Yang Ikut

Monday, 30 November 2009

Stress orang PhD

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bagaimana stres orang buat PhD?

Aku kadang-kadang stres juga. Tetapi, aku rasa tahap aku stres tidaklah sehebat orang lain. Aku tidak tahu darjah tekanan yang sedang dialami oleh Krenmaut yang sedang cuba menggunakan tenaga ajaibnya untuk menghabiskan hari-hari terakhir di Adelaide. Aku rasa aku biasa sahaja kot. Mungkin sebab aku berada di Work & Stress Research Group.

Jadi kalau kami stres, tentu ada sesuatu yang tidak betul. Banyak masa aku dihabiskan di bawah pokok di celah-celah bangunan UniSA dan Universiti Adelaide. Tidak setiap hari juga aku ke universiti.

Aku dengar cerita ada kawan yang menangis kerana tidak tahu apa yang penyelia mahukan. Ada pula yang bertukar supervisor kerana tidak mampu berfikir tahap tinggi. Ada juga yang telah setahun dua di negeri lain, terpaksa bertukar universiti dan datang ke Adelaide. Ada yang bercita-cita untuk lari dari Adelaide. Sampaikan ada yang stres tahap tinggi hingga menjadikan mereka manusia kebingungan. Senyum pun tidak nampak gigi lagi.

Bagi orang yang bekeluarga, stres itu dicampur dengan hal rumahtangga dan anak-anak. Ketika mood sedang tahap tinggi, tiba-tiba dipotong stim oleh permintaan isteri membeli 3 biji bawang dari Asian Grocery. Ada pula yang sedang stres melampau, anak minta bawakan mereka tengok wayang. Semua ini kombinasi stres yang kami kategorikan Work Home Conflict.

Semua ini cerita biasa orang buat PhD. Kadang-kadang aku terfikir - betulkah aku ini? Mengapa aku tak seperti orang lain? Mengapa aku tidak stres sangat.

Kalau ada sesiapa yang stres, boleh datang jumpa aku. Nanti aku ajak minum kopi!

Sunday, 29 November 2009

Terima kasih tuan doktor!

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini Ahad yang membosankan. Tidak ada arah. Tidak ada kerja. Tidak ada sesuatu. Tidak ada perkara. Bangun pagi - mendongak silau matahari hujung minggu yang terang. Beberapa rokok sudah dibakar. Bosan tetap singgah juga. Membancuh dua teh tarik - satu untuk aku, satu untuk Luqman Hakiem. Dia membising-membising aku sedang merokok di dapur. Aku lari sedikit menuju ke pintu belakang.

Bosan juga. Aku ambil notebook ApireOne aku yang berharga AUD500 cuba membuka dan menukar hardware. Hampir semua skru boleh dibuka. Tinggal satu skru tak mahu tertanggal juga. Aku cuba cari skru driver lain. Entah di mana aku letak. Akhirnya, notebook kecil berwarna putih itu terbongkang begitu.

Anak aku merengek mahu ke Foodland. Roti Lubnan kegemaran dia sudah habis. Dia tidak boleh hidup tanpa roti itu. Seperti aku juga, tidak boleh hidup tanpa rokok Dunhill. Aku menjenguk ke luar jendela. Barina usang aku sudah dilarikan isteri sejak selepas subuh. Dia mungkin sudah mengelilingi setiap garage sale yang ada di Adelaide, atau ke Sunday Market. Entah apa yang dia cari. Sampai sekarang, sesudah 10 tahun - aku tak faham mengapa wanita suka sangat dengan pinggan mangkuk. Aku juga tidak faham kenapa kaum hawa selalu terbeliak dengan barang yang dijual. Barang yang tersadai di tepi jalan ketika spring cleaning minggu lepas pun mereka mengidam juga. Hissh.

Ahad ini memang bosan. Buka tv. Tidak ada satu pun drama Nur Kasih yang sedang hot itu. Entah apa yang bagusnya cerita itu. Semua orang bercakap-cakap. Sampai sekarang aku tidak tahu apakah benda Nur Kasih itu. Mungkin boleh minta saluran tv Australia beli program itu - agar aku boleh tonton. Kalau tidak boleh juga, mungkin mereka boleh siarkan cerita Bawang Putih Bawang Merah yang aku layan juga ketika di Jakarta dulu. Atau cerita Kiamat Sudah Dekat. Cerita Berbagi Suami juga bagus. Ini sesuai untuk ditonton untuk mereka yang selalu mengangankan hidup bahagia berpoligami. Atau yang menghargai persahabatan, tonton gambar Mengejar Matahari.

Ahad - tidak ada satu hari pun yang sebosan hari ini. Apa yang patut aku buat. Aku rasa aku patut lepak di dapur lagi. Aku ada 40 kotak rokok Dunhill 20" yang baru dibekalkan oleh 4 orang doktor yang datang berkursus di Adelaide. Terima kasih tuan doktor.

Saturday, 28 November 2009

Update petang Sabtu

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini fikiran aku relaks. Bukan sebab sedang dalam mood raya. Bagi aku, raya ini biasa sahaja. Kalau Aidilfitri pun aku tak berapa menyambutnya dengan meriah, raya ini pun begitu juga. Di zaman aku bujang dulu, aku mungkin hanya tidur di rumah menonton televisyen. Sekarang ini susah sikit. Isteri aku banyak agendanya. Anak aku pun sama.

Tetapi fikiran aku relaks sebab semalam aku sudah menghantar artikel terbaru aku ke satu jurnal. Harapnya mereka terima dengan senang hati. Jadi, untuk sehari dua ini aku tidak ada kerja. Aku tidak sibuk.

Tengahari tadi ke satu rumah kawan, tolong mencincang daging korban. Sebenarnya bukan cincang, aku cuma memotong sahaja. Ada beberapa orang kawan di Adelaide ini sedang melakukan ibadah korban. Besok mereka akan adakan aktiviti makan-makan pula.

Petang - ke rumah seorang kawan - bekas kelasi bertaraf dunia - yang mengadakan sedikit majlis harijadi anaknya. Bertemu beberapa orang kawan di sana - muka yang sama juga - berborak dan berbual sambil menjamu selera. Itu mereka. Aku jarang makan sebenarnya. Biasanya aku cuma minum teh dan hisap rokok. Kalau perut lapar sangat, baru aku makan.

Isnin atau Selasa ini, semua soal selidik survey aku akan dipos dari Kuala Lumpur. Semalam aku cuba bertanya dengan DHL - wah, sampai RM 680. Itu pun satu hal juga.

Selepas itu, dunia hidup aku akan sibuk kembali. Mungkin akan lebih sibuk. Ada lebih 650 soalselidik perlu dianalisis dengan statistik yang kononnya itulah buktinya satu-satu kajian itu saintifik. Sebenarnya statistik hanya menunjukkan angka. Belum tentu saintifik. Apa tidaknya. Kalau statistik menganalisis angka, bermakna manusia juga mampu memanipulasi data.

Jadi, statistik hanya sekadar menyedapkan hati sahaja bahawa kajian yang dilakukan itu tepat. Itu sahaja.

Anda di tahap mana?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kali ini kita berbincang hal psikologi manusia pula. Setiap dari kita sudah pasti sudah melalui tahap-tahap tertentu, dan kalau umur panjang kita akan melalui tahap demi tahap yang lain pula. Ada tahap yang usia kita terlalu muda untuk mengingatinya.

Dikatakan terdapat 8 tahap perkembangan manusia. Ada yang mengatakan ada 5 tahap atau 4 tahap. Bergantung kepada aliran pemikiran psikologi itu sendiri. Yang kita bincangkan hari ini lebih kepada apa yang dikemukakan Eric Erikson.

Tahap 1 - Percaya dan Tidak Percaya - lahir sehingga 1 tahun
Tahap ini lebih kepada tahap permulaan manusia. Bayi sudah dapat mengenalpasti sentuhan mesra dan tidak. Sudah ada konsep percaya dan tidak percaya. Mereka akan merasa selamat kalau dibelai dengan manja. Sebaliknya, kalau menunggu terlalu lama, atau disentuh dengan kasar - mereka akan berasa terganggu - atau dalam kata lain - merasa tidak selamat dan tidak percaya.

Tahap 2 - Autonomi vs Ragu-ragu - 1 hingga 3 tahun.
Tahap ini, kanak-kanak sudah mempunyai keupayaan mental. Sebab itu, pada usia ini mereka sudah ada hasrat untuk memilih atau tidak satu-satu perkara. Misalnya barang permainan. Autonomi akan terhasil kalau ibu bapa memberikan mereka pilihan membuat sesuatu. Sebaliknya mereka akan muncul sebagai manusia yang ragu-ragu kalau setiap percubaan mereka dilarang. Pada tahap ini juga satu masalah untuk ibu bapa. Kita asyik melarang, sebab takutkan bahaya. Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak mahu mereka hilang keyakinan diri.

Tahap 3 - Inisiatif vs rasa bersalah - 3 - 6 tahun
Waktu ini - kita sudah boleh melihat watak sebenar, atau apa personaliti dan karektor manusia. Kanak-kanak membuat pelbagai eksperimen dalam perhubungan dan pergaulan mereka. Kita wajar memberikan mereka peluang menerokai sesuatu yang baru - agar dengan cara ini kanak-kanak akan lebih cenderung untuk menjadi manusia yang inisiatif dan berdayausaha. Bagaimana pun, perlu ada pemantauan. Takut-takut mereka terlebih daya usaha, dan ini membahayakan mereka.

Tahap 4 - Industri vs Rasa Rendah Diri - 6 - 11 tahun
Industri dalam konteks ini ialah kemahiran anak-anak ini untuk berkerja dalam kumpulan dan berkerjasama dengan orang lain. Maksudnya, mereka seolah-olah prototaip manusia dewasa. Sebaliknya waktu ini juga, ada sebahagiannya berhadapan dengan kesulitan apabila mereka berasa rendah diri dan ini menyebabkan mereka gagal bersosial. Sebab itu - waktu ini kita kerap melihat muka di cermin. Kita bimbang diri kita tidak menarik. Atau membandingkan diri dengan orang lain. Orang lain bawa bekal lauk daging, kita cuma bawa ikan tamban goreng. Semua ini pengalaman yang pernah kita lalui.

Tahap 5 - Identiti vs Keliru - Remaja
Ini tahap paling kritikal. Anak-anak mula bertanya 'Siapa Aku?" dan apa identiti sebenar mereka. Ingin jadi orang alim, rockers, liar, baik, belia dan sebagainya. Zaman aku dulu kami mungkin confius sama ada untuk menjadi Amy Search atau Man Kidal. Role model orang alim kami tidak kenal. Sebab itu ada remaja yang terjebak dengan banyak hal yang tidak baik. Bagi mereka itu mungkin hal baik, sebab itulah identiti mereka. Sedangkan kita yang dewasa ini melihat sebaliknya. Dahulu ketika remaja, aku ingat merokok cukup hebat. Sekarang ini bila kena beli rokok sekotak AUD 12 @ RM 36 sehari - baru aku tahu kenapa merokok itu memang benda tak berguna pun.

Tahap 6 - Intimacy vs Isolasi - Awal dewasa
Ini tahap budak-budak universiti. Ia zaman peralihan dari remaja kepada dewasa. Umur peringkat Ihsan HuHu atau N Kecik. Waktu ini tidaklah kritikal sangat, melainkan kalau ada yang gagal pada tahap sebelumnya. Waktu ini, ada yang berjaya dalam menjalinkan hubungan dengan masyarakat dan kumpulan sosial. Ada pula yang gagal. Yang gagal, mereka mengasingkan diri. Yang gagal mungkin merasa mereka tidak begitu matang lagi, atau mungkin menjangkakan diri mereka masih remaja. Yang berjaya pula kerana merasa percaya diri. Aku rasa aku berjaya dalam tahap ini. Aku boleh berkawan dengan banyak orang, baik orang tua atau orang muda. Tetapi, ada juga kawan-kawan di kampung aku yang gagal - jadi mula mencuba hal lain. Misalnya menagih dadah atau bermalam di Dannork.

Tahap 7 - Generativity vs Stagnation - Pertengahan dewasa
Ini tahap umur seperti aku, Azam Swinging Bowl atau Krenmaut. Genarativity maksudnya kita tidak begitu melihat diri kita lagi seperti tahap sebelumnya. Sebaliknya kita mula melihat masa depan generasi seterusnya, misalnya anak-anak kita. Kita banyak berfikir hal mereka, bukan hal kita. Mereka yang tidak mempunyai peluang ini mungkin merasa sedikit kecewa. Misalnya orang yang belum berkahwin. Tapi jangan bimbang, tahap ini panjang. Ia sampai umur anda menjelang tua. Jadi ada banyak masa lagi.

Tahap 8 - Ego integrity vs. Dispair - Tua
Ini tahap hujung. Tahap senja. Usia orang pencen. Kalau sepanjang tahap sebelumnya, manusia berjaya melalui dengan baik, maka tahap ini akan memunculkan apa yang diistilah integriti. Tahap kesempurnaan diri dan ketenangan. Sebaliknya, kalau banyak tahap sebelumnya asyik gagal dan tersungkur, tahap ini akan menyebabkan manusia berasa kecewa. Rasa takut nak mati atau nak cepat mati pun ada.

Begitulah. Anda di tahap mana?

Laporan Aidil-Adha

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada apa-apa yang istimewa sambutan hari raya Aidil-Adha di luar negara. Mungkin kerana suasana balik kampung dan berebut-rebut dalam sesak jalan raya tidak dirasakan. Atau mungkin juga ia bukan hari cuti rasmi seperti di tanah air.

Pagi tadi - aku bersembahyang di Masjid Al-Khalil. Tetapi, tidak seperti sambutan Aidilfitri, masjid tidaklah sesak. Mencari tempat parkir juga tidaklah terasa sangat. Tidak ramai orang yang datang. Mungkin kerana sambutan raya jatuh pada hari berkerja, maka semua orang jadi sibuk.

Selesai sembahyang - aku singgah di rumah seorang kawan. Tidaklah ada jamuan yang istimewa. Makan ala kadar sahaja bersama beberapa teman Malaysia lain. Jam 11 pagi - aku menaiki bas ke universiti. Banyak urusan hari ini. Ada jurnal perlu dihantar. Jadi aku teruskan kerja aku seperti hari biasa juga. Cuma tidak begitu kelihatan kelibat manusia Melayu dalam kawasan universiti hari ini. Tidak juga ramai pelajar Islam lain.

Jam satu menuju ke surau universiti untuk solat Jumaat. Bilangannya juga tidak begitu ramai. Cuma ada 4 atau 5 orang Melayu yang ada di surau universiti hari ini. Selebihnya warga Arab dan Indonesia. Selain hari raya, mungkin juga kerana ramai yang sudah bercuti.

Selesai Jumaat - kembali masuk pejabat. Menyambung kerja edit makalah. Biasalah, kerja last minute sudah menjadi tradisi kita. Aku di universiti sehingga 7.45 petang. Baru selesai semuanya dan menghantar makalah melalui online system. Sekarang ini Maghrib pukul 8 malam lebih. Jadi, walaupun jam sudah lewat, hari sebenarnya masih terang. Jadi - tidak terasa pun masa berlalu.

Begitulah serba ringkas cerita hari raya haji di perantauan. Tiada yang istimewa. Tiada yang mempesonakan. Ia mungkin indah 10 tahun lagi - apabila pengalaman ini dikenang semula. Waktu itu, umur aku sudah 47 tahun. Sudah begitu tua.

Thursday, 26 November 2009

Nolstalgia raya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apa persiapan raya korban kali ini?

Kalau di kampung - ketika aku masih budak-budak, raya apa pun sebenarnya sama sahaja. Ia merupakan hari paling bahagia. Inilah hari yang ditunggu. Sekitar 80-an, kami akan merayau seluruh ceruk kampung - memberi salam - dan mengumpul wang raya. Waktu itu - mendapat 10 atau 20 sen sudah dianggap besar. Ada juga beberapa rumah yang memberi kami RM 1.00. Jumlah yang cukup aneh. Kalau kami tidak berkesempatan ke rumah berkenaan, ia dianggap kekalahan moral dan kesilapan teknikal yang cukup besar.

Beberapa tahun kemudian - apabila ada polis dari Bukit Aman datang mengangkut beberapa orang yang kaya itu dan disimpan di Pulau Jerjak beberapa tahun, baru aku tahu patutlah mereka banyak wang. Mereka rupanya pengedar dadah yang berjaya di kampung aku. Waktu itu, hukuman mati belum lagi dilaksanakan. Ia masih di peringkat pengenalan. Jadi, terselamatlah mereka.

Apabila remaja sedikit - raya menjadi tidaklah begitu membahagiakan sangat. Kalau dapat membeli sekotak rokok Dunhill 20 batang, dan menghisapnya sepanjang hari - itu dikira satu kejayaan berhari raya. Sebenarnya aku tidak begitu banyak berjalan-jalan raya di kampung aku. Cuma beberapa buah rumah saudara mara.

Mungkin sebab banyak kehidupan aku di asrama, maka aku kadangkala tidak cukup pandai bersosial sangat. Tetapi sungguh pun begitu, sebagai pelajar asrama - kumpulan kami besar. Kami mungkin tidak beraya di kampung sendiri - tetapi berkunjung meneroka satu daerah. Banyak kawan aku waktu itu. Biasanya kami akan menaiki motosikal dan berkunjung dari satu rumah ke satu rumah.

Banyak dari kawan-kawan itu sekarang sudah bergelar macam-macam. Mi Wajab sudah jadi Mejar pasukan komando, Kamal - kontraktor, Zam - entah apa yang dia buat, Khairul - kini berbini dua, Jefri - dulunya kerja kilang, Hasni - jurutera minyak, Pak Man - ahli politik sepenuh masa, Rizal - berniaga agaknya, Najmi - orang besar kastam, Mat Jun - orang kecil kastam, Helmi - di BTN dan banyak lagi. Aku pun tidak tahu ke mana kebanyakan mereka ini pergi. Kecuali beberapa orang, banyak dari mereka aku tidak melihat kelibatnya lagi. Cuma sesekali menelefon mereka.

Kini setelah berkeluarga dan usia semakin tua - banyak dari pengalaman itu menjadi nolstalgia sahaja. Bagaimana pun, aku terasa kami dari kumpulan pelajar asrama ini masih akrtab sampai sekarang. Maksudnya, masih boleh oi oi dalam telefon walaupun lama tidak melihat muka.

Besok - hari raya tiba lagi. Apa yang bakal meriangkan di hari raya ini?

Besok - aku perlu menghantar artikel ke satu jurnal. Itulah jamuan untuk besok hari.

Selamat hari raya untuk semua kawan-kawan lama.

Salam Aidil Adha

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat Hari Raya Aidil-Adha kepada semua pembaca dan pengunjung FakirFikir yang beragama Islam tidak kira di mana anda berada.

Semoga sambutan raya ini bukan sekadar sebuah temasya, tetapi juga menginsafkan kita tentang pengorbanan yang banyak dilakukan oleh mereka yang terdahulu daripada kita.

Ulamak-ulamak silam yang tanpa gelar dan ijazah yang telah berjuang memastikan kesucian Islam tidak ternoda dengan salah tafsiran dan agenda pembaharuan.

Pejuang dan nasionalis yang berperang tanpa ketakutan bagi memastikan kita tetap berdiri gagah di bumi sendiri. Datuk moyang kita yang tetap berani mempertahankan maruah dan jatidiri keluarga.

Penghargaan khusus sewajarnya kita berikan kepada kedua ibu bapa kita, yang mereka mungkin bukan orang alim dan fasih dalam hal beragama, tetapi melahirkan kita sebagai manusia Muslim. Mereka mungkin tidak mengajar kita hal fekah atau hukum hakam, tetapi mereka setiap saat memberitahu bahawa kita mesti hidup sebagai manusia Islam.

Pengorbanan mereka melahir, membesar dan mendidik kita - adalah sesuatu yang tidak akan dapat dilakukan orang lain. Mereka mungkin telah bersusah payah dan mengharungi jalan sukar seumur hayatnya - semata-mata untuk melihat kita bahagia sekarang. Kita mungkin tersenyum bangga sekarang - tetapi jangan lupa pengorbanan dan tangis gundah mereka yang mungkin tidak pernah kita sedari.

Selamat Hari Raya Aidil-Adha untuk semua.

Maaf, Zahir dan Batin.

Wednesday, 25 November 2009

Melayu di Adelaide

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah 2 tahun aku di bumi Adelaide. Dalam celah sibuk aku merokok di bawah pohon Mulberry tidak berbuah di antara sudut University South Australia dan University Adelaide, aku sering terserempak dengan pelajar-pelajar Melayu yang belajar di salah satu universiti tersebut.

Melihat kepada raut wajah dan cara mereka, usia mereka belasan tahun muda dari usia aku sekarang. Ada di antara mereka yang aku kenal, ada yang tidak. Ada yang menegur, ada yang melemparkan senyuman seperti mana ada juga yang berbuat tidak tahu. Ada yang kelihatannya agak pemalu, ada pula yang wajahnya meriangkan. Tidak mengapa. Itu semua tidak penting untuk orang tua seperti aku.

Cuma sesekali aku berfikir - apakah yang mereka lakukan selain dari belajar. Adakah sesiapa membantu mereka membentuk personaliti dan kemahiran sosial lain? Kebanyakan pelajar ini bagus. Mereka pelajar terbaik yang dihasilkan oleh negara. Bahkan, dari satu segi lain - jarang-jarang kedengaran mereka ini terjebak dengan hal tidak baik.

Ada atau tidak hal janggal, itu kena meneroka lebih dalam ke dunia mereka. Mereka pasti tahu lebih baik dari orang lain. Tidak semua perkara mereka ceritakan untuk perbualan umum. Ah, kita pun pernah melalui zaman anak muda ini. Ada hal yang kita kongsi, ada cerita yang kita sembunyikan. Biar terburai isi perut, jangan pecah di mulut.

Cuma - tatkala rakan-rakan mereka di Malaysia banyak terlibat dengan pelbagai organisasi - baik bersudut kepimpinan, politik, kewartawanan, psikologi dan sebagainya, apakah mereka juga terdedah dengan kegiatan yang sama. Di Malaysia dahulu - aku sering mengikuti debat politik dari pelbagai wakil parti politik. Aku juga melawat pusat serenti sebagai sebahagian aktiviti kami dalam dunia psikologi. Sesekali - kami juga berkesempatan melihat para akademik membincangkan topik berkaitan kenegaraan. Pelajar juga didedahkan dengan bakat perundingan bagi mendapatkan penajaan tertentu.

Bagaimana dengan pelajar Melayu di Adelaide? Aku tidak berapa pasti kegiatan mereka, atau aku yang tidak peka. Memang ada sesekali dihebahkan dengan aktiviti merdeka, atau sambutan hari raya. Tetapi itu hal lazim sahaja. Yang banyak aku dengar - aktiviti bersifat keagamaan seperti usrah. Aktiviti selainnya tidak begitu menonjol.

Apakah ada aktiviti lainnya? Itu yang aku masih kabur.

Aku akan cuba melakukan sesuatu. Bagaimana kalau cara mencari kerja dan skil menghadapi temuduga. Seperti biasa, ia hanya kegiatan sampingan. Aini mungkin boleh membantu.

Tuesday, 24 November 2009

Aku terasa seperti tauke besar

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak tidak berkerja, aku sudah tidak lagi merasa bagaimana gelagatnya menguruskan manusia, kerja dan wang. Tiap-tiap bulan - akan ada gaji masuk ke dalam akaun. Aku pula hanya perlu menguruskan hal pengajian aku di sini. Itu sahaja. Tidak ada stres, tidak ada serabut.

Cuma - semenjak aku menjalan survey kali ini - kepala aku kembali mengasah skil mencari wang. Menguruskan manusia mungkin tidak sangat, sebab Ann dan kawan-kawannya agresif. Walaupun aku call dan update setiap 2 atau 3 jam - sebenarnya itulah trend kerja marketing. Ada target baru setiap hari, dan ada ingatan 'motivasi' setiap jam!

Jumaat nanti ialah hari raya korban. Jadi - sebagai majikan penyelidikan - aku kena juga mendapatkan wang gaji untuk membolehkan budak-budak itu beraya sakan nanti. Kalau tidak tentu mereka merasa frust. Tadi - aku sudah berjaya mewujudkan wang gaji mereka dalam akaun. Sebenarnya aku pun bukan ada wang sangat.

Bagaimana caranya. Pusing keliling.

Itulah skil yang patut anda belajar bagi membolehkan sesekali anda merasa sebagai tauke besar.

Monday, 23 November 2009

Mengapa kita tidak ada kelas?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sesekali apabila kita membelek budaya kita - membaca-baca ucapan orang besar, kita seolah-olahnya sedang diasak untuk mempraktikkan budaya berkelas pertama. Tidaklah pasti kita sekarang ini sedang mengamalkan budaya kelas berapa.

Cuba kita berjalan-jalan di tengah kota - di sana sini orang membuang sampah tanpa mengisahkan kebersihan alam. Membelek-belek suratkhabar baru dan lama - setiap hari orang membuat rasuah. Menjenguk masuk ke dalam dewan peperiksaan - akan ada seorang dua orang yang cuba meniru. Menjengah ke dalam buku tulisan akademik - ada pula plagiat dari hasil karya orang lain. Memutar stering di tengah jalan - tidak ada siapa menghiraukan lampu trafik. Melihat tingkah ahli politik - mereka melompat ke sana ke sini. Melihat cara kontraktor berkerja - akan ada runtuh sana, runtuh sini.

Semua ini terhasil dari minda tanpa kelas, bukan kelas pertama, kedua atau ketiga. Ia minda tidak bernombor. Mengapa jadi begini?

Mengapa kita tidak seperti banyak bangsa besar lain yang hidupnya ada prinsip. Mereka amanah, tidak menipu walaupun tidak membaca kitab agama. Mereka bersih dalam masyarakat walaupun mereka mungkin tidak memakai air ketika di tandas. Mereka jujur dalam berurus niaga walaupun tidak ada orang alim mengingatkan mereka tentang adab jual beli. Walaupun mereka mabuk dan tidak sedar diri - tetapi mereka tetap menjaga susila dalam masyarakat.

Adakah bangsa kita tidak ada sistem nilai teras? Adakah bangsa kita tidak mempunyai kosa kata dalam hal integriti, amanah, kebersihan dan nilai murni. Adakah kita ini begitu jahat dan tidak bermoral. Sedangkan nilai baik itu sepatutnya memang menjadi milik semua manusia.

Mengapa? Mari sama-sama kita berfikir sesaat setiap kali menyedut asap rokok atau menghirup secawan kopi.

Update research - edisi November

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam berakhirlah satu fasa survey di seluruh negeri Selangor. Jumlah keseluruhan hampir 650 orang. Sama ada orang Malaysia stres atau tidak, marah atau murung - semuanya akan terjawab selepas ini. Buat masa sekarang data itu masih di Malaysia.

Terima kasih kepada semua yang membantu secara langsung atau tidak. Ann, Su, Melati dan Amiruddin yang membantu menjalankan kerja-kerja survey sejak 2 bulan lalu. Penghargaan khusus kepada Maizatul kerana menjadi kordinator untuk survey ini. Juga buat Bro Zainol yang tolong menjadi agen transfer wang.

Kos keseluruhan untuk upah sahaja RM 9,750. Belum termasuk kos photostat, petrol, pentadbiran dan juga pos semua soalselidik tersebut dari Malaysia ke Australia. Aku jangkakan kos tersebut akan lebih dari RM 14,000. Rupanya besar juga biaya untuk melakukan survey. Itu baru kos sekali survey. Survey selanjutnya ialah pada Januari 2010. Itu belum termasuk kos untuk 3 kali kajian lain yang aku buat di Malaysia sebelum ini.

Sebab belanjanya besar, dan semuanya adalah sukar - mungkin sebab itulah orang yang ada PhD terasa diri mereka begitu pandai! Ia mungkin bagi mewajarkan wang yang telah dihabiskan dalam kajian.

Aku ada wang sebanyak itu? Jangan bimbang - aku memang pakar dalam membuat hutang!

Sunday, 22 November 2009

Cerita aku - part V

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sambungan Part IV

Tamat kerja aku di Indonesia, aku balik ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, aku merasa pekerjaan yang ada tidak lagi mencabar. Tidak ada lagi tugas-tugas baru yang boleh menguji minda.

Puas juga aku cuba memotivasi diri agar terus bersemangat. Jadi, mereka mencipta kerja baru untuk aku. Merangka kerja dalam bidang latihan pekerja. Tetapi, memandangkan aku pun tidak lagi bersemangat kerja - dan aku sudah bekerja sejak tahun 1998 lagi, jadi bulan Februari 2005 - aku buat keputusan berhenti kerja. Habis cerita.

Beberapa hari kemudian - aku kerja di tempat lain. Pejabatnya tidak sampai 500 meter dari tempat lama aku. Selepas 2 minggu, aku dipindahkan ke Indonesia. Di Cijantung, Jakarta Timur. Kawasan yang agak luar sedikit dari kesibukan kota. Tetapi, di Indonesia - setiap tempat sama sahaja. Ramai manusia.

Kerja aku ialah menjaga kepentingan perniagaan tauke besar aku di Kuala Lumpur. Cuma kali ini aku banyak berurusan dengan beberapa orang partner dari Indonesia - hampir kesemuanya ialah bekas jeneral tentera. Pejabat aku juga tidak jauh dari kem tentera pasukan elit - Kopassus atau Komando Pasukan Khusus.

Tetapi kali ini aku cuma berseorangan. Isteri aku tidak lagi bersama. Walaupun gaji yang ditawarkan sekali ganda dari gaji lama aku, tetapi 6 bulan kemudiannya aku berhenti kerja. Aku tidak sanggup dan tergamak untuk terus berurusan dengan cara pentadbiran Kuala Lumpur - yang begitu susah untuk memasukkan wang dari Malaysia kepada rakan kongsinya di Indonesia bagi tujuan operasi perniagaan. Aku tidak tahu bagaimana lagi bermain dengan taktik 'buy the time' dengan orang-orang besar di Indonesia itu.

Sebenarnya - bukan salah Kuala Lumpur juga. Sebenarnya, aku pun ragu-ragu juga untuk melabur di Indonesia. Banyak hal yang perlu kita fikirkan. Ia bukan wang seratus dua ratus ringgit. Jadi - aku berikan banyak alasan. Alasan pendaftaran syarikat, akaun bank dan sebagainya bagi membeli masa sepanjang perundingan itu. Tetapi - tentu tidak lama aku boleh berbuat begitu. Cijantung bukan Changlun. Ia tempat orang. Kalau apa-apa terjadi kepada aku, siapa yang akan membantu?

Akhirnya aku berhenti kerja notis 24 jam. Habis cerita.

**************************************************************

Selepas berhenti - aku berkerja dalam bidang pengiklanan dan latihan dengan seorang kawan lama. Dia baru balik dari UK waktu itu. Dia juga adalah bekas bos lama aku - orang yang pertama menemuduga aku kerja pada tahun 1998. Waktu itu syarikat belum ada lagi. Orang pun belum ada.

Selepas melakukan pendaftaran syarikat, membuka akaun dan sebagainya - syarikat mula beroperasi. Ada beberapa proposal perniagaan yang kami lakukan. Projek pertama kami ialah membuat beberapa kit marketing untuk sebuah agensi. Sebab kerja yang perlu dibuat agak banyak - jadi aku ajak Din Rawang join aku. Dalam syarikat baru ini hanya ada 5 orang sahaja.

Jadi kerja kami banyak bergerak ke sana sini menawarkan apa yang boleh kami buat. Ada juga beberapa VVIP yang aku jumpa waktu itu. Ada juga beberapa projek kecil yang masuk. Sekadar cukup membayar gaji dan bil elektrik. Kerja aku selain menjaga content, aku juga membuat modul latihan. Din Rawang meneruskan kerja grafiknya. Beberapa kali juga kami membentangkan proposal kami kepada sebuah agensi kerajaan. Kelihatannya sangat positif. Mereka memuji kami. Proposal itu sepertinya sudah berjaya.

Akhirnya - pada mesyuarat terakhir dengan agensi berkaitan - mereka mencadangkan kami agar mengemukakan proposal baru kerana apa yang kami cadangkan itu sudah dibuat oleh syarikat lain. Kami sangat kecewa.

Lama setelah itu - baru kami tahu - apa yang kami cadangkan itulah yang dibuat oleh syarikat lain itu! Ah, dunia perniagaan sungguh keras.

Cukup setahun syarikat beroperasi - kami semua bermesyuarat. Ambil keputusan bubar perniagaan. Setiap orang dibayar gaji terakhir. Setiap orang juga boleh mengangkut komputer dan printer masing-masing, termasuk meja dan kerusi tempat duduk kami. Begitulah berakhirnya kerjaya aku di situ, dan menamatkan riwayat aku sebagai hamba organisasi.

Sungguhpun begitu - aku masih saling menghubungi mereka. Masih sering minum kopi dan melepak dengan Din Rawang di Setiawangsa sampai jam 2 pagi. Kadang-kadang turun ke Bangi berjumpa dengan bos lama aku makan nasi lemak. Dari segi hubungan, kami tidak ada masalah. Cuma kami perlu membawa haluan masing-masing untuk terus hidup dalam keras kotaraya Kuala Lumpur.

Din Rawang tidak lagi menggunakan tangannya untuk menjadi pelukis grafik, tetapi menjadi driver lori. Aku pula mengajar part time di UKM dan UniKL. Bos aku menjadi penulis novel, kerana itu memang cita-citanya. Dia juga terus bergerak secara solo dalam bidang perniagaan.

Hidup kami waktu itu bukan lagi mencabar, tetapi seolah-olah tsunami. Aku dan Din Rawang telah menjadi rakan baru gadis pengutip hutang bank. Pagi dan petang mereka menelefon.

Untuk survival, aku dan Din terus mencari projek kecil-kecilan. Ada satu projek - kami berjaya menyiapkannya dalam hanya 24 jam tanpa tidur. Kami bersekang mata sepanjang malam dan menghabiskan rokok berbatang-batang. Din mendesign, aku menulis. Setelah dia siap design, aku bangun menulis - dan dia pula berehat.

Selain mengajar - aku juga menjual tilam dan bantal. Sebenarnya ia projek isteri aku. Melihat keadaan hidup aku yang tidak menentu, dia yang tidak berkerja perlu juga melakukan sesuatu. Kalau aku tidak ke Adelaide ini, dia sudah hampir membuka sebuah kedai dan menjalankan perniagaannya. Kelulusan dan bantuan MARA sudah didapatkan. Begitulah.

Kini - setelah beberapa tahun - semua daripada kami kembali menjadi diri masing-masing. Aku di Adelaide dalam dunia akademik. Semua hutang bank sudah aku langsaikan. Hutang orang belum lagi. Bos aku kini telah kembali berjaya dan ada pejabat baru dan memfokus dalam bidang multimedia dan animasi. Din Rawang pula - berkerja dengan sebuah syarikat grafik di Selayang. Aku masih menghubungi kedua-dua mereka dan masih tetap akrab seperti biasa. Bahkan, ada sesekali aku masih juga membantu bos aku merangka modul latihan.

Jangan terkejut - kalau satu hari - kami akan bersatu lagi.

Jadi begitulah berakhirnya cerita aku - dan bagaimana aku boleh tercampak ke Adelaide ini. Begitulah jatuh bangun cerita aku. Aku ceritakan semua ini kerana aku ingin berkongsi satu pengetahuan yang bukan lagi baru - itulah hidup.

Hidup - ada masanya membahagiakan. Kadang-kadang sangat tidak bertimbangrasa. Kadang-kadang mengasak orang lain. Sampai waktunya ia akan menujah diri kita. Pada saat sulitnya hidup itulah kita tahu siapa yang digelar kawan, dan siapa yang menjadi teman.

Terima kasih kepada semua teman-teman lama yang memberikan bantuan kewangan pada saat itu.

Saturday, 21 November 2009

Cerita aku - part IV

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sambungan Part III.

Aku ke Jakarta bersama isteri dan seorang lagi rakan lain (kini bertugas sebagai wartawan akhbar).

Misi aku ke Jakarta sebagai kononnya memulihkan syarikat. Itulah yang diberitahu oleh organisasi aku. Misi aku yang lain ialah untuk melatih kakitangan di sana untuk menjadi pengurus atau pentadbir yang baik. Jadi itulah dua misi utama aku di Jakarta.

Rakan aku yang seorang lagi itu ialah salah seorang kakitangan kami di jabatan pemasaran dahulu. Dia salah seorang pekerja komited yang kami miliki. Ketika dia mula masuk kerja dahulu, aku menemuduga beliau. Dia dahulunya penjual kek yang berjalan kaki dari satu rumah ke satu rumah. Aku ingat, itulah antara sebab dia bagus. Sebab lain - dia lulusan UiTM. Banyak lulusan UiTM yang bagus berdasarkan pengamatan aku.

Sebulan pertama di Jakarta, aku cuma duduk dan membuat pemerhatian sahaja. Tidak banyak perkara yang aku lakukan.

Waktu itu - kebanyakan pekerja masih datang lambat dan semua keputusan perlu dibuat oleh bos semata-mata. Kakitangan hanya berfungsi untuk mengikut arahan. Dalam erti kata lain - jadi robot.

Aku juga terkesan, ada simptom yang tidak betul dalam pengurusan - apabila ada kakitangan yang tidak diberikan jawatan yang sesuai dengan kelayakan. Misalnya, ada pekerja yang ada kelulusan ekonomi, tetapi cuma menjadi penghantar surat sahaja. Ada pula timbalan ketua - yang datang jam 11 pagi balik jam 1 tengah hari. Semua ini penyakit organisasi.

Jadi - akhirnya aku buat keputusan. Aku menyusun semula jawatan. Beberapa jawatan baru dibentuk. Ada yang menjaga bahagian kewangan, sumber manusia, pemasaran dan sebagainya. Tidak ada lagi pembuatan keputusan berasaskan hierarki atas. Semua jabatan ada kuasanya yang tersendiri.

Bagaimana pun - penstrukturan semata-mata tidak bermakna. Ia tidak mampu membangkitkan motivasi. Gaji mereka perlu dinaikkan sedikit. Selain gaji mereka juga boleh membuat tuntutan telefon bimbit. Aku rasa ini langkah permulaan. Cara aku seperti juga ahli politik masuk kampung. Mungkin sebab aku datang dari jabatan pemasaran. Jadi cara aku, cara menghabiskan wang!

Mulai waktu itu - aku membeli mesin punch card baru. Setiap kakitangan perlu memakai tali leher - walaupun dalam kehidupan sebenar aku pun tidak berahi untuk memakainya. Dengan adanya mesin itu, tidak ada lagi pekerja yang datang lambat. Lebih teruk, mesin itu aku letak tepat di pintu bilik aku. Jadi, kalau yang datang lambat, mereka akan malu muka dengan aku. Aku kononnya menyemak kad kedatangan pekerja setiap hari. Realitinya tidak.

Setiap ketua di jabatan itu pula perlu membentangkan perancangan masing-masing. Apa yang patut aku ajar, aku ajar. Apa yang mereka sudah pandai, aku ikut sahaja. Sebenarnya aku pun tidaklah pandai. Sebenarnya pengurusan adalah satu seni. Ia bukan perlu pandai atau tidak pandai. Yang utama ialah seni mempengaruhi.

Setiap kali Pengarah dari Kuala Lumpur datang, merekalah yang membentangkan kertas perancangan dan bajet masing-masing. Aku cuma lepak sebelah bos. Aku sebenarnya lebih menggunakan gaya pengurusan Management By Objective. Maksudnya mereka yang merancang, mereka yang melaksanakan. Dengan cara itu - pekerja akan lebih bermotivasi. Sebabnya sama ada berjaya atau gagal satu-satu pekerjaan, merekalah yang sebenarnya merancangnya. Gaya ini lebih demokratik - berbanding Balanced Score Card yang lebih autokratik dan menjadikan manusia seperti robot.

Jadi - dengan cara ini, aku akan banyak berehat. Pekerjaan ditentukan oleh orang bawah sendiri. Kalau dikatakan tugas pengurus itu sibuk - itu bohong belaka. Pengurus tidak boleh sibuk, sebab kalau dia sibuk dia tidak ada masa untuk memantau kerja orang lain. Kerja pengurus hanya menyelesaikan masalah organisasi. Kerja aku hanya membuat keputusan teras. Itu sahaja.

Jangan mencuri kerja orang bawah. Sebab itu - kedai kopi Dunkin Donut di Jalan Melawai Raya sudah menjadi 'port' aku minum kopi. Kadang-kadang seorang diri, kadang-kadang aku ajak teman aku dari Malaysia. Kadang-kadang aku bawa semua orang yang ada dalam pejabat itu.

Apa tugas rakan yang aku bawa dari Kuala Lumpur itu? Dia aku tugaskan di jabatan pemasaran. Sebenarnya dia bukanlah berfungsi sebagai pekerja pemasaran sangat. Tetapi dia telah menjadi 'mata dan telinga' aku pada peringkat bawahan. Jadi aku tahu apa yang sedang berlaku. Aku tahu kalau ada hal-hal yang pekerja tidak puashati. Atau ada hal-hal yang pekerja tidak boleh beritahu aku secara langsung.

Jadi - berasaskan maklumat itu - aku dapat membuat keputusan yang relevan dengan kehendak orang bawah. Misalnya hal gaji yang tidak cukup. Atau hal pekerja tidak 'ngam' di antara satu sama lain. Jadi mudahlah aku merangka strategi yang sesuai.
Italic
Kecuali timbalan ketua yang susah sedikit, sebab dia orang veteran dan dianggap ketua oleh kakitangan di situ. Bagaimana pun, sebab dia selalu datang lambat dan balik awal, aku rasa itu hal tidak betul. Ia merosakkan disiplin orang lain.

Apa yang aku buat? Aku rasa aku telah menggunakan pengetahuan psikologi dalam hal ini. Timbalan ketua yang dahulunya menyemak semua permohonan kewangan, sumber manusia dan sebagainya - kini tidak lagi diberi kuasa itu. Semua permohonan kewangan perlu melalui seorang staf kewangan. Dia juga dikurangkan kuasa dalam hal pemasaran. Dalam erti kata yang lain - dia tidak diberikan kuasa, dan tidak diberikan kerja. Semua pekerja melaporkan tugasan kepada ketua masing-masing. Bagaimana pun dia boleh terus datang berkerja.

Beberapa lama kemudiannya, dia berhenti.

Aku juga mengendalikan kuliah kepada kakitangan di situ. Seminggu sekali. Aku mengajar hal-hal psikologi pengurusan. Aku ajar hal persepsi, pemimpin, Johary Window dan banyak lagi. Aku pun tidak ingat apa yang aku ajar. Silibusnya bergantung kepada apa yang aku rasa sesuai pada saat itu - dan sesuai dengan diri mereka. Jadi itulah pekerjaan aku di sana.

Lama aku di Indonesia. Sekitar 2 tahun lebih sedikit aku rasa. Aku pun tidak berapa pasti.

Tetapi sampai sekarang pun - aku masih baik dengan mereka semua. Pak Jamil, Pak Donny, Evi dan Asri adalah antara mereka yang masih berkomunikasi dengan aku. Sesekali melalui sms, biasanya melalui yahoo mesengger. Mereka ini semua juga menjadi teman baik aku memancing di Kepulauan Seribu.

Nanti kita sambung kenapa aku kemudiannya berhenti kerja.

Cerita aku - Part III

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
sambungan dari Part I dan Part II

Dengan syarikat yang baru ditubuhkan itu - aku mendapat pengalaman baru lagi. Kadang-kadang aku diajak untuk menemuduga pekerja yang baru memohon. Waktu itu aku tiba-tiba sudah terseret dengan kerja pemasaran pula, walaupun aku juga masih terlibat dengan kerja lain juga. Antara kerja lain yang aku buat termasuklah merangka Standard Operation Procedure (SOP).

Banyak juga aku ingat orang baru yang ditemuduga. Antara orang awal ialah Din Rawang. Dia seorang grafik. Aku ingat lagi - waktu dia datang - dengan tangannya pakai gelang getah, aku ingat brother ini rock ka apa? Tetapi sebab dia orang grafik, aku tak kisah sangat, aku tahu memang trend para seniman ini pelik sikit. Tapi dia bawa banyak lukisan dan hasil seninya. Memang bagus. Jadi bermulalah dia kerja dengan kami sehingga akhirnya dia terbungkus dengan aku di sebuah syarikat lain (akan diceritakan nanti).

Banyak juga orang lain yang aku temuduga. Aku tidak berapa ingat. Ada yang aku temuduga khusus untuk bantu aku buat SOP, tetapi akhirnya dicuri jabatan lain. Ada yang ditemuduga untuk hal-hal pemasaran. Banyak mereka kini yang berada di luar, di banyak tempat. Aku hampir kenal semua mereka - ada yang jadi PTD, jadi wartawan, pegawai Risda, guru dan macam-macam lagi. Ada yang datang temuduga dengan jalan depan, ada yang datang temuduga ikut jalan belakang. Ah biasalah. Itu adat pencari kerja di zaman gawat!

Waktu itu - syarikat membangun dengan cepat. Maka dibukalah cawangan baru di Johor Bahru dan Sungai Petani. Aku antara orang yang merisik tempat di Sungai Petani, menghubungi landlord dan kemudiannya kerja-kerja selanjutnya diteruskan orang lain. Sebenarnya kerja mencari lokasi ini tidaklah mudah. Beberapa pemerhatian psikologi perlu dibuat. Jarang orang membuka perniagaan baru di dalam hutan.

Lama selepas itu - kerana polisi berubah - zaman berubah - dua cawangan ini ditutup. Tetapi ia tidak memberikan kesan dengan pekerjaan aku - kerana aku di Kuala Lumpur. Kerja aku bermula di cawangan - kemudiannya diminta menjaga pemasaran. Besar sedikit tanggungjawabnya.

Aku dibantu oleh banyak pekerja lain. Banyak juga perangai budak-budak ini. Tetapi aku rasa itulah pasukan terhebat yang aku ada waktu itu. Kami memang bersatu hati. Aku pula tidak ingat aku pernah berlaku formal dengan mereka. Aku ini memang bercakap hoi hoi sahaja.

Aku juga banyak berurusan dengan pihak media. Sebab aku jaga pemasaran, maka aku juga jaga pengiklanan radio dan suratkhabar. TV pun kadang-kadang aku masuk juga iklan itu.

Tetapi seperti biasa - kerana pasukan aku besar - maka tugasan itu telah dipecahkan. Ada yang jaga media, ada yang jaga printing dan sebagainya. Aku buat semua itu untuk melatih mereka, dan menyenangkan kerja aku juga. Falsafah kerja aku ini mudah sahaja - aku percaya mereka tidak akan berkerja di situ sampai kiamat. Jadi mereka perlu belajar jadi sesuatu - dalam erti kata yang lain - belajar untuk jadi pengurus. Aku harap mereka sudah belajar dengan baik.

Sebab itu - walaupun mereka eksekutif - tugas pertama yang mereka lakukan ialah mengedar flyers dari rumah ke rumah, dari supermarket ke supermarket. Tugas ini memang nampak hina sedikit untuk lulusan universiti. Tetapi sebenarnya itulah ujian untuk mereka. Kalau mereka melaluinya dengan baik - mereka mampu untuk membuat kerja-kerja lain. Ia bakal menghilangkan rasa malu mereka. Lagi pula, kerja ini hanya sekejap sahaja. Sekadar ujian untuk melihat ketahanan diri mereka. Itu hal yang aku tidak beritahu mereka awalnya.

Kerana terlibat dalam hal pemasaran - aku banyak kenal dengan orang Utusan, Berita Harian, TV3 dan RTM. Seingat aku, ada 4 kali aku masuk conti radio RTM. Sampai sekarang pun, ada di antara mereka yang masih aku hubungi untuk bertanya khabar.

Aku juga terdedah dengan duit rasuah. Ada yang tanya direct berapa aku nak. Dia tersalah orang! Biasanya aku jawab, bukan aku yang tentukan mana-mana supplier yang dapat kontrak percetakan. Tetapi, kawan aku - Din Rawang itulah yang buat keputusan. Dan biasanya aku akan bagitau dia agar reject terus supplier seperti ini. Sebab aku tahu - duit syarikat bukan duit aku. Dan seperti biasa - Din Rawang telah melakonkan wataknya dengan baik.

Aku juga agak perkauman. Supplier bukan Islam biasanya aku tidak terima. Sebelum ini - ada dua orang budak perempuan Cina yang selalu buat kerja-kerja percetakan untuk kami. Aku kemudiannya mengubah sistem itu. Hingga akhirnya dia cuba menelefon dan mengadu masalahnya kepada ketua pemasaran terdahulu. Aku sebenarnya bukanlah anti mana-mana kaum. Cuma aku rasa - kalau orang kita tidak diberi peluang, bila lagi mereka akan ada peluang.

Seperti biasa - orang pemasaran juga tidak pernah bersatu hati dengan orang kewangan. Kami mahu boroskan duit - orang kewangan pula akan buat sekatan! Itu sebenarnya hal biasa sahaja. Orang pemasaran tidak pernah tahu duit ada atau tidak, dan tidak akan ambil tahu pun. Yang penting - ada duit dan kerja jalan. Tetapi, bila kami request of payment selalunya dalam keadaan urgent. Itu yang buat orang yang menjaga kewangan tidak berapa happy.

Tetapi itu realiti pekerjaan. Ada cerita dongeng menarik bagi menggambarkan marketing vs. accountant. Cerita ini aku dapat ketika mengikuti satu kursus. Aku tak mahu cerita hal ini.

Ada satu hari - salah seorang pengarah syarikat mengajak aku ke Jakarta. Aku pun pergi ke sana dua atau tiga hari. Kami bermesyuarat dengan pekerja di sebuah anak syarikat di sana. Waktu itu - melihat Jakarta pun aku sudah penat. Bayangkan di tengah jalanraya yang sesak di depan Ibis Hotel, ada orang yang menjualkan ikan flower horn yang siap dimasukkan ke dalam plastik. Nasib baik ikan, kalaulah dia jual kambing tentu lebih pening.

Dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur - pengarah tanya aku apa yang patut dibuat untuk selesaikan masalah. Aku pun bagilah input yang berguna dan tidak berguna. Beberapa hari selepas itu - tuan punya syarikat - bos aku yang paling besar - datang ke bilik aku. Dia berjalan-jalan dan berlegar-legar ke dalam bilik aku. Dia kata nak berbincang sesuatu. Aku ingat apakah bendanya. Rupanya dia minta aku bertugas di Jakarta.

Hah. Ini barulah dikatakan kerja!

Kita sambung lagi.

Friday, 20 November 2009

Cerita aku - Part II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sambungan Part 1.

Sebelum aku diberi cuti sebulan, bos syarikat tanya aku sama ada aku nak buat kerja-kerja lain. Misalnya jadi pensyarah atau sebagainya. Jadi beliau boleh pindahkan aku ke syarikat lain. Itu tak ada hal bagi beliau. Beliau memang orang baik. Tetapi aku bagitau, beri aku masa sehari untuk berfikir. Esoknya, aku jumpa dia - aku kata lebih baik aku cuti panjang. Cuti rehat. Jadi dua tiga hari lepas itu, aku pun balik Changlun.

Sehabisnya cuti - aku datang balik. Tapi realitinya aku masih sakit, cuma tidak peringkat teruk lagi. Fikiran kacau bilau ada lagi, cuma mimpi seram waktu malam tidak berapa datang lagi. Cuma fikiran was-was tetap ada. Sebenarnya, banyak orang yang sakit mental ini - kebanyakannya memang was-was, ragu-ragu dan tak percaya diri. Sebutlah apa pun cadangan, kami tak akan percaya. Kami ingat apa yang kami buat selalu betul.

Dulu - aku selalu baca buku Plato, Aristotle dan al-Ghazali. Aku rasa itu hal baik tetapi salah yang telah aku buat. Aku baca buku falsafah tanpa guru. Buku falsafah sains pun aku baca. Aku baca dan berfikir sendiri. Sebab itu syaitan datang bisik-bisik di hati dengan kata dongeng yang tak terjangkau akal. Selepas ditimpa sakit, semua buku yang bersifat falsafah aku beri kepada seorang kawan baik aku di kampung. Aku tidak fikir dia akan jatuh sakit, sebab beberapa tahun sebelum aku sakit - dia juga pernah dilanda masalah yang sama. Dialah yang banyak bantu aku semasa aku sakit. Sekarang ini, kalau balik kampung dialah antara orang yang boleh aku berbual-bual hal falsafah ini sambil memancing ikan haruan di dalam hutan.

Setelah kembali kerja - aku masuk ofis - nampaknya sudah banyak muka baru yang aku tak kenal pun. Rupanya mereka itu pekerja untuk syarikat yang baru ditubuh, Sekolah.com yang baru ditubuh. Awalnya aku tak kerja dengan mereka. Tetapi entah macam mana, tiba-tiba aku terseret sama kerja dengan Sekolah.com. Bos aku kata, biar aku sibuk sikit, jadi aku tak fikir sangat benda-benda pelik. Memang betul, sebab kerja aku kian sibuk.

Tetapi - kerja berfikir aku teruskan juga.

Bila aku diminta menulis di kolum bila pena diasah itulah, aku mula berfikir yang aku ini kurang daya fikir. Sebab itu aku sakit. Sebab itu aku guna nama pena FakirFikir. Jadi aku mula daftar hotmail aku guna nama itu. Masa itu, netscape masih ujud. Akaun email netscape pun guna nama yang sama. Jadi bermulalah nama rasmi FakirFikir dalam urusan internet sampai sekarang.

Aku tidak berapa ingat berapa lama selepas itu - bos aku mula mengembangkan perniagaannya. Dia buka syarikat baru lagi - yang berkaitan dengan pendidikan. Aku antara orang awal yang duduk dalam mesyuarat bersama dengan beberapa rakan lain - dari kewangan, operasi, IT dan sebagainya untuk berbincang-bincang hal logo, konsep dan warna korporat syarikat baru ini. Kami berbincang dari hari ke sehari. Macam-macam brainstorm yang dibuat.

Tetapi - kerja berfikir aku tetap berjalan seperti biasa.

Bila syarikat ditubuh kami mula mengambil pekerja baru. Ada yang telah sedia ditemuduga di pejabat Sekolah.com. Ada yang ditemuduga di tempat baru di Kuala Lumpur. Aku sempat melihat beberapa muka budak baru yang datang temuduga. Kemas, lawa dan bergaya. Ada yang bila berkerja itu - sempat kutuk aku tak ada kerja kepada kawan-kawan mereka yang lain. Dia lupa, dia budak baru. Dia tak tahu bahawa warna syarikat itu pun aku tahu sebelum mungkin dia tak graduate lagi. Tetapi - satu hal yang dia tak akan tahu sampai dia berhenti pun - kerja fikir yang aku buat. Ia hanya rahsia kerja aku seorang!

Sebab itu - untuk lulusan universiti yang baru lulus - berhati-hati dengan kata-kata anda. Anda jangan dahulu menembak dalam gelap pada tempat yang anda baru singgah. Anda kena tahu banyak perkara dulu. Mustahil ada orang yang diupah untuk duduk sahaja dalam organisasi. Tentu dia ada kerjanya.

Orang seperti Ann, Intan, Aini, Ihsan, Syukri - akan bertemu situasi ini sampai saatnya nanti.

Kemudiannya aku menapak dari satu kerja ke satu kerja lain dalam syarikat itu.

Nanti kita sambung.

Cerita aku - Part I

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang kawan lama aku minta aku ceritakan kenangan lama berkaitan kerja-kerja pejabat pula. Sebenarnya inilah antara cerita yang jarang aku masukkan ke dalam blog ini. Nanti orang tahu pula apa pekerjaan aku!

Sebenarnya selepas habis kontrak di Sony Mechatronic seperti yang pernah aku sebut sekilas lalu, aku berangkat semula ke Bangi. Aku merentas lebuhraya sejauh 550km dengan motosikal RX-Z dari Changlun. Aku sambung balik pekerjaan aku sebagai pembancuh teh tarik. Sebenarnya bukanlah tujuan aku untuk membuat teh tarik itu, tetapi sebenarnya aku menyambung pengajian.

Seperti biasa, aku hidup di rumah sewa sekitar Sungai Tangkas, rumah sebelah jalan keretapi. Bolehlah dibayangkan bagaimana taraf hidup aku. Jangan susah-susahkan diri menggogle taraf masyarakat sebelah jalan keretapi di mana-mana dunia pun. Sama sahaja.

Aku duduk bersama beberapa orang kawan lain. Banyak daripada mereka yang duduk di rumah itu sedang mengikuti diploma pendidikan. Yang lainnya banyak kerja sebagai jurutera. Antaranya Mat Yee suami kepada Aeskah. Tetapi mereka ini tidaklah ada setiap hari, kadang-kadang ada, selalunya hilang.

Tetapi mereka ini juga termasuk dalam kategori penaja tidak rasmi pengajian aku waktu itu. Mereka selalu juga hulur-hulur duit, kadang-kadang letak atas meja, kadang-kadang letak atas almari. Dari segi persahabatan, aku rasa banyak daripada sahabat dalam rumah itu tip-top. Walaupun kebanyakannya mungkin jurutera, tetapi dari segi pakaian aku rasa mereka ini selekeh - tak jauh beza dengan aku. Aku tak pasti mereka sekarang. Banyak yang aku tak pernah jumpa lagi selepas kami semua sibuk dengan isteri (yang semakin) tua dan anak-anak.

Waktu itu - aku belajar dengan guna duit sendiri. Duit yang aku simpan semasa kerja Sony dulu. Tetapi, bila kian lama kian sesak, aku rasa aku patut kerja. Kebetulan seorang kawan baik aku memberitahu ada kerja kosong di tempat kerjanya. Kerja sebagai pegawai penyelidik. Tetapi ada juga ada kerja-kerja lain - yang boleh aku ringkaskan 'kerja berfikir'. Kerja berfikir ini banyak skopnya. Ia tak tertulis dalam deskripsi pekerjaan.

Ia boleh jadi menulis, boleh jadi merancang, dan boleh jadi apa sahaja. Ia kerja pelik, tapi ada. Aku pun tidak ingat semua kawan-kawan lama aku tahu apa yang aku buat. Melainkan kalau mereka itu memang benar orang lama.


Kerja ini pula tidak ada yang boleh membantu - melainkan aku sendiri. Dalam erti kata yang lain - hanya aku seorang yang tahu apa yang patut aku buat dan bagaimana mengendalikannya. Orang lain tidak ambil tahu apa pun. Jumlah pekerjaan juga tidak diketahui pun oleh sesiapa, melainkan aku sendiri. Kadang-kadang mungkin aku melepak di kedai mamak sepanjang hari kerana tidak ada kerja. Kadang-kadang aku bermalam di ofis dua atau tiga hari berturut-turut kerana banyak sangat kerja. Jadi kerja ini simple. Tiada gangguan dari atasan, atau bawahan. Hanya aku yang berfikir dan menyelesaikannya. Cuma masalahnya, kerana hanya aku seorang - maka semuanya perlu aku laksanakan sendiri.

Sebenarnya itulah kerja berfikir.

Sebab kerja aku tidak melibatkan aku perlu berurusan dengan manusia lain, melainkan dengan dunia aku sendiri - maka sebab itulah aku kadang-kadang akhirnya jadi manusia tidak betul. Kalau aku ada masalah pun, tak ada siapa yang boleh aku ceritakan. Aku rasa itulah puncanya aku sakit seperti yang pernah aku ceritakan di sini. Tetapi tak mengapalah, itu takdir hidup aku sebagai manusia. Kalau aku jadi orang lain pun, tentu akan ditimpa musibah dalam bentuk lain atau lebih teruk lagi.

Kerana sakit itu, aku diberi cuti selama sebulan bergaji penuh. Aku balik kampung. Kadang-kadang masuk hutan cari rebung, kadang-kadang korek pokok sinai buat bonsai. Kadang-kadang mengaji kitab. Banyak benda yang aku buat waktu itu. Tetapi realitinya otak aku kacau bilau. Setiap kali tibanya maghrib atau subuh, aku akan menangis. Itulah realiti orang sakit mental.

Selepas sebulan cuti, aku menerima panggilan telefon. Majikan aku minta aku balik. Dah cukup 30 hari!

Nanti aku sambung bagaimana nama FakirFikir itu wujud. Ia bermula selepas cuti panjang itu.

Tazkirah Jumaat - Riak

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita sering diajar tentang hal riak.

Riak ialah satu penyakit hati. Manusia melakukan ibadat kerana ada hasrat untuk menunjuk-menunjuk kepada manusia, walaupun sepatutnya ibadat itu ialah kerana Allah S.W.T, bukan makhluk. Kerana ia melibatkan hal hati, tentulah objek yang hendak kita tunjukan itu ialah manusia, bukan binatang atau benda. Mustahil orang berhasrat melakukan ibadat kerana ingin menunjuk kepada kambing misalnya. Sebab kalau ditunjukkan sekalipun, kita tahu kambing tidak mampu memuji atau menunjukkan reaksi hatinya.

Tetapi ada juga sifat riak yang lain. Yakni, kita tidak melakukan satu-satu ibadat kerana manusia juga. Ini terbalik dari yang di atas tadi. Tetapi, tetap juga melibatkan manusia. Misalnya, setiap hari kita beribadat. Ia menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah ditinggalkan. Satu hari, datang tetamu ke rumah kita. Jadi, kita pun tidak melakukan ibadat tadi kerana ada orang tadi. Ini pun riak juga. Sebabnya kita tidak membuat ibadat tadi kerana manusia. Hati kita sepatutnya berpaut dengan Allah, bukan dengan makhluk. Jadi, dalam sesetengah kes, apabila kita tidak beribadat kerana orang pun dikategorikan sebagai riak.

Tetapi, kalau kita tidak pernah beribadat - tiba-tiba ada manusia yang datang ke rumah, kita terasa ingin menunjuk-nunjuk, ia menjadi riak kategori pertama tadi.

Tetapi dalam hal wajib, sama ada kita hendak riak atau tidak, kena buat juga. Misalnya, kita tak pernah pun solat fardhu. Tiba-tiba keluarga kita datang ke rumah. Jadi kita diajak sembahyang. Kita terasa, kalau kita buat nanti riak pula. Sebab tak pernah buat pun. Ini pandangan salah terhadap konsep riak. Jadi, dalam hal semacam ini kena buat juga. Sebab itu benda wajib.

Itulah taskirah ringkas pagi ini. Hal ini boleh dirujuk dari kitab Penawar Bagi Hati.

Keterangan lanjut, bertanyalah tok guru di tempat anda. Aku hanya nak cerita ringkas bab riak hati.

Thursday, 19 November 2009

Bahayanya ilmu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ilmu memang merupakan sesuatu yang diperlukan. Dengan ilmu, ia dapat membezakan di antara yang baik dengan yang buruk. Ilmu juga mampu meningkatkan darjat manusia.

Tetapi ilmu juga adakalanya membahayakan. Ia membahayakan apabila disalahguna. Orang menciptakan senjata memusnah kehidupan manusia. Orang memanipulasi sitem untuk keuntungan sendiri.

Tetapi ada satu hal lagi - yang menjadikan ilmu lebih merosakkan. Ini terjadi dalam hal ilmu itu menjadikan manusia itu terlupa asal usulnya, menjadi riak dan bongkak. Adakalanya ia juga menjadikan manusia syirik dengan Tuhannya.

Pernah aku mendengar cerita ini. Tetapi aku terlupa keterangannya. Harap ada orang lain yang tahu cerita ini dapat membantu. Cerita akan hal orang alim yang didatangi syaitan dalam bentuk warna warni yang mempesonakan. Begitu indah. Syaitan itu berkata, "Akulah Tuhanmu". Orang alim yang bijak itu tahu bahawa Tuhan tidak menyerupai sesuatu. Dia lalu menjawab: "Tidak, engkau adalah syaitan. Tuhan tidak menyerupai sesuatu'. Syaitan juga bijak. Lantas dia mencuba lagi agar dapat menyesatkan orang alim tadi: "Ilmumu telah menyelamatkanmu". Tetapi orang alim itu tahu bahawa itu juga bentuk godaan. Lalu dia menjawab: "Tidak, yang menyelamatkan aku ialah Rahmat Tuhan". Terselamatlah orang alim tadi dari menjadi syirik dengan ilmunya dan godaan syaitan.

Dalam dunia kini, banyak sangat orang yang mendakwa mereka bijaksana. Semakin tinggi belajarnya, semakin besarlah bangganya. Orang yang ada ijazah sarjana muda, akan berkira-kira mereka akan lebih pandai dari orang yang tidak masuk universiti. Orang yang ada PhD lagilah besar egonya. Mereka menyangka mereka tahu segala dan pakar serba serbi. Menjadikan orang lain dipandang rendah dan kecil sahaja.

Menjadi lebih bahaya kalau kepakaran itu dalam hal agama. Ketinggian ilmu agama sewajarnya menjadikan seseorang itu semakin rendah diri dan dekat dengan Tuhan. Tetapi apabila berlaku sebaliknya, ilmu yang dikuasai itu tidak memberikan manfaat lagi. Membandingkan ketinggian ilmu kita yang belajar di universiti dengan guru-guru agama silam yang mungkin hanya belajar di atas rumah tidak akan menjadikan kita lebih pandai. Kita mungkin tahu, tetapi bukan tahu semua.

Orang yang belajar PhD juga hanya tahu batas ilmunya sahaja. Itu pun sedikit sangat. Ilmu ibarat air laut, yang kita tahu mungkin tak sampai setitik embun pun.

Jadi - berhati-hatilah dengan ilmu. Jangan biarkan ilmu menjadikan kita manusia yang lupa akar diri dan hilang pedoman. Mendapat gelar daripada bentuk apa pun dalam pengajian moden kini, hanyalah sekadar untuk membezakan kita dengan mereka yang tidak. Tetapi bukanlah bermakna kita akan lebih pandai dan tahu berbanding orang lain.

Wednesday, 18 November 2009

Update petang Rabu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Rabu di Adelaide tidaklah seghairah di Changloon. Di sini tidak ada pasar malam. Tidak ada air tebu. Tidak ada char koew teau. Tidak ada laksa timbang. Tidak ada durian. Tidak ada tukang jual ubat. Tidak ada bee hun sup. Tidak ada apa-apa yang indah.

Hidup di Adelaide petang Rabu di musim bunga menuju ke panas ini biasa sahaja. Duduk rumah, dengar radio sinar, hisap rokok dan kalau rajin, bancuh teh tarik. Minum sambil berangan-angan seperti lepak di kedai mamak. Kalau tidak ada kerja, buka segala portal berita, segala jenis blog, baca sana baca sini.

Sesekali sms kawan-kawan lama di kampung bertanya khabar. Menoreh atau tidak? Sekarang ini di Kedah, hujan turun pagi petang. Orang menoreh jadi gusar. Rajin pun tidak berguna, kalau hari hujan. Jadi jangan senang-senang fitnah orang Melayu malas.

Di Kedah, sekarang ahli politik sedang berkira-kira strategi kalau-kalau berlaku pilihanraya kecil di Kota Seputeh. Oh, ini kota yang bersejarah. Kalau anda rajin membelek sirah, ia merupakan kawasan laut yang bertukar menjadi darat. Seorang kawan baik aku ada di sana. Dia orang politik. Amacam?

Tapi - tadi supervisor aku emel. Seorang kawan dia, profesor besar di Belanda menjemput beliau untuk menghantarkan artikel untuk edisi khas sebuah jurnal antarabangsa. Buat masa ini, di pusat aku, hanya aku yang menulis topik yang berkaitan dengan edisi khas itu. Kebetulan aku sudah siap menulisnya beberapa minggu lalu, tetapi masih tidak tahu ke mana hendak dihantar. Jadi, ini peluang paling baik. Ini lampu hijau untuk orang seperti aku.

Minggu ini juga aku hantar. Aku harap mereka terima artikel aku tanpa banyak sangat pembetulan.

Itu cerita petang Rabu yang membosankan ini.

Sekadar cerita biasa

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini adalah entri aku yang ke-290. Sejak aku mula menulis di blog ini, aku tidak tahu siapa yang telah membacanya. Asalnya aku hanya sekadar suka-suka menulis bagi mengemaskini kehidupan aku di Adelaide - dengan harapan saudara mara dan kawan-kawan lama aku membacanya. Tetapi aku pasti - mereka semua tidak ada masa untuk membacanya. Juga tidak semua kawan-kawan aku yang tahu hal-hal berkaitan internet.

Aku kadang-kadang cuba menulis hal separa-akademik, kadang-kadang isu yang mungkin tidak ada maknanya. Akhirnya, aku berfikir lebih baik aku menulis hal-hal yang bermanfaat sedikit, untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain. Aku sebenarnya bukanlah orang pandai, bukan juga ahli akademik sebenarnya. Aku seperti orang kebanyakan yang lain juga. Cuma takdir Tuhan menyebabkan aku terlantar di sini - mengunyah kehidupan bersama para ahli akademik lain.

Dulu - ketika menunggu keputusan SRP, aku kerja menebas kebun Felda tidak jauh dari kampung aku. Ketika menunggu keputusan SPM, aku kerja di ladang tembakau di Bukit Kayu Hitam. Aku juga pernah kerja kontrak ketika menunggu keputusan STPM, dan kemudiannya kerja menanam rumput di UUM sebelum kemudiannya aku kerja kilang di Selayang Baru. Sepanjang cuti panjang semester universiti, aku banyak berkerja sebagai pembancuh simen. Pernah di Melaka, pernah juga di tempat lain. Dulu-dulu aku masih kuat untuk mengangkat sekampit simen. Kerja sebagai pembancuh teh telah aku ceritakan sebelum ini.

Habis universiti aku kerja swasta.

Jadi - aku sebenarnya bukanlah orang yang bersifat akademik. Cuma takdir aku baik sedikit dari kebanyakan orang lain. Itulah pekerjaan Tuhan. Di sekolah dulu pun, aku tidak ingat cikgu yang mengajar mengharapkan aku masuk universiti. Keputusan di universiti pun bukanlah baik sangat, baik sedikit dari kebanyakan orang lain. Itu sahaja. Tidak pernah pun aku mendapat Anugerah Dekan atau apa-apa sijil kebanggaan lain. Persatuan pun aku tak masuk. Aku juga tidak pernah mengundi di kampus. Jadi, aku bukan kategori manusia belia sangat.

Cuma ada hal-hal yang aku rasa aku bagus. Aku boleh mengingat dan menghafal. Dalam hal-hal psikologi, aku boleh tahu siapa yang menulis sesuatu perkara. Jadi, aku boleh terus membuka buku kalau timbul satu-satu isu. Itu kelebihan yang Tuhan beri.

Bila aku buat tinjauan siapa yang membaca blog ini, dan apa yang mereka harapkan aku tulis, tujuan aku sebenarnya ingin menulis sesuatu yang sesuai dengan khalayak pembaca. 57% pembaca blog ini ialah pelajar universiti, dan 83% mengharapkan aku menulis apa sahaja seperti sekarang.

Tentu juga ada pembaca lain. Mereka mungkin merupakan pembaca Krenmaut atau SwingingBowl yang kontroversi itu. Dari blog ini juga, aku berjumpa dengan teman-teman baru yang aku tak kenal pun mereka. Mereka juga tentunya tidak kenal aku pun. Seperti Zarzh, Ziarah76, CucuHipnie dan beberapa lagi.

Aku harap akan dapat terus menulis dan menyumbangkan sesuatu.

Tuesday, 17 November 2009

Poligami - Final Part - Adakah ini jawapannya?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda mungkin telah membaca beberapa perbincangan sebelum ini. Ada hal yang mungkin anda fahami, ada hal yang tidak. Ada hal yang sepertinya tidak logik, ada hal yang mungkin berasas.

Mengapa orang berpoligami? Kita cuba cari jawapannya.

Kita ada membincangkan yang manusia ini sebenarnya tertarik dengan pasangannya disebabkan oleh beberapa faktor. Hal ini kita pernah bincangkan di sini. Manusia mencari pasangannya dengan melihat kepada faktor usia dan ketarikan fizikal. Lelaki - semakin berumur, maka semakin ia ingin mencari wanita yang muda. Lebih baik kalau perbezaan usia itu semakin besar. Wanita pula sebaliknya. Mereka mencari pasangan yang lebih berusia berbanding diri mereka.

Jadi apa implikasinya. Lelaki yang berkahwin dengan pasangannya - akan mendapati bahawa pasangannya semakin tua. Ini membuatkan mereka mula berfikir untuk mendapatkan wanita lain yang lebih muda. Lelaki ini mungkin jarang berfikir bahawa mereka juga tidaklah lagi muda. Wanita baru yang dicari pula, tentulah lebih muda. Jarang-jarang orang membawa pulang madu yang usianya lebih tua dari isteri tua. Wanita muda yang digoda itu pula - tentulah tidak begitu pelik mengahwini suami yang lebih berumur. Ini sudah menjadi sebahagian dari fikrah manusia - lelaki mencari wanita muda, wanita muda mencari lelaki berusia.

Kita juga sedikit sebanyak membincangkan bagaimana lelaki terus berangan-angan untuk terus mempunyai zuriat di sini. Lelaki akan terus mempunyai jiwa memburu wanita. Wanita mungkin mempunyai fikrah sebaliknya. Semakin berusia, maka semakin berkuranglah potensi mereka untuk menghasilkan zuriat bagi suaminya. Ia tidak pula berlaku dalam konteks lelaki. Maka lelaki terus bercita-cita besar untuk memiliki wanita lain - yakni bermadu. Ini hal bukan pelik. Ini hal normal bagi kebanyakan lelaki.

Anda bertanyalah kepada mana-mana lelaki pun. Pasti mereka ada cita-cita untuk bermadu, walaupun jalan bertongkat sekalipun. Ada yang mungkin berkata tidak, tetapi hati kecilnya mungkin lain. Anda juga bertanyalah mana-mana wanita sekalipun. Mereka akan lebih garang dari jeneral perang dalam hal bermadu ini. Menemui wanita yang ingin mengizinkan suaminya bermadu ibarat mencari madu lebah di dasar lautan. Sukar untuk kita temui. Ini juga perkara normal.

Wanita - dengan fikrahnya untuk terus menjaga hubungan juga kita bincangkan di sini. Mereka sangat emosi bagi memastikan lelaki mereka tidak menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Mereka melihat hubungan jangka panjang. Melihat nasib anak-anak. Melihat masa depan dan nasib mereka. Inilah kehebatan wanita.

Lelaki pula mungkin lebih cenderung dengan hal-hal yang berkait dengan libido. Ia bukan hal yang mudah diterangkan. Ia hal yang berada di alam tidak sedar. Ia hal yang ada dalam diri manusia tetapi tidak boleh ditunjukkan. Sebab itu lelaki begitu trauma kalau tahu teman wanitanya ada hubungan seks dengan lelaki lain seperti yang dibuktikan dalam kajian. Sebab itu banyak lelaki yang sangat mementingkan betapa gadis yang dikahwininya masih mempunyai kehormatan diri, walaupun mereka tidak pula membincangkan betapa mereka juga harus mempunyai teruna.

Ada orang yang mungkin tidak setuju dengan hal libido. Itu tidak mengapa. Cuma, pernah anda lihat kucing yang dikembiri. Lihat bagaiaman perilakunya berbanding kucing-kucing normal lain. Kucing ini jadi malas, tiada motivasi dan gelagatnya tidak seperti kucing. Ia seperti anak patung yang bernyawa.

Itu kucing, bukan manusia. Walaupun tidak semua betul, diandaikan bahawa manusia juga begitu. Banyak manusia yang bertingkahlaku - misalnya memakai baju cantik, mengenakan minyak wangi, menyikat rambut dengan rapi - ialah kerana ingin menjadikan diri mereka menarik - khususnya bagi pandangan jantina yang bertentangan. Bayangkan jika lelaki itu dikembiri. Masihkan dia bermotivasi untuk hidup. Masihkah dia ingin berpakaian menarik. Belum tentu. Motivasinya sudah tiada lagi. Tidak ada apa lagi yang boleh dia lakukan. Baginya, hidupnya telah musnah.

Jadi kenapa lelaki sangat teringin berpoligami? Sebahagiannya telah kita jawab. Kita tidak menyalahkan lelaki atau wanita. Ia menjadi fikrah manusia. Ia bukan hal salah atau betul, hal baik atau buruk. Tetapi itulah sebahagian dari naluri normal manusia.

Anda ingin berpoligami? Atau anda tidak sama sekali membenarkan pasangan anda memiliki orang baru?

Jangan beritahu sesiapa jawapan anda. Jawapan yang sedang anda fikirkan itu sebahagian dari psikologi manusia. Ia membuktikan bahawa anda masih manusia.

Monday, 16 November 2009

Poligami - Part IV - Siapa lebih cemburu?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tulisan ini mungkin mengandungi istilah yang tidak sesuai dengan norma hidup anda. Anggap ia perbincangan akademik sahaja. Ia mungkin juga tidak relevan dengan kehidupan sebenar budaya Melayu Islam.

Sambungan Part III

Anda yang tidak tinggal di kawasan sempadan mungkin jarang terbiasa dengan cerita-cerita ini. Cerita bagaimana kaum wanita tidak begitu terkejut pun kalau tahu suaminya sering ke Thailand untuk melanggan wanita jalang. Tetapi mereka seolah-olahnya dilanda histeria kalau tahu suaminya berkahwin lagi satu di negara seberang itu.

Adakah ini hal yang janggal? Orang tidak marah kalau suaminya berbuat dosa, tetapi jadi kelam kabut pula kalau suaminya membuat perkara baik - yakni poligami. Adakah hal seumpama ini tidak pernah cuba disingkap ahli psikologi?

Sebenarnya ada. Walaupun bukanlah kajian berkaitan poligami.

Kajian ke atas 202 orang manusia di US - ditanyakan dua soalan ini. Pertamanya - Bayangkan kalau pasangan anda menjalin ikatan dengan orang lain? Keduanya - Bayangkan kalau pasangan anda melakukan hubungan seks dengan orang lain?

Hasil kajian mendapati 83% wanita sangat tertekan emosi kalau tahu pasangan lelaki mereka ada hubungan percintaan dengan wanita lain, sebaliknya hal ini tidak pula berlaku keatas pihak lelaki. Kaum lelaki pula nampaknya sangat tertekan kalau pasangan wanitanya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.

Mengapa jadi begini? Sebabnya wanita cenderung bimbang sekiranya pasangan lelakinya ada hubungan emosi dengan wanita lain (misalnya bercinta), ia akan menyebabkan mereka kehilangan separuh daripada komitmen dan pengorbanan yang telah mereka korbankan. Apa yang telah mereka laburkan selama ini bakal sia-sia. Lebih teruk, mereka berkemungkinan hilang keseluruhannya kalau lelaki tadi meninggalkan mereka dan memiliki wanita yang 'baru' tadi. Ini lebih menyakitkan.

Jadi inilah punca mereka cemburu. Sebaliknya, kalau sekadar melakukan hubungan seks tanpa ada sebarang emosi, ia mungkin tidak akan menghilangkan teman lelaki mereka. Ia mungkin hanya sekadar suka-suka sahaja. Seperti orang lelaki berulang alik ke Thailand sahaja.

Bagi lelaki pula, sekiranya teman wanita mereka menjalinkan hubungan seks dengan orang lain, bermakna mereka telah kehilangan kepercayaan dan kuasanya. Mereka jadi cemburu apabila teman wanita mereka 'digunakan' oleh orang lain.

Kajian ini mungkin bersifat psikologi. Ia mungkin tidak tepat. Akhirnya kajian ini diulang lagi dengan menggunakan kaedah fisiologi dengan peralatan seperti electrodermal (EDA),face-electromyogfraphic (EMG) dan tekanan nadi. Hasilnya nampaknya sama juga. Wanita cemburu kalau pasangan lelakinya ada hubungan kasih dengan orang lain, tetapi bagi lelaki mereka sangat kecewa kalau pasangan wanitanya ada hubungan kelamin dengan orang lain.

Jadi - siapa lebih cemburu?

Kajian yang dinyatakan di atas boleh dirujuk di Buss, D.M; Larsen, R.J;Westen, D & Semmelroth, J, sex differences in jealousy: evaluation, physiology and psychology.

Friday, 13 November 2009

Poligami - Part III - Asal usul perbezaan jantina

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Poligami Part I
Poligami Part II

(Nota: tujuan tulisan ini ialah bagi mendedahkan kita dengan fikrah lelaki dan wanita, tanpa mempunyai sebarang pandangan untuk menggalakkan atau menidakkan poligami)

Sejak dijadikan, manusia sudah dikurniakan dengan peranan dan fungsi berbeza. Fungsi dan peranan ini ditentukan dengan kelainan alat kelamin dan juga fungsi dalam pembiakan.

Alat kelamin dan fungsi pembiakan - inilah kunci utama yang membezakan personaliti di antara lelaki dan wanita. Inilah juga yang menjadikan lelaki dan wanita terus membawakan sikap, emosi dan tingkahlaku yang berbeza. Perbezaan fungsi alat kelamin dan pembiakan ini jugalah menjadikan lelaki dan wanita ada kelebihan dan kekurangannya.

Ini diperteguhkan lagi dengan perbezaan kerangka tubuh di antara lelaki dan wanita. Lelaki dikurniakan dengan bentuk tubuh yang lebih gagah dan kuat, sebaliknya wanita dengan perwatakan lembut - sesuai dengan peranannya melahir, membesar dan memelihara anak. Hal ini terus dibawa sejak manusia dijadikan - dan kemudiannya diperteguhkan dengan peranan budaya masyarakat. Masyarakat tetap akan terus melihat lelaki sebagai penaung wanita, manakala wanita pula sebagai kilang penerus zuriat.

Sepanjang usia wanita juga - mereka ada keterbatasannya dalam memainkan peranannya sebagai penerus zuriat manusia. Selain dari faktor membesarkan anak, dan faktor jumlah waktu tertentu untuk mengandungkan zuriat - jadi wanita dilihat sebagai elemen yang sentiasa diperlukan oleh lelaki. Ia dilihat sebagai satu sumber yang sentiasa berada dalam ketidakcukupan. Mereka menjadi organ yang sentiasa menjadi rebutan.

Dalam keadaan wanita yang sangat 'terbatas' (tempoh waktu bagi menghasilkan anak, lama masa mengandung) menjadikan wanita sentiasa melihat diri mereka kekurangan. Lelaki pula, tetap ada kekurangannya. Mereka hanya mampu mengharapkan kelahiran zuriat, tetapi tidak mampu melahirkannya. Jadi, kedua-dua lelaki dan wanita saling memerlukan di antara satu sama lain.

Lelaki juga sentiasa perlu bersaing dengan lelaki lain dalam usaha mendapatkan wanita. Kerana wanita dibebankan dengan peranan sebagai penerus zuriat manusia - beban yang sangat besar - maka mereka juga mempunyai kuasa memilih lelaki. Mereka memilih lelaki yang memiliki kekuatan ekonomi - atau ada kesanggupan untuk menjaga anak-anak yang dilahirkan. Sebagai imbalan kepada apa yang telah wanita sumbangkan untuk lelaki.

Lelaki pula pada setiap saat - melihat sumbangan wanita yang tidak boleh dijangkakan ini. Mereka tidak dapat memastikan sejauh mana dan selama mana wanita akan boleh menghasilkan zuriat untuk mereka. Kerana itulah, secara semulajadinya lelaki akan terus bersifat mengawal dan memiliki wanita. Mereka tidak sanggup pasangan wanitanya dimiliki orang lain.

Wanita pula sebaliknya, kerana berada dalam keadaan yang 'tidak pasti' itu - wanita akan terus mengharapkan ehsan lelaki untuk menjaga mereka. Inilah yang sebenarnya membina perasaan cemburu dalam diri manusia.

Persaingan di antara lelaki dalam mendapatkan wanita itu jugalah - menjadikan hanya lelaki yang kuat mampu bertahan, dalam erti kata lain mendapatkan wanita serba sempurna. Sebab itu juga - secara fisiologinya, lelaki terangsang untuk lebih ganas, sentiasa bersaing dan sanggup mengambil risiko. Wanita pula - akan lebih cenderung mendapatkan lelaki yang mampu menjaga mereka dalam tempoh jangka panjang.

Inilah yang membentuk fikrah lelaki dan wanita. Ia diwariskan dari satu generasi kepada generasi lain. Bahkan, sejak lahir lagi, tabie lelaki dan wanita itu sudah berbeza (kita akan bincang dalam siri selanjutnya).

Inilah antara hujah yang dikembangkan oleh ahli psikologi evlousi. Di zaman silam, lelaki yang sempurna ialah mereka yang mampu berburu, kuat dan memberi makan keluarganya. Wanita yang sempurna pula ialah mereka yang mempunyai bakat menjaga keluarga.

Di zaman moden ini pun - lelaki mungkin tidak perlu memburu. Tetapi peranannya sebagai 'pencari makan' terus diwariskan. Begitu juga wanita. Mereka terus dianggap sebagai 'penjaga rumah'. Ia dianggap sebagai citra yang diwariskan dalam pembetukan sifat lelaki dan wanita.

Jadi kenapa lelaki terus memiliki perasaan ingin mempunyai wanita lain?

Salah satunya kerana mereka terus ditanamkan teras pemikiran - wanita akan menjadi penerus zuriat mereka. Bagi lelaki, tugas wanita ialah di rumah dan menjaga anak-anak. Bagi lelaki, wanita adalah sifatnya melahirkan anak. Jadi wanita menjadi objek yang sentiasa menjadi rebutan lelaki. Wanita terus menjadi subjek yang ingin dikuasai. (Pandangan bahawa wanita akan menjadi penerus zuriat tidak semestinya lelaki ingin memiliki anak. Ia hanya sifat tabie lelaki yang melihat wanita dalam keadaan serba terbatas, dan wanita sebagai pelahir zuriat manusia).

Wanita pula, terus dilanda perasaan cemburu - kerana bagi mereka lelaki ialah penaung kehidupan mereka untuk jangka panjang. Lelaki perlu mempunyai sumber yang cukup bagi menaungi dan membesarkan anak-anak. Tatkala ada wanita lain yang datang menjadi pesaing, ia tentu bakal menghilangkan sebahagian dari sumber yang ada. Sebab itu, bagi wanita - pasangannya tidak boleh sesekali mempunyai orang ketiga.

Penafsiran sumber ini tidak semestinya dalam bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda. Sumber ini boleh ditafsirkan sebagai rasa kasih sayang lelaki kepada wanita.

Kita sambung lagi untuk siri seterusnya.

Tulisan ini banyak berasaskan kepada teori evolusi atau origin theory. Diadaptasi dari tulisan Eagly, A.H & Wood, W, 1999. the origins of sex differences in human behavior, American Psychologist dan Buss, D.M, 1989. sex differences in human mate prefferences; evalutionary hypotheses tested in 37 culture, Behavioral and Brain Sciences. Ia hanya sekadar salah satu pandangan psikologi yang mungkin tidak kesemuanya relevan dengan kita.

Poligami - Part II - Mukadimah

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Di Malaysia - poligami menjadi isu yang hangat. Ia seolah-olah satu benda yang salah. Benda yang pelik. Sampaikan apabila suami berpoligami, ada isteri yang sanggup menuangkan cuka ke muka. Ada juga sanggup memotongkan 'anu' suami. Suami yang berpoligami pula terpaksa menyorokkan muka dan bersembunyi di balik tabir kesibukan hidup.

Mengapa jadi begitu. Mengapa pihak lelaki begitu terangsang untuk berpoligami, dan wanita pula tidak sama sekali membiarkan diri mereka dikongsi kasih. Ia bukan budaya orang Melayu sahaja. Dalam psikologi ada satu topik membincangkan hal 'jealousy' atau cemburu. Kajian ini dilakukan dengan melihat aspek psikologi dan fisiologi. Nampaknya ternyata benar ujudnya simptom ini dalam diri manusia. Kita akan bincang hal ini kemudian.

Dalam bidang psikologi juga ada dibincangkan bagaimana kemunculan sifat lelaki dan wanita. Ia banyak dilakukan oleh ahli psikologi aliran evolusionary - yang melihat bagaimana lelaki dan wanita saling bersaing untuk mendapatkan pasangan, dan mengawalnya. Kita juga akan bincangkan hal ini. Tetapi bukan hari ini.

Hari ini kita cuma memulakan mukadimah berkaitan poligami sahaja. Poligami bukan hanya ada di Malaysia. Ia juga diamalkan di kebanyakan negara Afrika - Algeria, Chad, Ghana, Benin, Congo, Gabon, Togo dan Tanzania. Juga di Arab Saudi dan Israel. Poligami juga bukan hanya diamalkan oleh orang Islam. Poligami juga dilakukan oleh orang Kristian Khatolik dan Protestan. Jadi - poligami ini bukan hal yang pelik.

Ia hal yang biasa sahaja. Ia melibatkan perkahwinan lelaki dan wanita.

Tetapi - ada hal yang sebenarnya lebih pelik. Kita mungkin jarang mendegarnya. Polyandry - wanita yang berkahwin dengan dua atau lebih lelaki pada satu masa. Ada juga - polygynandry - dua atau lebih isteri berkahwin dengan dua atau lebih lelaki pada masa yang sama. Ini sepatutnya hal yang pelik.

Cukup dulu pengenalan hari ini. Esok atau lusa kita bincang bagaimana lelaki dan wanita yang berbeza jantina itu mempunyai perasaan yang tidak sama.

(Nota - fakta yang disebutkan di dalam tulisan ini dipetik dari Elbedour, S, Onwuegbuzie, A.J, Caridine, C & Abu-Saad, H. 2002, the effect of polygamous marital structure on behavioral, emotional, and academic adjustment in children; a comprehensive review of the literature, Clinical Child and Family Psychology Review).

Thursday, 12 November 2009

Poligami - Part 1

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kali ini kita akan cuba tulis tajuk yang lain sikit. Sebenarnya ada kawan lain yang minta aku bincangkan hal ini. Kawan ini minta nama dia dirahsiakan. Bukan kerana dia ada cita-cita berpoligami, tetapi dia takut menjadi sasaran kumpulan Islam liberal dan segala persatuan wanita. Bagaimana pun, aku tidak bercadang menulisnya dari sudut agama. Aku cuma akan menulisnya dari sudut psikologi sahaja.

Kenapa orang lelaki selalu bercita-cita memiliki banyak isteri, dan kaum wanita pula seboleh-bolehnya tidak mahu dimadukan. Mengapa orang lelaki di Sahara Afrika yang mengahwini banyak isteri dianggap sebagai simbol kekuasaan dan kehebatan, tetapi lelaki di Malaysia pula terpaksa malu-malu kahwin ikut pintu sempadan?

Mengapa lelaki bersifat menguasai dan memiliki, dan wanita pula merasa sangat cemburu dan tidak mahu berkongsi?

Ini baru topik pengenalan. Belum mula lagi pun. Aku nak kena baca buku dulu! Permintaan kawan aku ini sudah menyebabkan artikel ke-3 aku terbantut lagi.

Untuk lelaki yang ingin bermadu, dan wanita yang tidak ingin dikongsi, tunggulah kemunculan debat perdana ini! Ekslusif dari FakirFikir.

Wednesday, 11 November 2009

Adakah kita lebih baik dari orang lain?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kali ini kita bincangkan hal-hal bias balik diri.

Dalam hidup ini kita cenderung untuk melihat kita lebih baik dari kebanyakan orang. Apabila kita dipuji majikan, atau dinaikkan pangkat kerana prestasi yang baik - kita percaya bahawa penilaian yang dibuat majikan itu betul. Sebaliknya, kalau kita dinilai buruk - kita percaya bahawa majikan melakukan hal yang silap.

Banyak pemain bolasepak terkenal dunia pun ada kecenderungan bias balik diri. Apabila mereka menjaringkan gol walaupun dalam keadaan off-side, tetapi dipersetujui oleh pengadil, mereka yakin bahawa pengadil membuat keputusan yang betul. Kita seolah-olah percaya bahawa kita memang selalu betul, dan apabila orang lain mengesahkannya ia menjadikan kita semakin yakin.

Begitu juga dengan pelajar. Apabila mereka lulus cemerlang, mereka tidak ada merasa ada cacat celanya dengan soalan peperiksaan. Mereka cenderung menerima keputusan itu. Sebaliknya, jika gagal mereka akan mengkritik peperiksaan. Inilah bias balik diri.

Adakah anda selalu bias balik diri - atau dalam kata yang mudah, selalu berperasaan sebagai manusia yang baik berbanding dengan kebanyakan orang lain

Kajian mendapati:
1. Majoriti usahawan merasakan mereka melakukan urusniaga mengikut etika yang betul. Hakikatnya belum tentu.
2. Di Australia, 86% pekerja menilai prestasi mereka lebih baik dari kebanyakan orang. Hanya 1 % sahaja menilai diri sebagai bawah purata.
3. Di Belanda, kebanyakan pelajar sekolah tinggi menilai diri mereka sebagai lebih jujur, amanah, mesra dan boleh dipercayai berbanding dengan purata pelajar lain.
4. Kebanyakan pemandu - bahkan mereka yang sedang berada di hospital kerana kemalangan jalanraya - merasakan diri mereka lebih cekap dan selamat berbanding dengan purata pemandu lain.
5. Banyak orang percaya - bahawa diri mereka lebih cerdik, kurang prejudis, dan merasakan diri mereka menarik berbanding purata ahli masyarakat lain.

Adakah apa yang sedang dirasai oleh manusia ini betul. Hakikatnya ia hanya ilusi. Ia hanya perasaan. Semua ilusi ini sedang kita alami setiap hari. Ini menjadikan kita berasa kitalah manusia paling hebat dalam dunia ini - hatta dalam keadaan kita mungkin sedang duduk dalam penjara sekalipun.

Bagaimana pula anda sebagai blogger?

Nanti kita bincang Ilusi kekebalan.

Beza lelaki dan wanita

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ihsan bertanya: Apsal la pompuan nih biasenye lambat gle pikap esp bile kite buat lawak ke perli2 ke. Walaupon diorg nih berfikiran puitis tahap tinggi n suka sajak2? Adakah lelaki lebih hebat dlm bab2 puitis2 nih tp xsuke express? (ayat asal tanpa diedit tatabahasa)

**********************************************************************************
Aku tidak bercadang untuk menjawab soalan Ihsan. Aku cuma sekadar berkongsi pengetahuan.

Adakah lelaki dan wanita berbeza? Itu soalan yang selalu timbul dalam buku psikologi sosial dan personaliti. Jawapan yang dominan - ya.

Sejak dilahirkan lelaki dan wanita sudah berbeza biologinya. Maka berkatalah Douglas Kenrick, seorang ahli psikologi evolusi - 'we cannot change the evolutionary of our species, and some of the differences between us are undoubtedly a function of history'. Sebenarnya itulah hakikat kejadian manusia. Lelaki secara relatifnya lebih gagah dibanding wanita, sebaliknya wanita akan lebih lemah lembut. Semua ini ada hikmahnya. Lelaki menjaga keluarga, wanita melahir dan membesarkan anak. Cuba bayangkan wanita bertubuh sasa melahirkan anak, dan lelaki lemah lembut pula menjadi suami. Tentu sukar dibayangkan.

Adakah hal ini sama sahaja di seluruh dunia. Kajian ke atas 37 budaya manusia, merentas hampir seluruh dunia - dengan sampel 10,000 manusia - mendapati lelaki akan tertarik dengan wanita yang cantik dan berwajah muda. Wanita pula cenderung untuk lelaki yang gagah, dan mampu menyediakan sumber bagi menjaga wanita.

Bagaimana pun - ada hal yang sama - lelaki dan wanita tetap mengimpikan cinta, kasih sayang dan hubungan mesra. Ini tidak ada bezanya dalam apa budaya sekalipun.

Lelaki juga cemburu kalau pasangan wanitanya bermain kayu tiga dengan lelaki lain. Wanita pula tidak suka kalau pasangan lelakinya ada hubungan bersifat emosi dengan wanita lain. Semua ini berasaskan kepada sejarah evolusi manusia yang membentuk lelaki sebagai penjaga keluarga, dan wanita pula akan bergantung kepada apa yang boleh diberikan oleh lelaki.

Apa lagi beza antara lelaki dan wanita? Lelaki dalam apa budaya pun akan cenderung mengahwini wanita yang lebih muda. Semakin tua lelaki itu, semakin mereka mengimpikan wanita yang lebih muda dengan beza umur yang besar. (Jadi, tidaklah boleh dikatakan lelaki tua yang mengahwini gadis muda sebagai 'miang keladi', kerana ia nampaknya trend seluruh dunia dan semua budaya!). Wanita pula - hanya mengharapkan lelaki yang umurnya tidak begitu ketara dengan mereka, walaupun mereka juga mengharapkan lelaki yang lebih tua berbanding mereka. Bagaimana pun, wanita kurang tertarik dengan lelaki muda.

Hal ini kemudiannya diwariskan dari satu generasi kepada satu generasi - dalam garis budaya. Budaya inilah yang memperteguhkan perbezaan di antara lelaki dan wanita.

Wanita dalam kebanyakan hal mungkin tidak pernah akan sama sifatnya dengan lelaki. Lelaki dikatakan akan cenderung untuk bersifat individu dan berdikari. Sebaliknya wanita pula lebih 'collective' dan 'connected'. Kajian-kajian makmal mendapati lelaki cenderung untuk yakin kepada diri sendiri berbanding dengan wanita. Wanita pula didapati lebih mudah mengingat perkataan atau manusia yang ada hubungannya dengan kehidupan mereka. Semua ini dibincangkan dalam konteks 'self-schemas'. Anda boleh menggoogle untuk melihat apa yang dimaksudkan dengan konsep ini.

Menjawab soalan Ihsan - sama ada lelaki dan wanita akan selalu berbeza. Bagaimana pun untuk dikatakan wanita lebih puitis, mungkin juga tidak. Wanita mungkin lebih emosinya - menjadikan mereka kelihatan lebih puitis. Lelaki pula tidak boleh dikatakan tidak pandai meluahkan hal-hal bersifat seni - kerana banyak pemenang Nobel Kesusasteraan juga adalah lelaki. Di Malaysia - banyak sasterawan negara adalah lelaki.

Tuesday, 10 November 2009

Apa itu writer's block

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah 2 hari aku cuma di rumah. Adelaide sedang dilanda suhu panas. Aku juga sedang kepanasan. Perlu menulis dan memperbaiki artikel. Jadi, seperti kebiasaannya, aku perlu menulis di rumah. Sebabnya aku tidak boleh menulis di atas meja.

Ketika menulis, adakalanya kita dilanda writer's block. Kita terhalang untuk menulis. Kita tidak tahu dari mana hendak bermula. Kadaang-kadang kita menulis satu halaman, tetapi kita berasa seperti ada yang tidak kena. Kita padam kesemuanya. Kadang-kadang kita bersemangat menulis. Berhenti sekejap untuk minum kopi. Tiba-tiba, tidak dapat menulis lagi. Bukan sejam atau dua jam, bahkan berhari-hari atau berminggu-minggu. Ini penyakit biasa bagi kebanyakan orang.

Bagaimana mengatasinya. Paksa diri untuk menulis. Kalau tidak boleh 100 patah perkataan, paksa untuk menulis 10 patah. Kalau tidak juga boleh menulis, tulis juga apa yang boleh. Boleh tulis di mana-mana sahaja. Di atas kertas kosong, di atas kertas recycle. Janji tulis. Jangan bosan dan kecewa.

Satu lagi cara lain - buat temujanji dengan supervisor anda. Katakan anda akan menghantar artikel anda pada satu-satu tarikh. Anda mungkin belum menulis apa pun lagi. Dengan cara itu, anda perlu menulis juga kerana anda yang sengaja membuat janji. Jadi, sekurang-kurangnya ada sesuatu juga untuk ditulis.

Apa lagi? Kalau tidak tahu juga untuk tulis apa-apa, tulis blog. Habis cerita. Semacam aku sekarang ini. Kita bunuh writers block dengan tulis blog!

Monday, 9 November 2009

Aku pun stres juga!

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bila ada orang tanya aku macam mana nak kawal perasaan kalau eksperimen tak jadi, atau jurnal kena tolak, rasa seperti aku tidak stres. Tidak, aku pun stres seperti orang lain juga. Mau lebih teruk ada kot!

Sekarang ini aku stres dengan data collection di Malaysia. Masih tak dapat target lagi. Baru dapat 300 orang lebih. Itu pun berkat pertolongan banyak orang. Kecuali beberapa orang, banyak yang tidak aku kenal. Yang aku kenal cuma N seorang. Kalau ada sesiapa yang nak buat survey di Malaysia, boleh upah N. Dia bagus. Dia ada banyak kroni dalam hal data collection.

Aku mungkin stres sedikit mencari wang upah mereka. Tetapi sebenarnya ia lebih untung berbanding kalau aku sendiri yang buat. Jadi aku boleh siapkan dua kerja pada satu masa. Aku boleh menulis paper di sini, dan di Malaysia ada orang sedang collect data. Ini bezanya orang sains sosial dengan orang sains. Orang sains tidak boleh upah orang lain tidur di makmal.

Jadi - aku sudah pindahkan stres data collection kepada orang lain. Aku pula cuma stres duduk dalam rumah yang cuacanya seperti duduk dalam ban tembakau.

Sunday, 8 November 2009

Selamat menempuh alam perkahwinan Bento!

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat menempuh alam perkahwinan buat kawan baik aku - yang namanya aku samarkan sebagai Bento dalam blog ini. Kawan-kawan baik aku Chah, Hasni dan Din Rawang tentu tahu siapa kawan aku ini (Chah, nanti minta Mat Yee call dia - marah dia sikit!).

Ketika aku menulis ini, Bento dan rombongannya sedang menuju ke Patani, Thailand untuk melangsungkan majlis pernikahannya. Bukan sebab orang yang dikahwininya itu ialah orang Patani. Juga bukan kerana ada hal buruk sedang dilakukannya, atau cuba melarikan anak gadis orang. Semua itu tidak berkaitan.

Sebenarnya, dia cuba mengelak dari banyak prosedur perkahwinan di negara kita. Dia juga cuba mengelak untuk berkursus. Jadi - dengan cara itu urusan perkahwinannya akan menjadi lebih mudah. Walaupun pernikahan itu berlaku di luar negara, dan jaraknya pula lebih dari 2 marhalah, dia sudah boleh menggunakan wali hakim. Tetapi tidak dalam kes pernikahan kawan baik aku ini. Dia membawa bersama walinya.

Mungkin kerana umur sudah 36 tahun, bujang dan hanya baru ingin berkahwin - jadi dia tidak boleh tangguh lagi! Aku tak tahu hal itu. Itu kena tanya dia.

Selama ini - dia takut untuk mendekati wanita kerana banyak sebab. Salah satunya ialah kebimbangannya sebagai bekas penagih - yang memungkinkan dia membawa virus HIV. Dia berasa bimbang kalau perkahwinannya itu akan merosakkan orang lain.

Beberapa minggu lalu - dia sms aku, 'Aku dah check. Negatif". Itulah berita kegembiraannya. Aku juga tumpang gembira. Kerana dia tidak sepatutnya berada dalam kategori manusia tidak berguna pun. Dia orang baik. Lebih baik dari kebanyakan orang. Dia juga tahu selok belok agama. Lebih tahu dari kebanyakan orang. Cuma takdirnya dia terjerumus. Tuhan menguji imannya. Tuhan juga sedang menguji kita. Sejauh mana kita menerima mereka, dan sejauh mana kita memahami hakikat takdir.

Beberapa minggu yang lalu juga - kami saling menelefon di antara satu sama lain. Kami berbincang tentang banyak hal. Aku orang pertama yang tahu hal perkahwinannya. Dia tidak mahu memberitahu sesiapa sehinggalah pada saat perkara itu akan berlaku. Dia bimbang akan tidak berlaku. Jadi hanya kami berdua tahu perancangannya pada saat itu. Sehinggalah kemudiannya dia membincangkannya dengan ahli keluarganya dan ahli keluarga aku.

Untuk kawan baik aku - sahabat sejati - aku ucapkan selamat menempuh dunia perkahwinan. Aku tidak perlu menasihatkan dia apa-apa. Dia sudah melalui hampir semua perkara buruk sepanjang usianya. Jadi perkahwinan ini adalah berita gembira untuknya. Aku percaya, dia boleh menguruskannya.

Aku harap - kami akan masih mempunyai waktu untuk terus menikmati teh tarik sehingga lewat pagi selepas ini.

Update jam 10.07 pm: Patani sedang dilanda banjir, pernikahan itu telah diubah ke Chenak, satu wilayah di Siam, tidak jauh dari Changlun.

Saturday, 7 November 2009

Menjawab soalan 1 - menangani stres

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Lanjutan daripada Membuka Soalan.

Inah bertanya:
1. I tend to compare myself dengan student lain yang sudah menyiapkan penulisan bab tesis and selalu rasa diri ketinggalan. Bagaimana mengendalikannya? And I have a problem too when I always tend to compete with myself .

2. How to handle stress bila eksperimen tak jadi atau paper rejected??

Ada dua soalan yang dikemukakan oleh Inah. Kedua-dua soalan ini saling berkaitan. Ia melibatkan kognitif manusia. Maksudnya tafsiran kita terhadap sesuatu perkara. Ia mungkin bukan kesan sebenar yang sedang menimpa kita, tetapi lebih kepada tafsiran semata-mata.

Membandingkan orang lain yang lebih dahulu menyiapkan tugasan menjadikan kita berasa ketinggalan. Itu benar dari pandangan sekali imbas. Perbandingan ini sebenarnya hal yang positif, sekurang-kurangnya akan menjadikan kita lebih kuat berusaha.Tetapi kita juga perlu melihat bentuk bidang pengajian yang mereka lakukan, dan sejak bila mereka mereka memulakan pengajian.

Kita juga harus adil dengan diri kita. Kita tidak boleh membandingkan dua perkara yang tidak sama. Seperti seorang operator pengeluaran membandingkan gajinya dengan pengurus. Sampai bila-bila pun tidak akan berlaku keseimbangan.

Perbandingan yang patut dibuat seharusnya dengan orang yang sama bidang dengan kita, kalau pun tidak dapat mencari orang yang melakukan kajian yang sama sifatnya. Kalau kita ketinggalan kerana itu, mungkin boleh kita selidiki kelemahan kita.

Cuba sesekali kita bertanya dengan orang lain. Masalah mereka mungkin lebih menakutkan. Apa yang kita lihat hanya seorang dua yang lebih baik dari kita. Itu pun, kita tidak tahu pun masalah besar mereka yang lain. Mereka juga mungkin bimbang juga dengan keupayaan kita. Itu kita tidak tahu kerana kita hanya melihat sisi positif mereka.

Sebenarnya, tidak ada masalah pun kalau kita ingin mengejar dan mendahului mereka. Misalnya, ada teman-teman yang telah mendahului kita. Mereka mungkin lebih bijak dalam hal-hal tertentu, misalnya menulis dengan cepat, atau menganalisa satu-satu perkara dengan lebih pantas. Mereka mungkin menyiapkan penulisan 10,000 patah perkataan dalam masa 5 hari. Kita mungkin tidak mampu melakukannya. Kita mungkin mengambil masa 10 hari. Dalam hal begini, jika kita terasa ingin memintas mereka, kita perlu menambah jumlah masa menulis. Misalnya dari 4 jam sehari kepada 6 jam sehari. Itu pun kalau mampu dilakukannya.

Tetapi sebenarnya, yang menjadikan kita lambat menulis atau menyiapkan satu-satu perkara ialah kerana stres. Kita menggunakan begitu banyak masa dan tenaga untuk menangani stres, dan bukannya perkara yang patut kita tangani. Kita berfikir dengan perkara yang tidak berkaitan dengan masalah. Kita berfikir kenapa orang lain lebih cepat, dan bukannya apa yang harus kita lakukan untuk lebih cepat. Kerana stres adalah perkara yang berkaitan dengan pemikiran, maka banyak masa yang telah kita habiskan untuk berfikir dengan perkara lain yang mungkin tidak ada kena mengena. Kita berfikir hal A, sedangkan masalah sebenar kita mungkin B. Inilah yang menjadikan otak kita begitu letih dan tidak mampu berfikir dengan lebih baik. Hasilnya, kita benar-benar ketinggalan.

Soalan kedua beliau - menangani ekperimen gagal atau kertas ditolak.

Sebenarnya ia hal yang dialami semua orang, termasuklah penyelia kita yang bergelar profesor. Kita tidak akan menjadi manusia sempurna. Ini masalah semua penyelidik. Experimen gagal, jumlah respons tidak mencukupi bagi soal selidik, penilai tidak berasa gembira dengan kertas laporan dan sebagainya adalah sebahagian daripada perkara lazim bagi ahli akademik. Dalam kata lain, ia adalah makanan harian kita. Kita tidak boleh menjangkakan semua perkara akan berlaku dengan sempurna. Apatah lagi kita hanya pelajar, bukan ahli akademik besar.

Bagi menangani hal ini - ada baiknya setiap kali kita memulakan kajian atau menulis, kita juga bersiap-sedia dengan pola yang satu lagi - yakni gagal. Sebab dalam hidup hanya ada dua pola sahaja, baik dan buruk, lulus dan gagal atau kalah dan menang. Peluang untuk lulus sama banyak dengan gagal. Jadi, dengan persediaan ini, kita sudah mencipta mekanisme bela diri di dalam minda kita.

Sebab itu - bagi orang biasa menghantar kertas artikel, mereka tidak kecewa sekalipun ditolak. Mereka sudah membina hueristik di dalam minda mereka. Mereka terlebih dahulu bersedia dengan hal itu. Orang yang mengalami kemalangan untuk kali kedua misalnya, tidak begitu trauma dibandingkan dengan orang yang pertama kali mengalaminya. Maksudnya, minda kita sudah tahu apa yang patut dilakukan bagi menangani hal yang tidak pasti itu.

Bagaimana pun, tidak bermakna kita hanya bersedia untuk gagal atau ditolak semata-mata. Dengan andaian bahawa kemungkinan kertas kita ditolak misalnya, kita perlu menyiapkan kertas itu lebih awal. Ini bagi membolehkan kita menghantar kepada penerbit yang lain, atau bersedia dengan pembetulan tertentu. Misalnya, target asal menyiapkan kertas ialah Januari, jadi kita anjakkan lebih cepat kepada Disember. Sekurang-kurangnya kita ada buffer zone untuk bersiap dengan segala kemungkinan.

Sekiranya kertas kita diterima, atau experimen menjadi, anggaplah ia sebagai satu bonus. Itu terlebih baik dari terlalu mengharap.

Yang boleh kita lakukan ialah melakukan yang terbaik. Selebihnya kita serahkan kepada Tuhan.

Nota: Ia hanya pandangan. Tidak semestinya berkaitan. Harap dapat membantu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails