. Juga mahu menambah soal selidik. Strateginya ialah mahu menghasilkan penyelidikan terbaik untuk dihantar ke jurnal terbaik. Semua ini pasti memerlukan masa.

Strateginya itu selalu membuatkan aku dilanda kacau. Mungkin aku patut ikut Aliph al-Turkistani pergi membuat ziarah!

Friday, 26 November 2010

Opening Soon!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan - yang berada di peringkat akhir penulisan PhD bertanya adakah kebimbangannya itu satu penyakit? Atau, dia juga berada dalam situasi terlebih yakin.

Dalam psikologi, ini bukanlah penyakit. Ia dialami oleh semua orang. Ia dibincangkan dalam konteks optimistik vs. pesimistic dalam hal penyelesaian masalah.

Kita selalu melihat papan tanda "Opening Soon!" di bangunan kedai yang hampir siap. Apakah ini? Mengapa mereka menulis 'soon' sedangkan mereka tidak tahu bila ia akan siap sepenuhnya. Inilah yang dikatakan optimistik. Andaian akan siap diramalkan berdasarkan progres yang berlaku sekarang.

Dalam konteks seperti ini, manusia biasanya cenderung untuk mengabaikan kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi yang menyebabkan berlaku kelewatan. Mereka mungkin mengabaikan faktor cuaca yang menyebabkan kedai tidak dapat dibuka seperti dijangkakan. Banyak projek pembinaan rumah - yang walaupun telah ditulis 'soon' - akhirnya menjadi projek terbengkalai.

Banyak pengkaji PhD ada kecenderungan ini. Kami selalunya meletakkan sasaran - dengan andaian semuanya akan berlaku dengan sempurna. Kami selalu mengabaikan kemungkinan akan sakit, atau penyelia tiba-tiba melancong ke luar negara menyebabkan banyak proses tergendala.
Kami juga seolah-olah terlupa bahawa kajian makmal sering tidak menghasilkan apa-apa, atau analisis akan berdepan hal kucar kacir.

Apakah yang telah dijadikan petunjuk untuk meramal masa depan? Sebenarnya kita hanya menggunakan petunjuk berdasarkan apa yang ada sekarang. Misalnya, apabila kerja kita hari ini semuanya berjalan lancar, kita meramalkan pada masa hadapan semuanya akan berjalan sempurna. Sedangkan hakikat sebaliknya mungkin boleh terjadi. Kita meramalkan Barcelona akan menang bola dalam perlawanan berikutnya berdasarkan kemenangan sekarang. Hakikatnya, Barcelona juga boleh kalah apabila berlawan dengan kelab kecil, Hercules yang baru dipromosikan ke La Liga.

Bagi sesetengah orang - walaupun mereka optimis terhadap apa yang bakal berlaku, tetapi pada masa yang sama memasukkan unsur-unsur pesimistik dalam jangkaan depan mereka. Unsur-unsur pesimitik ini, diharapkan menjadikan ramalan lebih tepat. Ia telah mengambil kira kemungkinan lain. Misalnya, walaupun kita yakin akan siap PhD pada tempoh masa yang ditetapkan, kita juga memasukkan kemungkinan lain yang akan berlaku. Ini menyebabkan sasaran kita dipanjangkan sedikit.

Ada pula orang, dalam meletakkan jangkaan, sudah mengaku kalah sejak awal lagi. Mereka ini ialah orang pesimistik dengan masa depan. Mereka tidak melihat akan berlakunya kejayaan pada masa depan.

Siapakah manusia yang terlebih baik. Banyak kajian dalam hal ini. Tetapi hari ini aku berasa pesimitik untuk menulis hal ini.

Mengapa kawan aku bimbang? Dia telah meramal masa depannya secara optimistik, tetapi pada masa yang sama telah memasukkan unsur-unsur kemungkinan negatif di dalamnya. Dia meramal akan siap dengan sempurna, dan akan lulus dengan cemerlang. Tetapi dia juga telah memasukkan kebarangkalian lain mungkin terjadi.

Nota untuk penyelidik - kajian bagi hal ini banyak dijalankan oleh Kahneman & Tversky.

Thursday, 25 November 2010

Inilah bisnis putar alam

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda tentu telah membaca berita muka depan Utusan Malaysia berkaitan 13 orang yang ditahan kerana menyeleweng diesel bersubsidi.

Aku ingin menceritakan hal diesel, tetapi ia diesel yang lain.

Tahun 2006, seorang kawan baik aku - seorang pesara tentera telah mengajak aku ke satu hotel di Ampang - kerana katanya ada orang mengajaknya melakukan bisnis diesel. Diesel ini kononnya diambil dari lebihan kapal dagang dari tengah laut.

Tugas aku bukanlah untuk berniaga diesel. Kawan aku kata, kerana aku orang psikologi - aku patut membantunya memberikan penilaian aku terhadap perbincangan yang diadakan itu, sama ada benar atau palsu.

Sesampai di hotel jam 8 malam, sudah ada beberapa orang di sana. Aku tidak begitu ingat jumlahnya. Mungkin lebih 10 orang. Ada juga seorang dua tauke Cina. Juga beberapa orang lain, sepertinya orang yang ada wang. Tidak pastilah mereka ini benar-benar ada wang, atau hanya berlakon sahaja. Dunia bisnis selalunya penuh dengan muslihat dan penyamaran.

Aku duduk di celah-celah mereka. Sambil menyedut beberapa batang rokok. Tetapi, aku tidak bercakap dengan mereka, kerana aku tahu, aku tidak ada wang berjuta-juta seperti yang mereka bincangkan itu. Aku hanya memerhatikan mereka bercakap. Aku memerhatikan bibir dan mata mereka.

Dari apa yang aku dengar, untung dari pembelian dan penjualan diesel ini hanya beberapa sen sahaja per liter. Tetapi memandangkan ia melibatkan jumlah yang besar, maka setiap orang mungkin akan mendapat ratusan ribu ringgit. Takut aku mendengarnya.


Lebih kurang pukul 11 malam, mesyuarat berakhir. Kawan aku bertanya pandangan aku.

Aku membuat kesimpulan yang mudah - semua ini karut. Semua ini hanya bisnis putar alam untuk mengaut wang orang lain.

Aku berhujah bahawa bisnis minyak ini antara yang paling tua dalam dunia. Jarang ada orang yang rugi kerana bisnis minyak. Jadi - kalaulah benarlah peluang bisnis diesel ini wujud - mengapa perlu diajak orang lain, apatah orang kecil seperti kawan aku. Semua orang yang sudah berniaga dalam sektor ini tentu tidak akan melepaskannya kepada orang lain.

Lebih mencurigakan aku apabila setiap yang ingin terlibat perlu mengeluarkan modal. Adakah tauke-tauke dan pelobi bisnis ini tidak ada wang?

Kalau juga bisnis diesel ini untungnya besar, bukanlah manusia yang tidak tahu apa-apa pasal minyak pula yang diajak berniaga. Dalam Malaysia - kita ada berpuluh-puluh syarikat minyak. Mereka inilah yang akan berniaga. Mengapa diajak bekas tentera seperti kawan aku berkongsi modal. Kerana bisnis minyak ini bernilai jutaan ringgit, apalah sangat modal beberapa puluh ribu. Ia ibarat mencurah tahi telinga ke dalam tandas sahaja.

Tapi - inilah helah manusia untuk hidup. Inilah helah untuk memerangkap orang lain. Mereka memberitahu kita berita indah dahulu. Inilah helah kaki sebelah pintu seperti yang aku tulis dulu. Mereka menjanjikan memberikan paha, sebab itu mereka minta kita korbankan sedikit dengan sebatang jari.

Kawan aku bersetuju. Dia tidak menjerumuskan dirinya untuk menjadi manusia yang kaya lebih awal.

Lama sesudah itu - aku terfikir hal lain pula. Aku terasa bisnis diesel ini mungkin wujud. Tetapi ia bukanlah dari lebihan kapal dagang seperti yang dikatakan itu. Ia mungkin dari sumber diesel bersubsidi ini. Ia boleh jadi. Aku tidak tahu.

Aku juga tidak tahu apa kesudahan bisnis putar alam itu. Aku tidak pernah kenal mereka, dan tidak akan berhasrat untuk kenal mereka.

Kalau anda juga - diajak berniaga berlian atau intan, atau mutiara - yang kononnya menjadikan anda kaya lebih cepat, berhati-hatilah. Kalau ia perniagaan yang akan menjadikan seseorang itu kaya lebih cepat, mereka tidak perlu mengajak anda. Mereka sendiri akan melakukannya. Siapakah manusia yang bodoh untuk berkongsi kekayaan dengan anda?

Anda mahu menulis?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini entry aku yang ke 609. Aku tidak tahu berapa banyak lagi tulisan aku yang akan muncul. Kalau boleh, semua perkara dalam dunia ini aku cuba tulis. Tetapi, nampaknya ia hal mustahil. Aku juga mungkin akan lama lagi di bumi Adelaide ini. Kian hari, kian membosankan. Kian hari, kian tidak membahagiakan.

Apa lagi yang patut aku tulis. Aku kalau boleh - ingin menjemput orang lain yang menulis di blog ini. Menulis hal psikologi. Misalnya, 'apa yang anda faham dengan perasaan anda?. Setiap hari, perasaan kita berubah. Ada waktunya, ia gembira. Dalam beberapa minit kemudian ia berubah menjadi sedih. Adakalanya takut. Pada saat yang lain, ia tiba-tiba terasa tenang. Mengapa perasaan kita boleh jadi seperti itu.

Siapa yang mahu menulis bab perasaan? Ceritakan perasaan anda sepanjang sebulan atau beberapa hari ini. Ia mungkin terkait dengan beberapa peristiwa lain. Itu sahaja.

Nnati kita cuba lihat apa sebenarnya persamaan atau perbezaan perasaan manusia. Adakah perasaan ini wujud disebabkan dorongan luar (misalnya tekanan, putus hubungan), atau sememangnya itulah perasaan kita. Ia akan turun naik setiap hari.

Ada berani?

Nanti selepas itu kita kuliahkan bab perasaan atau feeling.

Wednesday, 24 November 2010

Apa sudah jadi dengan PKR

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seseorang bertanya aku, apa sudah jadi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

Sebagai orang tidak berparti - aku tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Parti yang tertubuh sejak era reformasi lewat tahun 1990-an, yang kelihatannya begitu menonjol dalam pilihanraya 2008, kini kelihatan sebaliknya. Ia seolah-olah sedang ditimpa badai dengan satu demi satu cerita yang tak kunjung padam. Cerita lompat parti beberapa ahli dewan undangannya di Perak - menutup terus harapan Pakatan Rakyat memerintah di negeri itu.

Ia kemudiannya disusuli pula dengan beberapa orang kanan parti - yang kebanyakan ahli parlimen, bertukar haluan menjadi ahli politik bebas. Yang terbaru, salah seorang pemimpin kanannya, Datuk Zaid Ibrahim keluar dari parti yang baru disertainya. Ia keluar dengan beberapa kenyataan akhbar yang sedikit sebanyak menjejaskan reputasi PKR.

Apa sebenarnya yang berlaku. Kita tidak tahu. Kita juga tidak perlu ambil tahu.

Sebenarnya, itulah hakikat yang perlu dilalui oleh hampir semua organisasi yang ada di dunia ini. Proses ini sebahagian dari sifat organisasi sebelum mencapai kestabilannya.

Dalam psikologi - Kurt Lewin adalah orang yang banyak bercakap hal ini. Dikatakan setiap organisasi akan melalui proses unfreeze-->change--->freeze. Keadaan yang tidak stabil itu diperlukan bagi membolehkan perubahan atau penstrukturan dilakukan. Lama kelamaan, sebagai satu proses, ia akan menyebabkan sesebuah organisasi stabil (freeze).

Sebab itu - dalam organisasi moden hari ini - penstrukturan syarikat sering dilakukan. Dalam keadaan yang stabil, tiba-tiba kita dikejutkan dengan pertukaran pegawai kanan, atau pengurangan pekerja. Apa sebabnya?

Kadangkala, ia bukan disebabkan kegagalan organisasi. Ia dilakukan bagi membolehkan organisasi lebih cekap, dengan idea baru. Sebelum ini dalam keadaan yang stabil, semua orang sudah berada dalam zon selesa. Orang tidak mahu berusaha lebih kuat lagi. Dengan membuat sedikit kejutan (unfreeze) - ia akan menyebabkan organisasi berubah dengan lebih cekap.

Bagaimana dengan PKR?

PAS dan UMNO mungkin tidak bakal menjadi parti utama kalau ia tidak melalui proses ini. Ada yang presiden partinya keluar dan menubuhkan parti lain. Ada pula yang terpaksa berhenti di tengah jalan. Semua ini, menjadikan parti kian kuat. Bagaimana pun, dalam masa panjang, kedua-dua parti ini perlu melakukan kejutan agar ia tidak selalu berasa selesa.

Begitu juga PKR. Begitu juga kehidupan kita sebenarnya. Kita tidak boleh selamanya beku. Perlu dicairkan dengan kejutan tertentu.

Update PhD - versi hujung tahun II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kajian aku yang terakhir - yang ke 7 sedang berjalan. Aku harap tidak ada lagi kutipan data selepas ini. Banyak masa yang telah digunakan. Wang juga tentunya tidak sedikit. Begitulah mungkin sedikit sebanyak cerita panjang untuk mendapatkan PhD. Kalau satu hari nanti, anda terasa untuk membeli PhD ini - mungkin cerita dari blog ini boleh digunakan untuk menutup rahsia anda itu.

Orang boleh beli PhD? Banyak caranya. Anda boleh menggoogle. Membuat PhD secara online, tanpa tahu di mana lokasi universiti - dan siapa pula penyelianya, itu mungkin sebahagian caranya. Ijazahnya pula boleh dikeluarkan oleh mana-mana universiti. Kalau orang pun boleh dijual beli, apa sangat dengan sekeping ijazah PhD.

Pagi tadi, aku membuka email. Satu kertas aku yang dihantar ke satu jurnal, sudah siap dibaca. Aku ingat, dalam sehari dua ini aku akan tahu keputusannya. Aku tidak lagi mengharapkan apa-apa. Kalau diterima, aku bersyukur. Kalau ditolak, ia sebahagian dari kehidupan orang yang sedang belajar seperti aku.

Untuk anda yang mungkin tidak perlu menulis jurnal, yang tidak ada kena mengena dengan pekerjaan atau kehidupan anda, tidak perlulah menulis jurnal. Ia memakan masa, dan menuntut kekuatan emosi yang tinggi.

Tapi, kalau anda orang awam - yang sesekali terasa ingin menulis sesuatu yang anda rasa ada manfaatnya, ia sesuatu yang sangat baik. Menulis jurnal tidak semestinya anda perlu berkerja di universiti. Asalkan anda tahu sedikit sebanyak hal metodologi, statistik dan latar teori - atau dalam kata lain, anda berjiwa penyelidik - tetapi berada di luar universiti - mungkin sesekali boleh mencuba.

Setiap kali menghantar makalah - kertas kita lazimnya akan dinilai oleh 3 orang - editor dan dua orang penilai yang tidak kita kenali. Kecuali editor, dua orang penilai itu juga tidak tahu siapa kita. Adakalanya ada 3 penilai. Ia seperti sistem juri. Jika seorang menolak, dan seorang menerima, maka editor yang akan membuat 'check-mate' di situ. Kalau kedua-duanya menolak, maka berakhirlah cerita jurnal tadi. Boleh mencuba lagi di tempat lain, walaupun biasanya keputusan tidak begitu banyak berubah - sebab kemungkinannya orang yang sama juga akan menilai kertas kita. Dalam satu-satu bidang, biasanya hanya beberapa orang sahaja yang pakar. Mereka ini jugalah akan diminta menilai kertas, walaupun mungkin untuk jurnal yang lain.


*********************************

The history of manuscript number XXXX, submitted to International Journal of Stress Management, is as follows:

Date
Action
11/23/2010
Reviews Returned
10/26/2010
Review Reminder Sent
10/01/2010
Assigned to Action Editor (Glazer)
10/08/2010
Reviews Requested
10/08/2010
Desired Reviewers Identified
09/20/2010
Assigned to Action Editor, Needs Desired Reviewers (VandenBos)
09/13/2010
Manuscript File Created
09/11/2010
Manuscript Submitted

Tuesday, 23 November 2010

Selamat datang ke Dannork!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sebahagian dari berita yang tersiar di Berita Harian hari ini.

********************
Pekerja seks berkahwin lelaki tempatan untuk kesenangan

DANOK, THAILAND: Segelintir lelaki Malaysia yang kemaruk beristeri lebih, dikesan menjadikan pekerja seks dan tukang urut Thailand sebagai sasaran untuk dijadikan isteri mereka sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, kebanyakan lelaki terbabit berkunjung ke sini untuk berfoya-foya di pusat hiburan yang banyak di sini dan berlagak sebagai orang kaya sebelum mengajak pekerja tempat berkenaan berkahwin.

Imam Masjid Fathuislami yang juga Jurunikah Bertauliah selatan Thailand, di sini, Sufian Ismail, berkata kebanyakan wanita terbabit berkahwin semata-mata kerana mahukan kemewahan dan tidak pernah memeluk Islam sepenuh hati.
Bagaimanapun, katanya, apabila menyedari suami mereka itu bukanlah orang kaya dan tidak mampu menampung kos sara hidup mereka, ramai dikalangan wanita terbabit kembali kepada pekerjaan dan agama asal selepas bercerai.

Apabila bercerai, wanita itu kembali kepada agama asal mereka atau murtad serta bekerja semula sebagai pekerja seks. Bekas suami itu juga hanya membiarkan bekas isteri mereka itu murtad, katanya ketika ditemui, di sini.

*************************

Sebenarnya itu adalah realiti kehidupan yang tidak diketahui oleh banyak orang baik. Dannork, ialah pekan kecil di selatan Thailand, sangat dekat dengan rumah aku. Jaraknya sekitar 8 kilometer. Ketika aku kecil - aku selalu sahaja berbasikal dari rumah ke Bukit Kayu Hitam yang letaknya bersebelahan dengan pekan Dannork.

Aku tidak begitu pasti apa maknanya Dannork - mungkin berasal dari patah kata 'darn'' - sempadan, 'nork' - luar. Ia mungkin membawa maksud sempadan luar.

Di pekan kecil itu - rata-rata masyarakatnya boleh berbahasa Melayu. Ia menempatkan deretan kedai yang menjual buah-buahan dan barangan lain. Selain itu - bandar itu hidup kerana ia menempatkan begitu banyak rumah pelacuran. Ia mungkin pelacur kelas bawah sahaja. Tetapi, kalau dibandingkan dengan pelacur di Lorong Haji Taib, pelacur di sini lebih muda. Banyak daripadanya tidak memilih menjadi pelacur. Khabarnya ia dijual oleh keluarga mereka bagi mendapatkan wang.

Kalau kita melalui lorong-lorong di situ - pelacur ini berkeliaran di depan rumah urut dan disko. Bertubuh putih, gebu dan berpakaian seksi seperti orang barat. Itu mungkin sifat pekerjaan mereka. Di celah-celah itu - terdapat sebuah masjid. Ia menggunakan bahasa Siam. Banyak juga kedai makan yang bagus di pekan itu.

Aku tidak begitu pasti sudah berapa kali aku pekan Dannork. Mungkin banyak kali juga. Untuk warga setempat seperti kami - walaupun pasport atau 'border pass' diperlukan, sesekali kami boleh memasuki pekan itu dengan selamat tanpa perlu mempunyai dokumen itu. Kita perlu membayar RM5 kepada pegawai imigresen Thailand, dan memberitahu mereka kita cuma ke pekan itu. Lebih mudah, kalau kita berbahasa Siam.

Banyak anak-anak muda di kampung aku - membesar dengan cara hidup dan angin budaya Dannork. Banyak daripada mereka lebih memuja kumpulan rock Carabao, berbanding dengan kumpulan rock tempatan. Gaya berpakaian pun sepertinya mengikut rentak orang Thailand.

Ada di antaranya yang hidup dan matinya di pekan itu. Mereka menoreh getah sehari dua, atau berburuh beberapa hari dan kemudiannya melangkah sempadan bermalam beberapa hari di sana. Ada yang pergi pagi pulang malam. Besok pagi pergi lagi. Ada yang hidup terus di sana, menunggu kalau-kalau ada sesiapa yang bakal menaja mereka semalam dua. Dalam bahasa Siam - kita menyebut hal ini sebagai 'liang'. Ia sudah menjadi budaya bagi kebanyakan anak muda pinggir sempadan. Wang mereka banyak dihabiskan untuk mendapatkan berahi wanita seks di pekan Dannork itu. Ada yang baru sahaja berusia belasan tahun - 15 tahun atau 16 tahun, mungkin ada yang lebih muda lagi sudah mengenal selok belok rahsia wanita dari pekan kecil itu, tatkala teman mereka yang lain sedang sibuk menghafal sifir di sekolah.

Selain wanita, ada di antaranya yang menghabiskan hidup di situ dengan meneguk arak '
Mekhong', pil kuda, ganja dan bermacam-macam lagi.

Dannork bukan pekan untuk anda menyampaikan khutbah. Ia pekan untuk anda menghidupi alam muda serba menyeronokkan.

Ramai di antara anak-anak muda ini - yang kemudiannya jatuh hati dengan gadis pelacur ini. Mereka berkahwin. Satu hal yang baik - mereka membawa keluar pekerja seks ini ke dunia nyata. Yang tidak Islam, menjadi manusia baru yang baik. Mereka ini mampu mengislamkan orang bukan Islam.

Bagaimana pun, banyaknya yang gagal. Gagal bukan kerana wanita bekas rumah urut itu tidak mahu menghidupi kehidupan normal. Gagal kerana suami - yang bukanlah seorang baik-baik - yang hidupnya tidak banyak berkira hal hukum hakam - seorang pelanggan seks tegar, gagal memandu kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka. Mereka tidak boleh mengajar isteri saudara baru bersembahyang. Ada yang tidak tahu bagaimana caranya mandi wajib. Ada yang tidak ambil 'port' hal puasa dan keagamaan yang lain.

Apa yang hendak kita katakan? Mereka bukan orang alim. Mereka manusia yang jiwa kacau. Lelaki yang hidupnya bertemankan gadis yang menawarkan cinta yang berbayar.

Takdir mereka - pelanggan seks, kemudiannya menghawini wanita yang hidupnya memenuhi berahi nafsu manusia. Tetapi tentulah kehidupan akan lebih baik kalau mereka sedikit berubah. Tidak mengapalah kalau ditakdirkan mereka mengahwini wanita itu. Ia lebih baik dari mereka melangganinya. Ada hal halal dan haram dalam dua perkara itu. Buku lama sepatutnya ditutup, buku baru patut dibuka.

Ada beberapa orang - wanita dari rumah seks ini yang aku lihat menjadi manusia suci, lebih murni dari suaminya orang tempatan. Mereka ini bertudung menutup aurat. Ada yang mencari jiran-jiran untuk mengajari mereka hal agama. Ada yang kematian suami - tetapi tetap terus hidup di kampung kami sebagai manusia Muslim yang baik. Ada dua orang seperti ini di kampung aku. Mereka seolah-olahnya menjadi manusia baru. Tabik untuk mereka.

Cuma sayangnya - ada yang suaminya tetap terus mengunjungi Dannork dan mencari perempuan lain. Mereka tetap menjadi manusia lama yang jauh dari agama. Akhirnya, isteri mereka lebih terdorong untuk terus hidup dengan budaya dan kepercayaan lama, walaupun hakikatnya mereka sudah diIslamkan. Ada yang melarikan diri dan kembali ke tanah air mereka. Tidak pastilah sama ada mereka kembali ke agama asal atau tidak.

Ada pula yang dihinggap wabak HIV.


Ini hal yang sedikit malang.

Selamat datang ke Dannork. Kota syurga yang membawa ke pintu neraka!

Monday, 22 November 2010

Siapa yang mampu meramal hidup?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Musim panas sudah tiba. Suhu sejuk tiba-tiba menjadi panas. Inilah keadaan di negara 4 musim. Sesuatu yang aku tidak pernah bayangkan ketika aku masih kecil. Sama seperti tidak pernah aku impikan untuk singgah di Adelaide. Kini, sudah 3 tahun lebih aku di sini. Bagaimana dengan tahun-tahun mendatang? Tidak siapa yang bakal tahu apa yang bakal terjadi dalam hidup kita. Kita hanya menulis mimpi dalam kotak fikir kita.

Sebelum aku ke sini - aku memohon beberapa buah universiti. Banyaknya di UK. Aku tidak ambil tahu pun sama ada ia universiti besar atau kecil. Antara yang aku ingat ialah Sheffield University. Tetapi ia sepertinya banyak kerenah. Ia universiti yang baik dalam bidang aku. Aku juga memohon di Leeds. Tetapi ditolak. Antara yang menerima aku ialah University Manchester. Masalah lain pula timbul. Tiba-tiba penaja sepertinya tidak lagi membenarkan kami ke UK. Juga beberapa buah universiti besar di New Zealand. Tetapi banyak yang menolak. Maka pilihan yang aku ada ialah di Australian National University dan University of South Australia.

Mengapa aku ke sini? Sebenarnya selisih masa 3 hari yang membawa aku ke sini. Aku menerima tawaran dari universiti ini cepat 3 hari dari universiti yang satu lagi. Itu sahaja yang menyebabkan aku sampai ke sini. Sebelum itu juga, supervisor aku (waktu itu belum) mengirimkan aku beberapa artikel untuk aku baca. Jadi aku anggap beliau orang baik yang boleh dibawa berbincang. Setelah 3 tahun di sini, memang sangkaan aku benar. Beliau orang baik.

Itulah kehidupan. Masa berlalu begitu pantas setiap hari. Sehebat mana pun kita, siapa pun kita - tidak ada seorang pun tahu apa yang bakal berlaku dalam kehidupan depan kita.

Orang sangka dengan ada PhD bakal menjadikan manusia itu bijak dan dihormati. Belum tentu lagi. Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi dalam kehidupan kita. Siapa yang mampu meramal kehidupan? Tidak ada. Kita hanya berharap sahaja. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Ulangtahun ke-11

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Malam semalam, isteri aku tanya: mana hadiah? Aku tanya: hadiah apa pula? Dia tanya balik: Tau tak ini hari apa? Aku bertanya balik: Hari apa pula?

Baru aku tahu yang aku kian tua untuk mengingat banyak perkara penting dalam hidup.

Rupanya kelmarin genaplah 11 tahun perkahwinan aku. Aku terasa baru beberapa hari dulu. Semasa hari perkahwinan, rombongan aku bertolak dari Changlun ke Pantai Remis, di Perak. Perjalanan yang agak jauh. Melewati lebuhraya. Melalui jalan berliku ladang kelapa sawit sebaik sahaja memasuki jalan susur tol Changkat Jering. Berjumpa dengan 3 pekan kecil dan bangunan kayu lama.

Dalam setengah jam lagi ke rumah pengantin - baru aku teringat, aku tidak memakai stokin. Baju Melayu juga tidak berbutang. Maklumlah, ini perkahwinan pertama aku. Aku berjanji, kalau aku diberi peluang mempunyai satu lagi isteri - aku pasti tidak mengulangi kesilapan kecil itu!

Kalau orang bertanya aku - apa maknanya perkahwinan, aku hanya boleh menjawab dengan cara yang mudah. Perkahwinan itu tidak akan sama dengan alam percintaan. Perkahwinan ialah hakikat sebuah kehidupan.

Friday, 19 November 2010

Jangan biarkan bunga dipetik orang

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sekarang ini - tentu banyak majlis kenduri kahwin sedang berjalan.

Apakah yang telah menyebabkan seseorang bersetuju untuk dikahwini seseorang?

Beberapa lama dulu, aku menulis hal mengapa orang menyukai orang lain.

Perkahwinan dalam dunia kita kini, tidak lagi ditentukan orang tua. Biasanya kita memilih sendiri pasangan yang kita suka. Kerana memilih pasangan yang kita suka juga, ada orang yang akhirnya tidak mampu membuat pilihan - sama ada terlalu banyak pilihan, atau tidak ada sesuatu pun untuk dipilih - maka akhirnya membujang sampai ke tua.

Bagaimana seseorang memulakan ayat untuk menyatakan hasratnya kepada orang yang dia suka? Banyak orang ada pengalaman sendiri. Aku ketika muda dulu - menyatakan hasrat kepada seorang gadis di satu pasar malam. Ia berlaku di Bandar Baru Bangi. Aku pun tidak tahu apa yang aku buat itu betul atau tidak. Aku pun tidak begitu pasti sama ada pernyataan aku itu menyebabkan ia bakal ditolak begitu sahaja, yang menyebabkan aku akan malu untuk beberapa hari. Juga mungkin ia akan diterima menyebabkan harapan ku itu menjadi kenyataan.

Itulah risiko apabila anda menyatakan hasrat kepada seseorang. Ia sama ada anda akan malu untuk beberapa hari. Mungkin juga anda tidak memiliki orang itu.

Tetapi, ada pula harapan di situ. Anda mungkin mendapatkan seseorang yang anda idamkan. Mana anda tahu orang itu sebenarnya memang menyukai anda juga. Dia juga
mungkin seperti anda, memendam rasa menyimpan malu.

Apa pula risiko kalau anda diam dan tidak menyatakan apa-apa?

Anda tidak berdepan dengan risiko malu. Tidak ada sesiapa pun yang akan tahu. Tetapi ada risiko lain yang lebih besar daripada malu - anda tidak akan memilikinya sama sekali. Anda akan berasa sayu bila mendapat tahu orang yang anda bayangkan dalam mimpi anda itu - sudah dipinang orang. Aku tahu hal ini, tetapi aku tidak berhasrat menceritakannya.

Jadi - kepada anak muda - yang sudah ada wang, ada pekerjaan - dan berasa ingin berkahwin dengan seseorang yang anda hajati - lebih baik nyatakan sahaja hasrat anda untuk berkawan. Sekalipun anda akan ditolak - jangan bimbang, malu akan hilang setelah beberapa hari. Tetapi sekurang-kurangnya anda sudah melakukan satu usaha yang baik. Untung-untung anda diterima. Ditolak atau diterima bukan kerja anda.

Lebih baik malu beberapa hari dari menanggung kesal dalam tempoh yang lebih panjang.

Ingat - ini hanya relevan untuk orang bujang sahaja. Jangan menyatakan hasrat kepada tunangan atau isteri orang.

Isunya sekarang - siapa yang patut bermula dulu - lelaki atau perempuan?

Dalam dunia sekarang - orang tidak lagi peduli sesiapa yang memulakan dulu. Orang sudah tidak layan lagi dengan pepatah perigi mencari timba. Malah orang tidak tahu pun pepatah itu wujud.

Jadi mulakan langkah anda sekarang! Jangan ditunggu hingga bunga dipetik orang, atau kumbang mati di jalan.

Kalau berjaya, jangan juga lupa mengirimkan email menjemput aku makan kenduri!


Wednesday, 17 November 2010

Edisi cerita orang kahwin

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Musim cuti sekolah bakal tiba. Ia musim kenduri kahwin. Ia musim pesta.

Bagaimana pun, ada banyak hal berkaitan kenduri kahwin yang kini sudah luput ditelan masa. Bagi mereka yang lahir tahun 1990-an, aku pasti mereka tidak sempat melihat banyak perkara indah dalam pesta kenduri kahwin masyarakat kita. Begitu juga yang lahir di bandar. Kenduri kahwin hari ini tidak ubah seperti singgah makan di kedai, sambil tangan kita berkira-kira berapa banyak wang patut dihulur.

Kampung aku mungkin antara kampung yang masih tidak menggunakan khidmat 'catering'. Proses menyediakan kenduri kahwin masih dikawal sepenuhnya oleh budaya gotong royong. Bagaimana pun, kini banyak 'proses' yang hilang.

Sekitar 1990-an, masih ada di kampung kami dua 'balai' makan setiap kali kenduri kahwin. Balai ini saiznya agak besar. Ia seperti rumah kayu di zaman silam, tertegak di atas 6 batang tiang. Lantainya dibina dari papan, setinggi aras lutut. Ia berbumbung, tetapi tidak berdinding. Setiap kali kenduri kahwin, tetamu perlu naik ke atas balai itu untuk makan bersila. Tetamu lelaki dan wanita akan duduk di balai yang berasingan.

Ketika aku kahwin tahun 1999 - cuma tinggal satu balai sahaja lagi. Tempat makan sudah berganti dengan khemah moden. Tidak ada lagi duduk bersila. Ia bertukar dengan kerusi dan meja makan.

Sekarang ini - balai ini sudah pupus sepenuhnya. Tidak ada lagi kerja berat mengangkut semua tiang, lantai dan bumbung balai. Ia semakin mudah, tetapi keindahan makan bersila sudah tiada.

Proses mendirikan balai ini biasanya 2 atau 3 hari sebelum hari kenduri bermula. Dahulu, kami mengangkut semua kayu, tiang dan bumbung ini ke rumah kenduri secara berjalan kaki dari stor yang terletak di sebuah madrasah. Kalau rumah kenduri ini jaraknya 1 kilometer, bermakna kami akan berjalan sejauh 1 kilometer juga. Berulang alik mengangkut semua peralatan ini beberapa kali.

Antara yang paling berat ialah lantai kayu. Entah kayu apa dan sejak bila ia ujud. Keras lagi berat.

Balai akan dibubarkan sehari setelah majlis kenduri selesai.

Walaupun bersifat gotong royong - tetapi kehadiran sejak proses mendiri balai, hari kenduri dan memunggah (membubar) balai adalah wajib. Ada seorang ketua yang mengambil kedatangan. Setiap keluarga mesti menghantar seorang ahli. Mereka yang tidak datang akan didenda sebanyak RM 3. Bagi mengelak denda, kita boleh mengupah orang lain menggantikan pekerjaan kita. RM3 memang sedikit, tetapi hukuman moral itulah yang sangat besar.

Kini lori menjadi pengganti kerja mengangkut. Balai yang berat itu pula tiada lagi. Ia berganti khemah yang lebih cepat dipasang. Bagaimana pun, kehadiran masih tetap wajib. Denda juga tetap ada.

Ketika hari kenduri - setiap orang ada tugasnya. Ada yang kerjanya membancuh air sirap, membasuh pinggan, menjadi bentara, sehinggalah tukang eksklusif sebagai tukang masak. Setiap orang perlu berkerja dari jam 7 pagi hingga 6 petang, tidak kira sama ada tetamu masih ada atau tidak. Ia seolah-olah jabatan di organisasi besar. Setiap 'jabatan' ini pula ada ketuanya, dan ada beberapa orang ahli. Ketua inilah yang akan memberitahu kita itu dan ini. Rokok juga ada dibekalkan untuk setiap jabatan. Biasanya, aku antara orang yang paling gembira hari itu. Itulah harinya aku hisap rokok secara percuma.

Pemodenan memang menyenangkan. Tetapi ia menghilangkan keindahan.

Dahulu, sekitar tahun 80-an, kami masih menggunakan air telaga. Keluarga aku adalah pekerja sektor penyedia air sirap. Sepatutnya abang aku, tetapi selalunya dia hilang. Jadi, aku yang mengganti kerjanya itu. Air diambil dari telaga tertentu. Ia kemudian diisi dalam sebuah tong besar. Ia perlu dibawa ke rumah kenduri. Kalau jarak rumah kenduri jauh, ia menjadi satu pekerjaan yang berat. Apa pun berlaku, air minuman tidak boleh terputus. Begitu juga air membasuh pinggan mangkuk.

Paip datang bukan sekadar mencuci banyak perkara, ia turut mencuci semangat kerjasama. Tidak ada lagi air telaga. Telaga juga mungkin sudah tidak ada. Sebab itu banyak anak remaja kini tidak tahu bagaimana hendak mencedok air dari telaga. Mereka terasa pelik dan aneh. Di rumah aku masih ada lagi telaga. Boleh jadi bahan kajian sejarah.

Beberapa hari sebelum kenduri - ada seorang tua yang datang bermesyurat di rumah. Dialah yang menjadi 'estimator' bahan-bahan keperluan masakan. Dia perlu tahu berapa jumlah jemputan. Jadi dia tahu apa yang akan dimasak. Biasanya, sekurang-kurangnya perlu ada 3 lauk pada setiap majlis kenduri. Beberapa tahun lalu, beliau meninggal dunia. Aku tidak pasti siapa yang bertugas sebagai estimator sekarang ini.

Di kampung - banyak benda yang masih percuma. Kami mendapatkan rebung atau umbut pucuk pisang dari hutan. Dulu, semasa aku masih budak kampung - rajin juga aku dengan kerja ini. Kayu api juga didapatkan dari kebun getah atau batang kayu dari hutan. Kalau kita tidak boleh ambil sendiri, kita boleh meminta tolong orang lain.

Itulah hebatnya kampung aku. Sampai sekarang pun, gulai daging kawah dengan umbut pisang itu antara resipi yang hebat di kampung aku. Sesekali ada juga ikan talang masak kari. Sup perut dicicah dengan air asam juga ada. Rombongan pengantin dari kampung isteri aku masih lagi bercerita lagi hal masakan ini. Sebab itu, orang yang berkahwin dengan anak dara kampung aku selalu bercita-cita ingin berkahwin lagi. Mereka inginkan gulai daging dan umbut pisang hutan itu!

Tuan rumah biasanya tidak perlu membuat apa-apa sepanjang hari kenduri. Tidak juga perlu membasah tangan membasuh kawah dan kuali. Dia hanya perlu bersalam dan melayan tetamu. Semua pekerja adalah orang kampung. Sesekali, mungkin ada orang luar datang bersalam dengan sekeping sampul surat. Orang kampung aku pasti tidak menghulur sampul. Ia bukan budaya kami.

Tidak ada juga majlis sanding di kampung kami. Kalau ada pun, mungkin sangat ringkas. Tidak ada perhiasan indah dalam bab itu. Persandingan semacam hal yang pelik.

Malam setelah hari kenduri - antara malam yang paling meriah. Tahun 80-an, anak-anak muda akan berkumpul. Ada yang membuka daun pakau. Ada yang menonton video gusti Hulk Hogan. Waktu itu jangankan blu-ray, vcd pun belum wujud lagi. Larut malam kami budak-budak akan dihalau pulang. Mereka akan membuka tayangan lain. Jangan ditanya cerita apa. Ia cerita orang dewasa.

Sekarang ini - aku pasti tidak ada lagi tayangan seperti itu. Semua orang sudah ada tv. Boleh download dari internet. Cuma kalau ada pun, mereka yang duduk-duduk sambil minum air daun ketum.

Itulah cerita kampung aku. Banyak yang berubah. Tetapi, banyak lagi yang masih kekal.

Aku tidak pasti berapa lama lagi ia akan kekal. Dengan semakin berkurangnya banyak orang tua, dan banyak anak muda yang hidup di bandar, pastinya lama-kelamaan tidak ada sesiapa yang mampu mempertahankannya lagi. Tauke catering pasti akan singgah bertanya khabar.

Waktu itu, pasti tidak ada lagi daging gulai umbut pisang. Semuanya bertukar ayam masak merah dan pajeri nenas. Semuanya bertukar layan diri.

Kalaulah aku...

Update PhD - versi hujung tahun

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ada 4 bulan lagi sebelum tempoh pengajian aku berakhir. Tidaklah dapat aku pastikan sama ada aku akan siap PhD dalam tempoh 4 bulan itu atau tidak. Sepertinya tidak. Awal bulan Disember ini, aku perlu lakukan kutipan data lagi. Ini kali ke-7, mungkin yang terakhir. Patutlah dalam dunia ini ramai sangat yang hendak membeli PhD!

Tadi - aku ke universiti seperti biasa. Seperti biasa juga pagi-pagi lagi aku akan berdiri di depan bilik supervisor aku dan bertanya dia macam-macam. Aku perlu 'push' dia banyak perkara. Aku perlu pastikan dia sudah menyemak 2 kertas yang aku tulis. Aku juga bertanya dia - sudahkah awak mengirimkan email kepada Robert Karasek? Dia kata 'no!". Aku bertanya lagi - bila nak tolong aku menganalisis data? Dia kata - give me a few minutes.

Begitulah kehidupan pelajar tua seperti kami. Rasanya, kami tidak begitu kisah sangat hal berbual dan bertanya dengan penyelia, walaupun bergelar profesor. Sebab utamanya ialah tiada jarak kuasa dan pangkat dalam cara hidup orang barat. Supervisor aku cuma datang naik basikal. Kadangkala aku baik sedikit - kereta aku naik kereta Barina buruk ke universiti. Mereka sebenarnya sudah menjadi sebahagian dari kawan sahaja. Adakalanya mereka membelikan kopi, adakalanya aku pula membeli kopi untuknya.

Bagaimana pun - hal ini jarang boleh berlaku di Malaysia. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin budaya kita. Mungkin juga pelajar kita juga malas. Jadi, kalau diberi muka, nanti akan lebih malas. Aku tidak tahu. Sudah lama aku tinggalkan alam universiti.

Menulis jurnal psikologi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini aku menulis sesuatu yang mungkin tidak relevan bagi kebanyakan pengunjung. Aku menulis ini atas pengalaman aku menulis jurnal - ada yang diterima, ada juga ditolak. Ia mungkin hanya relevan untuk disiplin psikologi sahaja.

Anda ingin menulis manuskrip untuk jurnal psikologi?

Apa isu yang patut anda selesaikan dahulu sebelum ada hasrat menghantar makalah anda.

1. Selidiki dahulu jurnal yang menjadi sasaran. Ada kalanya makalah anda ditolak bukan kerana kualiti, tetapi bidang anda tidak relevan dengan sasaran jurnal. Misalnya anda menulis stres pekerjaan, tetapi dihantar untuk jurnal psikologi perkembangan. Peluang untuk artikel anda ditolak ialah 98%.

2. Lihat juga metodologi penyelidikan anda. Banyak jurnal memberikan keutamaan kepada hal ini. Ada jurnal yang hanya menerima penyelidikan longitudinal, dan tidak sama sekali untuk cross-sectional. Ada pula jurnal yang hanya memberikan keutamaan kepada penyelidikan menggunakan metodologi yang kompleks - diari, penghujahan teori baru atau kaedah multi-level analysis. Jurnal seperti ini biasanya jurnal yang besar dalam bidang psikologi - misalnya
Human Relations.

3. Pastikan anda mempunyai pembolehubah yang mencukupi. Kajian yang hanya mengunakan beberapa pembolehubah mungkin tidak lagi relevan dalam penyelidikan moden. Misalnya hubungan di antara kemurungan (pembolehubah A) dan marah (pembolehubah B). Mengapa mereka menolak? Sebabnya kajian itu tidak menyumbangkan apa-apa pengetahuan baru dalam dunia penyelidikan. Dunia sudah tahu hal itu.

4. Pastikan kelompangan kajian cukup kuat. Misalnya ada dapatan kajian antara A dan B ialah C. Banyak kajian menunjukkan hal ini di negara Barat. Sekiranya anda menggunakan pendekatan yang sama, dengan melakukan kajian yang sama di Barat, besar kemungkinan kertas anda ditolak. Mengapa? Sebabnya orang sudah tahu. Jadi, anda perlu berhujah bahawa sebab itulah anda perlu melakukan kajian di Asia. Dengan alasan bahawa banyak kajian lalu hanya di negara Barat. Sekiranya sudah ada kajian di Asia, anda boleh menggunakan alasan bahawa kajian anda dilakukan di negara Asia yang beragama Islam - sedangkan kajian lain dilakukan di negara Asia yang majoriti penduduknya ialah Kristian atau Buddha.

5. Gunakan analisis statistik yang sedikit kompleks. Dalam disiplin psikologi, analisis seperti t test atau korelasi kini hanya dianggap sebagai analisis sokongan, dan bukan lagi analisis utama. Ia tidak mampu menunjukkan apa-apa yang signifikan. Tetapi pensyarah saya kata ia tidak mengapa? Memang tidak mengapa - tetapi FakirFikir kata ia sudah tidak lagi digunakan dalam banyak kajian moden. Ia hanya analisis sampingan atau analisis pemula sahaja.

6. Kalau boleh, elakkan kajian cross-sectional. Mengapa tidak boleh kajian cross-sectional? Banyak kawan-kawan saya melakukannya. Pensyarah saya juga melakukannya. Dengan adanya software moden hari ini, banyak hal statistik sudah dipermudahkan. Kajian cross sectional terdedah dengan banyak kelemahan - bias diri, type 1 and type 2 error dan banyak lagi. Misalnya hubungan gaya pengajaran guru dan pencapaian pelajar. Dengan kajian cross-sectional, kita dengan mudah berkata gaya pengajaran guru akan membawa kepada pencapaian pelajar yang tertentu. Tetapi mungkin juga pencapaian pelajar itulah yang menyebabkan guru menggunakan gaya yang berbeza. Kajian cross-sectional tidak mampu membuktikannya.

7. Gunakan struktur penulisan yang betul. Saya tidak pandai bahasa Inggeris, bagaimana? Isu utama dalam penulisan bukanlah bahasa apa yang anda gunakan. Isu utama ialah cara anda menulis dengan cara yang tidak betul. Sekalipun anda pandai Bahasa Melayu, tetapi kalau struktur penulisan anda bercampur baur - tidak ada sesiapa pun berminat membacanya. Pengenalan bercampur aduk dengan metodologi, atau tiada kesinambungan di antara satu para dengan para yang lain, atau antara ayat dengan ayat yang lain. Isu bahasa boleh diselesaikan dengan mengupah editor menyemak tatabahasa, atau meminta seseorang menterjemahkan makalah anda. Bagaimana pun, kalau struktur penulisan anda tidak betul - tidak sesiapa mampu menolongnya.

8. Gunakan rujukan terkini. Jangan gunakan rujukan yang terlalu lama - misalnya tahun 1990-an, kecuali bagi hal penjelasan teori yang masyur. Mengapa? Sebab dalam tempoh 10 tahun, banyak hal yang sudah berubah. Dengan menggunakan rujukan lama - kita mungkin sedang mengkaji sesuatu yang sudah dilakukan oleh 100 orang lain selepasnya.

Tuesday, 16 November 2010

Catatan raya tahun ini

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jam 11.15 malam. Aku baru balik dari expedisi raya Aidil Adha tahun 2010.

Sejak dari jam 7.30 pagi - ketika aku mula ke masjid, baru sekarang selesai cerita raya. Di masjid, habis solat dan khutbah, aku terus balik. Di tempat parkir masjid, ada sebuah kereta Lamborghini hitam. Entah siapa pemiliknya.

Hari ini - kami beraya dari satu rumah ke rumah. Setiap rumah memasak satu jenis masakan. Ada 7 rumah termasuk rumah aku. Jadi, kami cuma berpindah dari satu rumah ke satu rumah. Orangnya sama sahaja. Cuma masakan dan rumah yang berbeza. Tidaklah banyak sangat makanan. Tapi perut aku sudah mula tidak mampu mengempis.

Bayangkan sejak pagi - hingga jam 11.15 malam, sudah 7 rumah - berapa banyak air kopi yang sudah aku telan. Banyak batang rokok yang habis. Kerja PhD tidak menjadi hari ini. Raya ini sebahagian pengorbanan.

Cuma raya tetap 'spoil' - tanpa ketupat pulut dan gulai ayam kampung. Kalau aku tinggal di Darwin, pasti isteri aku boleh masakkan ketupat pulut.

Monday, 15 November 2010

Selamat hari raya korban

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semua pembaca yang budiman,

Selamat hari raya korban diucapkan. Pandu cermat dan berhati-hati. Ini hari raya korban, bukan hari korban jalanraya!


Besok - warga Adelaide akan menyambut hari raya. Seperti tahun yang lain, hari raya di sini tidak pernah meriah tanpa ketupat daun palas, dan gulai ayam kampung. Juga tidak ada penyembelihan kerbau. Juga tidak ada emak, ayah dan adik beradik. Tidak ada duit raya.

Yang ada hanya mereka yang senasib dengan aku.

Selamat hari raya.Maaf zahir dan batin.

Sunday, 14 November 2010

Histeria - mengapa berjangkit?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang pembaca Ahmad Khairi mengirimkan emel memintakan aku mengulas hal histeria. Soalan ini mungkin lebih sesuai ditanya kepada ahli psikologi klinikal atau pakar psikitiari. Bagaimana pun, bagi memenuhi permintaan beliau, aku akan cuba menjawabnya secara umum berdasarkan pandangan psikologi. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan bagi hal psikologi yang lain, sila emailkan.

*****************
Salam FakirFikir,

Saya ingin meminta ulasan FakirFikir mengenai topik ini (melalui konteks psikologi) yang kerap jadi laporan di media di Malaysia.
Antara perkara yang boleh dibincangkan:
i) kerap berlaku di sekolah (tempat yg ramai orang berkumpul)
ii) berlaku di siang hari
iii) kerap berlaku kepada perempuan (ada juga lelaki yg terkena)
iv) bermula dengan seorang atau sekumpulan kecil dan merebak kepada lebih ramai
v) berlaku banyak kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam
vi) sembuh atau kurang selepas rawatan tradisional

***********************

I

HISTERIA

Histeria bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi ia ada di seluruh dunia.

Walaupun kita mungkin selalu membayangkan bahawa majoriti wanita akan terkena histeria, hakikatnya banyak kajian awal melibatkan histeria ini adalah golongan lelaki, khususnya tentera yang terlibat dengan Perang Dunia Pertama. Kebanyakan tentera ini mengalami trauma dalam peperangan.

Ia adakalanya berangkai kepada teman-teman mereka yang lain. Kebanyakan mereka, kalau boleh ingin lari dari medan perang. Salah seorang doktor tentera dari Peranchis, Jean-Martin Charcot (1825–1893) - adalah antara salah seorang yang selalu dirujuk apabila bercakap hal histeria. Kemudiannya Joseph Babinski (1857–1932), anak murid kepada doktor Peranchis tadi yang menjadi pelopor pengubatan histeria.

Di India - pada tahun 2001 - berlaku histeria yang besar. Ia melibatkan lebih 397 orang. Ia bermula di Uttar Paradesh. Kemudiannya merebak hingga ke kawasan Delhi Timur. Apa yang orang histeria ini nampak? Mereka kononnya melihat 'monyet jelmaan' yang asalnya dari monyet yang tiba-tiba berubah menjadi manusia monyet. Berita ini telah menjadi tajuk utama akhbar. Ia tidak berlaku di siang hari. Banyak laporan ia berlaku di antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi. Jadi, masa bukan penentu utama kejadian histeria.

Kerana monyet juga sebahagian dari latar dalam kehidupan masyarakat India - tidak pastilah sama ada apa yang mereka nampak itu berkait dengan kehidupan mereka.


Pada Julai 1518, di Strasbourg, Peranchis selama sebulan, orang ramai tiba-tiba menari tanpa henti, dan tanpa rehat setiap hari. Tidak ada sesiapa boleh membayangkan apa yang berlaku. Ia bermula dengan seorang wanita. Kemudiannya merebak kepada 34 orang. Kemudiannya bertambah kepada 400 orang. Beberapa orang telah mati kerana kepenatan dan sakit jantung. Sampai sekarang, punca histeria ini masih menjadi misteri.

Dalam kejadian di India itu - banyak yang diserang histeria itu lelaki dan bukan wanita. Bagaimana pun, secara umumnya gejala histeria ini melibatkan wanita.

II
Histeria dan wanita

Dalam kejadian di sebuah kilang di Melaka, di antara tahun 1977-78, berlaku lebih 40 kali kes 'histeria 'di tempat yang sama, kebanyakannya ialah pekerja yang terlibat dengan pengeluaran. Semuanya ialah pekerja wanita Melayu. Seperti dalam banyak kes, apabila seorang dirasuk histeria, ia kemudiannya merebak kepada orang lain. Bagaimana pun, pekerja yang tidak dirasuk melaporkan bahawa mereka tidak begitu berani mendekati mereka yang dirasuk ini. Kononnya, seolah-olah pesakit ini ada 'kekuatan' yang luar biasa. Kejadian rasuk ini tidak pula terjadi ke atas pekerja wanita kaum Cina dan India.

Dalam pada itu - dilaporkan juga bahawa pekerja wanita di Melaka yang dilanda histeria ini ada masalah disiplin yang lain. Bagaimana pun, mereka tidak dibuang memandangkan pihak majikan menjangkakan masalah itu berlaku tanpa sukarela, memandangkan mereka ini sering dirasuk dan sebagainya.

Temuduga yang dilakukan selepasnya mendapati pesakit ini menyifatkan pengurusan sebagai tidak mementingkan kebajikan pekerja, memberi gaji yang rendah dan bersifat menekan. Ada juga pekerja yang menyatakan bahawa kilang ini tidak 'dibersihkan' dengan makhluk halus dan sebagainya. Malah ada yang menyatakan bahawa pekerja Cina dan India lebih 'kuat' kerana mereka memakan daging babi. Kebanyakan pesakit percaya bahawa terdapat 'semangat' yang menetap di takungan air di kilang tersebut. Inilah yang menjadi punca mereka dirasuk.

Ada juga kejadian lain dilaporkan di sebuah sekolah dan universiti. Kejadian di universiti ini berlaku ke atas atlet sukan yang pada waktu itu sedang giat untuk bertanding.

III

Mengapa orang terdedah dengan histeria?

Ada dua pandangan. Di kalangan pakar perubatan, puncanya mungkin kerana sistem nervous atau sistem saraf. Sebab itulah, di masa silam, pesakit histeria dikenakan kejutan elektrik, atau disuntik dengan ubat tertentu. Di kalangan ahli psikologi, mereka mengaitkan histeria dengan faktor psikologikal.

Bagi tentera yang berperang, trauma perang itu dianggap puncanya. Bagi orang lain, mungkin disebabkan tekanan atau kebimbangan tertentu.

Dalam kes kilang tadi, faktor tekanan itu berpunca dari gaji yang rendah atau pengurusan yang terlalu menekan. Di kalangan pelajar universiti itu pula, ia mungkin berkait dengan acara sukan. Bagi kebanyakan pelajar, ia mungkin berpunca dari tekanan peperiksaan dan sebagainya. Pandangan ini ialah dari perspektif psikologi. Kalau ditanya kepada bomoh atau pakar perubatan tradisional, jawapan lain mungkin diberikan.

Dalam kes di India - ia berlaku di kalangan mereka yang miskin, berpendapatan rendah dan hidup di kawasan padat penduduk. Ada pula kes lain di Barat - beberapa pesakit yang kerap diserang histeria ini bermula dengan alam anak-anak yang tidak membahagiakan, ibu bapa bercerai dan sebagainya.

Kejadian histeria ini boleh berlaku di mana sahaja. Tidak semestinya di tempat yang ramai orang seperti di sekolah atau di tempat kerja. Cuma, apabila ia melibatkan ramai orang, maka ia lebih mudah menjadi bahan berita berbanding kalau ia berlaku kepada seorang individu di rumah. Itu sahaja yang membezakan kes ini.

Dalam masyarakat kita pula, kita percaya remaja wanita yang haid lebih mudah diserang kerana kononnya jin dan makhluk halus suka dengan darah haid. Hakikatnya mungkin berbeza dari perspektif psikologi. Mereka yang haid mungkin berada dalam emosi yang tidak stabil, menyebabkan fikiran mereka lebih mudah terganggu.


IV
Mengapa pula ia berjangkit kepada orang lain? Mengapa hanya Melayu sahaja, dan bukan Cina dan India?

Anda tentu pernah membaca hal contagion effect di laman ini. Kita tentu pernah menghadiri majlis kematian seseorang. Kita bersedih dengan kematian. Tetapi, kebiasaannya kita bukan bersedih kerana kematian. Kita bersedih dan sebak apabila melihat orang lain menitiskan air mata. Kita berasa sayu melihat semua orang dalam keadaan muram. Inilah contagion effect. Punca utama mungkin bukan kematian, tetapi kerana kita sebak melihat orang lain.

Hukum yang sama dikatakan berlaku ke atas pesakit histeria. Orang yang pertama diserang histeria - mungkin mengalami halusinasi tertentu, misalnya melihat makhluk yang menakutkan. Makhluk ini mungkin tidak wujud - cuma sekadar khayalan dalam pemikiran. Ia mungkin kerana mereka sedang tertekan. Hal ini ditambah dengan kepercayaan dalam diri terhadap makhluk halus yang sentiasa wujud dalam diri.
Self fulfilling prophecy ini mempercepatkan lagi proses diserang histeria. Mereka akan nampak makhluk asing lebih dulu dari orang lain kerana mereka telah mempercayainya. Kalau kita mempercayai ada hantu di malam Jumaat, kita akan lebih cepat terkejut melihat lembaga hitam pada malam itu berbanding dengan malam lain.

Contagion effect ini berlaku kerana orang yang melihat pesakit histeria turut panik. Kerana semua orang meraung ketakutan, orang lain tumpang takut sama. Seolah-olah halusinasi orang pertama tadi wujud. Hal ini dipindahkan pula kepada orang lain. Yang tidak dapat diterangkan hanyalah kenapa emosi orang lain dipindahkan pula kepada manusia lain. Kajian mendapati gambaran yang menakutkan oleh pesakit tidak sama di antara seorang dengan orang lain - walaupun mereka semuanya mengalami kerasukan ini.

Dalam kes di India - contagion effect itu dipindahkan melalui berita akhbar dan cakap-cakap orang.

Banyak pula kes histeria ini berlaku ke atas orang yang taraf hidupnya rendah, seperti dalam kes di India dan pekerja kilang tadi. Kebanyakan pekerja wanita atau pelajar sekolah, dalam konteks Malaysia mungkin percaya bahawa diri mereka lemah. Ia adalah hal yang berkaitan budaya. Hasilnya mereka tidak mempunyai kepercayaan diri. Mereka mudah diserang histeria atau terjangkit kerana kurangnya keyakinan diri.

Mengapa hanya orang Melayu? Kajian mendapati bahawa orang Melayu memang mempunyai self esteem yang rendah berbanding dengan bangsa lain. Dalam konteks histeria, ia semakin mudah berlaku kerana kita memang sudah ditanamkan dengan semangat jin dan puaka sejak dari kecil. Kepercayaan inilah yang menyebabkan kita lebih cepat 'dirasuk' berbanding orang lain. Sedangkan hakikatnya, ia mungkin bukan satu kejadian rasukan.

Tetapi dalam budaya kita - istilah histeria ini mungkin masih baru. Kita lebih banyak mengaitkannya dengan 'rasukan hantu' bagi menerangkan fenomena ini.

Mengapa apabila dirawat secara tradisional - pesakit sembuh atau berkurangan?

Sebenarnya ia berkait dengan budaya kita juga. Tergantung dengan apa yang kita yakini, dan dengan siapa kita berubat. Di dunia barat, mereka dirawat oleh doktor - dan penyakit ini hilang juga. Di India, mereka mungkin berubat menggunakan cara mereka. Ia hilang dan sembuh juga.

Dalam konteks kita - kerana kita mengaitkan histeria ini sebagai ada hubung kait dengan semangat mistik - maka kita terlebih dahulu memanggil bomoh untuk merawat. Ia hilang mungkin kerana pesakit percaya bahawa pakar tadi mampu mengawal makhluk dari luar itu. Bagi kita, hilang atau tidak sesuatu penyakit sebenarnya ialah pekerjaan Tuhan.

Itulah sedikit sebanyak pandangan dari perspektif ilmu Barat. Pandangan ini mungkin lain kalau ditanya kepada orang lain, dari perspektif ilmu yang lain.

Semoga ia menjawab pertanyaan pembaca tadi.

Sindrom bawaan budaya

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan bertanya - apakah yang patut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bagi culture bound syndrom. Aku pun tidak tahu apa terjemahan yang tepat untuk istilah ini. Aku katakan mungkin paling hampir ialah sindrom-lekatan-budaya atau juga mungkin sindrom-bawaan-budaya. Aku tidak tahu ia definisi yang tepat atau tidak.

Apakah culture bound syndrom?

Ia adalah syndrom atau penyakit yang khusus bagi satu-satu budaya sahaja. Ia tidak ada dalam budaya orang lain.

Di dalam budaya kita - ada dua hal penyakit yang tidak ada dalam budaya lain. Ia hanya budaya orang Melayu atau Indonesia. Amok dan latah ialah antara dua hal yang orang lain tidak faham. Kes Prebet Adam mengamuk di Chow Kit puluhan dahulu adalah antara tragedi yang paling masyur di negara kita. Terbaru, ada kes amuk yang menyebabkan seorang anak kecil nyaris kehilangan nyawa.

Latah pula bukan hanya berlaku dalam iklan menabung Amanah Saham Bumiputera yang tersiar dalam televisyen ketika aku masih kecil, tetapi latah juga berlaku di mana-mana. Ia hanya milik orang Melayu. Jarang melihat orang Cina atau India melatah.

Berbeza dengan amuk dan latah - amuk ditakuti orang. Ia mungkin menyebabkan pelakunya bertindak agressif dan membunuh orang lain. Latah mungkin lebih kepada hal-hal terkejut - memaki hamun, walaupun mungkin ada juga yang bertindak agresif. Orang yang suka melatah biasanya menjadi bahan mainan orang, tetapi tentu kita tidak berani bermain-main dengan orang yang sedang mengamuk.

Tidak difahami mengapa orang melatah. Orang mengamuk mungkin difahami sebagai sedang memendam marah yang amat sangat, jadi ia diletuskan dalam bentuk amuk terhadap sesiapa sahaja.


NOTA: Memandangkan aku tidak tahu apa lagi perkara yang patut aku tulis, pembaca digalakkan untuk bertanya hal-hal konsep psikologi. Aku akan menjawab sekiranya aku tahu. Bagi hal-hal tertentu, ia juga boleh memberikan peluang untuk aku membaca buku.

Saturday, 13 November 2010

Persidangan psikologi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Anda ada banyak kajian? Boleh join persidangan ini. Ia antara yang bagus. Proses peer reviews yang ketat, sekeras review journal. Boleh cuba sambil makan angin di Australia. Kalau bernasib baik boleh jumpa aku!


CALL FOR SUBMISSIONS NOW OPEN

9th Industrial and Organisational Psychology Conference
23 – 26 June 2011
Brisbane Convention Centre
www.iopconference.com.au

About the Conference

The 9th Industrial and Organisational Psychology Conference will deliver an outstanding program and bring together prominent researchers and psychologists under the banner of ‘Connectivity in a dynamic world – Human connection in a world of rapid change’.

Submissions – Call for Papers closes 1 February 2011

The Conference Organising Committee invites you to contribute to the conference through:

  • Individual Research Papers
  • Posters
  • Symposia
  • Practice-Oriented Forums
  • How to Sessions
  • Doctoral Consortium

Full details and information about online submissions is available on the Conference website: www.iopconference.com.au/submissions

Friday, 12 November 2010

Indahnya hidup tanpa derita

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tajuk ini aku curi dari kulit buku yang sedang dibaca oleh kawan aku, Mala.
(Nota - tulisan ini tidak ada kena mengena dengan buku itu)

Tidaklah pula aku pasti hidup ini akan indah kalau tak ada derita. Adakalanya derita itu lebih indah dari yang kita bayangkan. Bayangkan begini - tatkala kita lulus peperiksaan dengan cemerlang - kita akan ketawa riang untuk beberapa hari. Air mata juga tumpah. Selepas itu kita tidak kisah lagi. Hilang begitu sahaja.

Sebaliknya - kalau kita gagal - sampai ke tua kita mengingatinya. Sampai ke mati ia menjadi pengajaran bermakna dalam hidup kita. Sebab itu - bagi aku - adakalanya derita itu lebih indah.

Orang yang ada kekasih - berpasangan - tidak pun tahu kewujudan kekasihnya. Setelah hilang dan tiada lagi - itulah kekasih yang terus diingati.

Banyak orang ketika hidupnya - hidup senang lenang. Mereka mungkin orang kaya yang ada banyak wang. Mereka tidak tahu pun nilai wang. Mereka boleh membeli apa sahaja.

Orang susah seperti kita (seperti aku) - adakalanya ada beberapa ratus dalam poket sudah cukup banyak. Sampaikan apabila berjalan - beberapa kali memegang poket. Takut wang yang kita ada itu terjatuh atau hilang. Itulah kebahagiaan yang mungkin tidak dimiliki orang yang ada banyak wang.

Hidup dalam derita juga - adakalanya membuatkan kita banyak berdoa. Kita tidak tahu lagi apa yang boleh kita usahakan selain banyak berdoa.

Mungkin sebab itu - apabila melihat gambar seorang anak yatim mencium adiknya yang berjaya dalam peperiksaan - aku terasa itu saat yang paling membahagiakan.Tertumpah air mata aku melihatnya. Mungkin itulah juga kegembiraan emak dan abang aku puluhan tahu dulu bila mendapat tahu aku mendapat 4A 1C dalam Penilaian Darjah 5. Sedangkan, apalah sangat dengan pencapaian seperti itu. Tetapi ia menjadi sesuatu yang bermakna kalau kita ini sangat sukar memilikinya.

Bagi orang yang hidupnya senang - anak jutawan atau orang ternama - sekalipun mereka mendapat 30A - aku tidak merasa apa-apa dengan kejayaan mereka.

Benar - indahnya hidup tanpa derita. Tetapi - hakikatnya - hambarnya hidup tanpa derita! Mungkin itu tajuk buku motivasi aku untuk mereka yang selalu gagal.

Thursday, 11 November 2010

Rasuah dan kita

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kedudukan Malaysia dalam kedudukan Corruption Perceptions Index seperti yang dikeluarkan oleh Transparency International tidaklah begitu baik. Mungkin masih lambat untuk kita setaraf dengan Denmark, New Zealand atau Australia. Lambat juga untuk kita sampai ke tahap Singapura. Semakin dekat pula kita dengan banyak negara Afrika yang lain.

Sebenarnya sejak bila kita diajar untuk pandai rasuah? Atau rasuah itu sebahagian cara hidup kita?

Ketika kita masih kecil - kita akan cuba dimotivasikan dengan ais krim atau gula-gula untuk lebih rajin belajar. Semakin besar sedikit, kita pula cuba merasuah guru dengan cuba berbuat baik dengan harapan akan diberikan soalan 'ramalan' peperiksaan. Di universiti - setiap kali hari terakhir kuliah - kita cuba membodek pensyarah dengan banyak kerja baik atas harapan akan diberikan sedikit isyarat soalan yang akan keluar.

Walaupun itu bukanlah rasuah dalam erti kata sebenarnya, tetapi ia adalah bunga-bunga bagaimana kita diajar merasuah atau sedang dirasuah.

Budaya kita juga - adalah budaya yang mementingkan perasaan orang lain. Kita juga sebenarnya orang yang baik hati dan sangat mulia.

Sebab itu - setiap kali ditahan polis - kita akan cuba bawa berbincang. Sama ada kita yang memulakan duru isyarat untuk berbincang, atau polis yang memberikan petanda boleh berbincang. Semua ini adalah bersifat perasaan. Kita kalau boleh tidak mahu dikenakan hukuman yang berat, begitu juga pihak yang menguatkuasa undang-undang. Ia sebahagian budaya kita - memahami manusia lain.

Hasilnya - kerana boleh berbincang - kita cuba pula memberikan sedikit saguhati.

Di banyak negara yang index rasuahnya baik - jarang amalan boleh berbincang ini boleh dilakukan. Kalau ditahan polis, tangan kita hanya diminta diletakkan di atas stereng kereta dan diam. Itu sahaja. Jangan melebih-lebihkan pergerakan - atau merayu merintih. Jadi - kita tidak ada banyak peluang berbincang, apatah lagi memberikan tawaran.

Bagaimana pun - tidak dalam budaya kita. Kita boleh berbincang dalam semua perkara. Bagi membolehkan anak masuk asrama penuh - kita mencari kenalan yang boleh melayan kerenah kita. Bagi menyelesaikan hal geran tanah, kita perlu mencari seseorang yang berkerja di pejabat berkaitan. Semuanya ialah kerana budaya kita membenarkan hal sebegitu. Budaya kita adalah budaya berbudi.

Jadi mengapa rasuah?

Puncanya ialah kerana kita perlu tolong menolong. Sebab itu selalu wujud ayat - saya tolong awak, awak tolong saya. Ia berlaku di mana-mana sahaja. Guru menolong murid, kalau pelajarnya membantu guru. Apatah lagi dalam hal politik. Saya memberikan awak sesuatu kalau awak memberikan saya kuasa. Ini bukan sebab kita ingin merasuah - ini budaya kita.

Sebaliknya - kalau awak tidak tolong saya, saya mungkin tidak tolong awak di kemudian hari.

Dunia semakin moden. Istilah tolong menolong ini akhirnya muncul dalam bentuk yang lebih kompleks sifatnya - kita menolong untuk mendapatkan sesuatu - atau melepaskan diri dari jerat hukuman.

Sebenarnya rasuah bukanlah apa-apa. Ia adalah diri kita.

Wednesday, 10 November 2010

Kita bukan mereka anakku

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dua puluh hari lagi, bulan Disember akan menjelang. Bulan Disember ibarat bulan puasa di tempat kita. Ia bulan berpesta. Ia bulan membeli belah.

Bulan Disember juga didatangkan bersama dengan musim panas. Mereka bercuti panjang melancong ke serata dunia. Hari Krismas bakal tiba di bulan Disember. Sekarang ini pun, patung Santa Claus sudah ada di mana-mana. Mereka sudah mula menyambutnya.


Ini juga sebahagian masalah untuk kita. Kita berdepan dengan budaya dominan orang barat yang beragama lain. Kita berdepan dengan pertembungan dua warna yang berbeza.

Sekarang ini, sudah dua hari - apabila anak aku balik dari sekolah - dia mengucapkan aku "Happy Christmas' ayah. Ini bermakna di sekolah ayat itu sudah mula diucapkan sama ada oleh anak-anak orang putih atau guru yang mengajar. Mereka sudah mula meraikannya. Kita tidak boleh menghalang mereka merayakannya. Itu cara mereka. Ini budaya hidup mereka.

Patah kata "Happy Christmas' - mungkin tidak ada nilainya untuk anak kita. Tetapi, bagi kita orang Islam - meraikan atau merasa gembira dengan perayaan agama orang lain banyak risikonya. Ada hal-hal akidah di dalamnya. Untuk anak kecil berusia 5 tahun - ia tidak ada maknanya. Tetapi - umur kecil itulah yang menakutkan. Ia ibarat 'hard disk' kosong yang belum diisi apa-apa.

Yang boleh aku lakukan hanya berkata - kita tidak merayakannya. Kita orang Islam - kita bergembira dengan hari raya, bukan Krismas. Aku pasti - anak berusia 5 tahun tidak faham apa-apa. Besok pagi - hanya dia seorang diri - akan berdepan lagi dengan budaya mereka. Dalam kelasnya mungkin lebih dari 15 orang. Dia seorang yang tidak tahu apa-apa, masih terlalu kecil - pasti akan disurahkan lagi dengan keceriaan Krismas. Pasti akan diminta merasa gembira dengan pesta ini.

Kita tidak mampu menghalang mereka bersuka ria. Ini budaya mereka. Ini negara mereka. Tetapi sukaruntuk kita jelaskan mengapa kita ini berbeza dengan mereka. Kita tidak akan menjadi mereka. Kita hanya hidup di bumi mereka atas sifat sementara.

Sebenarnya bukan hanya isu agama sahaja. Isu makan minum juga hal yang payah. Adakalanya dia diajak makan oleh teman-temannya. Kita tidak tahu apa yang dibawa mereka. Bagaimana pun - dalam hal makan - sedikit sebanyak dia tahu ada yang boleh dimakan, dan ada yang tidak. Sekalipun dia tidak faham konsep halal dan haram. Setiap kali membeli barang - aku akan membaca label ingredient - dan memberitahunya makanan ini boleh dimakan, dan makanan ini tidak. Jadi setiap kali membeli barang - anak aku akan bertanya - boleh makan tak?

Itu antara cerita kehidupan luar negara. Ia tidak berlaku di tempat kita. Kita hidup dalam budaya kita. Kita melihat masjid. Kita melihat orang berkopiah. Melihat orang menyembelih ayam. Mendengar azan di kaca televisyen. Walaupun anak berusia 5 tahun tidak tahu apa-apa - tetapi dia mendengar dan memerhati. Dia mungkin tidak tahu apa itu Islam, tetapi dia tahu kehidupan manusia Islam. Sampai saatnya dia tahu dengan sendirinya makna agama.

Di sini - di setiap simpang akan terserempak dengan gereja. Terserempak dengan orang memegang anjing. Terserempak dengan iklan beer. Sesekali akan terlihat gadis seksi berskirt pendek menampakkan paha putih. Di kaca televisyen akan terlihat iklan 'tahan lama' dengan aksi lucah. Tidak lama lagi lampu Krismas akan menyala. Santa Claus akan menjelma.

Anak kecil berusia 5 tahun - melihat dan memerhati semua itu.

Kau boleh memerhati semua itu anakku. Tetapi kita adalah manusia asing di bumi ini. Sampai bila-bila pun, kita tetap adalah diri kita. Kita hidup dengan cara kita, mereka hidup dengan cara mereka. Sampai saatnya, kau akan faham maksud ayatku ini.

Betulkah dia ada PhD?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Di internet, sekarang ini bising mengenai berita seorang artis ternama sebagai kononnya memiliki ijazah doktor falsafah palsu dari universiti di UK. Kita tidak tahulah sama ada ijazahnya itu tulen atau tidak.

Kalau orang bertanya aku - aku akan katakan untuk mendapatkan PhD itu tidaklah senang. Masalahnya bukan kerana gagal. Masalahnya ialah tidak cukup masa. Itulah masalah utamanya. Ada yang gagal kerana tidak sempat menulis proposal. Gagal bukan kerana tidak pandai. Gagal kerana tidak cukup masa. Ada pula yang sudah menjalankan beberapa siri kajian - baik di makmal atau di lapangan - keputusan yang diperolehi seolahnya sangat janggal. Jadi perlukan kajian lagi untuk menutup kejanggalan atau mencari jawapan kenapa janggal. Masa diambil lagi. Akhirnya selesai di situ. PhD tidak siap juga.

Ada orang yang jam 2 atau 3 pagi masih termenung seorang diri di pejabat. Kalau di Malaysia, mungkin tidak begitu sayu. Banyak kedai mamak untuk melepas lelah. Kalau di bumi asing seperti Australia, UK atau Jerman - tanpa kedai mamak - yang jam 5 petang bandar sudah menjadi sunyi - kehidupan sibuk di pejabat jam 2 atau 3 pagi sangat menyiksakan. Ditambah pula dengan suasana di musim sejuk yang jari kita semuanya terasa kebas. Semua ini menyiksakan. Semua ini tidaklah menggembirakan.

Ada orang yang terpaksa bertempur dengan banyak hal untuk bertemu penyelia. Ada penyelia yang terlalu sibuk. Susah untuk ditemui. Ada yang tidak sibuk, tetapi tidak berminat menyelia. Ada yang selalu bertemu, tetapi dia juga mungkin seperti kita. Ada pula yang bertemu dengan penyelia yang berasa diri seperti Tuhan. Semuanya ingin sempurna. Semua ini cerita balik tabir yang menjadikan PhD kadang-kadang seperti menjolok buah mangga di tepi sarang tebuan. Mangga tidak dapat, sarang tebuan jatuh ke bahu.

Jadi - kalau kita melihat banyak orang memberitahu dia ada PhD - termasuk orang politik - kita ada alasan untuk merasa curiga. Waktu mana dia menyelidik. Waktu mana pula dia menganalisa. Sempatkah dia menulis. Sedangkan setiap hari kita lihat dia berada di atas pentas politik memberi ceramah, sibuk ke sana ke mari, berjalan ke luar negeri dan bermacam lagi. Kita yang terperap sampai jam 4 pagi tidak selesai juga, tetapi mereka ini nampaknya seperti cepat pula menyiapkan tesis.

Atau sememangnya kita ini malas, dan asyik mencari buruk orang lain? Boleh jadi juga. Jadi kalau begitu jangan dengar desas desus itu. Kita memang tidak sebijak orang lain. Kalau anda dengar ada cerita seorang VIP yang mengupah orang menulis tesis PhD, abaikan khabar ini. Kita tidak sebijak orang lain!

Tuesday, 9 November 2010

Sekolah yang satu lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Adelaide ini terkenal dengan 3 buah universiti - University Adelaide, University South Australia dan Flinder University. Tidak ada lagi universiti lain di bumi South Australia ini.

Bagaimana pun, ada satu lagi sekolah yang tidak banyak diketahui oleh orang lain. Ini ialah 'School of Sloater' - sekolah penyembelihan kambing. Apabila kawan aku yang hampir aku lupa mukanya - memberikan komen yang tertulis 'Ex-Lobethal Worker 2008' - itu maknanya dia seorang bekas penyembelih kambing.


Lobethal ialah nama tempat, letaknya di belakang Adelaide Hill. Aku pun tidak begitu pasti bagaimana bentuk ladang dan tempat penyembelihan itu. Aku tidak pernah sampai ke ladang itu. Hanya aku melalui kawasan itu sahaja.

Hanya beberapa kerat orang Melayu pernah berkerja sebagai penyembelih. Walaupun hanya beberapa orang, kerja penyembelihan kambing ini juga satu skill yang lain. Ia tidak diajar di universiti. Tidak ada orang membuat PhD dalam bidang ini. Aku hanya mendengar cerita mereka sahaja, bagaimana kambing ini boleh dijinakkan. Juga bagaimana caranya mereka menyembelih. Sehari bukanlah seekor dua yang disembelih. Ia diukur dengan minit. Mungkin beratus. Nanti aku minta kawan aku emailkan prosesnya. Aku akan menuliskan semula ke blog ini.

Di tempat lain - di Murray Bridge - 100 km dari Adelaide, seorang lagi kawan aku sedang berkerja di ladang penyembelihan. Dia memiliki pisau yang aneh - yang tidak boleh disentuh. Ia sangat tajam - sama tajamnya seperti pisau cukur.

Monday, 8 November 2010

Aku masih duduk di sini

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini hari yang tiada cerita.

Tadi - awal-awal pagi lagi aku ke kedai fotostat. Ada seorang kawan aku yang sudah tamat pengajiannya, meminta aku membawakan contoh kulit tesis PhD ke kedai tersebut. Kawan aku sudah balik Malaysia dua hari yang lalu. Di bakal mendapat doktor di depan namanya.

Hanya aku yang masih duduk di sini.

Sebenarnya banyak kawan-kawan aku yang sudah balik Malaysia. Aku pun tidak tahu berapa orang yang sudah balik. Aku kini sudah menjadi generasi terlanjut duduk di Adelaide ini. Musim bertukar rupa entah berapa kali. Beberapa kali juga aku diserang penyakit urat di musim sejuk. Sekarang musim bunga. Bagi yang tidak tahan akan diserang batuk-batuk. Debunga terbang di sana sini. Tidak lama lagi musim panas akan tiba.

Aku masih duduk di sini. Semakin hari semakin bosan.

Hari ini aku sudah menutup cerita analisis aku menggunakan software Mplus yang tidak pernah aku dengar sebelum ini. Aku menutup cerita kerana setiap aku run program, error dan warning keluar di sana sini. Aku tidak pasti software itu yang tidak betul, atau aku semakin bodoh. Akhirnya, aku dan penyelia aku sama-sama bersetuju kami tutup sahaja cerita software pelik itu. Esok, kami akan memulakan permainan statistik dengan software yang lain pula.

Aku masih duduk di sini. Bermain dengan nasib. Bertarung dengan masa.

Tengahari tadi - aku terasa malas. Aku ke kedai kopi. Aku minum seorang diri di bawah pokok sambil menghisap rokok. Tidak ada kawan di kampus ini. Hanya aku seorang.

Aku malas berfikir hal belajar. Perut pula terasa lapar. Tidak ada apa yang boleh dimakan di negara orang putih ini. Banyak makanannya ada gelatin. Aku ke Foodland membeli sekotak biskut kering - itu sahaja yang boleh aku makan.

Aku masih duduk di sini. Entah bila aku akan balik.

Sunday, 7 November 2010

Waktu berlalu manusia berubah

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak ada cerita hendak ditulis petang ini. Jadi aku tuliskan semula keindahan orang muda. Hidup ketika bujang. Satu masa tanpa tanggungjawab dan mimpi juga tidak kelihatan.

Ini cerita 18 tahun dulu. Umur aku baru 20 tahun. Satu petang itu - tanpa ada apa-apa tujuan, aku dan seorang teman merancang untuk pergi tidur di bandar Alor Setar. Kami mahu mengisi hidup sebagai orang muda, menikmati kehidupan malam di bandar kecil itu.

Menaiki bas dari Changlun petang itu. Sampai di Alor Setar, seperti biasa berjalan di sana sini. Pekan Rabu mesti disinggah. Duduk di bawah tangga melintas di depan Pekan Rabu memerhatikan manusia. Sebenarnya, bukanlah itu tujuan kami hari itu. Kami sebenarnya menantikan malam tiba.

Bila malam mula singgah - aku dan kawan aku itu pergi ke stesen keretapi Alor Setar. Itulah tujuan kami. Bukanlah pula kami mahu menaiki keretapi ke Butterworth. Kami hanya ingin berjalan-jalan melihat apa yang 'indah' di sebalik tabir stesen keretapi itu. Di sebelah stesen itu - ada juga satu lorong yang terkenal di kalangan orang yang jauh dengan masjid dan dekat dengan api neraka - Lorong Petani.

Apa ada di lorong itu? Di situlah letaknya para pondan dan pelacur kelas bawah. Mereka berjual beli di celah-celah bangunan dan perdu pisang. Siapa yang melanggan mereka aku tidak pasti. Mungkin manusia kelas bawah juga. Mustahil orang yang ada banyak wang akan melanggan pondan dan pelacur di situ.

Kami berjalan-jalan di atas rel keretapi. Sebaik sahaja kami melewati sekumpulan pondan, mereka beralih pergi. Rambut kawan aku yang gondol - yang baru sahaja habis kursus tentera laut waktu itu - menyebabkan para pondan itu menyangka kami polis. Mereka tidak tahu kami sebenarnya hanya ingin melihat mereka. Kami ingin memerhatikan gelagat mereka. Itu sahaja. Tapi kami bukanlah pelanggan. Itu hobi pelik waktu aku muda.

Jam dua belas malam kami masih merayau-rayau di atas rel itu. Beberapa kali singgah kedai kopi dan makan nasi lemak di warung berdekatan.

Malam kian larut. Kami mencari tempat tidur. Untuk balik ke Changlun, tidak ada bas lagi. Untuk tidur di hotel, kami anak muda yang susah, yang datang sengaja mencari susah. Akhirnya kami ke satu bangunan kecil di belakang bangunan Balai Rong Seri. Kami tidur di situ malam itu. Tapi nyamuk yang banyak, menyebabkan kami tidak boleh tidur. Akhirnya kami bersembang sampai ke pagi.

Besoknya - awal-awal lagi sesudah Subuh, kami balik.

Itulah aktiviti pengembaraan aku ketika muda. Di Kuala Lumpur, dua kali juga pernah tidur di kaki lima seperti itu.

Sekarang ini - kalau diupah pun, aku belum tentu akan tidur di belakang bangunan lagi. Waktu berlalu, manusia berubah. Cuma aku tidak pasti sama ada imej stesen keretapi itu sudah berubah atau tidak. Aku juga tidak tahu sama ada Lorong Petani masih terkenal dengan kehidupan para pelacur yang sedang mencari makan.

Nanti - kalau aku ada peluang, mungkin aku akan cuba ulang lagi pengembaraan ke sana. Barang tentu ia tidak lagi seindah saatnya seperti kita muda. Kerana yang indah itu bukan kerana peristiwanya. Yang menjadikan sesuatu itu indah ialah kerana usia kita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails