Yang Ikut

Monday, 31 May 2010

Pesan untuk yang masih remaja

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Usia remaja hanya datang sekali untuk setiap manusia. Usia remaja ialah usia paling indah. Kita melihat semua perkara dengan pancaindera keseronokan. Kita gembira berbual-bual dengan rakan-rakan. Kita riang boleh bersiar-siar di pasaraya atau menonton konsert. Kita merasa hebat apabila orang melihat kita sebagai lain dari yang lain.

Usia remaja - ialah usia percubaan untuk lari dari alam kanak-kanak dan cuba menerobos masuk ke alam dewasa. Usia remaja, akal kita berfikir dengan fantasi zaman kanak-kanak dan realiti orang dewasa. Ingin cuba menjadi dewasa, tetapi sebenarnya tidak. Ingin tidak menjadi kanak-kanak, tetapi tetap bukan dewasa. Inilah remaja. Usia emas yang selalu memerangkap.

Kalau kita masih remaja - berhati-hatilah. Memang semuanya indah. Indah bukan kerana sesuatu itu indah. Indah kerana penglihatan kita dikaburkan dengan bayang-bayang keseronokan.

Kalau kita mempunyai anak remaja, juga berhati-hatilah. Jangan anggap mereka dewasa dengan memberikan kebebasan tanpa batas. Jangan juga dianggap mereka terlalu kanak-kanak dengan kawalan tanpa noktah.

Sebahagian tahap perkembangan manusia telah diulas di sini.


*********************

THREE teenage girls confessed that they were willing to have sex with men for as little as RM5 or some syabu, reported Metro Ahad.

Alin, a 17-year-old Johorean confessed to the Malay daily that she had been involved in this sexual activity since she was 16.

“At first, I was only sleeping with my boyfriend. Then he told his friends about me and I became popular among his friends,” Alin said.

“One guy would act as a ‘pimp’ to gather all the schoolmates who want to sleep with me. I charged RM5 per person.”

“I have ‘serviced’ six men in one go at the most. With the RM30, I bought a prepaid card and saved up to buy a new phone,” added Alin.

Alin became addicted to sex and would frequently play truant to go to a friend’s house for sex.

In two years she had slept with over 30 men.

“During that period, I was pregnant once but with the help of a friend I had an abortion,” said Alin.

Even though Alin admitted she was aware of the risks, she did not want to think too much about her actions as she just wanted to have fun.

Now, she has vowed to turn over a new leaf.

“Despite my troubles, I’m determined to sit for my Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). I also want to change for my mother,” said Alin.

Two other teenage girls in Sabah were also involved in similar sexual activities.

Nurul and Lina, both 16, would offer sex for syabu as they could not afford to buy it.

“I would sleep with anyone as long as I’m given syabu,” said Nurul.

Lina, on the other hand, said that she did not mind trading sex for syabu as the most important thing was that she had fun.

Sunday, 30 May 2010

Ini sebahagian berita

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tengahari tadi ke Women and Children Hospital (WCH). Kami mendengar khabar bahawa ada seorang remaja dari Malaysia akan melakukan pembedahan di situ.

Diringkaskan cerita, kami bersama beberapa orang anak Malaysia lain ke WCH untuk bertanya khabar mengenai pesakit tersebut. Remaja itu mengalami masalah seperti Siti Muslihah - kalau anda masih ingat lagi remaja yang mengalami kecacatan di muka sekitar tahun 1990-an dulu. Remaja ini dari Pulau Pinang. Bersama remaja itu ialah ibu dan kakaknya.

Sepanjang lawatan kami, kami berpeluang untuk berborak panjang dengan ibu kepada remaja tersebut. Ibunya berasal dari Thailand. Berkahwin dengan orang tempatan. Telo perbualan Melayunya masih lagi pelat dengan bahasa Siam - nada yang sama oleh orang Melayu di kampung aku. Yang pasti, mereka seagama dengan kita.

Mereka sudah berada di Adelaide hampir dua minggu. Menurut ibu remaja itu - kos pembedahan dibiayai oleh doktor di WCH. Aku tidak begitu pasti. Mungkin bukan doktor, tetapi dibiayai oleh pihak hospital. Sukar juga berbual kerana ada hal-hal yang tidak dapat dia terangkan secara jelas kerana masalah bahasa.

Kerana ibu itu seorang wanita - maka yang banyak berbual dengannya ialah kaum ibu juga. Aku sesekali sahaja mencelah dalam bahasa Siam.

Dia sempat menceritakan tentang masalah birokrasi di negara kita untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi meringankan keperluannya sini. Menurutnya, dia ada mendapat sedikit bantuan dari agensi kerajaan di negara kita. Cuma - kerana dia sendiri mungkin tidak begitu jelas dengan nama jabatan di negara kita, maka sukar untuk beliau menamakan apakah agensi terbabit.

Tidaklah pasti sama ada ia agensi agama atau jabatan yang berkait dengan kebajikan.

Dia juga ada menyebut jumlahnya. Tidaklah perlu aku sebutkan. Tidaklah banyak.

Bagaimana pun, katanya permohonannya itu tidak mudah juga. Dia perlu berjumpa dengan orang atas bagi mempercepatkan prosesnya. Jumlah yang didapatkannya juga tidaklah banyak. Katanya, banyak yang telah habis untuk urusan pasport dan visa.

Apatah lagi perbelanjaan di sini tidaklah pula murah. Pihak hospital hanya menyediakan kemudahan penginapan untuk ibu dan remaja lelaki yang sakit itu sahaja. Sedangkan dia perlu membayar AUD 18 sehari untuk tambahan katil untuk anak gadisnya. Itu belum termasuk kos makan dan minum.

Ada satu hal lagi - dia beberapa kali menyebut ada satu pertubuhan lain yang membantu meringankan kos sarahidupnya. Katanya mereka ini memberikan peruntukan yang besar sedikit, walaupun tidak banyak. Kalau tidak silap - membiayai tiket kapal terbangnya. Pertubuhan itu ialah sebuah persatuan agama Buddha di Malaysia. Bahkan, ketika di Adelaide ini - wakil pertubuhan Buddha di sini sering melawatnya bertanyakan keperluannya. Bahkan, prosesnya permohonannya juga mudah. Sekadar 2 minggu.

Kita ucapkan terima kasih kepada persatuan Buddha itu kerana sudi membantunya. Apatah lagi, mereka itu dari keluarga beragama Islam. Tentulah ia sebahagian dari kebajikan yang diajar agama Buddha.

Sehingga catatan ini - tentulah kita tidak boleh menyalahkan badan agama kita - kerana kita tidak tahu sama ada ibu tadi sudah memohon bantuan atau tidak. Juga tidak pasti apakah agensi lain yang membantunya itu termasuk juga jabatan agama Islam dan sebagainya.

Bagaimana pun - kini tiba masanya kita menyelak kembali cara kita. Lihat bagaimana aktif dan efisiennya pertubuhan agama lain membantu semua umat manusia. Bagaimana pula dengan cara pertubuhan kita berkerja? Adakah sama efisiennya? Adakah kita juga membantu orang dari agama lain?

Aku tidak boleh menulis panjang. Aku perlu tahu lebih banyak lagi sebelum aku boleh menyambung cerita ini.

Kalau ada sesiapa yang berhasrat membantu ibu tadi dan anak-anaknya sepanjang mereka di sini, bolehlah hubungi aku. Beberapa orang kawan aku - tadi ada bercakap-cakap untuk membantu ibu tadi. Mungkin melalui derma kewangan, atau juga menolong menghantarkan makanan.

Nota: Kerana banyak lagi yang tidak jelas, tidak semuanya dapat aku ulas di sini. Bagaimana pun, kalau anda mampu membaca tulisan ini beberapa kali, itu lebih baik.

Yang berhasrat untuk melawat: bilik 404, Samuel Way Building, WCH, North Adelaide
Nama ibu: Kak Ani
Nama anak: Mahathir Ismail

Ini berita gempar

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Berita jam 10.57 pagi.

Aku sedang mendapat maklumat tentang sesuatu.


Pada kacamata aku - ini berita gempar. Ini berita sensasi. Ini cerita betapa teruknya orang kita. Betapa kerdilnya masyarakat kita.

Ia bukan cerita dongeng. Ini cerita berkaitan dengan orang Islam. Mungkin mentafsirkan masalah orang Islam sejagat juga.

Ia juga mungkin menceritakan betapa kita hanya banyak berkata-kata.

Apa beritanya?

Apa isinya?

Tunggu petang atau malam nanti akan aku tulis. Berikan aku sedikit masa untuk menjalankan kerja-kerja wartawan penyiasatan. Kalau aku boleh mendapatkan maklumat yang lebih jelas, aku akan siarkan laporan kisah ini.

Tunggu.

Menafsir mimpi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan dari Melbourne ada menceritakan bahawa dia bermimpi bahawa aku diterkam harimau putih. Dia ingin tahu, sama ada aku boleh menafsir mimpi. Aku menjawab bahawa aku akan mendapat duit.

Sebenarnya apakah yang dikatakan mimpi. Kalau kita membaca buku mengenai rawatan Islam oleh Dr Harun Din & Amran Kasimin, ada juga dibincangkan sedikit mengenai hal mimpi. Biasanya orang yang sakit akan bermimpi hal binatang hitam seperti anjing dan sebagainya.

Aku boleh terima pendapat itu. Lama dahulu, tahun 2000 beberapa hari sebelum aku jatuh sakit, aku bermimpikan monyet hitam. Malam berikutnya, aku bermimpikan hal menakutkan yang lain. Aku mati dan cuba ditanam oleh beberapa orang sami Buddha. Mereka sedang memegang obor. Melihat aku ditanam mengikut upacara orang Siam - aku meronta - lalu menendang tanah yang sedang ditimbun ke atas tubuh aku. Aku tahu aku orang Islam - tidak boleh ditanam dengan cara pelik sebegitu. Aku berjaya meloloskan diri dari mereka - dan terjaga.

Apakah sebenarnya mimpi?

Mengapa ada mimpi yang kita ingat, dan ada yang tidak. Mengapa ada mimpi yang menyeronokkan, dan adakalanya menakutkan. Mengapa kadang-kadang kita terasa kita ada bermimpi sesuatu, tetapi apabila terbangun kita gagal mengingati jalan ceritanya.

Dalam bidang psikologi - ada dua tokoh utama yang selalu dikaitkan dengan hal mimpi - Sigmund Frued dan Carl Jung. Kedua-dua ini dari aliran psikoanalisis. Mereka ini selalu cuba menerokai pesakit dengan apa yang mereka alami ketika mimpi.

Bagi kedua-dua tokoh ini - walaupun berbeza - mimpi itu dijelmakan dari alam tidak sedar. Ada juga hal-hal yang berlaku ketika siangnya, lalu dibawa ke alam tidur. Ia mungkin berlaku secara kita sedar, dan ada yang tidak. Misalnya, ketika memandu kenderaan kita melihat banyak perkara secara sekali imbas sahaja. Ada maklumat yang kita simpan misalnya nama jalan. Ada pula maklumat yang kita anggap tidak penting - tetapi ia disimpan di alam tidak sedar, misalnya orang sedang berkerja membaiki jalan.

Ada pula maklumat yang mungkin kita dengar ketika berbual-bual dengan sahabat kita. Mungkin juga kenangan lampau kita.

Maklumat-maklumat tidak sedar inilah yang kadang-kadang muncul kembali.

Seorang teman, setahun lalu bertanyakan aku tentang mimpinya dikejar ular. Lelaki Melayu biasanya sangat suka dengan mimpi ular - kononnya akan mendapat pasangan. Ini adalah mitos yang sudah lama berlegar.

Aku bertanya sama ada dia melihat ular, atau benda-benda yang mirip dengan ular. Dia katakan tidak. Lama kemudiannya baru dia sedar, dia menonton filem Kung Fu Panda. Ada ular di dalam cerita itu.

Ada hal-hal tidak sedar yang tidak mampu diterangkan itulah yang biasanya ujud dalam diri pesakit. Dalam bidang psikologi - hal-hal seperti kekecewaan, bimbang, kisah derita lama dan sebagainya mungkin akan menyebabkan seseorang itu sakit mental. Kisah-kisah ini mungkin tidak diceritakan kepada orang. Tetapi kerana kisah ini - yang diberikan begitu banyak tumpuan - ia muncul semula di alam mimpi. "Isi cerita' mimpi inilah yang diminati oleh ahli psikologi aliran psikoanalisis.

Itulah sebahagian hakikat mimpi yang cuba diterangkan dalam bidang psikologi. Kajian dalam hal mimpi ini biasanya dilakukan oleh mereka yang ditempatkan di Centre of Sleep Research.

Bagaimana pun - dalam agama kita - ada juga disebutkan tentang mimpi. Ada mimpi yang benar, dan ada yang palsu. Banyak yang kita mimpikan setiap hari mungkin hanya bersifat igauan sahaja.

Lebih dua puluh tahun dahulu, di tempat aku - aku masih ingat lagi satu cerita. Seorang kontraktor membersihkan kebun getah Felda, bermimpi didatangi seseorang memberitahunya bahawa ada tersimpan emas di satu tempat di dalam kawasan kebun itu. Aku kenal dengan kontraktor ini, dia lelaki baik. Kebesokan harinya, dia pergi ke tempat itu. Memang benar apa yang disampaikan dalam mimpi itu. Kalaulah ceritanya benar, tentulah mimpi itu benar. Melainkan ceritanya itu tidak benar, maka mimpi tadi juga tidak benar lagi.

Nanti - kalau ada masa kita cuba selidiki sedikit berkaitan hal mimpi.

Friday, 28 May 2010

Apa itu Pygmalion dan Galatea?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda yang bukan terdidik dalam bidang psikologi, mungkin jarang mendengar kedua-dua hal ini. Bagaiamana pun, kedua-dua hal ini selalu ada dalam hidup kita. Apa itu pygmalion? Apa pula galatea?

Pygmalion - ialah apabila seseorang lain - misalnya orang atasan, guru dan sebagainya menjangka anda akan berjaya, maka besar kemungkinan anda akan berjaya. Mengapa begitu? Sebabnya dengan jangkaan tadi, mereka akan cuba memenuhi jangkaan tadi. Orang atasan yang melihat anda ada potensi untuk berjaya, mereka akan cuba sebaik mungkin memberi sokongan bagi membolehkan anda berjaya. Akhirnya, jangkaan yang anda berjaya betul-betul terjadi.

Galatea pula merujuk kepada jangkaan anda sendiri. Sekiranya anda menjangka anda boleh berjaya, anda akan cuba melakukan yang terbaik bagi membolehkan kejayaan dicapai. Begitu pula kalau anda merasakan anda akan gagal. Anda akan berasa lemah dan malas, akhirnya apa yang anda harapkan akan berlaku.

Pernahkah kedua-dua hal ini berlaku dalam hidup anda? Tentu selalu. Pelajar yang bertungkus lumus berusaha kerana mereka mungkin didorong oleh 'galatea' atau jangkaan ini. Kita menjangka kita akan berjaya, sebab itu kita rajin membaca buku dan begitu bersemangat. Begitu juga dengan pygmalion. Penyelia kita yang bersikap positif dengan kita mungkin kerana dia juga terpengaruh dengan kesan pygmalion ini. Kalau dia menganggap kita akan gagal - besar kemungkinan kita akan bermasalah untuk berinteraksi dengan penyelia kita.

Mana lebih kuat, pygmalion atau galatea? Aku tak ulas kerana ia akan menjadi hal akademik yang sulit pula.

Kita bincang hal lain.

***************

Sekarang ini, banyak desas desus bahawa akan ada lagi calon dari sebuah parti akan lompat parti. Desas desus ini pula disuarakan oleh mereka dari parti yang lain.

Apakah ini? Inilah yang dikatakan pygmalion. Dengan memberikan begitu banyak liputan kepada hal ini, akhirnya orang terpengaruh juga. Para pemimpin parti merasa akan ada lagi orang yang bakal lompat parti. Jadi - secara tidak langsung - pada akhirnya mereka memberikan layanan kepada sesetengah orang yang dijangka akan melompat parti sesuai dengan perilaku mereka. Orang yang dijangka tadi juga tidak senang duduk. Mereka pada mulanya mungkin tidak ada niat pun. Tetapi, kerana banyak sangat jangkaan yang mereka akan melompat parti - akhirnya mereka merasa resah. Mereka rasa seperti sudah tidak dipercayai. Akhirnya orang tadi betul-betul melompat parti.

Kejayaan Jose Mourinho yang memenangi 3 piala sekaligus bersama Inter Milan mungkin juga kerana komen-komennya yang sangat positif. Dia menganggap dirinya sebagai 'Special One'. Caranya dengan penuh yakin ini ialah 'galatea". Dia menjadi orang yang berpengaruh dan berjaya dalam melatih pasukan bola kerana semangatnya yang tinggi. Pemainnya pula mungkin terkesan oleh 'pygmalion'. Mereka perlu bermain bersunguh-sungguh kerana merasakan mereka diberikan harapan dan jangkaan tinggi.

Anda faham sekarang?

Cubalah bermain dengan jangkaan ini dalam hidup anda. Boleh juga mencubanya dengan anak-anak dalam memenuhi harapan pendidikan mereka. Jangan berikan komen negatif, sekalipun mereka gagal. Ia mungkin dapat membantu.

Para pendakwah yang berkunjung ke rumah orang - perlu selalu ada perasaan 'pigmalion' ini. Kita perlu bersangka baik bahawa orang yang kita dakwah itu akan melakukan perubahan dalam hidupnya. Mereka akan menjadi lebih baik. Dengan cara ini - barulah kita mudah untuk berinteraksi dengan mereka. Cuba bayangkan, ketika berkunjung ke rumah orang - kita sudah menjangkakan hal negatif. Kita tentu akan sukar memulakan perbualan.

Thursday, 27 May 2010

Yang terindah ialah yang tertinggal

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apakah yang paling indah dalam hidup anda sekarang ini?

Sebenarnya, banyak perkara indah tidak ada pada saat kita memilikinya. Itulah sebab yang memungkinkan kita mula berasa sayu apabila melihat anak-anak sedang tidur lena. Sedangkan pada saat jaganya, kita berasa begitu penat dan tak berhenti memarahi mereka.

Masa indah zaman persekolahan hanya kita sedari pada hari terakhir kita perlu meninggalkan bilik darjah. Hari terakhir itulah kita berasa betapa sayangnya kita dengan sekolah kita - kenangan yang tak mungkin dialami lagi. Hari terakhir itulah kita mula tahu bahawa kita mula kehilangan segala-galanya. Teman-teman berlari atau kekasih cinta 'monyet' yang saling berbalas surat dengan kita. Kita juga akhirnya mula sedar bahawa ada yang tidak kita temui lagi buat selama-lamanya.

Kita merasa sayu apabila kita kehilangan seseorang. Baik ia sahabat akrab kita yang pulang buat selama-lamanya, atau kekasih kita yang pergi mengahwini orang lain. Masa indah bukanlah pada saat mereka bersama kita. Masa indah ialah kenangan lampau kita bersama mereka. Semasa kita masih bersama - kita melihat semuanya biasa sahaja. Bahkan, kita mungkin banyak bergaduh dan bermasam muka. Rupanya keindahan itu hanya kita dapatkan setelah kita tahu bahawa semua itu telah tidak ada lagi.

Ketika di universiti - kita berasa bosan dengan begitu banyak tugasan. Kita berasa marah dengan jadual kelas pada awal pagi, atau yang dijadualkan pada pagi Sabtu. Kita berasa gusar dengan beberapa hal yang tidak kita suka -- pensyarah yang cerewet, teman yang malas, atau subjek yang sukar. Kita berasa ingin lari dari semuanya. Sebaik sahaja kita meninggalkan alam universiti dan melangkah ke alam kerja, kita berasa alangkah indahnya kembali muda dan duduk di bilik kuliah. Itulah masa terbaik kita sebagai manusia.

Sampai saatnya nanti - kita akan melangkah ke alam pencen. Saat itu juga kita tahu bahawa dunia pekerjaan yang penuh tipu daya, hipokrit dan caca-merba itu bukanlah yang terburuk. Kita tahu bahawa kita akan melangkah ke alam sepi - persekitaran hidup yang kian membosankan.

Pasti juga - pada saat kita sakit tua nanti - kita tahu bahawa masa muda dan saat sihat itulah usia terindah kita. Kita tidak akan mampu mengulanginya lagi.

Sesiapa pun kita - nikmatilah saat indah ketika kita masih memiliki sesuatu. Bunga yang gugur tak akan tumbuh lagi. Usia yang menyusur tak akan berpatah balik. Waktu yang berdetik akan melupakan kita. Yang terindah ialah yang tertinggal di belakang kita.

Wednesday, 26 May 2010

Blog teman lama

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa tahun dahulu - aku memang berkerja sebagai penulis. Itu sebahagian dari kerja aku, walaupun aku juga sebenarnya membuat kerja lain.

Apakah kerja menulis ini kerja yang menarik? Sebenarnya kerja menulis itu kadang-kadang berat juga. Beratnya bukan pada menulis, sukarnya ialah ketika kita berfikir. Seperti menulis tesis juga. Sukarnya bukan menulis, sukarnya ialah memikir apa yang patut ditulis.

Bagaimana pun, dalam hal tertentu menulis ini kadang-kadang membahagiakan. Ia menyebabkan setiap masa kita berfikir. Apabila melihat sesuatu - kadang-kadang kita menyimpannya dalam memori dengan harapan agar ia dapat ditulis kemudian. Ada yang kita tulis semula, ada yang tidak.

Semalam, ketika mengoogle, bertemu dengan satu blog. Anda wajar masuk blog ini. Beliau sebenarnya salah seorang guru aku dalam bidang karang mengarang, walaupun kami tidak pernah menulis dengan cara yang sama. Ketika aku di Sekolah.Com, beliau sempat menulis untuk portal itu dari UK. Banyak tulisan yang masih disimpan. Cuma aku seperti biasa - aku tidak begitu teliti. Aku begitu lemah dalam hal ini. Semuanya hilang. Tidak ada apa satu untuk dikenang.

Tuesday, 25 May 2010

Tidak ada hal yang patut ditulis

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari ini tidak ada apa yang hendak ditulis.

Sebenarnya menulis blog pun tidaklah mudah juga. Adakalanya kena berfikir juga apa yang patut ditulis, apa yang patut dicerita. Sebab tidak semua perkara patut ditulis. Tidak semua hal wajar dibincangkan secara terbuka.

Menulis di blog - sebenarnya membuka rahsia kita di medan terbuka. Kita menceritakan apa yang kita tahu, dan apa yang kita rasa. Sedangkan kita tidak tahu siapa yang membacanya. Mereka mungkin sahabat baik kita, mungkin juga musuh kita. Pembaca mungkin orang biasa sahaja, atau orang besar yang sedang memimpin negara. Atau, mungkin juga anak-anak sahabat kita yang ingin tahu siapakah teman kepada ibu atau ayahnya.

Sebab itu - jangan menulis sesuatu tanpa segan silu. Seperti mana setiap perkara ada mulanya, setiap hal juga ada batasnya.

Menulis ini sebenarnya berubah dengan usia kita. Semasa remaja, kita menulis cara orang muda. Hal-hal yang membuatkan kita gembira. Persahabatan, perjalanan, atau apa sahaja yang menyenangkan hati.

Semakin berumur, kita menulis hal yang berat sedikit. Sesuai dengan pengalaman dan pengetahuan yang kita dapatkan dari hari ke hari. Umur kita menjadikan kita melihat sesuatu dengan cara yang berbeza.

Perbezaan ini - menjadikan kita saling berkongsi. Anak muda berkongsi cerita orang lama. Orang tua mendengar rintihan anak muda.


Jika ada sesiapa yang ingin bertanya sesuatu - atau ingin mencadangkan apa yang patut aku tulis, maklumkan dalam 'chat box'. Aku akan cuba menulis bagi hal yang aku tahu, dan tidak akan menulis bagi hal yang aku tidak faham.

Friday, 21 May 2010

Tuisyen: Perlu atau tidak?

11 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Mala bertanya sama ada tuisyen itu perlu atau tidak?

*********

Sebelum kita mulakan perbincangan kita mulakan dengan ungkapan yang selalu digunapakai - 'manusia itu ialah makhluk sosial'. Maksudnya kehidupan manusia itu begitu mementingkan interaksi, berbual-bual di antara satu sama lain. Tidak terkecuali anak-anak kita juga.

Apa kaitannya dengan tuisyen?

Hari ini - entah dari mana kita meminjamkan budaya ini - tuisyen seolah-olahnya sudah menjadi perkara wajib. Ia sepatutnya hanya sebagai kaedah pembelajaran sokongan sahaja. Tetapi kini tidak lagi. Pusat tuisyen kini wujud di kampung dan kota. Sesiapa yang tidak mengikutinya, seolah-olahnya sedang menempah markah kosong dalam peperiksaan.

Ini hakikat perubahan zaman.

Adakah kita sebenarnya memerlukan tuisyen?

Aku sebenarnya tidak bersetuju dengan keperluan tuisyen. Ia membunuh masa bermain anak-anak. Ia juga menghilangkan masa sosial mereka. Kita juga akan kehilangan banyak waktu untuk bersama dengan anak-anak. Jangka panjang - kita sedang meruntuhkan sistem masyarakat kita dengan manusia yang kurang mahir dalam kemahiran bersosial.

Tetapi dunia moden ini - manusia tidak menghiraukannya lagi. Kita inginkan kejayaan. Kerana bagi kita kejayaan akademik itulah pintu kejayaan manusia. Sejak sekolah rendah lagi anak-anak dipaksa untuk berjaya. Sedangkan kita pun tidak pasti - apakah maknanya kejayaan di sekolah rendah? Paling tinggi hanya diterima masuk ke sekolah berasrama. Itu sahaja.

Jadi kenapa perlu memaksakan mereka dengan begitu banyak beban. Orang dewasa yang berkerja pun hanya berkerja dari jam 8 pagi ke 5 petang. Tetapi anak-anak sekolah kita jam 10 malam baru habis waktunya.

Itu kalau berjaya. Bagaimana pula kalau hanya sekadar mendapat keputusan cukup makan sahaja. Masa mereka yang hilang itu tidak akan mampu diganti semula.

Aku boleh menerima logik untuk mengikuti tuisyen bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Keputusan dalam kedua-dua peperiksaan itu menjadi pintu masuk universiti. Itu pun, sebenarnya aku masih kurang bersetuju. Sepatutnya sekolah yang harus mengambil inisiatif memberikan pendidikan terbaik. Atau sampai waktunya silibus kita dikurangkan. Mengapa harus mengambil tahu semua perkara?

Kerana pentingnya kejayaan akademik itulah, pusat tuisyen tumbuh bagai cendawan. Sebaik mana guru mengajar di sekolah sekalipun, orang masih memandang tuisyen itulah sebenarnya yang akan menghasilkan kejayaan. Guru yang sama akan lebih dipandang tinggi di pusat tuisyennya, berbanding kalau dia mengajar di sekolah. Ini juga sedikit sebanyak sedang menjejaskan reputasi sistem pendidikan kita.

Sebenarnya - apa yang berlaku?

Pandangan psikologi aku kuat menyatakan bahawa sebenarnya apa yang diajar di sekolah dan di tuisyen itu sama sahaja. Yang berbeza ialah sistem pendidikan kita terlalu formal. Ada banyak peraturan. Ada banyak buku yang perlu dibawa. Sistem yang rigid ini telah mengurangkan minat pelajar. Menjadikan suasana pembelajaran semakin membosankan. Walaupun hal yang diajar itu sama sahaja.

Sekiranya kita sebagai ibu bapa - mampu mengajar sendiri anak-anak, atau mampu menetapkan mereka jadual ulangkaji dengan baik - tuisyen mungkin tidak diperlukan lagi. Tuisyen itu sendiri sebenarnya hanya proses ulangkaji.

Bagaimana kalau anak tidak dihantar ke tuisyen?

Inilah antara permasalahan yang kita hadapi. Tuisyen sudah menjadi budaya baru di Malaysia walaupun aku tidak pernah melihat pusat tuisyen di Australia. Tidak pasti di UK atau US. Aku rasa sepertinya tidak ada. Tuisyen juga menjadi kegilaan di Jakarta. Tidak pasti kewujudan tuisyen ini disebabkan perrmintaan masyarakat - atau kerana ia menjadi peluang perniagaan yang baru.

Sekiranya kita tidak menghantar anak-anak kita ke tusiyen, secara automatiknya mereka akan merasa rendah diri. Mereka akan diperkecilkan oleh rakan mereka yang ke pusat tuisyen. Rakan-rakan sebaya ini - adalah teman sosial mereka. Rakan sebaya mereka akan bercakap-cakap mengenai guru mereka yang bagus, dan markah mereka yang tinggi. Mereka juga akan bercakap dengan soalan ramalan. Semua ini akan menggerunkan anak-anak kita. Akhirnya, secara tidak langsung ini bakal memencilkan anak-anak kita yang tidak ke tusiyen.

Anak kita pula akan merungut apabila markahnya rendah - "Itulah mak, hantar tuisyen tak nak?". Realiti yang mereka tidak tahu - banyak juga yang tuisyen itu sebenarnya gagal. Yang berjaya itu pula biasanya berjaya di sekolahnya lagi.

Apa yang boleh kita buat? Kita tidak ada pilihan lain. Tuisyen sudah menjadi institusi baru dalam masyarakat. Setiap ibu bapa bercakap mengenainya. Semua orang mendesak kecemerlangan anak-anak kita. Setiap hari pasti ada suara bertanya berapa "A" yang anak kita dapat dalam peperiksaannya.

Jadi - nasihat untuk Mala - hantar sahajalah anak ke tuisyen. Bukan menghantar kerana kita meyakininya. Anggaplah ia sebagai bilik ulangkaji untuk anak-anak kita. Ia sudah menjadi padang permainan baru anak-anak. Itu sahaja.

Sekiranya aku mempunyai kuasa - aku akan menggesa agar tuisyen untuk pelajar sekolah rendah ditiadakan. Ia hanya akan merosakkan masa bermain anak-anak.

Ahli psikologi boleh tahu orang?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dua minggu lalu - aku mengikuti satu kelas. Terserempak dengan seorang pelajar PhD baru dari Malaysia.

Dia bertanya: "Betul ke, orang psikologi boleh tahu (tafsir) orang".

Aku rasa inilah satu mitos yang selalu ada dalam minda kebanyakan orang. Orang mengandaikan ahli psikologi boleh mengetahui orang lain. Ahli psikologi kononnya boleh membaca pemikiran manusia lain.

Hakikatnya tidak. Dengan sepintas pandang, mustahil kita boleh tahu orang lain. Mustahil sebagai manusia kita boleh membaca minda orang lain. Ia hijab yang sangat tinggi.

Sebenar apa yang berlaku, ahli psikologi hanya meramalkan tingkahlaku atau perwatakan seseorang berdasarkan apa yang dipelajari. Misalnya, jika dikatakan bahawa banyak orang Cina cenderung membunuh diri dengan cara terjun dari bangunan tinggi, maka apabila ada kejadian seperti itu, kita akan meramalkan tentulah orang Cina yang membunuh diri. Apatah lagi berlaku di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Maka telahan itu akan menghampiri kebenarannya.

Seperti juga halnya apabila kita meramalkan seseorang itu alim atau tidak. Kalau kita melihat seseorang itu selalu memakai kopiah putih dan kerap berulang-alik ke masjid, andaian kita tentulah orang seperti ini alim. Itu logik pengetahuan. Hakikatnya belum tentu lagi. Ada yang hanya berlakon sahaja. Banyak yang menagih dadah di tepi jalan di Masjid Jamek juga berkopiah, bahkan ada yang bersorban dan memegang tasbih.

Sebenarnya - ahli psikologi menafsir seseorang berdasarkan simptom atau gelagat.

Misalnya simptom penyakit jiwa. Biasanya orang yang sakit mental akan selalu berjalan berlegar-legar. Matanya juga tidak begitu jernih dan cara gerak mata mereka berbeza dengan orang normal. Jadi - apabila melihat orang seperti itu, tentulah yang pertama kali dijangkakan, orang tersebut mungkin sakit.

Jadi - apa sebenarnya yang diketahui ahli psikologi?

Mereka sebenarnya hanya meramalkan tingkahlaku berdasarkan kajian lalu atau pengetahuan yang ada. Pengetahuan itu didasarkan kepada apa yang dilaporkan dari kejadian yang berlaku di seluruh dunia. Seperti juga doktor. Mereka juga meramalkan pesakit berdasarkan simptom.

Sebab itulah, seperti doktor, ahli psikologi juga perlu menjalankan ujian susulan. Ujian susulan ini boleh jadi dalam bentuk temuduga, sesi kaunseling atau ujian psikologikal lain. Ujian susulan ini pula berdasarkan kepada tanda-tanda sedia ada. Ujian-ujian inilah yang boleh mengesahkan ramalan awal tadi.

Jadi itulah kerja ahli psikologi. Mereka meramal tingkahlaku. Mereka bukannya membaca minda manusia.


Ahli psikologi bukan bomoh. Mereka juga orang biasa seperti kita. Lainlah, kalau ahli psikologi itu memelihara jin yang boleh membisikkannya sesuatu. Itu pun tergantung pula kalau jin itu tidak menipu.

Thursday, 20 May 2010

Apa ada pada jawatan?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak ada perkara untuk ditulis kali ini. Aku tuliskan hal senang sahaja.

Dua bulan lalu, ada seorang pelajar tingkatan 4 dari MRSM di Jitra, ada mengirimkan emel bertanya kepadaku tentang bagaimana untuk menjadi ahli psikologi.

Aku menjawab emel pelajar tadi. Sedikit sebanyak aku huraikan prosesnya.

Aku tidak pasti - berapa orang yang sejak zaman sekolah lagi tahu apa itu pekerjaan ahli psikologi. Kita sebenarnya tidak banyak terdedah dengan pekerjaan yang berakhir dengan perkataan 'gi' di belakangnya. Kita mungkin tahu pekerjaan doktor gigi. Tetapi kita sebenarnya kurang tahu apakah itu pekerjaan ahli sosiologi atau arkeologi. Pastilah, tidak ramai juga yang tahu pekerjaan ahli psikologi.

Kenapa orang tidak tahu? Hakikatnya tidak ada pekerjaan sebagai ahli psikologi di Malaysia. Kecuali di universiti, hospital dan beberapa buah syarikat besar. Bagi agensi kerajaan, aku tidak pasti di mana lagi ahli psikologi berkerja. Mungkin ada di LPPKN. Juga mungkin ada di pusat serenti. Itupun tergantung aliran psikologi yang mereka ambil.

Di Malaysia, kaunselor mungkin cabang psikologi yang sedikit terkenal. Itu pun, hubungan di antara ahli psikologi dan kaunselor tidaklah berapa 'mesra'. Kaunselor dengan persatuannya sendiri, ahli psikologi dengan persatuan yang lain. Jadilah kami dua kelompok kumpulan yang tidak bersatu - dan lebih malang kedua-duanya juga tidak terkenal jika dibandingkan dengan Lembaga Jurutera atau Lembaga Perubatan.

Semasa aku baru tamat ijazah pertama tahun 1995 dahulu - aku sendiri tidak tahu di mana aku hendak menjual ijazah yang aku miliki. Akhirnya aku dipanggil temuduga di Arthur Andersen. Tetapi gagal.

Habisnya, kerana tidak tahu di mana boleh aku berkerja - aku berkerja kilang di Prai. Aku kemudiannya berkerja di syarikat lain. Tidak juga dengan jawatan sebagai ahli psikologi.

Setelah berumur panjang - aku tahu sebenarnya nama jawatan itu tidaklah begitu penting. Ijazah hanyalah lesen untuk mendapatkan pekerjaan. Apa sahaja pekerjaan sebenarnya tidak lagi begitu penting - selagi kita dibayar gaji.

Pengetahuan yang kita ada hanya memastikan untuk kita tidak terlalu bodoh. Itu sahaja.

Cerita bunuh diri

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini berita pagi ini, sumber Berita Harian.

Suami isteri terjun kondominium selepas bunuh anak
2010/05/20

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri bertindak nekad dengan terjun dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Tun Sambanthan di sini selepas dikatakan membunuh anak mereka yang berusia dua tahun pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata mayat suami isteri yang masing-masing berusia 34 dan 29 tahun itu ditemui orang ramai pada jam 7.30 pagi.

*****************************

Umumnya, nisbah 16 orang daripada 100,000 kes bunuh diri di seluruh dunia. Bagaimana pun, kejadian orang Islam membunuh diri adalah paling rendah berbanding kaum lain.

Seperti di Amerika, kes bunuh diri di Jepun juga tinggi, kira-kira 30,000 orang setahun. Jumlah ini tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kematian kemalangan jalanraya.

Bagaimana di Malaysia?

Daripada 251 kes yang dilaporkan di Hospital Universiti tahun 2000-2004, seperti biasa, majoriti yang bunuh diri ialah lelaki. Umurnya di antara 21-30 tahun. Majoritinya kaum Cina. Metod menggantung diri adalah paling popular. Bagaimana pun, kaum Cina didapati lebih cenderung untuk melompat dari bangunan tinggi. Orang India pula cenderung sama ada menggantung diri atau meminum racun.

Apa sebabnya. Sebab paling mudah - tertekan. Tertekannya ini boleh jadi sebab cinta, reputasi, malu, tidak mampu mengawal perasaan dan sebagainya.

Soalan: Sesekali kita jadi ahli psikologi. Berdasarkan pengetahuan anda dari tulisan ini, apakah agaknya bangsa pasangan suami isteri yang terjun dari bangunan itu?

Wednesday, 19 May 2010

Selamat tinggal dunia - ini nota bunuh diri

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kali ini kita bincang hal lain. Hal bunuh diri.

Di Amerika, tahun 2005, kira 32,637 orang bunuh diri. 79 % daripadanya ialah lelaki. Walaupun kajian mendapati wanita lebih cenderung untuk membunuh diri, tetapi kajian juga menunjukkan lelaki lebih berjaya mencapai matlamatnya.

Ada yang meninggalkan nota, ada yang tidak. Banyak yang meninggalkan nota ini pula wanita. Orang yang bunuh diri jauh dari pengetahuan umum juga cenderung menulis nota.

Ada yang memilih menggantung diri, ada yang memilih menembak diri. Mengapa manusia masih membuat pilihan sebelum membunuh diri? Seperti juga ada yang menulis nota, dan ada yang tidak.

Sepanjang hidup aku - di kampung aku sudah dua orang membunuh diri. Kedua-duanya adalah lelaki. Kejadian pertama berlaku ketika aku masih kecil lagi. Bukan orang muda lagi. Dia menggantung diri di sebatang pokok mempelam di tengah bendang, tidak jauh dari sungai. Semasa kecil - setiap kali mandi sungai - tempat itu selalu membuatkan kami ketakutan. Aku tidak pasti pokok itu masih ada atau tidak.

Kejadian kedua - ia berlaku beberapa bulan sebelum aku ke Australia. Lelaki pertengahan umur. Sebenarnya sudah beberapa kali dia cuba membunuh diri. Percubaannya selalu gagal. Cuma yang terakhir itu - dia berjaya. Kata seorang kawan aku - dia selalu bercerita tentang pertemuannya dengan beberapa orang Nabi. Itu semasa sakitnya. Kawan aku pernah menyuruh aku berjumpa dengannya kerana katanya, dia ada simptom seperti aku sakit dahulu. Memang aku pernah bercadang berjumpanya bertanya khabar sebelum dia membunuh diri. Tapi tak pernah berkesempatan.

Mengapa orang bunuh diri? Hanya itukah pilihan yang ada. Kalau ada masa, nanti kita bincang.

Untuk yang berhasrat membunuh diri - jangan ucap selamat tinggal dunia lagi. Masih banyak perkara seronok yang ada di atas dunia ini. Setidak-tidaknya anda masih berpeluang membaca blog ini!

Siri Akhir Kempen Benci Dadah - Jijik

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini tulisan akhir siri ini.

Kerana ingin menjaga air muka - kerana ingin menghindar konflik - akhirnya kita tidak mampu berbuat apa-apa apabila ada anak jiran menagih dadah. Kita lebih sanggup kecurian getah sekerap berbanding dengan putus saudara. Kita lebih sanggup ada warga tua diragut rantai emasnya berbanding bersama-sama berbincang sesama kita bagaimana mengembalikan anak yang ketagihan.

Ini sebahagian dari budaya kita yang tidak dapat kita hindarkan lagi. Kalaulah kita sedikit berani, memberitahu ibu bapa bahawa ada anaknya sudah terjebak, mungkin kita akan dapat mengurangkan sedikit masalah dadah. Kalaulah ibu bapa itu pula sedikit terbuka menerima pandangan orang, kita mungkin boleh mengurangkan sedikit masalah dadah.

Itulah cara yang terbaik. Berbanding dengan hanya diam dan mengeji di belakang.

Mengapa dadah tidak pernah dilihat sejijik babi?

Sejak kecil, setiap hari kita diberitahu bahawa babi itu benda kotor, binatang yang haram disentuh. Tetapi tidak dadah. Kita seboleh-bolehnya tidak mahu menyebut benda itu. Kita juga sebenarnya mungkin tidak tahu apa itu dadah.

Di kaca televisyen - yang selalu dilaporkan ialah berita penangkapan penagih atau pengedar dadah. Berapa kali kita diberi maklumat apa itu dadah?

Adakah orang kampung tahu apa itu ice, pil kuda atau heroin? Orang tua yang baik mungkin boleh ditipu bahawa daun ganja itu sebenarnya daun betik, cuma saiznya sedikit kecil.

Tidak ada. Sebenarnya yang tahu ice, pil kuda atau syabu hanyalah penagih sahaja. Orang lain tidak pernah melihatnya. Mengapa televisyen kita tidak menyediakan slot 15 minit sehari sebelum berita perdana menunjukkan apakah itu ice atau syabu. Apakah kesannya. Bagaimana orang membuatnya. Kalau anak kita menghisapnya, apakah tandanya. Adakah berkurung tidur di dalam bilik selama 24 jam itu tanda orang sedang berkhayal ice? Adakah mata merah, sedikit dan bercakap sambil ketawa itu tanda orang khayal ganja. Adakah mata sedikit mengecil, bercakap tersengguk-sengguk itu tanda orang ketagihan ubat batuk?

Inilah maklumat yang perlu diulang sebut setiap hari. Pagi dan petang. Jadikan ia slot wajib. Inilah tanda kita memerangi dadah.

Kalau tidak - anak-anak kita boleh terus menagih tanpa diketahui ibu bapanya. Dia boleh menipu emak ayahnya bahawa dia sedang mengunyah gula-gula sahaja. Tidur sepanjang hari kerana sedang disampuk hantu. Dan orang tua yang baik - tidak tahu semua ini.

Para pendakwah dan tabligh juga perlu membawa mesej dadah dalam setiap siri pendakwahan mereka. Ini juga mesej penting. Kerana dadah itu mampu mengeluarkan iman dari dalam diri - maka setiap orang Islam perlu tahu apa itu dadah. Ia sama dahsyatnya dengan murtad juga. Murtad mengistiharkan diri. Menghisap dadah secara perlahan-lahan menjauhkan diri dengan agama, dengan syahadat. Ia berlaku secara diam.

Sampai masanya juga - golongan pendakwah, guru dan mereka yang berkaitan dibenarkan membawa dadah bagi tujuan kebaikan. Mereka ini perlu dibekalkan dengan 'objek' dadah secara fizikal jika itu diperlukan bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa ini adalah najis. Orang tidak mudah percaya dengan gambar dan kata-kata semata-mata. Adakalanya orang perlukan 'objek' itu ditunjukkan di depan mata. Sampel dadah bagi tujuan kebaikan ini boleh ditempatkan di setiap balai polis. Apabila selesai berdakwah/berkempen, dadah ini disimpan kembali di balai polis.

Pindaan undang-undang perlu dilakukan bagi hal ini seperti yang disarankan Ziarah76.

Kalau tidak - sampai bila pun kita tidak mampu memerangi dadah kalau masyarakat terbanyak tidak tahu apakah benda itu. Yang tahu hanya penagih, tetapi orang yang ingin membuat kebaikan pula jahil dengan hakikat sebenar dadah.

Tanyalah kebanyakan orang baik - berapa kali mereka melihat dadah? Tidak. Mereka tidak mahu melihatnya. Mereka tidak ingin melihatnya. Mereka takut memegangnya. Ia jijik.

Kerana itulah - anak-anak muda kita pandai menggunakan kelemahan ini. Ia boleh diletakkan di atas peti televisyen sahaja. Kita tidak tahu apakah bendanya. Kita mungkin ingat ia serbuk kapur atau gula-gula kristal sahaja.

Marilah kita semua - dengan cara kita masing-masing - memerangi dadah. Kalaupun kita tidak mampu mengubah dunia, semoga ia mengelak kita dari terjebak dengan dadah.

Tuesday, 18 May 2010

Siri Kempen Benci Dadah - IV - Mengapa kita?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Mengapa banyak orang Melayu menagih dadah?

Adakah orang Melayu yang menagih air ketum juga kita kategorikan sebagai penagih dadah.

Tidakkah kita boleh lakukan sesuatu agar dadah dilihat sejijik babi bagi orang Melayu. Jika melihatnya jijik, memegangnya tentu tidak.

Ini adalah soalan yang susah untuk kita rungkaikan.

Banyak sebab. Seperti yang kita sebutkan di awal perbincangan, personaliti Melayu itu sendiri tidak begitu terbuka, tidak kreatif dan tidak suka berkonflik. Orang Melayu juga ditandai sifat malu - begitu sensitif dengan apa yang bakal dikatakan orang.

Itu mungkin satu faktornya. Kerana sensitif dengan apa yang bakal dikatakan orang, anak-anak Melayu ini ingin mencari sesuatu untuk menambah keyakinan diri. Sudah lama tertanam mitos bahawa dadah boleh membina keyakinan diri, menghilangkan rasa malu dan menjadikan mereka yakin menghadapi manusia lain.

Itulah persepsi awal para penagih dadah. Ini biasanya berlaku di peringkat remaja. Hal ini ditambah pula dengan banyak 'idola' mereka - biasanya artis yang juga merupakan penagih. Idola orang Melayu bukan Imam Ghazali atau Imam Shafie. Idola orang Melayu juga bukan Noam Chomsky atau Albert Enstein. Orang Melayu tidak tahu semua tokoh itu. Mereka tahu Imam Ghazali atau Imam Shafie kerana mereka selalu mendengar orang menyebutnya. Hakikatnya mereka tidak tahu siapa pun tokoh itu. Apatah lagi kalau disebutkan tokoh pemikir atau ahli sains ternama. Lagi mereka tidak tahu.

Tetapi jangan terkejut - kalau mereka tahu Kurt Corbain dari kumpulan Nirwana. Banyak yang terikut-ikut dengan idola muzik ini bukanlah pemain muzik. Mereka hanya mengambil contoh buruk sahaja. Mereka kononnya percaya bahawa dadah itulah membuatkan penyanyi atau pemuzik itu ternama. Mereka hanya terikut-ikut dengan cerita dadah itu sahaja, tetapi mereka mungkin tidak tahu langsung memetik gitar. Ditanya apa lagu yang dinyanyikan Nirwana pun mereka tidak tahu.

Pembaca blog ini mungkin tidak bersetuju kalau dikatakan bahawa orang kita kurang mengambil berat hal yang besar. Itu mungkin benar - kerana pembaca blog ini mungkin orang yang terdidik.

Tetapi - cubalah masuk ke kampung-kampung. Duduk dan berboraklah dengan anak muda di kedai kopi. Kadang-kadang, kita jadi keliru betulkah apa yang mereka ini sedang bualkan. Mereka masih lagi sibuk dengan empat nombor ekor. Juga sibuk dengan cerita lucah masakini. Mereka tahu segala lubuk anak dara yang tiada dara. Mereka tahu di mana tempat boleh dicari dan dibawa pergi. Mereka juga masih sibuk dengan enjin jaguh rempit yang paling hebat.

Mereka inilah yang selalunya lebih cepat menagih dadah. Mereka ini tidak tahu realiti sebenar dunia. Mereka hanya tahu apa yang berkisar dalam dunia sekeliling mereka. Kasihan mereka.

Sebab itu - apabila segala jenis dadah baru yang keluar ke pasaran, mereka inilah yang terlebih dahulu menjadi subjek ujikaji. Penjual dadah tahu inilah 'pasaran' besar mereka. Mereka tidak akan berfikir panjang.

Banyak bangsa yang menagih dadah atau mabuk di dunia ini - ialah bangsa yang lemah atau malas berfikir. Lihat sahaja orang Aborigin di Australia atau Red Indian di Amerika. Adakalanya kita bukanlah bangsa tertindas. Tetapi kita adakalanya menindas diri sendiri.

Sama ada meminum air biak itu boleh dikategorikan sebagai dadah - atau tidak - sebenarnya tidak penting lagi. Apa kategori minuman, herba atau bahan kimia yang digunakan - yang tujuan menggunakannya semata-mata untuk bersukaria, untuk berkhayal - akan tetap merosakkan. Besar atau kecil kerosakan itulah yang berbeza. Tetapi sifat penggunanya tetap sama. Kurang berfikir dan hanya ingin berseronok.

Apa lagi kemungkinan sebab orang kita menagih dadah?

Kita sambung lagi. Kita juga mungkin boleh membincangkan mengapa tidak kita boleh propagandakan dadah itu najis yang lebih jijik dari babi.

Ini iklan!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku dan rakan lama aku - Din sedang mencuba untuk menghasilkan sesuatu.

Sila datang ke laman blog MataCipta untuk keterangan lanjut.

Ini hanya permulaan. Blog itu juga hanya permulaan. Hanya banner yang sempat diupload. Selepas ini, dari masa ke semasa akan ada imej bagi produk dan beberapa fungsi blog yang lain.

Harap maklum.

Sunday, 16 May 2010

Jalan Anwar ke Putrajaya kian jauh

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sepatutnya kita masih berbincang hal dadah - tetapi hari ini aku ingin mengulas hal politik. Kita semua perlu membacanya dari atas persepsi neutral dan tidak memihak.

***********************
Lama dahulu, aku telah ulas hal politik Perak - siapa yang bakal checkmate. Aku juga ada ulas hal permainan politik di sini. Anda yang belum membacanya, perlu membacanya dahulu. Sekurang-sekurangnya anda mendapat pengetahuan baru.

PKR kini telah menjadi batas untuk orang melompat parti. Yang terbaru ialah Wong Cho Keong, MP Wangsa Maju kini menjadi wakil rakyat Bebas. Mereka boleh memberikan alasan bagi mewajarkan perbuatan mereka itu. Sebenarnya, tidak memberikan alasan pun tidak mengapa. Untuk melompat, tidak diwajibkan ada alasan.

Apakah ini? Inilah yang akan aku cuba ramalkan. Ia mungkin tidak betul.

Bagi aku - inilah sebahagian dari permainan politik. Sekalipun Putrajaya itu dekat, tetapi jalan untuk Anwar Ibrahim ke Putrajaya semakin jauh.

Dalam senario politik tanahair yang masih bersifat perkauman - mustahil bagi PAS dan DAP menguasai kawasan tertentu. PAS mungkin tidak akan diterima di kawasan bukan Melayu, dan DAP tidak pula diterima di kawasan Melayu.

Hanya PKR - yang mungkin agak liberal boleh diterima di kawasan Cina, India atau Melayu. Itulah rasional kepada andaian aku. Orang Melayu secara umumnya menerima Pakatan kerana mereka ada tokoh Melayu di situ - iaitu Anwar Ibrahim. Orang Melayu mungkin tidak teruja dengan Pakatan kalau tokoh utamanya ialah orang lain. Meletakkan Lim Kit Siang sebagai bakal Perdana Menteri misalnya, mungkin menjadikan gabungan Pakatan tidak sedap dilihat orang Melayu.

Tetapi ini berbeza dengan Anwar Ibrahim. Anwar diterima Melayu dan diterima juga kaum lain. Inilah kelebihan Anwar dalam konteks gabungan Pakatan Rakyat.

Jadi - untuk menjatuhkan Pakatan - paling utama ialah melemahkan PKR. Melemahkan PKR bermakna akan melemahkan persepsi masyarakat terhadap Anwar.

Dengan keluarnya begitu ramai wakil rakyat dari PKR sejak pilihanraya umum 2008 dahulu, ini menjadikan orang mula bimbang untuk menyokong PKR pada masa hadapan. Orang mungkin menyokong Pakatan, tetapi orang ragu-ragu dengan PKR. Ini secara tidak langsung, melemahkan gabungan parti itu.

Menyokong PKR - bermakna menyokong calon Bebas.

Semata-mata PAS dan DAP dalam gabungan Pakatan, ia tidak begitu mantap. Ia gabungan dari dua aliran berbeza. Perlu ada PKR di situ. Bagaimana pun, PKR pula kini menjadi liabiliti dalam gabungan Pakatan. Mungkin banyak orang menyukai Anwar, tetapi Anwar tidak boleh bertanding di semua kawasan. Adakah jaminan bahawa calon PKR yang bertanding tidak akan melompat parti lagi pada masa hadapan?

Itu yang persepsi baru yang bakal dijadikan modal kempen pada pilihanraya akan datang. Semakin banyaknya wakil rakyat PKR melompat parti - walaupun dari satu segi membersihkan partinya - tetapi pada masa yang sama ia bakal menjatuhkan kepercayaan orang.

Barang tentu pihak Pakatan perlu berkempen lebih keras bagi membuktikan bahawa calon yang mereka pilih ialah orang yang berprinsip. Kali ini, bola di tangan Pakatan. Mereka yang perlu lebih terus membuktikannya. Barisan Nasional mungkin perlu menjadi penontonnya sahaja.

Pakatan mungkin akan mendakwa bahawa wakil rakyat mereka dibeli. Tetapi, dakwaan semata-mata tanpa ada bukti adalah sukar. Orang awam tidak faham akan hal ini.

Lagi pula - melompat parti bukan hal yang salah. Ia pernah diwar-warkan oleh Pakatan sendiri sebelum ini, yang akhirnya bertukar menjadi krisis politik Perak.

Untuk orang awam seperti kita - lihatlah ini sebagai sebahagian permainan politik. Adakah permainan politik ini sudah tamat?

Belum tentu lagi. Banyak lagi step yang tidak kita tahu. Ia ada dalam kepala pemain utama kedua-dua parti.

Siapa yang bakal menang.

Saturday, 15 May 2010

Siri Kempen Benci Dadah - III - Dadah dan seks

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Di Malaysia - sehingga tahun 2004, dianggarkan jumlah penagih dadah jenis heroin yang direkodkan ialah 234,000 orang. Bagaimana pun, jumlahnya dikatakan lebih lagi dengan andaian ada mereka yang tidak pernah ditangkap, atau dirawat - jumlahnya ialah 500,000 orang.

Sesuai dengan perkembangan teknologi - dan tidak berubahnya minda kita - kini penagihan dadah kategori amphetamine-type pula kian meningkat. Ada dua kategori dadah jenis ini - dalam bentuk tablet - dinamakan juga sebagai pil kuda atau 'wy'. Dalam bentuk kristal - syabu dan ice. Pengguna dadah ini bertambah dengan mendadaknya sejak akhir-akhir ini.

Daripada jumlah penagih dadah yang dilaporkan, lebih 60 peratus adalah Melayu, kebanyakannya pula lelaki.

60 peratus dari setengah juta orang bukan sedikit. Ia kira-kira 300,000 orang. Kalaulah semuanya menjadi pendakwah, guru, atau ahli tabligh - setidak-tidaknya akan ada orang baik dilahirkan setiap hari. Kalau semuanya menjadi pekerja sukarela mengutip sampah, kita akan menjadi negara paling bersih di dunia. Kalau setiap orang ini mendermakan RM1 setahun sekali, kita akan ada RM 300,000 setiap tahun untuk membantu orang susah.

Sejarah dadah

Walaupun dadah mula dihisap sejak ribuan tahun dahulu - di China dalam bentuk herba, tetapi dadah bentuk moden khususnya heroin direkodkan di Malaysia dalam tahun 70-an. Heroin ini pada mulanya dihisap dengan cara 'chasing the dragon" - seperti yang aku cerita dalam siri dadah sebelum ini. Ia bermula di Hongkong tahun 1950-an. Kemudian dalam era 60-an, ia mula merebak ke Thailand. Sejarah perkembangan dadah heroin di negara kita serentak dengan Belanda. Hanya dekad 80-an, baru ia berkembang ke UK dan India, dan tahun 90-an ke Switzerland dan Spain.

Ini bukti kita hebat kerana kita mendahului negara maju dalam hal tidak maju ini.

Apa lagi kehebatan anak Melayu kita? Sehingga pertengahan dekad ini, kita ada 60,000 pengidap HIV, kedua terbesar di rantau Asia selepas Vietnam. Kita juga adalah negara terbesar yang menetaskan HIV melalui jarum suntikan dadah (76.3%). 12-56% penularan dadah berkaitan dadah ini pula banyak berlaku di negeri utara yang bersempadan dengan Thailand - yang kebanyakannya melalui seks.

Apa yang dapat kita faham. Selain menagih dadah, mereka juga melanggan wanita jalang di sempadan. Keduanya-duanya hal seronok. Kedua-duanya juga hal tidak berguna. Kemudiannnya mereka ini membiakkan pula dadah ke kampung halaman kita. Jadi sesiapa yang ada anak dara untuk dikahwinkan - harus berhati-hati pada masa depan.

Bagaimana pun, ada mitos bahawa dadah akan meningkatkan lagi nikmat seks. Itu mitos yang selalu diulang oleh para penagih. Mungkin mitos inilah yang membawa mereka mencubanya di negara jiran.

Logiknya juga - banyak para bohsia dan bohjan ini juga selalunya ditangkap dengan ada dadah dalam poket. Kita tidak perlu mencubanya.

Kita tidak tahu mitos itu. Yang kita tahu, dadah membunuh anak bangsa kita melalui seks.

Dosa yang dibawakan dadah ini bukan sekadar merosakkan generasi kita - ia menghilangkan agama dari dalam diri. Dadah menyebabkan orang berzina. Dadah menyebabkan orang lupa ibu bapa. Bahkan, kalau terpaksa membunuh ibu bapa sekalipun tidak mengapa asalkan didapatkan wang membeli dadah. Dadah juga menyebabkan orang bercerai berai.

Satu waktu dahulu - sekitar tahun 90-an, di bulan puasa aku di rumah Brader U seperti yang aku ceritakan sebelum ini. Waktu itu, abang kandung Brader U (Jo, nama samaran) juga penagih, juga seorang 'tokan' (tokan - pusher dadah untuk mat skema yang tak tahu istilah dunia kejahatan). Aku rasa, waktu itu Brader U masih belum menagih heroin lagi.

Datang serang rakan Jo ingin membeli heroin - dia meminta tawar. Perbualannya lebih kurang begini. Perbualan ini aku ingat, sebab ia sangat sentimental. "Jo, kau berilah aku murah sikit. Aku nak pakai duit ni. Zakat fitrah pun aku tak bayar lagi ni". Kata kawan yang membeli itu.

Jo menjawab mudah: "Beginilah. Tak payah tunjuk baik la. Kita puasa pun tak. Sembahyang pun tidak. Kenapa pula hang nak kelam kabut pula nak bayar fitrah ini".

Logik juga kenyataan seperti itu. Tetapi itulah hakikat dunia para penagih. Dadah akan menjadi tuhan untuk segala yang bernama keseronokan. Dadah akan mendahului segala-galanya.

Brader U, dan Jo kini telah tiada lagi di dunia ini. Aku tidak pasti rakan yang membeli tadi. Aku jarang ternampaknya lagi di kampung.

Siapa orang Melayu pertama menagih dadah? Aku gagal menemuinya.

Mengapa anak Melayu kita yang banyak menagih dadah? Nanti kita cuba selidiki lagi.

Friday, 14 May 2010

Siri Kempen Benci Dadah - II - Sifat Melayu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Nota: tulisan ini tidak semestinya betul dan wajar pada pandangan anda.

Sebelum kita mulakan perbincangan mengenai ketagihan dadah di kalangan orang kita, ada baiknya kita tahu sedikit sebanyak mengenai diri kita, Melayu.

Apa itu Melayu?

Melayu itu pada asasnya bersandar hidup dengan satu karektor atau watak - malu. Tidak banyak bangsa di dunia yang ada sifat ini. Sebab itu, jangan hairan kalau kita boleh meramal seseorang itu sebagai Melayu atau tidak - sekalipun dengan hanya melihat cara mereka berjalan di tengah bandar Adelaide. Kerana sifat malu - kita jalan sedikit menunduk, agak tersipu dan tidak berjalan dengan cara yang angkuh. Itu sifat Melayu.

Mengapa kita berperilaku begitu. Sebabnya kita malu - atau dalam bahasa Inggerisnya "hypersensitiveness to what other people are thinking about oneself' . Kita sangat pentingkan apa yang orang lain kata mengenai kita. Sebab itu apabila kita berjalan, kita selalu berfikir sama ada orang lain di sekeliling kita melihat kita atau tidak.

Adakalanya ini menjadikan kita bangsa yang rendah diri dan tidak yakin.

Sebab itu jangan hairan - kita sangat hormat dengan orang luar. Banyak Melayu yang begitu hormat dan teruja apabila melihat orang kulit putih masuk kampung. Kita ingat mereka ini sangat besar, walaupun kita mungkin tidak sedar mereka itu mungkin lebih teruk dari kita. Kita juga berasa gerun kalau masuk ke pejabat yang kaunter depannya dijaga oleh gadis mat salleh, sedangkan mereka itu mungkin hanya berkerja sebagai operator telefon. Kita juga cenderung memberi kontrak kepada orang Barat sebagai kononnya mereka ini hebat.

Apa lagi sifat Melayu? Melayu juga dikatakan sebagai bangsa yang patuh. Maksudnya, kita tidak begitu membantah. Kita lebih cenderung untuk menurut. Sebab itu - kita lihat dalam banyak hal - bagi perkara yang tidak betul pun, kita diam. Kita taat. Kita tidak mahu banyak bersoal jawab. Kita tidak bersuara. Habis kuat, kita berkata: "Ala, biar pi lah".

Ini berkait juga dengan sifat kita yang lain - kita bangsa yang seboleh-bolehnya ingin menghindar konflik. Kita sangat menjaga hal ini. Kita seboleh-bolehnya akan menjaga hati orang lain, sebagai mana kita mengharap orang menjaga hati kita. Jangan hairan, kalau kita melihat ada anak jiran yang berkelakuan sumbang - kita berkata : "Ala, biar pi la kat depa. Jangan dok jaga tepi kain orang". Tapi, di belakangnya kita mengumpat pula.

Kita juga bukanlah bangsa yang bersifat terbuka jika dikutkan kepada kajian personaliti. Kita mungkin tidak mahu membuka ruang berfikir, tidak juga mahu terlibat dengan perdebatan isu. Kita mungkin kurang innovatif. Atau dalam kata lain, kita tidak begitu berminat mengenai hal berkaitan idea.

Bagi hidup seorang Melayu - kita sudah berasa puas dengan kehidupan seadanya sahaja - selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama.

Bersambung.

Thursday, 13 May 2010

Siri Kempen Benci Dadah - I

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini adalah siri 1: Kempen benci dadah

Setiap hari pasti ada berita mengenai gejala menghisap dadah di Malaysia. Mengapa anak muda kita menghisap dadah? Ini soalan yang mungkin jarang ada di benak kita.

Soalan yang selalu ada ialah cerita mengenai budak-budak dadah meragut atau menyamun. Mereka melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang. Semuanya untuk mendapatkan dadah.

Lama dahulu, aku telah kisahkan hal benar mengenai dadah. Baca di sini dan di sini.

Pada pandangan aku - ada beberapa hal yang tidak kena. Salah satunya pemikiran orang kita masih mundur. Kita masih gagal menapis yang baik dan yang buruk. Kita juga mungkin mudah terpesona dengan budaya keseronokan - hidup hanya ingin bersuka ria. Mungkin juga kita tidak melihat masa depan. Sepatutnya budaya keseronokan ini ialah budaya orang Thai, dan bukan budaya kita. Ini diistilahkan sebagai "Khwam sanuk" - ingin berseronok. Ia adalah personaliti orang Thai. Ia tercatat dalam buku.

Tidak tahulah sama ada orang Melayu berjangkit sama dengan budaya 'khwam sanuk' ini.

Keduanya - aku melihat ini juga sebahagian proses melemahkan orang Islam. Logik akal aku melihat - banyak yang menjadi pengedar ialah orang lain, tetapi yang menghisapnya ialah orang kita. Anak-anak Melayu yang banyak menjadi penagih. Anak-anak Melayu ini semasa kecilnya belajar agama di masjid, dan hanya beberapa tahun setelah itu - setelah bergelar remaja - mula menagih dadah. Mengapa? Siapa yang mempromosikannya.

Ketiganya - adakah itu memang personaliti kita? Personaliti mudah terima apa sahaja yang dikatakan sedap. Orang Melayu tidak makan babi. Kita juga jijik dengan arak. Tetapi orang Melayu tidak kisah dengan dadah. Sebab ia bukan babi. Atau mungkin silibus pengajian agama kita hanya menekankan hal yang berkisar dengan najis babi dan anjing, tetapi jarang membuka kisah orang ketagihan candu.

Nanti kita akan cuba telesuri hal penagihan dadah. Kita cuba bincang personaliti orang Melayu. Mungkin juga kita boleh telesuri sejarah dadah di Malaysia. Aku akan cuba menggogle siapakah manusia Melayu pertama yang menghisap dadah. Itupun kalau ada. Kita juga cuba hubungkait sedikit dengan dunia Islam.

Itulah rancangan bagi siri tulisan ini.

NOTA

Sesiapa yang ada saudara mara yang menghisap dadah, atau diri pernah menghisap atau ingin berkongsi cerita berkaitan hal ini boleh email ke fakirfikir@gmail.com. Mungkin ia boleh membantu kita menganalisis apa puncanya semua ini.

Wednesday, 12 May 2010

Ini bukan bertaruh

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tadi - sempat berbual dengan Pak Donny yang tinggal di Jakarta melalui YM. Seperti biasa kami hanya akan bersembang hal bisnis. Macam-macamlah topiknya. Dia cadangkan aku buat bisnis pertaruhan bolasepak. Katanya di Indonesia - orang boleh dapat untung Rp1 milyar sehari. Atau lebih lagi.

Aku kata tak boleh. Di Malaysia - sekarang sudah ada syarikat diberi lesen kendali judi bolasepak. Baguslah. Tidak banyak negara Islam yang boleh berbuat begitu.

Aku sebenarnya memang sudah lama merancang. Aku memang ingin berniaga sesuatu. Tapi semuanya melalui online. Aku juga sudah bangunkan blog untuk itu. Ini mungkin peringkat permulaan.

Aku ingin berniaga apa? Tunggulah. Biar kawan baik aku - Din menyiapkan design blog dahulu. Nanti aku beritahu. Pastinya, ini bukan pertaruhan.

Berita akhbar - itulah pemikiran kita

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari kita membaca suratkhabar.

Cuba kita perhatikan betul-betul. Apa tajuk yang selalu terpapar.

Setiap hari tajuk berita kita tidak dapat lari dari hal politik, jenayah rogol, tangkap basah, isu perkauman, ragut dan bunuh. Anda boleh membelek setiap suratkhabar. Pasti ada isu ini.

Dari satu segi - berita ini melaporkan peristiwa yang berlaku di negara kita. Ia menakutkan. Ia membimbangkan. Kadangkala - membuatkan kita tidak gembira.

Bagaimana pun - mari kita lihat dari perspektif yang lain. Mengapa berita ini wujud? Menjual berita seperti menjual barang. Syarikat suratkhabar menjual apa berita yang ingin dibaca orang. Kerana ia akan melariskan jualan. Kalau orang tidak mahu membaca berita politik - mereka tidak akan tulis. Kalau orang tidak suka dengan berita orang rogol orang, ia tidak akan dilaporkan dengan tajuk besar. Maksudnya - para wartawan akan mencari berita yang suka dibaca orang - dan editor pula akan memilih apa berita yang paling 'laku' untuk masyarakat Malaysia.

Jadi - sebenarnya berita yang terpapar dalam suratkhabar itu dari satu segi melambangkan pemikiran masyarakat. Ia mencerminkan budaya berfikir kita. Kita masih lagi berfikir hal-hal remeh. Hal-hal kecil.

Hal itulah yang sebenarnya kita minta akhbar tulis.

Pelajar di UK atau Australia juga tentu kerap membaca suratkhabar. Cuba bandingkan perbezaan muka depan berita. Lihat bagaimana masyarakatnya berfikir - dan apa pula hala tuju pemikiran kita. Itulah yang membezakan sama ada kita maju atau tidak.

Binalah bangunan sampai ke bulan sekali pun - kita tidak akan maju hanya kerana itu. Kemajuan adalah kematangan pemikiran, bukannya hebatnya bangunan.

Nota:
Mahasiswa di universiti dalam bidang sosiologi/psikologi perlu membuat kajian pemikiran masyarakat dengan menganalisis tajuk berita. Kaedah ini kita namakan 'content analysis". Bandingkan ia dengan negara lain.

Monday, 10 May 2010

Aku malas untuk menulis

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini post aku yang ke-461. Nampaknya banyak yang sudah ditulis sepanjang 2 tahun ini.

Sejak akhir-akhir ini aku semakin bosan untuk menulis. Aku malas untuk menulis. Dunia tidak sedikit pun berubah dengan tulisan aku.

Aku juga tidak tahu apa lagi yang harus aku tulis. Mungkin aku perlu berehat sekejap.

Aku terasa ingin menulis jurnal pula. Banyak kritikan betapa dunia akademik kita tidak berminat untuk menulis. Jadi aku cuba untuk tidak termasuk dalam dunia akademik yang dikritik itu. Pada masa depan mungkin aku perlu tulis sebuah buku - Work Psychology. Aku memang ada cita-cita untuk itu. Tunggulah aku habis PhD dulu.

Sekarang ini pun - aku masih tidak produktif. Memang aku ada tulis jurnal. Tapi cuma ada satu yang terbit. Satu lagi dalam proses akhir pembetulan. Insyaallah, akan masuk. Satu lagi belum lagi ada maklumbalas.

Kalau aku kurang update blog selepas ini, itu tandanya aku kian malas. Malas dan bosan.

Saturday, 8 May 2010

Judi bola pula?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ada ura-ura untuk dibenarkan permainan judi bola, atau dalam bahasa baiknya 'pertaruhan" bagi Piala Dunia kali ini. Ini berita benar dan ia adalah berita dari negara kita. Alasan yang diberi - kalau tak dibenarkan pun, orang berjudi juga.

Mengguna alasan ini sama seperti berkata - kalau tidak diberi pistol pun, orang membunuh juga. Kalau diharamkan dadah pun, orang menagih juga. Jadi, baik kita halalkan. Kalau tak ada pelacur pun, orang melanggan juga. Baik dibenarkan pelacuran.

Aku tak mahu ulas.

Akhirnya - kita bolehkan benarkan apa sahaja kalau mengguna hukum - kalau tak dibenarkan pun, orang buat juga.

Friday, 7 May 2010

Surat buat kekasih

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kekasih,
Maafkan aku. Aku tak akan mampu melamarmu. Sungguh aku juga tak mampu melupaimu. Bukan kelmarin. Bukan setahun hubungan kita. Aku mengenalimu sejak dunia remaja lagi. Aku dan engkau membesar bersama-sama. Biarlah kata nista dan fitnah hina mereka campakkan ke atas dirimu. Aku tak akan percaya. Kerana engkau adalah kekasihku.

Kekasih. Setiap tahun ada sahaja cerita buruk tentang dirimu. Kononnya engkau selalu memusnahkan hidup manusia yang engkau dampingi. Kononnya engkau adalah racun pahit. Aku tidak pernah mendengarnya. Kerana kalau aku mendengarnya pun, aku tidak juga mungkin percaya. Kerana engkau adalah kekasihku.

Kekasih. Lama dahulu, isteriku seolah tidak mahukan hubungan kita berpanjangan. Telah dia cuba segalanya. Tetapi, aku mengenali engkau terlebih dahulu. Engkau adalah kekasih yang tak mampu aku lupakan. Setiap saat dirimu ada dalam diriku. Ingatanku tak akan pudar. Engkau adalah teman sekolahku. Kemudian bersama-sama di universiti. Engkau juga mendampingiku ketika aku melangkah ke dunia pekerjaan. Malah, pada saat hari persandinganku pun - engkau tetap ada menjeling ke arahku.

Setahun yang lalu - aku mencuba sedayaku melupakan engkau. Selama 5 hari - aku kemurungan. Jiwaku kacau. Hidupku kosong. Aku resah. Begitulah hebatnya hubungan kita. Hingga akhirnya - aku tahu kita tak akan dapat berpisah. Biarlah ada badai dan ribut. Biar bumi terbelah dua. Dirimu tetap kan ku cari.

Kekasih. Hari ini mereka mencuba lagi. Mereka cuba memisahkan kita lagi. Aku memang tidak terdaya lagi dengan cubaan kali ini. Memang, aku tak mampu melamarmu sekarang ini. Hargamu terlalu tinggi. Tetapi mungkinkah aku akan mampu melupaimu. Tolonglah kekasih. Khabarkan padaku. Khabarkan bahawa apa yang aku dengar ini tidak benar. Katakan yang sesungguhnya apa yang aku dengar ini dusta.

Aku tidak sesekali akan berpisah denganmu. Tolonglah. Tetapi, aku juga tidak mampu melamarmu. Katakan apa harus aku lakukan?

Nota:
Ini bukan surat cinta. Ini nota bantahan keras kerana Kerajaan Australia telah menaikkan harga rokok sebanyak 25%. Sesiapa yang akan datang dari Malaysia, tolong belikan aku rokok.

Tips temuduga - bab jujur

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa orang anak muda seperti Aini - dan tentu puluhan ribu graduan muda lain sedang berasak-asak menulis surat memohon kerja. Sesuai dengan musim orang mencari kerja, kali ini aku tuliskan hal temuduga.

Temuduga pada asasnya menilai 3 hal utama - afektif (komponen sikap), kognitif (pengetahuan dan pemikiran) dan tingkahlaku (keupayaan berkerja etc). Ini yang diberitahu dalam buku. Mungkin Cik Nona boleh betulkan kalau aku salah.

Tapi - aku tidak mahu bercakap hal temuduga itu. Aku tidak mahu bercerita hal-hal yang ditulis buku. Aku mahu bercakap hal realiti temuduga.


I
Memohon kerja
Sebenarnya - memohon kerja adalah hal paling sukar. Tidak berguna sedikit pun ayat yang berbunga-bunga, atau CV yang rapi - kalau tidak ada orang yang membacanya. Tidak berguna juga kalau surat kita dibaca, tetapi kita tidak dipanggil temuduga. Jadi pintu segala memohon kerja ialah dipanggil temuduga.

Hakikatnya - sekiranya anda mengenali sesiapa yang ada dalam sesebuah organisasi, mintalah bantuan mereka. Istilah mudah - gunalah kabel. Kalau ada mempunyai kabel - ia lebih mudah untuk dipanggil temuduga. Jangan terlalu jujur. Dalam dunia realiti - tidak ada sesiapa yang bertindak jujur. Semua orang mengguna jalan pintas.

II
Sewaktu temuduga
Pada waktu temuduga - jadilah pelakon sebaik mungkin. Walaupun keputusan pengajian anda cukup makan sahaja. Tinggalkan kebodohan anda di rumah. Pakailah pakaian yang cantik. Pinjamlah 'blazer' bakal bapa mertua anda. Biar kita kelihatan segak. Manusia tidak begitu menilai orang lain dengan kebijaksanaan. Orang menilai gaya kita. Banyak sebab. Orang yang menemuduga juga belum tentu pandai. Sebab itu juga penyanyi program realiti - yang menjadi juara selalunya berwajah tampan atau bermuka cantik. Orang menilai tampan dahulu, sebelum merdu.

Semasa bercakap dengan penemuduga - jangan terlalu jujur dengan semua hal. Ada hal kita tidak patut bercakap jujur. Sekiranya dia bertanya: "Adakah anda meminta kerja di tempat lain?" Jangan jawab 'Ya'. Jawablah: 'Buat masa ini tidak'. Kita tidak berbohong. Sebab "buat masa ini", kita berada dalam bilik temuduga. Kita memang tidak meminta kerja lain.

Sekiranya anda menjawab ya, penemuduga bimbang anda akan melarikan diri. Sekiranya ada calon lain yang sama keupayaannya dengan anda, anda akan gagal. Sebabnya anda ada potensi untuk ke tempat lain, sedangkan calon yang seorang lagi tidak. Kecuali yang menemuduga anda ialah bakal bapa mertua anda. Itu cerita lain.

Lainlah - kalau ditanya hal akademik, status perkahwinan dan sebagainya. Itu cerita lain. Itu perlu jujur. Kalau dalam keluarga anda, ramai adik beradik yang masuk universiti - carilah peluang menceritakannya. Ini akan menaikkan lagi saham anda sebagai kononnya datang dari keluarga yang baik-baik. Melainkan kalau anda rasa ada hal yang patut disebunyikan. Misalnya hanya anda yang masuk Cambridge University - dan 5 lagi adik beradik anda masuk pusat serenti - rahsiakan hal itu.

Apa lagi? Jangan sesekali bercakap 'bolehlah" - kalau anda ditanya bolehkah awak buat kerja ini. Jawab dengan yakin - "Boleh. Saya pasti boleh'. Kemudian sambung dengan alasan lain yang direka. Orang mengharapkan kesungguhan dan keyakinan anda. Itu sahaja.

Aku dulu - ada satu penemuduga cuba mempertikai hipotesis kajian aku. "Eh, boleh ke ni. Hipotesis ni nampak macam sikit je ni". Mungkin sebab umur aku - aku pintas bangun lalu menyeluk marker pen dalam poket aku. "Siapa kata sikit. Mari saya tunjukkan". Sambil bingkas bangun, aku bertanya:"Ada tak white board". Aku ingin menunjukkan kepada penemuduga - apa sebenarnya. Dia pun menjawabnya: "Oo..ok. Saja je nak test". Aku pun tak faham kenapa aku bawa market pen dalam poket aku hari itu.

III
Selepas temuduga
Setelah habis temuduga - jangan berangan-angan yang anda akan dapat kerja. Itu sama seperti orang yang berjumpa dengan anak raja, lalu berangan-angan mengahwininya. Lupakan hal temuduga tadi. Tutup buku.

Kita pohon lagi di tempat lain. Setelah dipanggil temuduga lagi, dan ditanya 'ada pohon kerja tempat lain"" - Jawablah lagi "Buat masa ini, saya rasa hanya ini organisasi yang sesuai dengan saya. Saya belum lagi bercadang memohon ditempat lain, melainkan tuan tidak berhasrat menggajikan saya".

Itulah hakikat temuduga. Jangan jujur dengan semua hal. Ada hal patut kita yakinkan, ada hal patut kita diamkan. Sekiranya anda beritahu dengan jawapan tadi pun - hakikatnya penemuduga tahu bahawa anda memang memohon pekerjaan lain. Bodohlah anda graduan muda tidak mencari kerja.

Bagaimana aku tahu? - Satu waktu dulu - akulah penemuduga itu!

Thursday, 6 May 2010

Loji nuklear. Apa benar kita perlu?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sebagai warganegara - aku menulis hal ini. Pendapat aku mungkin tidak betul. Pandangan aku juga mungkin salah. Tetapi, aku rasa aku mahu menulis juga.

Sekarang ini - negara kita sedang dihangatkan dengan pelbagai pandangan bagi mewajarkan pembangunan teknologi nuklear. Bagi aku - pandangan itu tidak salah. Loji nuklear dianggap sebagai sumber tenaga yang lebih efisien. Ia mungkin diperlukan dalam usaha kita ingin menjadi negara maju.

Tetapi ada satu hal lain yang patut kita majukan dulu. Kita masih lagi tidak sampai ke tahap 'safety culture' dan 'safety climate' yang membanggakan. Bahkan kita masih lagi teruk. Inilah yang patut didahulukan sebelum mengambil risiko yang lebih besar.

Apa safety culture? Setiap kali anda terserempak dengan orang yang sedang membaiki jalan di waktu malam, berapa kali anda melihat mereka memagari kawasan kerja mereka. Juga berapa kali anda melihat mereka memasang papantanda yang sempurna, jelas kelihatan dan lampu yang terang. Aku banyak kali terserempak dengan hal ini. Ada yang langsung tidak memasang apa-apa. Cuma ada lori dan orang sedang berkerja.

Kalau ada jalan berlubang - berapa cepat pihak yang berkenaan memasang kon bagi menghindar orang mendekatinya?

Ini adalah bukti bahawa kita belum ada safety culture yang sempurna.

Kita juga selalu makan di warung-warung di ibukota Kuala Lumpur. Warung itu dipacak di atas jalanraya. Juga ada kerusi kedai mamak di atas ruang pejalan kaki. Semua ini adalah tanda betapa tidak orang ambil tahu pun kalau-kalau ada kereta terbabas dan orang mati dilanggar.

Kita juga mungkin selalu sahaja melihat orang membersihkan lantai dengan air sabun. Berapa kerap anda melihat mereka tidak memasang papan tanda lantai licin. Ia membahayakan. Selagi tidak terjatuh, kita tidak tahu bahaya.

Lihat juga orang berkerja membina bangunan. Mereka hanya berselipar dan tidak memakai topi. Mereka hanya menolak simen di celah dua batang kayu. Tidak juga memakai tali keselamatan. Tidak ada juga penyelia keselamatan tempat kerja. Kalau mereka jatuh dan mati, kita akan berkata itu kemalangan. Itu takdir. Maka kita tanam mereka ke liang lahat.

Apa lagi? Baru-baru ini sebuah jambatan runtuh. Pelajar sekolah hanyut. Mengapa? Adakah kerana faktor aliran sungai? Jangan guna alasan tanah lembut dan hujan lebat. Jambatan memang dibina di tempat sebegitu. Alasan terbaik ialah kita hanya pandai membina. Tetapi kita tidak ambil tahu pun hal keselamatan orang awam.

Stadium juga runtuh terbarai. Lebuhraya juga retak. Semuanya adalah hal-hal yang berisiko. Mengapa terjadi begitu? Sebab - dalam budaya kita, kita cenderung dengan sistem Jepun. Semuanya mahu cepat. Tetapi kita tidak pula membudayakan nilai kerja selamat. Kita tidak memberi keutamaan hal keselamatan.

Ini bukan salah sesiapa.

Salah kita semua. Memang kita dididik untuk hidup dalam risiko. Kita boleh meletak kenderaan di mana sahaja. Kita juga boleh berbual dan berfacebook ketika memandu. Tali pinggang keledar hanya berguna ketika ada 'roadblock'. Kita juga boleh membesarkan rumah kita tanpa perlu ada plan. Bahkan, rumah pangsa pun kita tambahkan dengan 'rennovation' baru - yang kita mungkin tak sedar ia akan menambah beban yang memungkinkan rumah runtuh.

Inilah budaya kita. Kita memang selalu menonton Jackie Chan dan Jet Li. Kita memang kuat. Sebab itu dulu Kondo Bukit Antarabangsa runtuh. Kita juga tarah bukit sesuka hati untuk bangunkan banglo. Kita memang tidak takut mati.

Tetapi untuk loji nuklear ini - bagi aku - bukan sekarang patut kita bangunkan.

Kalau negara Barat yang begitu terdidik dengan safety culture pun boleh tersilap, inikan kita yang selalu terjatuh ke dalam lubang di jalanraya.

Tidak perlulah aku ulas hal Chernobyl atau Chalengger. Tiada siapa mahu mendengarnya.

Update PhD: Berita sesudah subuh.

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Subuh lagi aku membuka emel. Tiba-tiba ada email Paper Decision. Seperti biasa, tajuk emel seperti ini akan selalu menyeramkan, penuh dengan teka teki.

I am therefore pleased to inform you that we accept your manuscript pending these
revisions. Your manuscript can be accepted for publication in the special issue, if you sufficiently address all the comments raised above and in the manuscript.

Sebenarnya, inilah sebahagian dari rutin menulis jurnal. Hantar, menerima komen. Memperbaiki semula berdasarkan komen. Menulis lagi. Dihantar semula. Mendapat maklumbalas semula. Sampai adakalanya mengambil masa bertahun-tahun.

Jurnal pertama aku - kertas yang lain - kajian dilakukan tahun 2008. Pertama kali hantar bulan Februari 2009. Setelah beberapa kali pembetulan, akhirnya hanya bulan lepas, pada tahun 2010 baru terbit dalam jurnal.

Ada orang yang mungkin lama lagi.

Wednesday, 5 May 2010

Mengimbau Piala Dunia

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Temasya Piala Dunia akan menjelang. Ia mungkin sukan terhebat bagi warga seluruh dunia. Baik yang bermain bola, atau yang berkaki bangku. Bolasepak telah menjadi bisnis baru dunia perniagaan.

Aku tidak berapa pasti sejak bila aku mula tahu istilah bola. Sekitar tahun 1982, aku mula terdedah dengan nama Paolo Rossi - pemain Itali yang terkenal waktu itu. Itu pun sekadar melihat gambar poster yang terpampang dalam bilik abang aku. Di mana-mana orang bercakap berkaitan bola, sekalipun waktu itu untuk menonton televisyen sangat susah. Apatah ingin menonton Piala Dunia.

Seingat aku - tahun 1982 di kampung aku hanya ada beberapa orang sahaja yang ada televisyen. Itupun visualnya masih hitam putih. Belum ada elektrik waktu itu. Orang masih menggunakan generator atau bateri. Aku tidak tahu sama ada pembaca blog ini pernah merasai zaman gelap itu.

Aku pasti - aku tidak menonton Piala Dunia tahun 1982 itu. Aku masih budak sangat. Baru 10 tahun. Jadi aku tidak tahu sama ada disiarkan perlawanan bolasepak atau tidak. Kalau disiarkan pun, aku tentu tidak dibenarkan bertandang ke rumah orang pada waktu malam.

Cuma tahun 1986 - baru aku tahu apa itu Piala Dunia. Aku berpeluang menontonnya kerana tinggal di asrama. Di kampung aku juga sudah banyak orang yang mampu membeli tv. Cuma rumah aku yang belum. Waktu itu baru aku tahu siapa Maradona. Dia bermain tahun itu. Orang juga mula bercakap legenda bola Pele, yang lebih terkenal dari Maradona yang bermain lama sebelum itu. Nama Zico yang bermain dengan kelab Udinese juga ada disebutkan. Aku tidak tahu tahun berapa dia bermain.

Iklan terkenal waktu itu ialah iklan rokok Benson & Hedges - yang berlatarkan singa. Ia iklan yang paling dahsyat waktu itu tatkala dunia animasi belum lagi sehebat sekarang. Banyak pembaca blog ini tentu belum lahir untuk melihat iklan itu.

Tahun demi tahun - Piala Dunia tetap kekal dengan imej sebagai temasya sukan terhebat dunia. Kualiti dan rentak permainan juga kian menarik. Yang berlari di padang ialah jutawan. Cuma, sukan bolasepak kita masih di takuk lama. Mungkin semakin teruk kalau kita mengimbas kembali era kegemilangan Mokthar Dahari, Bakri Ibni, Soh Chin Aun atau Hassan Sani.

Tahun piala dunia yang hebat untuk aku datang sekali - tahun 2006 lalu. Pasukan Itali mengalahkan Germany di separuh akhir dan salah satu gol kemenangan itu dijaringkan oleh Alessandro Del Piero - menutup mulut Oliver Kahn yang bercakap besar sebelum itu.

Tuesday, 4 May 2010

Ini ruang maya penuh risiko

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kini dunia maya telah menjadi kedai kopi masyarakat. Ia menjadi tempat kita duduk berborak dan bersembang dengan segala macam hal. Kemunculan Facebook, Twitter dan sebagainya merancakkan lagi hubungan. Ia menemukan kita dengan manusia baru. Ia juga menghimpunkan semula teman-teman lama kita.

12 tahun dahulu - sebelum kemunculan Yahoo dan MSN Mesengger kami hanya menggunakan Windows popup. Ia hanya boleh menghubungkan orang lain yang satu pejabat atau dalam satu talian yang sama. Itu sahaja. Ia tidak sehebat komunikasi dunia maya hari ini.

Sekalipun Facebook telah menjadi kedai kopi kita untuk berbual - tetapi ingat, ia bukan kedai kopi. Tidak semua perkara boleh kita bualkan tanpa segan silu. Di kedai kopi, kita boleh berkata apa sahaja. Tidak ada sesiapa merakam perbualan kita. Perbualan kita hilang dan dilupai begitu sahaja.

Sebaliknya, perbualan kita dalam dunia maya - adalah komunikasi menulis. Apabila kita menulis sesuatu, harus berhati-hati. Kini banyak anak muda yang terperangkap kerana mereka menganggap perbualan mereka itu sama dengan perbualan di kedai kopi. Apabila mereka menulis untuk membunuh seseorang, atau menghina sesiapa - sebenarnya itu membuka pintu mereka untuk didakwa atas kesalahan jenayah.

Asalnya mereka mungkin sekadar suka-suka. Mereka mungkin tidak berniat pun. Sekadar berbual dan menceritakan isi hati mereka. Mereka terlupa, mereka sebenarnya sedang diperhatikan.

Sebab itu, berhati-hatilah berbual di ruang maya. Ia ruang terbuka penuh risiko!

Monday, 3 May 2010

Ini cerita hidup

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hidup kita mungkin susah. Kita mungkin juga pernah susah. Tapi kita mungkin tidak sesusah orang lain.

Ketika di Jakarta, aku berpeluang melihat banyak orang susah. Ia peluang yang mungkin jarang dilihat di negara kita. Kita mungkin tidak akan melihatnya di Australia.

Anak-anak pengamen hidupnya atas belas ehsan orang lain. Pekerjaan mereka mungkin senang, tetapi hidup mereka susah. Dahulu ada seorang budak lelaki - dia selalu singgah ke pejabat aku. Kerjanya mengilat kasut. Aku berikan dia sepatu agar dapat dikilatkan. Budak ini akan selalu singgah dari satu pejabat ke satu pejabat. Aku tidak mengilatkan kasut kerana ingin melihat ia kilat. Aku mengilat kasut kerana budak itu. Sekali kilat dalam sekitar 1,000 rupiah.

Ada pula yang mencari makan dengan cara lain. Mereka memainkan muzik yang dibuat dari tin susu. Mengetuk-mengetuknya seperti bermain dram dan berjalan-jalan. Ada pula yang memainkan gitar tong yang entah apa bunyinya. Siapa simpati, siapa memberi. Mereka ini selalu datang bermain di sebelah kita ketika kita sedang menjamu selera di kedai makan. Kita memberi bukan kerana alunan muzik. Kita memberi kerana bunyi bising. Setelah memberi satu ribu rupiah atau 500 perak (25 sen) - mereka pergi.

Yang lain pula mungkin datang ke pejabat bertanyakan siapa yang mahu khidmat mengurut. Aku pernah menggunakan khidmat ini. Aku ingat, hanya sekali sahaja aku mencubanya. Mereka mengurut mengguna batang kayu sebesar jari. Sakitnya sampai ke tulang. Setelah beberapa hari - kesakitan tidak juga hilang. Rupanya mereka ini bukanlah tukang urut profesional. Mereka hanya mencari wang.

Sekali itu, aku menaiki teksi dari Cijantung, bandar kecil arah ke Bogor untuk ke kota Jakarta. Teksinya hoyong hayang. Aku perhatikan drivernya. Dia tidak memakai kasut. Semua kereta yang melihat teksi tadi memberikan hon. Aku sudah kepucatan. Akhirnya aku minta dia berhentikan aku di tepi jalan. Bayar wang, dan mencari teksi lain. Mereka ini pula ialah 'supir terbang'. Maksudnya, mereka mungkin meminjamkan teksi orang lain sejam dua untuk mencari makan. Mungkin juga mereka mencuri teksi orang lain.

Kerana miskin - mereka sanggup berbuat apa sahaja. Sekiranya anda malas membawa barang yang dibeli di kedai - ada orang yang sedia menanti untuk menggendong barang anda. Bayar mereka 1,000 atau 2,000 rupiah. Itu sudah cukup.

Begitulah payahnya hidup. Manusia mencuba seribu cara untuk mendapatkan wang. Kita tidak tahu berapa banyak anak-anak mereka yang sedang menanti di rumah. Kita juga tidak tahu adakah mereka masih mempunyai mimpi waktu tidur. Mereka mungkin tidak pernah mengimpikan untuk rumah besar atau kereta mewah. Mereka hanya berdoa agar mampu melihat matahari besok pagi - dan masih ada udara yang masuk melalui hidung mereka.

Jumlah wang yang mereka dapatkan mungkin sangat kecil. Tetapi, nilainya lebih suci dari jutaan wang rasuah.

Tiada berita

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada berita.

Ini mungkin minggu yang santai. Tiada aktiviti sibuk.

Survey pun sudah siap. Analisis data pun sudah selesai. Tidak ada apa-apa lagi urusan yang besar. Cuma ada dua lagi kertas jurnal perlu disiapkan. Satunya sudah siap tulis. Belum lagi diperbaiki. Satu lagi belum ditulis. Tunggu ada mood yang baik.

Ofis sudah berpindah ke Magill 2 bulan dulu. Sampai sekarang aku tak tahu di mana lokasinya. Belum pernah ke sana lagi. Mungkin juga tidak akan sampai ke sana lagi sampai tamat mengaji. Aku buka ofis baru dalam rumah.

Apa yang aku sudah buat 2 tahun 8 bulan ini? Tidak banyak. Banyak tidur. Cuma sempat membentangkan 2 kertas kerja. Satu poster. Satu lagi tak jadi pergi. Malas. Ada lagi satu kertas untuk dibentang bulan Julai nanti.

Sudah menghantar 3 kertas jurnal. Satu sudah terbit. Satu sudah re-review. Harapnya akan diterima. Satu lagi sedang direview. Harapnya seminggu dua lagi boleh tahu keputusan.

Kalau orang tanya apa perasaan aku sekarang.

Aku sebenarnya sudah bosan duduk di Adelaide. Aku macam nak balik esok pagi. Aku ingin balik cari rebung dalam hutan. Setidaknya pun boleh balik korek umpun-umpun dan memancing lagi.

Sunday, 2 May 2010

Selamat hari buruh warga kuli

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Siapa pun kita, kita hanyalah kuli kepada orang lain. Kita mungkin berjawatan besar, tetapi ada lagi orang lain yang lebih besar dari kita.

Dunia para kuli kini semakin dicabar oleh pelbagai masalah ekonomi dunia. Ekonomi sejagatlah yang menjadi majikan kita. Tidak kira apa pun jawatan yang kita pegang, turun naik ekonomi yang menentukan jumlah wang dalam poket kita. Tatkala harga minyak dunia naik, poket kita menjadi kering seketika kerana kenaikan harga barang. Tatkala tiada lagi permintaan untuk industri tayar di Jepun, warga penoreh di Malaysia merungut harga getah jatuh.

Kita boleh berbangga dengan gaji besar. Hakikatnya, gaji besar kita tidak ada apa-apa pun dibandingkan dengan billion ringgit wang untung sehari para pemodal yang kita tidak tahu pun siapa mereka. Kita tidak tahu pun di mana mereka. Adakah semua produk dan perniagaan dalam dunia ini pada akhirnya hanya dikawal oleh seorang manusia? Juga tidak kita tahu. Mereka inilah majikan kita.

Sebab itu - dari hari ke sehari kita berhadapan dengan semakin beratnya dunia pekerjaan. Kita perlu ada kelulusan yang baik, hanya untuk menjadi kuli sahaja. Kita diminta berkerja dengan cepat, kalau boleh 24 jam sehari dan menghasilkan kualiti terbaik. Kita juga diminta agar tidak berkira sangat dengan gaji. Siapa yang menyuruh kita? Mereka ialah ketua kita. Siapa pula yang menyuruh ketua kita? Mereka tentulah ketua kepada ketua kita.

Siapakah sebenarnya ketua kepada ketua kita kepada ketua kita?

Itulah pasaran ekonomi dunia.

Jadi sekiranya anda sedang berkerja, ada jawatan yang besar - jangan bongkak dan takbur. Anda bukan sesiapa. Anda juga kuli seperti kami. Sekiranya anda memang kuli - janganlah pula berkecil hati. Kita semua adalah kuli. Aku, kita, kami dan mereka adalah kuli.

Semua nama jawatan yang diberikan - baik pensyarah, guru, pengurus, pegawai akaun, operator kilang, penyelia, mekanik, pengarah urusan, tukang kebun, pengawal keselamatan - atau apa sahaja hanya untuk menyembunyikan istilah sebenar hakikat pekerjaan kita - kita adalah kuli.

Selamat hari buruh untuk semua warga kuli.

Saturday, 1 May 2010

Cerita pelangi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari ini kita telah mengikuti banyak siri kuliah. Kita bincangkan hal berat yang mungkin tidak pernah didengar sebelum ini. Kita bincang hal pemikiran yang kacau bilau.

Kali ini kita tidak bincang apa-apa. Cerita hal pelangi sahaja.

Ketika kecil - ketika aku masih kecil, apabila melihat pelangi orang tua sering menceritakan tentang 'ular danu' yang turun meminum air di sawah atau sungai. Kami tidak dibenarkan melewati kawasan itu, tatkala ular danu sedang meminum air. Kononnya ia akan membuatkan kita sakit atau ditimpa musibah.

Ular danu itu ialah pelangi. Mereka mungkin naif menghuraikannya dari sudut sains. Jadi, hasilnya ia diceritakan dalam konsep tahyul dan mitos.

Apa kata kita menonton filem Laskar Pelangi. Ini filem perjuangan. Ini filem pengorbanan. Cerita perjuangan seorang guru, dan beberapa orang pelajar mempertahankan sekolah buruk - sekolah orang miskin - yang mengajar mereka tentang ilmu.

Kalau ingin menonton filem persahabatan - anda boleh tonton Mengejar Pelangi. Kedua-dua cerita ini bagus. Sesuai untuk anda yang tidak ada kerja pada hujung minggu ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails