Yang Ikut

Wednesday, 31 March 2010

Apa ada dalam rokok?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bulan Julai nanti, aku mungkin akan ke Darwin - salah satu tempat yang sangat ingin aku jengah di Australia ini bagi mengikuti Persidangan Psikologi Asia.

Aku akan membentangkan hal bagaimana globalisasi telah mengubah nasib para pekerja. Bagaimana globalisasi telah menjadikan manusia robot - dan akhirnya menjejaskan kehidupan mereka.

Apakah dengan persidangan boleh membantu menyelesaikan masalah masyarakat? Adakah hasil kajian hanya untuk keseronokan sendiri semata-mata. Mungkin ya dan mungkin tidak.

Ada pula dapatan kajian yang mengejutkan. Kadang-kadang menakutkan.

Apa dia?


Cuba KLIK untuk mengetahui mengapa kita sebagai orang awam perlu juga membaca laporan kajian.

Tuesday, 30 March 2010

Nota fikir sesudah maghrib

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tanya Datuk A Samad Said:
'...mengapa selepas 6 Perdana Menteri Melayu berkuasa kita masih juga terpaksa menjerit Melayu terancam?'. Ia dipetik dari sini.

Melayu terancam kerana kita tidak lagi mempunyai pejuang yang tulen. Tidak ada lagi golongan budayawan dan seniman yang memacu gerak perjuangan bangsa. Tidak ada lagi golongan guru yang menjadi nadi perjuangan. Tidak ada lagi golongan marhaen yang tulus menyatakan hasrat.

Lihatlah di sekeliling anda. Tidak perlu lihat jauh-jauh. Lihat di kampung anda.

Para kontraktor, pemodal dan peniaga itulah yang menjadi manusia politik - yang kemudiannya melaungkan kata keramat perjuangan bangsa. Politik telah dibungkuskan bersama dengan berahi untuk cepat kaya dalam dunia yang sementara ini.

Sebab itu kita selalu mendengar ungkapan: "Nak kaya masuk politik". Tidak ada lagi orang berkata: "Kita berpolitik untuk memajukan bangsa'.

Ia kini menjadi trend penggiat politik dari semua parti.

Ada hal yang perlu diperbaiki. Ada yang boleh kita perbetulkan. Ada juga yang patut kita tinggalkan. Kalau tidak, ia boleh merosakkan kita.

Kasihan kita. Kita mungkin terancam. Kita juga mungkin tidak terancam.

Siapa mengancam siapa.

Monday, 29 March 2010

Update 11.45 malam

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jam 11.45 malam waktu Australia Selatan.

Setelah beberapa bulan - seingat aku sejak penghujung Disember 2009 lagi aku mula menulis satu artikel untuk dihantar ke jurnal. Seperti biasa, aku akan memaksa diri untuk menyiapkan dalam tempoh 10 hari sahaja untuk draf pertama. Biasanya matlamat aku ini berjaya.

Selepasnya, aku hantar kepada penyelia aku untuk menyemaknya. Ada komen di sana sini, khususnya hal statistik dan konseptual. Setelah itu, aku hantar pula kepada seorang kawan aku berbangsa Jerman di Guternberg University. Artikel yang panjangnya 5,000 patah perkataan dikomen sana sini. Kemudian aku semak, baca dan tulis lagi.

Sepanjang 3 bulan ini, rasanya itulah perkerjaan aku. Menghantar artikel kepada penyelia aku. Dia komen dan tulis semula. Pulang semula kepada aku. Aku baca dan tulis semula. Aku hantar balik. Proses ulang alik ini berlaku sama ada seminggu sekali atau 3 hari sekali. Tergantung kesibukan kami.

Malam ini - artikel aku yang kini panjangnya 10,000 patah perkataan akhirnya selamat di upload ke Journal of Occupational Health Psychology.

Proses ulang alik itu juga menjadikan tulisan aku hanya tinggal beberapa kerat. Selebihnya ia sudah menjadi karangan penyelia aku. Baki tulisan aku yang tinggal mungkin hanya Malaysia.

Ah. Ada satu lagi artikel sedang menunggu. Data baru pun sedang menunggu juga.

Catatan 2 tahun setengah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Enam bulan lagi - genaplah 3 tahun aku di bumi Adelaide.

Cepat sungguh masa berlalu. Musim berganti musim. Tidur dan bangun tidur. Matahari naik dan matahari jatuh.

Banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh itu. Ada yang mampu dilupakan. Ada yang menjadi kenangan.

Bekas pensyarah aku di UKM, Dr Aminuddin kembali menemui Allah beberapa bulan setelah aku berada di Australia. Beliau adalah 'sifu' aku dalam banyak hal berkaitan psikologi. Beliau menyelia tesis sarjana muda dan sarjana aku.

Banyak hal yang aku tulis dalam blog ini sebenarnya ialah bidang psikologi sosial - pengetahuan yang aku dapatkan daripada beliau. Dalam istilah akademiknya, kami mungkin tergolong dalam kelompok aliran Kurt Lewin. Aku akan coretkan nama beliau dalam tesis aku nanti sebagai penghargaan untuk guruku yang ulung itu.

Hari ini pula, genap setahun abang aku pulang ke Rahmatullah. Sepertinya hanya beberapa bulan lalu sahaja. Bapa dan emak saudara aku juga meninggal dunia semasa aku berada di sini. Nenek sebelah isteri aku juga. Semua mereka telah kembali.

Seorang lagi rakan baik - usianya sebaya arwah ayah aku - sekitar lewat 60-an atau awal 70-an, Haji Din juga kembali dua atau tiga bulan lalu. Semasa aku balik Malaysia tahun lalu, aku sempat bergurau dengannya di kedai kopi. Kami bercakap dalam bahasa Siam. Aku menyapanya: 'Hah, tak mati lagi?'. Haji Din menjawab: 'Hang jangan dok cakap lagu tu Dam'. (Adam ialah nama panggilan arwah ayah aku di kampung. Jadi, setelah ayah aku tiada, Haji Din memanggil aku dengan Adam. Katanya, aku membawa sifat ayah aku).

Setelah kami kutuk mengutuk, dia seperti biasa akan bercerita hal anak-anaknya. Hari itu dia dengan begitu beriya-iya ingin membelanjakan aku kopi ais. Aku yang melepak di kedai kopi itu tentu tidak menolaknya.

Rupanya - itulah sapaan aku yang terakhir kalinya dengan beliau.

Begitulah hubungan aku dengan Haji Din. Rasanya kami banyak mengutuk di antara satu sama lain. Tetapi, aku rasa itu adat di kampung kami juga. Cara orang Kedah memang banyak melawak dan berjenaka. Bagaimana pun, ia tidak pula membawa apa-apa perasaan marah. Bagi kami, itu sebahagian dari cara kami menegur dan berbual.

Sepanjang tempoh dua tahun setengah ini, banyak kenangan indah yang ditemui. Banyak juga kenangan indah yang hilang.

Ia mungkin sebahagian dari pengorbanan apabila kita memilih untuk belajar lagi. Pengalaman kehilangan ini tentu dirasakan oleh orang lain juga. Cuma jalan ceritanya yang berbeza.

Saturday, 27 March 2010

Persatuan Blog Melayu

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tajuk itu tidak ada kena mengena dengan catatan di bawah ini.

Aku merasa perlu menulis tajuk itu - kerana setiap hari akan ada sahaja orang yang tiba-tiba terbangun dari tidurnya, dan membisingkan seantero dunia bahawa mereka adalah pejuang. Mereka berseminar. Mereka menubuhkan persatuan. Mereka membincangkan permasalahan Melayu.

Aku kagum dengan para pejuang-pejuang ini. Dahulu mereka berparti. Mereka terjun dari satu pasukan ke satu pasukan yang lain. Mereka tetap bercakap hal Melayu. Mereka sungguh berani. Suara mereka lantang. Mereka sangat terkenal.

Bila mereka hilang jawatan, hilang kuasa - mereka mencari bahtera yang lain. Dari satu kapal ke satu kapal, mereka merentas samudera perjuangan Melayu. Kerana mereka pejuang tulen, yang beranu, mereka mudah tersingkir. Biasalah, mana ada pejuang tulen yang disukai oleh manusia hari ini.

Kerana mereka ini pejuang tulen, mereka tetap melawan. Mereka berpersatuan pula. Bagus. Niat mereka murni. Mereka ingin membela Melayu. Mereka ingin memajukan orang Melayu. Mereka berforum dan berseminar lagi. Masalah orang Melayu dibentangkan lagi. Satu demi satu. Panjang masalah orang Melayu ini mungkin sudah sampai ke bulan.

Anehnya, walaupun banyak pejuang, masalah orang Melayu yang bertimbun tak selesai juga.

Salah satu dari masalahnya ialah ialah terlalu ramai di kalangan kita yang ingin menjadi jagoan bangsa. Setiap orang ada agendanya. Setiap orang ada mimpinya.

Semuanya ingin jadi pemimpin. Semua ingin jadi presiden. Kita ada begitu banyak persatuan. Ada juga banyak NGO. Ada persatuan pelajar. Ada persatuan usahawan. Ada persatuan nelayan. Ada pertubuhan politik. Ada yang membela bahasa. Semuanya menggunakan perkataan Melayu di hujungnya. Sekarang mungkin beratus, bahkan beribu.

Persatuan yang banyak ini sekarang ini sudah menjadi satu lagi senarai permasalahan orang Melayu. Ia memecahkan lagi kita.

Kadang-kadang aku jadi curiga. Aku jadi tidak percaya lagi dengan semua ini. Adakah nama Melayu itu digunakan bagi tujuan populariti, atau itu memang niat yang murni.

Bagi aku - kalau semua orang ikhlas berjuang, tanpa mahukan nama, tanpa mahukan populariti - kita akan berjaya. Perjuangan orang Melayu bukanlah pentas Akademi Fantasia yang perlukan orang menyebut nama tanpa henti.

Aku pun - mungkin bakal jadi manusia terkenal juga jika aku tubuhkan Persatuan Blog Melayu. Aku jadi presidennya. Masalah orang Melayu tak akan selesai juga. Kerana aku hanya inginkan populariti.

Jangan bimbang - kalau gagal, nanti aku tubuhkan persatuan baru. Aku tetap juga presidennya.

-----------------------
NOTA
Sebab itu juga - mungkin generasi hari ini tidak begitu kenal dengan Pak Sako, Ahmad Boestaman, Burhanuddin Helmi dan sebagainya. Mereka tidak terkenal. Tetapi mereka yang tidak terkenal inilah pejuang tulen.

Friday, 26 March 2010

Senyum mesra jiwa parah

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Fikiran serabut, jiwa kacau. 

Sudah dua hari, analisis statistik tidak menjadi. Ini data survey pertama aku dulu terhadap 185 orang pekerja di negeri Selangor. Puas aku cuba memanipulasi coding. Tidak berhasil juga.

Ada dua sebab utama. Satunya, mungkin sebab data yang sedikit. Sebab lebih besar ialah data ini berkemungkinan telah cuba diisi sendiri seperti yang aku ulas sebelum ini.

Dalam statistik, biasanya terdapat hubungan di antara satu fenomena dengan fenomena lain. Misalnya 'suka' dengan 'gembira". Orang yang suka tentu akan gembira, atau orang yang gembira besar kemungkinan akan suka.

Bagaimana pun, dalam kes data aku ia pelik. Ia seolah-olahnya,  'suka' berhubungan secara positif dengan 'marah'.  Sepatutnya ia negatif. Sebab itulah aku mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan kutipan data peringkat pertama dahulu. Pertamanya aku terkesan dengan tulisan yang sama dalam setiap borang soal selidik. Keduanya warna pen pun sama juga. Ketiganya, jawapan di antara setiap responden juga sama. Keempatnya - dalam satu kawasan yang didiami penduduk Cina, mereka dapat hampir semua responden!

Nasib baik kerja yang tidak jujur ini tidak dilakukan pembantu penyelidik yang lain. Kalau tidak tentu keadaan akan lebih parah.

Untuk kajian peringkat 2 dan 3, masalah seperti ini tidak ada. Terima kasih untuk Ann, Su dan rakan-rakan mereka.

Jadi apa yang patut aku buat? Mungkin kita patut bernyanyi 'senyum mesra jiwa parah, walau luka ketawa jua"!

Thursday, 25 March 2010

Mari menulis jurnal

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Budaya menulis jurnal bukan lagi budaya bagi kebanyakan pelajar institusi pengajian tinggi di negara kita. Kita tidak dilatih untuk menulis dan menerbitkan hasil kajian.

Walaupun kita banyak menjalankan kajian akademik, tetapi tidak banyak pendedahan untuk pelajar kita menghasilkan karya berkualiti yang dapat dibaca oleh khalayak akademik lain. Ia bukan sahaja berlaku bagi kebanyakan pelajar ijazah pertama, malah di kalangan pelajar lepasan ijazah juga. Kebanyakan tesis kita tidak ditulis semula dalam bentuk penulisan jurnal.

Tidak tahu apa sebabnya.

Mungkin sebab pensyarah kita juga tidak begitu menulis dalam jurnal berkualiti. Atau mungkin menulis jurnal adalah sesuatu yang meremehkan - memerlukan pembetulan demi pembetulan. Juga mungkin kerana kita banyak menghasilkan laporan dalam bahasa Melayu menyebabkan ia mustahil untuk dihantar ke jurnal antarabangsa yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Sebab itu - adakalanya apabila kita cuba mencari rujukan kajian bagi bidang tertentu khusus bagi kajian Malaysia dalam jurnal antarabangsa, kita tidak mampu menemuinya. Logiknya kita mempunyai universiti di setiap negeri, sekurang-kurangnya pengkaji kita telah menjalankan kajian akademiknya sendiri.

Sekiranya anda pelajar yang sedang membaca blog ini - ada baiknya kita mulakan sesuatu. Tentu ada kajian tertentu yang boleh diterbitkan. Anda boleh menggunakan laman google dengan menaipkan nama jurnal yang spesifik dalam bidang anda. Misalnya "Journal of Cross-Cultural Psychology". Di situ anda akan menjumpai laman web bagi jurnal tersebut, dan ikut arahannya bagaimana untuk menghantar makalah anda.

Ada juga jurnal tertentu yang menerbitkan Edisi Khas bagi topik tertentu. Misalnya, bagi kajian dalam topik prejudis, ia boleh dicari melalui "Call for paper + prejudice" di laman google. Jurnal terbitan isu khas ini biasanya lebih menonjol berbanding dengan jurnal penerbitan berkala. Ini kerana semua penyelidik dalam satu-satu bidang akan menulis bagi topik yang sama dengan menggunakan pendekatan berbeza.

Kualiti jurnal pula biasanya ditentukan oleh impacts yang biasanya diukur berdasarkan jumlah pembacanya dan berapa banyak ia dipetik oleh orang lain. Kategori yang biasa digunapakai ialah A*, A, B dan C. Ada juga jurnal yang dikategorikan sebagai "unranked" - biasanya jurnal-jurnal yang baru muncul.

Sekiranya anda seorang pengkaji baru, anda boleh melayari laman scientific.thomson.com bagi melihat ranking satu-satu jurnal. Kerajaan Australia juga ada menawarkan rankingnya sendiri. Ia boleh dilihat di laman ERA ini.

Selamat mencuba dan menulis.

Sampai masanya kita menolong mereka

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Membaca berita berkaitan orang asli di Malaysiakini dan juga jelajah Krenmaut dalam satu programnya, membuat aku bertanya, tidak adakah langkah yang lebih efisien bagi memajukan mereka. Maju dalam erti kata mereka kekal dalam tradisi mereka, tetapi mereka mempunyai peluang terdidik dalam ruang pemodenan. Melihat kepada bangunan surau yang usang, dan gambar rumah yang tidak teratur sudah cukup menceritakan kehidupan mereka.

Tidaklah pula bermakna, untuk memajukan mereka, kita perlu merosakkan hutan mereka. Kita merosakkan sungai, bukit dan tradisi kehidupan mereka. Tidak ada gunanya jika tanah mereka diteroka, bangunan baru dibangun - tetapi mereka kemudiannya kehilangan hak.

Mereka patut dimajukan tanpa menghilangkan identiti mereka. Mereka perlu diberikan pendidikan yang baik. Syarat untuk mereka mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan awam mungkin perlu dilonggarkan. Begitu juga dengan kouta khas untuk mereka bagi mendapatkan pendidikan tinggi dalam dan luar negara. Tindakan rasional perlu diambil bagi membela nasib mereka.

Kita juga patut berfikir - mengapa tidak ada wakil orang asli dalam parti politik? Bukan wakil sebagai ahli biasa, tetapi wakil pada peringkat tertinggi parti. Sekurang-kurangnya sebagai ahli Majlis Tertinggi. Adakah mereka tidak mempunyai calon yang sesuai. Selama ini, politik kita banyak menjurus kepada perjuangan etnik Melayu, Cina dan India. Jarang-jarang disebutkan perjuangan untuk kaum pribumi itu, khususnya bagi mereka di Semenanjung Malaysia.

Sesuatu harus difikirkan bagi memastikan mereka ada wakil dalam parti politik negara.

Atau, melihat kepada banyak permasalahan yang sedang berlaku kini, mungkin sudah tiba masanya kita mewujudkan jawatan Menteri Orang Asli dan Kaum Pribumi. Sekurang-kurangnya dalam merangka dasar dan polisi negara - ada hal berkaitan mereka boleh dibangkitkan.

Kita tidak boleh membiarkan mereka terjerat dalam perangkap globalisasi ini. Hutan mereka tak punya, bandar pula milik orang lain.

Datuk, ada bawa suara kami ke parlimen?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sidang Parlimen bergema lagi. Kali ini ahli-ahli parlimen kita sedang mengusung nasib lebih 25 juta rakyat Malaysia. Semoga mereka membahaskan hal kehidupan kita. Semoga mereka berbicara soal anak-anak kita. Semoga mereka merasa belas dengan penderitaan yang sedang dihadapi sebahagian daripada kita. Moga, mereka juga mampu merancang masa depan kita dengan bijaksana.

Sesekali cuba kita perhatikan. Perhatikan diri kita sendiri. Bukan orang lain. Kita sering sibuk setiap kali pilihanraya. Seolah-olah satu pesta besar dalam hidup kita. Kita sanggup berjaga sampai lewat pagi. Bermandikan embun menampal poster di sana sini. Kita juga sibuk menganalisis. Siapa yang akan bertanding. Siapa yang bakal memerintah negara. Akan kecundangkan si polan dan si polan.

Cuma sayang - kita hanya sibuk untuk berkempen pilihanraya. Selepasnya kita diam. Selepasnya kita tidak lagi hebat. Paling hebat pun, bertanya bila akan diadakan pilihanraya lagi.

Jarang kita ambil kisah pun parlimen yang bersidang. Jarang kita ambil tahu pun sama ada wakil rakyat yang kita pilih itu membahaskan hal kehidupan kita. Atau mereka cuma membahaskan hal mereka sendiri? Adakah mereka bercakaran di parlimen itu kerana ingin memastikan kebaikan untuk kita, atau hanya untuk menutup keburukan mereka?

Jika pilihanraya itu penting, sidang parlimen itu lebih utama. Pilihanraya hanya menentukan siapa yang memerintah. Persidangan di parlimen itulah yang bakal menentukan nasib kita. Itulah sidang yang bakal menentukan berapa kali lagi harga barang yang akan naik, atau berapa banyak pula peluang pekerjaan baru akan disediakan.

Jika secara tidak sengaja kita terserempak dengan wakil rakyat kita - kita lebih merasa bangga dapat mencium tangan mereka. Kita berasa semacam itu hal yang sangat luarbiasa. Kita mungkin jarang membayangkan pun, ada hal yang lebih hebat daripada itu. Kita tentu akan menjadi rakyat paling istimewa kalau dapat bertanya: "Datuk, ada bawa suara kami ke parlimen?".  

Sayang - kita kurang peka hal ini. Mungkin juga kerana kita memang sengaja tidak 'dipekakan' agar kita tidak begitu tahu hal ahli politik kita. Kita tidak perlu bimbang hal perdebatan di parlimen - kerana kita orang kampung yang tidak bijak.  Mungkin itu juga sebabnya kita tidak diberikan peluang menonton perbahasan secara langsung.

Kita tidak tahu. Jawapannya tidak ada pada kita.

Yang perlu kita tahu - jangan lupa mengundi. Sama ada suara kita akan dibawa ke dewan yang mulia itu atau tidak - yang pasti suara wakil rakyat kita akan tetap bergema di parlimen.


Suara yang sama akan bergema lebih lunak lagi setiap kali menjelangnya pilihanraya.

Tolong. Tolonglah bawakan suara kami!

Wednesday, 24 March 2010

Selamat pagi Malaysia!

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jam 2.45 pagi. Mata belum mahu tidur lagi.

Jam 2.45 pagi. Kalau di tempat kita, Jalan Doraisamy masih penuh dengan manusia yang mencari sup kambing. Di Jalan Alor jenuh dengan wanita jelita seksi yang entah dari mana asalnya. Kedai mamak di Setiawangsa masih riuh dengan anak-anak muda menonton bola EPL. Mat rempit pun gamaknya masih belum tidur lagi.

Jam 2.45 pagi. Kutu-kutu dadah mungkin sedang sibuk menyuntik jarum di belakang bangunan usang Jalan Tunku Abdul Rahman. Kaum pondan pula mungkin masih ligat berurusniaga di Lorong Haji Taib.

Jam 2.45 pagi - Bandar Baru Bangi masih lagi cerah menyala. Pembuat teh tarik dan roti tempayan masih lagi berpeluh tak menang tangan mendengar jerit tukang order. Budak-budak universiti juga mungkin sedang sibuk menyelak satu dua muka surat buku - yang masih lagi belum dibaca. Banyaknya hanya duduk berborak dan bermain gitar.

Jam 2.45 pagi. Adelaide tidak ada apa-apa. Semuanya sudah mati. Sunyi dan sepi.

Tuesday, 23 March 2010

Perang politik ini memang menyusahkan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Perang memang menyusahkan.

Perang bukan sekadar peperangan ketenteraan. Percanggahan ideologi politik juga peperangan. Mungkin tidak banyak negara yang mengalami 'kempen sepanjang tahun' seperti Malaysia. Kita kelihatannya seperti akan menghadapi pilihanraya beberapa bulan lagi.

Semua ini mungkin kerana cara kita berpolitik juga. Kita tidak memberikan banyak ruang melalui media. Jadi orang menggunakan media alternatif - internet untuk menyatakan rasa tidak puas hati. Orang terpaksa berkempen sepanjang hari - dengan ceramah dan seminar. Orang perlu mencipta isu demi isu, polemik demi polemik.

Semua ini tentu bukanlah hal yang sihat, dalam keadaan banyak isu rakyat yang masih belum selesai.

Sebentar tadi - Perdana Menteri Australia dan Ketua Pembangkang berdebat secara langsung dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Kesatuan Akhbar Australia. Perdebatan ini berkaitan polisi kesihatan yang menimbulkan banyak bantahan. Rakyat pula boleh bersoal jawab dengan kedua-dua tokoh tadi. Ia disaksikan melalui kaca televisyen seluruh negara.

Itulah peperangan politik di negara maju. Semua orang berpeluang mendengar dan mengulas isu. Tidak ada yang menang. Tidak ada yang kalah.

Kita pun - sampai masanya perlu juga membuka ruang kebebasan media. Agar tidak ada banyak khabar angin yang berlegar dalam langit pemikiran kita.

Kalau tidak - sampai bila-bila pun perang politik ini akan terus menyusahkan. Tidak ada berita lain yang dibualkan, melainkan gossip politik yang tak kunjung padam.

Apa isu yang kita ada? Lompat parti, krisis politik MCA, siapa pemimpin sebenar PPP, ketuanan Melayu, liwat, dan bermacam-macam lagi.

Siapa mahu menerangkan kepada kita tentang situasi ekonomi semasa? Apakah langkah yang telah diambil?

Monday, 22 March 2010

Mencari yang hilang

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dalam hidup kita, berapa banyak kali kita kehilangan sesuatu.

Ketika kecil - kita menangis hanya kerana kehilangan wang siling. Kita juga mungkin tidak berasa gembira kalau ada barang yang hilang.

Semakin kita berusia, kita mungkin tidak menangis lagi kerana kehilangan wang siling. Kita juga mungkin tidak akan menangis hanya kerana kehilangan perkara yang bersifat fizikal.

Tetapi - air mata kita mungkin mengalir kalau kehilangan sesuatu yang berkait dengan emosi kita. Kita mungkin tidak mampu menahan sebak kalau ada kematian ahli keluarga atau sahabat akrab kita.

Kita juga mungkin berasa sedih kalau ditinggalkan seseorang. Kita berasa tidak gembira kalau kita hilang kepercayaan.

Tetapi - ada satu hal kehilangan yang lebih besar. Ia lebih besar dari kehilangan harta benda atau manusia.

Usia kita. Itulah kekasih kita yang setiap hari meninggalkan kita. Jarang kita menangis untuknya. Usia kita - hari yang berlalu tak akan berulang lagi.

Ia hilang buat selama-lamanya.

Stres - sebahagian dari PhD

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku ingat, bila sudah tidak berkerja, tidak lagi stres. Nampaknya tidak. Sesekali ia datang singgah juga.

Sudah beberapa hari aku stres. Hari Khamis lepas, langsung tak boleh nak tidur. Cuma tidur beberapa jam. Pagi Jumaat, aku e-mel penyelia aku hal statistik yang kacau bilau. Ada beberapa hal yang sepertinya tidak kena dengan teori.

Beberapa minit kemudian - penyelia aku call. Itulah cara kami berkerja sejak dia bercuti sabatikal 6 bulan. Khidmat penyeliaan melalui telefon, sambil tangan aku menggerakkan analisis Structural Equation Modeling. Sebab perbualan kami panjang, aku beritahu beliau, lebih baik aku ke rumahnya sahaja.

Aku menaiki kereta buruk aku terus ke rumahnya di Churchill Road. Di sana kami berbincang lagi. Beberapa hal selesai.

Balik rumah analisis lagi. Ada hal yang tak kena juga. Dua hari - Sabtu dan Ahad fikiran kacau bilau datang semula.

Cuma pagi ini, aku terima e-mel dari penyelia aku:

Dont worry too much about res--> eng. It could be a chance finding in the odd group. We have good theoretical reasons for believing it, we see the relationship in other studies, so I think say results provide some support for res--eng.

Baru mental aku kembali stabil. Sebenarnya inilah sebahagian dari pengalaman PhD. Adakalanya gembira, adakalanya tidak. Ia juga sebahagian pengalaman belajar di luar negara. Pensyarah di sini juga - kalau pun tidak semua - mereka tidak ada budaya 'power distance'.

Jadi, mereka tidak kisah dengan banyak hal melibatkan skema dan protokol. Mereka mudah berkira.

Ada sesiapa dari Malaysia yang berhasrat untuk buat PhD dalam bidang work stress? Boleh contact aku.

Sunday, 21 March 2010

Siri kuliah psikologi 2 - Art of Persuasion - Bah 3

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bagaimana mempengaruhi manusia?

Dalam psikologi - terdapat satu konsep yang dikenali sebagai "the foot-in-the-door phenomenon", atau 'fenomena kaki di pintu'. Orang awam yang jarang terbiasa dengan bidang psikologi mungkin jarang mendengar istilah ini. Bagaimana pun, kita selalu menghadapi situasi ini di banyak tempat dalam hidup kita.

Kita adakalanya mendapat panggilan telefon dari syarikat yang tidak diketahui yang menawarkan kita pakej percutian di sebuah pusat peranginan ternama selama beberapa hari. Kita mungkin berasa gembira dengan tawaran pelik ini. Sebaik sahaja kita menerima jemputan mereka itu - kita sebenarnya tahu bahawa ia bukanlah satu percutian.

Sebaliknya kita diberikan taklimat mengenai kebaikan program mereka, atau meminta kita menjadi ahli. Dalam banyak hal, orang tidak ada banyak pilihan. Sebaik sahaja kita 'melangkah masuk ke pintu', mereka boleh dengan mudahnya mempengaruhi kita selepasnya. Di Malaysia, strategi ini banyak digunakan oleh syarikat skim cepat kaya.

Begitu juga dengan penyertaan dalam persatuan tertentu. Kita pada mulanya kita mungkin tidak berhasrat pun menyertai persatuan mereka. Kita pada mulanya hanya dijemput untuk majlis makan-makan sahaja.

Beberapa hari kemudiannya mereka menjemput lagi dengan majlis yang lain pula. Mereka juga mungkin memberikan kita bantuan tertentu. Akhirnya, kerana 'malu muka', apabila diajak menganggotai kumpulan mereka - kita terpaksa mengikut dengan berat hati.

Kaedah ini juga -dalam bahasa yang mudah - "meminta yang kecil, mengharap yang besar". Dalam dunia moden kini, banyak orang tertipu dengan kaedah ini. Banyak manusia pembelit yang menghantarkan 'spam email' yang menawarkan pelbagai kekayaan. Sebagai kononnya akan memasukkan wang kepada kita. Sekiranya kita membalas respons mereka (sesuatu yang kecil), kemudiannya mereka akan meminta pula kita memberikan salinan pasport sebagai kononnya sebahagian dari proses memasukkan wang.

Setelah kita memberikan salinan pasport, kali ini mereka akan meminta lagi. Ia sedikit besar dari permulaannya. Mereka akan meminta kita memasukkan wang dalam jumlah tertentu kepada mereka, sebelum mereka akan memindahkan wang yang banyak ke akaun kita.

Semua ini adalah tipudaya 'fenomena kaki di pintu'. Sebab itu, jangan sesekali membuka pintu untuk segala permintaan yang dihantar melalui emel orang yang tidak dikenali.

Graduan muda yang baru mendapat pekerjaan - yang kemudiannya ditangkap kerana mengedar dadah di negara luar mungkin telah melalui langkah-langkah ini. Mereka pada mulanya mungkin hanya diberikan tugas yang kecil. Lama-lama kelamaan, ketua mereka ini meminta lagi - misalnya membawa beg ke luar negara. Sedangkan beg yang dibawa itu mungkin berisi dadah.

Banyak juga pasangan muda yang tertipu dengan pasangan mereka kerana kaedah ini. Pada mulanya mereka mungkin hanya akan meminta memegang tangan. Kalau mereka berjaya, bermakna mereka akan meminta lagi kemudiannya anggota yang lebih besar. Kita tidak sedar bahawa kita sudah terpengaruh, kerana kita membuka pintu untuk permulaan tadi. Kalau kita menutupnya lebih awal, hal yang buruk mungkin tidak bakal terjadi.

Jurujual yang datang ke rumah kita juga mungkin diajar dengan cara ini. Mereka pada mulanya mengetuk pintu rumah kita hanya untuk menilai keselamatan peralatan dapur kita. Kalau kita terpedaya, kita akan tergoda. Logiknya, kenapa harus ada orang yang ingin menilai tahap keselamatan dapur rumah. Jika jabatan kerajaan pun tidak pernah melakukannya, mengapa pula hanya syarikat swasta yang teringin melaksanakan tugas itu.

Sekiranya kita telah membenarkan orang tadi masuk, dia kemudiannya akan meminta lagi. Jadi untuk mengelak hal yang buruk, lebih baik jangan biarkan mereka masuk ke rumah. Melainkan kita orang bijak menafasir manipulasi dan teknik pengaruh mereka.

Begitulah sedikit sebanyak bagaimana orang memulakan langkah mempengaruhi manusia. Adakalanya kita tertipu. Jika kita pandai, kita juga boleh menggunakan kaedah ini untuk kebaikan. Misalnya untuk memimpin pekerja kita, atau mendidik anak murid kita di sekolah.

Sebagai permulaan - sekiranya anda seorang isteri, jika anda inginkan perhiasan, jangan meminta dibelikan rantai emas yang besar. Mintalah dibelikan cincin dahulu. Kemudian mintalah pula untuk membelikan gelang tangan. Anda mungkin tidak mendapat apa-apa kalau terus meminta dibelikan rantai emas yang besar dari suami anda!

Bagaimana pun, sekiranya anda hanya memerlukan cincin, lain pula caranya. Anda boleh sedikit sebanyak membaca hal ini dalam topik psikologi betis dan paha.

Tamat. Kalau ada masa, nanti kita sambung dengan tajuk lain.

Saturday, 20 March 2010

Siri kuliah psikologi 2 - Art of Persuasion - Bah 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Mengapa orang terpengaruh?

Ini soalan yang mudah. Bagaimana pun, kita mungkin tidak mampu menjawabnya.

Di Malaysia - beberapa tahun lalu kita menjadi kecoh bagaimana orang boleh terpedaya dengan ajaran Ayah Pin yang begitu jauh menyimpang dari ajaran Islam. Pengikutnya pula ialah orang Islam.

Ada pula ahli masyarakat yang mengikut seseorang yang mendakwa dirinya sebagai Rasul Melayu - sedangkan semua orang tahu tidak ada lagi rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W.

Mengapa orang percaya? Mengapa pula orang boleh mengikut. Semua ini adalah kuasa pengaruh.

Kes pengaruh yang paling ektrims ialah pengikut Reverend Jones - di Guyana. Tahun 1978- seramai 914 orang mati mengikut arahan ketuanya itu meminum air strawberi yang mengandungi racun dan bahan kimia.

Bagaimana caranya kita juga boleh mempengaruhi orang lain? Apakah ada teknik untuk mempengaruhi orang lain.

Nanti kita sambung pada bahagian akhir.

Siri kuliah psikologi 2 - Art of Persuasion

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari - sebaik sahaja bangun tidur - kita mula dipengaruhi oleh sesuatu. Kita membuka televisyen, akan ada iklan atau berita yang cuba mengajak kita mempercayainya. Melalui jalanraya, kita akan diasak untuk percaya dengan iklan yang berselerakan di papan tanda. Sesekali kita juga menerima sms yang mengajak kita mempercayai bahawa dengan amalan tertentu atau memanjangkan sms kepada 10 orang lain - hidup kita akan menjadi senang dan bahagia.

Penjual produk kesihatan 'multi level marketing' dengan yakinnya menyuruh kita menjadi ahli kerana kononnya produk tersebut boleh mengubat hampir semua jenis penyakit.

Mengapa ada orang yang percaya dan ada yang tidak?

Jawapannya mudah - ada orang yang analitikal, dan ada yang tidak.

Orang yang analitikal tidak akan mudah percaya bagaimana dengan satu jenis produk kesihatan mampu mengubat semua jenis penyakit. Kalau begitu, farmasi hanya perlu menjual satu produk sahaja. Orang yang berfikir akan meragui bagaimana dengan memanjangkan mesej 'sms' kepada 10 orang lain membuatkan kita hidup senang. Yang pasti hidup senang ialah tauke syarikat pembekal talian telekomunikasi. Orang yang memanjangkan sms akan kehabisan wang.

Sebab itu dalam iklan - ada dua cara mereka menghantar mesej. Satunya dengan nada atau imej untuk manusia berfikir. Iklan menjual komputer misalnya - biasanya akan dinyatakan perbandingan harga, spesikasi, kelebihan dan sebagainya. Adakalanya ia dibandingkan dengan jenama yang lain. Ini kerana kelompok pembeli komputer biasanya ialah orang yang berfikir. Jarang orang pergi ke kedai dan terus membeli komputer.

Iklan yang tidak memerlukan pemikiran - misalnya 'the Pepsi generation" - tidak melibatkan sebarang pemikiran. Orang hanya melihat jenama Pepsi. Ia meletakkan gambar gadis cantik dan lelaki tampan. Begitu juga iklan rokok. Ia hanya menunjukkan mesej 'gaya, mutu, keunggulan'. Orang tidak perlu berfikir.

Bagaimana pun - kalau orang mula berfikir apa kaitannya Pepsi dengan dengan gadis muda, atau rokok dengan 'gaya hidup', mesej ini mungkin akan kurang pengaruhnya.

Kerana orang tahu ada manusia berfikir dan tidak - biasanya banyak orang 'pintar' yang datang ke rumah kita dengan banyak cara. Ada yang menjual barang, ada yang menipu orang.

Satu hari - ketika aku balik bercuti - ada seorang pemuda singgah ke rumah aku. Dia memperkenalkan dirinya sebagai penyelidik dari sebuah universiti di utara tanahair. Dia berkata dia mahu mengkaji hal bahasa Melayu dalam pendidikan.

Aku menerima kunjungannya dengan baik. Sebelum dia mula menjualkan 'ayatnya', aku bertanya dahulu - apa method kajiannya. Sebab dia tidak mengeluarkan soal selidik. Dia berkata, dia hanya ingin bertanya secara lisan. Aku pula bertanya, kalau begitu - mana alat perakam. Aku juga bertanya lagi - apakah kaedah persampelan yang dia gunakan. Sebab, aku tidak boleh menjadi subjek tanpa tahu bagaimana dia memilih seseorang.

Kerana kebingungan - dia minta diri, tanpa sempat menjual ayatnya.

Beberapa hari kemudian - baru aku tahu mereka ini penjual buku.

Gamaknya - beginilah caranya orang kampung diperdaya setiap hari. Mereka datang dengan imej yang lain, tetapi mempunyai hasrat yang lain. Itu penjual buku. Bagaimana agaknya kalau mereka itu penjual anak gadis.

Semua ini berpegang dengan tipu helah mempengaruhi manusia.
(bersambung)

Friday, 19 March 2010

Bagaimana anda mempengaruhi orang?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari kita cuba mempengaruhi orang lain. Kita cuba mempengaruhi orang bawah. Kita juga cuba mempengaruhi ketua. Kerap juga kita cuba mempengaruhi pasangan untuk mengikut cara kita. Anak-anak kita juga perlu dipujuk untuk mendengar kata. Rakan-rakan kita juga perlu dipengaruhi untuk mendengar pandangan kita.

Ketika menghadiri temuduga - kita seboleh-bolehnya cuba untuk menunjukkan keupayaan kita. Kita cuba mempengaruhi panel - bahawa kitalah manusia paling baik.

Setiap hari - hidup kita berlegar dengan dua perkara. Sama ada mempengaruhi orang, atau dipengaruhi orang lain.

Semua ini memerlukan seni. Seni memujuk dan mempengaruhi.

Seperti biasa, sekiranya anda rajin - bolehlah anda memberikan komen bagaimana sepatutnya kita mempengaruhi orang. Ia boleh jadi cara yang selalu anda pakai. Boleh jadi juga anda selalu menjadi mangsa kepada cara orang lain.

Nanti kita akan mulakan kuliah II - Art of persuasion.

Thursday, 18 March 2010

Ini nota sedih yang memilukan

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita selalu mendengar kisah orang menulis nota cinta dalam botol, dan kemudiannya dicampak ke laut. Dengan harapan nota cinta itu akan sampai. Ada nota yang sampai, ada yang tidak. Ada yang berjaya, dan ada yang gagal.

Ada satu kisah benar bagi hal ini. Ia tercatat dalam buku psikologi.

Tahun 1971 - seorang lelaki telah menuliskan nota cintanya, lalu memasukkan ke dalam botol. Ia dicampakkan ke Lautan Pacific di antara Seattle dan Hawaii. Sepuluh tahun kemudiannya botol itu ditemui di pantai Guam. Notanya berbunyi begini?

If by the time this letter reaches you, I am old and gray, I know that our love will be as fresh as it is today.
It make a week or it may take years for this note to find you...If this should never reach you, it still be written in my heart that I will go to extreme means to prove my love for you.
Your husband, Bob.

Wanita yang tercatat namanya dalam nota itu akhirnya berjaya dihubungi oleh seseorang menerusi telefon. Nota itu dibacakan kepadanya.

Apa reaksi wanita tadi?

Wanita itu ketawa besar. Dengan marah, wanita itu akhirnya berkata: "We're divorced", lalu menghentakkan telefonnya.

Begitulah tragisnya sebuah hubungan. Tidak semua cinta berakhir dengan kebahagiaan. Tidak semua cinta perlu bertepuk kedua belah tangan. Ada yang berakhir di lautan.

Wednesday, 17 March 2010

Siri kuliah psikologi 1: mengapa disukai

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Mengapa orang disukai? Terima kasih kepada yang memberikan respons bagi tajuk ini sebelumnya. Tulisan ini juga panjang. Sila ambil masa anda.
=======================================

Ramai orang bertanggapan bahawa orang disukai kerana penampilan/tarikan fizikal. Ia penting, tetapi bukan semestinya utama.

Faktor lain yang mempengaruhi orang menyukai orang lain ialah proximity (kedekatan), dan merasa disukai.

Kedekatan

Apakah yang dikatakan kedekatan?

Kedekatan merujuk kepada kekerapan interaksi di antara individu. Ia dikatakan faktor yang paling kuat. Orang yang menarik, tetapi tidak pernah bertemu dengan orang lain tidak akan disukai. Orang yang biasa-biasa sahaja, tetapi kerana kekerapan kita berjumpa, akan dilihat menarik juga akhirnya. Sebab itu, bukan semua sahabat baik kita mempunyai wajah tampan atau cantik. Tetapi mereka disukai kerana kita selalu berjumpa dan berbual dengan mereka.

Orang yang tinggal sebilik di asrama, atau sering melalui pintu masuk yang sama lebih cenderung untuk saling menyukai. Begitu juga jiran yang paling dekat dengan kita akan lebih disukai dibandingkan dengan jiran yang selang beberapa buah rumah.

Ini memudahkan peluang mereka disukai. Sebab itu, kita lihat banyak orang yang bercinta atau berkahwin - biasanya ialah mereka yang pernah kerja dalam satu pejabat, atau belajar di universiti yang sama. Sangat mustahil orang berkahwin dengan orang yang tidak pernah ditemui atau dikenali.

Sekiranya anda berpindah ke kawasan tempat tinggal yang baru - adalah wajar untuk anda selalu ke surau/masjid bagi memudahkan anda dilihat orang. Anda akan lebih disukai berbanding dengan orang yang tidak pernah ditemui orang.

Kedekatan dalam hal ini juga merujuk kepada kekerapan interaksi secara emosi. Bekas pelajar dari Universiti Adelaide misalnya akan merasa cepat mesra dengan mereka yang lulus dari universiti yang sama. Orang juga cepat mesra dengan orang yang datang dari negeri yang sama.

Kedekatan ini jugalah yang selalu dijadikan asas oleh ahli politik. Mereka yang selalu dilihat atau ditampilkan dalam akhbar menjadikan kita merasa mereka itu sebagai orang yang dekat dengan kita. Sebab itu, kalau anda cuba klik laman http://malaysia.msn.com/ anda akan dapati ada nama seorang ahli politik pada bahagian popular search. Kita tidak pasti adakah itu sebahagian dari strategi kedekatan ini, sedangkan logiknya tidaklah banyak isu yang berkait dengan ahli politik terbabit.

Jadi - salah satu cara untuk disukai - ialah menggunakan elemen kedekatan ini. Kita mungkin tidak ada banyak wang untuk mengiklan diri di akhbar, tetapi kita boleh menjadikan kita dekat dengan orang lain dengan cara yang murah. Menaiki bas yang sama pada masa yang sama dengan seseorang yang kita suka, memungkinkan menjadi mesra. Kalau tidak, boleh juga mencipta peluang dengan melalui lorong yang sama di pejabat juga memungkinkan ia membuahkan hasil.

Bagaimana pun, satu hal yang perlu anda tahu - sebagaimana kedekatan boleh menyebabkan kita disukai, ia jua boleh menyebabkan kita dibenci. Banyak orang yang ditembak atau menjadi mangsa keganasan ialah orang sering ditemui.

Untuk baca bahagian selanjutnya klik pautan di bawah.


Nota: tulisan ini boleh digunakan bagi tujuan kebaikan dengan syarat menyatakan sumber rujukan dari laman ini.

Mengapa seseorang disukai?

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Mengapa seseorang disukai dan kelihatan menarik?

Adakah kerana wajah yang tampan?
Pandai berkomunikasi?
Kelihatan cerdik dan bijak?
Cantik dan menarik?

Apakah jawapannya pada pendapat anda? Atau bagaimana anda merasakan mengapa seseorang itu disukai.

Ingat, orang mungkin sudah lama tahu "you can't judge a book by its cover" dan 'beauty is only skin deep'.

Sekiranya anda rajin, anda boleh memberikan pandangan anda. Besok baru kita mulakan kuliah bagi tajuk ini.

Tuesday, 16 March 2010

Jangan optimistik dalam semua hal

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari - ketika mula memandu di jalanraya, kita tidak pernah akan beranggapan bahawa ada kemungkinan kita akan terlibat dalam kemalangan. Kita akan selalu mengandaikan bahawa hanya orang lain yang akan terlibat dalam kemalangan. Kita mungkin tidak tahu bahawa kemalangan jalanraya berlaku setiap minit, dan salah seorang mangsanya ialah kita.

Apabila mendengar berita ada orang ditimpa sakit teruk, kita tidak pernah pun merasa yang kita juga akan terkena penyakit yang sama. Kita dengan yakin berkata bahawa bukan kita yang akan diserang penyakit kencing manis, walaupun setiap hari kita minum teh tarik. Kita juga mungkin tidak akan diserang penyakit barah walaupun setiap minit kita menyalakan rokok.

Setiap hari -apabila ada berita ragut di kaca televisyen, kita juga selalu menyalahkan mangsa. Kita menyalahkan mereka kerana tidak membawa beg tangan dengan betul, atau sangat suka menunjukkan perhiasan. Kita tidak pernah beranggapan bahawa kita juga ada kemungkinan akan diragut pada satu hari nanti.

Apakah simptom ini? Di dalam psikologi, hal ini kita namakan sebagai "Unrealistic Optimism". Walaupun kita perlu optimistik dalam banyak hal, tetapi adakalanya optimistik inilah yang telah membunuh kita dan banyak manusia di dunia. Tentera Amerika kalah perang di Cuba, Vietnam dan yang terakhir di Iraq ialah kerana sifat ini. Barisan Nasional juga mungkin mengalami kemerosotan pilihanraya lalu kerana terlalu optimistik. Beberapa hari lepas, setelah mendahului 3-0 dalam 20 minit pertama, pasukan gergasi Juventus akhirnya terpaksa seri 3-3 dengan pasukan tercorot, Siena dalam liga Serie A.

Jadi, hal optimistik ini bukanlah hal pelik. Ia menimpa sesiapa sahaja.

Kajian-kajian menunjukkan walaupun separuh dari warga muda Amerika tahu yang sebahagian besar perkahwinan di negara tersebut berakhir dengan penceraian, mereka yakin bahawa ia tidak berlaku terhadap mereka. Gadis-gadis mudanya yang hanya kadang-kadang sahaja memakai kondom, juga percaya bahawa kemungkinan mereka akan terdedah untuk mengandung adalah kecil.

Semua ini adalah gejala unrealistic optimistic. Sebab itu jangan terkejut kalau ramai anak muda kita yang suka merempit di jalanraya, kerana mereka percaya mereka tidak akan mati. Yang menagih dadah juga percaya bahawa hanya orang lain yang akan mengidap HIV. Yang melakukan rasuah pula percaya bukan mereka yang akan ditangkap. Pasangan yang memadu kasih di taman bunga juga percaya bahawa bukan mereka yang akan ditangkap basah.

Semua ini adalah hal optimistik. Jadi, bukan semua hal kita patut optimistik.

Yang berminat membaca buku, sila cari kajian-kajian oleh Lehman & Nisbet.

Nanti kita bincang hal Hitler pula.

Monday, 15 March 2010

Pedophilia - Simptom yang perlu anda tahu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Nota: Tulisan ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu atau kumpulan. Ia hanya menjelaskan simptom psikologi.

Satu hari anda didatangi oleh seseorang yang mungkin kelihatan warak. Dia meminang anak gadis anda yang masih di bawah umur. Berhati-hatilah. Kelihatan warak belum tentu sempurna. Kelihatan alim belum tentu mereka tidak sakit.

Adalah tidak masuk akal untuk kita - ada orang yang tertarik dengan anak gadis kita yang masih di bawah umur. Ia mungkin hal pelik bagi orang normal. Hakikatnya, hal yang jarang-jarang berlaku ini adalah satu penyakit psikologikal. Ada kemungkinan apa yang berlaku itu bersabit dengan simptom yang selalu dibincang dalam bidang psikologi.

Ia mungkin berkait dengan simptom Pedophilia. Anda boleh membaca di wikipedia hal ini. Aku tidak akan mengulas apa yang telah ditulis di dalam wikipedia itu. Sila baca agar anda faham.

Secara umumnya - pedophilia -ialah kecenderungan manusia tertarik secara seksualnya dengan kanak-kanak, atau dalam bahasa mudah 'ingin menjadikan kanak-kanak sebagai sahabat'. Walaupun penyakit ini boleh jadi menimpa sesiapa sahaja, tetapi ia biasanya merujuk kepada kesukaan orang dewasa terhadap kanak-kanak.

Bagaimana pun, simptom ini tidak semestinya seksual, walaupun banyak dari kecenderungan ini berasas kepada seksual. Ada juga perlakuan yang mungkin untuk menyakiti kanak-kanak misalnya merosakkan barang permainan mereka.

Secara puratanya penyakit ini selalu menimpa lelaki pertengahan umur, walaupun ada kajian menunjukkan wanita juga mungkin ada gejala ini.

Kajian-kajian yang dilakukan (misalnya Gebhard, 1965) menunjukkan pelaku atau pesakit pedophilia ini biasanya kenal dengan mangsa, misalnya mengenali keluarga mereka, hidup sebagai jiran atau sahabat keluarga. Kajian-kajian juga menunjukkan 10-15 peratus kanak-kanak terdedah dengan perlakuan sumbang ini.

Aku tidak begitu pasti dengan isu ini di Malaysia. Ia bukan bidang kepakaran aku. Bagaimana pun, isu-isu penderaan seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak ada kemungkinan bersabit dengan masalah pedophilia ini.

Sebenarnya, yang patut kita utamakan ialah bagaimana kita dapat mengubati atau menghindar gejala pedophilia ini. Ini bukan masalah mana-mana kumpulan agama. Lainlah, kalau semua ahli jemaah itu tertarik dengan perkara yang sama, yakni mengahwini gadis bawah umur. Bagi aku, apa yang berlaku ini lebih merupakan masalah personaliti manusia. Ia penyakit psikologi yang perlu disedari oleh masyarakat dan ditangani bersama.

Sudah tiba masanya juga - pihak berkuasa khususnya memberikan juga kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit-penyakit psikologikal dan mental yang ada dalam masyarakat. Sekurang-kurangnya kita dapat menghindar dan mengambil langkah yang patut.

Jadi aku harap - dengan penjelasan ini - sedikit sebanyak membantu Ziarah76 dalam cuba memberikan isyaratnya dalam topik nila setitik di laman blog beliau.

Takut nanti akan ada orang awam cuba mencadangkan agar kumpulan tertentu diharamkan, sedangkan isu utama bukanlah kumpulan ini. Takut nanti lain yang sakit, lain yang diubat.

Jiwa kacau orang mengaji PhD

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Awal minggu yang sibuk. Resah dan keliru bercampur baur dengan jiwa kacau. Kacau memikir sisa waktu yang tinggal - sekitar 6 bulan lagi. Kacau melihat ada jurnal yang perlu diperbaiki. Keliru dengan data baru yang akan sampai. Resah dengan 2 jurnal dalam tangan yang belum dihantar. Semua ini adalah kekacauan dan kebingungan orang buat PhD.

Sehari dua ini kacau dengan analisis data yang tidak mahu menjadi. Dalam istilah statistiknya, 'the model did not fits into data'. Puas digeledah dan dimanipulasi. Tidak menjadi juga.

Setiap orang ada cerita kacaunya. Ada orang yang kacau dengan hubungan tidak mesra dengan penyelia. Aku tidak ada cerita kacau itu. Aku boleh ke rumah penyelia aku bila-bila masa kalau ada yang perlu dibincang. Dia juga boleh datang dan singgah berjumpa aku di kedai kopi kalau aku memerlukan.

Ada orang kacau dengan penyelia malas membaca manuskrip. Aku rasa, aku tidak ada masalah itu juga.

Jadi apa masalah sebenar aku? Aku pun tidak pasti. Itulah agaknya yang dikatakan jiwa kacau. Di kampung aku - jiwa kacau selalu dikaitkan dengan orang-orang yang ada masalah jiwa. Tetapi sekarang ini, jiwa kacau juga melanda orang yang mengkaji hal jiwa.

Sebab itu agaknya - di universiti kita - orang marah sangat kalau pelajar tidak menyapa dengan gelar 'doktor' walaupun sudah ada PhD. Sebab orang merasa untuk mendapat PhD itu sangat payah.

Hey! PhD itu hanya ijazah. Sama ada orang hendak memanggil doktor atau tidak, ia tidak ada kaitan. Itu hak orang lain.

Aku tidak rasa aku akan ambil peduli hal itu. Aku juga tetap tidak kisah mengepau rokok budak-budak seperti dulu.

Nota: Petang nanti, kalau sempat aku akan ulas isu psikologi terbaru yang sedang melanda negara. Ia isu jiwa kacau yang sebenarnya.

Saturday, 13 March 2010

Alam sedar vs. separa sedar

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Untuk membaca ruangan ini - anda perlu jawab mengikut gerak hati anda. Lihat berapa masa yang digunakan di dalam fikiran anda sebelum menjawabnya.

Soalan BAHAGIAN 1

Soalan 1: Siapakah nama anda?
Soalan 2: Di manakah negeri tempat tinggal anda?
Soalan 3: Apakah jantina anda?


Sekarang cuba jawab pula soalan BAHAGIAN 2 di bawah:

Soalan 1: Apakah nombor telefon keluarga anda di kampung?
Soalan 2: Berapakah poskod kampung anda?
Soalan 3: Siapakah yang duduk di belakang anda ketika di tingkatan 3 dahulu?
Soalan 4: Berapakah nombor plat kereta jiran anda?


Lihat bagaimana caranya otak kita berfungsi. Ia menggelintar maklumat.

Soalan bahagian 1, kita mampu menjawabnya secara pantas. Soalan bahagian 2, walaupun kita tahu jawapannya, tetapi ia sedikit mengambil masa - walaupun mungkin tidak lebih dari 30 saat.

Inilah yang kita katakan alam sedar (Bahagian 1) vs. alam separa sedar (Bahagian 2). Banyak maklumat kita sebenarnya telah disimpan pada alam separa sedar menjadikan kita pelupa dan tidak lulus periksa. Walaupun sebenarnya kita boleh menyimpannya di alam sedar.

Maklumat yang disimpan pada bahagian alam sedar biasanya akan lebih cepat diingat semula. Bagaimana pun, maklumat-maklumat tertentu telah kita simpan pada alam tidak sedar. Kita tahu, tetapi ia lambat untuk diingat semula. Kita tahu bahawa itu kereta jiran kita apabila melihat nombor platnya, tetapi kalau diminta memberitahu apakah nombor plat kereta jiran, kita mungkin tidak mampu.

Dalam peperiksaan, inilah masalah yang selalu dihadapi pelajar. Mereka tahu, tetapi lambat mengimbas semula. Dalam keadaan tertekan oleh masa, mereka mungkin langsung tidak mampu mengingat semula apa yang pernah dibaca.

Friday, 12 March 2010

Aku tidak akan jadi jutawan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seperti yang dilaporkan, Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki bilangan jutawan yang paling ramai di rantau Asia Tenggara. Kita perlu gembira dengan berita ini. Kita perlu berbangga dengan kejayaan ini.

Namun - kita patut lebih berbangga kalau sekalipun tidak ada seorang pun jutawan dari negara kita, tetapi kita juga tidak mempunyai sesiapa yang hidupnya susah. Kita tentu lebih kagum kalau setiap rakyat mempunyai pendapatan yang setara. Tidak ada ada jurang pendapatan yang besar di antara seorang individu dengan individu lain.

Tidak ada gunanya kalau kita ada 10 atau 20 orang jutawan, tetapi 20 juta penduduk yang lain masih gelisah tidur malamnya.

Mereka resah dengan susu anak. Mereka bimbang dengan belanja sekolah anak pada besok hari. Mereka kacau dengan gadis khidmat pelanggan dari bank ternama yang membuat panggilan meminta hutang setiap pagi dan petang. Mereka susah hati berapa lagi harga petrol akan naik bulan depan. Mereka kebingungan tersesat dalam jalan bertol di setiap simpang di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Mereka juga bimbang dibuang kerja. Ada yang bimbang tidak ada kerja. Mereka bimbang dengan gaji yang tidak cukup. Mereka bimbang harga barang naik lagi. Mereka menderita dengan semua resah itu.

Kita juga akan lebih gembira sekiranya para petani dan nelayan kita tidak tergolong sebagai orang susah, yang kais pagi makan tengahari. Mereka mampu memiliki rumah yang selesa dan pendapatan yang baik.

Kita juga sangat teruja kalau semua orang menikmati peluang yang sama untuk menjadi kaya, atau setidak-tidaknya hidup senang. Tidak hanya beberapa orang yang nampaknya begitu cepat naik - kerana bapanya si polan dan si polan.

Itulah yang kita harapkan. "Jutawan' kehidupan itulah yang kita harapkan.

Bagi aku - tidak mengapalah kalau negara kita tidak ada sesiapa pun yang menjadi jutawan. Aku cuma mengharapkan tidak ada sesiapa pun yang susah - yang malamnya berselimutkan hutang, siangnya berbumbungkan kelaparan. Masa depannya dimendungkan tandatanya.

Thursday, 11 March 2010

Apa beza cinta, suka dan minat

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya ada soalan,
Apa definisi cinta sebenarnya? Apa bezanya suka, cinta dan minat?

Aku sebenarnya ingin menutup perbincangan cinta ini. Bagaimana pun, Ainishamsi telah mengajukan soalan ini. Jadi, aku rasa perlu menjawabnya. Takut nanti dia terkeliru pula apabila memberitahu emaknya yang dia cintakan Mawi, sedangkan dia mungkin sekadar meminati penyanyi muda itu sahaja.

Topik cinta ini sebenarnya sebahagian dari bidang kajian ahli psikologi. Mereka juga berselisih pandangan akan hal ini. Secara umumnya, cinta didefinisikan dengan dua cara:
1. An intense feeling of strong liking or affection for some specific thing or person.
2. An endurancing sentiment toward a person producing a desire to be with that person and a concern for the happiness and satisfactions of that person' (The Penguin Dictionary of Psychology).

Bagaimana pun, ahli psikologi lebih merujuk kepada definisi 2 apabila membincangkan hal cinta. Ini bermaksud kita mempunyai perasaan yang kuat terhadap seseorang, dan ingin berkongsi segala suka duka kita dengan orang tersebut. Kita juga berangan-angan untuk sehidup semati bersama orang yang kita sayangi. Dalam erti kata lain, orang sanggup berkorban apa sahaja dengan orang yang dicintai. "Buang emak, buang saudara. Kerana kasih, hamba turutkan'.

Adakah cinta dan seks dua benda yang berkaitan - atau berasingan? Itu aku tak akan ulas di sini. Anda boleh menggoogle Z.Rubin, salah seorang ahli psikologi yang gemar mengkaji topik cinta.

Suka pula - hanya sekadar perasaan senang dengan seseorang yang mungkin menarik, atau mempunyai personaliti, watak atau lain-lain persamaan dengan kita. Bagaimana pun, kita tidak semestinya sanggup berkorban apa sahaja dengan orang yang kita suka. Kebanyakan orang yang kita suka ini boleh jadi merupakan sahabat kita, dan kebanyakan sahabat kita ialah mereka yang kita suka. Bagaimana pun, ada hal-hal yang tidak kongsi dengan orang yang kita suka.

Kita juga mungkin tidak gamak menyebut untuk mati bersama dengan orang yang kita suka.

Jadi, apa pula yang dikatakan minat? Adakah suka dan minat hal yang sama. Ia mirip, tetapi tidak sama. Kita perlu suka dahulu, baru boleh minat. Walaupun sesuatu yang kita suka belum tentu menimbulkan minat. Minat pula biasanya lebih merujuk kepada hubungan perasaan kita dengan seseorang - dan boleh jadi hubungan ini secara jarak jauh sahaja. Mereka ini pula biasanya orang yang mempunyai bakat atau karektor tertentu.

David Beckham diminati peminat bolasepak di seluruh dunia. Dia mungkin juga disukai, tetapi tidak diminati. Bagaimana pun, orang yang membencinya tidak akan menyukainya, tidak juga meminatinya. Apatah ada angan-angan mencintainya.

Mawi diminati oleh ramai orang, tetapi hanya dicintai oleh isterinya. Peminatnya pula perlu menyukainya sebelum boleh meminatinya. Jarang kita meminati seseorang yang tidak kita suka.

Bagaimana pun, ada individu tertentu yang merangsang perasaan kita untuk sangat menyukainya. Mereka ini ada keistimewaan tersendiri yang hanya kita yang tahu. Orang lain mungkin tidak menyukainya pun. Ini juga kita katakan minat (admire). Ini selalu berlaku zaman kita di sekolah. Kita terasa kita bukan sekadar suka, tetapi ingin lebih dari itu. Sebab itu, ada orang sanggup meletakkan surat cinta atau bunga dalam meja orang yang diminati itu. Hal minat inilah yang mungkin ditanya oleh Ainishamsi. Anda boleh dengar lagu ini untuk tahu maknanya.

Jadi - apa beza cinta, suka dan minat?

Jadi - untuk mencintai seseorang anda perlu terlebih dahulu mempunyai perasaan suka. Kalaupun anda suka atau minat seseorang, tidak semestinya anda perlu menyintainya.

Wednesday, 10 March 2010

Update research

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setelah beberapa kali - minggu depan mungkin akan berakhirlah kajian tekanan kerja aku. Aku tidak berapa pasti berapa banyak wang yang dibelanjakan. Tidak juga aku sempat menghitung berapa kali serabut memikirkan bagaimana kajian hendak bermula.

Seingat aku - aku tidak merancang pun untuk melakukan kajian sampai 5 kali. Ketika di Malaysia, sebelum aku datang ke Australia, aku ingat untuk hanya melakukan kajian sekali lalu sahaja. Itu yang ada di fikiran. Nampaknya, PhD tidaklah semudah itu. Mungkin menjadi trend kajian psikologi di luar negara - mereka tidak lagi teruja dengan 'cross-sectional' (kajian sekali), sebaliknya mereka lebihkan 'longitudinal' (kajian follow-up). Alasannya mudah - setiap kajian perlu diterbitkan di jurnal. Sekarang ini, banyak jurnal besar tidak lagi melayan kajian cross sectional.

Mereka juga tidak lagi berpegang kepada kajian kuantitatif (survey) semata-mata. Sebaliknya mereka mahukan mix-method, yakni kajian yang melibatkan kualitatif (interview, fokus group) dan kuantitatif. Ini telah menyebabkan perjalanan PhD aku di sini lebih panjang dari dijangkakan. Bermula dengan interview, fokus group, survey 1, survey 2 dan terakhir survey 3.

Tentulah - semua ini melibatkan wang. Bagi orang yang tidak banyak wang seperti aku - tentu ia sukar juga. Hutang segenggam sudah jadi seguni.

Tapi tak mengapalah - ini mungkin maklumat berguna untuk mereka yang berminat untuk melakukan PhD di Australia.

Dalam semua kerja tidak siap lagi - jika semuanya berjalan dengan baik - aku ada merancang untuk melakukan satu lagi kajian di sempadan Thailand. Harapnya menjadi.

Sejak bila kita mencinta orang lain - II

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
"Hari ini, sudah 2 tahun dia menjejaki saya. Saya mengelak dan mengelak. 3 minggu lepas-kami berjumpa. Macam ada kejutan elektrik. Jatuh balik kah? Cinta ke? Ayoyo, macam bermain dengan api!'

Itu kata seorang teman menceritakan kasih yang putus - dan kemudiannya bertemu semula dengan bekas temannya. Ia belum tentu jatuh cinta semula. Ia belum tentu bakal memulakan kisah hidup seperti dulu. Apatah lagi dalam keadaan pasangannya sudah mendirikan rumahtangga. Ia hanya sebahagian ilusi yang selalu bakal menyusahkan kita.

Bagaimana pun, kalau mereka cuba mencipta semula kenangan lama - berkali-kali berjumpa misalnya, ia akan memulakan cerita baru. Tetapi ingat, cerita cintanya kali ini tidak akan sama dengan cerita cinta sebelumnya. Ia akan menjadi lebih payah dan rumit. Ia akan membakar. Ia bukan lagi cerita membahagiakan.

Kalau dia ingin bertanya pandangan, aku akan berkata - jangan terjatuh pada lubang yang sama dua kali!

Orang boleh meninggalkan seseorang setelah menemui seseorang. Orang juga boleh mencari seseorang setelah merasa tidak begitu bahagia. Makna bahagia itu sendiri sangat subjektif. Orang sering menggunakan alasan jatuh cinta untuk mencipta kebahagiaan yang baru. Orang menggunakan alasan cinta - kerana ia ayat yang paling mudah disebut. Hakikatnya, orang sendiri tidak begitu jelas apa yang dimaksudkan dengan cinta. Orang juga tidak jelas dengan apa yang dikatakan bahagia.

Cinta memang perasaan senang yang menyusahkan. Tetapi jangan menyusahkan diri kerana cinta. Kita boleh jatuh cinta, tetapi jangan berkali-kali terjatuh kerana cinta.

Pesanku untuknya - carilah cinta lain. Ia mungkin lebih membahagiakan. Simpanlah cinta lama sebagai kenang-kenangan di hari tua. Rakamlah ia sebagai catatan pengalaman kita sebagai manusia. Cerita luka dan patah hati adalah cerita semua manusia.

Kata Ebiet G Ade dalam lagunya - cinta tak semestinya bersatu.

Tuesday, 9 March 2010

Sejak bila kita mencinta orang lain

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak bila kita mula mencintai seseorang?

Ketika kita masih kecil - kita berasa malu apabila cuba dipadankan dengan orang lain yang berbeza jantina. Kita berasa malu besar. Ketika kita kecil juga, kita mungkin pernah sukakan seseorang. Tetapi, kita tidak pasti ia 'cinta' atau 'suka'. Tetapi pastinya, deria suka kita itu tidak sama dengan deria suka kita kepada teman yang sama jantina.

Adakah itu cinta?

Sebenarnya kita tidak begitu pasti. Adakah semasa mata liar kita melihat seorang teman sekelas ketika di sekolah adalah dianggap sebagai mencintai seseorang. Setelah itu, kita selalu berangan-angan untuk mendekatinya - tetapi kemudiannya tidak menjadi kerana bimbangkan hasrat kita itu ditolak.

Atau kita mula merasa mencintai seseorang tatkala membeli belah di pasar raya. Kita terasa ingin sangat mengenalinya. Kita terasa seperti ingin mendapatkan nombor telefonnya. Kemudiannya, ia sekali lagi tidak menjadi kerana hal yang pelik meminta nombor telefon dari seorang yang tidak kita kenal.

Kita mungkin merasa kita mencintai seseorang setelah beberapa kali berjumpa bagi hal yang lain. Kita berasa mata kita tidak lagi dapat bertentang mata dengan orang itu. Kita harap matanya juga serupa.

Itulah cinta. Banyak cerita yang tidak kita tahu. Ia fenomena pelik.

Tahun demi tahun berlalu. Ada sebahagian dari watak dalam angan-angan cinta kita yang masih lagi kita ingati. Ada pula yang telah kita lupakan.

Ada orang yang puluhan tahun bercinta, tetapi tidak berakhir di alam rumahtangga. Ada yang hanya sekadar sekali bertentang mata, akhirnya disudahi dengan perkahwinan.

Cinta - ia hanya kisah angan-angan kita. Ia hanya cerita khayalan.

Bagaimana aku mula bertemu dengan isteri aku? Ia mungkin bukan hal yang patut aku cerita dalam blog. Tetapi ia juga bukan hal yang pelik.

Nasihat untuk bloggers - Part II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Mengapa orang membaca apa yang kita tulis? Kita tidak tahu alasan mereka.

Mengapa orang setiap hari cuba meneroka laman web dan blog dan membaca sesuatu? Kita juga tidak tahu.

Apa yang ada di minda manusia apabila menghidupkan komputer mereka di waktu pagi. Apakah laman yang akan dibuka dahulu sebelum mereka minum kopi. Apakah pula perkara yang mereka baca sebelum menutup komputer dan tidur di atas tilam? Kita juga tidak tahu.

Setiap hari juga akan ada laman blog baru yang tumbuh - bagai cendawan - menulis dan merakamkan peristiwa dengan pelbagai cara. Ada orang yang mungkin bosan dengan cara mereka, ada yang menyukainya. Apa alasan orang menulisnya, kita juga tidak tahu. Seperti juga apa sebab orang membacanya.

Ada tajuk-tajuk atau topik-topik tertentu yang dicari orang. Dalam konteks blog aku, banyak orang secara tidak sengaja menemuinya apabila menaipkan ayat 'maksud stres'. Mengapa mereka ingin mencari maklumat berkaitan stres. Kita tidak tahu. Siapakah kumpulan peneroka ini? Kita juga tidak tahu. Mereka mungkin pelajar, pensyarah atau juga manusia yang sedang dilanda stres.

Italic
Sebenarnya - ini menunjukkan bahawa apa sahaja perkataan yang anda tulis, tentu ada manusia yang mencari maklumat mengenainya. Sekalipun anda cuma menceritakan hal berkaitan dengan 'pokok maman', lambat laun ada orang cuba menyelongkarnya.

Jadi - berhati-hatilah ketika menulis. Setiap blogger terdedah dengan membuka rahsia hidupnya kepada orang lain yang tidak diketahuinya. Orang boleh tahu siapa diri anda, sedangkan anda tidak tahu diri mereka. Ini telah aku ulas dalam satu kaedah di sini lama dahulu. Jangan menulis sewenang-wenangnya. Jangan hanya anggap hanya rakan dan saudara mara anda membaca blog anda.

Jangan menulis dengan patah yang buruk, lucah, kasar dan tidak bermoral. Ia akan menyebabkan orang melihat anda dengan imej yang tidak baik. Anda mungkin bukan orang baik - tetapi dengan menulis secara baik - sekurang-kurangnya orang tidak melihat anda dengan cara yang buruk.

Adalah lebih baik kalau anda menulis sesuatu yang memberi manfaat, sekalipun hanya memberitahu orang lain bagaimana caranya merebus telur ayam.

Sunday, 7 March 2010

Laporan dari Second Valley - Part III

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Jam 1.27 tengahari, waktu South Australia. Hari ini merayau-rayau di Cape Jarvis, pelabuhan masuk ke Kangaroo Island. Tidak banyak aktiviti di sini. Sekarang kami sedang berada di stesen janakuasa elektrik dengan penggunaan kincir angin - Starfish Hill.
Posing istimewa budak-budak. Mereka akan selalu gembira dengan apa sahaja.
Ini gambar kipas angin.

Deretan kipas angin.

Nampak menarik. Ia tidak ada di Malaysia. Aku tak berapa pasti.
Pelabuhan - Cape Jarvis.
Pemandangan sekitar.



Laporan dari Second Valley - Part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Ini gambar sebahagian dari kawan-kawan aku di Second Valley. Tidak ada apa-apa di sini. Hanya ada laut, bukit, batu, ladang dan sepi. Ada tapak perkhemahan caravan park. Itu sahaja. Ia bukan tempat untuk melancong. Ia hanya tempat untuk duduk dan bersantai.


Kelebihan di Australia ini - pergilah ke mana sudut laut sekalipun. Akan disediakan jeti untuk manusia memancing, menyotong dan mengetam. Ia lengkap dengan bilik air dan kerusi. Tidak penting tempat itu jauh dari manusia atau tidak. Tidak penting juga siapa yang memerintah. Kemudahan untuk manusia berehat disediakan. Ia bagus. Ia patut dicontohi kita juga. Ia patut didorong sebagai satu polisi mensejahterakan manusia.

Satu lagi kelebihan lain - setiap hal ada peraturan. Ada peraturan membuang sampah. Ada peraturan menangkap ikan. Semuanya dikawal.

Kita patut mencuba juga. Bukan sekadar menyediakan undang-undang. Tetapi mendidik orang menghormati undang-undang. Melatih orang menlaksanakan undang-undang.

Itu sahaja laporan pagi ini. Petang nanti - kalau ada masa dan line internet, aku tulis lagi.

Saturday, 6 March 2010

Laporan dari Second Valley

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Petang semalam - merentas jalan panjang sejauh 90 kilometer - jalan tepi pantai yang berliku dan berbukit, akhirnya kami tiba di Second Valley, Fliurieu Peninsular satu destinasi sepi arah ke selatan South Australia. Di sini tidak ada apa-apa. Tidak ada kawasan perumahan. Tidak ada kedai. Hanya padang ragut, laut dan bukit.

Rumah yang kami diami untuk sepanjang 3 hari mendatang ini di kelilingi beberapa rumah peranginan lain yang berselang agak jauh. Tetapi kebanyakannya kosong. Tidak kelihatan lampu menyala.

Line handphone juga hanya sesekali menunjukkan reaksinya. Kebanyakan waktu tidak ada sebarang isyarat. Sekarang ini, ketika aku menulis ini masih ada signal. Signal itulah yang menghubungkan aku dengan internet.

Apa aktiviti kami di sini. Ada yang memancing. Ada yang berjalan-jalan.

Aku pula hanya sekadar di rumah. Ingin menyiapkan artikel. Harapnya berjaya.

Friday, 5 March 2010

Selamat datang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak seminggu kebelakangan ini, ramai pelajar baru dari Malaysia datang. Aku kira, mereka tentulah orang yang pintar - yang lulus dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan mereka. Umur mereka tentulah masih belasan, atau awal 20-an. Selamat datang aku ucapkan.

Siapa pun mereka, dari mana latar belakang sekalipun - mereka akan menjadi manusia musafir seperti aku juga. Mereka terpaksa meninggalkan banyak kenangan indah di negara sendiri. Meninggalkan ibu dan ayah, sahabat handai dan saudara mara. Mereka akan menemui komuniti baru di sini.

Seperti aku juga - mereka akan diharapkan pulang dengan ijazah. Pulang dengan kejayaan.

Mereka ini sebenarnya kumpulan yang bernasib baik. Tidak semua anak muda mampu ke luar negara jika dihitung kepada usia mereka. Bahkan, belum tentu orang dewasa juga mampu memijak bumi asing seumur hayat mereka. Mereka juga akan dihadapkan dengan persekitaran ilmu yang lebih baik. Budaya asing yang tertib. Budaya menghormati undang-undang. Menjaga kebersihan. Inilah ilmu baru yang mereka pelajari nanti.

Sekalipun mereka akan merasa sepi - merasa bosan - dan sesekali ditimpa simptom 'separation anxiety', jangan bimbang. Ia dirasai semua orang. Semua orang akan tetap mengenang asal usulnya.

Selamat belajar. Ingat, anda adalah pelajar pintar. Tetapi jangan sesekali merasa besar diri dengan peluang itu. Jadilah diri anda sendiri. Anda tidak akan kehilangan apa pun. Sekiranya anda menjadi besar diri dan besar kepala, kelak ia bakal membakar diri anda.

Thursday, 4 March 2010

Mari berbincang hal emosi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini kita berbincang hal mengubah diri kita dengan perkataan. Ia hal emosi manusia. Ia hal motivasi. Kalau anda seorang ketua dalam organisasi - ia mungkin sangat sesuai.

Pengurus: Selamat pagi Lia! Bagaimana perasaan awak hari ini?
Lia: Baik.
Pengurus: Mulai sekarang, apabila saya bertanya bagaimana perasaan awak, saya mahu awak berkata, 'menakjubkan"!
Lia: Ok
Pengurus: Jadi, bagaimana perasaan awak hari ini?
Lia: Menakjubkan.

Perbualan di atas merujuk kepada pekerja di restoran McDonald. Lihat, bagaimana dengan hanya mengubah ayat dari 'baik' kepada 'menakjubkan', orang terpaksa mengubah raut wajah agar selari dengan perkataannya. Perkataan baik mungkin tidak begitu ceria. Tetapi apabila berkata menakjubkan atau memberangsangkan - secara tidak langsung berlaku perubahan emosi.

Sebab itu - apabila kita berurusniaga dengan perkhidmatan kaunter syarikat antarabangsa, mereka selalunya menggunakan ayat-ayat yang positif. Jarang mereka berkata, 'bolehlah', 'nantilah', 'boleh je' atau kata-kata lain yang melemahkan. Anda boleh membandingkannya apabila anda berurusan dengan sistem kaunter di sektor awam.

Semua ini kerana manusia dilatih untuk merautkan wajah yang 'manis' apabila berurusan dengan pelanggan. Sektor penerbangan misalnya, pramugarinya dilatih agar sentiasa senyum sekalipun marah. Mereka dilatih untuk berinteraksi secara positif* (Lihat Nota)

Dengan mengubah ayat, kita mungkin mampu mengubah motivasi diri. Misalnya, apabila kita dihadapkan dengan masalah, jangan sesekali menggunakan perkataan masalah. Lebih baik kita tukar 'masalah' itu kepada 'cabaran'. Ia menjadikan kita sangat suka dengan 'cabaran' itu, walaupun hakikatnya ia tetap masalah.

Kepada teman-teman yang sedang mengaji PhD, apabila ada orang bertanya - "Bagaimana PhD?". Maka kita jawablah - "Hah. Luarbiasa. Progress sangat menakjubkan!".

-----------------------------
*bagaimana pun, kajian terkini mendapati bahawa pekerjaan seperti ini sangat tertekan. Bayangkan kita terpaksa tersenyum sekalipun kita marah. Kita terpaksa memberi layanan yang baik walaupun kita tidak suka. Jadi, mengawal perasaan yang terpendam ini menjadikan manusia sakit. Kita istilahkannya sebagai emotional demands).

Nota - perbualan itu dipetik dan diadaptasi dari Fineman, S, Emotions and organizational control, dalam Payne, R.L & Cooper, C.L (eds), 2001, Emotions at Work: Theory, research and applications in management, John Wiley & Sons Ltd.

Wednesday, 3 March 2010

Mengapa kita tidak bahagia?

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini soalan yang selalu kita tanya pada diri kita.

Kita merasa tidak bahagia mungkin kerana kita tidak memiliki kasih sayang. Kita juga merasa tidak bahagia mungkin kerana kita tidak punyai kesenangan kewangan seperti orang lain. Mungkin juga kita tidak begitu bahagia kerana kita berhadapan dengan kerjaya yang buruk. Mungkin juga kerana kita memilih hidup dalam persekitaran yang teruk.

Kita merasa tidak bahagia apabila apa yang cuba kita lakukan tidak tercapai. Kita gagal dinaikkan pangkat. Kita gagal peperiksaan. Kita juga mungkin melihat persahabatan kita tidak semeriah orang lain. Atau merasa tidak dihargai oleh keluarga.

Semua ini menjadikan kita berasa gusar dan tidak bahagia.

Adakah benar semua ini faktor manusia tidak bahagia. Sebenarnya, dalam psikologi - apa yang berlaku ini tidak semestinya adalah faktor sebenar menjadikan kita tidak bahagia. faktor utamanya ialah berada dalam diri kita juga. Kita membandingkan apa yang kita miliki dengan orang lain. Perbandingan inilah yang menyebabkan kita berasa tidak bahagia.

Sekarang ini - katakan kita cuma mendapat gaji RM 1,500 sebulan. Ia jumlah yang sangat kecil. Bagaimana pun, angka RM 1,500 itu mungkin sangat besar kalau kita hidup dalam persekitaran orang susah. Jumlah itu juga menyebabkan kita sangat bahagia kalau dibandingkan dengan mereka yang lebih teruk hidupnya dari kita.

Kita berasa tidak bahagia apabila membandingkan rumahtangga kita dengan orang lain. Orang lain kononnya mempunyai isteri yang cantik, rumah besar dan kereta mewah. Keluarga orang lain juga kelihatannya sangat membahagiakan, berbanding kita yang hanya berkereta buruk dan hidup di kawasan setinggan. Isteri kita juga tidak menawan. Sebenarnya, kita menjadi tidak bahagia apabila membandingkan dengan orang lain yang tidak setara. Kita mungkin sangat bahagia kalau dibandingkan dengan orang lain yang turun naik mahkamah syariah, atau pinggan mangkuk pecah kerana bergaduh setiap hari.

Itu hal perbandingan yang diceritakan dalam ilmu psikologi. Ilmu yang didatangkan dari Barat. Ia menceritakan hal jiwa manusia.

Hakikatnya, kita mempunyai kitab psikologi yang lebih baik lagi. Ditulis oleh ulamak silam kita. Anda carilah kitab "Penawar Bagi Hati'. Ia kitab yang sangat baik menerangkan bagaimana manusia sepatutnya menguruskan hati.

Anggota badan kita yang lain - berfungsi seperti apa yang diarahkan oleh hati. Jadi, bahagia atau tidak ditentukan oleh hati kita.

Review Blog

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak aku mula menulis di blog ini 2 tahun lalu, banyak hal yang datang di fikiran - aku cuba catatkan. Aku mula membuka blog ini 1 Februari 2008. Kadang-kadang aku tulis hal aku, kadang-kadang aku tulis hal orang lain. Kadang-kadang aku tulis hal politik, kadang-kadang aku tulis hal psikologi. Tapi banyaknya aku tulis hal Melayu.

Kalau boleh aku cuba tulis semua hal yang aku boleh tulis.

Bagi aku - hal Melayu sepatutnya menjadi tema pemikiran aku. Dalam dunia ini, banyak bangsa yang sangat berbangga dengan identiti bangsanya. Mereka tidak cuba menjadi orang lain. Pergilah ke Indonesia, Thailand, Jepun, China atau negara lain sekalipun. Mereka bertutur dan bangga dengan kewujudan identiti mereka. Orang Greek, Jerman dan Itali di Australia ini misalnya, tetap menuturkan bahasa mereka. Mereka berbangga dengan kewujudan bangsa mereka.

Identiti itulah menjadikan mereka tidak mudah tergoda dan ternoda. Melayu - kita juga ada identiti yang unik. Kita bangsa yang baik dan peramah. Kita meraikan manusia lain. Sayangnya kita terlalu baik. Sudah terhantuk bagi tergadah. Sudah dipatuk baru meludah.

Kita banyak bercakap hal bangsa, tetapi kita tidak jujur memperbaiki bangsa. Kita mula sibuk memberikan bantuan pelajar cemerlang setelah pelajar berjaya mendapat keputusan terpuji. Kita mula membantu keluarga mereka yang miskin. Tetapi, sebelum itu kita diam sahaja. Kita tidak melihat bumbung rumah mereka yang bocor. Kita tidak lihat dinding rumah mereka yang retak.

Kita membantu setelah disiarkan berita di akhbar. Kita membantu untuk mendapat populariti. Setelah itu, kita diam lagi.

Kita juga tidak ikhlas dalam perjuangan. Dalam politik - kita takut apabila dikatakan chauvanist dan perkauman. Kita takut kita dianggap sebagai bangsa yang mendikriminasi orang lain. Tetapi kita tidak pernah memandang pun yang kita ini sebenarnya yang banyak ditindas. Tidak percaya? Berjalanlah di setiap bandar. Lihat. Lihat. Dan lihat dengan mata hati.

Berjalanlah juga ke setiap kuala. Lihat rumah siapa yang terpacak dengan tiang kayu reput dan atas zink berkarat. Lihat siapa yang sedang mengharungi lekit lumpur dan busuk air. Lihat siapa yang membuka kedai. Lihat siapa peraih. Lihat siapa tauke. Lihat siapa kuli.

Puas juga orang kita menoreh. Tetapi, yang menjadi tauke pembeli getah tetap bukan orang kita. Paling hebat pun, kita cuma menjadi pembeli di dalam kampung. Tetapi kita tetap perlu menghantar sekerap ke kilang orang lain. Merekalah yang mengawal turun naik harga. Mengapa tidak kita tubuhkan syarikat orang Melayu untuk hal ini? Kita banyak jutawan.

Berapa banyak juga peniaga warung kita di tepi jalan yang dirobohkan ruang hidupnya. Mereka dikejar dan berlari. Kita gembira melaksanakan polisi. Tetapi, mengapa tidak ada sesiapa melarang orang berniaga di atas jalan di Petaling Street. Kita bangunkan pintu gerbang lagi sebagai kononnya mampu menarik pelancong. Mengapa kita tidak adil terhadap bangsa kita sendiri.

Banyak lagi hal orang Melayu yang tidak mampu kita selesaikan. Semuanya bermula dengan sikap kita. Kalau kita mencintai bangsa, kita tidak rasuah. Kalau kita cintakan bangsa, kita tidak berjuang untuk perut sendiri. Kalau kita sayangkan bangsa, kita akan setiap hari berjalan-jalan dan mendengar jerit perih orang kampung.

Melayu - kian layu setiap hari.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails