Yang Ikut

Monday, 30 August 2010

Salam hari merdeka

9 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat menyambut hari kemerdekaan negara.

Benar, ada banyak hal yang tidak kita suka dengar mengenai negara kita. Tetapi, itulah negara kita. Benar, ada negara lain yang lebih baik dari bumi kita. Tetapi itu negara orang lain. Suka atau tidak - kita wajib sayangkan negara kita.

Hari ini - setiap hari pelajar kita dihantar ke luar negara. Banyak daripadanya dihantar dengan menggunakan dana kerajaan - atau dalam istilah paling tepat - ia menggunakan wang rakyat. Wang itu mungkin datangnya dari kenaikan harga gula atau semakin tingginya harga minyak. Dana itu mungkin datangnya dari hasil cukai barang yang emak ayah kita beli di kedai Pak Mat. Wang itu mungkin datangnya dari penat lelah orang tua kita menoreh getah jam 5 pagi dan pulang jam 1 tengahari.

Jadi - sama ada anda suka atau tidak, wang itu datang dari penderitaan orang lain. Kita mungkin tidak sedar mengenainya. Sebaik sahaja bersekolah, kita diberikan wang saku oleh emak dan ayah. Sebaik sahaja membuat A level, kita ditaja oleh wang yang datang dari kesusahan orang lain. Sebaik sahaja mendaftar ijazah pertama di universiti ternama luar negara - wang itu sebenarnya telah menyebabkan beberapa subsidi yang patut diterima orang kampung semakin menyusut. Semua itu bukan wang kita. Wang orang lain.

Jadi - siapa pun kita, pensyarah atau doktor, jurutera atau pakar mengira wang - kita tidak akan mampu ke luar negara dengan wang poket sendiri. Hanya beberapa orang sahaja yang mampu.

Sebaik sahaja tamat belajar - apabila kita mempunyai gelar, jangan memandang orang lain dengan mata yang serong. Jangan anggap kampung kita sangat hodoh kerana kita hidup di rumah yang cantik di bawah cuaca sejuk. Jangan anggap kerana tempat kita banyak ragut, atau setiap hari orang berbunuhan, negara kita sangat jelik. Negara jelik itulah yang telah menghantar kita sampai ke India, Mesir, Amerika, UK, Kanada atau Australia. Jadi, sebaik sahaja tamat - kalau anda ditaja - pulanglah. Pulang untuk membantu orang yang telah menghantar kita - yakni rakyat jelata.

Benar - kita mudah mendapat kerakyatan di negara luar, atau mudah diterima kerja yang baik kerana kita belajar tinggi dan ada ijazah beberapa keping. Ingat, kita tidak akan ada semua itu kalau sebelumnya tidak ada orang lain menghantar kita.

Benar, gaji di negara kita kecil. Kecil pun tidak mengapalah. Kita mungkin membantu sesama kita. Kita mungkin dapat menolong orang kampung menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Kita tidak tahu selagi kita tidak bersama mereka.

Kalau semua orang pintar seperti kita, orang bijak seperti anda - tidak pulang ke Malaysia, nanti negara kita akan sesak dengan orang jahat. Kalau kita tidak pulang, nanti majoriti orang baik akan hilang. Yang tinggal mat rempit dan penagih. Yang tinggal tukang rasuah dan penyamun. Jadi pulanglah.

Jangan hanya asyik menyalahkan penjajah yang sudah lama meninggalkan kita kalau negara kita berkecamuk. Jangan hanya asyik berkata banyak sangat halangan untuk kita menghidupkan agama. Kalau bukan kita yang pulang menghidupkannya, anak-anak muda yang jiwanya kacau itu belum tentu dapat menghidupkannya.

Sesekali - di hari merdeka ini - kita semua, termasuk aku - mencermin diri sendiri. Itulah nasionalisme sebenar.

Salam hari merdeka. Salam hari merdeka.

Itu pun kalau kita sudah merdeka.

Sunday, 29 August 2010

Teruk sangatkah Islam ini?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Di penghujung tahun 1990-an dulu, ketika itu ramai pembaca blog ini mungkin masih remaja atau masih di sekolah rendah. Ada satu cerita yang tersebar dengan begitu meluas - bagaimana seorang manusia Islam telah mati dan kemudian mayatnya berubah menjadi seekor babi. Cerita itu menjadi sangat kontroversial dan menjadi buah mulut. Tidaklah pula diketahui sama ada cerita itu benar atau tidak, tetapi ceritanya dijaja di mana-mana. Ia kononnya diceritakan oleh seorang pembantu imam masjid di sebuah negeri.

Kita berhenti sejenak berfikir cerita ini.

Cerita ini mungkin benar, dan mungkin tidak. Tidakkah cerita ini sangat menakutkan. Ia menakutkan kita orang Islam, dan tentulah juga orang bukan Islam. Bagaimana pun, pada hemat aku yang tidak pintar ini - cerita ini yang telah diperbesarkan tidaklah pula membantu meningkatkan iman manusia. Ia hanya menakutkan orang bukan Islam mendekati Islam. Ia membuatkan mereka bertanya, mengapa mati sebagai kafir tidak menjadi babi. Tetapi mati sebagai orang Islam yang jahat berubah rupa pula sebagai babi.

**************************

Inilah bahayanya apabila hal mengenai Islam disensasikan menjadi topik melariskan akhbar, atau meningkatkan populariti ahli politik.

Sebenarnya dalam adab belajar agama - ada hal yang tidak boleh diceritakan kepada umum, dan ada yang digalakkan. Ada yang hanya boleh dibincangkan dalam majlis ilmu, dan ada yang boleh diceritakan kepada orang ramai.

Apa perkara yang tidak boleh. Tidak boleh bukan kerana pandangan itu tidak kuat. Tidak boleh kerana bimbang orang menyalahgunakannya.

Antaranya pandangan kuat mazhab Syafie yang menyatakan wanita yang berkahwin dan mengandung selama 6 bulan, dan kemudiannya melahirkan anak tadi, anak yang dikandungnya itu akan menjadi anak kepada bapa yang mengahwinkan wanita tadi dengan syarat perkahwinan itu berlaku dalam tempoh 6 bulan itu.

Mengapa tidak boleh dibincangkan kepada umum? Takutnya ada orang yang jahil menyalahgunakan pengetahuan ini. Mereka melakukan penzinaan dahulu. Kemudiannya setelah mengandung, beberapa hari cukup 3 bulan, baru berkahwin. Sebab itu, hal seumpama ini hanya diajar di dalam perbincangan agama.

Banyak juga hal-hal berkaitan agama - hanya boleh dibuat amal kepada diri sendiri, dan tidak boleh dipetuakan (fatwa) kepada orang lain. Ini kerana ada hal-hal yang mungkin dibawa dari pandangan yang lemah dari mazhab yang lain, atau dari hadis yang kurang kuat. Hal-hal ini juga jangan diperdebatkan. Kalau orang berdebat, kita diam sahaja kerana ia tidak akan menyelesaikan cerita.

Banyak hal berkaitan sembahyang jamak atau kelebihan berpuasa pada hari tertentu ada dalam kategori ini.

***************************

Dua tiga hari ini - heboh satu Malaysia berkaitan doa untuk Lim Guan Eng dan juga seorang ahli exco sebuah negeri, sebagai kononnya memberikan 'tazkirah' di dalam surau. Cerita ini terjaja dalam suratkhabar dan televisyen. Cerita ini diberikan ulasan oleh ahli politik dan tokoh agama. Ia sensasi. Ia menakutkan. Muncul di celah-celah ada surau disimbah cat, dan seorang pengetua mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Kejam sangatkah orang Islam ini. Tidak progresifkah kita?

Orang mula sangsi dengan kita - tatkala exco tidak dibenarkan bercakap hal pekerjaannya di dalam surau (bukan masjid) - tetapi kita membuka pula Masjid Putrajaya untuk lawatan kepada orang bukan Islam. Bukan sekadar hanya untuk orang bukan Islam di negara kita, tetapi orang Jepun yang beragama Shinto juga boleh melawatnya. Orang yang athies tidak beragama pun boleh juga.

Mengapa Masjid Putrajaya boleh, dan tidak surau kecil di Kajang.

Sepatutnya - ada papan tanda memberitahu hal yang boleh dan tidak kepada orang bukan Islam di dalam rumah ibadat kita. Biar ada prosedur yang jelas. Bukan setakat menghukum sahaja. Jangan ada tempat yang boleh, dan ada tempat yang tidak.

Sama ada boleh atau tidak orang bukan Islam didoakan, atau orang bukan Islam memasuki rumah ibadat kita sebenarnya bukanlah hal yang besar sangat bagi orang yang belajar agama.

Masalahnya hal ini sengaja disensasikan untuk menjatuhkan maruah indidividu lain. Mungkin juga bagi menunjukkan kita lebih alim, atau barangkali ada kepentingan politik tertentu. Ia sama seperti cerita mayat orang Islam mati menjadi bangkai babi.

Tidakkah ini telah tidak menjadikan Islam itu sangat ditakuti, anti persaudaraan dan sangat suka bermusuhan. Jangan hanya gembira mendengar cerita Cat Steven masuk Islam. Sesekali marilah kita berdukacita betapa kerana banyak perbuatan kita itu telah tidak mempromosikan orang untuk masuk Islam.

Sebab itulah agaknya orang sangat prejudis dengan Islam. Sebenarnya ketakutan itu bukan kerana ajaran Islam itu - tetapi cara kitalah membuatkan Islam itu telah dipandang serong.

Semuanya bermula kerana kita ingin mencari sensasi. Kita berfikir perut kita sahaja, tetapi tidak berfikir hal besar yang lebih utama.

Katakanlah Lim Guan Eng tidak boleh didoakan sekalipun, atau Exco wanita itu tidak boleh masuk ke surau - mengapa harus disensasikan.

Kita boleh bertindak secara diam-diam sahaja. Ia hal yang mudah sahaja. Ia tidak sebesar masalah menyelesaikan kemelut rasuah dan kemiskinan di kalangan umat Islam. Ia tidak sekalut cerita di Afghanistan, Palestin dan Iraq yang setiap hari bersahur dengan peluru, dan berbuka puasa dengan serpihan bom.

Friday, 27 August 2010

Jangan katakan aku gila - Part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda di tanahair tentu sudah mendengar berita bagaimana seorang bapa menyembelih anaknya yang berusia 3 tahun. Anda boleh baca berita itu di sini.

Pastilah - dari sudut mana sekalipun, berdasarkan kepada kenyataan isteri lelaki tersebut, perbuatan itu bukanlah sesuatu yang normal. Ia dilakukan dalam keadaan sama ada separuh sedar, atau hilang kewarasan. Mustahil dilakukan oleh manusia normal, yang sanggup menyembelih anak kesayangannya sendiri.

Tentulah pandangan pakar diperlukan bagi menilai watak lelaki tadi. Pada tanggapan awal aku - ia mungkin diakibatkan oleh simptom schizophrenia. Anda boleh membaca simptomnya di sini, walaupun dalam pengistilahan orang Melayu, kita banyak percaya bahawa ia adalah kerasukan hantu.

Pesakit-pesakit ini, dalam banyak waktu adalah manusia normal seperti kita. Tetapi, adakalanya mereka tiba-tiba berubah. Ia adalah diakibatkan oleh gangguan mental. Pesakit ini akan mengalami delusi - 'false beliefs of persecution' yang menyebabkan tindakannya tidak masuk akal. Adakalanya pula mereka dikatakan terdengar bisikan-bisikan dari luar yang menyuruh mereka melakukan sesuatu. Ini kita namakan halusinasi.

Walaupun banyak juga kejadian keganasan rumahtangga yang berlaku misalnya perbuatan mencurah cuka atau memukul anak dengan kuat, tetapi itu tidak semestinya disebabkan oleh schizophrenia. Ia mungkin disebabkan oleh perasaan yang marah, yang kemudiannya melepaskan geram sama ada kepada objek yang dimarahinya, atau kepada orang lain sebagai gantinya.

Tetapi dalam konteks pesakit mental seperti ini, menyembelih merupakan perbuatan yang memerlukan usaha yang lebih. Dalam kata lain, ia tidak seperti perbuatan mencurah cuka. Mungkin ada bisikan yang menyuruh pesakit melakukan korban dan sebagainya.

Kita sebagai orang normal tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan ini. Bagaimana pun, penagih dadah adakalanya mempunyai fantasi luar biasa ini yang menyebabkan mereka juga boleh bertindak agresif. Dalam hal itu - ia bukan lagi disebabkan oleh kesakitan mental, tetapi disebabkan oleh perubahan mental yang berlaku oleh pengaruh dadah.

Aku - satu saat dahulu, di tahun 2000, ketika aku sakit, pernah mengalami halusinasi ini. Bernasib baik ia hanya sekali sahaja. Suara itu berkata - Nasib baik Jesus selamatkan awak. Aku terkejut dan menoleh ke belakang. Aku tidak pasti bagaimana aku boleh mendengar suara ini - sedangkan aku tidaklah pernah membaca buku atau mencari sebarang maklumat berkaitan Jesus. Pastilah, ini adalah simptom halusinasi - sesuatu yang dirasakan ada, walaupun sebenarnya tiada.

Syukur kepada Allah - mentakdirkan aku menjadi pelajar psikologi. Walaupun tidaklah pandai, tetapi sedikit sebanyak aku pernah belajar mengenainya.

Sebab itu - sebagai orang awam - sekiranya anda mempunyai saudara mara, atau anda sendiri mengalami gangguan pelik seumpama ini, jangan cepat mencari bomoh. Mereka akan memberitahu anda bahawa anda mungkin sudah kencing di atas busut atau telah melalui rumah orang bunian. Walaupun itu juga bukanlah hal mustahil, tetapi banyak penyakit yang berlaku hari ini adalah disebabkan proses mental. Bukan semestinya anda diganggu makhluk halus.

Jadi, bertanyalah pakar. Kita tidak tahu apakah kita sebenarnya sedang dilanda sakit mental. Ingat, sakit mental bukanlah hal pelik. Seorang daripada seratus manusia berkemungkinan dilanda simptom schizophrenia. Kalau hari ini orang lain, besok mungkin kita pula.

Penyakit-penyakit mental ini sebenarnya banyak. Ia sama banyaknya dengan penyakit fizikal seperti kencing manis, buah pinggang dan sebagainya. Malangnya kerana kita tidak pernah ambil peduli dengan hal penyakit yang satu lagi ini, dan kita juga takut dikatakan sebagai manusia gila - maka kita jarang mahu bertemu doktor apabila kita mula dilanda simptom yang pelik.

Bukan juga budaya kita untuk mempercayai pakar psikitiari atau ahli psikologi. Sebaliknya bomoh dan dukun telah mengambil alih peranan ini.

Kita berdoa - moga-moga kita dijauhkan dengan penyakit-penyakit seperti ini.

Untuk keluarga mangsa - kita doakan semoga mereka bersabar. Ia sebahagian dari ujian yang dihadapkan kepada manusia bagi tujuan mempertinggikan darjat.

Semoga Allah mempermudahkan jalan untuk mereka semua.

Jangan terlalu pantas tinggalkan kami

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari melihat wajah di cermin, kita tidak pernah pun membayangkan yang kita sebenarnya sedang dimamah masa. Kita tidak tahu pun sejak bila kita menjadi tua. Tidak juga kita tahu bahawa kita sebenarnya adalah orang lain, berbanding dengan kita pada hari sebelumnya. Kita merasa kita tidak berubah apa-apa.

Kita sepatutnya tahu bahawa kita semakin tua.

Hakikatnya, kita adalah orang lain pada setiap hari. Bayangkan begini. Ketika kita masih remaja, mendengar lagu kesukaan kita menjadikan kita terhibur, tetapi bila usia berubah, lagu yang sama tidak mampu membuaikan kita. Di usia anak-anak membeli dan bermain mercun sudah cukup membahagiakan. Ia menggembirakan. Tatkala usia kita di hujung 20-an, bunyi mercun semakin menyakitkan telinga.

Setiap kali berjalan kaki dari satu pintu ke satu pintu, hari raya ialah masa terindah hidup seorang kanak-kanak. Kita mula menghitung hari untuk merayakannya sejak sebelum berpuasa lagi. Keindahan yang sebenarnya bukanlah wang itu. Tetapi kita tidak tahu apa yang sangat indah hingga kita tidak mampu melupakannya. Sebaik sahaja petang raya pertama menjelang, kita mula berasa hiba. Kita perlu menunggunya setahun lagi.

Pada usia sekarang - kita tidak ambil peduli pun semua itu. Raya bukan lagi hari terindah yang dinantikan. Kegembiraan yang kita sebut itu hanyalah sekadar mengisi nolstalgia di masa silam. Hakikatnya kita tidak gembira sedikit pun.

Ketika remaja - kita berusaha mendapatkan pasangan paling istimewa. Apabila memilikinya, kita berasa dunia ini adalah padang lapang yang paling mengghairahkan. Semua yang kita lakukan - baik dan buruk, suka dan duka - semuanya ibarat mimpi. Ia begitu indah. Kita boleh duduk dan berbual berjam-jam lamanya. Kita akan berkali-kali bercakap di telefon bertanya khabar. Kita seboleh-bolehnya ingin melihat wajah kekasih kita 24 jam sehari.

Apabila usia kita bertukar - dan kekasih kita itu sudah berada dalam hidup kita - semua yang anggap sebagai indah itu sebenarnya tidak ada lagi. Ini bukan bermakna kita tidak lagi menyukai mereka. Ini bermakna kita semakin tua untuk terus menikmati usia yang tertinggal.

Membeli sehelai seluar Levis 501 setahun sekali sudah cukup indah pada usia kita belasan tahun. Memiliki sedikit wang di dalam dompet sudah cukup membuatkan kita tersenyum sepanjang hari. Menaiki sebuah motosikal cantik sudah cukup membuatkan kita berasa begitu hebat. Seolah-olahnya ada orang lain sedang melihat dan memuji kita. Seolah-olah kita ini sedang diperhatikan dan menjadi wira dalam kelompok kita.

Hari demi hari - melihat ada bayi baru yang lahir, kita sebenarnya bukan kita yang semalam lagi. Dunia kita mula digantikan generasi baru. Remaja yang bergelak riang berkumpul itu bukan kita lagi. Pasangan yang menjanjikan bulan dan bintang juga bukan kita lagi. Berkunjung dari rumah ke rumah mengharapkan beberapa keping wang siling juga adalah orang lain.

Dunia berubah dengan pantas. Kita hanya akan tahu bahawa kita sudah cukup tua pada saat orang sedang membacakan Yaasin mempermudahkan kematian kita.

Cermin yang tergantung itu tidak pernah berubah. Yang berubah ialah kita.

Selamat tinggal masa yang berlalu.

Janganlah terlalu pantas engkau tinggalkan kami.

Thursday, 26 August 2010

Itu ini begitu begini

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Membelah kabus dan sejuk pagi. Melangkah dalam becak dan basah hujan. Memerhati hijaunya pohon. Merakam kicau burung. Alir sungai yang deras. Merenung lorong depan yang terasa kian panjang. Ku langkah juga. Perlahan-lahan.

Aku buka komputer. Ku baca dan ku tulis.

Tiba-tiba aku berhenti. Hidup ini cuma sebentar.

Aku tutup semula komputer.

Membelah sejuk dingin alam. Melangkah dalam becak dan basah hujan. Memerhati hijau pohon. Merakam kicau burung. Deru sungai sedang melagu misteri alam. Menghanyut dosa manusia jauh ke Laut Selatan.

Dengan segala deru dan bunyi, dengan seribu warna dan indahnya alam, ia tidak mampu menutup ruang jiwa yang resah.

Kebosanan ini membuatkan aku memilih untuk membelah pulang!

Wednesday, 25 August 2010

Memasang bendera tidak semestinya nasionalis

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Entah mengapa, sejak sekian lama aku tidak percaya bahawa memacakkan bendera di atas bumbung kereta atau motosikal, atau menghiasi kenderaan dengan Jalur Gemilar sebagai sesuatu yang bersifat nasionalis. Bagi aku, perbuatan seumpama itu tidak lebih dari satu pesta sahaja.

Lihat sahaja - perbuatan itu selalu sahaja muncul setiap bulan Ogos. Di pintu tol akan ada orang membahagikan bendera. Di premis perniagaan, akan ada orang menghantarkan bendera untuk dipasang. Mengapa harus memasang bendera?

Lihat pula - anak-anak muda kita yang memasang bendera ini, berarak panjang dengan motosikal sampai jam 2 atau 3 pagi setiap malam 31 Ogos, membuat bising di tengah jalan. Anak-anak muda ini, ada yang mungkin masih bersekolah, merayakan sesuatu yang mereka namakan sebagai merdeka. Mereka ini pula adalah anak-anak yang merempit. Ada yang membawa bersama pasangan bukan muhrim di tengah malam. Merdekakah ini?

Mengapa pula hanya anak Melayu sahaja. Anak orang lain tidak menyambut merdeka, atau mereka belum merdeka. Atau barangkali mereka sudah lama merdeka, tetapi kita yang belum?

Mengapa pula harus ada begitu banyak konsert menyanyi di setiap bandar, disiar langsung di dalam televisyen. Merdekakah ini?

Merdeka bukan begitu. Nasionalis juga bukan begitu. Nasionalis itu tertanam teguh di dalam jiwa. Mencintai bahasa Melayu itu nasionalis. Tidak mengikut budaya pelik hedonisme yang tidak tahu asal usul itu nasionalis. Menghafal prinsip Rukunegara itu nasionalis.

Tanyalah anak-anak muda yang riuh memasang bendera ini berapa prinsip rukunegara yang kita ada? Tanyalah mereka siapa pejuang yang berperang melawan Inggeris atau Belanda. Tanyalah mereka bagaimana negara ini mendapat merdeka. Itulah nasionalis.

Tahukah mereka. Kalau tidak tahu, itu tandanya mereka bukan nasionalis.

Tidak membiarkan pendatang asing masuk tanpa jalan yang betul itu nasionalis. Tidak menjual harta negara itu nasionalis. Tidak melakukan rasuah itu nasionalis. Tidak menjadi manusia jahat itu nasionalis.

Menghormati ibu ayah itu nasionalis. Tidak membuang anak di tepi jalan itu nasionalis. Tidak menghisap ganja dan menagih ice itu nasionalis.

Nasionalis bukan memasang bendera di atas kereta, dan berarak panjang membuat bising di tengah malam. Itu pekerjaan berseronok. Sama sukanya dengan orang bermain mercun di tengah malam tanpa tahu asal usul mercun.

Siapa yang menjual bendera, siapa pula yang memasangnya? Kalau kita tahu jawapannya, kita akan tahu bahawa nasionalis itu bukan pada bendera. Bendera sudah menjadi barang komersil untuk membuat laba perniagaan.

Tuesday, 24 August 2010

Surat dalam laci - Part 1

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dikisahkan sebuah cerita lama.

Dahulu, pada tahun 1990 belum lagi ujud e-mel. Jauh sekali dibayangkan akan munculnya sms. Jadi surat adalah penghubung komunikasi manusia. Surat adalah komunikasi tanpa suara, menyampaikan hasrat terpendam yang tak mampu disuarakan.

Di satu pagi - pemuda yang selekeh dan serabut itu telah duduk di bangku sekolahnya. Seperti biasa, tempatnya ialah meja paling belakang. Ia tempat duduk paling harmoni untuk pemuda berseluar bot cut itu. Dia menarik buku sekolahnya yang ditinggalkan di dalam meja itu. Tiba-tiba terpacul satu surat. Satu nota.

Mesejnya ringkas sahaja. Ia ditulis oleh seorang gadis berumur 19 tahun. Ia cuma ingin menyatakan hasrat ingin berkenalan. Itu sahaja. Ia tidak mengajak untuk berkahwin. Tidak juga mengajak untuk keluar berdating di kebun bunga.

Pemuda itu membacanya sekali lalu. Dia tahu siapa pengirimnya. Seorang budak perempuan yang satu kelas dengannya. Bagi pemuda itu - untuk apa ingin berkenalan dengannya. Mereka satu kelas. Sudah tahu satu sama lain. Baginya, dunia berkenalan itu tidak begitu penting.

Dia memperonyok kertas itu kecil-kecil. Tanpa berfikir panjang, pemuda berambut serabut itu membuangnya ke dalam tong sampah. Gadis tadi, yang duduknya tidak begitu jauh dengan pemuda tadi, menjelingnya sahaja.

Pemuda itu tidak ambil tahu pun sama ada gadis tadi akan kecewa atau tidak. Itu tidak penting baginya.

Sampai sekarang pemuda itu tidak tahu sama ada gadis penulis nota itu hilang ke mana. Mereka tidak pernah bertemunya lagi sejak hampir dua puluh tahun ini. Mungkin gadis tadi sudah berkahwin dengan jutawan ternama. Mungkin tinggal di kota besar. Semua itu luput sama sekali.

Nota itu juga mungkin sudah reput. Tidak siapa yang tahu. Kalau pada hari ini, ada budak sekolah bertemu dengan nota itu - mereka pastinya ketawa. Dunia hari ini orang mengirim e-mel, atau menghantar sms. Orang yang menulis nota di atas kertas adalah manusia yang ketinggalan zaman.

Anda berbuka apa petang ini?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Berbuka apa petang ini?

Bagaimana agaknya orang di luar negara berbuka puasa? Adakah mereka juga ada tepung seperti kita. Bagaimana dengan pulut Siam. Buah petai ada dijual atau tidak? Kasihan mereka. Mereka tentu sangat kempunan untuk memakan rebung.

Aku tidak tahu di tempat lain. Di Adelaide, semuanya ada terjual. Yang belum aku jumpa hanya buah jering sahaja. Buah petai jeruk ada dijual. Rebung dalam tin juga ada di kedai Asean Grocery. Apalah sangat dengan pulut Siam atau buah durian. Semuanya ada.

Yang tidak ada hanya pasar Ramadhan. Yang tidak ada hanya emak dan ayah. Yang tidak ada hanya bunyi mercun. Selainnya, tidak ada apa yang kurang.

Bagaimana kami berbuka puasa?

Sebenarnya, aku rasa hidup di sini sebenarnya lebih meriah. Kadang-kadang dijemput berbuka puasa di rumah teman yang lain. Kadang-kadang kita menjemput orang lain. Ia mungkin tidak sempat kalau kita hidup di Malaysia. Jalan yang sesak. Hidup yang sibuk. Semua ini tidak mungkin.

Kalau tidak ada berbuka puasa di mana-mana, kami berbuka di rumah.

Bagaimana pun, selepas berbuka - biasanya kami akan bertandang ke rumah teman yang lain untuk bersolat isyak dan terawih. Ia bergilir sesama kami beberapa orang ini. Aku tidak tahulah orang lain. Aku tidak begitu ambil 'port' sangat.

Jadi - sekali lagi akan ada temasya makan. Aku tidak dapat menamakan semua jenis kuih yang dimasak itu. Ia seperti di Malaysia juga. Ada laksa, pulut durian, popiah, karipap, puteri ayu dan segala macam. Tanya isteri aku. Aku tidak tahu nama makanan. Aku tahu nasi dan ikan goreng.

Selepas makan - yang perempuannya akan bersembang tentang fesyen tudung terkini. Yang lelakinya akan menghabiskan beberapa batang rokok sambil berbual isu politik masakini.

Aku? Aku lelaki pendiam. Aku tidak bercakap.

Petang ini apa menunya. Tadi aku telah memintakan isteri aku membuat cendol. Ini bukan cendul yang dibeli. Ini cendul buatan sendiri.

Pesan sebelum sahur

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jam 4.01 pagi di musim sejuk. Untuk bersahur, masih terlalu awal. Untuk tidur semula, mata tidak mahu memejam. Untuk keluar merenung bulan mengambang, suhu dingin tidak begitu memberahikan.

Aku ambil sebiji limau mandarin, aku kunyah sendirian. Aku tuang susu ke dalam periuk, aku nyalakan api, aku panaskan. Campur dengan sedikit garam. Entah resipi siapa.

Ketika aku kecil dahulu - susu kerbau segar boleh aku dapatkan dari orang kampung. Arwah Pak Husin selalu memerah susu kerbau. Kita perlu memesannya beberapa hari lebih awal. Susu ini dipanaskan di dalam periuk. Kemudian dimakan dengan pulut. Itu masa indah. Ayah aku masih ada waktu itu. Masa indah selalunya tak akan berulang kembali. Yang terindah ialah yang tertinggal. Nanti aku cuba tulis sebuah novel dengan tajuk "yang terindah ialah yang tertinggal'. Itu pun kalau aku mampu. Kawan baik aku - Sdr Harleem Dayam sudah menghasilkan novelnya sendiri - Waris Kalung Naga. Beliau telah mengeposkan aku senaskah novel sulungnya itu. Ia seperti cerita kanak-kanak, tetapi tidak juga. Bahasanya agak tinggi. Aku belum habis membacanya lagi.

Di bulan Ramadhan ini - orang masih menyamun, membunuh dan merogol. Orang selalu berkata - di bulan baik ini segala syaitan telah dirantai. Mereka dibelenggu. Sepatutnya orang tidak sejijik itu lagi.

Bagaimana pun - kalau anda rajin menadah kitab, ada ulamak yang berkata bahasa hadis itu lebih kepada kiasan. Bukanlah bermakna bahawa syaitan itu dirantai. Maksudnya, di bulan yang penuh rahmah ini - dengan segala ruang untuk membuat pahala, janganlah anda menjadi seperti syaitan. Kalau anda ingin terus membuat jahat, jadilah anda seperti syaitan.

Sebab itu - di bulan baik ini, rajin-rajinlah pergi belajar agama. Jangan banyak belajar dari internet. Banyak perkara yang terselindung yang kadang-kadang tidak dapat dirungkai.

Selamat bersahur untuk yang ingin berpuasa esok.

Monday, 23 August 2010

Satu cerita di bulan puasa di tahun 2006

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hujan petang. Cuaca yang sejuk. Hari yang mendung. Menjadikan puasa makan dan minum di Adelaide tidak begitu terasa. Tiada juga sebarang pasar menjual kuih muih. Tidak kelihatan asap panggang ayam seperti yang ada di tempat kita. Tiada kuih berwarna warni. Tiada air tebu. Tiada air cincau.

Di tempat kita, jam 4 petang seperti ini - di bawah bahang panas, suasana di setiap kota sudah jenuh dengan manusia. Sepertinya ayam yang bangun pagi dan terus meluru mencari makan. Sepertinya manusia yang baru keluar dari gurun yang kering.

Tahun 2006 - tahun yang susah untuk aku. Tahun musibah. Kerana susah itu, aku berjualan di bulan Ramadhan.

Daripada berpuluh-puluh peniaga yang berteriak, aku adalah salah seorang darinya. Aku menjual nasi ayam Hainan di satu kawasan jualan pasar Ramadhan, tidak jauh dari markas TUDM - di Butterworth. Aku bukanlah tukang masak ternama. Jauh lagi sebagai master chef. Isteri aku tukang masak. Aku hanya tahu membungkus sahaja. Pagi-pagi, aku dan isteri ke pasar membeli ayam dan rempah ratus. Di rumah - isteri aku yang memproses semua ayam itu. Aku tidak ambil kisah. Aku lelaki yang cukup bodoh dalam dapur. Masak nasi pun kadang-kadang mentah, kadang-kadang lembik.

Di bulan puasa tahun 2006 itu, setiap jam 3 petang - dengan kereta Unser, aku membawa semua nasi yang sudah dimasak, ayam yang sudah dikukus dan seperiuk besar kuah sup - ke tapak jualan. Waktu itu belum ada manusia pembeli lagi. Yang ada hanya orang yang menjual. Kami memasang meja dan khemah masing-masing. Mengatur segala kerusi. Menyusun semua peralatan. Melihat apa yang lebih, apa yang kurang.

Biasanya jam 4 petang akan ada pelanggan yang datang. Ini waktu percubaan sahaja.

Satu jam kemudiannya - antara jam 5 dan 6 petang - baru suasana menjadi semakin 'real'. Yang berpuasa dan yang tidak datang bertanya. Ada yang membeli. Ada yang melihat sahaja. Ada yang tidak menjeling sedikit pun.

Yang tua dan muda datang membeli. Mat rock dan mat punk juga ada. Ada letih, ada yang berpura-pura letih. Selain Melayu, ada juga Cina dan India. Minah kilang yang cantik datang menawar. Semua kategori manusia datang ke pasar ini. Semuanya dengan satu matlamat - datang mencari makan. Membeli sebanyak yang mungkin. Lebih nanti buang ke tong sampah.

Bulan Ramadhan ini - bulan pesta makan untuk kita semua.

Itu tahun 2006. Pertengahan Ramadhan 2007 - aku menjejak kaki ke Adelaide. Melupakan cerita pasar Ramadhan. Melupakan nasi ayam Hainan. Meninggalkan gadis kilang yang manis. Membelakangkan asap panggang ayam dan jeritan - "mai singgah, mai singgah'.

Ketukan pintu tuan rumah menghentikan cerita ini. Dia telah membantutkan semangat aku menulis cerita ini.

Dia menaikkan lagi sewa $ 15 dolar seminggu, menjadikan sewa rumah $235 seminggu atau $940 sebulan, atau RM2,820 sebulan. Kalau di Malaysia, tentu aku mampu menyewa 3 biji banglow sebulan.

Besok kita sambung bagaimana kami menghidupkan Ramadhan di Adelaide.

Sunday, 22 August 2010

Mari berbuka dengan air Coke

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jam 4 petang tadi. Singgah di McDonald di City West. Aku memesan sebiji burger Filet-O-Fish dan segelas air Coke. Aku mencari tempat duduk paling baik. Mengadap jalan besar. Di bawah matahari cerah, aku melihat deretan kereta, bas dan lori. Bagus sekali. Melihat manusia lalu lalang.

Membuka bungkus kertas itu, burger dan air Coke itu aku berikan kepada Luqman. Dia seperti biasa tidak boleh melihat simbol M bertanda merah itu. Dia akan tertarik. Aku pasti semua kanak-kanak di seluruh dunia pun begitu. Mereka kenal dengan KFC atau McDonald.

Kata orang - itu sebahagian dari penaja Yahudi dan Zionis. Coke juga begitu. Tapi, aku tidak pernah ambil kisah semua hal itu. Sebab setiap kali ada isu di Palestin, setiap kali itu jugalah umat Islam diajak memboikot ayam atau burger milik syarikat itu. Kemudian diam. Apabila timbul isu, saranan boikot itu muncul lagi. Tetapi kedai itu tetap terpacak di situ juga. Malah, mungkin setiap bulan akan ada kedai baru dibuka.

Maksudnya - orang kita hanya memboikot bila ada isu. Selebihnya, kita tetap begitu juga.

Sebenarnya yang patut kita lakukan ialah membuka model burger atau ayam panggang kita sendiri. Kita buat jenama baru. Kita bersaing di pasaran bebas. Sebenarnya itulah cara yang patut. Memboikot tidak menghilangkan apa-apa.

Shrupp. Luqman dengan lahapnya meneguk air Coke dan memakan Filet-O-Fish. Membuatkan aku terasa betapa 2 jam lagi waktu untuk berbuka begitu lama.

Selamat berpuasa untuk semua.

Friday, 20 August 2010

Saman ekor. Mana pangkalnya?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Isu saman ekor sudah menjadi berita panas di Malaysia. Lama dahulu ada, kemudian diam. Ia kemudian muncul kembali. Turun naik isu ini, sama dengan turun naik ekonomi dunia juga.

Benarkah saman ekor dapat mengurangkan bencana di jalanraya? Aku tidak begitu tahu. Aku bukan pakar keselamatan jalanraya.

Di Australia - saman ekor juga wujud. Ada juga polis yang bersembunyi di dalam kereta hitam sambil menghalakan kameranya ke arah kita. Kita tidak melihat polis yang duduk di dalam kereta bercermin gelap itu.

Bagaimana pun, ini bukanlah bermakna bahawa mereka ini bersembunyi memasang lukah di tepi jalan. Sekiranya anda rajin menonton televisyen, setiap malam sudah diberitahu akan ada beberapa lokasi yang sedang menunggu anda dengan kamera tersembunyi ini. Jadi, sekiranya anda malas mencari maklumat ini - anda akan menjadi mangsa kemalasan sendiri.

Di setiap bandar, kameranya terpacak di merata tempat. Anda boleh melihatnya di kebanyakan simpang jalan, atau di laluan yang berbahaya. Anda boleh melihat dengan jelas papan tanda memberitahu anda bahawa akan ada kamera trafik di hadapan. Jadi pandulah dengan perlahan, atau pakailah tali pinggang keledar.

Apa motifnya? Motifnya ialah bagi menggalakkan orang ramai mengikut peraturan. Motifnya ialah bagi memastikan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan. Motifnya ialah bagi memberitahu bahawa anda akan hilang $300 dollar kalau masih tidak faham bahasa.

Peraturan ini bertujuan mendidik. Bukan memerangkap. Kalau ingin memerangkap, adalah lebih baik memasang kamera di laluan menurun bukit. Pasti akan ramai yang terperangkap. Pasti juga, akan ada banyak saman yang dibawa pulang.

Surat saman ekor yang sampai ke rumah anda itu pula, seperti biasa akan memberitahu bahawa kenderaan anda telah didapati melakukan kesalahan di tempat dan masa tertentu. Bagaimana pun, sekiranya bukan anda yang memandu pada hari berkenaan, nyatakan nama orang dan alamat orang yang telah menggunakan kenderaan anda. Pulangkan semula surat saman itu ke balai polis. Nanti, surat saman baru akan dikeluarkan kepada orang yang telah menggunakan kenderaan anda. Sekalipun, orang itu sudah pulang ke Malaysia.

Undang-undang juga mestilah adil untuk semua manusia. Tidak wajar orang lain yang memandu, orang lain yang disaman. Sebab itu, dalam beberapa hal, pembaikan dalam sistem saman kamera trafik ini perlu dipertingkatkan.

Kalau itu dinamakan saman ekor, apakah yang menjadi pangkalnya? Mendidik atau memerangkap?

Thursday, 19 August 2010

Ada sesiapa lagi?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Musim sejuk mula mengendur. Sudah ada bunga-bunga yang mula memutik di dahan. Di ambang musim bunga ini, suasana Adelaide seperti biasa. Ia tidak akan sepanas suhu politik di Malaysia. Ia tidak akan bergelut dengan 1001 cerita.

Aku hampir melangkah masuk ke tahun ke empat di sini. Tidak banyak yang berubah. Bahasa Inggeris tetap begitu juga. Tidak pandai-pandai. Tatabahasa tunggang langgang. Lebih baik bahasa Siam aku dari dari bahasa ketiga terbesar dunia ini.

Selepas raya ini, aku akan memulakan kutipan data lagi. Harapnya ini bukan terakhir. Masih ada dua kali lagi kutipan data. Aku pun semakin lama semakin pelik dengan metodologi psikologi orang Barat. Di Malaysia, melakukan kutipan data sekali lalu sudah cukup. Orang tidak bercakap tentang 'common method variance'. Orang tidak bercakap hal causal relationship. Tidak pernah orang berkata tentang Harman test method.

Nampaknya - di sini semuanya berbeza. Orang tidak hairan pun dengan PhD. Yang orang mahu ialah pembuktian. Kajian aku terakhir - bulan April lalu sepatutnya menutup buku cerita kajian aku. Itu sangkaku. Nampaknya tidak. Masih ada dua lagi melengkapkan 7 kali kutipan data. Aku tidak tahu apa yang aku cari. Adakah dengan kajian bertubi-tubi, dunia akan berubah.

Sehari dua ini - kerjaku ialah menelefon semula teman-teman lama - yang ada kuasa dan tidak. Yang swasta dan yang berkerja di kantor pemerintah. Itulah talian hayat yang boleh mempercepatkan semua urusan kutipan data. Terima kasih kepada kawan-kawan yang memberikan isyarat untuk membantu menguruskan hal kajian di tempat kerja mereka. Patut aku catatkan nama mereka di sini - Hasni, Cah, MatYee, Merry, Intan, Zaidi, Mie, Hairi dan Hazizi. Tentunya, untuk beberapa hari yang bakal datang beberapa nama baru akan tersenarai.

Ada sesiapa lagi teman blogger yang boleh membantu? Aku sedang mencari seorang ketua/penyelia - dan lima atau lebih orang di bawah mereka. Itu sahaja metodologi kali ini.

Ada sesiapa lagi? Apa lagi selepas ini? Aku tak pernah akan tahu apa yang bakal terjadi. Moga tidak ada ribut petang membawa pulang segala yang ada dalam dakapan. Moga tidak ada lelaki buta melarikan kekasih dalam khayalan.

Wednesday, 18 August 2010

Beruntungnya hidup berbilang bangsa

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada isu besar yang aku akan tulis sekarang ini. Cuba sesekali anda baca tajuk suratkhabar sekarang ini. Di mana-mana sahaja isu perjuangan kaum dan bangsa menjadi topik utama. Orang Melayu bercakap tentang ketuanan kita. Orang Cina juga bercakap tentang hak mereka. Pastinya, orang India juga akan memperkatakan hal yang sama.

Mari kita diam. Kita berhenti sejenak. Kita berfikir.

Sesekali aku terasa, beruntung juga ada banyak bangsa di negara kita. Setidak-tidaknya itu boleh dijadikan modal untuk berniaga politik.

Sebab - yang miskin, tanpa mengira apa bangsanya - bermandi peluh mengerah keringat, berkedut wajah menahan beban. Hidupnya bermula pagi, lewat malam belum berakhir. Anak-anaknya di rumah tidak sempat mengecam muka ayahnya. Isteri sudah tidak kisah lagi sama ada suami pulang atau tidak. Yang penting - besok pagi ada wang untuk membeli beberapa bungkus nasi lemak - buat bekal anak ke sekolah.

Yang kayanya pula siapa? Orang itu juga. Orang yang banyak bercakap hal perjuangan bangsa. Mereka inilah pemilik bangunan puluhan tingkat. Mereka inilah pemilik ladang kelapa sawit. Ada harta di London, ada banglo di Perth. Di Adelaide pun mungkin ada. Jangan bimbang. Mereka ini juga berbilang bangsa.

Sebab itu aku berbangga hidup dalam masyarakat berbilang bangsa.

Monday, 16 August 2010

Cerita di bulan Ramadhan

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak banyak berita di bulan puasa ini.

Cerita 1

Tadi - aku berjumpa dengan 3 anak dara dari sebuah universiti di utara tanahair. Mereka akan berada di Universiti Adelaide selama 4 bulan di bawah program pertukaran pelajar.

Seperti biasa, pelajar-pelajar kita ini dihantar datang tanpa persiapan yang jelas. Tidak tahu di mana rumah mereka, dengan siapa mereka akan tinggal. Orang mungkin tidak tahu ini musim sejuk.

Sebenarnya banyak orang Malaysia di sini. Banyak yang boleh membantu. Tetapi, untuk membolehkan mereka ini membantu, mereka ini perlu dimaklumkan dahulu. Jadi mereka tahu bagaimana untuk merancang penempatan orang baru.

Cerita 2

Kawan baik aku, Kak Ton yang mana kami berkongsi bidang yang sama dan penyelia yang sama, kini boleh menarik nafas lega. Membaca laporan penilaian oleh pemeriksa luar, membuatkan aku tumpang gembira. Seorang pemeriksa, profesor ternama dari Kanada dalam komennya:

'This was a first piece of work. One of our students here is doing a work-family thesis study, and my intention is to have her read Hassan's thesis'.

Tidak sahaja gembira. Aku juga patut risau.

Tadi, supervisor aku merancang untuk aku membuat sekali lagi kutipan data. Kali ini di organisasi terpilih. Mungkin yang terakhir. Aku pun tidak ingat ini kali yang keberapa lagi kutipan data aku ini.

Aku cuma bimbang - nanti pemeriksa akan berkata - "You are very rich, Bro!"


Cerita 3
Bulan Ramadhan ini, aku sekali lagi menanam tekad berhenti rokok. Hari pertama puasa, aku hampir berjaya. Aku hanya menyedut sepam sahaja asap rokok untuk 24 jam. Hari keduanya, aku menghisap satu batang. Hari ketiganya aku digoda lagi.

Bulan puasa ini - sebenarnya sudah agak lama aku tidak membeli rokok. Aku cuba menjadi manusia suci. Manusia tanpa pencemaran. Agar hidup lebih sihat. Hidung lebih mancung. Pipi lebih gebu.

Tetapi, aku juga mempunyai banyak kawan-kawan yang sama ada mereka mencari aku, atau aku mencari mereka. Rokok ialah penghubung keakraban kami.

Tidak salah mencuba berhenti. Seperti tidak salah aku mencuba menghisap dahulu.

Friday, 13 August 2010

Mengimbau Ramadhan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Mengimbau bulan puasa.

Ingat lagi, semasa aku masih di sekolah rendah, kita sudah mula berlatih puasa. Aku tidak berapa ingat sejak usia berapa aku mula belajar berpuasa 'yang yok', atau puasa 'olok-olok'.Mungkin sekitar darjah 2 atau 3. Itu di tahun awal 80-an. Banyak pembaca tidak lagi lahir waktu itu.

Waktu itu keinginan berpuasa sangat tinggi. Tapi biasanya semangat kita juga tak mampu melihat buah tembikai atau air tebu yang dijual ditepi jalan. Inilah godaan yang biasanya membuatkan kita tersungkur lebih awal.

Ingat juga lagi - pada tahun pertama belajar berpuasa, ada sasaran yang kita cuba capai. Misalnya berpuasa selama 20 hari penuh, dan 10 hari lagi separuh-separuh. Waktu itu, kalau masuk ke bilik air dengan cubaan berkumur, dan adakalanya tertelan beberapa kali - kita anggap puasa itu masih berjaya. Yang tidak berjaya, cuma kalau kita memakan sesuatu. Itupun kalau dilihat orang.

Sebenarnya bukan hanya air tebu atau buah tembikai yang mengiurkan, sebenarnya waktu itu 'ais batu' pun kadang-kadang menggoda juga. Awal 80-an sehingga pertengahan tahun 80-an, peti ais masih dianggap barang ganjil di kampung aku. Bukan kerana orang tidak mampu. Mungkin juga kerana tidak ada elektrik. Maka, peti ais tentulah juga tidak wujud. Jadi, ada beberapa orang kanak-kanak, sebaya usia dengan aku - mereka melakukan kerja menjual ais batu. Ais itu mungkin dibeli di bandar, dan kemudiannya dijual kepada orang kampung. Aku tidak ingat sangat harganya, mungkin 10 sen atau 20 sen sebata.

Melihat ketul ais itu pun kadang-kadang menyebabkan puasa terasa begitu teruk. Sekarang ini, aku tidak ingat orang akan kemaruk dengan ketul ais lagi. Menjual ketul ais dari rumah ke rumah mungkin menjadi kerja orang gila. Tidak ada sesiapa yang mahu membelinya lagi.

Ketika aku budak-budak, kerana belum ada televisyen, maka radio akan dibuka. Itu untuk mendengar azan. Tetapi biasanya orang kampung aku lebih yakinkan paluan biduk kulit lembu dari sebuah surau lama. Aku pasti, tidak ramai lagi orang tahu bagaimana bunyinya biduk itu. Biduk bukan hanya berguna untuk tahu masuk waktu sembahyang, tetapi apabila ada kematian biduk itu juga akan dipalu. Tetapi ia dengan menggunakan rentak yang lain. Jadi, orang tahu ada seseorang yang sudah dipanggil pulang.

Malamnya, seperti biasa kami budak-budak akan memeriahkan masjid. Bukan untuk berterawih - tetapi kami biasanya akan begitu mengambil tahu apa menu 'moreh'. Biasanya, ketika orang dewasa sedang bersembahyang, ada beberapa budak-budak yang kerjanya akan membuka periuk dan makan dahulu. Ada yang menyembunyikan roti canai di bawah kopiah atau poket baju. Semua itu hal yang selalu terjadi. Tetapi, moreh inilah yang memperkenalkan kita dengan masjid. Tanpa moreh, mungkin kita masih takutkan masjid sampai dewasa.

Habis moreh - kalau bernasib baik, abang aku membawa aku menonton televisyen di rumah kawannya. Kalau tidak, aku balik dan tidur dalam gelap pelita minyak gas. Sesekali kita akan mendegar bunyi meriam buluh. Sesekali kita mendengar bunyi letupan mercun roket.

Sampai sekarang bunyi ini tidak akan berhenti. Mahu tahu kenapa? Kerana kampung aku berjiran dengan Thailand - jadi semua ini boleh sahaja masuk ke kampung aku dengan mudah.

Di Australia - tidak ada sebarang godaan berpuasa seperti kita. Tidak ada bazaar Ramadhan, tidak ada buah tembikai potong, tidak ada jualan kuih, tidak juga ada laksa beras. Semuanya tidak ada.




Thursday, 12 August 2010

Selamat berpuasa untuk pembaca

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah 3 hari kita berpuasa. Selamat menyambut bulan Ramadhan kepada semua penyinggah blog ini - mereka yang kenal dan tidak kenal.

Aku tidak mampu menulis di blog ini untuk beberapa hari lalu. Tidaklah dipastikan untuk beberapa hari akan datang. Agak sibuk. Bukan sibuk fizikal, tetapi sibuk mental. Menjadikan aku merasa tidak begitu berupaya menulis.

Kata Charles Darwin - “If we expect to suffer, we are anxious; if we have no hope of relief, we despair”. Anda tidak perlu tahu apa maknanya. Itu ayat yang selalu kita jumpa dalam buku psikologi.

Pernah anda dengar istilah 'Melancholia'? Lama dahulu ada lagu Cinta Melankolia. Walaupun maksud melankolia dalam lagu itu bertentangan dengan makna asal "Melancholia' dari bahasa Greek itu.

Melancholia ialah ayat yang pernah disebutkan oleh Hippocrates bagi menerangkan tentang perasaan bimbang, cemas dan murung - yang biasanya berlaku sekaligus dan dibawa dalam tempoh yang agak lama. Kadang-kadang ia diistilahkan sebagai 'black mood'.

Cukup setakat itu dulu kuliah psikologi di bulan puasa ini. Selamat berpuasa, menunaikan zakat fitrah dan bersolat sunat.

Saturday, 7 August 2010

Islam tidak progresif?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apabila seorang bukan Islam, melabelkan Islam tidak progresif seperti yang disuarakan oleh Presiden MCA, tentulah ada sesuatu yang tidak kena. Menyalahkan pandangan seperti itu juga tidak kena, kerana ia disuarakan oleh orang luar yang mungkin tidak memahami inti Islam itu sendiri.

Benar, banyak negara Islam sedang dirosakkan oleh rasuah. Tetapi ingat, ia dilakukan oleh manusia Islam yang tidak mahu mengamalkan Islam. Mereka menjadi manusia Muslim sejak lahirnya, bersembahyang dan berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji. Tetapi, mereka juga melakukan hal-hal yang dilarang. Ada ketikanya, mereka juga dirasuah dengan pakej melakukan umrah.

Mereka menjadi manusia tamak. Tidak jujur dan penipu. Mereka inilah yang sedang merosakkan imej Islam. Ia adalah kerosakan yang dilakukan oleh manusia yang membalut dirinya dengan agama, tetapi ia tidak menegakkan ruh Islam dalam jiwanya.

Untuk dikatakan umat Islam sebagai manusia perasuah, ia tidak benar. Rasuah juga milik penganut agama lain di India, Thailand, Burma dan banyak negara lain. Menjadi manusia perasuah ini bukan kerana agamanya, tetapi kerana nafsu halobanya. Rasuah berlaku kerana minda manusia yang tidak maju.

Di negara kita, rasuah bukan hanya milik orang Melayu. Ia juga milik para saudagar berbangsa lain. Mereka ini berkongsi amalan ini dengan pemilik kuasa. Kebetulan, orang Melayu yang banyak memegang kunci kuasa ini - maka mereka saling berkerjasama menjalankan rasuah. Inilah sebenarnya masalah utama. Rasuah sudah menjadi milik kita bersama. Milik semua orang yang berkuasa dan mempunyai peluang untuk mendapat habuan.

Menjadi orang Islam, kita bukan sahaja tidak boleh menjadi manusia perasuah, bahkan mematahkan sebilah ranting kecil di rumah orang tanpa kebenaran juga tidak dibolehkan. Anda yang belajar agama tentu pernah mendengar riwayat ini. Menjadi manusia Muslim sejati, anda tidak boleh memakan harta yang bukan hak anda. Malah, bahkan meminta barang orang pun tidak digalakkan. Inikan pula mengambil rasuah dengan nafsu serakah dan tamak haloba.

Kita tidak boleh menyalahkan Presiden MCA. Dia berkata benar atas fakta yang dia miliki. Tetapi kita patut menyalahkan orang Islam sendiri. Lihatlah bagaimana kita telah menukar istilah rasuah menjadi 'politik wang'. Lihat, bagaimana kita selalu meminta komisyen bagi meluluskan projek. Lihat, bagaimana kita selalu cenderung dengan kronisme dan nepotisme dalam membahagikan kekayaan.

Kerajaan Islam - sejak dari Umaiyah, Abbasiyah sampailah kepada kerajaan kecil seperti Fatimiyah hancur, bukan kerana Islam. Mereka hancur kerana diuji dengan kuasa. Mereka runtuh kerana dalam jiwa mereka tidak lagi berpegang dengan apa yang disuruh oleh agama.

Kalau semua penganut Islam - mengamalkan Islam, tidak berbohong, bersikap jujur, tidak tamak dan setiap hari merenung hidupnya selepas mati, kita akan lebih progresif dari semua tamadun lain. Sayang - kita mengaku Islam. Kita mengaku beriman. Tetapi, adakalanya wang dan kuasa sudah menjadi Tuhan baru kita.

Terima kasih Presiden MCA kerana mengingatkan kami semua.

Mengapa kita ketawa?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apa bezanya orang yang dikatakan gila dengan orang normal?

Setiap bulan - kita akan melalui beberapa jenis emosi. Adakalanya kita bersedih. Kita juga ketawa. Kita juga menangis. Sesekali kita juga mungkin murung, marah, bersemangat, ceria dan sebagainya. Semua ini adalah emosi yang ada dalam hidup manusia. Ia kitaran hidup kita sama ada kita ditakdirkan normal atau tidak.

Adakah ada emosi yang negatif? Asalnya tidak ada. Tidak ada emosi yang bersifat positif atau negatif. Marah dan murung mungkin seringkali dikaitkan dengan negatif. Tetapi, kemarahan itu perlu untuk survival hidup. Mustahil kita tidak marah kalau ada orang cuba mengganggu keluarga atau diri kita. Mustahil pula kita tidak murung kalau ditimpa bencana. Kita juga akan berasa begitu gembira kalau berjaya. Semua ini adalah emosi.

Bagaimana pun, untuk memudahkan pengkelasan, marah, murung atau tertekan itu dikatakan sebagai negatif atau positif.

Bagaimana orang yang sakit mental? Mengapa ada di antara mereka yang ketawa seorang diri. Adakah mereka gembira. Ada pula yang murung sepanjang hari. Adakah mereka sedang bersedih. Emosi yang mereka jelmakan itu - sama juga seperti orang normal yang lain. Bezanya orang normal tidak ketawa seorang diri setiap saat, walaupun ada waktunya kita ketawa juga.

Mengapa semua ini muncul? Mengapa orang sakit mental?

Nanti kita sambung.

Friday, 6 August 2010

Jangan katakan aku gila.

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Siri kuliah psikologi kembali lagi.

Kali ini kita bincang penyakit-penyakit psikologi.

Sebenarnya, adakah orang gila di dalam dunia ini?

Bagaimana jawapan anda.

Di zaman silam - di Eropah, manusia yang dianggap gila telah dimasukkan ke dalam bot khas, yang dinamai 'ships of fools' dan kemudiannya diletakkan jauh di tengah lautan.

Sekarang ini pun - orang yang dianggap gila tetap diasingkan dari manusia. Kalau anda ke Hospital Taiping atau Alor Setar, akan ada wad orang gila. Hospital Tampoi dan Tanjung Rambutan antara yang popular. Mereka yang dirawat di hospital ini ialah manusia yang tidak normal.

Yang banyak masuk ke hospital ini biasanya bukanlah mereka yang datang secara sukarela. Misalnya, kalau kita berasa kita seperti manusia yang gila, patutkah kita ke hospital menawarkan diri untuk duduk di sana. Pasti tidak. Kita mungkin tidak gila kalau begitu. Jadi yang banyak masuk ke sana biasanya setelah kes mereka dirujukkan ke pakar atau pihak autoriti tertentu.

Di kampung aku - ada seorang kakak, namanya disamarkan sebagai Kak H - mungkin 20 tahun lebih tua dari aku. Dia selalu berbasikal keliling kampung. Singgah ke sana sini. Dia wanita yang agak cantik ketika mudanya. Bergincu. Kadang-kadang bertopi. Sejak aku mula kenal dunia, dia sudah begitu. Dia singgah ke rumah orang kampung yang baik dengannya. Dia singgah berbual. Beberapa topiknya yang awal mungkin betul. Apabila berbual lebih panjang, ia akan jadi keliru.

Kata orang kampung - dia sakit akibat buatan orang. Sejak remaja lagi.

Dia agak baik dengan aku. Dia selalu bercerita yang dia kerap mendukung aku ketika aku kecil dulu. Aku percaya katanya, kerana ibuku juga berkata begitu. Sampai sekarang, kalau aku balik kampung dia akan singgah. Katanya ingin melihat aku bagaimana rupanya sekarang.

Dia agak normal sedikit sekarang ini.

Agak malang, dalam budaya kita, dalam budaya mana pun jua - orang gila dianggap sebagai manusia pariah. Tiada harga. Seolah-olahnya mereka ini tidak wujud. Seolah-olahnya mereka ini tidak tahu apa-apa.

Berbalik kepada soalan awal tadi, adakah ada manusia gila di dunia ini?

Pandangannya yang paling masyur - yang paling kontroversial dan aku sealiran dengan pandangan ini, datangnya dari Scheff (1966) - mereka ini bukan gila. Mereka ini ialah manusia yang sakit.

Jadi, sama ada seseorang itu kita anggap sebagai gila atau tidak, bukan letaknya pada pesakit. Letaknya pada pandangan dan tanggapan kita sendiri. Seperti kita melihat seseorang itu cantik atau tidak. Ia tidak bergantung kepada empunya diri, tetapi siapa yang melihatnya.

Hakikatnya, tidak ada orang gila. Mereka hanya pesakit. Mereka menjadi mangsa penafsiran orang yang melihatnya, dengan menyatakan mereka gila. Mereka menjadi mangsa kerana kelakuan mereka yang bertentangan dengan budaya setempat.

Orang yang berkaki ayam berjalan di tengah kota Kuala Lumpur pasti akan dianggap gila. Ia tidak pernah berlaku. Bagaimana pun, di kebanyakan kota Barat, warganya selalu sahaja berkaki ayam berjalan keliling bandar. Mereka tidak dianggap gila. Kerana ia tidak bertentangan dengan norma setempat.

Gila atau tidak seseorang - letaknya pada penafsiran kita. Itu sahaja.

Thursday, 5 August 2010

Surat untuk kawan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hai kawan,

Kata seorang sarjana, "Doing your PhD is about solving one million problems'. Aku tidak sependapat dengan sarjana itu. Bagiku, mengejar PhD sebenarnya membawa bersama sejuta masalah. Ia menyangkut paut dengan segala kacau bilau kehidupan sebagai manusia, suami, bapa, anak dan pelajar. Walaupun ia membuka luas pintu pemikiran, ia juga memasung dunia yang waras.

Aku tidak begitu pasti sama ada aku pernah tahu apa itu PhD ketika aku masih bersekolah. Bagi aku, belajar hanya untuk lulus peperiksaan. Kata orang, mereka yang lulus periksa, akan mudah mendapat kerja. Hidup akan senang lenang. Itu sahaja pesan yang disampaikan turun temurun. Takdirnya, ini jugalah pesan yang aku sampaikan kepada orang yang lebih muda.

PhD bukanlah satu kebijaksanaan. Ia adalah ketabahan. Kebijaksanaan tanpa ketabahan, tidak memulangkan apa-apa. Orang yang tabah, tanpa kebijaksanaan pun, lama-lama akan berjaya juga. Aku tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan. Aku tidaklah manusia yang bijak. Pastinya, bukan seorang yang tabah. Kalau aku bijak, tamat SPM aku pasti sudah ke luar negeri. Seperti banyaknya anak muda yang kini menempuh ijazah pertama di luar negara. Mereka itu orang yang bijak. Aku juga tidak begitu tabah. Aku seboleh-bolehnya ingin mendapat keputusan yang cepat, tanpa perlu banyak bersusah payah.

Kebelakangan ini dunia hidupku berubah dengan pantas. Dari pagi hingga ke malam aku akan duduk di depan komputer di pejabat ini. Malamnya aku membelah suhu sejuk menunggu dua buah bas. Begitulah kehidupan yang telah mencelarukan rutin hidupku. Adakanya aku menulis. Tetapi tidaklah banyak. Ia terganggu dengan proses analisa pula. Proses analisa juga tidak selesai. Ia dipintas oleh kebimbangan tempoh masa yang ada pula. Apabila terasa ingin membaca, alih-alih teringat bab yang belum selesai pula. Begitulah dunia hidupku sejak akhir-akhir ini. Akhirnya, tidak ada apa satu pun yang menjadi.

Aku tidak begitu tahu hal orang lain. Aku juga tidak begitu mahu tahu hal mereka yang lain. Pastilah, setiap orang ada ceritanya sendiri.

Dulu ketika berkerja - kehidupanku juga sibuk. Masa juga bergerak pantas. Setiap hujung bulan - ada satu kebimbangan yang akan datang. Cukupkah wang bulan ini. Cukupkah untuk membayar gaji pekerja. Bagaimana dengan bayaran sewa. Kalau kita menggunakan sebahagian wang ini, bagaimana pula biaya untuk operasi. Semuanya juga adalah cerita kacau. Tetapi ada waktunya, kita boleh bergembira kalau ada wang banyak yang masuk. Ia tidak berlaku selalu. Cuma sekali sekala.

Tapi itu cerita kacau bilau yang lain. Sekarang lain. Sekarang tidak perlu berfikir untuk manusia lain. Kacau bilau sekarang ini hanya berperang dengan diri sendiri. Pertarungan batin yang menyeksakan. Sesekali menyeramkan.

Sebenarnya, tidaklah begitu mudah untuk mendapat gelar PhD. Walaupun pada akhirnya, gelar itu tidak membawa apa makna juga. Ia hanya sekadar sekeping kertas untuk mencari makan. Ia bukan kayu ukur kebijaksanaan seseorang. Tetapi ia mungkin menceritakan jalan tabah seseorang manusia. Itu sahaja.

Ketika masih di bangku universiti - sambil berjalan-jalan dengan Bento di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, aku pernah memberitahu Bento yang satu hari nanti aku perlu juga memiliki PhD. Waktu itu aku pun masih tidak pasti apa yang hebat sangatnya PhD ini. Mengapa tidak aku beritahu dia yang aku patut mengahwini seorang puteri raja. Untung-untung doaku waktu itu termakbul.

Sekarang ini - sebahagian yang aku harapkan hampir 20 tahun dulu, aku laluinya. Ia datang bagai mimpi. Tidak disangka-sangka. Tetapi, ia bukan lagi kehidupan mimpi. Ia kehidupan nyata yang adakalanya sangat menakutkan. Entah apa yang ditakutkan.

Kawan. Engkau di mana sekarang? Bukankah lebih baik kalau kita minum secawan kopi di waktu ini. Kita bercerita tentang dunia yang lain. Dunia bermain pondok-pondok dan mengejar layang-layang. Kita bercerita hal politik. Kita bercerita hal proposal projek yang diciplak dan kemudiannya mereka mengaku itu milik mereka. Kita juga boleh bercerita hal orang kampung. Bagaimana harga getah sekarang ini? Di belakang kebun itu, mereka masih berlaga ayam?

Ah. Bagaimana ceritanya Datuk Siti. Sudah hamilkah dia?

Tidak ada apa yang pelik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa bulan lalu aku pernah menulis siri bunuh diri. Kali ini aku ingin menulis lagi atas permintaan seorang sahabat untuk mengulas isu seorang bekas ahli politik yang didapati terbunuh bersama pembantu wanitanya dalam sebuah kereta. Teori awal menyatakan bahawa ahli politik itu mungkin membunuh pasangannya dahulu, sebelum menembak dirinya pula. Hipotesis ini tentulah berasas kepada dua peluru di kepala wanita, dan satu peluru lagi di tubuh ahli politik tadi.

Maksudnya, mustahil ahli politik tadi menembak dirinya dulu, kemudian menembak dua kali di kepala wanita tadi.

Kalau satu peluru di kepala lelaki, dan satu peluru lagi di kepala wanita pula bagaimana? Kalau begitu situasinya, persoalan yang mungkin timbul ialah siapa yang menembak dulu. Kalau dua peluru di kepala lelaki, dan satu peluru di kepala wanita, hipotesisnya akan bertukar lagi. Mungkin wanita itu yang menembak dulu.

Atau ada orang lain yang menembak? Mereka mungkin tahu teknik hipotesis ini. Mereka masuk ke dalam kereta, mereka menembak dari dalam. Kalau begitu, pembunuh ini tentu seorang profesional.

Ia juga hal yang boleh jadi.

Kita tinggalkan dulu. Biarkan polis melakukan kerja mereka.

*********************************

Kajian mendapati manusia yang berumur 65 tahun ke atas cenderung membunuh diri. Teori yang berkait dengan hal ini ialah theory of social roles. Pada usia ini, peranan kita telah berubah dengan begitu banyak. Ada yang berpencen dan hilang pekerjaan. Berubah menjadi bapa/ibu kepada datuk atau nenek. Ada yang kematian pasangan dan sebagainya. Tidak kurang yang sakit dan hilang upaya.

Semua ini adalah alasan utama dalam teori ini. Umur ini juga, biasanya untuk kembali recover sangat sukar. Kerana masa semakin pendek. Umur kian bertambah. Ia berbeza kalau umur 25 atau 35 tahun. Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki.

Umur yang sebegini juga memungkinkan seseorang itu untuk murung, dan tidak kurang yang cenderung membunuh diri. Semua ini ialah kerana mereka tidak ada pilihan lain. Luar mungkin kelihatan bahagia. Hati di dalam siapa yang tahu.

Dalam budaya kita - kerana kita tidak pernah ambil berat akan hal penyakit psikologi, kita adakalanya tidak tahu pun sama ada ibu atau ayah kita di rumah murung atau tidak. Kita selalu beranggapan mereka kian menghampiri usia nyanyuk. Sedangkan hakikatnya, mereka mungkin sedang dilanda masalah kesunyian. Paling baik yang selalu kita lakukan ialah memanggil bomoh - dan kemudiannya mula berbicara tentang kemarahan roh nenek moyang.

Harus juga diingat - aktiviti seksual - atau sekurang-kurangnya keinginan seksual bagi kelompok umur ini juga masih normal. Bagaimana pun, ia hanya untuk lelaki. Tidak bagi wanita. Ini juga sebahagian perubahan yang dihadapi oleh kelompok usia ini.

Kajian di Finland mendapati bahawa 2/3 dari lelaki ini masih ingin atau cenderung berhubungan seks, tetapi hanya 1/4 bagi wanita. Kajian-kajian lain di Sweden juga menunjukkan hal yang sama. Separuh (1/2) dari lelaki yang berkahwin berhajatkan seks, tetapi hanya 1/3 bagi wanita.


Ini menunjukkan bahawa lelaki pada umur ini masih berhajatkan untuk memiliki pasangan hidup. Sebab itu - kalau bapa kita kematian ibu misalnya, kita jangan sesekali melarang mereka berkahwin lagi. Kita tidak tahu apa yang tersirat dalam hati mereka.

Dalam keadaan wanita berumur 60 ke atas semakin kurang aktif, dan lelaki pada umur yang sama sama ada tetap stabil, atau masih ada kecenderungan seksual, jadi tidaklah sesuatu yang ajaib kalau kita dapati banyak lelaki berusia lanjut masih mempunyai isteri muda atau teman wanita yang istimewa.

Semua ini sebenarnya didorong oleh tabie manusia itu sendiri.


Jadi - adakah pelik kalau lelaki berusia masih berhasrat berkahwin lagi - atau masih terjerat dalam percintaan? Mungkinkah lelaki pada usia ini masih lagi berhadapan dengan konflik cinta? Semuanya adalah hal yang boleh jadi.

Tidak ada apa yang pelik.

Yang pelik ialah apabila kita hanya tidak mahu mengambil tahu hakikat sebenar.

Wednesday, 4 August 2010

Mengapa aku menulis blog?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Mengapa aku menulis blog? Apakah motifnya?

Sampai sekarang aku tidak pernah ada jawapan untuknya. Aku tidak tahu mengapa harus aku membongkarkan rahsia dalam mindaku untuk orang lain. Tidak juga tahu mengapa harus aku bersusah payah menaip cerita tentang diri aku sendiri.

Orang lain juga - yang menulis blog - tentu juga tidak tahu mengapa mereka harus bersusah payah menulis di blog. Mengapa tidak tulis sahaja di atas kertas putih dan simpan dalam laci.

Dari dulu sampai sekarang - aku tidak tahu sejak bila aku minat menulis. Zaman sekolah rendah - kita hanya diajar menulis. Tetapi, tulisan itu tidak melambangkan pemikiran. Sekolah menengah mungkin mengajar kita. Tetapi itu tidak analitikal. Ia sekadar menulis semula apa yang dihafal.

Ketika aku belum masuk sekolah lagi - ayahku sudah ajarkan aku menulis. Tetapi ia sekadar menulis patah perkataan.

Di universiti, peluang menulis lebih banyak. Tetapi kita hanya sekadar menulis apa yang kita pelajari. Fokusnya pula untuk peperiksaan atau kertas kerja. Itu perkara yang datang kerana paksaan.

Menulis blog lain. Ia tidak dipaksa sesiapa. Mungkin ada sedikit, kalau pun tidak banyak. Apabila melihat ada orang datang singgah, tetapi kita tidak menulis sesuatu, rasa seperti tidak kena pula.

Kadang-kadang, menulis blog juga membebankan. Apabila membaca suratkhabar atau memerhati sesuatu, ada yang kita rasa tidak kena. Waktu itu, otak membebankan jari untuk menyatakan rasa kita. Kadang-kadang apabila mendengar orang bercerita - kita pun rasa ini patut ditulis. Semua ini menjadikan penulisan blog kian membebankan.

Sekarang ini - apabila melihat ada gesaan agar guru dibolehkan berpolitik - aku terbeban berfikir. Mengapa hanya guru. Mengapa dasar hanya dibolehkan untuk satu golongan, dan tidak golongan lain. Dasar ialah sesuatu untuk semua manusia. Kakitangan kerajaan lain pun manusia juga. Mereka juga makhluk politik. Mengapa mereka tidak tergolong dalam kumpulan yang dicadangkan itu?

Sebenarnya itu ada dalam benak aku. Aku sengaja tidak mahu menulis.

Aku tahu - adakalanya pandangan dari ahli politik tidak semuanya terjangkau akal yang waras. Ia hanya pertimbangan untuk membahagiakan diri sendiri.

Tuesday, 3 August 2010

Ini cerita profesor

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tadi, seorang sahabat lama - Din, bertanya mengapa lama tidak update. Jawapan paling mudah, sibuk. Jawapan lain yang mungkin sesuai - sebenarnya tidak ada apa yang hendak ditulis. Sebenarnya itulah jawapannya.

Aku sedang cuba menganalisis data yang diberikan seorang Profesor dari Universiti Tokyo. Seperti biasa, data yang dia ada baik. Aku cuba bandingkan dengan data Malaysia. Data aku yang selalu kucar kacir. Orang mungkin mengisi soal selidik tanpa membaca. Itu masalah biasa. Sebab itu - aku malas menulis di blog.

Bagaimana pun - aku ada sedikit cerita. Cerita profesor.

Bagaimana agaknya imej profesor yang selalu anda bayangkan? Bagaimana anda menanggap profesor kita di Malaysia. Satu hari nanti, Sdr Ben mungkin juga bakal jadi profesor. Adakah profesor itu sangat protokol? Atau profesor itu sangat garang? Atau mereka hanya pandai bercakap, tetapi apabila menggoogle di internet, nama mereka tidak keluar?

Semua ini adalah kebarangkalian yang boleh berlaku.

Aku bernasib baik datang ke Australia. Sempat juga aku berkenalan dengan beberapa orang profesor dunia yang ternama. Antaranya ialah Prof Christian Dormann dari Germany. Orangnya biasa sahaja. Seorang lagi, Prof Akihito dari Jepun. Beliau mungkin belum lagi sebaris dengan Prof Dormann. Tapi kedua-keduanya biasa sahaja. Kita boleh duduk berbual dengan mereka. Sesekali boleh mengirim e-mel.

Banyak lagi profesor ternama Barat yang boleh kita kirimkan e-mel kepada mereka, dan mereka akan menjawabnya dengan cepat. Yang ternama ini biasanya orang yang berkelaku biasa sahaja.

Tetapi, itu bukanlah ceritanya kali ini.

Sejak dua minggu ini, ada seorang pelawat dari Universiti Barcelona. Dia duduk di meja sebelah aku. Orangnya masih muda. Kerana dia masih tidak pandai dalam AMOS, maka aku bolehlah mengajar beliau akan hal itu. Dia memang seorang yang pandai statistik. Tetapi, dia menggunakan software yang lain.

Jadi kami selalu berbual. Dia juga mempunyai begitu banyak 'trick' memanipulasi data yang kacau bilau. Katanya ini tidak akan diajar di bilik kuliah. Tidak juga bakal ditulis di dalam buku teks. Tetapi ini bukan hal yang salah. Apa caranya? Aku tidak boleh beritahu. Ini tidak juga boleh diajar melalui blog!

Dia juga selalu balik menaiki bas bersama aku. Boleh dikatakan setiap hari.

Dua tiga hari lalu, dia memintakan aku mengrimkan dia satu artikel. Dia menghulurkan kadnya bagi membolehkan aku menulis alamat emailnya.

Membelek kad nama beliau, baru aku tahu - dia juga sebenarnya seorang profesor. Bila aku google nama beliau dalam internet, begitu banyak jurnal yang telah dia tulis. Patutlah dia seorang profesor.

Cuba anda google nama profesor kita pula.

Ini adalah hari terakhirnya. Besok dia akan balik ke Sepanyol.

Sebelum balik tadi, aku berpesan agar dia membelikan aku tiket perlawanan Barcelona vs. Real Madrid.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails