Yang Ikut

Thursday, 30 July 2009

MLM - berahi wang orang kita

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Budaya Multi Level Marketing (MLM) sudah menjadi fenomena biasa rakyat Malaysia. Kita biasa mendengar pelbagai jenis dan bentuk produk yang bersembunyi di balik tabir MLM. Ia ada di bandar dan di luar bandar. Ia menarik perhatian orang muda dan orang tua, masyarakat biasa atau kumpulan profesional.

Walau apa pun yang dijual, MLM tetap membawa kepada tujuan yang sama. Setiap orang ingin bergelar jutawan dan mempunyai pendapatan yang besar.

Dari sudut yang lain, sesekali aku terfikir juga mengapa produk MLM ini begitu menjadi bualan di Malaysia, tetapi tidak pula di Australia. Adakah orang Australia tidak mahu kaya seperti kita?

Atau MLM itu sendiri wujud kerana motivasi kita yang sangat berahi dengan wang. Atau kerana kita hidup susah, jadi kita perlu lakukan sesuatu untuk mengubah taraf hidup. Kalau begitulah, maka andaian Abraham Maslow tentang hierarki hidup manusia mungkin benar. Kita akan berusaha untuk berubah dari satu tahap yang sudah kita milik ke tahap lain yang belum kita kuasai.

Di Indonesia - fenomena MLM juga luar biasa.

Pada pandangan aku yang sentiasa sinikal dengan MLM - aku melihatnya sebagai satu langkah untuk memperhambakan manusia dengan motivasi yang tak mungkin terjangkau. Orang kampung disogokkan betapa dengan berniaga MLM, ada orang sanggup berhenti kerja kerana pendapatannya luar biasa. Produk MLM juga ajaib kerana mampu mengubat pelbagai penyakit.

Kalau benar produk MLM begitu ajaib, pada akhirnya manusia hanya perlukan satu jenis ubat. Mereka tidak perlukan insulin untuk kencing manis, paracetamol untuk sakit kepala atau Clartyne untuk alergik kacang. Kita juga mungkin tidak perlukan hospital dan klinik kesihatan lagi.

Hal lain yang perlu direnung juga - siapakah 'tauke' sebenarnya? Bukankah dengan cara begitu, mereka telah menjimatkan jutaan ringgit untuk mengupah manusia. Dengan hanya membangkitkan impian menjadi jutawan atau memiliki BMW, maka berbondong-bondonglah orang ingin menjadi ahli dan berkerja keras siang dan malam. Semua topik perbualan akan berkisar dengan keajaiban produk dan kejayaan orang itu dan ini. Semuanya kerana ingin menjadi jutawan.

Mereka mungkin lupa - yang kaya sebenarnya ialah pembekal produk. Mereka juga mungkin terlupa, yang kayanya orang lain. Kita mungkin sekadar menjadi tukang promoter yang kalau dihitung dengan jumlah jam kerja, pendapatan kita sewajarnya perlu lebih besar daripada itu.

Memang benar, ada yang telah jadi jutawan. Tetapi daripada puluhan ribu ahli, adakah setiap orang berupaya menjadi jutawan dan memiliki kekayaan seperti yang diwar-warkan. Dengan penjimatan kos upah, perkhidmatan dan pelbagai caruman lain untuk sumber manusia - memang ada syarikat MLM yang mampu menawarkan pulangan yang baik.

Ia tumbuh subur di negara yang nafsu untuk mendapatkan wang begitu membuak-buak.

Hakikatnya, yang pasti kaya ialah pengeluar produk. Ahlinya belum tentu memiliki apa-apa.

Wednesday, 29 July 2009

Peragut ada di mana-mana

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak bulan Oktober 2008 telefon rumah mertua aku tidak dapat digunakan. Ada para penyamun yang telah memotong kabel di atas tiang untuk dijual. Ini juga sebahagian peragut. Mereka meragut kemudahan awam untuk keuntungan perut sendiri.

Sejak Oktober 2008 itu juga bapa mertua aku berkali-kali mengadukan masalah kegagalan telefon di rumahnya berfungsi kepada syarikat pembekal telekomunikasi terbesar negara. Jawapan yang sering didapatkannya, 'Kami pun tak boleh berbuat apa-apa pak cik. Kabel kena curi'.

Sebagai pengguna, bukan masalah kita kabel itu dipotong para peragut kabel atau tidak. Kita hanya mahu ia berfungsi. Kita mahu bercakap hal orang sakit dengan saudara mara lain, atau sesekali mengumpat hal politik.

Walaupun tiada perkhidmatan, bil tetap dihantar juga. Inilah kecekapan organisasi. Ini tidak diajar di University of Adelaide atau universiti yang beroperasi di atas bangunan kedai di Malaysia. Dalam apa keadaan pun, wang perlu masuk ke saku organisasi. Kecekapan dalam menyediakan perkhidmatan itu topik lain. Itu hanya dongeng dalam buku teks pengurusan. Wang yang masuk itulah pengukur kejayaan syarikat.

Begitulah -walaupun tidak ada perkhidmatan - bil masih dihantar juga. Notis peringatan juga diberi untuk mengingat pengguna akan tanggungjawab mereka.

Apa daya, kita hanya manusia hina yang tidak berupaya untuk menghantar notis peringatan serupa kepada syarikat pembekal telekomunikasi terbesar Malaysia itu.

Semalam - ada satu notis dari pejabat peguam untuk tindakan saman kerana tidak membayar bil sebanyak RM283.10.

Nampaknya syarikat itu begitu cekap. Mereka cekap menghantar bil setiap bulan. Cekap juga menghantar notis peringatan. Bertambah cekap dengan menghantar surat peguam untuk mengingatkan orang kampung mereka ada begitu banyak kuasa.

Yang mereka tidak ada hanyalah pekerja untuk memperbaiki kabel yang dicuri peragut.

Peragut memang ada di mana-mana. Mereka boleh hadir dalam pelbagai rupa. Tujuannya tetap sama. Mendapatkan wang sesiapa sahaja.

Tuesday, 28 July 2009

Kita mungkin sebahagian peragut

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Membaca tajuk di dalam akhbar, anda pasti akan bertemu dengan tajuk wajib - 'ragut'. Ragut sekarang sudah menjadi trend baru orang Malaysia. Ragut berlaku di mana-mana. Beberapa hari lalu, seorang kawan aku - yang baru sahaja memilih pemberhentian sukarela - diragut RM 10,000. Cermin keretanya dipecahkan.

Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya mampu melihat sahaja. Orang ramai juga tidak berbuat apa-apa. Mereka melihatnya sahaja.

Beberapa tahun lalu, di Taman Maluri aku melihat melalui cermin sisi kereta kejadian ragut ketika sedang menunggu isteri aku keluar dari pejabat. Peragut itu telah meragut seorang wanita di hadapan pintu pagar rumahnya. Aku tidak menyangka ia satu ragut kerana peragut itu menaiki motosikal Honda Ex-5 secara selamba sahaja. Perlahan.

Perempuan Cina yang sedang diragut itu pula meminta tolong dalam bahasa Cina. Siapa yang akan faham? Jadi kelihatannya seperti melambaikan tangan memberitahu peragut tadi yang mereka tertinggal barang. Lama setelah itu baru aku tahu itu ragut.

Apakah yang boleh kita lakukan bagi mencegah ragut?

Dalam dunia manusia tiada pekerjaan, tiada wang dan nafsu membeli barang membuak-buak, ragut adalah pilihan yang terbaik mereka. Kita juga sedang dihadapkan dengan isu ekonomi yang getir. Kita berhutang untuk apa sahaja. Bukan sekadar untuk membeli rumah dan kereta, tetapi kita juga berhutang PTPTN untuk belajar universiti. Jadi kita semua tertekan. Kita jadi begitu sibuk. Kita tidak sempat berfikir membina sistem kejiranan dan kemanusiaan yang lebih baik.

Kita juga sedang menggendong terlalu banyak penagih dadah. Mereka juga antara manusia yang cenderung untuk meragut. Penagih pula tidak lahir secara automatik. Mereka lahir dari sistem sosial yang pincang. Hidup di rumah pangsa yang kecil, atau persekitaran rumah yang tiada laman dan kotor menyebabkan mereka mencari keseronokan di luar. Semua ini menyumbang.

Dadah pula di bawa masuk melalui banyak jalan. Antara jalan besarnya ialah ada manusia yang tidak jujur. Manusia rasuah yang terpaksa mencari wang lebih untuk membayar hutang. Mereka mungkin menerima rasuah bagi membenarkan orang membawa masuk gula atau baju Siam. Tidak mengapa, gula makanan halal. Baju juga berguna. Tetapi, di celah-celah itu kalau ada yang menyelitkan sekilo dua dadah siapa yang tahu?

Anda akan melihat kereta tunda keluar Thailand jam 11 malam. Kereta siapa yang rosak? Siapakah yang akan memeriksa apa yang ada dalam kereta itu.

Jadi, semua sistem ini telah menyelingkar dan merosakkan yang lain. Pembuat dasar seharusnya bijak dalam menangani ragut. Kita tidak hanya perlu bercakap hal pembangunan bangunan besar, tetapi juga mesti lebih cerdas bercakap hal pembangunan manusia.

Kita perlu lakukan sesuatu dengan sistem pendidikan kita. Sebab, semua orang bersekolah, termasuk para peragut, ahli politik, tuan punya bank, dan penjawat awam. Kita mungkin antara manusia yang sedang membiakkan kejahatan ragut.

Thursday, 23 July 2009

Bila ramai sangat 'pejuang' bahasa

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kalau anda di Malaysia, anda akan melihat satu fenomena baru. Anda akan melihat begitu ramai yang menyokong pemansuhan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ia boleh dilihat dalam kenyataan di akhbar, televisyen atau debat langsung yang dianjurkan. Ia menyebabkan kita melihat begitu banyak tokoh yang membuat ulasan. Mereka ini boleh jadi ahli akademik, pemimpin masyarakat dan politik atau sesiapa sahaja.

Malah seolah-olah ada usaha dijalankan bagi menerangkan mengapa dasar yang telah dimansuhkan itu harus dimansuhkan.

Kelihatannya seperti bagus. Mulus. Lunak.

Bagaimana pun, kita tertanya-tanya mengapa kumpulan 'pemikir' ini hanya muncul selepas isu ini selesai. Kecuali tokoh seperti Datuk Hassan Ahmad, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan beberapa orang lagi, mengapa dahulu mereka ini tidak sekelumit pun bersuara. Media juga seolah-olah tidak memberikan ruang kepada golongan pejuang bahasa, dan adakalanya dilihat seperti anti kemajuan. Sekarang ini nampak terbalik.

Ini yang pelik. Kumpulan ini muncul seperti cendawan selepas hujan. Harapnya mereka ini pejuang bahasa yang tulen, bukan memperjuangkan agenda tersembunyi lain. Jangan jadi tentera yang muncul setelah perang sudah tamat. Seolah-olah merekalah wira sebenar. Yang sebelum ini tertembak, patah dan luka seolah-olahnya dilupakan.

Kalau ingin memperjuangkan bahasa, lakukanlah sesuatu untuk berdebat dengan isu yang baru diajukan pemerintah. Isu mewajibkan lulus bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia sepatutnya diberikan ruang diperdebatkan.

Kalau tanya aku, aku akan kata jangan diteruskan hasrat mewajibkan bahasa Inggeris. Kita selesaikan dahulu persoalan mutu pengajaran bahasa itu sendiri.

Wednesday, 22 July 2009

Bila kita tidak jujur

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Manusia yang tidak jujur dan tamak ada di mana-mana. Ia bukan hanya milik orang bandar, tetapi juga milik orang kampung. Ia bukan hanya milik manusia berpangkat besar, tetapi juga menjadi amalan orang berpangkat kecil.

Setiap hari kita mendengar ada berita penyeludupan manusia dan penyeludupan barang. Ini boleh dilakukan di jalan darat, laut atau udara. Semua yang berkaitan dengan penyeludupan ini adakalanya melibatkan 'orang dalam' seperti yang ditunjukkan di dalam akhbar. Ini adalah hal menunjukkan betapa apabila ada manusia yang tidak jujur berada dalam perkhidmatan, ia merosakkan sistem yang ada. Buatlah apa sahaja dasar sekalipun. Mereka yang busuk ini akan membusukkan perjalanan pentadbiran apabila mereka melalui salur lain untuk memenuhi tembolok nafsu dan wang.

Orang yang tidak jujur juga boleh berbuat banyak projek yang lain juga. Mereka yang terlibat dengan agensi pertanian misalnya, tidak hidup dalam kelompok manusia mewah di Bangsar atau Damansara Utama. Mereka berada di pedalaman, di kampung-kampung bersama masyarakat kecil. Mereka yang tidak jujur ini juga boleh membuat wang.

Ada yang tugasnya ialah untuk menyampaikan maklumat kepada orang kampung mengenai bantuan pertanian - tetapi mereka tidak melakukannya. Sebaliknya merekalah yang memohon peruntukan bantuan bagi menggerakkan projek pertanian dengan menggunakan nama orang lain.

Merekalah yang membuat wang dengan segala bantuan yang ada. Mereka tidak menyampaikan maklumat, malah menyembunyikan meaklumat mengenai segala bantuan yang disediakan oleh kerajaan. Mereka memohon dana agensi, menjalankan perniagaan dan menjadikan diri mereka orang kaya. Mereka jugalah yang meluluskan peruntukan.

Orang kampung tidak tahu apa-apa. Mereka tidak tahu di mana bantuan harus dipohon. Tidak ada pegawai yang datang memberikan maklumat. Akhirnya, mereka kekal sebagai manusia miskin. Menjadi petani serba tradisional. Mereka tidak tahu agro-tech atau baja organik.

Hal ini terjadi kerana ada manusia tidak jujur, tamak dan pentingkan diri sendiri. Mereka inilah serangga perosak. Mereka ini tidak bersembunyi di kota metropolitan, tetapi mereka ini ada dalam kelompok kami - orang-orang terkucil.

Tuesday, 21 July 2009

Update research

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hidup ini sentiasa bukanlah tempat yang sesuai untuk manusia bersenang lenang!

Hari ini, boleh dikatakan survey aku di Selangor telah selesai. Terima kasih kepada banyak orang yang membantu. Terima kasih juga untuk Cik Isuzu Aizu yang banyak tolong aku menerobos ke kampung dan hutan kelapa sawit di Kuala Selangor. Khabarnya dia ada terserempak dengan pesta bogel!

Terima kasih juga kepada teman aku yang lain yang dikurangkan selera surveynya dengan layanan orang Malaysia yang kononnya sangat ramah tamah itu. Dia terpaksa membawa bersama suaminya untuk menjadikan perjalanan kajian tersebut lebih selamat.

Dalam dunia ini banyak tempat yang tidak selamat. Salah satu daripadanya ialah Malaysia. Jangan sesekali membandingkan Adelaide dengan Ampang dari segi kualiti untuk anda berjalan santai dengan senang lenang. Walaupun kita sibuk berkempen Budi Bahasa Budaya Kita atau meng'hadhari'kan manusia, nampaknya tidak ada apa pun yang berubah.

Walaupun siap, tetapi nampaknya kajian ini masih belum cukup jumlah peserta kajian. Tidak cukup 200 orang bagi membolehkan dianalisis dengan software AMOS. Jumlah keseluruhan yang aku berjaya dapatkan cuma 127 orang. Angka yang menyedihkan.

Jadi, apa selanjutnya? Aku perlu menyeberang ke Negeri Sembilan. Itu antara perancangan yang ada dalam kepala setakat ini. Juga mungkin juga ke Pahang.

Ada sesiapa yang hendak tolong? Aku bayar la.

Sunday, 19 July 2009

Nasihat untuk orang kampung aku

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari kita bimbang anak-anak kita terjebak dengan budaya liar. Kita bimbang mereka menagih dadah. Kita bimbang mereka merempit. Kita bimbang kalau mereka berkawan dengan orang yang bukan-bukan. Kita semua takutkan hal itu.

Tetapi, ada satu hal yang sering kita terlupa. Kita terlupa merenung ke dalam cermin setiap pagi melihat kebobrokan hidup kita juga. Kita hanya pandai berdebat hal anak muda. Kita tanpa ragu-ragu bijak berkata-kata mengenai perilaku buruk mereka.

Kita apa kurangnya. Di kampung aku, sekarang ini hampir kebanyakan orang tua juga sudah jadi penagih. Tidak terkecuali orang yang tahu hal agama, orang yang berniaga atau yang cerdik pandai hal anak-anak. Bukan seorang dua, lebih 30 orang. Bukan usia 20-an, tetapi yang menjangkau 60-an juga menagih.

Mereka melepak di kedai kopi atau di rumah tertentu untuk meminum air daun biak atau dikenali juga daun ketum. Ada yang membawa sebotol Coca-Cola yang diisikan air biak yang sudah direbus. Ada yang diisi di dalam 'jag'. Ada yang menanam pokok ini di belakang rumah. Semuanya adalah bahana menagih air daun ketum.

Kata mereka, daun ketum menyihatkan. Ia menguatkan tenaga. Ia memulihkan banyak penyakit.

Kata mereka ia bukan dadah. Ia hanya daun yang menjadi ubat.

Semua ini dongeng. Kalau ubat, mereka akan menjadi kuat. Kalau sakit, tidak perlu ke hospital. Ini tidak. Yang darah tinggi, tetap perlu makan ubat. Bila wabak chinkunkunya datang, mereka demam juga. Jadi semua itu karut.

Itu jugalah alasan yang diberikan anak-anak kita yang menagih ganja, heroin atau ice. Anak kita berkata, ia ubat untuk berseronok sahaja. Tidak ada apa yang bahaya pun. Ganja boleh menaikkan nafsu makan. Heroin boleh menghilang demam dengan cepat. Mereka boleh menghisap, mereka juga boleh berhenti.

Penagih daun ketum juga tidak ubah seperti penagih heroin. Ia akan menyebabkan sakit-sakit, mengantuk, gelisah, dan cirit-birit. Ia perlu diminum setiap hari. Kalau tidak semua kerja tidak menjadi. Bukan minum sekali, tetapi berkali-kali. Jadi, kalau begitu apa bezanya dengan dadah yang dihisap anak-anak kita.

Ada satu yang beza. Kita akan berkata, apa yang kita buat selalu betul. Apa yang anak kita buat akan selalu salah.

Sudahlah. Baliklah. Kita tidak terlalu muda untuk terus berkhayal.

Wednesday, 15 July 2009

Aku perlu menulis

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Baru siap menulis sekeping lagi makalah untuk persidangan di Kuala Lumpur. Aku rasa inilah yang paling senang aku tulis. Sebab ditulis dalam bahasa Melayu. Tidak perlu upah editor semak tatabahasa. Tidak perlu tunjuk kepada penyelia sebab dia tak akan faham, walaupun aku tulis juga nama dia sebagai penulis bersama. Semuanya siap dalam masa dua hari.

Memanglah benar, persidangan ini tidaklah setaraf 5 bintang seperti persidangan di Sydney atau Darwin, tetapi aku merasa perlu munculkan diri. Sebabnya inilah peluangnya aku menyumbang sesuatu dalam dunia penulisan dalam bahasa Melayu. Kalau semua pakat-pakat tulis dalam bahasa Inggeris, sampai bila kita akan ada tradisi keilmuan kita sendiri dalam bahasa Melayu.

Lagi pula, aku memulakan dunia kerjaya aku sebagai penulis. Aku juga kadangkala menolong kerja-kerja editor. Jadi, aku perlu terus menulis. Hal PhD yang sedang berkeceramukan biarkan dahulu.

Monday, 13 July 2009

Bersidang dan bersidang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sekarang ini aku di Sungai Kerang. Baru balik dari South East Asia Psychology Conference, Kota Kinabalu. 3 hari di sana. Inilah kali pertama dalam seumur hidup aku menyertai persidangan psikologi dan bercakap dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Sebenarnya ada juga yang bercakap bahasa Melayu, tetapi sebab kertas aku ditulis dalam bahasa orang putih, jadi tak sesuai pula bercakap bahasa Melayu. Lagi pula, ada beberapa kerat manusia bukan Malaysia dalam bilik itu.

Apa perasaan aku. Aku tidaklah berperasaan apa-apa sangat. Sebab aku pasti tidak ada orang tahu sangat pun bidang kajian aku ini. Ada la juga peserta yang cuba bertanya soalan. Terima kasih kerana memberi aku peluang menjawabnya.

Sebelum balik ke Adelaide, ada satu lagi persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur. Gamaknya inilah kerja orang akademik. Asyik bersidang. Siapa yang faham apa yang kita tulis. Petani, penoreh, penjual ikan dan semua orang awam tak akan ambil kisah semua itu. Yang mereka ingin tahu, besok dapur akan berasap lagi atau tidak.

Maka terlenalah kita semua dengan bersidang, bersidang dan bersidang.

Monday, 6 July 2009

Mengapa tidak update

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari ini tidak sempat update.

Orang yang mengaji PhD memang sangat sibuk. Manusia ini akan sibuk dengan penyelidikan, membaca buku, menganalisis, persidangan dan bermacam-macam sibuk. Juga sibuk berfikir. Di atas mejanya akan tersusun ratusan buah buku.

Itu mungkin benar. Tetapi tidak benar untuk aku.

Aku sibuk memancing haruan dan puyu. Beberapa hari lalu aku mendapat haruan besar. Ikan puyu jangan dibilang lagi.

Malamnya pula, kadang-kadang 'mengelau'. Ia berbeza dengan memancing. Walaupun alatnya hampir sama. Cuma batang jorannya panjang, dan kaedahnya juga lain. Umpannya juga lain. Tidak boleh bercakap. Kena diam dan senyap. Lampu tidak boleh dibuka.

Itulah sibuknya aku sekarang ini. Banyak lubuk baru yang sedang diterokai. Biasanya ada anak-anak sungai yang berada jauh dalam hutan dan tidak diketahui pemancing lain. Itulah tumpuan aku sekarang.

Sebab itulah tidak sempat update.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails