Yang Ikut

Saturday, 31 October 2009

Rumah belakang perdu pisang

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Teja menulis sesuatu di laman blognya. Tentulah itu bukan terakhir oleh beliau, kerana beliau akan menyambung lagi tulisannya itu dalam memperkatakan Melayu dan Islam, khususnya dalam hal berkaitan dengan proses menimba ilmu agama.

Sebenarnya aku pun tidak mempunyai autoriti bagi mengulas hal-hal keagamaan. Kerana aku tidak terdidik dalam bidang itu. Jadi aku hanya sekadar berkongsi pengalaman sahaja. Selepas tamat darjah 6, aku ditawarkan ke Sekolah Menengah Allawiyah, di Kangar. Sekolah agama. Pada masa yang sama, aku juga ditawarkan ke Sekolah Menengah Jitra. Kedua-duanya sekolah yang baik, dan kedua-duanya perlu tinggal di asrama.

Kerana pada waktu itu bapa aku sudah tiada, jadi abang aku memberi peluang membuat keputusan sendiri. Tahun 1985 itu - pengaruh rock kapak sudah mula berkembang. Walaupun masih budak lagi, tetapi aku sudah terpengaruh. Aku jangkakan, kalau aku ke sekolah agama, maka tidak ada harapanlah aku tersongsang dengan budaya rock kapak itu. Jadi, aku pilih Sekolah Menengah Jitra. Aku tidak tahu itu keputusan yang betul atau salah.

Tetapi aku bernasib baik. Sekitar Changlun waktu itu masih ada beberapa orang guru agama besar. Mereka mungkin tidak dikenali kerana jarang masuk TV dan tidak ada gelar PhD. Mereka pula cuma kerja menoreh atau menanam padi. Jadi, tidak popular seperti banyak ulama moden. Hidup mereka pula simple sahaja.

Jadi - aku berkesempatan sekali sekala singgah untuk belajar dengan mereka kerana abang aku aktif dalam hal itu, khususnya ketika cuti hujung minggu atau cuti sekolah. Antara yang terkenal ialah Lebai Pa dan Tok Haji Hassan (yang kemudiannya menjadi bapa mertua abang aku). Waktu itu masih budak-budak lagi aku kalau dibandingkan dengan kawan abangku yang lain.

Walaupun ilmu nahu mereka ini tinggi dan keupayaan bahasa Arab yang mengagumkan, mereka ini biasa sahaja rentaknya. Tidaklah mereka ini mempunyai pengikut atau sebagainya. Yang ada hanya orang yang datang belajar, dan kemudiannya pulang. Kalau rajin, besok sambung belajar lagi. Begitulah.

Di kalangan yang mengajar ini, yang paling tersohor dan dihormati di kalangan kebanyakan orang berguru aliran pondok dan 'kitab tadah' ini ialah Tuan Guru Haji Chik. Beliau ialah anak murid Tok Kenali di Kelantan. Beliau juga menulis kita fekahnya sendiri, selain mengajar beberapa kitab yang lain. Pernah berguru dan mengajar di Mekah. Ulama fekah di Mekah pada masa lalu kenal dan tahu akan ilmu Tuan Guru Haji Chik. Pada masa sekarang pun, kebanyakan pelajar aliran pondok sepatutnya tahu akan beliau. Beliau telah pulang ke Rahmatullah sekitar tahun 2002 atau 2003 lalu ketika di umur 103 tahun (kalau tidak silap).

Tetapi hidup mereka ini biasa-biasa sahaja. Cuma dalam hidup dalam beragama mereka luarbiasa. Mereka tegas dalam memperkatakan sesuatu.

Selain, Tuan Guru Haji Chik - ialah Haji Umar. Beliau beberapa tahun lalu pulang ke Rahmatullah sekitar umur 70-an. Walaupun beliau juga alim, tetapi beliau tidak mengajar. Beliau juga masih terus berulang alik ke rumah Haji Chik untuk belajar. Beliau juga belajar dan mendengar bacaan kitab di rumah teman-teman sebayanya yang lain. Cuma setelah hampir kesemua orang alim meninggal dunia, barulah dia membuka kitabnya dan menyambung tradisi mengajar.

Kita mungkin sering menganggap orang alim ini tidak tahu teknologi IT atau tidak belajar di universiti, maka mereka mungkin tidak setanding dengan graduan universiti. Realitinya tidak. Mereka tahu semuanya. Mereka boleh bersyarah hal Jamaluddin Al-Afghan, boleh memberitahu kita siapa Ibn Khaldun. Apatah lagi untuk berbahas tentang siapa Ibn Timmiyah atau Muhammad bin Abdul Wahab. Bahkan, apabila sampai kepada topik berkaitan muamalat misalnya, mereka boleh bersyarah sejarah penubuhan bank di Malaysia.

Beza aliran pengajian ini dengan pendidikan moden sangatlah banyak. Salah satunya ialah menceritakan salasilah guru. Itulah yang akan dimulai bagi setiap pengajian kitab apa pun. Aku belajar dari guru ini, dan guru ini belajar dari guru ini, dan guru ini pula belajar dari guru ini. Apa perlunya semua ini?

Inilah yang bakal mengelakkan manusia dari kesesatan. Tanpa sanad guru, kita tidak tahu dari mana sumber ilmu itu diambil. Tanpa sanad guru, kita tidak tahu apa aliran yang kita pegang dalam membahaskan fatwa agama. Maka kerana itu, janganlah hairan kalau sekarang ini kita dengar macam-macam. Kita tidak tahu sama ada ia disebabkan pekongsian maklumat, atau ketidaktahuan asas aliran yang mereka pegang.

Dalam hal yang lain - guru-guru ini tidak akan menjawab kalau mereka tidak tahu. Mereka akan berkata, tangguh dulu. Maksudnya, mereka akan cuba bertanya dengan tokoh lain yang tahu, atau merujuk kepada sumber dalam kitab yang muktabar.

Mereka mungkin tidak ada Ijazah dari Al-Azhar. Tetapi mereka belajar lebih dalam. Setiap kali membuka kitab, yang dimulai dengan Bismillah - mereka mungkin mengambil masa 2 jam untuk bersyarah akan ayat itu sahaja.

Sebenarnya itulah bezanya di antara maklumat dan ilmu. Maklumat kita boleh cetak dari internet, dan kemudiannya sebarkan. Tetapi keupayaan menafsir itu memerlukan ilmu. Keupayaan memperkatakan sesuatu perlu bersandarkan sesuatu. Misalnya, dikatakan orang yang membunuh diri akan jadi kafir. Itu maklumat yang kita perolehi. Tanpa ilmu, kita menghukum begitu. Dengan ada ilmu kita mungkin akan memberikan pertimbangan kepada faktor lain juga. Biasanya tidak semua orang mudah membunuh diri jika tidak hilang akal. Orang yang hilang akal tidak tertakluk hukum ke atasnya. Itulah yang membezakan di antara pentafsiran berdasarkan maklumat dan penafsiran berdasarkan ilmu.

Walaupun mereka ini mengajar dan juga belajar, tetapi mereka ini ikhlas dalam hal pengajaran mereka. Ini hal yang bagus. Pernah satu pelajar cuba memberikan wang selesai sahaja majlis pengajian. Maka salah seorang guru yang aku nyatakan di atas berkata - jangan buat begitu lagi. Ambil balik wang ini. Jangan kerana wang ini yang mengajar tidak mendapat pahala, yang diajar juga tidak mendapat apa-apa.

Sayangnya, mereka ini tidak ada lagi. Sekarang ini aliran pengajian ini masih diteruskan. Ia diteruskan oleh anak-anak murid mereka yang lain. Tentunya usia mereka tidaklah terlalu tua seperti mereka. Tetapi mereka tetap tegas dalam memperkatakan sesuatu. Sumber mereka juga sama. Mereka juga akan menceritakan sanad guru mereka setiap kali memulakan satu-satu kitab.

Kalau satu hari nanti anda mempunyai peluang, mungkin boleh mendalami sesuatu. Aku tahu, seperti aku juga - kita kini semuanya sibuk. Walaupun kita tahu hidup kita tidak lama, dan jahil dalam banyak perkara. Moga-moga kita diberikan pertolongan Allah bagi memudahkan kita terus menimba ilmu.

Kita mungkin sedang berada di menara gading atau ada lulusan besar. Ingat, universiti bukan segala-galanya. Universiti mungkin tidak menjawab semuanya. Mungkin jawapannya ada di rumah di belakang perdu pisang di kampung kita. Waktu itu, terasa sangat kerdilnya diri kita.

Update research - Kuala Selangor

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku ingat aku tak mahu menulis panjang-panjang lagi. Aku bohong!

Cik Ann dan pasukannya melaporkan yang kajian mereka di sekitar kawasan ladang di Kuala Selangor mendapat respons yang bagus. Ada dalam 50 orang lebih setakat tadi. Itu berita baik. Ia seperti mendengar berita berapa banyak undi pilihanraya dari satu jam ke satu jam. Ia sama berdebarnya seperti melihat papan saham BSKL.

Aku harap besok mereka akan dapat banyak lagi.

Sebenarnya beberapa minggu lalu aku ada minta bantuan kewangan dari universiti di sini. Mereka cuma beri AUD 700/tahun. Maksudnya maksimum aku boleh dapat AUD 2,100. Tapi aku cuba minta sekaligus. Sebab aku perlu banyak duit untuk buat kajian. Seorang pegawai yang aku hubungi berkata, biasanya hanya maksimum AUD 700 sahaja setiap tahun. Tidak boleh sekaligus. Tapi, dia akan cuba membawa isu ini kepada orang atasan.

Tiba-tiba, dia email aku. Ketuanya setuju beri AUD 2,100 sekaligus. Ini berita baik. Tetapi, ketuanya beri aku pilihan untuk pohon geran yang satu lagi. Aku boleh dapat maksimum AUD 5,000. Sebab dia kata AUD 2,100 itu tak cukup. Hah. Ini pelik.

Di Malaysia - merata jabatan aku cuba bertanya - semuanya cuma beri aku satu pilihan sahaja. Tiada peruntukan! Itu pun, setelah aku diminta hantar proposal, dan emel berkali-kali.

Di sini - aku tidak perlu turun naik pejabat. Cuma sekadar e-mel dan isi borang.

Aku rasa - sampai masanya pentadbiran awam kita juga mengurangkan birokrasi yang banyak ini. Paling utama, berikan pilihan yang baik untuk pengguna.

Untuk Ann dan kumpulannya, jangan takut. kalau bukan kerana wang peruntukan itu pun aku masih ada sedikit wang untuk bayar mereka. Asalkan mereka tidak dapat 1,200 respondent. Itu tentu boleh sebabkan aku jatuh muflis lagi.

Ini berita baik

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Asalnya aku ingat nak bercuti dari menulis panjang dalam blog ini. Pagi tadi, jam 4.00 tiba-tiba aku terjaga dan tak boleh tidur lagi. Kelmarin, sepanjang hari aku mengodek statistik. Dengan kemampuan ilmu yang tak cukup, semuanya jadi buntu. Akhirnya, aku ketuk pintu bilik supervisor aku jam 4.30 petang - minta dia tolong. Selesailah masalah untuk minggu ini harapnya.

Tiada lagi stres.

Tapi - jam 4 pagi tadi, aku buka emel. Hah, ini baru betul berita gembira. "It is a pleasure to accept your manuscript entitled "Lay theory explanation of occupational stress: the Malaysian context" in its current form for publication in Cross Cultural Management: an International Journal".

Ini baru berita gembira dalam stres. Nantilah, aku cari kangaro untuk disembelih.

Friday, 30 October 2009

Entri pendek 2: Hal kekasih lama

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kekasih lama ibarat rokok. Walau sayang, tetap dibuang. Setelah tiada merasa gelisah. Walau dirindu, tak mungkin diambil kembali. Sebaliknya rokok baru yang dicari.

Entry pendek 1: Hal pemimpin

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Berhatilah-hatilah dengan dua jenis pemimpin ini, pemimpin yang zalim dan pemimpin yang jahil. Tetapi anda perlu lebih bimbangkan pemimpin yang jahil, kerana tindakannya boleh merosakkan semua rakyat. Pemimpin yang zalim hanya membinasakan musuh dan penentangnya.

Thursday, 29 October 2009

Menutup kempen - Stres

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sebenarnya aku ingin menulis kaedah menangani stres sebagai penutup Kempen MINGGU TANPA STRES. Bagaimana pun, aku sendiri sedang sangat stres untuk menulis artikel aku yang berkait dengan kemarahan, kemurungan dan lekatan.

Jadi, sebelum survey aku di Malaysia siap - yang perlu dianalisis, diolah dan ditulis lagi - baik aku selesaikan sahaja artikel ini secepatnya. Bulan ini sahaja aku sudah menulis 36 entri, yang rasa aku sudah lebih dari purata 1 hari, satu entri, maka aku menutup kempen tersebut di sini sahaja.

Jadi, gunalah cara anda sendiri untuk menangani stres.

Aku juga sepertinya tidak mahu menulis panjang-panjang lagi sepanjang 30 hari mendatang. Aku mahu bercuti sabatikal dari aktif dalam arena blog.

Aku akan update blog ini seperti biasa, tetapi dengan tulisan yang tidak lebih 30 patah perkataaan setiap hari. Aku harap 30 patah perkataan itu cukup bagi menggambarkan sesuatu.

Itu sahaja.

Stres - menghadapi ketidakpastian

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Siri Kempen MINGGU TANPA STRES

Semalam kami semua dari Work & Stress Research Group makan besar. Supervisor aku dan seorang lagi pensyarah lain baru sahaja berjaya mendapat geran penyelidikan dari Australia Research Council yang jumlahnya menghampiri AU 400,000. Banyak tu. Sebab itu mereka ketawa besar.

Kami semua pakat-pakat makan di Adelaide Club. Mereka yang makan sebenarnya. Aku cuma minum Coke. Sudah habis minum beberapa gelas wine, mereka minum lagi kopi pula. Aku pun order juga secawan kopi. Jangan bimbang, aku tak pernah lagi minum mabuk di Australia ini - di mana-mana tempat juga!

Sungguhpun dalam meraikan kejayaan itu, mereka juga sedang stres. Pusat kami khabarnya akan dipindahkan ke kampus yang satu lagi - di Magill Campus. Jadi selepas ini aku kena naik dua bas. Atau, pilihan lain - aku cuma duduk di rumah.

Mereka stres - sebab pusat kami sekarang berada di port yang paling menarik. Berada di tengah bandar. Lokasinya pula strategik. Tingkat 2, tidak jauh dari surau. Aku juga suka, sebab cuma bersebelahan dengan kawasan Universiti Adelaide. Jadi, senang aku keluar masuk merokok di universiti jiran itu.

Sampaikan ada yang cadangkan - agar kami semua - termasuk aku - akan menjadikan rumah masing-masing sebagai ofis. Semua kerja dilakukan dari rumah. Cuma jika ada mesyuarat, kami akan berjumpa di Adelaide Club. Sebab supervisor aku ada duit geran, dia secara spontan berkata dia akan sewa bangunan lain di sebelah railway station!

Mengapa orang stres bila diminta berpindah? Mereka yang berminat dengan teori perubahan, perlu google nama Kurt Lewin, bukan Kurt Corbain. Sebenarnya orang tidak suka perubahan kerana ia juga merupakan satu ancaman ketidakpastian. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di tempat baru. Kita risau-risau kalau kita mungkin kehilangan kuasa. Kita bimbang kalau kita hilang keselesaan.

Ketika mengajar topik ini dulu - ketika masuk kelas - aku tiba-tiba meminta semua pelajar berpindah tempat duduk. Yang depan ke belakang, yang belakang ke tepi, yang kanan ke kiri. Mereka mula bising-bising. Mereka kehilangan rakan kamceng yang sentiasa ada di sebelah. Mereka terpaksa mengangkat beg dan buku. Semua ini menjadikan kacau bilau.

Kemudian aku tanya - apa yang anda rasa? Mereka menjawab hal-hal ketidakpuasan. Setelah mereka menjelaskan rasa psikologi mereka - aku pun mula bersyarah hal teori Kurt Lewin.

Sebab itu - bagi setiap orang - apabila terpaksa berpindah ke tempat baru (misalnya, kerja), ke alam baru (misalnya, perkahwinan), ke posisi baru (jawatan) - manusia akan stres. Kita tidak mampu menjangkakan apa yang akan berlaku. Kita takut tidak mampu mengadaptasi diri dengan tekanan baru.

Ini dihadapi semua orang - termasuk ahli psikologi yang kononnya arif dan tahu hal jiwa manusia!

Wednesday, 28 October 2009

Stress kerja - apa puncanya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sambungan siri Kempen MINGGU TANPA STRES

Sebagai memenuhi permintaan Isuzu Aizu yang ingin aku menulis hal stres di tempat kerja.

Mengapa orang yang berkerja selalunya stres?

Dalam bidang kami, ada beberapa teori besar bagi menghuraikan hal ini. Para pengoogle yang ingin mencari maksud stress perlu tahu teori ini - Effort Reward Imbalance, Job Demand Control dan yang terkini, yang sedang aku pakai - Job Demands-Resources.

Aku tidak berapa ambil port untuk yang pertama itu. Tetapi yang kedua dan ketiga itu aku tahu. Malah sekiranya anda pengkaji, anda boleh menghantar emel kepada pembuat teori itu. Mereka dengan senang hatinya akan menjawab pertanyaan anda. Jangan bimbang. Mereka tidak banyak protokol.

Aku tidak membincangkan teori-teori ini. Ini cuma blog. Ini bukan jurnal.

Mengapa orang berkerja stres? Jawapan paling mudah - anda kuli!

Pakailah teori apa pun, kuli sentiasa tidak boleh mengawal pekerjaannya. Kuli tidak pernah merasa dibayar setimpal dengan usaha. Kuli sentiasa diarah itu dan ini. Kuli sentiasa dianggap sebagai hamba untuk memenuhi matlamat organisasi (dalam banyak keadaan - matlamat orang atas).

Sebab itu orang yang berkerja stres. Hal bertambah buruk kalau berkerja dengan bos yang tidak pernah merasa menjadi kuli, atau terlupa mereka pernah bergelar kuli, atau terlupa mereka juga sebenarnya kuli kepada orang di atasnya.

Bos yang buruk - biasanya lebih menjaga reputasi perutnya, berbanding logik pekerjaan orang bawahnya. Dalam istilah lain - seperti jurulatih tenis - mereka hanya mementingkan angka di atas papan, berbanding teruknya pemain di atas gelanggang.

Bos yang buruk ini ada di mana-mana. Mereka ini, apabila menghadiri mesyuarat lembaga pengarah - akan cuba menunjuk merekalah manusia hebat. Mereka mahu melaporkan yang baik sahaja. Semuanya kononnya merekalah yang buat.

Mereka akan memaksa kuli untuk melaksanakan tugasan yang kadang-kadang tidak masuk akal. Misalnya, mencatatkan semua panggilan telefon ke atas pelanggan yang telah dibuat, dan laporkan mengapa ada yang tidak mahu membeli barang. Mereka juga ingin kita melaporkan semua aktiviti sepanjang 8 jam kerja dalam format every 15 minutes. Malah, ada yang ingin memasukkan gambar aktiviti yang kita lakukan. Kononnya inilah yang dinamakan Balance Score Card. Kalaulah pencipta sistem ini, Kaplan & Norton tahu hal ini - dia juga mungkin akan pengsan.

Semua ini menjadikan dunia pekerjaan sangat tidak menggembirakan.

Sebagai kuli - kadang-kadang kita dilayan seperti manusia yang tidak ada akal. Kita dianggap seperti tidak tahu apa-apa. Mungkin benar banyak yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu memanipulasi buku lejar agar balance. Kita mungkin tidak bijak dengan hukum pareto 20:80. Ini menjadikan kita walaupun baru lulus dari universiti ternama di Adelaide, tetapi dilayan seperti budak sekolah baru lulus SPM. Ini semua menjadikan kita sangat terhina dan merasa sangat tertekan.

Dalam banyak situasi -kelemahan utama para kuli, kita tidak tahu cara membodek bos. Kita tidak mahu membodek bos, dengan anggapan bahawa kita bukan kuli. Kita tidak merasa diri kuli kerana kita ada ijazah universiti, ada anugerah dekan dan pernah digelar pelajar terbaik Asia Tenggara. Kita silap. Selagi kita berkerja dengan orang, kita bukan bos. Kita masih kuli.

Kebodohan kuli ini pun banyak juga. Mereka mengetuk bilik bos pada jam 9.00 pagi untuk mencerita hal buruk, hal masalah. Ingat, bos tidak suka mendengar berita buruk pada waktu pagi. Apatah lagi waktu itu mereka sedang sibuk membaca e-mel dan menggoogle portal politik.

Jadi, sebagai kuli - anda kena bijak. Kalau ingin bertemu juga dengan bos, mulakan dengan berita baik dahulu. Tunjukkan bahawa anda telah siap melakukan 50 kerja petang kelmarin, dan balik jam 2.50 pagi. Bos suka mendengarnya.

Kalau ingin menceritakan hal buruk yang tidak urgent, anda sepatutnya memberitahu pada jam 5.00 petang, pada waktu orang sedang kelam kabut hendak balik. Dengan cara ini, bos anda akan memberitahu - oklah, esok kita bincang. Ia lebih baik daripada anda memberitahu hal buruk jam 9.00 pagi, dan dia akan moody sepanjang hari.

Satu lagi perkara yang menyebabkan kuli selalu stres. Walaupun dia berkerja 7 hari seminggu selama 24 jam, tanpa orang mengetahui anda berkerja kuat, anda tidak akan dinaikkan pangkat. Jadi - rajin-rajinlah tunjukkan muka anda. Rajin-rajinlah bertanya bos anda hal yang anda sebenarnya sudah lama tahu - sebab ini akan menjadikan anda seolah-olah seorang yang kuat berusaha. Bos juga merasa dia seorang yang pandai.

Dengan cara itu - anda akan lebih mudah naik ke atas. Anda pula bakal menjadi sumber stres kepada pekerja lain.

Contagion effects - ilmu baru yang patut anda tahu

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sebagai menyambung Kempen MINGGU TANPA STRES


Anda pernah dengar istilah ini - "Contagion Effects"? Anda mungkin jarang mendengarnya, walaupun anda selalu melaluinya. Melainkan anda memang terdidik dalam bidang yang berkaitan dengannya.

Tahukah anda bahawa stres atau apa sahaja penyakit psikologi lain (misalnya kemurungan, kebimbangan) sebenarnya boleh dipindahkan kepada orang lain tanpa disedari. Seorang isteri yang tertekan di tempat kerjanya akan pulang ke rumah dengan muka masam, mulutnya bising-bising, dan tingkahlaku yang janggal. Hal ini dilihat oleh suami dan anak-anaknya. Mereka tidak berani untuk menegur melihat kepada wajah yang muram dan tingkahlaku yang pelik itu. Tanpa disedari, suami dan anak-anak di rumah juga menanggung stres.

Begitu juga - tatkala di pejabat. Ada rakan anda yang baru sahaja dimarahi pengurus. Mukanya masam. Mulutnya kumat kamit merungut. Dia menghentakkan fail. Dia bercakap dengan suara yang kasar. Anda di sebelahnya juga akan stres. Inilah yang kita namakan sebagai 'contagion effects'.

Kajian makmal yang dilakukan telah menempatkan seorang remaja normal dengan sekumpulan remaja yang ada kecenderungan membunuh diri. Selepas beberapa hari tinggal bersama, pelajar normal tadi diuji. Nampaknya dia juga akhirnya ada kecenderungan membunuh diri.

Ini hal pelik. Tapi kepelikan itulah yang menjadikan bidang psikologi itu muncul.

Jadi, sekiranya anda stres, cubalah sedaya mungkin yang boleh mengawal riak wajah dan perlakuan anda. Agar ia tidak menjangkiti teman-teman atau ahli keluarga anda. Kalau boleh, jangan menziarahi orang sakit pada saat anda sedang sangat tertekan. Ia tidak membantu mereka yang sakit. Bahkan, menambahkan kerunsingan mereka.

Anda pernah alami 'contagion effects'? Atau sekarang ini anda sedang memindahkannya kepada orang lain? Sebagaimana yang sedang aku lakukan untuk memindahkan tekanan yang aku hadapi kepada orang lain melalui tulisan-tulisan minggu ini!

Tuesday, 27 October 2009

Tekanan - tonik kejayaan manusia

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku diminta menulis sesuatu oleh group Lingkaran Sahabat Sastera bagi tujuan penyediaan majalah mereka. Jadi sesuai dengan khalayak pembaca, aku menulis dari sudut yang lain. Agar anak-anak muda yang membacanya tidak patah semangat dan putus asa. Aku tidak menggunakan 'aku' dalam tulisan ini. Minggu ini, blog ini akan berkempen - "MINGGU TANPA STRES'.

Stres atau tekanan selalu dilihat sebagai negatif. Kajian-kajian yang dilakukan juga cenderung untuk menukilkan tekanan sebagai sesuatu yang tidak diinginkan. Realitinya, stres tidak hanya menjelma sebagai satu konotasi buruk yang merosakkan. Pandangan ini mula dijelmakan dengan munculnya aliran psikologi positif
(misalnya, Seligman & Csikszentmihalyi, 2000, Schaufeli, 2004).

Bagi kebanyakan pelajar universiti, mereka menanggapi bahawa tekanan belajar adalah pengalaman buruk yang perlu dilalui setiap hari. Ia bermula sejak hari pertama lagi apabila pensyarah mula mendedahkan mereka dengan konsep baru yang tidak difahami. Dalam keadaan kebanyakan perkara masih lagi kabur, mereka kemudiannya ditimbunkan pula dengan tugasan yang bermacam-macam.


Ada tugasan yang bersifat individu, ada yang bersifat berkumpulan. Kedua-dua tugasan ini ada bentuk tekanannya juga apabila tidak semua ahli kumpulan berkerjasama, dan ada yang hanya sekadar
curi tulang. Tugasan individu mungkin mampu menangani masalah ini. Bagaimana pun, ia ada kelemahannya. Tidak semua perkara mampu kita fikirkan seorang diri. Kita juga perlukan orang lain bagi membantu menghasilkan laporan yang baik.

Peperiksaan - adalah kosa kata yang sangat digeruni. Ia dianggap sebagai
kayu sula yang menentukan hidup mati para pelajar universiti. Tidak ramai yang cuba menafsirkan bahawa peperiksaan adalah peluang untuk mereka membuktikan kepada orang lain - bahawa inilah padang sebenar untuk mereka menguji diri dan menunjukkan keupayaan.

Tidak ramai yang cuba melihat peperiksaan dari sudut positif. Hakikatnya, tanpa peperiksaan pun mereka akan diuji juga dengan cara lain. Jadi - pelajar tidak ada pilihan. Universiti itu sendiri adalah padang ujian. Setiap hari, setiap masa. Itulah yang membezakan manusia yang memasuki universiti dengan yang tidak. Itulah yang menjadikan lulusan universiti dihormati. Semakin besar ujian yang ada dalam sistem universiti, semakin kagumlah orang dengan graduan. Sebab itu, graduan Harvard, Cambridge atau Oxford ditanggap dengan pandangan lain oleh masyarakat - sekalipun orang yang menanggap itu tidak pernah pun belajar di universiti
.

Tekanan belajar - sebenarnya diperlukan. Manusia tidak boleh hidup tanpa tekanan. Tekanan itulah yang memotivasikan seseorang untuk bergerak lebih baik. Istilah-istilah baru yang muncul seiring dengan konsep tekanan seperti
engagement, flow, vigour atau thrive adalah bukti bahawa manusia sebenarnya memerlukan tekanan.

Tekanan inilah yang membolehkan seseorang terus duduk mengulangkaji buku tanpa menghiraukan rakan sekelilingnya. Tekanan inilah yang memaksa manusia berfikir secara inovatif bagi mendapatkan keputusan yang paling baik. Tekanan inilah yang menyebabkan manusia menemui teknologi baru yang tidak pernah difikirkan sebelumnya
.

Tanpa tekanan - ia mungkin akan menjadikan dunia ini serba kosong
.

Bayangkan - kita ke bilik kuliah tanpa tekanan. Tugasan yang diberikan juga tidak dianggap sebagai tekanan. Peperiksaan dianggap sebagai majlis tidak formal untuk menulis dan mengira sahaja.


Jadi - apa yang kita dapatkan? Kita mungkin tidak melakukan apa-apa pun. Ini hanya bakal menjadikan universiti seperti taman bunga untuk kita berehat dan berhibur. Hakikatnya tidak. Universiti adalah makmal kehidupan sebelum kita melangkah ke alam pekerjaan dan realiti hidup yang lebih keras dan menakutkan
.

Sebab itu - apabila anda berasa tertekan - anggaplah ia sebagai satu cabaran. Jangan melihat tekanan dari sudut yang negatif. Manusia pada setiap masa telah membelanjakan wang yang banyak bagi mendapat cabaran. Ada yang melakukan pelayaran solo di tengah lautan, ada yang melakukan payung terjun beribu kaki dari udara, atau ada yang berani merentas dingin cuaca Kutub Selatan. Semuanya hanya kerana bagi memuaskan naluri kepuasan mendapatkan cabaran.


Jadi - tatkala orang lain membayar harga yang mahal - para pelajar juga semestinya melihat proses pengajian mereka sebagai satu bentuk cabaran - yang boleh didapatkan setiap hari. Tidak semua orang berpeluang mendapatnya.


Menjadi masalah - ialah kerana tekanan yang dihadapi itu dilihat sebagai beban yang sangat besar. Mereka melihatnya sebagai tidak ada jalan penyelesaiannya lagi. Inilah yang menjadikan tekanan itu tidak berguna lagi. Inilah yang menjadikan tekanan sebagai merosakkan. Ada orang yang pada akhirnya mengalami gejala penyakit psikologi - seperti kemurungan, kebimbangan, dan ada juga yang membunuh diri.


Penyakit fizikal seperti lemah jantung, kencing manis dan darah tinggi juga adalah simptom yang dihadapi oleh mereka yang tidak mampu menangani tekanan dengan baik
.

Paling utama - ialah bagaimana minda kita mampu melakukan proses penyaringan dan penafsiran secara positif. Itulah yang bakal menjadikan tekanan itu sama ada membantu manusia untuk mencapai cita-citanya, atau bakal menyebabkan mereka tersadung di tengah jalan. Ingat - tidak akan ada seorang pun pemandu Formula One yang akan menjadi juara jika mereka tidak melihat pesaingnya sebagai tekanan. Kalau bukan kerana kesanggupan menghadapi tekanan pengurusan kelab, penaja dan peminat, tidak ada pemain bolasepak yang akan dibayar gaji jutaan ringgit seminggu.


Tekanan -bukan sekadar racun negatif. Tekanan - juga adalah tonik kejayaan manusia.

Stress - bersiap sedialah untuk mati

10 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Stress boleh bawa mati ke? Budak-budak universiti bertanya. Kami selalu stress, tak mati pun. Stress exam, stress assignment, stress experiment tak menjadi. Hari-hari kami stress. Relaks jer. Hari-hari boleh ke Rundle Mall. Celah-celah tu sempat lagi ke Melbourne jalan-jalan. Boleh balik kampung pergi Sogo, singgah Reject Shop. Sempat lagi dapat awek baru di kampung. Tak mati pun.

Itu stress lain. Itu bukan stress sebenarnya. Cuma pening lalat. Dalam setahun, hanya berapa kali sahaja budak universiti stress. Hantar assignment, legalah stress. Experiment tak jadi, godek-godek wayar sikit, manipulate data sikit, stress dah hilang. Budak sekolah pun sama juga. Cuma dua tahun sekali baru stress. Itu bila ada exam besar.

Tetapi - orang berkerja lain. Orang bisnis lagi teruk. Di kilang, hari-hari bos Jepun tanya, apasal tak capai target. Lalu depan superintendent, dia tanya lagi - 'kau tidur ke, tak reti jaga budak-budak'. "Apasal kau tak capai target'. Lalu depan budak-budak operator - Hari ini kami tak larat la. Besok la, kami pulun bagi dapat target"

Ada orang kerja, tak habis di ofis bawa balik rumah. Kadang-kadang jam 1 pagi masih melangut depan komputer. Dia lupa ada anak bini di rumah. Bila balik rumah, tengok-tengok suami dah bawa balik orang baru. Atau isteri dah lari ikut Bangladesh jual karpet. Waktu itu baru bertambah stress. Baru tahu langit itu selalu tinggi.

Orang bisnis lagi teruk. Surat bank dah boleh buat kertas recycle. Surat along jangan tanya lagi. Itu belum tahap customer cari depan rumah. Ada kereta yang kena tarik. Rumah kena sita. Anak kena culik. Pasport kena tahan. CITOS black-list nama. Hutang dah banyak. Nak pinjam lagi dah tak boleh. Kontraktor dah lari. Pekerja pula dah bising-bising nak minta naik gaji.

Sampai satu tahap, nampak bangunan bank pun dah terlebih takut berbanding nampak hantu langsuir. Tiap-tiap hari mimpi yang sama - hutang, hutang, hutang. Itu baru betul-betul stress. Bukan pening lalat lagi.

Stress sebenarnya tidak bawa mati. Yang bawa mati ialah kerana stress mengaktifkan penyakit lain. Stress --> darah tinggi ---> stroke ---> mati. Stress --->sakit jantung --->mati. Stress --->depression ---> terjun bangunan --> mati.

Sebab itulah, dalam statistik, kena pakai Amos. Ini bagi memudahkan mengira kesan mediator. Apa hubungannya di antara X dan Y dalam hubungan Z.

Inilah yang sebabkan stress bawa mati. Sebab itulah, jangan ingat stress macam bisul. Bisul cepat hilang. Stress boleh terbawa-bawa dalam mimpi. Makan lauk daging pun kadang-kadang terasa macam makan ikan tamban.

Adakah hanya orang berkerja sahaja stress? Tidak juga. Orang yang sepatutnya sudah berkerja, tetapi tidak ada kerja juga stress. Begitu juga orang yang berkerja tiba-tiba hilang kerja, itu lagi stress.

Anda stress? Kalau begitu, bersiap sedialah untuk mati!

Monday, 26 October 2009

Pesan untuk budak-budak

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ketika aku di bangku sekolah lagi, aku sudah melihat kelibat anak-anak saudaraku. Pada tahun 1988, aku melihat anak kakakku yang pertama. Ketika itu baru lahir. Kemudiannya, aku melihat munculnya beberapa orang lagi anak-anak kecil yang lain dari kakak dan abang-abangku yang lain.

Sekarang ini jumlah mereka sudah banyak. Aku tidak boleh menjawabnya secara spontan kalau ditanya secara mengejut. Aku perlu membilangnya satu persatu. Itu pun belum tentu betul.

Sebenarnya, aku mengharungi usia ini bersama-sama dengan proses pembesaran dan pendewasaan mereka. Aku boleh mengingati banyak detik hidup mereka.

Aku juga selalu bergusti dengan mereka, khususnya anak-anak saudara lelaki. Mereka meminati Stone Cold. Aku tidak tahu ejaan itu betul atau tidak. Aku tidak berminat dengan gusti. Aku hanya menontonnya pada zaman sebelum ada VCD lagi. Itu zaman Hulk Hogan. Itu zaman Mancho Man. Itu zaman Superfly.

Sedari kecil, aku memerhatikan mereka. Setiap kali bersalam dengan mereka, mereka pasti akan diketuk di bahagian umbun-umbun kepala. Itulah adalah trademark aku. Tujuan aku mengetuknya ialah agar mereka tahu bahawa mereka itu sebenarnya hanyalah 'budak' dari kacamata aku. Sampai sekarang, sebesar mana pun mereka, mereka akan juga diketuk umbun-umbunnya.

Sekarang ini mereka sudah membesar panjang. Yang kecil hanya beberapa orang sahaja lagi. Hanya dengan kumpulan ini aku masih boleh bergusti.

Yang lainnya, sudah besar panjang. Ada yang bersekolah menengah. Ada yang di universiti. Ada yang di matrikulasi. Usia emas seperti mana aku mula mengenal mereka dahulu.

Tetapi - sekalipun aku tidaklah lagi memerhatikan mereka secara dekat lagi - tetapi aku memerhatikan mereka dari jauh. Aku tahu sifat mereka. Ada yang baran. Ada yang pendiam dan memendam rasa. Ada yang riang. Ada yang pemalas. Ada semuanya. Aku tahu walaupun mungkin mereka tidak tahu. Tetapi tidak kisahlah, setiap manusia ada personaliti masing-masing.

Ada juga yang mungkin sedang merokok di sekolah. Mereka ini patut berhenti. Melainkan kalau mereka sering dapat nombor satu dalam kelas. Kalau selalu dapat nombor corot, merokok pula, tidak ada satu perkara pun yang boleh dibanggakan.

Bagaimana pun, ada satu ingatan aku untuk mereka. Jadilah diri sendiri di mana pun anda berada. Jangan sesekali berhasrat menjadi orang lain. Biarlah orang lain punk, tetapi kita biarlah dengan cara kita. Biarlah orang lain berfoya-foya kerana ada banyak duit, kita mesti tetap dengan diri kita - kerana itulah kita sebenar. Usah menyusahkan diri untuk menjadi orang lain.

Salah satu perkara lagi untuk menjadi diri sendiri - pastikan kita sentiasa ada kelas tersendiri dalam pelajaran. Itulah yang akan menentukan siapa kita.

Sunday, 25 October 2009

Selamat menempuh peperiksaan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat malam Adelaide. Jam 8.44. Hari yang dingin, angin yang keras.

Sebenarnya itu sebahagian dari kehidupan kita juga. Adakalanya kita gembira, adakalanya tidak. Kadang-kadang mood kita riang, kadang-kadang kelihatan celaru. Ada hari yang kita dingin, ada hari yang kita hot.

Sekarang ini musim peperiksaan bagi pelajar di Adelaide. Aku tidak pasti pelajar di tempat lain.

Menghadapi musim peperiksaan tidaklah menakutkan. Cuma membimbangkan. Perasaan bimbang itulah yang menjadikan adakalanya seseorang itu berjaya atau gagal. Ada orang, yang tanpa kebimbangan - menjadikan mereka tidak berusaha. Akhirnya gagal. Ada orang, kerana bimbang itu - menjadikan mereka gelisah. Semua perkara tidak menjadi. Tidur tidak lena, membaca pun tidak. Hasilnya, mereka gagal.

Jadi - dalam hidup, perlu ada sedikit kebimbangan.

Italic
Dalam hidup, berapa kerap anda bimbang?

Jangan katakan tidak. Banyak perkara yang kita bimbangkan.

Manusia yang berpersonaliti type A, inginkan semuanya menjadi. Inginkan semuanya dengan cepat. Kuat berusaha. Malangnya, kumpulan manusia ini cepat cemas. Cepat gelabah. Inilah racun yang bakal merosakkan mereka. Inilah racun yang wujud di celah-celah madu kegigihan mereka.

Ada pula kumpulan manusia yang dikategorikan sebagai type B. Bagusnya mereka ini lebih sabar. Tidak gelabah. Cool. Itu sisi baiknya. Tetapi, kerana cool itulah mereka adakalanya tidak gigih. Semuanya dianggap mudah. Mereka juga boleh cenderung untuk gagal juga. Kerana semuanya dilihat mudah. Tetapi sisi kuat mereka - mereka ini tabah. Itulah yang diperlukan.

Jadi - untuk berjaya, tidak boleh terlalu cool. Tidak juga boleh terlalu eager.

Jadi personaliti apa yang lebih baik? Tidaklah kedua-duanya baik atau buruk. Ia sama sahaja. Ada sisi buruk dan baiknya. Cuma, kalau kita mampu mengadaptasi kedua-duanya tentulah sangat baik.

Selamat menempuh peperiksaan.

Saturday, 24 October 2009

Nik Aziz, Tian Chua dan politik Malaysia

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Nota: Ini bukan perbincangan politik.

Ada dua berita besar yang sedang berlegar dalam senario politik Malaysia saat ini. Anda yang meminati politik sudah tentu membacanya. Bagi yang tidak berminat dengan politik, jangan hiraukannya. Teruskanlah dengan pekerjaan anda.

Nik Aziz dianggap tokoh ulama penting dalam PAS. Ia bukan sahaja pemimpin yang deihormati dalam partinya, tetapi juga di antara Menteri Besar yang bertahan lama. Ketika semua negeri dipimpin oleh Barisan Nasional, hanya Nik Aziz seorang sahaja mampu membuktikan bahawa dia mampu melakukan sesuatu yang terbaik untuk partinya.

Nik Aziz - dia bersuara sejujurnya. Mungkin, tidak ada pemimpin politik yang sehebat beliau dalam hal menyuarakan pandangan. Beliau tidak menyembunyikan apa-apa. Dia menyuarakan apa sahaja yang pada pandangannya adalah betul, walaupun ia mungkin memberikan kesan tidak baik terhadap partinya. Tetapi itulah Nik Aziz. Bukan sekali atau dua kali dia mengeluarkan pandangan yang dianggap kontroversi, bahkan berkali-kali.

Terbaru - kritikan beliau terhadap beberapa pemimpin dalam PAS yang dianggap beliau sebagai sedang menjadi duri dalam daging dalam isu kerajaan perpaduan. Mereka yang dikritik ini bukanlah ahli biasa, atau pemimpin peringkat bahagian. Mereka yang dikritik ini termasuklah presiden parti dan naib presiden. Ini hal luar biasa. Tidak ramai manusia yang berani mengkritik orang atasannya. Apatah lagi dalam konteks budaya Asia dan 'jarak kuasa' yang tinggi seperti Malaysia.

Tetapi itulah yang menjadi seseorang itu dianggap pemimpin. Sifat utama pemimpin ialah prinsip. Ingat - prinsip. Tanpa prinsip, lebih baik anda menjadi pengemis sahaja.

Pemimpin mesti ada ciri uniknya. Pemimpin mesti berani menanggung risiko. Pemimpin sentiasa lain dari orang bawah. Anda boleh membezakan di antara pemimpin dan pengikut dalam konteks apa pun, sekalipun anda tidak kenal mereka. Kalau anda seorang yang berminat membaca buku, carilah buku Gary Yukl.

Tian Chua - mungkin bukan sesiapa kalau dibandingkan dengan Nik Aziz. Dia hanya pemuda Cina biasa sahaja. Bekas penyelidik bagi sebuah NGO di Hong Kong.

Tetapi itu dahulu. Dia juga dilihat pemimpin bagi yang meminati cara beliau menempuh gelojak politik tanahair. Pada era reformasi tahun 1990-an, dari seorang yang bukan sesiapa - beliau tiba-tiba muncul karektor pejuang anak muda. Beliau berani tidur di hadapan trak polis yang sedang bergerak, dan tentulah berkali-kali juga disembur dengan gas pemedih mata.

Apabila beliau dikatakan menggigit telinga seorang anggota keselamatan, itu bukanlah hal yang pelik bagi anak muda sepertinya. Tetapi itulah ciri uniknya. Ciri uniknya ialah keberaniannya dalam hal-hal seperti itu. Dia mungkin bukan pemidato hebat, bukan juga seorang yang hebat berkata-kata. Cuma kerana keberaniannya, beliau dianggap sebagai memiliki sifat pemimpin.

Bekas Perdana Menteri kita - Tun Mahathir juga ada sifat uniknya. Tidak ada orang yang berani dan sekerasnya dalam mengambil tindakan politik. Tentu tidak ada pemimpin lain dari negara Asia yang berani mengambil tindakan memboikot produk Britain - apatah pada waktu itu dipimpin oleh orang yang besar juga - Margaret Tatcher. Tun Mahathir jugalah yang mengkritik Tunku Abdul Rahman sehingga beliau dipecat dari parti.

Tetapi itulah pemimpin. Pemimpin mesti berani dan ada prinsip.

Sekarang ini berapa banyak pemimpin seperti ini? Banyaknya yang hanya baling batu sembunyi tangan, atau sekadar bersembunyi di tabir poket si anu itu dan ini. Kalau anda berminat dengan filem, tontonlah Scent of a Woman, lakonan Al-Pacino. Lihatlah bagaimana sifat pemimpin itu dibentuk dan dibina.

Tentulah, dari zaman ke zaman - pemimpin akan datang dan pergi. Pemimpin baru akan juga dilahirkan. Bagaimana pun, setiap pemimpin mesti ada sifat uniknya yang tersendiri. Jika tidak, pemimpin itu hanya mampu bersifat sebagai pemimpin di atas kertas.

Dipuja semasa berkuasa, dicerca semasa kuasa mula meninggalkan dia. Inilah yang membezakan di antara pemimpin dan pengurus.

Nota: jika ada masa, nanti kita kendalikan program kepimpinan lagi. Kita lihat apa ciri yang perlu pemimpin miliki.

Adelaide jam 5.59 petang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Petang, 5.59 jam Adelaide. 2 jam lebih cepat dari waktu Malaysia.

Adelaide pada hari minggu tidaklah seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan Masjid India di Kuala Lumpur. Tidak ada apa-apa di Adelaide. Adelaide, ibarat tempat transit sebelum mati. Kebanyakan penduduknya ialah warga tua. Kebanyakannya ialah mereka yang ingin mengisi hidup persaraan. Tidak banyak orang muda yang berangan-angan untuk hidup di Adelaide. Mereka lebih cenderung ke Melbourne atau Sydney.

Sebab itu - jarangkali kita mendengar ada pelancong dari Malaysia yang ingin berkunjung ke sini tanpa sebab. Melainkan kalau ada anak mereka belajar di sini, atau atas urusan pekerjaan.

Adelaide - tidak ada salji di sini. Tidak ada kawasan pergunungan indah. Tidak ada panorama indah seperti di Great Ocean Road. Anda boleh menghabiskan masa tidak sampai 2 jam untuk mengelilingi bandar Adelaide.

Jika satu hari nanti, anda berangan-angan untuk datang ke Adelaide, baik anda berfikir banyak kali. Lainlah kalau tujuan anda datang untuk berjumpa dengan aku.

Kuil, agama dan politik

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda memandulah kereta dari sepanjang jalan dari Sungai Buloh, melewati ladang kelapa sawit menuju ke Ijok dan teruskanlah lagi perjalanan itu ke Sabak Bernam. Dari Sabak Bernam, anda teruskanlah pemaduan itu menuju ke persimpangan Bagan Dato dan seterusnya ke Lumut. Cuba anda bilang berapa banyak kuil yang telah dibangunkan?

Kita tidak berhasrat untuk menghalang penganut agama lain menjalankan aktiviti keagamaan. Tetapi, kita juga tidak berfikir setelah begitu banyak kontroversi demi kontroversi, kuil terus dibangunkan tanpa sempadan. Harus ada mekanisme bagi mengawal dan mendirikan kuil. Harus ada keizinan dari pihak berkuasa berkaitan.

Sungguhpun Islam adalah agama rasmi negara, tetapi nampaknya membangunkan masjid atau surau tidaklah semudah yang disangka. Ada peraturan yang harus diikuti. Secara logiknya, di negara Islam - peraturan itu tidak ada. Bagaimana pun, inilah kelebihan kita. Kita mengatur hidup manusia sesuai dengan fikrah beragama. Setiap perkara ada batasnya. Setiap perkara ada hadnya.

Kita tidak begitu pasti - adakah kuil yang dibangunkan itu atas dasar agama atau atas dasar politik? Ada kawasan yang penduduknya sangat sedikit, khususnya di kawasan ladang, akan kelihatan ada kuil yang dibangunkan. Siapakah yang datang ke kuil untuk beribadat?

Siapa pula pemberi dana pembangunan kuil tadi. Pekerja ladang hidupnya susah. Gaji mereka tidak banyak. Mustahil untuk mereka mempunyai wang yang sebegitu banyak bagi membangunkan kuil tadi tanpa ada sokongan pihak lain. Kalau begitu, siapakah pihak tadi? Adakah pembangunnya adalah ahli politik yang rindukan pengaruh, atau orang agama komuniti?

Mengapa setiap kali tercetusnya kontroversi, yang akan bercakap dahulu ialah ahli politiknya. Mengapa bukan tokoh agama berkenaan.

Sewajarnya isu meruntuhkan kuil bukanlah kontroversi jika ia dikawal selia sejak dari mulanya lagi. Tidak harus kuil dibangunkan di mana-mana sahaja tanpa makluman kepada pihak berkuasa, khususnya dalam keadaan pembangunan itu menggunakan tanah kerajaan.

Pihak berkuasa juga, harus bersiap untuk memantau perkara ini. Tindakan harus diambil sebelum kuil menjadi besar dan memenuhi satu bukit, atau menjangkau pohon. Jangan disangka kerana ia kuil, ia mempunyai imuniti dan tidak boleh disentuh. Jangan sangka ini tandanya kebebasan beragama. Tidak, setiap perkara ada batasnya.

Pemimpin komuniti juga ada peranannya. Jangan bina pengaruh anda hanya sekadar mendirikan kuil. Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan agar ia tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

Anda datanglah ke Australia. Pernahkah anda lihat rumah ibadat dengan mudahnya dibangunkan di sana sini. Mengapa tidak pernah ada orang berkata mereka ini tidak demokratik, anti kebebasan agama atau kuku besi. Pasti, ahli politik yang banyak bercakap tadi juga sudah ratusan kali ke luar negara dan tahu hal itu.

Ingat, kebebasan beragama tidak bermakna anda bebas mendirikan kuil di sana sini. Seperti juga kebebasan berpolitik tidak bermakna anda boleh pergi mengundi setiap hari.

Friday, 23 October 2009

Beza orang pintar dengan orang lain

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kalau anda terpedaya dengan tulisan aku sebelum ini, anda tidak pintar!

Benar, orang pintar tidak berpeluang dan tahu dengan banyak perkara. Tetapi, kebanyakan peluang itu sebenarnya tidak diperlukan pun dalam hidup mereka. Orang pintar mesti membezakan hidup mereka dengan orang kebanyakan. Ibarat seekor helang yang terbang tinggi. Orang kebanyakan ialah layang-layang. Jumlahnya banyak. Walaupun terbang dekat dengan mata kita, tetapi tidak ada orang menghiraukannya. Tetapi helang yang seekor itulah yang dikagumi orang.

Tidak perlu pun orang pintar mengetahui cara menjerat pelanduk, mendapatkan rebung dari buluh atau mengemaskini harga ikan. Itu bukan perkara besar bagi orang pintar. Tidak ada guna sedikit pun mengetahui cara menjerat pelanduk dalam persekitaran semua hutan bertukar bandar. Rebung boleh dibeli dari pasar sahaja. Jadi tidaklah perlu orang pintar membuang masa. Sebagai orang pintar, anda boleh menyuruh orang lain membeli ikan untuk anda.

Mengetahui bagaimana kelakuan orang jahat di dalam masyarakat mungkin diperlukan. Tetapi tidak semestinya juga. Ingat, situasi orang berubah, dan cara masyarakat melakukan devian sosial juga berubah. Tatkala orang pintar tahu bahawa penjual burger bertukar jual beli dadah, para penjahat ini sudah menggunakan kaedah lain pula. Jadi tidak perlu pun orang pintar mengetahui selok belok kejahatan dalam masyarakat.

Mengetahui adanya ulat motor yang boleh membawa kita ke Thailand tanpa pasport juga tidak perlu. Mengapa harus menggunakan jalan salah kalau ada cara lain? Menggunakan cara salah hanyalah perbuatan orang bodoh. Menggunakan perkhidmatan ulat motor bermakna kita menyumbang kepada rasuah. Ulat motor ini merasuah pihak berkuasa di kedua-dua buah negara bagi membolehkan mereka beroperasi. Jadi, jangan benarkan rasuah bermaharajalela. Orang pintar tidak akan melibatkan diri dengan hal itu.

Lagi pula, kalau tertangkap di Thailand, orang pintar akan merana. Merengkuk di penjara Thailand yang sempit, makan nasi dan kangkung menyebabkan banyak orang menderita penyakit. Jadi jangan pilih cara bodoh.

Memulakan perbualan secara 'sekema' dan 'belia' dengan orang kampung memang diperlukan. Inilah yang dilakukan ahli politik. Mereka bercakap mengenai agro-tech, bio-tech atau nano apabila berucap di khalayak orang ramai. Mereka juga menggunakan istilah ekonomi 'menguncup' atau 'kenaikan index matawang' di hadapan orang kampung. Ini menjadikan orang kampung yang tidak faham apa-apa sangat teruja. Mereka sangka si pengucap itu orang yang pintar. Ini jugalah menjadikan orang kampung sangat teruja dan sangat menghormati orang politik.

Jadi - orang pintar harus bercakap dengan cara itu. Biar orang kampung tahu kita lain dari yang lain.

Jadi - sebagai orang pintar, tugas anda bukanlah untuk tahu semua perkara. Tugas anda ialah memanipulasi orang yang tidak tahu. Inilah yang telah terjadi dalam kehidupan kita. Sebab itulah emak dan ayah kita tidak mahu kita menjadi orang yang bodoh. Mereka tahu benar, orang bodoh selalu akan bernasib malang dan dipermainkan orang!

Itulah yang bakal membezakan orang pintar dengan yang tidak.

Thursday, 22 October 2009

Siapa kata menjadi pintar menguntungkan?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap daripada kita - selalu bercita-cita ingin menjadi orang yang pintar. Kita juga kalau boleh semua anak-anak kita mendapat nombor satu dalam kelasnya. Kalau boleh juga, mereka menjadi yang paling baik dalam negara.

Adakah orang pintar selalu untung? Kita selalu melihat sisi baiknya sahaja. Orang pintar dihargai dan disayangi. Orang pintar mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke universiti, dan kemungkinan mendapat pekerjaan yang baik. Orang pintar jarang menjadi pekerja bawahan. Mereka juga dihormati orang lain. Pandangan mereka didengar.

Itu adalah antara sisi baik orang pintar. Sebenarnya banyak sisi buruk orang pintar yang kita tidak tahu.

Orang pintar biasanya adalah mereka yang terpilih. Dengan kedudukan yang baik dalam peperiksaan, mereka biasanya terpilih untuk memasuki sekolah asrama. Hidup mereka cuma bergaul dengan manusia yang baik seperti mereka. Mereka jarang berpeluang untuk menikmati makna hidup yang sebenarnya seperti orang lain.

Tamat sekolah, sekali lagi mereka terpilih mengikuti pengajian ke universiti. Sekali lagi hidup dalam kelompok orang seperti mereka. Mereka hanya kenal dunia buku, teori dan formula.

Jika pulang kampung bercuti sekalipun, bagi menjaga prestasi mereka, mereka lebih banyak berkurung di rumah. Mereka menghabiskan masa membaca buku atau menonton televisyen. Mereka juga takut untuk didekati oleh rakan-rakan sebaya mereka yang 'biasa-biasa' sahaja. Hasilnya, mereka tidak mampu mengadaptasi diri dengan realiti tipu daya kehidupan manusia.

Inilah sisi buruk mereka. Mereka mungkin tidak tahu berapa harga sekilo ikan yang dijual di pasar. Mereka juga mungkin tidak tahu bagaimana proses orang menanam pokok padi. Sepintar mereka pun, juga tidak mustahil kalau mereka tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan rebung dari pohon buluh. Atau ada yang mungkin tidak tahu bahawa rebung itu berasal dari buluh.

Orang pintar juga tentu tidak tahu bagaimana menahan jerat pelanduk, atau menggunakan 'getah tikus' untuk menjerat burung yang mandi di lopak air di musim kemarau.

Kerana pergaulan yang terbatas, orang pintar juga tidak didedahkan dengan kejahatan manusia. Mereka mungkin tidak tahu ada juga orang bertukar beli dadah ketika membeli burger. Orang pintar juga mungkin tidak tahu puluhan nama dadah yang ada dalam pasaran.

Sulit juga untuk mereka tahu bahawa ada cara-cara lain orang membalas jasa orang berkedudukan yang memberi projek dengan cara yang sangat halus - misalnya menjemput orang tersebut memberikan ceramah. Ceramah ini pula dibayar dengan upah yang besar. Ia tidak kelihatan sebagai rasuah, kerana cara pemberian itu berbentuk upah.

Banyak lagi perkara yang orang pintar tidak tahu. Mereka juga mungkin tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan dengan masyarakat luar. Mereka mungkin tidak tahu bahawa orang kampung tidak suka bercakap hal-hal yang bersifat 'belia' atau 'skema' yang sukar difahami. Mereka juga mungkin tidak kenal pun siapa wakil rakyat di tempat mereka.

Mereka mungkin tidak tahu untuk ke Thailand, mereka tidak semestinya memiliki pasport. Dengan membayar RM 15 kepada ulat motor, dan mereka akan dihantar masuk ke Thailand dengan selamat. Tetapi, mereka perlu tahu hal ini. Ulat-ulat motor ini biasanya menggelarkan pelanggan mereka ini sebagai 'lembu' (istilah ini digunapakai di pintu masuk Bukit Kayu Hitam).

Orang pintar memanglah pintar. Tetapi ada hal-hal tertentu yang orang pintar juga tidak tahu. Siapa kata menjadi orang pintar selalu menguntungkan?

Apa sekalipun, menjadi orang bodoh yang menguntungkan tidak akan lebih baik dari menjadi orang pintar yang merugikan.

Tetapi, yang pasti orang pintar tahu bahawa ada undi di blog ini!

Ini baru undi yang adil

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku dah masukkan peti undi di sebelah kanan blog ini.

Ini undi yang betul. Tak ada kempen. Tak ada gaduh-gaduh. Tak ada parti. Tak ada lambang. Tak ada kutuk sana, kutuk sini. Tak ada SPR. Tak ada report polis. Tak ada pembilang undi. Tak ada manipulasi. Tak ada pengundi hantu. Menang tak jadi arang, kalah tak jadi abu.

Jadi, tolong undi. Agar aku tahu apa yang patut aku tulis lagi. Ada dua peti undi kat situ.

Wednesday, 21 October 2009

Sejadah berdiri - Apa yang pelik?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda mungkin telah membaca berita ini.

Orang kita sangat suka dengan perkara yang pelik. Orang kita jadi hairan melihat ada sejadah berdiri. Orang juga jadi teruja kalau ada objek terbang di atas bumbung rumah mereka. Kita juga sangat suka mendengar ada 'wanita berbaju kebaya' melintas pantas di hadapan kereta tidak jauh dari perhentian R & R Gurun.

Orang kita juga sangat cepat membuat pelbagai teori kalau ada batu berkilat ditemui dalam buah delima, atau batu yang keluar dari pokok serai. Kononnya ia boleh menyembuh pelbagai jenis penyakit. Kalaulah benar begitu, sudah lama hospital ditutup dan doktor kehilangan pekerjaan. Kalaulah betul, sudah lama saintis barat menghasilkan kajian bagiamana untuk menghasilkan buah delima atau pokok serai yang boleh mengeluarkan batu.

Semua ini adalah hal kecil sahaja yang sepatutnya tidak diberikan tumpuan. Tetapi sebab kita suka hal kecil, maka tukang jual ubat di pasar malam mampu memperbodohkan kita kononnya api boleh disembur dari mulut mereka, atau berupaya melarutkan logam dengan air ubat ajaib. Sebab kita sangat asyik mendengar hal-hal pelik, maka warga kulit hitam mampu menipu kita dengan menjual 'black money'.

Sebab kita jahil dalam banyak hal, kita juga mudah dipengaruhi dengan banyak hal pelik lain. Ada orang yang terpengaruh dengan rahsia pulangan wang lumayan hanya kerana membaca emel berantai. Semua ini menunjukkan betapa ceteknya akal kita dalam menaakul peristiwa pelik dan tidak logik.

Di kampung aku, ada busut yang berbentuk buaya yang timbul di tengah-tengah sebuah kedai runcit. Tuan kedai itu percaya bahawa busut itu membawa tuah. Jadi, sampai sekarang busut itu tetap disimpan setelah puluhan tahun. Kalau betul busut itu membawa tuah, sudah lama kedainya bertukar menjadi pasaraya. Dia terlupa tuah kedainya bukan kerana busut buaya tadi, tetapi tuah kedainya kerana strategi pemasarannya. Sekarang, kedai itu sudah menjadi 'hidup segan mati tak mahu' kerana banyak lagi kedai runcit lain yang muncul, lebih besar dan lebih baik. Busut buaya tidak mampu membantunya.

Di Kepala Batas, Pulau Pinang beberapa tahun lalu orang jadi terkejut kerana ada pelepah pokok pinang berupa topeng wajah manusia. Maka setiap hari ratusan orang singgah untuk melihat pohon tadi. Banyaknya orang kita, orang Islam. Yang untungnya orang lain. Mereka membuka kaunter menjual makanan dan minuman. Mereka juga menjual foto pelepah aneh tadi. Apa yang kita dapat? Kita cuma dapat cerita pelik dan kemudiannya diwariskan dari satu generasi ke satu generasi.

Jadi - apabila sejadah berdiri - apa masalahnya? Kalau pun benar ia bukan perbuatan manusia, tentu kita juga tahu bahawa dunia ini bukan hanya didiami manusia. Ada juga jin. Tetapi, tentulah jin tidak sebodoh itu untuk bermain-main dengan manusia sekadar hanya mengangkat sejadah. Ia sepatutnya memindahkan surau itu ke tempat lain. Itu baru betul berita ajaib.

Orang Islam - khususnya - sangat percaya dengan berita aneh seumpama ini. Kononnya ini adalah peringatan untuk mereka. Kononnya ini adalah amaran agar kita kembali bertaubat. Sebaliknya, kita tidak pula mahu percaya dengan apa yang diajarkan oleh orang alim. Ada jutaan kitab. Ada jutaan ayat yang mengingatkan manusia agar sentiasa patuh dan taat dengan agama. Ada ratusan orang alim yang saban hari memberikan kita peringatan. Malangnya, tidak ada siapa mahu mendengarnya.

Kita lebih suka mendengar dakwah dari sejadah yang berdiri. Itulah kita. Kita mungkin terlupa, bahawa sejadah itu juga sedang menyaksikan keanehan perangai kita!

Tuesday, 20 October 2009

PhD itu tidaklah susah

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku mulakan tulisan ini dengan kenyataan positif 'PhD itu bukanlah susah".

Sebenarnya, dalam hidup ini tidak ramai yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam PhD, kecuali untuk beberapa kategori manusia sahaja.

Kumpulan pertama ialah mereka yang diperlukan untuk mempunyai PhD sebagai salah satu syarat pekerjaannya. Aku termasuk dalam kategori ini. Bagaimana pun, dalam kategori ini, ada yang sememangnya berminat untuk mengaji PhD, dan ada yang tidak. Ada yang memang pintar dan keupayaan mereka tidak perlu diragui. Ada yang sebenarnya tidaklah sepandai mana pun, cuma kadang-kadang berlakon pandai dan tahu semua perkara.

Kumpulan kedua - ialah mereka yang semata-mata berhasrat untuk mendapatkan gelar 'Dr' di hadapan nama mereka. Dengan cara itu, ia memungkinkan mereka kelihatan lebih cerdik berbanding orang lain. Jadi jangan hairan kalau mendengar khabar angin ada VIP yang mengupah orang lain menulis tesis PhD untuk mereka, atau ada yang membeli PhD dari Amerika Syarikat. Mereka ini mungkin bukan orang yang pintar akademik, tetapi kita perlu memberikan mereka penghargaan kerana mereka ini pintar untuk hidup. Mereka tahu memanipulasi persepsi manusia.

Kumpulan ketiga - ialah mereka yang memang berminat dengan pengajian. Mereka ini tidak menjalankan kajian kerana ia sebagai syarat pekerjaan mereka, bahkan sanggup berbelanja sendiri untuk menjalankan penyelidikan PhD. Mereka ini manusia hebat. Mereka inilah scholar tulen. Sebab itu, di universiti ada pelajar PhD yang sudah cukup tua dan sesuai dipanggil 'atuk'. Orang bertanya, mengapa nak sambung PhD lagi? Orang terlupa, itulah buktinya manusia tidak pernah akan sama.

Kumpulan keempat - mereka yang tidak tahu untuk berbuat apa. Mereka mungkin tidak ada pekerjaan hendak dibuat. Jadi, sebagai cara mengisi kelapangan waktu, mereka memohon membuat PhD. Ada yang ditaja, ada yang tidak. Ada yang dijanjikan pekerjaan, ada yang tidak dijanjikan apa-apa. Bagaimana pun, kumpulan ini kebanyakannya ialah orang yang pintar.

Jadi - apabila ada orang bertanya sama ada untuk mendapatkan PhD itu mudah atau susah, ia bergantung kepada kategori mana anda berada. Kalau ada kenyataan-kenyataan pelik lagi janggal yang keluar dari manusia yang ada PhD, anda juga boleh menyemak dari kategori mana PhD itu mereka dapatkan.

Realitinya mendapatkan PhD itu bukanlah susah sangat!

Mimpi aku - Hari Malaysia

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
16 September diisytihar Hari Malaysia sempena hari penggabungan Sabah dan Sarawak bagi membentuk Persekutuan Malaysia. Bagi aku, ini satu berita baik. Namun, aku selalu bermimpikan banyak hal untuk negara.

1. Pendidikan
Akan ada perubahan dalam sukatan pelajaran sekolah agar pelajar tidak mempelajari semua perkara. Subjek sejarah Malaysia menjadi matapelajaran wajib untuk semua aliran - agar mereka tahu makna 'kontrak sosial'. Matapelajaran geografi pula memberikan tumpuan kepada iklim dan pertanian Malaysia, dan tidak lagi memberikan terlalu banyak fokus kepada negara luar beriklim sejuk (misalnya pemeliharaan lembu di New Zealand, atau penanaman gandun di Kanada). Sekurang-kurangnya anak-anak kita tahu bagaimana menanam pokok getah atau padi, atau apa kaedah terbaik menghasil cabai bermutu tinggi.

Mungkin perlu difikirkan keperluan mengujudkan/menghantar pelajar pelajar kita mengikuti pengajian menengah selama 1-3 tahun di negara Barat yang mempunyai nilai baik. Dengan cara ini mereka akan mampu untuk menguasai nilai terpuji dari bangsa lain (misalnya kebersihan, integriti) di samping meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Harus diingat, di negara kita ini sudah banyak hal-hal buruk yang sedang merosakkan pemikiran anak-anak kita. Mereka ini pula diwajibkan mengikuti pengajian universiti di tanahair.

2. Sukan
Perlunya menghantar ahli sukan kita ke negara luar, bukan untuk mengikuti latihan, tetapi terlibat secara langsung dengan kegiatan sukan di negara luar. Misalnya, menghantar pemain bolasepak kita bermain dengan kelab luar dan gajinya dibayar oleh persatuan/negeri. Mustahil untuk pemain kita bermain untuk kelab ternama di Serie A atau EPL, tetapi cukuplah kalau mereka dapat bermain dan berlatih dengan liga yang lebih rendah. Jumlah penghantaran setiap tahun perlulah lebih dari 20 orang bagi membolehkan mereka membentuk pasukan bagi mewakili negara. Ia lebih baik dari membangunkan pusat prestasi di luar negara yang menjadikan semua kita kebingungan.

3. Sosial
Lebih banyak pusat riadah dan taman-taman diwujudkan. Kedai-kedai dan aktiviti perniagaan mestilah dihentikan selepas jam 5 petang. Ia bagi mengelakkan kesibukan keterlaluan masyarakat yang menyebabkan berlakunya banyak masalah sosial. Keutamaan diberikan kepada produktiviti dan kesejahteraan keluarga. Prasarana untuk orang cacat, masyarakat tua dan kanak-kanak perlu diperbanyakkan. Bas percuma juga perlu disediakan untuk kumpulan ini. Juga, imigran asing yang tidak mempunyai kelayakan dan pendidikan yang baik tidak lagi dibenarkan untuk memasuki negara atas apa alasan pekerjaan sekalipun.

4. Ekonomi
Aktiviti ekonomi negara, diumumkan untuk pengetahuan rakyat. Bukan sekadar projek yang akan dilakukan, tetapi juga impaknya terhadap masyarakat, persekitaran dan jumlah sebenar perbelanjaan dan kontraktor yang dipilih. Kita ingin mengetahui mengapa kontraktor itu dipilih dan melihat juga prestasi sebelumnya. Semua ini perlu dilaporkan di dalam akhbar. Dengan cara ini tidak ada lagi bangunan yang runtuh di sana sini, atau projek yang terbengkalai tanpa kita tahu hujung pangkal cerita. Semua orang perlu berani untuk lebih telus.

5. Politik
Semua ahli politik, tanpa mengira aliran menyokong untuk kebaikan rakyat. Mereka tidak berselindung untuk kepentingan parti masing-masing. Pemimpin yang tidak bermoral atau tidak mempunyai prestasi kerja cemerlang untuk rakyat didesak untuk meletak jawatan. Istilah politik wang tidak lagi dijadikan permainan ayat untuk menutup dosa rasuah sebenar. Siapa yang merasuah, atau menerima rasuah akan didakwa. Kita tidak mahu anak-anak kita menyangka politik wang adalah sesuatu yang boleh diterima, sedangkan rasuah perbuatan yang salah.

Kerana semua ini hanya mimpi, aku cuma boleh berharap ia bakal terjadi!

Sunday, 18 October 2009

Otak serabut, tangan gatal!

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
'Otak serabut, tangan gatal'. Itu falsafah Abang Ben Krenmaut.

Tapi, hari ini otak aku juga serabut. Entah apa yang menyebabkan otak aku jadi serabut. Aku terasa semacam hendak pergi bercuti sahaja. Aku terasa macam hendak ke Melbourne jumpa kawan aku di sana, atau mungkin juga mengubah arah ke Sydney. Aku tidak tahu lagi. Aku masih berangan-angan. Duit dalam bank pun tidak banyak. Dua tiga hari lagi sewa rumah AUD 880 mesti dibayar.

Kali terakhir aku berjalan-jalan dengan jarak yang agak jauh di Australia ini hampir setahun yang lalu. Waktu itu ke Philips Island dan beberapa tempat lagi.

Selepas itu, tidak ada lagi trip 'jarak jauh' yang aku buat.

Sebenarnya, fikiran aku agak serabut selain memikirkan tempoh aku belajar di Australia ini sudah kian pendek. Kutipan data yang sedang dibuat di Malaysia juga tidak seindah seperti yang sudah dijangka. Aku kalau boleh hendak siap kutipan data dalam seminggu sahaja, seminggu analisis, dan seminggu menulis. Tapi itu mustahil. Lebih mudah naik roket mengelilingi bulan.

Juga ada sekeping lagi kertas hendak ditulis sekarang ini. Sebenarnya itulah yang sebabkan aku serabut. Bukan serabut hendak menulis. Tetapi serabut membaca, mencari segala macam teori dan ilham. Masalah sekarang, masih tidak tahu apa yang hendak dibaca. Ada berjuta artikel. Itu pun masalah juga.

Sebab itu - aku terasa semacam hendak bercuti. Semacam bercuti sabatikal. Aku akan bawa semua segala jurnal dan buku, jadi aku akan melakukan perjalanan di waktu siang. Malamnya, singgah di mana-mana tempat, cari cottage yang murah. Membaca dan menulis. Esoknya jalan lagi. Malam - berhenti dan menulis.

Tapi semua itu hanyalah ilham yang keluar dari otak aku yang sedang serabut. Ia boleh jadi tidak jadi, atau sebaliknya. Tunggu dan lihat

Saturday, 17 October 2009

Aku dan teh tarik

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Pagi Sabtu. 17/10/09

Pagi-pagi seperti ini alangkah indahnya kalau dapat menghirup secawan teh tarik dan makan sekeping roti canai. Itu yang biasa aku lakukan semasa di Changlun dulu. Budaya teh tarik sebenarnya hanya ada di Malaysia. Di tempat lain, sebagaimana bagus sekalipun teh tarik, tanpa suasana riuh dan hiruk pikuk seperti di tempat kita, menikmati teh tarik sepertinya tidak terasa.

Semalam, aku singgah di kedai Azam untuk mengimbau teh tarik.

Di Indonesia dulu, ada dua kedai yang menyediakan teh tarik. Satunya di Penang Bistro, dan satu lagi di kedai Pakistan - kedua-duanya di sekitar Jakarta Selatan. Tetapi harga roti canainya sekitar RM6 sekeping! Di Perth, kedai Pak Abu mungkin antara yang terbaik menyediakan teh tarik. Di Thailand, jarang-jarang boleh bertemu dengan teh tarik. Mereka hanya minum teh o sahaja.

Sebenarnya, kerja membuat teh tarik ini antara kerja paling awal yang aku lakukan. Ketika di tahun akhir universiti dahulu, aku bekerja sebagai pembancuh teh tarik di Sungai Tangkas, Kajang. Gajinya tidaklah banyak. Sekitar RM 10 ke RM 15 sahaja.

Kerja itu aku lakukan apabila tidak ada kelas, atau di celah-celahnya. Walaupun gajinya tidak banyak, tetapi cukuplah untuk hidup ketika itu. Lagi pula, aku diberi makan percuma. Boleh makan beberapa kali yang aku suka.

Selepas tidak lagi di Sony dua tahun kemudiannya, aku melanjutkan pengajian peringkat sarjana. Sekali lagi aku meneruskan hidup dengan melakukan kerja-kerja membuat teh tarik di kedai yang sama. Itulah yang membolehkan aku hidup sambil belajar. Kadang-kadang ke kelas lewat kerana banyak pelanggan yang datang.

Hanya setelah aku mendapat kerja tetap, aku berhenti kerja sebagai pembancuh teh tarik. Kerja itu pula aku perolehi setelah aku ditemuduga di sebuah kedai makan di Taman Maluri sambil menghirup teh tarik bersama penemuduga. Dua hari kemudiannya, aku diminta hadir lagi ke sebuah restoran di Bandar Baru Bangi untuk temuduga lanjutan. Kali ini oleh seorang pengarah syarikat. Sekali lagi teh tarik berada di atas meja ketika ditemuduga.

Sebenarnya beberapa tahun yang lalu, ketika aku bertukar kerja, aku juga ditemuduga di kedai makan McCurry, tidak jauh dari Chow Kit. Temuduga di kedai makan sebenarnya tidaklah formal. Orang jarang bertanya apa yang boleh kita lakukan. Mereka bertanya apa yang bakal kita lakukan dan berapa banyak gaji yang kita mahu. Itu sahaja.

Beberapa tahun lalu, sebelum ke Adelaide, aku juga jadi pembuat teh tarik di warung bapa mertua aku. Seperti biasa, pekerjaan membancuh teh tarik mendedahkan kita dengan banyak cerita orang kampung. Kita tahu hampir semua cerita.

Teh tarik - bukan sekadar teh. Ia sebahagian budaya kita. Ia mungkin sebahagian dari cerita hidup kita.

Friday, 16 October 2009

Ini pesan agama

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku bukan ingin berceramah agama di sini. Aku bukan orang yang pandai akan hal itu.

Tetapi, sebagai pelayar internet, anda sesekali tentu juga melayari laman-laman lain. Anda juga mungkin melayari laman berbahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Anda juga sesekali singgah di laman politik.

Sekarang ini, laman politik adalah antara laman popular di Malaysia. Semua orang meminati politik. Semua orang ingin tahu cerita-cerita kontroversi politik Malaysia. Semua orang ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Aku tidak kisah dengan pandangan politik mana-mana aliran sekalipun.

Bagaimana pun, anda perlu berhati-hati apabila membacanya. Seperti juga tatkala anda membaca blog ini, anda jangan mempercayai kesemuanya. Akal anda diperlukan bagi menafsirnya.

Aku lihat ada beberapa laman politik yang seolah-olahnya begitu sekular dan sosialis. Mereka adakalanya menganggap semua agama adalah sama.Walaupun tidak menyebut secara langsung, ada yang melihat Lailatul Qadar atau api neraka seolah-olah dongeng cerita. Begitu juga ada beberapa laman lain yang ditubuh atas nama perjuangan dan emansipasi komuniti Islam - jelas sekali bertentangan dengan apa yang disarankan oleh Islam.

Adakah Islam sama dengan yang lain?

Hakikatnya tidak. Apabila beranggapan semua agama adalah sama, maka kita sebagai orang Islam telah menjatuhkan martabat dan kesucian Islam. Islam adalah satu-satunya agama untuk kita dan untuk semua manusia. Sampai bila-bila pun ia tidak akan berubah. Itulah yang menjadi tunjang akidah dan kepercayaan kita.

Jangan sesekali anda berkata, "Ah, semua agama sama sahaja. Semuanya menyuruh kebaikan". Jangan anda berkata begitu. Kita tidak boleh menganggap agama orang lain sama dengan kita. Ia boleh mencederakan akidah anda.

Bagi mereka yang menulis, itu hal mereka. Ini dunia demokrasi. Bagi yang membaca, anda perlu berhati-hati.

(Nota: sekiranya anda ingin memberikan komen, jangan sebutkan nama laman atau individu berkaitan. Ia bagi mengelakkan kontroversi. Cukuplah sekadar ia menjadi pengetahuan kita bersama).

Thursday, 15 October 2009

Berhati-hati apabila menulis

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sepanjang minggu ini - aku telah menulis di blog ini hampir setiap hari. Tidakkah aku ada kerja lain?

Sebenarnya, aku juga sedang menulis jurnal. Hari ini, ia sudah selesai. Sama ada berkualiti atau tidak, ia bergantung kepada penilai anynomous yang akan menyemak dan membaca makalah yang dihantar. Selepas itu, mereka jugalah yang akan membuat cadangan sama ada tulisan kita itu ditolak, diperlukan pembetulan dibuat atau diterima sepenuhnya. Biasanya jarang yang akan diterima sepenuhnya. Jika tidak ditolak, tentu diperlukan pembetulan tertentu.

Sudah menjadi tabiat aku untuk duduk di rumah apabila menulis. Tidak menjadi kebiasaan aku menulis di atas meja. Aku lebih suka di duduk di mana sahaja yang aku rasakan sesuai dan ilham turun. Di rumah juga, kita lebih mudah merokok sambil menghirup teh tarik buatan sendiri. Kita juga boleh berkali-kali keluar ke belakang rumah untuk mengambil angin. Jadi, dengan cara itu, aku akan lebih santai menulis.

Jadi - walaupun aku kerap menulis di blog, bukanlah maknanya tidak ada kerja menulis akademik yang dibuat. Menulis blog kerja yang mudah. Tidak sampai 10 minit. Adakalanya cuma beberapa minit. Ia tidak perlukan rujukan. Ia hanya pandangan berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan pembacaan lampau. Jika ada rujukan sekalipun, ia hanya sesekali.

Sebenarnya menulis juga adalah hobi yang aku miliki. Sedikit waktu dahulu, aku juga berkerja sebagai penulis. Aku dan beberapa teman lain menulis untuk buku pelancongan. Sesekali juga diminta untuk mengadili peraduan menulis. Jadi, menulis sudah menjadi hal biasa, selain penulisan juga banyak dilakukan ketika masih di bangku universiti lagi.

Cuma agak berbeza kini, kerana penulisan dalam bahasa Inggeris diperlukan. Bagaimana pun, sekiranya ada berupaya menulis dalam bahasa Melayu, ini bermaksud anda juga berupaya menulis dalam bahasa lain. Kerana menulis itu adalah satu bentuk pemikiran. Pemikiranlah yang menjadikan sesebuah tulisan itu terbentuk. Bahasa hanya alat menyampaikan pemikiran.

Jadi kerana itu berhati-hatilah apabila anda menulis sesuatu. Ada orang yang sedang memerhatikan pemikiran anda. Mereka akan berupaya mengetahui kelebihan dan kekurangan anda lebih baik daripada apa yang anda tahu mengenai diri sendiri.

Jangan menangis!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sepanjang usia aku 37 tahun ini, aku telah mendengar banyak cerita mengenai rumahtangga. Ada cerita ada isteri diterajang suami hingga meninggalkan trauma. Ada pula yang tatkala mengunjungi suami yang sakit di hospital, tiba-tiba terserempak dengan 'orang lain' yang juga mengunjungi suami yang sama. Cerita-cerita suami bermain kayu tiga bukan lagi asing dalam banyak cerita rumahtangga.

Beberapa tahun lalu, aku sendiri pernah diminta untuk memberikan pandangan untuk beberapa orang isteri yang menanggapi mereka sedang dihadapkan dengan masalah. Bagi aku, dalam banyak cerita ini - tentulah ia sesuatu yang tidak menyeronokkan. Ia cerita yang merumitkan masalah rumahtangga.

Bagaimana pun, aku akan selalu berpandangan, tatkala kita dilanda masalah, tentu ada sejuta orang lagi yang sedang dibebani dengan masalah lain yang lebih besar. Ketika kita sedang menangis kesedihan, tentu lebih banyak air mata orang lain yang tumpah sebelum kita.

Jadi untuk semua pasangan yang sedang kesedihan - jangan menangis!

Rumahtangga sebenarnya bukanlah cerita dalam drama. Ia cerita betul. Ia kisah benar. Ia kisah hidup kita.

Banyak berlaku masalah dalam rumahtangga ialah kerana berlaku terlalu tinggi jangkaan terhadap pasangan. Ada isteri yang mengharapkan suami menjadi sempurna seperti Superman. Suami boleh menjadikan apa sahaja dan menyediakan apa sahaja. Ini kadang-kadang menyebabkan suami juga tertekan.

Akhirnya, dengan andaian mereka akan mendapatkan baju baru yang lebih baik - mereka menjalinkan hubungan di luar. Mereka terlupa sesuatu. Adakalanya baju baru mungkin lebih teruk berbanding baju lama yang sedia ada di dalam rumah. Ia mungkin compang camping di sana sini.

Biasanya juga, masalah konflik rumahtangga berlaku pada tahun-tahun awal rumahtangga. Ini kerana, semasa bercinta atau bertunang, semuanya baik belaka. Mereka boleh menjanjikan bulan bintang, dan berenang di lautan api. Hakikatnya, perkahwinan lebih besar cabarannya. Perkahwinan bukanlah dongeng berenang di lautan api - tetapi realiti bernafas dalam sesak asap dapur kehidupan.

Tahun-tahun awal perkahwinan ini jugalah pasangan akan bertemu ada yang tidak kena. Ada isteri yang tidak melaksanakan tanggungjawab sepertinya, dan suami pula kelihatannya tidaklah sebaik seperti semasa percintaan. Tentulah ini boleh berlaku. Ketika bertunang, kita boleh bercakap apa sahaja.

Waktu itu belum ada tanggungjawab. Setiap hari boleh berdating di kedai makan, tidak perlu masak di rumah. Tidak perlu membasuh kain baju. Tidak perlu memikirkan hutang bank atau sewa rumah. Jadi semuanya boleh kelihatan baik.

Apabila berkahwin, semuanya berubah. Suami atau isteri tiba-tiba melihat ada banyak beban baru yang perlu dihadapi. Berhadapan dengan cerewet mertua, rengek anak-anak, konflik keluarga kedua-dua belah pihak dan sebagainya. Semua ini adalah cerita baru yang tidak ada ketika alam percintaan. Semua ini adalah bau baru yang tidak seharum seperti ketika mengalunkan lagu cinta sebelum perkahwinan.

Ada pula suami yang berasa tertipu apabila mengetahui isterinya pernah menjalinkan hubungan dengan orang lain sebelum perkahwinan. Semua ini menyebabkan rumahtangga terus dilanda bayang-bayang silam.

Seharusnya, setelah memulakan perkahwinan, buku lama ditutup. Ia wajar dilupakan. Seperti satu pesan kepada seorang gadis yang dirogol dalam Keluarga Gerilya, 'dara itu hanya sesaat'. Maksudnya, yang membezakan hal itu hanyalah sesaat, jadi tidaklah perlu ia diperbesarkan lagi. Anggaplah ia satu sejarah. Kerana setiap orang tentu ada sejarah silam. Setiap orang tidak boleh mengandaikan mereka adalah makhluk suci yang tidak pernah melakukan dosa.

Akibatnya, kerana konflik yang berpanjangan, baik suami, baik isteri - mereka berfikir untuk mencari pasangan baru. Dengan harapan ia akan mendapatkan yang terbaik. Mereka tentu tidak pernah menjangka, mereka akan sekali lagi dilanda masalah yang sama nantinya. Bahkan, mungkin lebih teruk dan menakutkan.

Kerana cerita rumahtangga itu tetap begitu jalan ceritanya. Ia sama sahaja di mana-mana sekalipun.

Jangan menangis!

Wednesday, 14 October 2009

Bila hujan turun lebat

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hujan memang memberikan rahmat.

Di Australia, sekarang ini sudah bertukar dari musim bunga yang nyaman kepada musim hujan yang sejuk. Pagi hujan, petang hujan, malam hujan. Nasib baik, tidak ada yang menoreh. Kalau tidak tentu banyak yang merungut.

Empangan di seluruh negeri sudah hampir melimpah airnya. Australia, negeri yang kering kini sedang merayakan peningkatan jumlah air.

Parti pembangkang kini mula bising-bising. Mereka mula mendesak. Mereka mula meminta. Mereka mula mengharapkan sesuatu untuk kebaikan rakyat.

Apa yang mereka minta?

Mereka minta air percuma.

Inilah sebenarnya kerja wakil rakyat untuk kita. Mendesak untuk kebaikan kita. Meminta untuk kesejahteraan kita.

Wakil rakyat kita bila lagi?

Bila lagi hendak bercakap untuk kami?

Ahli politik bukan dipilih untuk bermain politik, tetapi dipilih untuk menjadi suara rakyat.

Tuesday, 13 October 2009

Ini kempen bahasa

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku sedang sibuk menulis jurnal. Aku menulis dalam bahasa Inggeris. Ia bukan bahasa besar. Ia cuma bahasa ketiga besar dunia selepas Mandarin dan Sepanyol. Aku tidak marahkan sesiapa jika perlu menulis dalam bahasa Inggeris, kerana aku tahu aku kini sedang berada di bumi penutur bahasa Inggeris.

Aku juga tidak marah untuk menulis dalam bahasa ini kerana aku perlu menghantarkan artikel ini ke jurnal yang berpangkalan di Amerika, juga bumi penutur bahasa Inggeris. Bagi aku, itu hal yang tidak pelik. Profesor aku - anak jati Australia yang nenek moyangnya berasal dari Ireland juga tidak pernah membuangkan manuskrip aku ke dalam tong sampah kalau ada kesalahan bahasa.

Malah, seumur hidup aku di sinilah aku mula menulis tulisan akademik dalam bahasa Inggeris. Tulisan sulung aku itu - diterima masuk ke satu jurnal antarabangsa.

Teman-teman sebilik aku tidak ada lagi berbangsa Melayu. Semuanya orang yang berbahasa Inggeris. Mereka selalu berkata, aku lebih baik daripada mereka kerana aku tahu dua bahasa, sedangkan mereka cuma tahu satu bahasa.

Mereka salah.

Aku juga boleh bertutur 3 bahasa (mungkin 4 kalau dihitung bahasa Indonesia). Aku boleh bertutur bahasa Siam dengan baik, walaupun mungkin tidak cemerlang. Di sini aku ada 3 orang anak dara Siam yang akan bercakap dengan ramahnya apabila mereka terserempak dengan aku. Mereka baik dengan aku bukan kerana aku satu fakulti dengan mereka. Aku baik dengan mereka kerana mereka tahu aku boleh berbahasa mereka.

Aku juga boleh menukarkan loghat bahasa Indonesia secara automatik apabila berjumpa dengan pelajar Indonesia. Mawar, seorang pelukis - wanita Sunda - adalah seorang kawan baik aku. Pak Adie - seorang Jawa - juga kawan baik aku.

Tetapi, aku marah kalau di negara aku ada orang memandang kerdil bahasa Melayu. Aku sebak kalau ada yang berkata bahasa ibunda aku ini cuma untuk orang kelas bawahan. Aku gelisah kalau ada sesiapa yang tanpa apa-apa sebab menukarkan polisi bahasa yang dirancang dengan sebegitu elok oleh mereka yang terdahulu.

Aku akan lebih marah kalau yang berkata itu pula - sedari kecilnya terdidik di negara luar yang tidak tahu pun perit jerihnya kita mengekalkan bahasa ibunda.

Bagaimana orang-orang ini boleh mengkerdilkan bahasa Melayu sedangkan mereka lahir di London, bersekolah di Leeds, dan kemudiannya belajar di Cambridge. Hanya kerana ibunya orang Melayu, dan bapanya orang Melayu - maka dia seolah-olah mahu bercakap mewakili orang Melayu. Berdarahkan Melayu belum tentu menjiwainya Melayu.

Bagaimana mereka boleh bercakap hal yang mereka tidak tahu. Seperti orang yang tidak pernah ke laut cuba mengajar nelayan menangkap ikan.

Aku juga marah kalau orang memandang rendah lulusan UKM yang terdidik dengan bahasa Melayu. Jangan hanya kerana kebolehan bahasa Inggeris anda, anda lebih pandai dari orang lain. Tatkala mereka sakit dan dirawat oleh doktor di HUKM, tidak pernah pula mereka bertanya "Adakah anda belajar perubatan dalam bahasa Melayu?"

Bagi aku - belajar bahasa tempatnya bukan di sekolah. Bahasa perlu dipelajari dari persekitaran. Aku boleh bercakap bahasa Siam kerana aku membesar di sempadan. Aku boleh faham bahasa Indonesia kerana aku pernah tinggal di Jakarta. Aku baik sedikit bahasa Inggeris kerana aku terpaksa singgah kedai membeli rokok Dunhill di Foodland, atau terpaksa berborak-borak dengan kawan-kawan aku yang berbahasa Inggeris.

Jadi, jangan ada sesiapa menghina bahasa ibunda aku. Jangan ada sesiapa cuba berlakon kononnya cintakan bahasa Melayu dengan hanya menggantungkan kain rentang atau menganjurkan kempen itu dan ini. Walaupun retorik itu sebahagian sifat bahasa, tetapi kita tidak bermain retorik dalam hal-hal yang berkaitan hala tuju bahasa.

Mencintai bahasa Melayu - bermakna kita perlu tegas dalam segala hal berkaitan dasar bahasa. Jangan sampai ada memperkecilkannya, apatah lagi menghinanya. Jika ada yang tersilap, maka kita kembalikannya kepada yang asal.

Itulah maknanya kita mencintai bahasa.


Monday, 12 October 2009

Hey. Tolong buka pintu

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kali ini aku hendak kritik.

Aku seboleh-bolehnya mahu menulis dengan nada tanpa tapisan, tanpa segan silu dan ayat sekasar batu semacam http://swingingbowlsatay.blogspot.com/ atau http://makantido.blogspot.com/. Tapi akhirnya aku tahu - aku tidak ada kepakaran itu. Ia kepakaran istimewa yang hanya mereka yang ada.

Aku nak kritik orang-orang kaya yang miskin nuraninya. Aku hendak kritik tauke kaya atau orang besar yang hidup di Bukit Damansara, atau yang tinggal di apartment mewah Sungai Buloh yang lengkap dengan kolam renang dan jaga. Mereka ini mungkin sebangsa dengan aku,walaupun banyaknya bukan.

Ann, tuan punya blog http://jomnaikapalselam.blogspot.com/ mengadu tentang hal susahnya untuk orang-orang ini mengisi borang soal selidik. Ada yang tidak mahu buka pintu pun. Ada yang banyak songeh. Soalan aku panjang. Tak faham. Macam-macam lagi. Yang aku hairan, orang-orang kampung di Sabak Bernam yang tak sekolah tinggi faham pula soalan yang ditanya.

Bagi aku, ini sebahagian masalah kajian di Malaysia. Orang-orang ini tentu sangat sibuk. Orang-orang ini tentu banyak wang. Mereka tidak hairan sedikit pun dengan soal selidik aku yang berjela-jela panjang itu. Mungkin respons mereka lain kalau Ann mulakan salam dengan ayat seperti ini: "Uncle, nak projek tak?". Atau, "Saya ini anak menteri. Bapa minta saya datang sini".

Aku tidak marahkan orang-orang itu yang tidak mahu menjawab soal selidik aku. Tetapi aku rasa, ini adalah gejala prejudis (nanti aku tulis secara akademik hal ini). Apabila ada orang Melayu mengetuk pintu rumah orang lain, mereka tidak akan memandang pun walaupun dengan cuma suku biji mata. Sebaliknya, apabila orang kita melihat ada lori jual tilam atau surat khabar lama, kita bukan sekadar membuka pintu, malah kalau boleh nak menjamu dengan air kopi. Di kampung, kalau ada yang datang mahu beli ayam, kita bukan sekadar tidak berani meletakkan harga, malah kalau boleh mahu beri percuma.

Baik sungguh orang kita.

Aku jadi hairan. Bila kita singgah ke kedai, mereka ini sangat mesra. Sangat friendly. Mereka puji kita sana sini. Kita yang kerja tukang kebun pun dia panggil bos. Kita sangat suka. Lebih teruk dari kera mendapat bunga. Sama hebatnya kegembiraan kita itu seperti kaki judi yang 5 daunnya dapat nilai 21. Yang tak pernah main judi, pergi balik tanya orang yang tahu. Nanti dia akan ajar banyak benda lagi. Ada sat, ham, tan dan macam-macam lagi.

Tidak perkaumankah masyarakat Malaysia? Bukankah kita ini OneMalaysia?

Realitinya semua itu dusta. Bila kita bercakap hal bahasa, mereka kata kita ini perkauman. Bila kita berbincang hal kouta biasiswa JPA, mereka bising-bising ini penindasan. Bila kita hanya benarkan orang kita masuk MRSM, mereka kata kita tidak tahu makna meritokrasi. Mereka akan bising itu dan ini. Mereka kata jangan jadikan mereka warga kelas dua. Ini zaman merdeka. Semua orang sama sahaja tarafnya.

Kalau macam itu - hey bukalah pintu. Barulah kita sama sahaja statusnya. Baru kita tidak perkauman. Jangan layan Ann semacam penjual pen Montblanc tiruan Made in China. Dia ada Ijazah tau! Dia lulusan luar negara yang pandai bahasa orang putih lebih baik dari warga Australia keturunan Greek!

Sunday, 11 October 2009

Adelaide Bloggers!

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku percaya di Adelaide ini terdapat banyak anak Malaysia yang mempunyai blog masing-masing. Setiap orang mempunyai alasan dan tujuannya sendiri membaangunkan blog. Ada yang mungkin ingin berkongsi berita dengan keluarga, mencurahkan rasa dan derita, berkongsi pengetahuan, melempiaskan rasa marah dan banyak lagi.

Namun, blog juga sebenarnya memberikan lebih banyak manfaat daripada itu. Ia menjadikan kita bersahabat dengan banyak orang. Ia menjadikan kita mengetahui apa yang sedang dialami oleh teman-teman kita di luar sana. Bentuk persahabatan mungkin sekadar maya, dan bukan fizikal. Tetapi, itu tidak mengapa. Yang penting, aspek positifnya.

Jadi - aku terasa seperti perlu diwujudkan satu komuniti Adelaide Bloggers yang mana kita sesekali boleh berjumpa atau mengadakan aktiviti bersama untuk kebaikan anak bangsa. Atau mungkin sekadar makan-makan dan minum kopi berbual-bual kosong.

Kita juga mungkin boleh merancang untuk menulis tema yang sama pada setiap hujung bulan, misalnya berkaitan pendidikan, politik, atau apa sahaja. Setiap orang boleh menulis dengan cara masing-masing, berdasarkan pandangan masing-masing. Yang utama, satu hari bagi setiap bulan kita menyumbangkan sesuatu untuk bangsa dan negara.

Semua orang yang mempunyai blog bebas untuk menyertainya tanpa mengira aliran politik, ideologi atau usia. Kita tidak perlu membataskan penyertaan semata-mata kerana ada yang senior atau ada yang lebih muda. Semua orang sama sahaja. Komuniti ini pula perlu bergerak secara informal sahaja, agar kita tidak terlalu terikat dengan banyak peraturan dan undang-undang.

Kita juga tentunya perlu mengadakan link bagi semua ahli komuniti.

Azam tentunya perlu dilantik menjadi Presiden kerana dengan cara itu setiap kali pertemuan membolehkan kita minum percuma.

Amacam? Ada komen?

Saturday, 10 October 2009

Mahu jadi pemimpin?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Mereka sedang berbincang. Mereka tidak tahu apa yang aku sedang perhatikan.
 
Tengahari tadi, berakhirlah Siri 1: Sanggar Karya - Program Bengkel Kepimpinan anjuran Lingkaran Sahabat Sastera. Nampaknya, menarik juga diadakan program seumpama ini untuk mendedahkan anak-anak muda dengan banyak hal dalam menguruskan manusia dan organisasi. Aku tidak tahu keberkesanan dan kefahaman mereka dalam memahami konsep yang cuba aku terapkan dalam latihan tadi. Itu kena tunggu komen peserta.


 Mereka sedang membincangkan projek perumahan terbengkalai!
Cuma yang pasti - pemimpin tidak boleh beraksi dengan cara yang sama dengan pengikut, dan mesti tahu cara bermain psikologi dengan orang bawah. Pemimpin mesti tahu cara berkomunikasi dalam kumpulan, mesti tahu helah apabila berinteraksi dengan individu yang berbeza. Sebab tidak semua individu sama tret personalitinya, dan tidak pula sama kehendaknya.


Apa yang sedang mereka fikirkan
 
Dalam apa keadaan sekalipun, pemimpin mesti sanggup berkorban demi orang bawahnya. Ingatan aku untuk mereka - jangan sewenang-wenangnya menjual syarikat! Bagaimana pun, jika mereka adalah peniaga tulen, jangan pedulikan orang bawah. Itu terlebih baik dalam iklim perniagaan dunia moden. Semuanya tergantung dalam situasi apa mereka berada.

Terima kasih untuk semua anak muda. Aku sekadar menjalankan tugas. Nanti kita bermain-main lagi. Game yang lain pula tentunya.

Semua gambar adalah sumbangan Saudara Teja - http://janjilaxamana.blogspot.com/

Next:
Bagaimana memanipulasi bos dan orang bawah anda!
Tunggu iklan yang bakal disiarkan. Jumlah peserta tetap sama, jangan lebih 10 orang.

Friday, 9 October 2009

Mencari warna sebenar politik Melayu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak era reformasi politik tahun 1998-1999, lanskap politik Melayu telah mengalami perubahan besar. Pengundi Melayu yang selama ini taat kepada UMNO dan Barisan Nasional berpecah kepada dua. Satunya menyokong PAS, dan satu lagi menubuhkan Parti Keadlilan Rakyat (PKR). Jika selama ini parti DAP dianggap sebagai sangat memusuhi Melayu dan Islam, kini ia dijadikan rakan kongsi bagi menjatuhkan Barisan Nasional.

Pengundi Melayu yang selama ini begitu setia dengan UMNO, kini melihat PAS dan PKR sebagai parti alternatif baru yang mampu memberikan harapan kepada mereka, walaupun kadang-kadang mereka berasa curiga juga. Ini khususnya apabila ada kepentingan Melayu yang dirasakan bakal terhakis.

Jadi - jangan berasa terkejut jika sekiranya ada sesekali perkahwinan PAS, PKR dan DAP itu dipukul gelombang, misalnya seperti kritikan Ronnie Lim terhadap tindakan PAS di Selangor dalam cadangan menghapuskan penjualan arak. Begitu juga tindakan Datuk Hassan Ali mempertikaikan perjalanan SELCAT di Selangor.

Sebenarnya bukan hanya di Selangor - perkahwinan di antara ketiga-tiga parti ini mengalami masalah. Tindakan lompat parti 2 Adun PKR, dan satu Adun DAP di Perak misalnya telah melenyapkan harapan Pakatan Rakyat untuk menguasai Perak. Hanya disebabkan dominasi PAS di Kedah dan Kelantan, tidak terlihat sebarang halangan besar untuk Pakatan Rakyat menunjukkan keupayaan mereka memerintah negeri.

Namun - satu persoalan yang berbangkit kini - apakah warna sebenar politik Melayu? Adakah mereka benar-benar begitu marahkan UMNO sehingga tidak ada peluang untuk mereka memaafkan kesalahan UMNO? Bagaimana pula dengan persepsi mereka dengan kepincangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, khususnya kecurigaan terhadap sentimen kurang taat di kalangan ahli politik PKR?

PAS walaupun dari segi kredibilitinya, lebih diyakini - melihat kepada perjalanan perjuangannya yang panjang - ahli-ahli yang tidak memandang kepada pulangan wang ringgit dan peluang perniagaan, tetapi dilihat seolah-olah 'adik kecil' berbanding PKR dan DAP, walaupun mereka adalah di antara parti tua dan dominan dalam percaturan politik negara. Tidak semua ahli PAS sendiri yang senang melihat keadaan ini.

Semua ini adalah antara dilema baru politik Melayu. Krisis politik di Perak misalnya, dengan kritikan terhadap institusi istana, sedikit sebanyak menyentuh hati orang Melayu. Raja bukan sahaja institusi penting perlembagaan negara, tetapi ia juga antara simbol kekuatan Melayu yang tetap kekal walaupun dari segi sejarahnya negara telah dijajah oleh pelbagai kuasa. Tidak ada sesiapa pun boleh menafikan peranan Istana sebagai manifestasi ketuanan Melayu.

Kesilapan besar UMNO ialah membiarkan budaya politik wang, kuasa dan kekayaan menguasai parti. Mereka yang ingin memiliki kekayaan dan kuasa perlu menjadi ahli UMNO. Maka, mereka yang mungkin tidak pun memiliki sentimen cintakan bangsa dan agama - asalkan berhasrat untuk kekayaan dan kuasa, telah mula menghimpit parti.

Mereka ini adalah kelompok baru yang menguasai parti - ahli-ahli perniagaan dan broker projek, dan bukan lagi kakitangan kerajaan dan para pendidik seperti mana di awal perjuangan UMNO. Ini menjadikan UMNO dilihat parti elit. Ia menjadikan UMNO dilihat sarang para pencari wang, dan bukannya pejuang atau nasionalis bangsa. Setiap kali menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO, orang akan mula bercakap yang pemimpin bertanding memberikan 'wang kopi' sebanyak itu dan ini bagi meraih undi. Semua ini bukan lagi rahsia. Walaupun apa alasan yang diberikan, tetapi inilah persepsi para pengundi.

Ini ditambah, ada tindakan yang dilakukan oleh UMNO yang mungkin menjadikan ia tidak disenangi. Isu bahasa Melayu misalnya, menjadikan UMNO tidak dilihat sebagai memperjuangkan hak istimewa orang Melayu. Semua ini telah membuka ruang untuk parti terus diserang oleh Pakatan Rakyat - yang kemudiannya berjaya memanipulasi isu ini begitu berkesan.

Dalam keadaan sekarang, apakah parti yang benar relevan bagi orang Melayu? PAS yang dahulunya menyalahkan UMNO kerana bersekongkol dengan parti bukan Islam, kini tidak jauh bezanya juga kerana mereka juga kini bersahabat baik dengan DAP. PKR mungkin diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh yang dianggap pemimpin karismatik Melayu. Tetapi ia bukanlah parti yang menjadi milik mutlak orang Melayu.

Ada yang mungkin berkata, dalam era moden ini - persoalan ketuanan dan hak istimewa Melayu tidak lagi isu yang penting. Mungkin benar jika pandangan itu dicetuskan masyarakat kota, ahli korporat dan profesional yang mungkin tidak bergantung kepada parti politik dalam meneruskan kehidupan mereka.

Bagaimana pula halnya dengan masyarakat luar bandar yang masih miskin. Politik yang dianggap sebagai 'apa, siapa dan bagaimana?" oleh H.D Laswell itu adalah manifestasi kewujudan politik dalam memenuhi kehendak manusia. Politik tetap diperlukan bagi menunaikan harapan mereka. Politik tetap dianggap satu-satunya jalan yang boleh mengubah nasib mereka.

Apatah lagi dalam situasi pelbagai isu yang melibatkan orang Melayu yang masih belum selesai, bahkan ada yang bertambah rumit. Isu ekonomi orang Melayu misalnya, masih dalam keadaan yang sangat lemah. Tatkala bangsa lain sudah memiliki aset dan harta yang melimpah ruah, orang Melayu masih kelam kabut memohon rumah PPRT.

Begitu juga dalam hal yang melibatkan pendidikan. Tanpa biasiswa kerajaan, berapa ramai orang Melayu yang mampu menyambung pengajian di luar negara seperti bangsa lain? Malah, tanpa adanya pinjaman PTPTN misalnya, mungkin hanya beberapa kerat sahaja anak Melayu yang mampu ke menara gading. Semua ini menunjukkan betapa kusutnya persoalan orang Melayu.

Ini belum termasuk isu-isu sosial lain. Penagihan dadah, gejala sosial, keciciran pengajian dan sebagainya.

Jadi - manakah parti Melayu yang mampu merungkaikan semua ini jika tidak ada satu pun yang dominan, atau mempunyai wadah perjuangan yang sama? Semua ini mencetuskan dilema baru orang Melayu.

Kita mungkin tidak sebijak orang lain yang berpecah untuk bersatu, tetapi kita bersatu untuk berpecah.

Untuk semua ahli politik Melayu - jangan hanya sibuk berpilihanraya. Sesekali fikirkanlah apa yang terbaik untuk bangsa ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails