Yang Ikut

Monday, 27 April 2009

Bahasa yang pupus

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Nota: Sebahagian artikel ini ditulis untuk satu buletin yang bakal diterbitkan oleh anak-anak Melayu di Adelaide. Kandungan di dalam tulisan ini belum lagi diedit bagi tujuan terbitan.

Marie Smith Jones adalah satu-satunya manusia yang tahu berbahasa Eyak, satu daripada di 20 bahasa yang ada di Alaska. Di West Kimberley, satu tempat di Australia Barat - hanya 2 orang sahaja lagi yang diketahui fasih berbahasa Warrwa. Di selatan Vanuatu, hanya ada 6 orang tua sahaja yang dikatakan tahu berbahasa Ura.

Di tempat yang lain - Tefvic Esenc adalah manusia terakhir yang tahu bahasa Ubykh, bahasa yang pernah dituturkan di wilayah Caucasia (Russia). Kematian beliau pada tahun 1992 di Turki menutup sejarah bahasa Ubykh. Masyarakat Ubykh, yang rata-ratanya adalah umat Islam banyak yang dibunuh ketika pendudukan Russia sekitar 1860-an ke atas Wilayah Caucasia. Sebahagian daripada mereka berpindah ke Turki - negara yang tidak membenarkan penggunaan bahasa minoriti yang lain. Kematian Tefvic bukan sekadar menamatkan sejarah hidupnya, tetapi mematikan juga bahasanya.

Ini bukanlah cerita dongeng. Hal ini ditulis oleh Suzanne Romaine, seorang Profesor pengkaji bahasa dari Oxford University.

Begitulah pengakhiran sejarah bahasa apabila manusia tidak lagi bertutur, atau tidak ada yang menuturkannya. Apabila bilangan penutur semakin berkurangan, atau tidak ada lagi generasi muda yang tahu menggunakan satu-satu bahasa, maka kecenderungan untuk satu-satu bahasa lenyap semakin tinggi.

Jadi tidak hairanlah, Michael Krauss - seorang sarjana bahasa yang seringkali dirujuk namanya - meramalkan separuh daripada 6,000 bahasa yang ada di dunia hari ini akan pupus dalam tempoh satu abad lagi. Satu abad bukanlah tempoh yang lama - ia cuma 100 tahun. Sekarang ini pun, 90 peratus daripada 250 bahasa yang digunakan penduduk asli Australia sudah dilupakan dan sedang kepupusan. 20 daripada 175 bahasa di Amerika sudah lenyap sepenuhnya. Di Alaska, hanya tinggal 2 bahasa yang masih digunakan, 18 bahasanya yang lain sudah lenyap. Sebenarnya banyak lagi bahasa lain yang sudah lenyap.

Ethnologoue menganggarkan terdapat 204 bahasa yang dituturkan oleh kurang dari sepuluh orang, 344 bahasa oleh 10-99 orang, 548 bahasa yang dituturkan oleh lebih sedikit dari 99 orang. Kalaulah andaian ini benar, bermakna semua bahasa ini bakal pupus.


Bahasa Melayu, pengaruh dan rasa rendah diri

Bagaimana pula dengan kedudukan bahasa Melayu? Adakah ia bakal lenyap juga. Kita tidak mampu menjawabnya sekarang.

Sebenarnya bahasa Melayu bukanlah bahasa yang kerdil seperti yang ditanggap sesetengah orang. Dianggarkan, menjelang tahun 2050 akan terdapat 10.5 juta manusia yang bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu. Itulah ramalan yang dibuat oleh David Graddol, seorang sarjana bahasa. Ia berada di tempat ke sepuluh dalam senarai bahasa utama dunia.

Bahasa Melayu dituturkan di Malaysia, Thailand, Filipina, Brunei, Indonesia dan Singapura. Bahasa Melayu juga dituturkan di Sri Lanka, Pulau Cocos dan Afrika Selatan. Bagaimana pun, bahasa Melayu yang dituturkan di Sri Lanka kini tersenarai dalam kelompok bahasa yang bakal pupus kerana semakin kurang bilangan generasi mudanya yang menggunakan bahasa Melayu. Ia bukan aneh kerana penutur bahasanya hidup sebagai kelompok pengguna bahasa minoriti.

Sesuatu yang mungkin tidak kita tahu - bahasa terbesar dunia bukanlah bahasa Inggeris. Ia cuma bahasa yang digunakan di banyak buah negara. Bahasa terbesar ialah bahasa Mandarin (dituturkan kebanyakan masyarakat Cina) dengan jumlah penuturnya melebihi 873 juta. Penutur asli bahasa Inggeris hanyalah sebanyak 309 juta orang sahaja, lebih rendah dari pengguna bahasa Sepanyol yang jumlahnya lebih 322 juta manusia. Sehingga abad ke-16, bahasa Inggeris tidak pun diketahui oleh orang di luar Kepulauan British. Bahasa Inggeris hanya muncul di dunia luar selepasnya kerana faktor penjajahan dan perdagangan.

Bagaimana pun, kerana bahasa Inggeris itu dipakejkan bersama dengan kegilaan manusia dengan makanan segera McDonald, minuman Coca-Cola dan filem Hollywood, maka kelihatannya bahasa Inggeris itu sangat besar. Kekaguman melampau terhadap bahasa Inggeris itulah yang menjadikan kita kadang-kadang terlupa bahasa sendiri.

Jadi, apabila ada pihak yang begitu ghairah dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pendidikan di negara yang majoritinya berbahasa Melayu, kita berasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan fahaman seumpama itu. Tidak pasti adakah kecenderungan itu kerana kita pernah dijajah oleh bangsa Inggeris - menjadikan kita berasa hidup ini tidak sempurna kalau tidak tahu berbahasa Inggeris. Tidak juga dipastikan apakah ini adalah kerana simptom rendah diri (inferiority complex) psikologi orang Melayu.

Rasa rendah diri itu dapat dilihat daripada sifat malu dan sesetengah daripada kita yang berasa tidak setaraf apabila bergaul bersama dengan orang yang pandai bahasa Inggeris. Ada juga berasa bimbang untuk menghadiri temuduga kerana takut disoal-jawab dalam bahasa Inggeris. Tidak kurang juga yang merasakan orang yang pandai bahasa Inggeris lebih bijak dan pintar. Semua ini adalah simptom rendah diri yang menyebabkan bahasa Melayu semakin hari dianggap tidak lagi bernilai komersil dan mempunyai status yang tinggi.

Sepatutnya kita berasa bangga dengan bahasa kita. Penutur bahasa Melayu hampir sama banyaknya dengan penutur bahasa Jerman. Itulah yang patut kita perjuangkan. Tugas ini menjadi tanggungjawab kita semua - bukan hanya mereka yang tergolong sebagai kumpulan pencinta bahasa. Membangunkan bahasa mungkin lebih penting daripada membangunkan bangunan dan memperbanyakkan jalanraya. Kita boleh mengupah orang luar mendirikan bangunan yang cantik, tetapi kita tidak boleh membayar orang lain untuk memperteguhkan bahasa kita.

Jika bukan kita yang berusaha untuk mengembangkannya, siapa lagi yang akan melakukannya untuk kita. Sekarang kita mungkin tidak merasa apa-apa. Seribu tahun lagi, mungkin akan ada lagi pengkaji yang datang mencari siapakah manusia terakhir yang tahu bahasa kita. Tidak mengapalah, waktu itu kita sudah tidak ada untuk melihat semua itu.

Siapa kawan baik anda

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Siapakah kawan baik anda?

Cuba sesekali anda selidik. Kawan baik tidak semestinya orang yang selalu ada di hadapan atau di tepi anda. Kawan baik anda mungkin tidak pernah pun anda lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Anda juga mungkin jarang bertemu dan berbual dengan mereka.

Banyak kawan baik ialah mereka yang pernah berada dalam sejarah lama anda. Kawan baik tidak semestinya orang kaya atau orang miskin. Mereka mungkin sedikit nakal di masa silam, tetapi mereka boleh dipercayai.

Dalam hidup aku - aku ada banyak kawan. Ada yang boleh kita cerita semua rahsia, ada yang sedikit-sedikit, ada yang sekadar kita cerita yang permukaannya sahaja. Ada yang sanggup berhutang dari orang lain untuk memberikan kita pinjam. Ada yang boleh membantu kita tanpa banyak soal jawab pun. Ada yang tidak kisah pun walaupun dia seorang yang susah, berhempas pulas mencari jalan membantu.

Kawan baik seumpama ini tidak banyak dalam dunia ini. Tetapi aku terkesan satu perkara. Di masa silam, mereka bukanlah dikategorikan orang yang baik dan alim. Mereka kebanyakannya adalah manusia kutu yang blues hidupnya. Bila semakin berumur, yang merubah mereka hanyalah latar fizikalnya sahaja. Jiwa mereka masih sama - 'kutu' dan 'blues' - menjadikan mereka manusia yang mudah.

Kawan-kawan lain - mereka mungkin akan menggunakan kita ketika kita senang, atau kita menggunakan mereka untuk tujuan tertentu. Mereka ini boleh kita jadikan kawan untuk berbual-bual kosong - tapi jangan harapkan apa-apa. Mereka mungkin punya segalanya - tetapi ia bukan untuk dikongsi bersama. Ada saatnya, mereka mungkin meratah hidup anda.

Salam untuk semua yang bernama kawan. Mari kita dengarkan lagu ini.

Sunday, 26 April 2009

Cerita resah dan hujan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ahad - pagi yang dingin. Suhu sekarang 13 darjah celcius. Semalam hujan sepanjang hari. Hari ini pun dijangkakan akan hujan juga.

Kalau di kampung, emak aku tentu sangat mengharapkan hujan seperti ini. Bila air sungai di belakang rumah aku melimpah, tentu dia akan mula memasang kembali tangkulnya untuk mencari ikan air tawar.

Begitulah emak aku dari dulu sampai sekarang. Pada usia 70 tahun lebih, emak aku masih tidak berubah apa pun. Dia menanam sayur sendiri, tidak minum air paip, mandi air telaga, tidak makan ikan laut, hisap rokok daun, makan pinang dan sireh, dan sesekali ke hutan mencari rebung. Kalau aku balik kampung, dia akan menangkap ayam di reban. Dan aku menjadi tukang sembelihnya. Biasanya ayam digulaikan bersama rebung masam, buah petai atau terung bulu.

Hey. Apa khabar orang kampung? Kasihan mereka yang kerja menoreh kalau hujan seperti ini. Banyak orang kampung aku yang hidupnya memang uji nyali.

Ada yang kerja melarikan beras dari Siam ke Alor Setar - yang entah berapa diupahnya.

Lid - kawan baik aku - umurnya 40-an - sudah hampir setahun berhenti kerja. Dia juga tentu macam-macam gelora hidupnya. Ada buat projek jual ayam madu Sarawak di kampung. Tetapi, dia juga tetap fokus ke sana ke mari mencari wang untuk disumbangkan ke rumah anak yatim.

Bento - baru beli kereta baru. Aku bakal mengkudanya selama 3 bulan di Malaysia nanti. Aku lebih susah dari mereka semua - kerana aku tidak ada kereta, rumah dan harta yang lain. Semuanya pupus dan dilupuskan bila aku datang ke Adelaide. Hutang sahaja yang tak lupus. Kawan-kawan aku tentu tak akan lupa aku - kerana aku masih berhutang wang dengan mereka!

Kakak ipar aku yang kematian suami juga tentu sedang berhadapan dengan dugaan juga. Anaknya lima. Bulan depan nanti, anak sulungnya akan ke matrikulasi. Apa yang boleh aku tolong? Kegembiraan sahaja tidak cukup kalau tidak ditolong.

Hey. Apa cerita ini. Ini cerita orang resah ketika hujan.

Saturday, 25 April 2009

Apa itu cinta? - Siri akhir psikologi cinta.

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita selalu melihat perkara-perkara yang pelik dalam dunia ini. Antaranya ialah lelaki kacak berpasangan dengan wanita yang biasa-biasa sahaja, atau gadis cantik berjalan berpegangan tangan dengan pemuda selekeh.

Kita juga menonton televisyen melihat percintaan di antara orang kulit hitam dan kulit putih. Di Australia, kita selalu terserempak dengan orang aboriginal yang kulitnya hitam pekat dan rambutnya keriting berkerutu berpasangan dengan wanita kulit putih bermata biru. Kita pun rasa seperti tidak sesuai sahaja hubungan itu, walaupun hakikatnya hanya pasangan tadi yang tahu seuai atau tidak.

Jadi apa yang menyebabkan orang jatuh cinta dengan seseorang? Adakah cinta itu sama dengan suka? Apa beza di antara suka dengan cinta? Semua ini adalah soalan yang selalu ada dalam kepala manusia.

Ahli psikologi sosial pun sebenarnya tidak pernah jelas dengan apa yang patut didefinisikan dengan cinta. Ada yang berpandangan cinta ini terbina dalam 3 bentuk - eros, ludus dan storge. Apakah bendanya ini?

Eros - ialah cinta dengan penuh teruja dan bersungguh-sunguh. Penuh keasyikan (passion). Eros inilah yang membentuk ayat erotik - jadi anda patut dapat mendefinisikannya. Ibaratnya, kalau tidak boleh jumpa, boleh melihat pagar rumah pun tidak mengapa.

Ludus - ialah apabila cinta dianggap seperti satu bentuk permainan atau sukan. Cinta dianggap sesuatu yang menyeronokkan. Seperti bermain bolasepak. Ia membangkitkan keseronokan..

Storge
- cinta yang seolah-olahnya sebuah persahabatan yang dimunculkan oleh persamaan dan keserasian. Adakalanya ketiga-tiga gaya ini terbentuk sekaligus, adakalanya mungkin hanya satu sahaja.

Adakah anda dan pasangan anda mempunyai ketiga-tiga bentuk ini, atau salah satu darinya. Atau anda mungkin ada lagi elemen lain.

Seperti misalnya - Pragma - maksudnya cinta yang hadir dari kepala anda, bukan hati anda. Orang seperti ini hanya mengharapkan nilai dari percintaan. Misalnya bercinta untuk mendapatkan sesuatu. Tahap yang paling hina dalam cinta bentuk ini ialah hubungan pelacur dengan pelanggan - anda membayar, habuan diberi.

Ada juga cinta yang dinami agape - cinta yang diberikan oleh seseorang dengan ketulusan. Orang seperti ini selalunya dianggap lebih alim dan beragama. Mereka sanggup berkorban apa sahaja bagi memastikan pasangannya tidak derita atau kecewa, dan sanggup untuk memberikan perhatian kepada pasangannya.

Orang yang cemburu juga sebenarnya ada kategorinya juga. Orang dalam kumpulan ini sedang berada dalam kategori mania. Mereka berasa rendah diri, bimbang dan tidak selamat. Ini menyebabkan mereka sentiasa takut kehilangan. Mereka mengekalkan hubungan bagi memastikan pasangan akan sentiasa kekal dan tidak pergi kepada orang lain.

Sebenarnya banyak lagi pandangan-pandangan lain berkaitan hal ini. Anda boleh menggoogle nama Clyde Hendrick & Susan Hendrick, Zick Rubin dan macam-macam lagi.

Jadi kita tutup perbincangan ini dengan soalan-soalan ini:

1. "If I were lonely, my first thought be to seek __________out"
2. "If ______________were feeling bad, my first duty would be to cheer him/her up".
3. "I feel that I can confide in _________about virtually everything."

(dipetik dari buku Social Psychology, karya David G. Myers).

Nota
: Soalan 1 (Attachment), 2 (Caring), 3 (Intimacy)

Moga-moga anda tahu sama ada anda hanya suka atau cinta dengan seseorang. Apa pun bentuk kegilaan cinta anda, jangan menjual diri anda.

Untuk iklan, apa kata kalau dengar lagu cinta dulu.

Friday, 24 April 2009

Membelek sejarah lama

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Pagi ini awal-awal lagi aku dah sampai pejabat. Belum ada manusia lagi. Aku terfikir, apa yang sebenarnya membentuk personaliti manusia? Aku cuba telesuri balik sejarah silam aku 37 tahun lalu.

1972 - aku dilahirkan
Di antara tahun 1972-1980, tidak banyak lagi ingatan yang aku simpan.
Yang aku ingat, semasa aku kecil dulu, emak dan bapa aku selalu bawa aku pergi bendang atau masuk hutan. Kadang-kadang ikut emak cari rebung. Kadang-kadang ke sungai mencari ikan.

Kalau aku menangis, biasanya akan diusik dengan musang akan datang. Arwah abang aku lain pendekatannya. Pernah sekali, di tengah malam gelita, dia bawa aku di ke hujung bendang. Kemudian tinggalkan aku seorang diri. Tiada manusia di situ. Lepas itu, dia bekalkan aku dengan lampu 'torch light'. Memang aku berhenti menangis. Takut hantu. Lepas itu balik sekonyong-konyong ikut belakang abang aku dari jauh.

Personaliti yang aku wariskan - aku suka cari rebung sampai sekarang. Minat juga cari ikan sungai. Pernah ambil cuti semata-mata nak balik kampung cari rebung. Sifat lain, suka menakutkan budak-budak kecil. Dah jadi hobi sekarang ini.

1980-1990
Zaman sekolah. Jumpa kawan-kawan. Baik dan jahat. Mula membaca Dewan Sastera. Minat baca sajak. Novel kadang-kadang aku baca. Baca 'Hujan Pagi" - A. Samad Said. Sampai sekarang aku tak faham. Karya 'Keluarga Gerilya' - Promoedya Ananta Toer yang paling hebat. Orang lain pun patut baca juga. Jangan sekadar baca jurnal tikus (nota untuk Aini). Tapi kalau baca novel Tikus Rahmat - Hassan Ibrahim bagus juga. Minat lain - lagu rock kapak. Lagu-lagu Ebiet G.Ade.

Sekarang yang membentuk hidup aku - minat bahasa. Tapi membaca novel aku tidak minat lagi. Jangan juga mengupah aku membaca URTV, Mangga dan sealiran dengannya. Waktu muda pun aku tak baca, apatah ketika umur sekarang.

1991-2001
Masuk universiti.
Otak membuka sedikit. Tetapi masih serabut. Cuma ada sehelai seluar slack ketika baru masuk masuk universiti. Yang banyak ada cuma seluar jeans. Rambut pun tak pernah bersikat. Banyak panjang dari pendek. Ke universiti pakai selipar. Naik Honda 70 cabuk. Pernah staff aku terjumpa kad matrik dalam kereta aku, dia terkejut besar tengok gambar aku. Betul ke aku ni?

Bila aku kahwin, isteri aku ubah habis watak aku. Dia beli banyak baju dan seluar kemeja. Ada 5 tali leher. Ada blazer semua cukup. Lagi pun masa itu dah kerja. Tapi, semasa aku masih bujang, pergi kerja pun aku cuma pakai kasut tanpa stokin. Bila aku dah mula handsome, isteri aku pula mula bimbang!

Personaliti yang kekal - sama juga. Tetap serabut. Cuma bila aku jumpa orang-orang VIP sahaja aku pakai smart sikit.

2002-2009
Masa itu kerja pun sudah naik darjat sikit. Sudah jadi boss kecil. Tapi masih kuli. Sebab kerja dengan orang. (Azam Swinging Bowl baru boss betul). Banyak bersosial dengan manusia. Belajar bodek dan ampu. Kadang-kadang ada orang lain yang ampu kita juga. Bolehlah masuk kategori kuli, atau boss besar pun. Orang kampung pun boleh, orang bandar pun tak kisah sangat. Hujung 2007 - bila datang Adelaide, jadi student balik - personaliti lama muncul balik.
SERABUT

Jadi aku rasa, ada personaliti yang boleh kita ubah, ada yang tidak. Banyak personaliti kita ini hanyalah topeng pura-pura. Realitinya ialah apa yang ada dalam diri kita, dan siapa yang membesarkan kita. Yang lain-lain itu banyak dilakonkan. Kita jadi pelakon yang tak berbayar.

Thursday, 23 April 2009

Hujan, PhD dan bahasa

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hujan turun sejak petang tadi. Bandar Adelaide sudah jadi kebasahan. Walaupun tidak kelihatan longkang di Adelaide ini, peluang untuk banjir kilat sangat sukar berlaku. Walaupun tidak kelihatan longkang yang bakal menyebabkan anak kecil atau orang tua terjatuh ke dalamnya, sebenarnya longkang-longkang itu tetap ada. Tetapi ia direka di bawah tanah. Itu kelebihan sistem salirannya.

Malam - ketika aku sedang mengelamun, tiba-tiba ada e-mel masuk. Supervisor aku entah mengapa tiba-tiba sangat rajin malam ini. Dia meminta kertas persidangan untuk disemak. Katanya, dia akan melakukan pembetulan secara online malam ini. Hah. Puas aku mencari fail-fail yang entah di mana aku simpan. Biasanya semua fail aku simpan dalam komputer di pejabat.

Ada juga seorang pelajar Malaysia yang sudah memohon untuk membuat PhD di sini. Kerana dia berketurunan India, entah dia membaca iklan di dalam blog ini atau tidak. Kalau pelajar itu jadi datang, dia patut berterima kasih dengan aku. Akulah yang tolong menjadi 'tukang screen' dan menyokong permohonan pelajar itu.

Pelajar itu juga patut bimbang dengan tajuk yang bakal dia buat. Akulah yang menjadi orang belakang tabir yang berbalas e-mel dengan supervisor aku membincangkan model kajian dan topik yang patut dia buat. Tetapi aku tahu itu bukan masalah besar untuk lulusan psikologi tahun 1995!

Walaupun dia bukan pelajar kelas pertama, tetapi kerana dia lulus BA sama tahun dan sama bidang dengan aku dari universiti yang sama dengan aku, maka aku katakan kepada supervisor aku, dia patut terima pelajar tersebut.

Siapa lagi kalau bukan kita yang menyokong produk universiti kita. Aku cuma berhasrat satu perkara. Aku mahu membuktikan lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia - satu-satunya universiti yang ditubuh khusus bagi mengembangkan bahasa Melayu - juga tidak ada kurangnya berbanding orang lain yang diajar dalam bahasa Inggeris.

Kebijaksanaan atau kebodohan seseorang bukan kerana bahasanya, tetapi pengetahuannya. Kalau bukan kita yang merayakan bahasa kita, orang lain tentu akan berpuasa dari bertutur bahasa kita.

Wednesday, 22 April 2009

Psikologi cinta: siri 2

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita mulakan perbincangan kali ini dengan pernyataan: "Apabila anda membuang baju lama anda, tidak semestinya anda akan mendapat baju baru yang lebih cantik dan baik. Anda mungkin akan mendapat baju yang lebih buruk, koyak rabak dan compang camping".

Walaupun pernyataan ini berkaitan dengan baju, ia tidak menceritakan hal-hal yang berkaitan pakaian anda. Ia menceritakan hal pasangan anda.

Dalam banyak kes rumahtangga, apabila berlaku konflik - maka antara usaha yang paling mudah ialah perceraian. Memang, penceraian itu salah satu ikthiar yang ada. Pasangan anda mungkin bukan seorang yang bertanggungjawab, berfoya-foya, mengabaikan keluarga atau apa sahaja label lain yang buruk. Sebenarnya dalam dunia ini, jika anda mempunyai pasangan yang teruk, ada sejuta lagi keluarga yang mempunyai pasangan seperti itu. Kalau rumahtangga anda koyak rabak, ada lagi sejuta rumahtangga yang lebih menghinakan dari apa yang berlaku dalam rumahtangga anda.

Meminta cerai memungkinkan anda bakal mendapat pasangan baru yang lebih baik. Ia angan-angan dan mimpi semua orang. Apabila dilanda masalah yang sedikit sekalipun, orang mula berfikir yang mereka telah ditakdirkan mendapat pasangan yang teruk. Mereka berasa kesal. Mengapa tidak mereka mendapat pasangan lain yang diharapkan.

Sebenarnya ia hanya ilusi. Tidak ada pasangan dalam dunia ini yang sempurna dan ideal. Ia hanya angan-angan. Sempurna dan ideal hanya untuk seminggu pertama berkahwin. Kemudiannya dari hari ke hari, orang mula bertemu dengan hal yang pelik dan janggal. Suami malas bangun pagi dan tidak sembahyang subuh. Isteri tidak pandai melayan ibu mertua. Semua itu adalah pengalaman baru sesudah selesai tempoh bulan madu.

Jadi, apabila anda berharap dengan perceraian - memungkinkan bertemu dengan pasangan sejoli, ia silap. Mungkin satu dalam seribu sahaja. Membuang baju lama tidak semestinya anda mendapat baju baru yang cantik. Bahkan, anda mungkin bakal mendapat pasangan baru yang lebih buruk dari pasangan anda sekarang.

Banyak keputusan meminta cerai yang dibuat dalam keadaan penuh emosional dan pemikiran bercelaru menyebabkan ia diputuskan dalam keadaan yang tidak rasional. Hasilnya mungkin juga tidak rasional.

Jika sekarang anda sedang berhadapan dengan masalah, berhentilah sejenak. Lupakan sesaat masalah anda. Anda mempunyai sepuluh jari. Tutuplah satu jari anda. Lihatlah, ada lagi 9 lagi jari lain. Lupakan satu masalah. Lihatlah, ada lagi 9 perkara lain yang wajar difikirkan juga. Jangan menghabiskan banyak tenaga dengan hanya satu masalah tadi. Banyak yang harus difikirkan. Jangan terus memilih bercerai. Ia mungkin memburukkan keadaan. Melainkan, jika anda tidak ada pilihan lain.

Berkahwin tidak seperti bercinta. Ingat hal itu.

Monday, 20 April 2009

Psikologi cinta: siri 1

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sesekali bagaimana sekiranya jika kita berbincang hal yang berkaitan psikologi cinta pula.

Ini cerita lama. Cerita sekitar tahun 2006.

Ceritanya, gadis ini menghadapi masalah cinta yang menyebabkan dia tenggelam punca. Hubungannya dengan seorang remaja lelaki, pelajar juga - sudah diputuskan. Malangnya pelajar lelaki tadi masih tetap ingin menjalinkan hubungan dengannya walaupun dia tidak suka lagi. Menjadi masalah kepada pelajar wanita tadi kerana bekas teman lelakinya mengugut untuk membunuh diri. Ini menjadikan dia rasa bersalah kalau perkara itu benar-benar terjadi.

Dalam keadaan seperti ini, jikalah anda gadis tadi, apa yang patut anda lakukan. Patutkah anda kembali kepada lelaki tadi semata-mata untuk tidak membiarkannya membunuh diri?

Sebagai seorang lelaki - aku menjangkakan ugutan untuk membunuh diri tadi hanyalah helah sahaja. Kalau benar sekalipun, apa yang boleh kita lakukan?

Jadi - dalam perbincangan itu aku menyatakan betapa sebagai manusia, kita tidak mampu mengawal apa yang akan berlaku terhadap orang lain. Ibaratnya, ketika kita berada di tepi jalan, tiba-tiba ada kemalangan yang menyebabkan kematian yang berlaku di depan mata, adakah kita yang bersalah?

Kita bersalah kalau kita menolak orang tadi sehingga dilanggar kenderaan. Tetapi, kalau secara tiba-tiba orang yang berakal tadi mengambil tindakan menerkam ke arah kereta yang sedang bergerak, itu bukan salah kita. Kita tidak mampu mengawal apa yang bakal berlaku ke atas orang lain. Orang tadi - yang dikurniakan akal - sepatutnya bijak untuk menjaga dirinya sendiri. Kita hanya sekadar melakukan apa yang terdaya sahaja. Selebihnya bukan kuasa kita.

Memang, sebagai manusia kalau boleh kita inginkan semua perkara berjalan secara teratur. Tidak ada perang, pembunuhan, jenayah atau apa sahaja. Tetapi, adakah cukup dengan hanya 2 tangan kita untuk mengawal semua itu? Kita hanya boleh mengawal apa yang boleh kita kawal, selebihnya bukan hak kita. Yang boleh kita lakukan ialah mengawal diri kita.

Jadi - dalam soal putus cinta, itu satu hal. Hal bekas teman lelaki ingin membunuh diri, itu bukan hal kita. Kita tidak bercinta semata-mata dipaksa atau diberikan satu-satu syarat. Kita bercinta kerana menyayangi seseorang. Kalau kita tidak lagi saling menyayangi, atau tidak lagi sehaluan - kita tidak lagi boleh dianggap sebagai manusia bercinta. Sama ada kita berhasrat ingin menjalin semula hubungan atau tidak, itu hak kita. Tentu ada banyak pertimbangan yang telah diberikan.

Jadi - apabila lelaki itu mengugut untuk membunuh diri - kita tidak boleh menganggap bahawa kitalah punca kepada kejadian tadi. Lelaki tadi juga mempunyai akal. Dia juga ada tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan agamanya. Sekiranya lelaki yang kecewa bercinta sanggup untuk membunuh diri, adakah dia sanggup menghadapi cabaran lain yang lebih besar bila berkahwin nanti.

Lelaki tadi patut memberikan alasan lain untuk menjalin hubungan. Alasan akan membunuh diri adalah sesuatu yang tidak rasional dan tidak bersifat gentleman. Sebab itulah, aku katakan ia hanya satu helah lelaki. Lelaki yang hebat tidak mudah putus asa. Dia akan terus berusaha mendapatkan semula kepercayaan.

Banyak gadis-gadis yang sebenarnya tergoda atau terpedaya dengan helah kaum lelaki. Mereka kadang-kadang dijanjikan dengan kebahagiaan, dan kadang-kadang diancam dengan kesulitan. Dalam kedua-dua keadaan ini, adakalanya mereka terperangkap dan tertipu. Banyak yang terjual dan tergadai hanya kerana kata-kata lelaki - yang kadang-kadang tidak masuk akal.

Menggunakan alasan membunuh diri samalah seperti seorang laki-laki yang menjanjikan bulan untuk pasangannya. Ia sangat sukar berlaku, apatah dalam dunia ketika jumlah wanita lebih banyak daripada lelaki. Apakah mereka benar-benar kecewa dengan kehilangan seorang wanita, sedangkan ada 1,000 lagi wanita di hadapannya?

Nanti kita sambung. Ini baru pengenalan. Kita bercakap berkaitan psikologi cinta dari perspektif akademik. Kita akan membincangkan teori cinta.

Cerita sibuk minggu ini

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini tidak ada cerita yang pelik-pelik. Cuma cerita kesibukan aku sahaja.

Sekarang aku sedang sibuk memperbetulkan banyak kesalahan dalam kertas jurnal aku. Setakat ini, cuma 50 peratus siap. Banyak lagi yang belum diperbaiki.

Sedang-sedang sibuk itu juga, tiba-tiba dapat emel yang aku perlu membentangkan kertas kerja di Sabah. Sebenarnya beberapa hari ini aku sudah bergembira kerana aku tidak perlu membentangkan kertas. Aku hanya perlu membentangkan poster. Itu terlebih baik. Aku tidak perlu bercakap banyak. Aku hanya berdiri di depan poster yang direkacipta oleh Sdr. Din. Tetapi nampaknya sekarang perancangan sudah berubah. Aku kena pula mula menulis. 

Banyak lagi perkara sibuk minggu ini. Namun, bila banyak sangat perkara yang ada dalam kepala, akhirnya tidak ada satu perkara pun akan dilakukan.

Saturday, 18 April 2009

Iklan pembantu penyelidik: part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
LAST CALL!

10 Mac 2009 lalu, aku ada iklan berkaitan pembantu penyelidik. Setakat ini aku mendapat respons 7 orang anak-anak muda yang sedang belajar di universiti tempatan. Terima kasih untuk mereka.

Bagaimana pun, setelah aku fikir-fikir balik, jumlah itu masih kurang. Aku sudah membuat sedikit review. Jumlah 536 itu rupanya bukanlah jumlah responden, tetapi jumlah unit rumah. Maksudnya, jumlah responden akan lebih banyak lagi. Katakan dalam satu rumah mempunyai 3 orang yang berkerja, ini bermakna ada 1,500 orang akan terlibat.

Jadi, aku rasa aku patut mempunyai lebih banyak lagi pembantu penyelidik. Sekurang-kurangnya 10-15 orang yang akan mengharungi cabaran merentas seluruh negeri Selangor.

Siapa lagi yang berminat?

Untuk keterangan lanjut, lihat iklan asal. Kalau anda seorang yang ada banyak kenalan, bolehlah meminta mereka membaca iklan ini. Aku akan balik Malaysia 19 May ini.

Terima kasih.

Friday, 17 April 2009

Adelaide di petang Jumaat

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Adelaide di petang Jumaat memang mengkhayalkan. Tidak ramai lagi manusia Australia yang akan bekerja sehingga lewat petang. Jam dua atau tiga petang mereka masing-masing akan cabut menghilangkan diri. Jumaat petang bukanlah waktunya untuk mereka berkerja.

Kedai-kedai minum (baca: mabuk) di sepanjang Frome Street atau di sepanjang lorong Rundle Mall akan dipenuhi oleh warga manusia. Mereka beratur panjang juga di kebanyakan lampu isyarat menunjukkan betapa gembiranya mereka menunggu hari Sabtu. Mereka mungkin akan berhibur malam ini di disko-disko di Hindley Street yang juga ada gadis-gadis 'stripper' yang memberahikan. Tidak jauh dari rumah aku di Henley Beach Road dan George St ada juga 3 buah disko seperti itu.

Adelaide di petang Jumaat adalah bandar yang sepi. Tidak ada keindahannya untuk manusia seperti kita yang tidak tahu jenama air mabuk yang dijual di sepanjang jalan. Tidak juga ada keindahannya kalau kita tidak tahu mengetuk pintu disko untuk sesekali bermain 'pookies'. Di sini semua keseronokan itu telah diciptakan dengan baik untuk dimanfaatkan.

Pagi tadi, jam 11, ketika di dalam bas aku sempat berbual dengan seorang manusia Australia asalnya dari Darwin yang tahu dengan jelas selok belok Malaysia. Dia adalah bekas jurulatih squasy di Malaysia tahun 1978. Dia kenal baik dengan dua putera raja dari Malaysia pada waktu itu kerana dia berkerja dengan mereka. Dia juga tahu kehebatan Malaysia dalam sukan itu sekarang ini. Tahu juga dia akan KLCC.

Tetapi, dari segi gayanya hidupnya kini - dia mungkin seorang gelandangan sahaja. Katanya dia sedang menuju ke panggung wayang untuk menonton. Dia juga katanya boleh meramal nombor judi yang bakal naik. Dia menang $70 dua minggu lepas, dan tahun lalu menang $5,000. Ketika melihat muka aku, dia berkata aku bernombor 35. Dia kata akan menunggu seseorang lagi untuk mendapatkan dua lagi angka. Hah. Ini angkara manusia mabuk judi. Tapi bagi dirinya, itulah kegembiraan.

Itulah cerita Adelaide di petang Jumaat. Tidak ada apa pun yang meriangkan bagi orang seperti kita. Ia hanya bandar untuk manusia berangan-angan. Dan aku - masih lagi terpacak merenung monitor di dalam pejabat yang tiada manusia. Entah apa yang aku harapkan.

Selamat malam Adelaide. Moga besok hari akan tetap berseri lagi.

Isnin nanti kita mulakan lagi.

Thursday, 16 April 2009

Nasihat untuk bakal menteri

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sebelum baca ini, sila refer kepada artikel nasihat untuk menteri baru dahulu.

Tadi, sembang-sembang dengan kawan lama aku, Din. Dia beritahu, semalam Perdana Menteri sudah umumkan yang tidak ada lagi gambar menteri di signboard. Bagi aku ini berita yang patut kita dengar. Ia bakal menjimatkan wang berbillion-billion ringgit. Aku pasti, pengumuman itu tidak ada kaitannya dengan apa yang aku tulis di dalam blog sebelum ini.

Tapi, dalam sembang-sembang itu juga, kawan lama aku ini ada memberitahu dia sudah membuat sesuatu kerja amal yang sumbang. Ibarat mensedekahkan buah pisang dari kebun bapa sendiri kepada orang lain. Perbuatan bersedekah itu baik. Cuma, mengambil buah pisang dari kebun ayah sendiri walaupun bukan satu dosa, ia tidak digalakkan.

Apa dia buat?

Beberapa hari lalu, dia telah mencopy dan paste aku punya tulisan untuk dihantar ke suratkhabar. Hah! Ini kerja yang tak pernah dibuat orang. Aku mungkin boleh menjadi kaya dengan menyaman kawan aku yang susah itu sebanyak RM 1 juta kerana melanggar akta hak cipta. Dengan wang itu juga aku boleh membuka syarikat baru dalam dunia rekabentuk dan iklan yang pekerjanya juga ialah Din.

Apa pun, kalau ada orang dari pejabat menteri yang baca artikel aku, aku anggap ini satu sumbangan bermakna. Kalau tak ada yang baca, aku anggap ini nasihat untuk semua pembaca (khususnya pelajar di Adelaide) yang mungkin satu hari nanti menjadi menteri!

Tolonglah jawab emel!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari ini tidak menulis. Tidak ada apa yang hendak dituliskan. Menulis jurnal pun tidak menjadi. Ada halangan minda. Tidak tahu dari mana hendak bermula. Sesekali cuba untuk memperbaiki soal selidik. Menghubungi beberapa orang profesor di Amerika Syarikat. Walaupun tidak pernah kenal, nampaknya orang-orang ini mudah untuk berbicara. Mereka menjawab emel dan memberikan respons dengan cepat.

Ia budaya yang jarang ada di Malaysia. Aku pernah menghantar emel kepada seorang Menteri Besar, Timbalan Menteri, dan dua orang pensyarah di Malaysia. Tidak ada seorang pun yang menjawab! Hah, ini budaya yang aneh. Kalau menteri, mungkin kita boleh bersangka baik kerana mereka sibuk dengan banyak majlis. Mereka juga banyak masalah untuk diselesaikan. Masalah politik dan juga masalah rakyat. Mereka mungkin tidak pernah berada di hadapan komputer.

Aku pasti Timbalan Menteri tersebut tidak akan berkesempatan untuk menjawab lagi emel aku kerana dia baru sahaja digantikan dalam senarai kabinet baru. Mungkin, kalau dia menjawabnya dahulu, dia masih lagi ada sesuatu yang manis untuk aku ingati.

Tetapi kalau pensyarah yang tidak menjawab emel, ini agak pelik. Lainlah kalau pensyarah tersebut besar sangat namanya. Yang mungkin bersidang di sana dan di sini. Ini bukan pensyarah besar sangat. Orang biasa semacam aku juga. Aku sejak dari dulu sampai sekarang, akan cuba menjawab emel dari manusia mana pun. Lainlah kalau e-mel dari orang Afrika yang meminta aku memberikan mereka no akuan kononnya untuk mereka menempatkan wang mereka. E-mel seumpama itu aku padam sebab aku tahu tidak ada orang akan berbaik hati sampai begitu sekali.

Oh ya, sekarang ada spam emel berbahasa Melayu pula. Kononnya dia orang Melayu yang tinggal di UK dan telah berhenti kerja sebagai pengedar batu permata dari India. Kerana itu, dia akan mencari orang baru untuk menggantikannya. Baik hati sungguh! Setahu aku, sekarang dunia meleset. Anda mungkin mudah dibuang kerja, tetapi tidak ada orang yang akan mengambil anda berkerja dengan mudah. Jadi, jangan terpedaya dengan emel seumpama itu. Masih banyak kroni yang perlu mereka jaga.

Jadi, kalau anda diemel seseorang, adalah baik kalau anda menjawabnya. Melainkan kalau emel tersebut tidak berkaitan dengan kehidupan nyata seorang manusia. 

Monday, 13 April 2009

Impian menjadi bintang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kadang-kadang, apabila melihat kepada senario hiburan di Malaysia, kelihatannya golongan artis begitu istimewa. Begitu banyak anugerah dan acara khusus untuk meraikan mereka. Mereka diberikan habuan wang ringgit yang besar. Acara itu pula diberikan liputan khusus oleh televisyen, radio dan semua suratkhabar. Banyak syarikat korporat yang kaya raya sanggup mengeluarkan wang ratusan ribu ringgit bagi penajaan dan sumbangan.

Memang kita tidak menafikan bakat mereka. Mereka patut dihargai. Mereka patut diraikan. Mereka juga patut diberikan pujian dan pujaan. Kalau tidak, ia bukan dunia yang menggembirakan.

Biarlah mereka dikenali bukan hanya oleh yang meminati mereka. Kalau boleh, biarlah makcik dan pakcik kita di kampung juga tumpang berseronok dengan kejayaan mereka.

Sesekali aku tertanya-tanya juga, tidakkah ada program atau acara besar-besaran sebegitu untuk meraikan pelajar cemerlang kita sama ada kejayaan yang dicapai di sekolah atau universiti. Kita patut juga melakukan sesuatu yang hebat untuk mengiktiraf mereka. Biarlah acara-acara itu diberikan liputan luas oleh media massa juga. Syarikat korporat juga mesti beri sumbangan juga. Biar pelajar cemerlang ini juga menjadi idola dan model oleh masyarakat.

Bimbang nanti, banyak remaja kita hanya ingin nak jadi penyanyi, pelakon atau pelawak sahaja.

Friday, 10 April 2009

Nasihat untuk menteri baru

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku tahu tak ada seorang menteri pun yang akan membaca blog ini. Bahkan, kerani menteri pun tidak akan membaca blog ini, apatah lagi penasihat menteri. Tetapi aku rasa, sebagai rakyat Malaysia yang bakal berumur 37 tahun bulan Jun nanti, aku patut menasihatkan menteri yang baru tentang apa yang tidak patut mereka buat.

Dalam sembang kedai kopi aku dulu, aku pernah bercakap-cakap soal billboard yang tertera gambar menteri. Iklan pelancongan misalnya direkacipta dengan begitu cantik mengajak orang dalam dan luar negara melancong ke pelbagai lokasi menarik. Sayangnya, entah siapa yang mencadangkannya - terpapar gambar tiga orang menteri dalam iklan berkenaan - gambar Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelancongan.

Apa yang aku bimbangkan itu ternyata telah berlaku semalam.

Billboard seumpama itu juga wujud dalam kempen oleh Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini.

Akhirnya, apabila menteri tersebut tidak lagi menjadi menteri, atau bersara dari politik - maka secara tidak langsung, billboard tadi juga tidak relevan lagi. Ia menjadi iklan yang 'outdated'. Gambar lain dalam billboard tadi masih relevan, mesejnya juga masih relevan. Cuma gambar menteri yang tidak sewajarnya wujud dalam iklan itulah yang menjadi tidak relevan.

Bayangkan, satu billboard besar harganya diantara RM25,000 ke RM80,000 bergantung kepada saiz, design dan lokasi. Harganya mungkin tinggi lagi sekarang ini. Jadi, apabila berlaku perubahan portfolio menteri, maka billboard tadi juga harus dibuang. Berapa banyak billboard yang ada di sepanjang lebuhraya utara selatan dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru? Itu baru satu lebuh raya, belum termasuk jalanraya atau yang ada di Sabah dan Sarawak. Berapa banyak kos yang perlu ditanggung kalau perlu menggantikan semua billboard tadi?

Jadi nasihat aku - jangan sesekali memaparkan gambar menteri dalam billboard. Melainkan jika ia berkaitan dengan tema iklan - misalnya iklan kemerdekaan negara, atau pembangunan negara. Anda tidak tahu berapa lama anda akan menjadi menteri. Jangan menggunakan papan tanda untuk menonjolkan diri. Jika untuk mengajak orang melancong, cukup dengan ikon pelancongan yang dihasratkan misalnya Gunung Kinabalu, Gua Niah atau Zoo Negara. Itulah yang pelancong ingin lihat. Pelancong tidak datang untuk melawat menteri!

Kalau tidak, rakyat terpaksa membayar untuk semua itu setiap kali ada perubahan menteri. Kasihan mereka. Biarlah menteri yang bertukar, billboard biar kekal di situ.

Thursday, 9 April 2009

Sejak bila aku jadi tua!

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam, bila aku perhatikan - anak aku dah besar rupanya. Aku tak pula perasan sejak bila dia membesar. Dia pun dah tahu tekan keyboard komputer untuk buka sendiri Power Rangers atau Ben10. Sekarang ini dia sudah banyak complain dan demand. Ada saja benda yang tak kena. Kadang-kadang mengajar kita pula tu. Dia tak tahu rasanya ayah dia sedang buat PhD sedangkan dia tadika pun belum masuk lagi.

Semasa tunggu bas, terjumpa pula dengan dua tiga budak-budak undergrade Melayu. Sembang sekejap dengan mereka. Aku tidaklah tahu umur mereka sebenar. Mungkin sebaya dengan anak-anak saudara aku yang sedang belajar di universiti. Tapi berdasarkan perbualan tu, aku dapat bayangkan yang usia aku sekarang tidaklah semuda mereka.

Beberapa tahun dulu, semasa beli nasi lemak di Keramat Wangsa, budak yang meniaga tu tanya aku, pakcik nak lauk apa? Aku mula berfikir, dah tua sangat ke aku ni?

Aku tak terasa pun sebenarnya umur aku dah berubah dengan cepat. Aku masih teringat dengan jelas lagi zaman sekolah dulu. Kadang-kadang pak guard yang gempal itu kejar kami waktu malam. Aku masih ingat dengan jelas muka Najmi "B" Abbas, Mi Wajab, Hasni Hashim, Kamal "B", Man "K", Mae "K", Jefri "B', Anuar "G" dan lain-lain lagi. Huruf besar dalam kurungan itu gelaran masing-masing yang aku tak tulis semuanya. Maksudnya aku masih dapat bayangkan apa yang berlaku waktu itu.

Aku juga ingat dengan segar lagi hari pertama masuk universiti. Hasni datang ambil aku di kampung dan bawa aku ke Changlun dengan Honda 70 lampu bulat. Dia ada sedekah aku sehelai baju warna biru. Dari situ, aku naik bas ke Alor Star. Aku bawa beg besar naik bas Kota dari Alor Setar turun di Puduraya seorang diri. Lepas itu naik bas UTAMA dari Puduraya ke Bangi. Juga aku masih ingat banyak kawan-kawan sekuliah.

Aku juga masih ingat zaman aku mula mengorat bini aku sekarang. Masa itu tak ada YM lagi. Jadi yang paling canggih pun pakai Windows Popup. Aku selalu minta dia bancuh air kopi dekat aku. Waktu itu dia buat praktikal kat tempat aku kerja. Dua tahun selepas itu kami menikah. Jadi untuk budak-budak perempuan yang belum nikah, ingat perkara ini. Kalau nak cepat dapat jodoh, kena rajin buat air kopi!

Ingat juga lagi semasa hari majlis perkahwinan tu, aku terlupa pakai stokin dan butang baju Melayu. Akhirnya, aku pinjam stokin dari arwah Abang Ramli kamceng yang jadi driver aku hari itu. Butang baju pula aku pinjam dari pengapit aku - yang sekarang ini tiba-tiba ditakdirkan pula menikah dengan adik isteri aku. Semasa perjalanan balik ke kampung aku pula, semasa sampai rumah baru aku tahu rupanya stereng kereta aku dah tercabut. Nasib baik tak tercabut di tengah jalan.

Aku juga ingat dengan jelas pengalaman-pengalaman kerja aku dulu. Kadang-kadang tidur di ofis dengan Sdr Zul dan Aca. Kedua-duanya Graphic Artist. Aku juga ingat trip marketing ke merata tempat di Malaysia ini dengan Din, Hairi, Keno, Erma, Sam dan beberapa orang lagi. Semuanya aku ingat.

Sebab itu aku pelik sejak bila pula aku tiba-tiba dah berumur 36 tahun dan bulan Jun nanti dah jadi 37! Aku terasa macam semua peristiwa itu masih baru lagi. Mungkin sebab itu agaknya banyak orang terkejut bila tiba-tiba nampak malaikat maut sedang mengintai di depan pintu rumah! Sebab itu aku rasa pembaca patut buka Youtube dan dengar lagu Ungu - Andai Ku Tahu.

Wednesday, 8 April 2009

Anda pernah stress?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dua tiga hari ini nampaknya banyak kerja tidak menjadi. Tidak ada progress. Aku ingat bila kita kaji stress, kita tidak stress. Nampaknya tidak. Stress lebih teruk lagi.

Apa yang dikatakan stress? Stress bukanlah penyakit. Ia simptom yang menyebabkan fikiran kacau bilau. Ada sesetengah orang, bila stress akan cepat marah. Ada pula yang murung. Ada yang kuat makan. Mungkin ada juga yang pernah alami semua simptom ini. Ada yang tiba-tiba terjaga di tengah malam dan tidak boleh tidur lagi. Tidak kurang juga juga yang tidak mahu bangun di waktu pagi. Semua ini ialah kesan dari stress.

Di tempat kerja, orang juga stress. Bila stress, ada potensi untuk curi tulang, selalu cuti sakit dan berhenti kerja lebih awal. Simptom yang ketiga itu aku pernah alami dahulu. Kerja cuma bertahan 6 bulan. Gaji memang banyak. Waktu itu aku tinggal di Cijantung, Jakarta Timur. Kerja aku uruskan satu syarikat Malaysia di sana. Tugas yang lain ialah berurusan dengan pemegang saham orang Indonesia. Kebanyakannya bekas orang besar Angkatan Bersenjata Republik Indonesia.

Menjadi masalah, bila waktu itu aku jadi 'burger'. Aku kena deal dengan bos di Malaysia, dan pada masa yang sama berurusan pula dengan pihak di Jakarta. Menjadi masalah bila tauke aku di Kuala Lumpur tak begitu percaya dengan partner dia di Jakarta. Jadi, dia tidak mahu beri pembiayaan yang sewajarnya. Perbelanjaan untuk operasi dia selalu delay. Itu memanglah trick bisnis. Jadi tauke besar di Jakarta selalu push aku untuk dapatkan wang dari Kuala Lumpur. Bos di Kuala Lumpur pula minta aku 'buy the time'. Itu yang buat kerja aku sangat stress.

Tak tahan sangat dengan stress, aku tak pergi kerja. Kadang-kadang aku ke ofis lama aku di Blok M, Jakarta Selatan. Jumpa kawan-kawan lama di sana. Kadang-kadang aku call minta mereka datang ke tempat aku. Finally, aku letak jawatan 24 jam notis. Mana boleh aku jadi manager kalau aku tak diberikan wang. Macam mana aku nak buat keputusan dalam kerja kalau tak ada dana. Budak sekolah pun tak boleh nak decide nak tengok wayang atau tidak kalau tak ada duit.

Keputusan berhenti itu antara keputusan terbaik pernah aku buat. Keputusan terburuk aku buat ialah berhenti kerja tempat sebelumnya untuk berkerja dengan syarikat tersebut.

Tapi aku rasa, pada akhirnya apa pun keputusan yang kita buat, akan ada peluang selepasnya. Mungkin sebab itu aku sampai ke Adelaide ini. Sebab itulah aku nak kaji stress. Aku sebenarnya bukan kaji orang lain, aku sebenarnya hendak kaji pengalaman aku sendiri.

Tuesday, 7 April 2009

Beza sikap dan tabiat

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sebenarnya dua atau tiga hari ini agak malas untuk menulis. Bila Sdr Zarzh minta aku tulis fasal beza antara sikap dan tabiat, maka aku rasa aku patut tulis sedikit. Bagaimana pun, untuk yang teringin mendalami hal-hal ini, bolehlah menggoogle di internet dengan nama 3 manusia ini: i) BJ Watson, ii) Ivan Pavlov dan iii) BF Skinner.

Ketiga-tiga manusia ini antara kumpulan awal dalam pengkajian psikologi. Mereka ini menggunakan binatang dalam membuat kesimpulan terhadap tingkahlaku manusia. Sebab itu, dahulu zaman aku mengaji, kami juga kadang-kadang kena masuk makmal untuk bedah dan buli tikus seperti yang banyak dibuat oleh Cik Aini sekarang. Walaupun aku tidak berapa setuju sangat dengan aliran menggunakan binatang untuk menafsir tingkahlaku manusia, tetapi dalam konteks tulisan ini aku patut bagi contoh binatang juga.

Bagaimana yang dikatakan tabiat? Tabiat boleh berlaku apabila perbuatan itu diulang-ulang. Selalunya ia bermula dengan adanya rangsangan (stimulus). Misalnya ayam yang diberi makan. Hari pertama kita tabur beras. Jadi, semua ayam satu reban datang makan sebab beras mungkin sedap. Bila setiap hari kita tabur beras, dan ayam akan datang makan. Dalam hal ini, beras akan jadi stimulus dan perbuatan ayam lari keseronokan datang makan kita panggil tingkahlaku (dalam kes ini, tabiat).

Adakah ayam hanya akan seronok dengan beras? Mungkin tidak juga. Katakan begini. Setelah seminggu, kita taburkan pula pasir. Ayam akan datang berlari keseronokan juga walaupun kemudiannya baru ia tahu telah ditipu. Kerana dia telah dilazimkan dengan melihat butir-butir putih. Kalau setiap hari kemudiannya kita tabur pasir, lama-lama ayam tidak akan datang lagi walaupun kita taburkan beras pula. Sebab tabiat itu tidak ada lagi sebarang makna. Mengapa lari keseronokan untuk benda yang tiada makna?

Mak kita di kampung, bila memberi makan ayam misalnya, akan membunyikan "Kruuk". Bunyi 'kruuk' ini tidak ada makna. Katakan ayam yang baru menetas, atau yang baru dibawa dari Australia, apabila kita membunyikan "kruuk', ia mungkin tidak datang. Sebab mereka tidak pernah mendengar bunyi kruuk sebelum ini.

Bagaimana pun, apabila setiap hari apabila bunyi kruuk itu disertakan dengan menabur beras, maka lama-kelamaan, dengan hanya membunyikan 'kruuk' sahaja ayam akan datang juga. Pada peringkat ini, bunyi tadi sudah menjadi stimulus juga.

Apa kaitannya dengan tingkahlaku manusia.

Tingkahlaku manusia juga banyak berkait dengan stimulus yang ada disekelilingnya. Perokok misalnya, bukan hanya merokok disebabkan oleh desakan nikotin dalam badan. Banyak juga hal-hal lain yang menggangu.

Misalnya, setiap kali selepas makan, kita perlu merokok. Jadi, selepas makan itu juga sudah jadi sebahagian perangsang untuk merokok. Ia seperti bunyi kruuk juga. Ia mungkin bukan sesuatu yang ada apa-apa pun. Yang sedapnya ialah merokok, bukannya selepas makan. Tetapi disebabkan dua perkara ini ada kaitan, maka ia meneguhkan lagi tabiat.

Bila perbuatan ini diulang-ulang bertahun-tahun (dah 20 tahun lebih dalam kes aku), maka ia akan jadi tabiat. Jadi, setiap kali selepas makan, kita merasa perlu ada sesuatu untuk dihisap. Ini adalah tabiat. Dalam istilah psikologi, ia kadang-kadang dipanggil pelaziman operan (operant conditioning). Perangsang untuk merokok bukan hanya selepas makan sahaja, bahkan apabila kita duduk bersembang pun kita merasa perlu merokok. Jadi inilah antara faktor yang membentuk tabiat. Jadi yang membentuk tabiat itu banyak.

Tabiat ini biasanya berlaku secara automatik akibat pelaziman itu tadi. Misalnya dahulu, apabila para pengundi melihat sahaja lambang dacing misalnya, mereka akan terus mengundi. Atau kita juga, setiap kali anak-anak berdiri di depan pintu di hari raya, kita terus tergesa-gesa mencari wang siling. Ini semua adalah tabiat. Ia bukan sikap. Ia berlaku secara spontan.

Mungkin nanti aku akan ulas lagi hal ini.

Saturday, 4 April 2009

Psikologi perubahan sikap

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kali ini kita kembali kepada perbincangan psikologi. Kita berbincang psikologi sikap. Bagaimana pun kita tidak berbincang hal psikologi sikap yang tinggi-tinggi. Kita berbincang hal yang mudah sahaja. Untuk yang berminat mendalami topik ini, sila baca di sini.

Mengapa sikap? Sikap ialah penilaian kita terhadap sesuatu. Kita boleh menilai sesuatu secara positif atau negatif. Ia adalah permainan minda manusia. Dalam kata lain, sikaplah yang akan menyebabkan sesuatu tingkahlaku itu berlaku.

Jadi, dalam keadaan normal, untuk mengubah tingkahlaku, yang pertama harus diubah ialah sikap dahulu. Mengubah tingkahlaku adalah pekerjaan sukar.

Misalnya. Mengubah tingkahlaku merokok. Yang harus diubah ialah sikap terhadap perbuatan merokok. Kita harus bersungguh-sungguh menyemaikan idea bahawa merokok itu perbuatan buruk, keji dan tidak mendatangkan manfaat. Buruk lagi, merokok menjejaskan kesihatan dan mengurangkan wang. Dengan cara ini (memandang negatif terhadap perbuatan merokok), kita boleh menggalakkan seseorang itu berhenti merokok.

Setiap perokok (termasuk aku) tidak melihat merokok sebagai sesuatu yang negatif. Kami selalu berhujah bahawa orang yang tidak merokok juga sakit jantung dan mati lebih cepat. Kami juga percaya bahawa tidak merokok pun, seseorang itu tidak mampu menabung wang yang ada. Jadi, inilah pandangan positif kami terhadap rokok. Ia telah diherotkan oleh alasan demi alasan mengukuhkan lagi tingkahlaku merokok.

Yang dilakukan ahli politik apabila berceramah di kampung-kampung ialah mengubah sikap pendengar terhadap sesuatu. Misalnya, mereka akan berkata satu-satu parti sebagai jumud dan anti pembangunan. Ada pula ahli politik yang berkata bahawa satu-satu parti itu sebagai anti hak asasi dan tidak jujur.

Semua ini akhirnya akan menyebabkan orang percaya. Akhirnya ia mengubah tingkahlaku pengundi - misalnya tidak memberikan kerjasama terhadap satu-satu parti dalam menjalankan pentadbiran. Atau tidak mengundi walaupun ada kebaikan yang telah ditonjolkan oleh parti terbabit. Sikap itulah yang mengubah tingkahlaku.

Begitu juga sikap masyarakat terhadap pertanian. Kita tidak yakin bidang pertanian memberikan keuntungan. Kita melihat orang yang menoreh getah atau berkebun kelapa sawit sebagai tidak setaraf dengan orang yang makan gaji. Orang memandang rendah dengan kerja-kerja berkebun. Walaupun orang yang makan gaji pendapatannya tidak pun sampai RM1,000, tetapi orang lebih menghormati kumpulan ini sekalipun yang menoreh mungkin pendapatannya RM5,000 sebulan.

Tetapi itulah sikap. Sikap itulah yang menjelmakan tingkahlaku. Sebab itulah dalam banyak hal, kita menumpukan perubahan sikap lebih berbanding perubahan tingkahlaku. Inilah juga yang dilakukan oleh ahli motivasi dan penceramah. Mereka tidak mengubah tingkahlaku. Mereka hanya merubah sikap dengan harapan ia akan merubah tingkahlaku.

Adakah setiap perubahan tingkahlaku hanya boleh bermula dengan sikap? Yang kita bincangkan tadi ialah dalam keadaan yang normal. Dalam keadaan tidak normal, adakalanya perubahan sikap tidak memadai.

Misalnya penagih dadah. Penagih dadah tidak boleh diubah dengan menukar sikap mereka kepada penilaian negatif terhadap dadah. Mereka mungkin percaya dadah bukanlah sesuatu yang baik untuk mereka. Tetapi mereka tetap juga menagih. Sebabnya ialah kerana mereka akan ketagihan dan mengalami pelbagai jenis kesakitan (mental dan fizikal) jika tidak menggunakan dadah.

Jadi, apa yang boleh kita lakukan. Kumpulan ini perlu diubah tingkahlaku terlebih dahulu. Sebab itu mereka perlu ditahan di pusat serenti bagi mengubah tingkahlaku penagihan dadah. Setelah diubah tingkahlaku, baru mereka boleh diubah sikap. Itupun tidak banyak yang berjaya. Dalam keadaan ini, sikap dan tingkahlaku kedua-duanya kuat mempengaruhi di antara satu sama lain.

Begitu juga dengan penjenayah. Mereka ditahan di penjara. Dengan harapan, apabila tersiksa dengan hukuman, mereka akan berubah sikap. Sebaliknya, kita dapati apabila mereka keluar, masih ada yang terlibat dengan jenayah. Banyak penjenayah yang mempunyai rekod masuk keluar penjara. Ini adalah bukti betapa sikap adalah sesuatu yang sangat sukar untuk diubah.

Apa pun, kejayaan mengubah sikap memungkinkan perubahan tingkahlaku. Jika tidak, tidak ada apa yang boleh kita lakukan.

Friday, 3 April 2009

Iklan: Kemasukan PhD

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda rakyat Malaysia yang sedang mencari tempat untuk pengajian PhD dalam bidang Psikologi Industri & Organisasi/Organisasi/Kerja?

Jika ya, anda digalakkan untuk memohon. Pengkhususan bidang haruslah dalam stress pekerjaan. Lebih menarik lagi jika kajian tersebut menfokuskan kepada pengujian model "Job Demands and Resources" (Bakker et al., 2002) atau kecenderungan mendalami model Organization of Work (Sauter & Murphy, 2003; 2002). Dengan memahami model ini, ia akan memudahkan anda merangka proposal kajian.

Kajian ini akan dilakukan di Centre for Applied Psychological Research, University of South Australia.

Idea untuk mengambil pelajar Malaysia ialah sebagai sebahagian daripada proses meneruskan kesinambungan kajian-kajian stress pekerjaan di Malaysia. Pada masa sekarang, terdapat 2 orang pelajar termasuk aku sedang dalam penyelidikan mengenai topik ini. Salah seorang daripadanya akan tamat penghujung tahun ini.

Jadi, sebagai persediaan mengisi kekosongan dan melanjutkan kajian, maka penyelia aku bercadang untuk mencari seorang lagi pelajar baru. Insyaallah, pada tahun 2010 atau 2011, setelah pengajian aku hampir tamat, maka akan diambil lagi pelajar baru lain bagi membolehkan ada 2 orang pelajar Malaysia pada satu-satu masa. Jadi pada masa hadapan, kita boleh membentuk satu kumpulan penyelidik di Malaysia dalam topik ini.

Bagi memudahkan proses, hubungi aku bagi melanjutkan perbincangan dengan penyelia berkenaan. Bagaimana pun, bagi urusan pentadbiran kemasukan lain (IELTS, syarat kemasukan dan sebagainya) haruslah dipenuhi. Aku hanya berurusan dalam hal-hal perbincangan dan sesi pembuka kata dengan penyelia.

Harap maklum.

Selamat berjumpa lagi Pak Lah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat berjumpa lagi Datuk Seri Abdullah.

Hari ini, Jumaat 3 April 2009 adalah hari terakhir beliau sebagai Perdana Menteri. Selamat berjumpa lagi kita ucapkan kepada beliau. Mengucapkan selamat jalan adalah ucapan yang tidak kena, seolah-olah kita tidak mungkin bertemu lagi dengan beliau. Jadi, ayat terbaik ialah mengucapkan selamat berjumpa lagi. Ia lebih positif, walaupun maknanya sama sahaja.

Tentu, menjadi pemimpin tertinggi negara - beliau disukai dan tentu juga tidak disukai. Mustahil semua orang menyanjung kita, sebagaimana mustahil setiap orang membenci diri kita. Manusia - tidak pernah sempurna. Akan ada salah dan silapnya juga. Bagaimana pun, kita perlu memuji kebaikan yang beliau lakukan.

Beliau dilihat sederhana. Tidak terlalu rakus dan tidak dilihat begitu teruja dengan kuasa. Mungkin itulah sebabnya beliau tidak bertahan lama. Atau itu jugalah rahsia kekuatannya membolehkan beliau terpilih sebagai Perdana Menteri kelima. Sosok Anwar Ibrahim dilihat lebih meyakinkan sebagai pemimpin utama negara. Ia disukai banyak orang. Tetapi itulah yang menyebabkan beliau tersungkur lebih awal. Apabila anda mempunyai ramai pengikut, bermakna anda juga dihadapkan dengan banyak musuh.

Banyak ruang diberikan kepada media bersuara oleh Abdullah sepanjang kerjayanya. Itulah kejayaan besarnya. Tetapi itulah juga kelemahannya. Ruang itu telah digunapakai sebagai saluran untuk mengkritik pentadbiran dan peribadinya. Tetapi pada akhirnya, orang akan tetap mengingati - itulah jalan terbaik dalam menangani dunia hari ini. Sekalipun anda mungkin menutup semua pintu - akan ada usaha untuk menceritakan keburukan anda juga. Ini adat politik.

Jadi terima kasih kepada Abdullah di atas usahanya.

Mungkin salah satu kesilapannya - sebenarnya bukan kesilapan - ialah kerana beliau mempunyai menantu yang cerdik dalam politik. Tanpa menantunya sekalipun, orang akan tetap berusaha untuk mencari sesuatu untuk diburukkan. Jadi, sebagai manusia politik, beliau tidak ada pilihan lain.

Mahathir, tidak mempunyai menantu yang berpolitik. Tetapi beliau tetap berhadapan dengan situasi sukar juga. Itulah juga yang bakal dihadapi oleh Najib, Perdana Menteri ke-6 negara. Keluarga anda akan tetap dikaitkan dengan kerjaya anda.

Jadi - apa pun yang telah dilakukan oleh Abdullah, dan apa pun yang akan diperkatakan orang, kita perlu mengucapkan terima kasih. Sekurang-kurangnya beliau telah menghadirkan diri sebagai Perdana Menteri kita. Selamat berjumpa lagi.

Thursday, 2 April 2009

Meramal 3 pilihanraya kecil

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Pilihanraya muncul lagi. Kali ini di tiga tempat sekaligus. Di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Siapa yang bakal menang? Ini soalan yang akan selalu muncul dalam minda pemerhati amatur seperti kita. Pemerhati profesional pun akan bertanya soalan yang sama juga. Ini belum termasuk broker projek yang juga meramal kalah menang sesebuah parti.

Jadi kali ini blog ini juga cuba meramal. Benar atau salah kemudiannya tidak begitu penting. Yang penting ramalan sudah dibuat.

Sebelum ramalan dibuat, ada baiknya semua orang tahu bahawa semalam pasukan bolasepak Argentina dibelasah 6-1 oleh pasukan Bolivia. Pasukan Argentina memang diketahui sebagai gergasi dunia. Jurulatihnya pula bukan calang-calang manusia, Diego Maradona. Anda boleh berkaki bangku, tetapi anda tidak boleh untuk tidak kenal manusia bernama Maradona ini.

Apa kaitannya? Jangan lupa, pasukan besar juga boleh tewas.

Kita ramalkan pula pilihanraya kecil di ketiga-tiga tempat.

1. Di Batang Ai - Barisan Nasional menang.
Alasannya mudah sahaja. Sabah dan Sarawak adalah kubu kuat BN. PKR pula parti yang relatifnya baru. Mustahil akan menang di sana. Percubaannya kali ini boleh kita anggap sebagai salam perkenalan sahaja.

2. Di Bukit Selambau - Ini kawasan yang paling susah untuk diramal. Ada 15 individu yang bertanding. PKR dan BN tentulah parti pilihan. Bagaimana pun, sekiranya semua saudara mara dan sahabat handai (katakan 50 orang) telah memilih calon bebas, maksudnya PKR dan BN telah kehilangan 500 orang lebih. Ini ditambah dengan pemilihan calon PKR yang dikatakan tidak serasi dengan masyarakat setempat. Juga masalah-masalah dalaman PKR (seperti di Pulau Pinang dan Adun lompat parti) juga akan menjejaskan peluangnya kali ini. Peluang untuk BN menang 51:49.

3. Bukit Gantang - sosok YB Datuk Seri Nizar Jamaluddin adalah manusia paling popular di Perak dan Malaysia sejak kebelakangan ini. Bagaimana pun, walaupun popular belum tentu beliau menang dengan mudah juga. Melihat kepada perubahan politik tanahair, dan juga perubahan cara kempen politik BN - seakan-akannya PAS akan menghadapi laluan sukar kali ini. Ini termasuk juga pergolakan dengan pihak istana sebelum ini. Memang, kelihatannya banyak orang memihak kepada Pakatan Rakyat. Bagaimana pun, dalam konteks tempatan, menyanggah kata Raja adalah sesuatu yang jarang berlaku. Apatah pula Bukit Gantang itu sendiri bersebelahan dengan bandar diraja Kuala Kangsar. Jadi, peluang untuk PAS kalah ini mungkin ada. Peluang untuk PAS menang cuma 51:49.

Itulah ramalannya kali ini. Jangan anda menggunakan ramalan ini. Peluang untuk ramalan ini benar hanyalah 1:99 sahaja!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails