Yang Ikut

Thursday, 25 June 2009

Bila semuanya tidak menjadi - part II

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Esok ada dua berita tidak gembira dalam hidup aku.

Pertamanya - esok genaplah 37 tahun umur aku. Bila usia semakin tua, maksudnya peluang untuk mati semakin tinggi.

Keduanya - esok poster aku akan dibentangkan di Sydney.

Ia tidak menggembirakan kerana pagi tadi - 6.50 waktu Malaysia, Kak Ton yang akan membentangkan poster aku memberitahu poster yang sepatutnya dibentangkan tidak sampai ke tangannya lagi. Poster yang sudah siap dicetak 3 hari lalu sepatutnya dihantar kepada penyelia aku semalam. Tetapi, khabarnya ia tidak sampai dan tidak pun menerimanya.

Pagi ini pula - penyelia aku akan naik kapal terbang jam 9.30 pagi.

Jadi, aku anggap itu hadiah hari jadi tahun 2009 ini. Hadiah lain termasuklah kertas jurnal yang diusahakan 6 bulan lalu sudah jadi kertas suratkhabar lama.

Benar kata Azam, kita perlu ada 'back-up'. Itu istilah akademik. Istilah pembuat karipap seperti aku ialah 'frozen'. Kita perlu ada karipap yang dibekukan yang boleh jadi makanan segera saat yang penuh kecemasan.

Wednesday, 24 June 2009

Bila semuanya tidak menjadi

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam, entah apa malang yang menimpa. Ia datang berulang-ulang.

Aku keluar rumah seawal jam 9 pagi. Menunggu di depan cyber cafe di Changlun jam 9.30 yang biasanya dibuka jam 10. Jam 10 aku masuk cyber bagi tujuan mengedit beberapa halaman kertas jurnal yang WAJIB dihantar sebelum menjelang malam. Pukul 2 petang aku pulang sebentar untuk mengambil isteri dan membawanya ke pekan Changlun. Aku kembali ke dalam cyber cafe. Dia menunggu dalam kereta.

Jam 3.30 petang semuanya sudah selesai. Jadual baru telah siap dibina. Format bibliografi telah siap disemak. 100 peratus siap.

Jadi, aku terus meng'upload' fail ke dalam sistem penerbit jurnal. Setiap kali aku cuba upload, server down. Ini masalah biasa di Malaysia. Internet kita masih seperti kura-kura cuba bertanding olahraga 100 meter dunia. Beberapa kali cubaan gagal, aku berfikir ada baiknya aku mencari kedai lain.

Cabut thumb drive, bayar duit aku memecut kereta ke kedai lain di seberang jalan. Hari siang memang panas. Aku memang sedang cemas.

Masuk kedai, cuba upload lagi. Tiba-tiba semua fail word dalam folder aku sudah bertukar format exe. Aku mencuba beberapa kali membuka fail jurnal. Gagal. Aku jadi ragu-ragu. Fail yang lain boleh dibuka, mengapa tidak yang ini?

Aku pun menjalankan kerja-kerja scan virus. Lega. Semua virus dipadam. Ia hilang semua. Termasuk fail aku. Ulang. TERMASUK FAIL AKU. Hah. Ini hari paling gila dalam hidup. Rasa semacam hendak menangis pun ada. Hendak bakar cyber cafe pun ada. Yang pasti, aku terasa semacam hendak patahkan thumb drive. Marah bercampur hangat.

Terus masuk kereta, memecut laju. Balik rumah. Ambil air sembayang. Solat. Merokok. Duduk termanggu. Diam. Kaku. Isteri aku pun tak berani lagi nak bermesraan dengan aku.

Akhirnya, aku tahu semua ini ditentukan Allah. Aku pergi ke cyber lagi petang itu. Cyber cafe yang ketiga hari itu. Memulakan lagi kerja-kerja aku. Membuka email dan mengambilnya dari fail yang dihantar oleh supervisor. Semuanya dimulakan lagi. Hampir maghrib ia siap. Tapi tidak lagi sempurna. Seadanya sahaja. Jadualnya sudah bertukar baru. Angkanya mungkin sudah terpelencong. Rajahnya bergaris lain.

Aku hantar juga kepada penerbit. Apa nak jadi, jadilah. Balik rumah dan diam. Tawwakal jalan akhirnya.

Aku perlu melupakannya. Nasib baik aku ada dua lagi bengkel dalam sehari dua ini. Jadi aku perlu sibukkan dengan hal yang lain. Jangan dirisaukan dengan kertas jurnal. Ia bukan kitab. Ia bukan menulis hadis. Ia hanya sumbangan kita dalam percaturan ilmu sekular.

Tuesday, 23 June 2009

Anda pergi tuisyen

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kalau anda suka memerhatikan di sekeliling anda, kita dapati terlalu banyak pusat tuisyen di Malaysia. Ia ada di setiap bandar dari Changlun sehingga ke Johor Bahru. Ia fenomena positif. Kita semua berusaha untuk pastikan anak-anak kita cemerlang dan berjaya. Ia fenomena bagus. Ia memunculkan usahawan baru.

Tapi aku tidak mahu bercakap hal itu. Aku jadi tertanya-tanya, tidak cukupkan pendidikan yang ada di sekolah sehingga kita perlukan latihan di luar bilik darjah? Tidak cukup baguskah guru yang ada di sekolah? Atau, kita semua begitu cenderung untuk berjaya hingga sanggup melakukan apa sahaja.

Soalan ini aku timbulkan bukan untuk salahkan sesiapa. Melihat kepada sibuknya anak-anak kita, pergi pagi pulang petang, menjelang malam ke tuisyen pula, jadi apa yang sebenarnya mereka cari? Ia bukan budaya seorang dua. Ia telah jadi fenomena semua orang. Semua keluarga kini wajib menghantar anak-anaknya ke tuisyen.

Inilah masalahnya bila kita semua telah melukis semula kitar hidup kita dengan cara mendarjatkan hierarki masyarakat. Yang lulus periksa jadi terbilang, yang gagal kita buang. Yang lulus diberi gaji mahal, yang gagal kita jadikan mereka buruh kilang, pembina bangunan dan pemungut sampah. Jadi semua orang telah dengan semulajadinya terpaksa bermatian-matian untuk pastikan anak lulus periksa.

Atau ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita? Kita terlalu banyak sukatan pelajaran atau terlalu banyak subjek? Kita ingin belajar semua perkara di dunia ini. Kita sibuk ingin tahu semua perkara - penanaman gandum di Kanada, penteranakan lembu di New Zealand, cuaca sejuk di Antartika. Semuanya kita ingin tahu - kerana kita ingin jadi manusia sempurna.

Bila banyak masa dihabiskan di sekolah dan di pusat tuisyen, bila waktunya kita mendidik mereka menjadi manusia. Mereka merempit di jalanan, melepak di lorong dan menagih di laman orang.

Pernahkah anda melihat ada pusat tuisyen di Adelaide.

Monday, 22 June 2009

Terima kasih cikgu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jam 3.07 petang waktu Changlun. Aku baru sahaja selesai dengan aktiviti bersosial. Hari ini aku mengendalikan lagi bengkel "Kaedah Menghafal" di sebuah sekolah menengah di daerah Kubang Pasu. Tapi, nampaknya hari ini tidak berapa jadi amal pula bila mereka membayar untuk duit minyak kereta bagi kerja aku selama 2 jam. Tidak ambil, nanti orang kata aku sombong. Ambil, dah sah duit itu aku pakai!

Selain bengkel, aku jumpa sempat bertemu dengan seorang guru lama aku yang kini dah berusia. Setahun dua lagi dia akan pencen. Pernah jadi Penolong Kanan. Dia guru sejarah semasa aku di Tingkatan 6 dahulu. Dia sempat juga masuk duduk dalam bilik bengkel. Dia tak habis-habis memuji aku depan anak muridnya yang hadir dalam bengkel. Kami sempat berborak-borak banyak hal. Aku ceritakan pengalaman hidup aku. Dia pula ceritakan hidupnya.

Nampaknya, dalam banyak-banyak peluang yang ada dalam hidup, semuanya bermula dengan guru. Kita boleh jadi orang besar, ada isteri banyak, ada kereta mahal. Semuanya tidak akan bermula kalau kita tidak tahu kira dan membaca. Semuanya kerana guru.

Terima kasih untuk semua yang bernama guru.

Thursday, 18 June 2009

Kita ciptakan kekalutan bahasa lagi

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Di Malaysia, salah satu isu yang tak pernah selesai ialah kemelut bahasa. Ia sepatutnya tidak menjadi isu, tetapi menjadi polemik apabila kita mula tidak yakin dan percaya dengan bahasa sendiri. Ia tidak menjadi kemelut di China, Jepun, Korea, Jerman, bahkan di Thailand dan Indonesia. Kita menciptakan kekalutan untuk kita sendiri dengan bermain-main mengenai isu bahasa.

Sekarang, orang sedang kalut berbahas sama ada patut bahasa Inggeris menjadi subjek wajib lulus dalam SPM. Berdasarkan pungutan pendapat, dikatakan 80 peratus rakyat Malaysia setuju.

Kalau orang bertanya aku, aku akan selalu tidak percaya akan keperluan bahasa Inggeris dijadikan subjek lulus SPM. Aku orang yang pesimis, kampung dan kolot. Jadi, aku akan selalu berhujah dengan idea kolot dan meragukan juga.

Aku selalu membayangkan, banyak masalah sosial yang berlaku kini kerana banyak anak muda kita yang tidak mendapat tempat yang baik dalam peperiksaan. Apabila tamat sekolah, mereka tidak mampu menyambung pelajaran ke tempat tinggi. Memasuki alam pekerjaan pun sebagai pekerja kelas bawah.

Jadi, untuk mencari wang lebih, kadang-kadang perlu menyeluk poket dan meragut. Untuk berhibur, kerana tidak mampu dan jiwa kosong, mereka merempit di jalanraya. Yang teruk, akan mencari ice dan pil kuda. Ya, apa boleh mereka buat?

Untuk menjadi sibuk seperti pelajar universiti, mereka bukan pelajar baik dalam peperiksaan. Untuk mempunyai wang banyak, mereka hanya ada sekeping sijil yang tidak berguna.

Bagaimana pula halnya kalau Bahasa Inggeris dijadikan subjek wajib? Tentu akan lebih banyak budak-budak kampung, remaja FELDA atau yang tinggal di pedalaman akan gagal. Kita boleh berhujah, sebab tidak wajib itulah, pelajar kita malas dan tidak mahu berusaha. Sebab kita orang bandar dan ada wang kita boleh berhujah begitu. Di Australia, aku terserempak dengan seorang gadis Cina dari Kepala Batas, Pulau Pinang yang sedang mengikuti kursus bahasa Inggeris ketika sedang menunggu keputusan SPM. Ada orang kita yang mampu menghantar anak kita ke luar negara semata-mata belajar bahasa Inggeris yang yurannya AUD 3,500 atau RM10,000 - RM11,000 untuk tempoh sepuluh minggu? Untuk mendapat RM 50 sehari pun belum tentu, inikan RM10,000.

Untuk berjaya, mereka perlu berusaha. Itu benar. Tetapi, setiap usaha bukan hanya membelek buku. Ia perlukan wang. Perlu mengupah guru terbaik. Jadi, jangan hanya berkata anak-anak kita tidak mahu berusaha? Jangan ciptakan hujah untuk menghalalkan cara.

Kita perlu lihat, adakah telah kita siapkan guru bahasa Inggeris terbaik di sekolah luar bandar. Begitu juga dengan kemahiran bahasa Inggeris untuk guru yang mengajar sains dan matematik. Di rumah, adakah pelajar-pelajar ini bertutur bahasa Inggeris dengan persekitaran sosial mereka. Jadi, semua itu akan menyebabkan mereka tidak mungkin menguasai bahasa Inggeris dengan sempurna.

Mewajibkan bahasa Inggeris sebagai subjek lulus umpama mewajibkan mereka yang ingin mendapat sijil berenang merentas Laut Cina Selatan. Walaupun mungkin ada yang akan lulus, tentu banyak yang akan hanyut. Ini lebih buruk. Ia lebih teruk walaupun kita mungkin akan menghasilkan manusia yang bijak berbahasa Inggeris, tetapi banyak yang mati dan karam begitu sahaja.

Jadi, apa yang patut kita buat.

Jangan jadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus. Sebaliknya, untuk pelajar yang ingin ke universiti, pastikan mereka lulus ujian kemahiran bahasa Inggeris seperti MUET atau IELTS. Untuk bidang pekerjaan tertentu, mereka boleh sahaja diwajibkan lulus ujian khas bahasa Inggeris bagi kategori pekerjaan. Jadi, tidak ada pelajar kita yang gagal SPM semata-mata kerana tidak menguasai bahasa Inggeris.

Bayangkan begini. Anda tidak lulus bahasa Inggeris dalam SPM. Anda bukan sahaja tidak layak ke universiti. Bahkan, memohon jawatan tukang kebun pun anda tidak layak kerana anda tidak lulus SPM.

Jadi, apa kesudahannya? Anda boleh memilih meragut, merompak dan menyamun.

Tuesday, 16 June 2009

Ini bukan cyber cafe baru

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku di Sungai Kerang. Jangan anda datang ke sini untuk mencari cyber cafe yang canggih. Ada dua buah cyber cafe di sini. Salah sebuahnya banyak tutup dari buka. Salah sebuahnya lagi cuma ada 4 buah komputer yang usang dan penuh dengan virus. Tetapi itulah yang terbaik kemudahan ICT yang ada di sini. Tidak ada pilihan lain.

Aku terpaksa juga menjenguk cyber cafe ini. Mesti. Aku perlu membaca e-mel, atau apa-apa berita lain yang penting. Kadang-kadang aku perlu memberikan respons kepada supervisor aku. Kadang-kadang perlu menjawab e-mel penganjur persidangan. Blog juga kadang-kadang kena jenguk. Blog kawan-kawan juga. Semua itu adalah perlu. Aku lakukan dalam celah-celah sibuk ke sana ke mari, berselang seli dalam hidup aku di Changlun, Sungai Kerang dan Kuala Lumpur.

Beberapa hari ini aku sedikit teruja kerana kajian PhD aku sudah termasuk dalam senarai WHO Global Action Plan 2008-2012. Aku harap satu hari nanti aku dipilih menjadi Setiausaha Agung PBB. Tapi, dalam banyak berkhayal itu, baru aku tersedar. Semua itu tak ada makna kalau kajian aku tidak siap, dan PhD aku terkantoi. Semua itu juga tidak ada makna bila setiap kali aku cuba menulis emel memohon geran dari mana-mana jabatan, mereka semua diam. Mereka bisu dan tidak memberikan apa-apa respons.

Aku tidak akan sesekali salahkan mereka. Mungkin mereka juga sedang mengalami masalah untuk mencari cyber cafe yang baik seperti aku. Atau mereka memiliki sesuatu yang lebih usang dari apa yang ada di Sungai Kerang.

Untuk warga Adelaide, teruslah merungut dalam kesejukan. Untuk merasa sedikit panas, pulanglah ke Malaysia. Untuk yang idamkan suasana lebih panas dan sentiasa akan panas, singgahlah ke bumi Perak!

Thursday, 11 June 2009

Kesibukan adalah percuma

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seminggu lagi, cukuplah sebulan aku di Malaysia. Masa berlalu dengan cepat. Dalam dunia ini hanya ada dua perkara yang cepat sangat ia berlalu. Masa dan duit.

Kehidupan aku di kampung pun sibuk juga. Siang di cyber cafe. Pagi kedai kopi. Malam kedai mamak. Makan kenduri kahwin. Tengah hari di kedai kopi.

Dalam kesibukan yang tak perlu itu, semalam jam 8.00 - 10.00 aku bersama dengan beberapa orang teman lain, kami menganjurkan bengkel "Kaedah Menghafal" untuk budak-budak kampung. Notis diedarkan. Iklan mulut ke mulut di buat. Sepatutnya hanya untuk pelajar sekolah menengah. Tapi semalam yang datang lebih 50 orang. Bukan sekadar budak-budak kampung aku sahaja, orang kampung luar pun datang. Hebatnya, emak dan ayah pun masuk juga ke dalam dewan tempat kami mengendalikan program.

Sambutan luar biasa. Ada yang memberikan sumbangan makan dan minum. Ada yang tolong aku edarkan kertas latihan. Ada yang sumbangkan white board. Sayang, dewan orang ramai kampung aku yang dibina tahun 1965 masih tak berubah sifatnya. Kotor, usang dan simen dalamnya berlubang-lubang. Tandasnya yang ada hanya sebuah itu pula kotor. Tidak ada tong sampah. Tidak ada orang menjaganya. Tergantung 4 atau lima bendera sebuah parti politik di dalamnya.

Mereka sibuk dengan politik. Tetapi, mereka tidak tahu bagaimana memohon bantuan kerajaan bagi mengubah wajah dewan nolstalgia tersebut. Mereka sibuk dengan lambang. Sepatutnya bukan itu. Mereka patut memohon bantuan kerajaan menyediakan cyber cafe, perpustakaan dan membesarkan dewan orang ramai. Itu dahulu yang diutamakan. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang kita sumbangkan untuk orang kampung.

Tidak mengapalah. Seperti kata abang Ben, aku bukan orang politik. Selepas selesai bengkel malam tadi, ada budak-budak yang datang dari luar kampung aku itu meminta aku adakan pula di kampung mereka. Ada seorang guru pula memintakan aku datang ke sekolahnya juga.

Kini aku sibuk. Akhirnya aku tahu bagaimana untuk menjadikan kita manusia yang sibuk. Berikan perkhidmatan anda secara percuma!

Tuesday, 9 June 2009

Jadi, buatlah sesuatu

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Cuaca di Malaysia sekarang panas. Di mana-mana pun panas. Ia mungkin sebahagian dari kesan pemanasan global yang tidak diketahui maknanya oleh orang di kampung aku. Mereka tahu cuaca berubah dan tidak lagi stabil. Tetapi mereka tidak tahu apa itu pemanasan global.

Kalau anda mendengar radio, atau menonton televisyen atau membaca suratkhabar, sekarang ini ada usaha untuk menyedarkan orang ramai tentang pencemaran alam sekitar. Bagi aku itu usaha yang bagus. Ia usaha yang murni dan tulus, walaupun kadang-kadang orang yang sinikal seperti aku akan selalu berkata ia hanya usaha yang mulus.

Mengapa begitu. Satu iklan radio mengajak orang ramai jangan menggunakan beg plastik. Mereka juga menggesa orang awam menggunakan plastik organik. Tidak juga terlupa mereka mengingatkan untuk membawa beg sendiri.

Ia mulus kerana bagi orang ramai, mereka menggunakan apa sahaja plastik yang telah diisikan barang oleh tuan kedai. Organik atau tidak, mereka tidak tahu. Kalau betullah kita serius untuk tidak menggunakan beg plastik, haramkan penggunaannya. Tidak ada lagi kilang menghasilkan beg plastik selain yang organik. Kita juga tidak lagi mengimpot plastik dari China. Jadi, yang ada hanya plastik organik. Orang kampung tidak peduli pun. Mereka hanya membeli barang. Plastik yang mencemar alam atau tidak, tidak begitu penting. Apa diberi, itulah diambil.

Tetapi siapa yang berani menutup kilang plastik? Siapa yang patut mengadakan polisi penggunaan beg sendiri. Tidak ada. Tidak ada sesiapa yang bersuara pun hal itu. Jadi, akhirnya, yang disalahkan orang kampung yang tidak tahupun komponen kimia plastik.

Sebenarnya alam tercemar bukan sekadar plastik. Anda berjalanlah dalam sesak orang ramai di pasar malam Bandar Bangi atau Changlun yang panjang itu. Tidak ada sebiji pun tong sampah yang ada di tengah pekan itu. Jadi di mana mereka patut membuangkan sampah kalau bukan ke longkang? Jadi, janganlah hanya membisingkan agar orang ramai menjaga kebersihan kalau tong sampah pun tidak ada.

Di kampung aku, setelah lebih 50 tahun merdeka, tidak ada sebiji pun tong sampah yang disediakan pemerintah baik yang baru sahaja berkuasa atau yang sebelum ini. Jadi, ke mana patut orang kampung aku buat dengan sampah sarap, pampers, sisa makanan dan apa sahaja yang busuk itu? Mereka akan bakar. Asapnya mencemarkan alam. Mereka buang ke sungai, semaknya mencemarkan air. Mereka buang di sekeliling rumah. Maka membiaklah nyamuk dan penyakit.

Jadi, jangan hanya datang ke kampung dan mencari jentik-jentik dan mengeluarkan kertas saman semata-mata. Ia tidak ada maknanya. Seperti memberikan anugerah penyapu untuk orang yang tidak ada tong sampah. Kita sudah ada lapangan terbang terbaik dunia dan bangunan tertinggi Asia. Sayangnya, kita tidak ada tong sampah yang harganya tidak pun sampai RM 100.

Jadi, buatlah sesuatu. Nasihat ini aku tujukan untuk semua kawan-kawan aku yang menjadi orang politik, penasihat menteri dan pembuat polisi.

Monday, 8 June 2009

Berita biasa

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini di Changlun lagi. Cyber cafe sudah jadi pejabat harian. Duduk dari pagi sampai petang. Soal selidik pun sudah diambil oleh pembantu penyelidik. Harapnya dalam sebulan dua ini mereka akan siap menjelajah Selangor. Sebelum habis bulan ini pula harapnya aku akan siap semua urusan berkaitan penulisan beberapa kertas.

Jadual hidup di kampung mudah. Pagi, bangun dan singgah di kedai kopi. Minum, makan dan borak-borak dengan orang kampung. Tiada tajuk besar. Tajuk hal masyarakat kampung sahaja. Pukul 10 aku akan bergerak ke pekan Changlun dan masuk cyber cafe. Pukul 1 tengah hari balik rumah. Pukul 3 petang masuk balik cyber cafe. Pukul 5.30 balik rumah.

Malam, selepas Isyak keluar. Cari kedai mamak atau kedai tomyam. Makan, lepak dan minum. Tetapi yang banyaknya berborak dan berbual. Pukul 12 balik rumah. Tengok ASTRO apa yang patut ditengok. Sekarang ini tv di Malaysia dah jadi caca merba. Semua orang sibuk nak jadi macam-macam juara. Juara nyanyi, juara lawak, juara lakon, juara mentor dan macam-macam juara. Banyaknya orang Melayu. Tukang sms pun orang Melayu. Yang kayanya orang lain. Sampai kiamat pun orang Melayu terus bermimpi menjadi bintang. Orang lain sibuk mengkaji bintang.

Sebab itu sekarang ini di Malaysia kita ada banyak sangat bintang. Di celah-celah itu ada pula 'binatang' yang meragut, menyamun, merompak dan merogol. .

Sunday, 7 June 2009

Jangan hanya marah mat rempit

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku kembali semula ke Changlun setelah beberapa hari di Kuala Lumpur dan Pantai Remis. Aku kembali semula ke dalam riuh warganya. Mereka riuh dengan banyak perkara.

Mereka riuh dengan sakit sendi. Mereka riuh kerana lampu isyarat di jalan masuk kampung aku berfungsi dengan baik. Yang tidak berfungsi ialah akal manusia. Mereka tidak pernah melayan lampu isyarat dengan baik. Merah, hijau atau kuning semuanya sama sahaja. Lori, bas, kereta semuanya sama sahaja. Pemandunya sama ada yang berkerja swasta atau kerajaan juga sama sahaja pendek akalnya. Minggu lepas ada seorang yang mati kerana dilanggar di simpang itu. Beberapa tahun sebelumnya ada seorang wanita dilanggar di lampu itu juga. Dia koma sampai sekarang.

Kadang-kadang, yang menjadikan kita semua hidup dalam riuh kesengsaraan bukan sahaja kerana kita tidak berdisiplin. Kita juga tidak menyediakan prasarana yang sempurna. Sepatutnya lampu isyarat itu disediakan cermin besar bagi membolehkan pengguna melihat pemandu lain yang datang dari bawah jambatan.

Kita memang pandai menyediakan jalan dan lebuhraya. Tapi, kita tidak pandai menyediakan lorong pejalan kaki, orang cacat dan pemandu basikal dan motosikal. Tadi, ketika aku menaiki motosikal di lebuhraya dari arah Bukit Kayu Hitam ke Changlun, ada sebuah bas besar membunyikan hot tepat di sebelah aku. Dia tidak salah. Dia mungkin mengharapkan aku tidak ke tengah jalan. Tetapi, aku juga tidak boleh ke tepi lagi. Tidak ada lorong untuk penunggang motosikal cabuk seperti aku.

Sebenarnya banyak kemalangan bukan hanya kerana memandu laju atau tidak mengikut papan tanda. Banyak kemalangan kerana kita hanya berbangga dengan banyaknya tol, tetapi tidak cukup melihat keperluan keselamatan lain. Akhirnya kita hanya membisingkan budak-budak rempit semata-mata. Kita terlupa kita juga tidaklah sebaik mana dalam merangka pembangunan jalan.

Saturday, 6 June 2009

Kembali ke sekolah

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Minggu lepas aku kembali ke sekolah lama aku, Sekolah Menengah Jitra. Aku sengaja kembali ke sana untuk mengendalikan bengkel 'Kaedah Menghafal" untuk budak-budak sekolah. Banyak yang telah berubah. Bangunan sekolah yang telah berubah. Guru-guru juga telah berumur. Seperti aku juga.

Aku mula masuk ke sekolah tersebut tahun 1985. Masa itu masih budak sangat lagi. Kejayaan aku masuk ke sekolah itu dan tinggal di asrama dianggap kejayaan luar biasa. Tujuh tahun kemudian, pada tahun 1991 aku mengakhiri zaman persekolahan. Aku masih ingat banyak perkara. Masih terasa baru.

Rupa-rupanya tidak. Ia peristiwa lama dahulu. Pelajar paling tua dalam bengkel aku berumur 19 tahun. Maksudnya pada tahun 1985 mereka belum lahir lagi. Ibu dan bapa mereka mungkin belum bercinta lagi. Tahun 1991 mereka baru berusia 1 tahun. Masih bayi. Sekarang, mereka pula sudah ada misai. Dan aku pula yang berada di hadapan mereka. Bayangkan, berapa tuanya aku sekarang.

Sampai sekarang, aku masih membayangkan kalaulah aku dapat kembali ke usia silam. Aku fikir aku tidak mahu mengaji psikologi. Aku mahu menjadi ahli politik. Ia membuatkan anda memiliki kuasa, wang dan apa sahaja.

Thursday, 4 June 2009

Minda kita memang kelas pertama

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku baru tinggal di Adelaide hampir 2 tahun. Tetapi aku tidak sesat. Aku ada buku peta. Kalau tak buka buku peta pun, aku boleh membaca papan tanda jalan yang disediakan. Dengan panduan itu aku telah sampai ke Melbourne 2 kali. Aku juga sampai ke Goolwa, Moonta Bay atau Philip Island.

Di Kuala Lumpur, beberapa hari lalu aku sesat beberapa kali. Aku sesat kerana mencari jalan untuk sampai ke Bukit Damansara. Aku sesat kerana kini banyak sangat lebuhraya yang sedang menganga menanti wang anda. Apabila tersalah membelok, tidak ada lagi harapan untuk anda pulang ke pangkal jalan. Malang lagi, ketika aku mengikut papan tanda arah ke Pusat Sains Negara, tiba-tiba di sebuah simpang tiga, papan tanda ke pusat ternama negara itu tiada lagi. Jadi, arah ke mana aku nak pergi? Akhirnya aku sesat dan hilang lagi. Hari itu sahaja aku membayar tol enam kali untuk berpusing dari satu jalan ke satu jalan, dari satu lebuh raya ke satu lebuhraya. Inilah minda pertama pembuat tanda jalan!

Sehari kemudiannya, aku mengikut Jalan Ipoh untuk ke Country Home di Rawang. Aku sesat lagi. Country Home ialah kawasan perumahan baru dan mewah - tempat duduk kawan aku, Din yang susah. Tetapi sepanjang perjalanan, tidak ada satu ayat pun tertulis Country Home. Kalau ada ayat Home atau Country pun mungkin aku boleh sampai. Aku tersesat dan berpusing-pusing lagi dalam kawasan Rawang. 2 jam lebih baru berjumpa. Inilah minda kelas pertama kita. Kita tidak perlukan petunjuk arah. Yang kita perlukan ialah daya hafalan nama-nama jalan.

Ketika lalu di pekan Pantai Remis, lampu merah bernyala. Ada dua lampu merah pada jarak yang tidak jauh di antara satunya. Aku jadi keliru. Di mana aku hendak berhenti. Tidak ada garis putih untuk aku berhenti. Adakah garis putih itu ada di lampu merah hadapan. Aku pergi lagi. Tidak ada juga. Akhirnya aku terus tanpa berhenti. Inilah minda pertama kita. Kita perlu menghafal di mana garis putih sepatutnya ada, yang mungkin dicat pertama kalinya tahun 1980-an, bukan perlu lihat dengan mata.

Semua ini mengingatkan aku betapa perlunya kita menghafal. Ingat, pembuat papan tanda jalan ialah orang yang tahu arah. Jadi mereka tahu semua arah jalan. Mereka tidak pernah cuba ambil tahu adakah orang lain tahu atau tidak. Mereka ingat semua manusia ini ialah penghafal jalan kelas pertama juga. Mereka tidak anggap penting pun orang akan tersesat atau tidak, kerana mereka rasa orang lain juga tahu seperti mereka.

Jadi, yang sepatutnya buat papan tanda jalan ialah orang kampung yang tak tahu apa-apa. Mereka akan terus bertanya dan bertanya. Mereka inilah manusia yangt sepatutnya ditugaskan membuat papan tanda jalan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails