Yang Ikut

Wednesday, 27 May 2009

Baiknya orang kampung

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini Rabu. Changlun akan kembali dimeriahkan dengan pasar malam. Dahulu, pasar malam Changlun hanya untuk orang kampung. Sekarang tidak lagi. Ia kini menjadi pasar malam antarabangsa. Banyak orang luar. Banyak orang Arab juga yang kebanyakannya mungkin pelajar UUM.

Beberapa hari ini tidak sempat mengemaskini. Sibuk dengan macam-macam hal. Kadang-kadang hal kajian. Kadang-kadang hal keluarga. Tetapi, banyak halnya ialah lepak dan minum teh tarik di kedai.

Banyak bezanya di antara orang kampung dengan orang bandar kalau kita singgah di kedai kopi. Setiap hari, akan ada orang yang akan membayar anda minum secara percuma. Mereka membayar bukan anda seorang, tetapi semua orang yang minum di dalam kedai. Kalau ada 10 orang, mereka akan membayar semuanya. Kadang-kadang mereka membayar, ada harinya kita pula membayar.

Tetapi, itulah orang kampung. Mereka baik hati. Mereka tidak kaya. Tidak ada banglo mewah. Tidak ada kereta besar. Tidak ada gaji. Tidak kenal dengan VIP yang besar-besar. Tidak ada ijazah universiti yang berjela-jela. Malah, ada yang tidak ke sekolah pun.

Tetapi hati mereka baik. Mereka tidak hairan pun dengan wang. Berapa kali di Kuala Lumpur, tiba-tiba ada orang yang belanja anda minum? Kalau ada pun, kawan-kawan anda juga.

Orang kampung bersifat mulia dalam banyak hal. Minggu lepas, ada orang yang meninggal dunia. Hampir kebanyakan orang kampung pergi ke kubur mengorek liang. Yang kuat mencangkul tanah, yang ada duit memberi makan. Yang sakit sendi kerana chikunkunya sekadar duduk-duduk. Semuanya tidak ada upah. Semuanya percuma. Aku? Aku duduk berborak sahaja! Itu sahaja yang aku ada.

Tetapi hebatnya orang kampung, kalau ada yang mati, mereka tidak akan pergi menoreh hari tersebut. Mereka akan menguruskan hal masyarakat terlebih dahulu. Mereka mungkin tidak akan mempunyai pendapatan sebanyak RM20-RM50 sehari. Tetapi mereka tidak hairan. Mereka lebih mengutamakan orang lain. Mereka tidak setamak kita yang ada gaji besar dan wang yang banyak.

Semua ini tidak diajar dalam buku 1000 halaman atau kuliah oleh profesor terkenal yang tidak pernah menulis buku dalam bilik kuliah. Mereka belajar dari hati mereka sendiri.

Thursday, 21 May 2009

Chikunkunya sedang menunggu

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku sudah berada di Malaysia 2 hari ini. Semalaman tidur di rumah seorang kawan di Perth, aku menaiki pesawat MAS ke KLIA (Nota untuk Kremaut: kawan ini geng UTP la). Setelah 6 jam, aku menjejak kaki ke KLIA yang sedang sibuk dengan selsema babi. Semua petugas memakai topeng. Sepertinya memasuki zon perang kimia. Aku bimbang juga dengan selsema aku, takut-takut tersangkut dan dikuarantin.

Sampai di KLIA jam 10 malam, aku terus balik ke Taiping. Aku yang pandu kereta baru Bento. Penuh barang termasuk pinggan Corelle dan bekas tupperware. Melintasi tol Sungai Besi, jadi pening juga melihat banyak perubahan jalan dengan lorong bawah tanah. Memandu masih macam orang Adelaide. Slow sahaja. Ikut undang-undang konon. Jam 4 pagi baru sampai rumah mertua aku. Kalau ikut gaya pemanduan aku dahulu, tentu tak selambat itu aku sampai.

Isteri aku sempat singgah McDonald pula malam itu. Lepas gian makan burger dulu. Aku tak tahu apa yang sedapnya. Aku memang tak akan makan.

Sampai rumah, anak aku meraung-raung pula nak balik rumah di Adelaide. Hah. Dia ingat Adelaide kampung dia gamaknya. Dia tak kenal lagi dengan sanak saudara di kampung. Dia tak mahu tidur. Dia kira nak balik Adelaide juga. Inilah anak zaman sekarang. Kalau macam ini, aku nak kena minta PR Australia.

Petang kelmarin aku balik ke Changlun. Isteri dan anak aku masih di Taiping. Malam tadi sempat lepak kedai kopi. Tadi pula sempat singgah kedai kopi lagi. Minum dan borak-borak dengan orang kampung.

Tapi - ada sesuatu yang sebabkan aku kena balik dan lari dari kampung ini. Petang ini aku ingat nak kena balik Taiping dulu. Kampung aku sedang diserang wabak demam chikunkunya. Namanya sedap. Macam nama kedai buku Kinokuniya. Ini bukan demam biasa. Ini demam sendi dan urat. Banyak yang sudah kena. Seminggu dua baru boleh hilang. Itu pun tak sepenuhnya. Nak bergerak pun payah. Ada yang letih-letih. Bangun pun ada yang tak mampu.

Aku kena lari dulu. Kalau tidak, bila nak boleh buat research.

Monday, 18 May 2009

Nota untuk para penyelidik

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Nota untuk para pembantu penyelidik.

Ada orang yang e-mel bertanyakan bila kajian akan dimulakan. Aku jangkakan paling cepat ialah awal Jun 2009 nanti. Sekarang ini pun, aku masih berada di bumi Australia. Jam 10 malam ini baru terbang ke Perth. Besok petang, jam 4 petang baru terbang ke Kuala Lumpur. Sampai di Kuala Lumpur jam 10 malam, tentu perlu balik kampung dahulu untuk bertemu sanak saudara dan membahagi cenderahati.

Itu pun kalau semuanya lancar. Passpot aku pun ada 7 hari nak mati. Aku harap tidak ada masalah yang berlaku.

Bila di Malaysia nanti, perlu pula cetak soalselidik dan bermacam-macam dokumen. Kemudiannya perlu pula cari rumah untuk duduk di Kuala Lumpur. Perlu juga singgah di universiti untuk tunjuk muka. Jadi macam-macam hal yang perlu diselesaikan. Hah, siapa kata buat PhD senang.

Jadi, untuk para pembantu penyelidik - harap bersabar. Aku juga tentu ada cenderahati untuk mereka.

Sunday, 17 May 2009

Mengapa kita sesat tanpa kita sedar

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini kita berbincang hal yang lain. Kita berbincang hal guru.

Sekarang di mana-mana tempat, kita sibuk untuk mendapatkan ilmu yang baik. Kita memohon untuk ke universiti bagi mendapatkan guru dan pengajar terbaik. Kita mengikuti kuliah agama untuk mendapatkan pengetahuan yang berguna agar kita tidak sesat dan tersalah jalan. Semua itu hal yang baik. Semua itu satu kewajipan.

Tetapi, dalam menelusuri hal-hal pengetahuan, kita selalu terlupa sesuatu. Kita terlupa salur galur dan sejarah guru. Dalam bahasa yang biasa digunapakai, kita tidak menjejak sanad guru. Ini menyebabkan kita kadangkala tidak begitu tahu sama ada apa yang kita pelajari itu betul atau tidak.

Menjadi satu trend sekarang ini, kita cenderung untuk cepat terpedaya dengan watak-watak orang alim yang berserban besar, atau bercakap hal agama dengan begitu petah. Itu menjadikan kita cepat kagum. Kita ingat apa yang mereka cakap semua betul. Apa yang mereka buat juga betul.

Ingat, belum tentu semua itu betul. Sebab itu kita perlu tahu salur galur dan sanad guru. Pengajian kitab lama dan sistem pengajaran pondok akan memulakan pengajian kitab mereka dengan menceritakan salasilah guru. Guru yang mengajar akan memberitahu mereka belajar dari siapa, dan guru mereka pula ialah murid kepada guru sebelumnya, dan guru sebelumnya adalah murid kepada ulama sebelumnya. Sehinggalah sampai kepada pokok asal usul guru. Jadi kita tahu dari mana aliran pengajian agama yang kita ikuti.

Kita tahu kita tidak sesat kalau kita tahu dari mana asasnya pengajian itu. Nampaknya sekarang ini, hal ini sudah terabai. Ada yang tidak begitu ambil tahu hal ini. Kita mula percaya apa yang sesorang itu katakan kerana dia nampak alim dan warak. Sering bercakap hal ilmu. Sering bercakap hal yang baik.

Sebab itu, sebelum memulakan sesuatu, ada baiknya kita tanyakan sesuatu. Sebab ada juga berlaku kes, kerana kurangnya penjejakan sanad guru, ada guru yang tiba-tiba muncul dengan pengetahuan yang janggal. Ia bercampur di antara yang betul dan tidak. Bercampur dengan macam-macam aliran yang diceduk di sana sini. Ini kadang-kadang menjadikan kita sebenarnya sedang tersesat arah tanpa kita kita ketahui.

Saturday, 16 May 2009

Malaysia - aku akan sampai nanti

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tinggal 3 hari lagi aku akan balik Malaysia. Sekarang baru aku terasa betapa Malaysia itu satu negara untuk dilawati dan diziarahi. Walaupun di sini pun segalanya ada, tetapi ada juga perkara yang tidak ada di sini.

Di sini ada Central Market - ia bukan Central Market seperti di Malaysia. Selain menjual barang cenderamata, Central Market juga adalah tempat menjual buah-buahan, sayur, ikan, daging, kedai makan dan segala macam perkara yang lain. Majoritinya dikuasai oleh masyarakat Cina dan Vietnam - menjadikan ia bandar asing di tengah Adelaide.

Selain Central Market, di bandar Adelaide ini terdapat sebuah muzium negeri, Art Gallery, perpustakaan, dan Rundle Mall yang menjadi lorong temasya warganya. Di Art Gallerry, tidak ada pelukis di situ seperti di Central Market di Malaysia. Ia hanya menempatkan lukisan-lukisan oleh pelukis ternama. Ada di antaranya yang dilukis lebih ratusan tahun dahulu. Ia memang hebat. Aku sudah berkali-kali singgah di situ - cuma aku tidak boleh mengambil gambar di dalamnya.

Perpustakaannya juga baik. Baik bukan kerana ia ada banyak buku. Ia baik kerana menawarkan banyak perkhidmatan lain. Ia menyediakan kelas belajar bahasa Inggeris, khidmat 'editing', bengkel kekeluargaan, kemudahan internet dan segala macam yang lain. Sebenarnya, di hampir setiap 'suburb' ada perpustakaannya sendiri. Ia bukan sekadar tempat meminjam buku dan vcd filem, tetapi tempat masyarakat mendapatkan pengetahuan dan ilmu. Kalau anda sakit, atau tidak mampu ke perpustakaan, anda boleh menghubungi pihak perpustakaan untuk datang mengambil anda di rumah, atau menghantarkan buku kepada anda. Begitulah mereka.

Perkhidmatan bas juga baik. Ia datang tepat waktu dan anda tidak perlu bimbangkan akan ada pemandu bas yang menengking tidak tentu fasal ke arah anda. Tidak juga akan ada penyeluk poket yang akan mencuri dompet anda yang tidak ada wang itu. Orang tua akan dilayan dengan begitu hormat. Mereka bukanlah pendokong gagasan Islam Hadhari, tetapi mereka lebih Islam daripada kebanyakan orang Islam.

Adelaide ini juga terdapat berpuluh-puluh atau beratus buah gereja. Aku tidak pernah menghitungnya. Tetapi, anda akan bertemu dengan gereja di setiap sudut kota dan jalan. Ada yang telah ratusan tahun dibangunkan, ada yang mungkin sekitar puluhan tahun. Sebenarnya, South Australia itu sendiri terkenal sebagai 'negeri gereja' sebelum beberapa tahun ini ditukar sebagai 'state of festival'.

Jadi, jangan hairan kalau Adelaide ini tidak seperti Sydney atau Melbourne. Ia tidak sesak dan padat. Menurut sejarahnya, pendiri kota ini ialah masyarakat Inggeris yang datang sebagai mubaligh atau cendekiawan. Mereka orang berada. Mereka bukanlah kumpulan banduan yang dibawa oleh Inggeris. Sebab itulah, pihak penjajah Inggeris tidak boleh mengerah mereka mendirikan kota seperti yang berlaku di Melbourne atau banyak tempat lain.

Anda boleh bertemu segalanya di Adelaide. Tetapi, ada satu perkara yang tidak akan anda temui di sini. Anda tidak ada ayah dan ibu di sini. Sebab itulah anda perlu berbangga dengan Malaysia.

Wednesday, 13 May 2009

Kita patut songsang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kurang dari seminggu lagi aku akan balik Malaysia. Tidak banyak perkara yang aku buat lagi di pejabat sejak kebelakangan ini.

28 May nanti, aku akan memulakan kerja-kerja tak berbayar aku. Aku mengendalikan kelas kaedah hafalan untuk sekolah lama aku. Kawan aku kata, ada lebih 30 orang budak lelaki. Aku tak tahu adakah mereka ini bermasalah atau tidak.

Bagi aku kalau mereka bermasalah pun, tidak mengapa. Aku juga ada banyak masalah di sekolah dulu. Kadang-kadang aku juga menimbulkan masalah. Bila sudah tua baru tahu yang apa yang kita buat waktu muda dulu banyak yang tak betul. Banyak yang songsang.

Tapi songsang itulah yang membuatkan kita survive dalam dunia nyata. Mana ada orang dalam dunia ini yang buat perkara yang betul semuanya.

Untuk dapat projek, kita kena bisik-bisik berapa banyak komisyen yang akan kita beri. Kalau ada apa-apa peluang, kita akan beritahu suku-sakat dan kaum puak kita dulu. Ketika kerja, kita selalu 'hilang' dan minum teh berjam-jam. Tapi, kalau gaji kita dipotong 5 sen pun, kita akan bising.

Yang kerja akaun, tahu banyak perkara macam mana nak kurangkan cukai yang sepatutnya dibayar. Yang kerja HR tahu macam mana hendak manipulasi undang-undang agar orang yang berkerja tidak perlu dibayar overtime. Yang kerja marketing tahu macam mana untuk ubah satu-satu produk semacam tak ada cacat dan cela. Semua ini hal songsang. Lebih teruk perbuatannya dari budak-budak nakal di sekolah.

Kita juga percaya banyak hal songsang dalam hidup - bahkan dalam beragama pun. Jadi songsang itu sudah jadi sifat manusia.

Cuba aku harap kapalterbang yang bawa aku balik tak akan songsang arah. Itu sahaja.

Tuesday, 12 May 2009

Asyiknya politik Perak!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Siapa yang bakal menang dalam pertarungan ini?

Untuk seketika, semua penyokong Pakatan menghembus nafas lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. Untuk seketika, mereka yang merasakan kerajaan sewajarnya dikembalikan kepada rakyat, berasa senang hati dan tidur lena.

Seperti biasa juga, buat seketika penyokong Barisan Nasional berasa gelisah. Para penyokong dan pendokong suara majoriti dalam dewan undangan negeri merasakan merekalah yang patut berkuasa dan menjadi pemerintah.

Tengah hari tadi, satu lagi keputusan mahkamah dikeluarkan. Ia mengembalikan seketika kuasa-kuasa memerintah kepada Barisan Nasional. Buat seketika, penyokong Pakatan berasa tidak begitu senang. Buat seketika, penyokong Barisan Nasional berasa ada ruang untuk memasang strategi baru.

Kita orang biasa, orang awam dan orang marhaen, jangan jadi kelam kabut dan kecoh-kecoh. Kita buat kerja kita seperti biasa. Yang sibuk memancing, teruskan memancing. Siapa pun yang memerintah, ia tidak menambah peluang anda untuk mendapat ikan besar. Yang membancuh teh tarik, siapa pun yang menang ia tidak mengurangkan ketagihan orang ramai dengan teh tarik anda. Yang kuat tidur, teruslah menarik kain selimut anda. Berita politik Perak tidak akan mengubah mimpi anda.

Yang tidak buat apa-apa, mari kita dengar lagu. Kita dengar lagu betapa seronoknya bermain politik. Klik sini untuk tahu betapa asyiknya bermain politik.

Sunday, 10 May 2009

Jam 9.55 malam

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jam 9.55 malam waktu Adelaide.

Sekarang ini musim luruh, tapi bukan luruh yang biasa. Pohon masih belum kelihatan ranting. Cuaca seolah-olah musim sejuk. Malam gelap lebih awal, membuatkan mata juga mengantuk lebih awal dari biasa. Pergerakan manusia tiba-tiba jadi terbatas. Kedai dibuka seperti biasa, sampai jam 5 petang. Tetapi, seakan-akannya semuanya mati.

Jam 9.55 malam di pekan Changlun tentu lebih ceria dibandingkan dengan bandar Adealide. Di Changlun ada 3 buah kedai mamak yang beroperasi 24 jam, ada kedai DeLIMA dan 7-eleven yang lampunya tetap bernyala, dan pelanggannya tetap membeli. Itu belum termasuk kedai makan di bawah pokok yang menjual roti canai dan bee hun sup sehingga menjelang subuh.

Jam 9.55 malam, manusia penyamun, perasuah, pelencong dan pembayar cinta wanita akan pulang dari Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam. Ada yang mungkin tidak ada lagi wang membeli beras untuk anak isterinya di rumah kerana sudah habis diperas wanita jalang di bandar Dannork. Bandar yang lebih banyak rumah pelacuran dari masjid, walaupun dikelilingi masyarakat Islam. Pekan yang hidup kerana banyak manusia tidak lagi percaya adanya perhitungan di dunia akhirat. Pekan yang hidup kerana banyak manusia ingin merasa nikmat syurga lebih cepat. Bandar ini wangi kerana wanitanya, tetapi busuk kerana dosanya.

Jam 9.55 malam kalau di Kuala Lumpur sepertinya baru sahaja bermula. Orang yang baik akan singgah di masjid Kampung Baru sesudah membeli sayur dan daging di pasar Chow Kit. Atau mereka singgah di masjid di sekitar Setiawangsa untuk mendengar orang membaca kitab Munyatuh-Musholli atau Faridatul-Faraid. Yang baik juga mungkin akan makan nasi lemak antarabangsa di Kampung Baru, atau sesekali singgah makan nasi lemak yang dilayan oleh para pondan di belakang Hotel Brinsdale. Yang sekadar baik juga mungkin akan berhenti makan sup kambing mamak di Jalan Dooraisamy sambil matanya melihat seorang 'mat pit' menggorengkan gitar dan bernyanyi lagu blues.

Yang agak banyak duit akan berjalan-jalan menjamu mata melihat pelancong Cina dan Arab di Jalan Bukit Bintang yang bernyala sampai ke subuh. Ada yang mungkin sekadar mengurut kaki dengan harga jauh lebih mahal dari belanja sebulan sekolah anak. Yang liar sedikit akan berjalan perlahan-lahan mencelah ke Jalan Alor - tempat berkumpulnya wanita cantik dari China yang menggiurkan. Apa yang mereka buat. Pergi dan lihat sendiri. Mereka tentu tidak membilang berapa banyak wanita di situ.

Yang lebih teruk, akan ke Lorong Haji Taib melanggan lelaki pondan yang bersuara garuk tetapi bermuka cantik.

Jam 9.55 malam - di Jalan Melawai Raya di Blok M, Jakarta sudah riuh dengan manusia. Ada yang makan bakso, ada yang makan pecal lele, atau ada yang sekadar menjamu mata di GrandD. Para 'preman' berbadan besar juga berkeliaran di sana sini. Para pengamennya pula akan datang ke depan anda dengan pelbagai aksi dengan harapan anda menjadi manusia ikhlas memberikan mereka 1 ribu rupiah. Di sepanjang jalan itu akan bersatulah semua jenis manusia - pemandu bajai, penumpang bas, penjual vcd cetak rompak, pekerja kantor - berkejaran untuk terus mencari makan dalam bising deru teksi, bas, kereta dan segala macam kenderaan.

Jam 9.55 malam - aku belum mampu untuk tidur. Aku sedang berangan-angan untuk sekeping roti canai dan segelas teh tarik yang ada di mana-mana di tempat kita.

Jam 9.55 malam bukanlah waktu yang sesuai untuk anda datang ke Adelaide.

Thursday, 7 May 2009

Bila kita banyak sangat politik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita banyak sangat berpolitik. Di kedai kopi, di tepi jalan, di dalam pejabat, di masjid, di pasar, atau di mana-mana sahaja, kita lebih banyak berrcakap-cakap hal politik.

Bila kita banyak sangat berpolitik, para penyamun dan peragut kian mengganas.
Bila kita banyak sangat berpolitik, anak-anak kita menjadi mangsa rogol.
Bila kita banyak sangat berpolitik, anak-anak di rumah berkeliaran menjadi penjenayah.
Bila kita banyak sangat berpolitik, remaja kita kian terbuka ketelanjurannya.
Bila kita banyak sangat berpolitik, manusia kita semakin pelik.
Bila kita banyak sangat berpolitik, anak sudah tidak hairan lagi dengan bapanya.
Bila kita banyak sangat berpolitik, prestasi pekerjaan kita semakin teruk.
Bila kita banyak sangat berpolitik, kita terlupa ada lagi sindiket ini.

Sepatutnya, ahli politik berkerja untuk menyelesaikan semua masalah masyarakat. Berdemo dan berpiket menyedarkan manusia agar tidak menjadi penyamun, perogol, penjahat dan perasuah. Berdemo dan berpiket agar semua peragut tidak tidur malam ketakutan. Berdemo dan berpiket agar anak-anak kita menangis keinsafan. Berdemo dan berpiket agar ibu dan bapa tahu tanggungjawab mereka.

Sekarang ini, ahli politik suka sangat berpolitik. Mungkin mereka sudah lupa tujuan asal politik diciptakan di Rome dahulu. Bila akan ada NGO yang akan berdemo dan berpiket minta agar ahli politik berkerja?

Tuesday, 5 May 2009

PhD itu kadang-kadang...

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ada kurang dari 14 hari lagi aku akan balik Malaysia. Tidaklah ini juga berita yang menggembirakan. Aku tak ada banyak pilihan. Kalau ada pilihan, aku tak mahu balik. Atau balik dan tak datang-datang.

Mengaji PhD ini kadang-kadang bercampur baur antara bosan, gelisah, seronok dan 'entah apa-apa'. Bertindan di antara suka dengan tidak, bergaul di antara sangat teruja dan sangat menakutkan.

Tidak ada waktu yang ditetapkan. Anda boleh datang, anda juga boleh bercuti semahunya. Tidak ada siapa yang bertanya. Anda boleh rajin-rajin menulis, atau anda boleh juga melepak di kedai kopi setiap hari.

PhD ini apa lagi? PhD bukan sekadar dunia khayalan yang dibungkuskan dengan teori yang sulit, dan statistik yang payah, tetapi PhD juga ialah wang. Anda perlu menebalkan muka menghantar e-mel atau mencari mana-mana agensi yang sudi memberikan anda wang membuat penyelidikan.

Dalam semua perkara ini, aku cuma suka PhD kerana ia satu ruang untuk aku menulis. Itu sahaja. Yang lain-lainnya, aku tidak suka. Sehingga kini, sudah ada 4 tempat yang menerima tulisan aku. Satu untuk jurnal, 3 untuk persidangan. Aku tidak boleh menulis lagi tanpa ada data yang baru.

Oh, ada satu lagi. Aku bebas datang ke pejabat tanpa peraturan. Aku diberikan kunci. Datanglah tanpa perlu mandi, berus gigi, sikat rambut atau apa sahaja peraturan jengkel ciptaan manusia yang lain.

Pandaikah aku nanti kalau ada PhD? Tidak. Ia hanya dongeng ciptaan manusia.

Sunday, 3 May 2009

Berita bergambar kebun epal

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Ahad-3 Mei 2009

Hari ini aku, keluarga dan beberapa rakan lain memanjat Adelaide Hill untuk melakukan aktiviti memetik epal. Sebenarnya, epal boleh dibeli dengan murah di pasar raya atau pasar Gepp Cross. Memetik epal di kebun sesekali menghilangkan nolstalgia memetik rambutan di dusun bapa mertua aku di Sungai Kerang. Ini kali kedua aku sampai ke kebun epal ini (Gambar atas, beratur untuk membayar buah yang dipetik).

Ini gambar curam Adelaide Hill. Diambil ketika sedang memandu dengan mengabaikan kualiti gambar.
Gambaran dekat kebun epal. Gambar paling depan ialah seorang anak Melayu yang sudah jadi pemastautin tetap di bumi kanggaru ini.

Gambar aksi ganas anak aku. Ganas konon! Pampers pun dok pakai lagi.

Gambar rumah seorang peladang yang tidak dikenali di sebelah kebun epal. Gambar asap keluar di corong di atas bumbung menandakan dia sedang memasang 'heater' kayu api. Tentu suhu di dalam rumahnya sejuk.

Gambar Yasmin dan anak aku.


Bertemu 'musim luruh' dalam perjalanan pulang. Isteri aku teringin pula hendak bergambar. Sekarang ini sepatutnya musim luruh. Tetapi dengan suhu yang kadang-kadang 7 darjah Celcius, menjadikan musim luruh 'hilang' dan tidak diketahui lagi sifatnya. Salji dilaporkan turun di Mt Buller.

Itulah sahaja berita bergambar kali ini.

Friday, 1 May 2009

Selamat berpesta warga kuli

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
1 Mei 2009 - Selamat menyambut hari pekerja untuk semua warga manusia. Sesiapa pun anda, sebagai pemungut botol Coca Cola di tepi jalan sehinggalah CEO syarikat gergasi, anda adalah pekerja. Kita semua sama sahaja tarafnya. Bergelumang dengan cabaran untuk mendapatkan duit untuk makan. Setelah kekenyangan, kita terfikir hal-hal yang lebih besar lagi - hal tempat tinggal, kesihatan, harta yang membongkakkan dan segala macam perkara yang dikejar.

Sesiapa pun kita, kita adalah kuli pekerjaan. Kita mungkin berpangkat besar, kenal dengan segala macam manusia VIP - tetapi akhirnya kita juga kuli. Ada orang yang lebih besar mengarahkan kita. Setiap hari setiap saat. Hinggakan cuping telinga kita tidak sempat kesejukan. Kaki kita tidak sempat berlari dan mengejar. Tangan kita yang cuma ada dua seakannya tidak cukup untuk melunaskan permintaan dan arahan orang lain.

Kita mungkin dipuji dan dipuja, disalam dengan penuh hormat. Semuanya palsu. Yang memuji juga mungkin disebabkan dia diminta berbuat begitu oleh tuntutan pekerjaannya. Dia bersalaman juga kerana dipaksa oleh kerjanya. Kita juga perlu berlakon hebat dan besar, juga kerana tuntutan pekerjaan.

Apatah lagi - kita yang berpangkat kecil atau tiada berpangkat. Kita tentu akan disumpah seranah dan dimaki-hamun manusia dikenal atau tidak. Semuanya kerana pekerjaan. Yang memaki juga kerana itulah tuntutan pekerjaannya. Kita yang disumpah dengan carut-marut juga kerana itulah sebahagian daripada sifat kerja kita.

Manusia mungkin telah mula menjadi kuli setua peradabannya. Dahulu manusia menjadi kuli dengan berburu dan bercucuk tanam. Hari ini kita berkuli dengan tali teher, kemeja dan kasut kulit yang berkilat. Kita cuba menutupkan wajah-wajah kuli dengan pakaian jenama terkenal. Pada setiap hujung bulan, di hadapan mesin ATM, kita tahu betapa kita adalah kuli apabila mengharapkan ada wang yang masuk untuk membeli sekampit beras.

Jadi - untuk semua manusia - janganlah cepat merasa besar, bongkak dan takbur. Sesiapa pun anda, apa bangsa dan agama pun, kita semua adalah kuli. Kita hanya berhenti menjadi kuli setelah nyawa kita ditarik keluar dari badan, dan jasad ditanam di dalam bumi. Masa itu, akan ada kuli-kuli manusia lain yang akan menguruskan kita.

1 Mei - hari untuk semua warga kuli seluruh dunia. Tersenyum bangga dan berbesar kepala kita semua kerana kita dilahirkan untuk tugas menjadi kuli kepada dunia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails