Yang Ikut

Saturday, 11 December 2010

Ketuanan Melayu - Isu yang tak akan padam

Reactions: 
Entah siapa yang memulakan istilah ini. Ia istilah yang adakalanya menyusahkan. Tatkala kita bercakap tentang ketuanan, orang lain merasa kecil hati. Mereka merasa seolah kita meminggirkan mereka. Hakikatnya, banyak yang hidup di kediaman setinggan di pinggir bandar dan jalan keretapi ialah orang kita.

Banyak yang terpaksa menebal muka meminta pinjam di sana sini apabila ada anak masuk universiti orang kita juga. Tatkala orang lain sudah tersenarai sebagai orang terkaya dunia, senarai panjang orang yang meminta bantuan jabatan masyarakat orang kita juga.

Istilah itu - ketuanan Melayu - lebih banyak menjerat diri kita.

Kita tidak mungkin mampu menukar sejarah. Tidak juga dapat menukar kembali jarum jam yang sudah berdetik. Kalaulah nama Tanah Melayu tidak ditukar, kacau bilau ketuanan Melayu tidak akan timbul. Tapi orang kita - sejak dari dulu sampai kini, tidak pernah berubah. Kita ingin menjadi moden. Kita ingin menjadi lain. Bertukar identiti tidak mengapa. Asalkan kita dilihat moden.

Sekarang - inilah isu pokoknya.

Generasi baru yang lahir di era moden, tidak lagi mengusung bersama identiti Tanah Melayu dalam jiwanya. Tatkala negara bangsa di seluruh dunia tidak bertukar nama - Itali, Bosnia, Thai, India, China, Jepun, Korea - kita memilih jalan singkat untuk mencipta kelainan. Entah mengapa harus ditukar nama Tanah Melayu? Apakah faedahnya kita tidak begitu tahu. Sejarawan mungkin boleh menjawabnya dan menceritakan kembali.

Katakanlah - kita perlu menamakan negara kita sebagai Malaysia kerana proses menyatukan Sabah dan Sarawak di dalamnya, tentulah tidak wajar pula kita menukar nama Semenanjung Tanah Melayu menjadi Semenanjung Malaysia.

Sekarang ini kita tahu - sesuatu langkah yang kita rasakan pintar - mungkin sangat naif pada zaman yang lain. Langkah yang kononnya maju itu, bukan sahaja tidak nasionalis, tetapi mengkucar kacirkan orang lain.

Sayang, sejarah hanya proses yang berulang-ulang. Ia tidak dapat berpatah balik.

Kita sama-sama mempelajarinya sekarang.

Sekarang ini - kita jangan sesekali menyeru agar kita diberikan keistimewaan. Ia akan menyebabkan kita hilang semakin banyak perkara lagi. Setiap kali kita menyebut istilah itu, nanti orang akan mempertikaikan kita itu dan ini juga. Orang mula meminta biasiswa - walaupun hakikatnya biasiswa yang orang kita dapat itu mungkin bukan kerana keistimewaan, sebaliknya kerana kita miskin. Tatakala kita mahu meminta pinjam wang berniaga, orang lain bertanya mengapa mereka tidak ada hak untuknya. Sedangkan pinjaman itu mungkin bukan satu keistimewaan pun. Kita hanya ingin berniaga warung. Orang lain sudah lama ada empayar di Hong Kong.

Semua ini hanya kerana kita banyak sangat bercakap hal ketuanan Melayu. Kita sendiri tidak yakin, apakah bentuk tuan kita ini.

Kerana slogan ketuanan Melayu ini sangat sakti - muncul pula kumpulan yang menggelarkan mereka pejuang. Kita pun tidak tahu dengan pasti bentuk perjuangan kumpulan ini - kalau setiap hari kita mendengar ada aporan polis di sana sini. Setiap kali ada sahaja orang berasa istilah ini tidak betul - akan ada demontrasi dan emosi.

Semua ini tidak menguntungkan kita juga. Orang akan ketawakan kita sahaja. Orang melihat betapa bodohnya orang kita.

Apa tidaknya - tidak ada bangsa di dunia ini yang setiap hari cuba memperjuangkan hak hidupnya - di tanah yang telah dibuang nama bangsanya.

Kalaulah setiap orang jujur - berpolitik bukan untuk berniaga, tetapi untuk bangsa, kita tidak akan seteruk sekarang. Itulah perjuangan yang sepatutnya.

Istilah keramat ketuanan Melayu, sesekali menakutkan - ini akan muncul lagi di masa depan. Ia akan hilang dan muncul lagi. Akhirnya, kita hanya mampu mendapatkan satu istilah - yang kita tidak tahu apa lagi istimewanya kita ini kalau anak-anak kita banyak yang masuk pusat serenti, melucah di hotel, dan meragut di jalan. Kita pun tidak tahu apa sebenarnya yang istimewa. Apakah pula yang membolehkan kita perlu mengaku sebagai tuan.

Ketuanan Melayu - ibarat kokok ayam jantan di waktu pagi. Kelihatannya gah dan hebat. Tetapi musang tetap meratah juga.

6 comments:

zarch said...

Saya amat tertarik dengan nukilan ini, benar kalau nak ikutkan hati sesetengah pihak, rasanya mahu ditukar nama Tanah Melayu ini bukan kepada Malaysia tetapi kepada kepada USA, United State of Asia... atau AS, Asia Syarikat.

Jadi mudah pihak-pihak ini menyatakan bahawa semua pejuang-pejuang Tanah Melayu terdahulu seperti Tok Janggut, Mat Salleh, Datu Maharajalela dan lain-lain hanyalah seperti pejuang-pejuang Red Indian atau Apache dibenua Amerika Utara. Yang mana tiada langsung kedaulatan bangsa Red Indien serta tiada langsung dibabitkan dengan asal kewujudan negara USA hari ini.

Pihak-pihak ini juga sebelum ini, cuba bertegas menyatakan bahawa orang-orang Melayu adalah dari luar sehinggakan Hang Tuah, Hang Jebat dan lain-lain dikatakan berbangsa Cina.

Kalaulah benar Hang Tuah dan lain-lain berbangsa Cina pun (mengikut minda pihak terbabit), itu bermakna mereka bekerja dibawah keSultanan Melayu, bukan menguasai Tanah Melayu, kerana telah lama wujud Kekerajaan Melayu yang berdaulat.

Atas itu, rasanya, ketuanan Melayu ini sebaiknya ditukar kepada Kedaulatan Melayu, jadi tidak mudah disalah tafsir atau sengaja disalah tafsirkan oleh mereka yang kemaruk hendak mengubah Malaysia sebagai Republik atau sama sejarahnya dengan AS agar mudah dikuasai sepenuhnya seperti Singapore.

Anonymous said...

Nabi & Rasul tak pernah mengaku TUAN tapi sebagai HAMBA ALLAH SWT dan 12 barisan di Yaumil Mahsyar kelak bukan mengikut bangsa tapi Agama, Taqwa & keImanan

Anonymous said...

Nabi & Rasul tak pernah mengaku TUAN tapi sebagai HAMBA ALLAH SWT dan 12 barisan di Yaumil Mahsyar kelak bukan mengikut bangsa tapi Agama, Taqwa & keImanan

Anonymous said...

Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)-Nya. Dan Hanya kepada Allah kembali (mu). (Ali Imran; 28).

Anonymous said...

خِيَارُأَئِمَّتِكُمُ الَّذِيْنَ تُحِبُّوْنَهُمْ وَيُحِبُّوْنَكُمْ وَتُصَلُّوْنَ عَلَيْهِمْ وَيُصَلُّوْنَ عَلَيْكُمْ، وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِيْنَ تُبْغِضُوْنَهُمْ وَيُبْغِضُوْنَكُمْ وَتَلْعِنُوْنَهُمْ وَيَلْعَنُوْنَكُمْ. قَالَ قُلْنَا: يَارَسُوْلَ اللهِ، أَفَلاَنُنَابِذُهُمْ؟ قَالَ: لاَ، مَاأَقَامُوْا فِيْكُمُ الصَّلاَةَ.

Ertinya: Pemimpin-pemimpinmu yang paling baik adalah orang yang engkau sayangi atau kasihi dan ia menyayangimu (mengasihimu) dan yang engkau doakan dengan keselamatan dan merekapun mendoakanmu dengan keselamatan. Dan pemimpin-pemimpinmu yang paling jahat (buruk) ialah orang yang engkau benci dan ia membencimu dan yang engkau laknati serta mereka melaknatimu. Lalu kami (para sahabat) bertaya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah! Apakah tidak kami pecat saja mereka? Rasulullah menjawab: Jangan ! selagi mereka masih mendirikan salat bersama kamu sekalian.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيْرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ فَاِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِنَ السُّلْطَانِ شِبْراً مَاتَ مَيْتَةً جَاهِلِيَّةً

Ertinya: Siapa saja yang membenci atau tidak menyukai sesuatu dari tindakan penguasa (pemimpin) maka hendaklah ia bersabar. Sesungguhnya orang yang meninggalkan (belot) dari kepemimpinan (jama’ah) walaupun hanya sejengkal maka matinya tergolong dalam mati orang jahiliyah.

Anonymous said...

Hidup ketuanan Melayu kerana keutamaan mereka yang mengekalkan penguasaan orang Islam dibumi sendiri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails