Yang Ikut

Saturday, 30 January 2010

Ini iklan kebajikan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kawan baik aku - Sdr Khalid sedang dalam proses untuk membuka rumah anak yatim di kampung kami - tidak jauh dari Changlun. Kerana rumah anak yatim yang akan dibangunkan ini lebih berbentuk moden, dengan dilengkapi asrama, komputer serta beberapa kelas belajar, ia memerlukan modal yang besar. Sebab itu, dalam usahanya itu, kawan aku telah berusaha mengadakan usahasama dengan sebuah badan kebajikan lain di Shah Alam yang membantu beliau dari segi konsep dan tema.

Kawan aku ini - akan menyediakan tanahnya sendiri untuk diwakafkan bagi tujuan itu. Sekarang ini masih di peringkat awal. Dia telah berjumpa dengan beberapa pihak bagi membantunya. Aku pernah bersama beliau untuk berjumpa dengan pihak tertentu semasa aku balik ke Malaysia dahulu. Jadi, kerana aku sibuk dengan pengajian, dan juga berada di luar negara, tentu aku tidak ada banyak masa membantunya.

Kawan aku yang lain - seperti Sdr Din dari Rawang telah membantu beliau bagi merekabentuk flyers dan broshure berkaitan. Terima kasih.

Banyak lagi bantuan lain yang diperlukan. Ia bergantung kepada apa yang ada. Jika anda mempunyai wang yang banyak, dan berhajat untuk membantu, ia digalakkan. Sekiranya tidak ada wang, tetapi ada banyak kaki yang boleh mempermudahkan kerja, ia juga boleh dianggap sebagai sumbangan. Juga anda boleh memberikan sumbangan seperti perkongsian pengalaman, nasihat, atau mungkin khidmat kepakaran lain yang ada (misalnya rekabentuk, pengajaran, metodologi) - atau apa-apa sumbangan lain yang bersesuaian.

Aku tidak ada wang sekarang ini. Yang boleh aku buat cuma sekadar iklan dalam blog ini. Sesiapa yang berhajat untuk membantu Sdr Khalid, bolehlah menghubungi aku di fakirfikir@hotmail.com, nanti aku akan beri nombor telefon beliau. Aku tidak boleh letak nombor telefon beliau dalam blog ini atas faktor spam dan sebagainya.

Friday, 29 January 2010

Cerita aborigin - cerita kita juga

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aborigin adalah bangsa asli bumi Australia. Mereka berkulit gelap, berambut kerinting. Sejarah dan latarbelakang mereka boleh dilihat di sini.

Aku tidak mahu berhujah tentang kewujudan mereka. Aku hanya ingin bercerita tentang pemerhatian aku mengenai mereka. Ia mungkin subjektif dan tidak betul.

Aku selalu terserempak dengan kaum aborigin ini di merata tempat di tengah bandar Adelaide ini. Selalunya, pada pagi Isnin ketika aku menunggu bas untuk ke universiti, ada 4 atau 5 orang kaum aborigin ini menunggu bas bersama aku. Mereka mungkin baru keluar dari bar kira-kira 10 meter dari perhentian bas. Mereka berbau hapak. Di tangan mereka ada air mabuk yang dipegang tanpa malu. Biasanya orang Australia tidak membawa botol mabuk merata-rata tempat. Mereka mabuk bersopan. Tidak puak aborigin ini.

Pernah satu hari, ada seorang lelaki aborigin berbadan sasa berbual dengan aku. Dia menunjukkan penumbuknya. Dia bercerita bahawa di masa mudanya dia seorang boxer. Aku tidak tahu ceritanya betul atau tidak. Yang aku kenal hanya Muhammad Ali atau Myke Tyson. Atau kerana dia ingin menge'pau' sebatang rokok dari aku.

Pada hari lain - beberapa orang Aborigin ini menaiki bas. Tidak seorang pun membayarkan tiket. Mereka cuma menunjukkan jari pada lubang mesin tiket sambil mulutnya membunyikan suara mesin. Tet. Tet.

Kadang-kadang aku akan melihat mereka ini tidur di taman atau padang permainan. Seperti biasa, mereka berkumpulan lebih dari 3 orang. Ada yang mengusung bantal atau tikar. Mereka juga tentu akan membawa botol mabuk di tangan. Mabuk sudah menjadi sebahagian kehidupan mereka.

Aborigin ini apa pekerjaannya? Aku tidak begitu pasti. Mereka sebenarnya dianggap 'bumiputera' di bumi Australia. Mereka diberikan pendidikan percuma. Segalanya percuma. Rumah percuma. Elaun sara hidup dibayar. Jadi mereka tidak perlu berkerja. Mereka tidak akan mati kerana tidak makan.

Sebenarnya - percuma itu ada makna. Inilah kejahatan besar orang kulit putih warga pendatang. Tanah mereka telah diambil orang cerdik. Satu waktu dahulu (sila google hal ini) - apabila anak-anak aborigin ini lahir sahaja ke muka bumi - mereka akan diambil pemerintah. Mereka dihantar tinggal di asrama di bandar besar. Kononnya untuk memajukan mereka.

Akhirnya, anak-anak ini tidak tahu asal usulnya. Tidak tahu siapa bapa dan moyangnya. Bila orang tuanya mati - mereka tidak ada waris lagi. Jadi - tanah itu telah diambil pemerintah. Inilah tanah gurun - tanah yang ada segala kekayaan minyak dan arang batu.

Aborigin di bandar ini pula - lama kelamaan terus tenggelam dengan budaya seronok dan berhibur. Mereka seperti raja. Tidak perlu berfikir banyak. Makan diberi. Mereka terus bermalas-malasan. Berfoya-foya dan berjalan-jalan tanpa tujuan di tengah bandar. Budaya dan identiti asal mereka sedang dimatikan secara perlahan-lahan oleh mereka yang pandai - yang datang dari Eropah, England, Jerman atau Itali.

Mereka mungkin tahu bahawa mereka sudah tertipu, tapi apa lagi yang boleh mereka lakukan. Mereka juga mungkin tidak tahu. Mereka sudah tidak ada apa-apa. Bukan sekadar tanah, sebutir pasir pun mungkin tidak dimiliki.

Sebab itu - aku merasa orang Melayu patut tahu cerita aborigin. Moga-moga kita tidak menjadi seperti mereka. Moga-moga kita tidak terus berbangga dengan ketuanan bangsa - bumiputera - atau apa sahaja istilah - kerana kalau kita malas, terpedaya, kita juga akan hilang semua. Sebutir pasir pun mungkin kita tidak ada.

Sebab itu - jangan ketawakan aborigin sahaja. Sekarang ini pun - kita juga sedang berjalan tidak tentu arah di tengah bandar!

Thursday, 28 January 2010

Ini realiti dunia akademik

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Minggu ini agak sibuk. Tidak sempat mengupdate blog ini.

Sebenarnya setiap pekerjaan ada sibuknya yang tersendiri. Sibuk petani menabur baja dan meracun padi. Sibuk penoreh mengasah pisau dan mencuka getah. Sibuk nelayan menyulam pukat dan membaiki perahu.

Apa sibuk kami? Kami sibuk menulis. Sibuk membentang kertas sana sini. Ia sebahagian hidup dalam iklim akademik. Kali ini aku sedang sibuk menyiapkan kertas untuk dibentangkan di Darwin.

Adakah ahli akademik menulis hal realiti?

Itu soalan yang selalu berlegar di kedai kopi. Orang selalu melihat kami menulis hal-hal yang terlalu idealistik yang tak mungkin wujud di dunia nyata. Orang juga mungkin melihat kajian-kajian yang dilakukan tidak ada maknanya untuk kehidupan orang awam. Tidak berguna dan tidak menghasilkan apa-apa.

Aku mungkin setuju dan tidak setuju. Sebenarnya kami menulis hal yang nyata. Kami menulis hal yang berlaku dalam masyarakat. Yang sering menjadi masalah ialah apabila tulisan itu menggunakan terlalu banyak istilah teknikal yang tidak difahami, ditulis dan diolah berbelit-belit - menjadikan ia kelihatan menceritakan hal yang tidak wujud.

Itu sebahagian masalah dalam iklim akademik. Tidak mengolah ayat agar kelihatan berselirat akan dilihat tidak berkualiti oleh kumpulan manusia akademik lain. Jadi kami tiada pilihan.

Bagaimana pun, tidak semua kajian yang kami lakukan dihargai orang. Dalam konteks masyarakat kita (baca: pembuat dasar), tidak semua saranan digunapakai. Orang lebih banyak mengikut telunjuk para pelobi projek dan pelabur. Itu yang menjadi masalah kita. Mungkin ia sudah menjadi sebahagian cara hidup kita.

Di sini - di Australia, kajian pelajar digunakan. Ia akan diuji dalam konteks praktikal. Misalnya, kajian berkaitan sistem trafik jalanraya - kajian itu akan dicuba beberapa tahun dahulu. Sama ada berjaya atau tidak. Kalau tidak berjaya, tidak mengapa. Nanti akan ada kajian baru yang boleh dicuba lagi.

Dalam konteks kita - begitulah hasilnya. Kajian aku berkaitan stres, marah, globalisasi, persekitaran kerja dan kesihatan mental - mungkin tidak akan digunakan di mana-mana tempat sekalipun. Ia hanya akan menjadi buku lama yang tersimpan di dalam almari buruk.

Wednesday, 27 January 2010

Nasihat untuk bloggers kelas ayam!

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sekarang ini, mungkin jutaan laman blog telah wujud dalam dunia maya. Atas apa tujuan sekalipun, sesiapa sahaja boleh membangunkan laman blog sendiri dan menulis apa sahaja yang dirasakan betul. Boleh jadi orang menulis kerana ingin berkongsi maklumat, atau sekadar suka-suka. Ada pula yang menulis atas dasar idealisme atau ideologi tertentu.

Bagaimana pun, ada satu hal yang patut sentiasa ada dalam fikiran kita sebelum menulis sesuatu. Bukan semua hal boleh kita tulis sesedap rasa. Ada batas dan sempadannya. Anda harus melihat dahulu siapa diri kita. Jangan cenderung mengikut apa yang dilakukan orang lain, melainkan anda seorang peguam ternama, anak pembesar negara, orang yang ada nama, atau memang tidak takutkan apa sahaja.

Anda tidak boleh mencela orang lain secara pribadi - misalnya si A adalah seorang yang celaka kerana kuat mencuri. Tulisan anda yang mungkin hanya sekadar cakap dengar akan merosakkan anda.

Jangan menulis sesuatu yang mencela hal-hal yang berkaitan institusi raja. Sesiapa pun anda, anda bukan sesiapa. Anda adalah orang kecil sahaja. Ingat, sistem beraja adalah salah satu simbol yang perlu dihormati. Semua raja Melayu bukan sahaja berada di atas undang-undang dalam konteks Malaysia, malah mereka juga ada hak kekebalan di Singapura.

Jangan mencela atau menghina simbol kebesaran negara - misalnya lagu kebangsaan, bendera atau simbol yang lain. Ada akta untuk mendakwa anda.

Jangan sebutkan nama orang kalau anda merasakan mereka melakukan sesuatu yang salah. Lebih baik ditulis secara umum sahaja. Itu lebih baik. Lagi pun, tidak ada gunanya anda menyebutkan nama mereka - kalau semua orang sudah tahu mengenainya.

Anda juga perlu tahu beberapa akta yang ada. Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Acara Jenayah, Kanun Kesiksaan dan sebagainya. Semua ini adalah undang-undang yang boleh digunakan sekiranya anda melakukan sesuatu yang tidak betul ketika menulis.

Ingatan ini untuk aku, dan untuk anda semua - penulis blog kecil. Kita bukan sesiapa. Jangan melampaui batas. Simpan dahulu kemarahan anda di laci meja. Ketika puluhan peguam ternama sanggup beratur panjang untuk membela blogger ternama didakwa, kita mungkin terpaksa menjual tanah di kampung dan tidak ada sesiapa pun yang ambil tahu mengenai kita. Kita juga mungkin kehilangan pekerjaan.

Jadi - untuk semua blogger kecil - jangan menulis sesedap rasa. Menulis tidak seperti berbual. Tulisan anda diperhatikan seluruh dunia - termasuk mereka yang memang ditugaskan memantau tulisan manusia.

Jadi - itulah nasihat untuk kita semua - semua warga blogger kelas ayam!

Sunday, 24 January 2010

Ini psikologi marah

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Berapa kali dalam setahun anda marahkan seseorang? Atau dalam sehari, berapa kali anda marahkan orang lain. Atau anda tidak pernah marah, kerana tidak ada pinggan mangkuk yang pecah.

Hari ini, kita belajar ilmu psikologi baru. Psikologi orang marah.

Marah - ada tiga jenis. Marah perasaan (feeling), marah fizikal (physical) dan marah verbal.

Orang Melayu mungkin banyak ditandai dengan marah perasaan. Maksudnya, perasaannya sangat marah, tetapi kemarahan itu ditahan juga. Tidak menumbuk meja atau memecah cawan. Tidak juga memaki orang lain. Orang barat, mungkin tidak menahan perasaan marahnya (feeling). Mereka mungkin menghamburkan kata nista dan sumpah seranah (verbal) pada waktu kemarahan sedang memuncak.

Kalau sampai peringkat bertumbuk, atau memecahkan barang, itu termasuk kategori marah fizikal.

Sebab itu, dalam budaya Melayu ada budaya amok. Kita mengamuk kerana kemarahan perasaan itu sudah disimpan lama. Semakin lama disimpan, lama kelamaan tidak dapat ditahan lagi. Ia meledak seperti Gunung Krakatau yang memuntahkan lanar api. Inilah bahayanya budaya kita. Kita cuba kawal marah, tetapi lama-lama kelamaan terhambur juga. Kita tidak mahu menyumpah seranah kerana itu bukan budaya kita, atau kerana ingin menjaga imej.

Marah perasaan ini banyak berlaku di tempat kerja. Tidak percaya? Semak diri anda sendiri.

Orang yang marah pula adakalanya kerana memang personaliti mereka begitu. Orang yang cepat marah ini mungkin termasuk dalam kumpulan manusia yang ada 'trait anger'. Sebab itu, ada manusia yang 'cool' sahaja, tetapi ada orang yang kerana hal yang kecil sahaja marahnya boleh menjadi kes jenayah. Mereka cepat melenting walaupun kadangkala orang hanya berjenaka. Hal kecil boleh jadi besar. Ini bahaya. Apa personaliti anda?

Kebanyakan orang lain - mungkin marahnya kerana sebab tertentu, tetapi bukanlah kerana memiliki personaliti cepat marah. Ini kita kategorikan dalam 'state anger'. Ini boleh jadi kita semua.

Kalau tiba-tiba ada pelanggan datang ke meja anda, marahkan anda bersebab atau tidak, apa yang patut anda buat? Jangan bertekak dengan dia, kalau anda tidak cukup kuat bertumbuk, atau kawan-kawan di sebelah anda bukan kaki pukul. Jangan juga lari sembunyi bawah meja. Nanti dia akan bertambah rasa hebatnya.

Biarkan dia selesaikan marah dia dulu dalam masa 4 atau 5 minit. Setelah dia berhenti bercakap, anda tanyalah "Siapa nama anda tadi?". Orang yang sedang marah biasanya tidak sanggup marah lagi kalau orang sudah tahu nama. Mana boleh kita marahkan orang lain, kalau orang sudah kenal identiti kita. Kerana nama itu adalah diri manusia.

Boleh jadi juga dia rasa terhina kerana ketika dia marah tadi, dia berasa sangat hebat. Dia berasa sangat kuat. Tapi, nampaknya nama pun orang tidak kenal. Jadi berasa kerdil dan perasaan marahnya mungkin merosot.

Ini mungkin boleh membantu menurunkan darjah kemarahan.

Itu kalau orang yang tidak kita kenal. Bagaimana pula kalau orang yang anda kenal? Isteri anda atau kawan-kawan anda.

Itu sedang aku fikir. Mari kita sama-sama berfikir.

Friday, 22 January 2010

Ini cerita gajah jatuh

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Changlun - nama pelik bagi kebanyakan orang asing. Ia bukan kota New York atau London. Ia tidak sebesar Melbourne, atau seriuh Kuala Lumpur.

Tiga puluh tahun dulu, ia pekan asing yang sepi. Namanya yang pelik itu terbina dari dua suku kata dari bahasa Siam - Chang (sebutannya 'shang') yang bermaksud gajah. Lun (sebutannya 'len') pula membawa makna jatuh. Jadi, Changlun itu ialah gajah jatuh. Anda perlu ingat nama ini, kerana inilah pintu masuk untuk meneroka segala dunia keseronokan di Thailand - menjangkaui Dannork, Sadao, Chennak sebelum anda melangkah lebih jauh lagi ke Haadyai atau Bangkok.

Tiga puluh satu tahun dahulu, aku masih darjah satu. Changlun adalah pekan usang. Masih banyak bangunan kayu. Untuk keluar dari kampung aku ke Changlun - kami masih menggunakan jalan tanah merah, yang becak di waktu hujan. Belum ada elektrik di kampung aku. Menaiki basikal melalui hutan belukar, sawah dan ladang getah dalam keadaan gelap menjadikan jalan untuk ke Changlun sangat menakutkan.

Tetapi kami tidak ada pilihan lain. Waktu itu - aku merasa bahawa Changlun adalah bandar terbesar untuk hidup kami. Changlun adalah kota kegembiraan kami semua. Biarlah orang tidak tahu di mana letaknya Changlun, tetapi itulah pintu kejayaan kami. Sekalipun ada orang terpinga-pinga apabila disebutkan nama Changlun - tetapi aku lebih berbangga untuk menyebutnya beribu-ribu kali.

Kerana hanya di Changlun kami mula belajar membaca. Di situlah kami mula mengenal angka dan huruf. Kami juga tahu apa itu yang dikatakan doktor atau jururawat, kerana hanya di Changlun - kami boleh ke klinik mendapatkan ubat. Hanya di Changlun kami boleh menggunting rambut dan membeli keperluan hidup. Mungkin, kalau kami tidak ke Changlun, kami tidak tahu apa itu yang dimaksudkan 'kereta' atau 'lori'. Begitulah dhaifnya hidup kami.

Itu cerita 30 tahun dahulu.

Sekarang, Changlun telah berubah. Ia sudah menjadi bandar baru. Ada beberapa buah bank di situ. Ada juga 3 buah kedai mamak 24 jam. Belum termasuk 7 Eleven dan seumpamanya. Ada juga sebuah komplek perniagaan besar. Anda boleh bermain video game di sana, atau merasa hawa dingin pasaraya. Taman-taman perumahan yang mengelilingi pekan Changlun - menjadikan kebun getah atau sawah padi yang menyeramkan 30 tahun dahulu, tidak ada lagi. Setelah terbangunnya Universiti Utara Malaysia - Changlun menjadi kian sibuk dengan kehadiran orang baru.

Setiap hari, akan ada pembangunan baru di kota kecil kami. Maka berbanggalah warga masyarakatnya melihat kemajuan sambil bercerita panjang tentang kisah silam.

Setelah dewasa, baru aku tahu bahawa kegelapan hidup 30 tahun dahulu bukanlah satu keseraman, ia hanya kesuraman. Terang dan silau lampu yang terpancar dari bangunan-bangunan baru itulah yang menyeramkan.

Satu demi satu bangunan yang naik, itu tandanya satu demi satu juga tanah kita diambil orang. Ia menghilangkan tanah kebun dan sawah padi pusaka moyang kita. Ia tidak akan bertukar tangan lagi, buat selama-selamanya. Anak-anak muda kita yang paling bertuah pun hanya bekerja sebagai pelayan kedai, atau penjaga kaunter untung para pemodal. Di atas tanah sawah itu kini berdiri rumah banglo mewah - juga bukan orang kita yang menguasainya lagi.

Sayang sekali.

Mengapa tidak ada sesiapa yang berusaha untuk menjadikan Changlun - sebagai bandar Melayu misalnya. Selama 30 tahun, sejak aku mula tahu membaca, tidak pernah sekalipun Changlun tidak diwakili wakil rakyat Melayu. Ia sentiasa diwakili oleh parti Melayu terbesar negara. Selama 30 tahun itu juga, aku tidak melihat bahawa Melayu di situ adalah kumpulan minoriti. Tidak adakah sesiapa yang melihat perlu dilakukan sesuatu.

Sekarang ini - tidak ada lagi gajah di Changlun. Tetapi semakin banyak anak mudanya yang mati. Mereka mati dimamah ice dan heroin. Banyak juga yang mati terlanggar ketika merempit di tengah jalan. Mereka mati terjatuh kerana tidak mampu menahan gelodak zaman.

Changlun kian membesar dan maju. Tetapi, kami sedang mati terhimpit di dalamnya. Terhimpit dengan kos hidup, terhimpit dengan budaya kemajuan. Tanah bendang kian lama kian mengecil. Setiap saat disodok pembangunan. Tidak ada apa-apa lagi yang dapat diwariskan untuk generasi mendatang.

Changlun kian membangun, cuma kami yang terjatuh. Kalau ada yang bertanya, bagaimana nama Changlun itu bermula - itulah kami, gajah yang jatuh itu.

Tuesday, 19 January 2010

Rekod apa lagi?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa tahun dahulu, sebuah universiti utama negara mencipta Malaysia Book of Records kerana kejayaan membakar satay terpanjang dunia. Universiti yang sama juga mencipta rekod lain melilit bendera Jalur Gemilang terpanjang di dunia. Semalam, ada satu lagi rekod dunia dibuat oleh sebuah universiti swasta - membina logo dengan 30,000 biji apam.

Apakah yang sedang berlaku?

Adakah kita sudah ketandusan idea dengan mencipta rekod baru yang tidak ada kena mengena dengan iklim akademik. Melilit bendera terpanjang dunia atau mengatur berapa panjangnya satay yang dibakar tidak memerlukan pemikiran yang besar. Kita boleh mengupah kilang mencetaknya, kemudian melilitnya. Bukan sekadar satu kawasan universiti, bahkan kita boleh mengelilingi negeri. Begitu juga dengan satay.

Sekiranya universiti meneruskan keghairahan dengan rekod seperti ini - jangan terkejut satu hari nanti akan ada rekod roti canai terbesar, karipap terpanjang atau apa saja. Ia tidak membantu keghairahan pelajar berfikir secara inovatif, sebaliknya hanya memikirkan apa yang terpelik yang boleh dilakukan bagi mencipta rekod.

Sebenarnya - dunia akademik tidak memerlukan rekod keajaiban seperti ini. Ia tidak membantu mencetuskan daya fikir pelajar. Yang kita mahukan ialah kajian terhebat. Yang kita mahukan ialah penemuan baru dunia teknologi. Yang kita mahukan ialah formula yang memberikan manfaat kepada manusia. Sekalipun ia mungkin tidak dilakarkan dalam sebarang rekod, ia lebih baik. Inilah yang kita harapkan dengan adanya universiti dan institusi pendidikan. Universiti membina tamadun manusia. Itulah hasrat kita.

Rekod aneh seperti itu harus diberikan kepada pelajar sekolah. Biar mereka tahu bagaimana caranya berinterkasi dengan badan antarabangsa. Biar mereka terdidik dengan cara berorganisasi atau berkumpulan.

Universiti - perlu kembali kepada tugas asalnya.

Monday, 18 January 2010

Bila aku yang stres

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah beberapa hari aku tidak melakukan sebarang update.

Aku mungkin sedang sibuk. Tidak. Sebenarnya aku sedang dilanda stres. Aku dilanda stres dengan dua perkara - pertamanya berkaitan pengajian aku. Keduanya, aku juga sedang ditekan dengan waktu yang kian pendek. Cuma ada 9 bulan lagi dalam tempoh yang dibenarkan untuk aku berada di bumi kangaroo ini.

Sebenarnya stres tidak membantu menyelesaikan masalah. Stres hanya akan menggangu fikiran kita. Kita menggunakan banyak tenaga untuk berfikir hal masalah, bukan menyelesaikan masalah. Fikiran kita hanya memfokuskan mengenai kekacauan yang tak kunjung padam. Kita jadi takut, bimbang dan resah. Ia datang menujah fikiran 24 jam. Hasilnya, tidak ada satu perkara pun yang kita lakukan. Hari-hari dihabiskan berfikir dengan hal yang sama. Setiap jam digunakan untuk berfikir apa akan berlaku.

Itulah kesan stres. Ia tidak memberikan manfaat. Aku tahu benar hal ini. Ini topik aku. Tapi aku sendiri gagal mengelak.

Kalau ada orang yang dilanda stres datang berjumpa aku, aku akan minta mereka bukakan sepuluh jari. Kemudian minta mereka tutup satu jari. Aku akan berkata, mengapa harus difokuskan dengan hanya satu jari. Sedangkan ada 9 perkara lain lagi yang harus kita usahakan juga. Mengapa membiarkan 1 masalah merosakkan diri, sedangkan banyak perkara lain harus difikirkan juga.

Itulah. Apabila orang lain ditimpa masalah, kita tahu memberikan caranya. Bila diri sendiri terkena, apa pun tak boleh dilakukan.

Sepanjang aku di sini - banyak orang yang telah aku temui. Ada kawan-kawan aku yang tidak lalu lagi hisap rokok kerana stres. Dan ada yang ingin lari balik Malaysia. Jadi aku dengan beberapa orang kawan lain - cuba menolong. Kami bercakap hal positif. Kami bercakap mengenai peluang dan harapan. Kami cuba menunjukkan jalan terbaik.

Ketika di Malaysia dulu, ada beberapa rakan aku di Malaysia - ditimpa masalah perkahwinan. Aku kadang-kadang bercakap dengan mereka. Aku bercerita hal baju buruk. Aku bercerita idea mengharmonikan rumahtangga.

Hakikatnya, cakap memang mudah! Itulah kerja ahli psikologi.

Wednesday, 13 January 2010

Mari berbicang hal pendidikan

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku ikut nasihat Zarzh untuk tulis sesuatu. Tapi aku bukan pakar dalam hal ini. Ini pandangan aku yang mungkin ada yang setuju, ada yang tidak.

Jadi kali ini aku tulis hal pendidikan.

******************************************

Anda masuklah ke kampung mana sekalipun - anda lihat akan ada anak-anak remaja kita duduk bersantai dan melepak di tembok atau di kedai runcit sampai jam 2 atau 3 pagi. Ini bukanlah bermakna itu hal yang salah. Bagi aku, itu normal. Ia kehidupan alam remaja - seperti aku juga belasan tahun dahulu.

Cuma kita berasa sedih - kerana anak-anak muda ini sebenarnya sangat mengharapkan kehidupan itu. Itulah matlamat kehidupan mereka. Kehidupan hedonisme. Mereka tidak mahu belajar sebaik mungkin - kerana inginkan kebebasan itu. Mereka ingin cepat habis sekolah. Tamat tingkatan 5 - bagi mereka - itulah mulanya alam dewasa. Kalau boleh tamat lebih awal, lebih baik.

Bagi aku - ini bukan salah mereka sepenuhnya juga. Mereka sedang hidup dalam cabaran generasi sekarang. Ia zaman keseronokan filem Avatar dan kemanisan hidup ice. Seperti kita dahulu yang diseronokkan kehidupan La Bamba dan asap ganja. Sama sahaja spesis cabarannya, cuma alamnya lain.

Tetapi, ada hal yang orang dewasa seperti kita juga salah. Salah anggota masyarakat. Ada ibu bapa yang tidak ambil tahu pun sama ada anak lulus atau tidak. Ada keluarga yang juga mengharapkan anak-anak tamat sekolah dengan cepat.Kalau anak perempuan, lagi cepat kahwin lagi bagus. Habislah segala cerita. Kerana kononnya ia akan mengurangkan beban kewangan mereka.

Mereka terlupa - mereka mungkin menggunakan wang yang banyak untuk melanggan tv Astro, atau membeli mesin DVD baru. Cakera VCD tercapak berselerak di ruang tamu. Mereka membelanjakan wang yang banyak untuk perabut baru, kerusi baru dan motosikal baru. Ada perkara yang dibeli itu - tidak berguna pun.

Dalam istilah accounting - semua barang ini dipanggil sebagai blood clod. Darah beku. Maknanya barang-barang yang menjadikan tunai kita membeku - dan tidak produktif.

Cuba anda hitung berapa banyak barang yang ada dalam rumah anda - yang sepatutnya tidak dibeli pun. Inilah darah beku dalam pusingan tunai kita. Ia harta yang tidak produktif. Kalau kita jual semuanya, kita mungkin kaya semula. Wang ini mungkin boleh menampung setahun perbelanjaan sekolah anak-anak.

Anak-anak kita - akan melihat memek muka ibu bapa yang tidak mempesonakan setiap kali meminta wang ke sekolah - menjadikan mereka juga bosan. Inilah yang pernah dihadapi kawan baik aku, Bento puluhan dahulu. Menjadikan dia keluar rumah pintu depan, menyalin pakaian sekolah di belakang semak pohon getah beberapa jam kemudian. Mereka tidak melihat ada sokongan ibu bapa dalam hal persekolahan. Setiap kali ada guru meminta dibelikan buku lagi - akan ada nada sinis - wang lagi. Banyak sangatkah wang digunakan untuk membeli buku? Banyak lagi tentunya darah beku dalam rumah.

Aku bernasib baik, kerana arwah abang aku tidak begitu. Dia akan mendapatkan buku terbaru setiap tahun bagi setiap matapelajaran. Dia bukan lulusan universiti. Tetapi, dia cendekiawan dalam zamannya. Dia bukan orang kaya. Tidak pernah seumur hayatnya ada 4 keping kad kredit seperti aku.

Bagaimana kita ingin mengatasinya? Bagaimana ingin menyedarkan masyarakat. Bagaimana ingin memastikan anak-anak kita berminat untuk belajar? Bagaimana kita boleh bantu mereka untuk mendapat keputusan yang baik?

Ini sepatutnya pekerjaan ahli politik. Mereka harus masuk kampung berceramah tentang hal seperti ini. Jangan anggap ia hal remeh. Bercakaplah dengan ibu bapa tentang perlunya pendidikan tinggi. Buatlah bengkel kesedaran ibu bapa. Bukalah pusat tuisyen percuma. Kalau tidak pun, buat satu tabung bagi membiayai anak-anak kita belajar tuisyen di bandar berdekatan.

Itu terlebih baik. Kita banyak membantu orang di serata dunia setiap kali ditimpa bencana. Apa kata, kita juga membantu anak bangsa kita yang sedang dimamah derita.

Jangan hanya sekadar memberi beras dan memancing undi. Jangan hanya sekadar bercakap soal projek Kelas F dan projek mega. Kita bercakaplah projek pembangunan minda orang Melayu.

Tanpa jalan tar, anak-anak kita masih boleh hidup. Tanpa pendidikan - mereka akan terlanggar dan mati terkambus di atas jalan tar. Mereka merempit. Mereka membawa bohsia. Mereka menelan pil kuda. Ingat, mereka juga ada kondom di dalam poket!

Semuanya kerana mereka mungkin tidak disibukkan dengan pendidikan, tetapi disibukkan dengan banyak hal lain. Ini semua sedang merosakkan anak bangsa kita.

Tetapi - kalau tidak ada sesiapa pun yang mahu melakukan sesuatu, maka lebih baik kita diam dan jangan marah kepada sesiapa pun. Kita anggap ini takdir yang sudah tertulis.

Bagaimana pun - ia tidak akan menyelesaikan kemelut bangsa kita. Lebih baik kita buat sesuatu. Sebab itu - bila aku balik kampung - aku terasa ingin sangat buat sesuatu. Aku kendalikan bengkel menghafal bukan kerana aku pandai sangat menghafal. Tetapi, aku rasa itulah yang aku mampu buat untuk membantu anak-anak muda kita.

Kita semua - setiap pembaca blog ini - ada kelebihan tersendiri. Ada keupayaan masing-masing dalam bidang tertentu. Bagaimana kalau kita lakukan sesuatu? Kalau tidak boleh merentas satu negeri pun - mungkin kita boleh buat sesuatu di kampung atau di taman perumahan kita.

Pada masa depan - aku sedang merancang untuk mengumpul balik rakan-rakan baik aku - kami semua mungkin boleh berpadu tenaga memberikan sesuatu untuk anak bangsa kita.

Nanti aku sambung apa lagi yang patut kita lakukan.

Apa lagi yang hendak ditulis?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak beberapa hari ini aku tidak menulis. Ada dua sebab sahaja. Sebab pertama, aku sibuk dengan bengkel menulis yang dikendalikan oleh universiti. Ia bermula jam 9.30 pagi dan tamat jam 4.00 petang - setiap hari. Keduanya, aku memang tidak ada ilham untuk menulis.

Aku tidak tahu apa lagi yang hendak ditulis. Hendak ditulis baki 9 bulan yang aku ada, dan satu lagi survey yang belum dibuat, dan hubungannya dengan rasa stres, aku rasa itu tidak patut. Sebagai orang yang mengkaji stres, aku tidak boleh menceritakan stres diri sendiri.

Hendak ditulis hal psikologi - hal cinta, hal burnout, hal self-fulfilling prophecy, personaliti manusia dan sebagainya, aku juga sudah tulis beberapa kali sepanjang 2 tahun lalu.

Hal masyarakat, hal bangsa - itu hal yang selalu aku ulang-ulang. Sekarang ini aku terasa hendak tulis hal agama pula. Tetapi, aku rasa aku patut tangguhkan dulu sehingga aku masuk pondok dulu.

Jadi, aku tidak tahu apa yang patut aku tulis lagi?

Aku tidak rasa aku patut ulas tentang prestasi buruk yang sedang dihadapi Juventus, kelab bola yang aku ikuti sejak zaman muda lagi - kerana aku tak pandai menulis hal bola. Aku hanya sekadar membaca berita sukan setiap hari - sejak lebih 10 tahun dulu. Itu sahaja yang aku tahu.

Jadi, apa lagi yang patut aku tulis? Tolong beritahu aku.

Friday, 8 January 2010

Akal dan internet

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Akal kita memang banyak gunanya. Ia digunakan untuk berfikir. Tapi ingat, akal kita tidak selalunya betul dalam menafsir semua perkara, terutamanya dalam hal berkaitan hukum hakam dan perkara agama. Dalam hal wahyu, akal semata-mata akan membawa kita sesat. Ada hal yang akal tidak mampu menjawabnya.

Sekarang ini - dengan kecanggihan teknologi - terdapat satu trend baru. Trend mempelajari agama dari internet. Semua orang cuba menunjukkan kepandaian berhujah dengan mendapatkan sumber dari internet.

Bagi aku - ini hal tidak betul. Mendapatkan sumber dari internet, walaupun sejauh mana kesahihan sekalipun - ia tidak begitu membantu, kalau kita tidak beguru. Internet hanya alat untuk menyokong pengetahuan. Tetapi, sumber ilmu itu seharusnya datang dengan berguru.

Tetapi - itulah trend masakini. Apa yang boleh kita buat?

Di sebelah kampung aku masih banyak guru yang hebat. Tetapi seperti orang lain juga, aku pun tidak sempat menjenguk mereka.

Thursday, 7 January 2010

Bahasa, bangsa dan agama

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Rantau kita ini telah didatangi 3 kelompok kuasa besar - Inggeris di Tanah Melayu (termasuk di Borneo), Belanda di Indonesia dan Sepanyol di Filipina. Mereka datang berkisar dengan 3 perkara utama - God, Gold and Glory. Istilah God (bukan Allah) merujuk kepada usaha mereka mendakwah dan mengubah manusia mengikut agama mereka. Gold - usaha mereka mencari kekayaan. Glory - menerokai tanah jajahan baru dan menunjukkan kekuatan.

Kuasa Barat ini - seperti juga Islam, mereka juga membawakan agenda tabligh dalam kehidupan mereka. Cuma dalam konteks penyebaran agama, mereka agak terlewat. Rantau ini didatangi terlebih dahulu pedagang dari Arab atau India - antara kurun ke 10 hingga ke 14 Masehi, sedangkan usaha pengembangan Kristian hanya berlaku sekitar kurun ke 16.

Sebenarnya - suntikan elemen 'tabligh' dalam penjajahan Barat hanya datang setelah mereka menyedari perlunya bersaing dengan pedagang Islam - yang masyur yang merantau ke seluruh dunia.

Sungguhpun mereka berjaya dalam dua agenda utama - Gold dan Glory, di Tanah Melayu, mereka gagal dalam usaha mendakwah manusia. Banyak sebab. Salah satu sebab utamanya - mereka gagal menguasai psyche Melayu. Mereka tidak menguasai bahasa Melayu. Kerana mereka datang dalam bentuk yang elit - mereka juga gagal melebarkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat. Hanya sebahagian kecil sahaja yang menguasai bahasa Inggeris.

Ini tidak berlaku di Filipina. Mulai pertengahan kedua kurun ke enam belas - penjajahan Sepanyol telah sampai ke Filipina. Penjajah mampu mengubah bahasa ibunda rakyat dengan bahasa Sepanyol. Maka, dengan cara itu - agenda dakwah mereka berhasil. Cuma di Filipina Selatan - bangsa Moro terus berani mempertahankan jiwa agama mereka selama berabad-abad.

Dalam konteks bangsa Melayu - bahasa dianggap jatidiri kita. Ia seiring dengan semangat keagamaan. Sebab itu - pada zaman dahulu - kita sering didengarkan betapa orang kampung lebih rela tidak menghantar anak ke sekolah Inggeris, malah lebih baik kalau mereka duduk di rumah. Kerana - dalam falsafah keagamaan orang terdahulu - bahasa Inggeris itu membawakan roh Kristianisasi. Jadi lebih baik dihantarkan anak-anak dengan aliran pondok - atau belajar secara informal di rumah sahaja. Sekalipun ini tidak akan menjanjikan mereka dengan pekerjaan atau peningkatan taraf hidup.

Dalam hal ini - kita perlu memberikan tunduk hormat kepada orang terdahulu. Walaupun belajar Inggeris di sekolah tidak semestinya seseorang itu bakal menukar agama, tetapi orang-orang tua kita terdahulu telah melihat ia sebagai langkah berhati-hati. Mereka sanggup terus menjadi miskin, tetapi dalam hal menjaga agama - mereka sanggup melakukan segala-galanya. Ini pengorbanan besar yang tidak ada tandingannya.

Kerana di negara kita - bahasa dan agama itu saling berkaitan - maka sebab itulah Melayu dikatakan Islam, dan Islam itu dikatakan Melayu. Ini bukanlah bermakna kita bersikap assobiyah atau perkauman. Kata orang, Islam itu bersifat global. Tetapi dalam konteks Melayu - ia ada keunikan yang tersendiri. Bahasa Melayu menjadi teras penyebaran agama, dan Islam itu menjadi tunggak roh kepercayaan bangsa.

Ulamak silam - merantau ke seluruh alam - kebanyakannya ke tanah Arab. Mereka mendapatkan ilmu terbaik dari ulamak tersohor. Bagi memastikan agama itu sampai - mereka kemudiannya menuliskan kitab dalam bahasa Melayu - dengan huruf jawi - yang kini dikenali juga sebagai kitab kuning. Banyak ulamak tersohor seperti Syeikh Abdul Samad Falembani, Syeikh Daud Fathani, Tok Kenali dan banyak lagi yang menuliskan kitab-kitab dalam bahasa Melayu.

Di zaman moden ini - ada orang yang beranggapan bahawa kitab kuning ini tidak 'standard' kerana tidak ditulis dengan bahasa Arab. Mereka terlupa sesuatu. Mereka terlupa tujuan ulamak kita ini menulis kitab dalam bahasa Melayu. Inilah satu sebab kita terus faham dan menguasai Islam sepanjang zaman dengan baik. Inilah juga antara senjata yang mempertahankan kita dari diserang oleh penjajahan Barat. Walaupun kita mungkin kehilangan tanah dan hasil bumi, tetapi kita tidak menjadi manusia kafir.

Bayangkan kalau kebanyakan kitab itu dituliskan dalam bahasa Arab - berapa ramai di kalangan kita mampu menguasai Islam dengan baik?

Sebaliknya - mubaligh dan penjajah Barat masih tetap menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium dakwah Kristian. Mesej mereka tidak sampai kepada orang Melayu. Mereka mendirikan sekolah Inggeris - tetapi tidak banyak orang Melayu mengikutinya. Inilah kegagalan penjajah dalam usaha agama. Ini juga kejayaan kita dalam menjaga agama.

Puncanya - bahasa.

Apabila sentimen kalimah Allah tiba-tiba muncul dalam perdebatan masyarakat moden kita, yang ada pihak ingin menggunakannya dalam bahasa Melayu - tidak kita terfikir sesuatu? Setelah sekian lama, tidakkah kita berfikir penggunaan kalimah Allah menggantikan "God' sebagai sesuatu yang patut kita renungkan juga. Adakah mereka telah belajar sesuatu dalam kegagalan falsafah God, Gold and Glory gelombang pertama dahulu.

Ingat, sekarang ini kita sedang juga ditujah dengan gelombang yang satu lagi - yang didatangkan dalam konteks moden, lebih halus dan lebih sukar difahami - yang kita namakannya sebagai globalisasi.

Jadi sesiapa pun anda - di pihak mana pun anda, berhati-hatilah. Dengan fatwa apa pun kita berpegang, kita sesekali harus kembali membuka buku sejarah. Kita harus menafsir sesuatu yang tersembunyi di sebalik tabir kejadian.

Itu terlebih baik untuk kita, terlebih baik untuk masa depan anak-anak kita.

Definisi nasionalisme untuk kami

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tahun baru 2010 - akan kelihatan lagi orang-orang baru datang ke Adelaide untuk menyambung pengajian mereka. Orang-orang lama pula akan kelihatan begitu sibuk untuk pulang. Datang dan pergi - itulah istilah kehidupan untuk kami di perantauan ini.

PhD ini banyak ceritanya. Ada yang muda dan remaja yang mungkin belasan tahun lebih muda dari aku. Ada yang sebaya dengan aku, dan ada yang lebih tua. Kami juga dihadapkan dengan cerita hidup yang berbeza. Yang berkeluarga - akan dihadapkan dengan kesibukan persekolahan anak-anak, rutin hidup yang berbeza atau ada juga yang mungkin ditimpa masalah kesesakan wang. Yang bujang mungkin lain ceritanya. Mereka juga ada masalahnya juga.

Begitulah PhD. Ia kombinasi umur dan pengalaman. Ia kombinasi kegelisahan dari jalan cerita yang berbeza. Bagaimana pun - pada akhirnya matlamat kami tetap sama. Kami perlu pulang dengan sekeping PhD. Kami perlu melakukan dengan jalan paling baik. Kalau akhirnya gagal, itu cerita lain. Tetapi, kami perlu berusaha sebaik mungkin.

Sebab utama mudah sahaja - kami membelanjakan wang rakyat. Kami dipilih oleh majikan masing-masing untuk menguasai bidang kami. Kami perlu pulang untuk memindahkan pula pengetahuan kami kepada orang lain.

Jadi - itulah jawapan terbaik mengapa kami tidak patut untuk memohon PR di sini. Bidang-bidang kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan misalnya, memudahkan seseorang untuk memohon pekerjaan di sini. Bidang psikologi juga memungkinkan aku jadi orang kaya di sini. Gaji yang diterima pastinya jauh lebih besar dari apa yang kita dapatkan di Malaysia.

Bagaimana pun, pada akhirnya ada hal lain yang perlu difikirkan juga. Wang bukan segala-galanya. Fikirkan siapa yang menghantar kami ke sini - dan apa yang patut kami lakukan untuk melunaskan semua itu.

Jawapan yang paling mudah - kami dihantar dengan wang rakyat, dan kami perlu pulang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Ini mungkin definisi nasionalisme untuk orang seperti kami. Terima kasih rakyat Malaysia.

Tuesday, 5 January 2010

Angkara Si Kitul

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seperti yang dipetik dari blog Ziarah76, Ustaz Haron Din mungkin antara orang yang layak memperkatakan hal penggunaan kalimah Allah. Kenyataan beliau juga boleh dibaca di sini. YB Zulkifli Nordin dari PKR mungkin antara orang yang lantang dalam membincangkan ini. Walaupun PAS agak terbuka dalam hal ini, tetapi salah satu rencana yang disiarkan dalam media onlinenya mungkin menceritakan hal sebaliknya. Tun Mahathir, dalam reaksinya terhadap hal ini sedikit sebanyak mungkin boleh membuka ruang untuk kita berfikir.

Kerana semua orang sudah memberikan pandangannya dalam hal ini, apa kata kita bincang hal lain. Kita berbincang hal kita sendiri. Hal kita yang semakin lama semakin tidak ada apa-apa lagi. Hal kita yang semakin hilang banyak perkara.

Apakah puncanya semua ini?

Runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka dengan Portugis tahun 1511 sering diulang-ulang sebagai manifestasi lemahnya Melayu dalam menangani isu dalaman dan politik. Kalahnya Kerajaan Melayu Melaka - bukan kerana ia kerajaan yang kecil, atau tanpa perlengkapan. Kalau ia kecil, mustahil ia digelar empayar kelautan yang menguasai dunia. Kalau ia kecil, tentulah ia tidak tercatat dalam mana-mana naskah sejarah silam.

Melaka - kerajaan besar. Sayang, jiwa politik kita kecil. Jiwa nasionalisme kita kerdil. Kita bercakaran sesama kita. Kita berselisih sesama sendiri dalam banyak isu yang tak akan ada titik pertemuannya.

Watak Si Kitul yang diungkapkan dalam Sejarah Melayu - ialah watak manusia yang pentingkan diri sendiri. Ia sanggup mengadu domba - tidak jujur - pembelit demi mencapai cita-citanya. Inilah watak Si Kitul yang dikisahkan dalam sejarah - yang sebab kejahatannya itu telah menjadi topik cerita pembunuhan empat beranak. Sebab kejahatannya juga kerajaan menjadi caca merba.

Aku tidak boleh bercerita panjang hal Si Kitul ini - anda perlu membelek buku sejarah.

Bagaimana pun - watak Si Kitul ini selalu ada. Ia ada sepanjang zaman. Watak sebenar Si Kitul dalam masyarakat silam ialah pengadu domba. Tetapi, ia juga ada di zaman moden. Ia mewakili watak manusia pentingkan diri - tamak - haloba - tidak jujur - dan paling buruk tidak pernah melihat kesan perlakuannya terhadap bangsa - menjadikan dunia hidup kita hari ini huru hara. Yang paling utama - ialah apakah yang boleh dia dapatkan.

Si Kitul tidak kisah apa yang berlaku dengan masyarakatnya. Sebab itu - kita lihat dalam percaturan politik kedua-dua belah pihak - ia ibarat medan perang. Si Kitul ini ada dalam kedua-dua posisi. Ia ada dalam parti A, ada juga dalam parti B. Ia tidak kisah. Malang lagi, orang yang berkesanggupan untuk menjadi Si Kitul ini banyak.

Sebab itu - dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan kita, ada hal-hal yang tidak boleh dipersetujui bersama. Kerana Si Kitul inilah yang akan melihat sangat jauh - apa yang dia boleh dapatkan. Dalam isu bahasa - ada Si Kitul. Dalam isu agama - ada Si Kitul. Dalam isu ketuanan Melayu - ada Si Kitul. Apatah lagi dalam urusan politik dan ekonomi - dua kuasa yang menjadi tunggak kekuatan sesiapa yang memilikinya, Si Kitul akan bersarang dan beranak pinak di situ.

Si Kitul inilah yang akan menyuarakan apa yang boleh dan apa yang tidak patut. Tatakala ada yang bersuara perlunya ekonomi Melayu diperkasakan - Si Kitul yang takut kehilangan peluang politiknya mensyarahkan hal persamaan hak. Tatkala kita bercakap hal bahasa - Si Kitul dari blok yang lain pula akan menentangnya. Tatkala ada orang bimbang dengan penggunaan kalimah Allah - ada Si Kitul yang mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan betapa tidak ada masalah. Tatkala kita bercakap soal murtad - ada Si Kitul yang cuba menyembunyikan berita. Tatkala kita bercakap hal rasuah - Si Kitul rasa perlu menjaga imej diri.

Semua ini adalah fenomena Si Kitul yang perlu menjaga periuk nasi masing-masing - baik periuk politik, wang, kuasa atau pengaruh. Kerana kehadiran Si Kitul - orang lain tidak pedulikan kita lagi. Mereka tidak berasa perlu hormat dan segan dengan kita. Sebab itu - sekarang ini banyak hal aneh boleh berlaku.

Jadi - akhirnya kita semakin lemah. Kita semakin tidak tahu apa yang patut kita lakukan. Tangan kita sedang di rantai oleh bisikan Si Kitul yang hanya bersuara untuk kepentingan dirinya.

Sepatutnya dalam hal yang memberikan kebaikan kita bersama - kita boleh berrsatu. Tidak mengapalah kalau kita perlu berlakon sekalipun - bergaduh di belakang, baik di depan.

Sebab itu - apabila ada orang berkata begitu, ada yang berkata begini - kita perlu berkata - Ini Si Kitul mana pula punya angkara?

Kalaupun kita tidak memiliki semuanya, moga-moga kita tidak hilang kesemuanya. Kita mungkin tidak mampu melawan Si Kitul - tetapi moga-moga kita tidak menjadi Si Kitul.

Update 5.30 pagi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Update jam 5.30 pagi.

Baru aku perasan, aku belum tidur. Sekarang ini musim panas. Siang panjang, malam pendek.Masalah sikit dalam urusan pengendalian waktu tidur. Jam 8.40 malam baru maghrib, 4.20 pagi sudah subuh. 6.00 pagi - matahari mula terbit.

Nak lawan tidur dengan anak aku, rasa macam tak berapa sesuai lagi.

Dunia sibuk aku dah perlahan-lahan berlalu. Artikel aku sudah 60% siap. Cuma ada beberapa isu statistik lagi yang aku tak jumpa puncanya. Tetapi, sibuk lain pula akan muncul. Seminggu dua lagi, survey terakhir akan dibuat. Ia akan menyibukkan aku dengan urusan duit pula.

Melihat Bentara sudah mula bersiap-siap nak balik kampung, aku jadi cuak juga.

Aku harap, bulan 10 nanti - aku boleh balik juga. Itu angan-angan semua orang yang buat PhD. Tetapi, biasanya tak menjadi. Ia biasanya cuma angan-angan Mat Jenin.

Sunday, 3 January 2010

Bila harga gula naik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ia berita tidak manis bagi kebanyakan orang.

Mungkin penjual teh tarik boleh tersenyum manis. Manis juga senyuman untuk pembuat kuih, malah penjual roti canai. Para pengilang susu pun mungkin boleh juga menunjukkan muka manis - mencari pelekat harga baru.

Pengilang kopi juga tumpang gembira semanis gula. Kerana dalam kopi ada gula.

Tidak pasti sama ada orang yang sakit kencing manis - juga berasa gembira dengan berita ini. Pastinya yang akan tergelak paling manis - ialah tauke kilang gula dan ladang tebu.

Ia akan lebih manis dari air tebu yang dijual di Cuping dan Padang Sanai.

Kalau orang tanya aku - aku setuju atau tidak dengan kenaikan harga gula.

Aku akan menjawabnya secara jujur, tanpa ragu-ragu. Kalau aku masih lagi jadi pemancuh teh tarik seperti dulu, aku akan sangat bersetuju. Aku boleh guna itu sebagai alasan untuk menaikkan harga teh tarik dari secawan 80 sen kepada RM 1.20, walaupun aku tak akan menambah jumlah sudu gula.

Aku juga boleh berkata - harga susu juga naik. Para pengilang tidak ada pilihan. Mereka akan kehilangan untung jutaan ringgit. Mereka tidak boleh menampung rugi - kerana motif syarikat ialah untung, bukan menampung rugi. Tidak percaya? Bukalah mana-mana buku teks sekalipun.

Aku juga akan tumpang menaikkan harga kuih muih di warung - kerana aku akan beritahu pembuat kuih juga terpaksa menaikkan harga kuih. Kalau tidak, mereka terpaksa mengurangkan belanja sekolah anak-anak mereka. Ini mustahil. Ini akan menyebabkan anak-anak kelaparan di sekolah.

Aku juga boleh bercerita tentang risiko kalau memakai terlalu banyak gula. Darah tinggi, kencing manis semuanya ada. Mengurangkan gula, mengurangkan bilangan pengidap kencing manis. Berkurangnya pengidap kencing manis, bermakna pelanggan kedai aku akan terus stabil.

Aku juga tanpa segan silu membandingkan harga gula yang dijual di Thailand. Kalau orang masih tidak percaya harga gula di Thailand tinggi, aku boleh mengambil contoh dari Australia. Biar semua orang tahu - benda yang manis perlu mahal harganya. Ini bukan jambu batu yang boleh dipetik percuma. Ini gula terbaik negara.

Jadi - aku akan bersetuju dengan kenaikan harga gula. Apalah sangat dengan nilai 20 sen itu.

Cuma kalau orang bertanya mengapa tidak boleh dipecahkan monopoli gula - itu aku tak boleh jawab. Aku hanya pembancuh teh tarik di warung bapa mertua aku di Sungai Kerang, Pantai Remis.

Aku tak tahu hal korporat dan dunia orang kaya.

Saturday, 2 January 2010

Aku tidak berebut nama Tuhan

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda tentu telah mengetahui sedikit sebanyak mengenai keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan permohonan Gereja Khatolik menggunakan nama Allah dalam terbitan akhbar Herald-The Catolic Weekly. Aku tidak mahu membincangkan hal keputusan itu. Itu hal perundangan. Itu hal mereka yang berkaitan.

Aku cuma ingin mengulas apabila ada laman blog tertentu yang memberikan ulasan betapa tidak apa-apa yang harus direbutkan nama Allah. Bagi mereka apa ada pada nama. Bagi mereka nama tidak penting. Yang penting ialah kebaikan. Yang utama ialah kebajikan. Itulah yang lebih penting.

Mereka juga mengulas betapa terdapat banyak lagi nama Tuhan lain - antaranya Yahwe, Zues, Krisna dan sebagainya. Maka berbondong-bondonglah orang Melayu kita bersetuju dengannya. Mencelah-celahlah mereka memberikan komen menyetujuinya. Bergembiralah mereka dengan pandangan bahawa jangan direbutkan nama Allah. Yang penting ialah kebaikan.

Malang lagi - kata mereka yang memberikan komen - dengan menggunakan nama Allah, maka semakin mudahlah usaha dakwah. Terdapat pula mereka yang ada jawatan dalam politik memberikan hujah mereka.

Untuk anda, sesiapa pun mereka yang memberikan pandangan, jangan bermain-main dengan hal ini. Jangan ada sesiapa yang cuba menyatakan tidak ada bezanya nama Allah yang kita gunakan dengan apa yang diungkapkan agama lain.

Jangan katakan bahawa kita tidak patut berebut nama Allah. Jangan menjadi bertambah jahil dengan menyatakan bahawa semua Tuhan itu sama sahaja. Ingat, yang lain itu bukan Tuhan. Yang lain itu hanya nama sahaja. Itulah makna tauhid untuk kita yang beragama Islam.

Sebab itu, lebih baik diam tidak berkata, daripada anda berkata sesuatu kalau ia menggelincirkan anda. Itu terlebih baik. Jangan sesekali anda tumpang semangkuk memberikan komen anda di laman blog berkenaan melainkan anda arif dengannya.

Ini bukan soal berebut nama Tuhan. Ini hal akidah. Kepercayaan kita kepada Allah bersangkutan dengan hal rukun iman. Hal tauhid. Jangan berkata bahawa dengan itu akan memudahkan usaha dakwah. Dengan pengasingan pemahaman berkaitan nama Allah sekarang ini pun, banyak anak-anak kita yang telah jadi murtad - sama ada secara sedar, atau tidak. Inikan pula tanpa pemisahan itu.

Nanti - akan datanglah para mubaligh itu mengajak anak-anak kita, "Tuhan kita sama, yakni Allah". Waktu itu - mereka yang terkeliru - akan lebih mudah dipesongkan, lebih mudah diperdayakan.

Lebih banyak buruknya apabila nama Allah digunakan pula oleh agama lain. Melainkan kalau semua daripada kita, semua anak-anak kita - alim dan arif dalam hal agama. Hal tauhid. Hal akidah. Kalau tidak, lebih baik jangan.

Aku tidak boleh mengulas panjang hal ini. Ini bukan bidang aku. Tapi aku akan selalu marah kalau orang berkata bahawa nama Allah tidak penting untuk diperjuangkan. Aku akan menjadi bimbang kalau ada orang berkata - nama Tuhan itu boleh berbagai-bagai. Aku jadi sangat kecewa kalau ada yang berkata ada apa pada nama.

Kerana bagi aku - bagi kita - Tuhan seluruh alam ini hanya Allah. Tidak ada lain yang sama dan menyerupainya. Tidak ada lain yang patut kita sembah dan beriman dengannya.

Aku selalu percaya - sebagai manusia yang hidup di sebuah negara yang Islam adalah agama rasminya, kita sepatutnya diberikan sedikit kelebihan untuk mempertahankan apa yang menjadi hak untuk kita.

Mimpi aku setiap tahun

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tahun baru - azam baru - semangat baru.

Semua orang sibuk membeli diari dan mencari kalendar baru.

Aku tidak pernah cuba memiliki diari dalam hidup.

Seingat aku, cuma sekali aku ada diari. Itu pun diari Telekom yang diberi oleh seorang kawan. Itu pada tahun 2000. Tapi aku cuma sempat menulis beberapa kali. Bila aku ditimpa sakit mental bulan Februari tahun itu - aku tidak mahu menulisnya lagi. Aku tidak mahu mengingatnya lagi. Aku tidak mahu mengingat apa yang telah berlaku dalam hidup aku pada waktu itu.

Begitulah beratnya sakit itu. Ia subjektif. Ia mungkin biasa bagi sesetengah orang. Tetapi bagi aku, itu kejadian paling teruk dalam hidup. Setahun selepas itu pun masih belum pulih sepenuhnya.

Tidak mengapalah. Itu sebahagian daripada sejarah hidup aku. Walaupun aku tidak mencatatnya dalam diari, tetapi dalam ingatan aku ia tetap ada. Ia tercatat di mana-mana. Cuma ia tidak lagi menyerang aku.

Apa azam baru aku tahun ini?

Aku ada satu azam dunia. Aku mahu cepat habis belajar. Aku mahu menulis 2 atau 3 lagi kertas jurnal. Sekarang ini, aku sedang menulis. Aku harap sebelum habis bulan ini, ia sudah siap. Harapnya begitulah. Tetapi biasanya, tidak menjadi!

Banyak sebab aku perlu habiskan pengajian secepatnya. Salah satunya, ia menjadi satu kriteria baru majikan aku. Keduanya, aku sendiri pun tidak lagi suka dengan kehidupan di sini. Aku mahu menghabiskan banyak hidup aku di Malaysia. Di sini tiada teh tarik, tiada masyarakat. Memang ada banyak rakan-rakan di sini, tetapi cara kami menghidupinya lain. Jalan ceritanya berbeza.

Kalau aku tamat PhD dengan cepat pun, aku ada masalah juga. Aku perlu berkerja di Kuala Lumpur. Aku sebenarnya sudah bosan dengan kehidupan yang sibuk. Aku sudah tidak berahi melihat bangunan, kereta dan sibuknya manusia kota. Aku sudah alami sibuk hidup kota Jakarta. Aku juga sudah puas dengan habuk Kuala Lumpur. Adelaide bandar yang bagus. Tetapi, budaya hidup mereka pula berbeza.

Baik Jakarta, baik Kuala Lumpur atau Adelaide, ia bukan alam untuk aku.

Aku kalau boleh hanya ingin duduk di kampung sahaja. Duduk bersembang-sembang dengan orang kampung di kedai kopi. Petangnya masuk hutan memancing atau mencari rebung. Kalau rasa bosan, sesekali boleh pergi menjerat burung mandi. Malamnya, kalau rajin pergi mengaji kitab dan sebagainya.

Jadi kehidupan lebih tenang. Tidak ada banyak tipudaya dan caca merba.

Itulah sebenarnya azam aku setiap tahun. Itulah azam aku yang sering diulang-ulang. Aku selalu bercita-cita ingin balik dan tinggal di kampung. Aku akan buat satu rumah di tanah pusaka mak aku di tepi sungai. Di depannya ada bendang.

Tetapi nampaknya sampai sekarang cita-cita aku tidak tercapai. Azam aku selalu gagal. Itulah mimpi aku yang tak pernah tercapai.

Friday, 1 January 2010

Nasihat 2010

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Langit baru 2010 sudah memayungi hidup kita. Kita mungkin sedang merasa sinar bahagianya. Kita juga mungkin sedang merasa bahang deritanya. Kita mungkin tidak tahu apa-apa.

Lihatlah sekeliling kita. Lihat dengan mata hati yang waras. Lihat ekonomi kita. Lihat anak-anak kita. Lihat siapa yang menjual, siapa yang membeli di KLCC. Lihat pendidikan kita. Lihat deretan kedai. Lihat signboard dan signage bangunan. Lihat iklan di suratkhabar. Lihat trend pengangguran. Lihat siapa yang sedang menyanyi di kaca tv. Lihat siapa pula menguasai syarikat rakaman. Lihat kesemuanya. Lihat dan lihat.

Kita masih jauh ketinggalan. Mungkin tidak ada dalam landasan pun. Kita masih merangkak mencari harapan baru. Kita masih terlolong meminta dibantu.

Kita masih bergelut dengan penagihan dadah. Kita masih bergelut dengan rempit, bohsia dan lepak. Anak-anak kita yang baru besar hanya mahu jadi penyanyi dan pelakon, sedang anak orang lain ingin jadi usahawan.

Lihat juga - kitalah yang menguasai laut, sungai dan padang. Kita ada padi, ikan dan ketam. Tapi bukan kita yang menjualnya. Kita hanya penangkap ikan. Kita hanya pembuat bendang. Bot, enjin, pukat dan segala macam kita perlu dapatkan dari orang lain. Mesin padi, mesin bajak, baja, racun dan segala macam kita beli dari orang lain.

Lihat dan lihat. Kita memang bijak bermain politik. Kita banyak menguasai kerusi. Tapi kita tidak tahu bagaimana caranya bermain politik dengan berpecah tetapi bersatu. Sebaliknya kita bersatu untuk berpecah.

Tahun 2010 - moga-moga kita bertambah bijak. Moga-moga kita tidak sekadar orang menumpang di tanahair ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails