Yang Ikut

Wednesday, 31 December 2008

Terkini Mt Gambier

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiba di Mt Gambier jam 3.30 petang tadi. Singgah di beberapa tempat sebelum sampai. Melewati panoramik ladang menguning dan langit biru. Jarak 473km dari Adelaide.
Sekarang menginap di rumah unit 3 bilik. Ada juga rumah sebesar saiz dua biji tandas untuk mereka yang menggunakan caravan park. Sepatutnya cuma 6 dewasa 1 anak. Tapi seperti biasa, kami menyumbat semuanya. Sekarang sudah ada 8 dewasa, 2 anak. Jimat bajet!
Tadi kami sempat singgah di Blue Lake dan Umpherston Sinkhole. Yang pertamanya tasik yang airnya hanya biru di musim panas, yang keduanya lembah yang kini sudah jadi taman bunga. Kedua-duanya bekas kawah gunung berapi. Itu sahaja update hari ini. Esok sambung lagi.

Tuesday, 30 December 2008

Salam Tahun Baru

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari ini agak sibuk. Tapi apa yang aku tunggu, akhirnya dah tiba. Tengok ni. Sekurang-kurangnya ada juga yang ambil tahu pasal orang menoreh. Lambat sikit pun tak mengapalah.

Esok aku akan memulakan percutian musim panas. Sebab itulah beberapa hari ini agak sibuk. Bukan sibuk menyiapkan diri bercuti. Sibuk menyudahkan kerja-kerja mengaji yang tak sudah-sudah. Esok dalam jam 7 pagi aku dan kawan-kawan akan ke Mt. Gambier. Selama 2 hari. Apa yang ada di sana. Sila baca blog Kremaut. Selepas itu, rencananya akan meneruskan perjalanan ke Melbourne. Insyallah, kalau sempat update, nanti aku update.

Selamat Tahun Baru Maal Hijrah dan Tahun Baru Masihi aku ucapkan kepada semua pembaca blog ini. Tahun yang sudah tak akan berkunjung lagi, tahun yang mendatang tak pasti berapa lama lagi usia kita. Cuma agak sedih - penutup tahun baru ini disudahi dengan berita duka orang Islam di Palestin yang tanahnya terjajah, nyawanya diratah pula.

Penutup tirai 2008 juga disudahi dengan kemunculan web menghina kesucian Rasulullah S.A.W. Kalau penulisnya orang Islam - bertaubatlah. Bagi sesetengah tok guru kampung, mengatakan Nabi Muhammad SAW tewas dalam peperangan seperti yang banyak disebut dalam buku sejarah (termasuk yang ditulis Philip K Hitti) juga satu penghinaan tanpa sedar yang boleh mencederakan akidah. Begitu juga dengan mengatakan Nabi Adam melakukan dosa dan akhirnya diperintahkan turun ke bumi. Semua ini penghinaan yang mungkin dilakukan tanpa sedar, atau tanpa pengetahuan. Ia tak disedari kerana kita mungkin tak sempat bertanya dan belajar. Setiap nabi adalah golongan yang sentiasa dijaga martabat kenabiannya. Apatah lagi membangunkan laman web yang semata-mata bermotifkan menghina kepribadian Nabi dan kesucian Islam.

Jadi kita jangan mudah sangat terpesona dengan fahaman sekular, orientalis, liberal atau apa juga namanya. Aku tak nak ulas panjang bab ini. Lebih baik pergi tanya orang alim.

Jadi - moga tahun baru yang mendatang akan menjadikan kita manusia lebih baik. Insyaallah.

Apa agenda tahun baru 2009 ini? Bagaimana pula dengan kejayaan dan kegagalan 2008. Mari kita pakat belek buku diari masing-masing. Salam Tahun Baru untuk semua.

Sunday, 28 December 2008

Trip ke Victor Harbor - Part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apa ada di Victor Harbor? Pulau granit yang bersebelahan itulah tarikannya. Untuk ke pulau itu, kita perlu berjalan kaki dalam jarak 300-400 meter di atas jambatan kayu.

Pulau ini sesuai untuk mereka yang berminat untuk menerokai keindahan laut dan pantai. Ada juga tempat untuk anda melihat kumpulan penguin yang singgah. Aku tidak ada gambar apa yang ada di atas pulau itu kerana aku tidur di dalam kereta. Balik dari Victor Harbor, kami ke Goolwa pula. Dalam 12km dari sini. Inilah istimewanya musim panas. 8.30 malam pun tak maghrib lagi.
Apa acara di Goolwa? Hah. Ini pekerjaan yang jarang aku buat di Malaysia. Ini acara mencari dan mengutip kerang. Lihat gambar kat bawah ni. Inilah caranya mereka mencari kerang yang tersembunyi di bawah pasir.
Dapat banyak juga kerang semalam. Tapi aku tak berminat sangat nak turun laut bermain pasir ni. Ada dua sebab, pertamanya basah. Keduanya sejuk. Apa pun, Goolwa ini memang cantik. Lihat gambar bawah ni.
Sebab dah malam, kami semua bertolak balik ke Adelaide. Tunggu trip lain pula minggu depan. Terima kasih semua yang terlibat menjayakan perjalanan ini, termasuk penaja rokok Sampoerna A dan Dunhill - Sdr Fahmi dan Fikrul.

Trip ke Victor Harbor - Part I

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kali ini trip ke Victor Harbor. Pulau granit di kira-kira 85km di selatan Adelaide. Ada seorang pengunjung blog ini dari sana. Mungkin dia tinggal di sana. Pulau ini boleh kita sampai dengan menaiki kereta melewati freeway dan kemudiannya masuk ke jalan country. Dalam satu jam boleh sampai ke sana. Pulau ini mengadap laut Kutub Selatan. Jadi lebih dingin.
Sebelum sampai ke sana kami singgah di Mt Compass. Singgah dahulu di sebuah ladang blue berry. Ini gambar ketika kami singgah di tepi jalan sambil menunggu rakan-rakan yang lain. Ia di sebelah ladang lembu. Cantik kawasan ini.
Ini pula gambar bunga kuning pohon liar. Kawasan lapang itu juga ladang. Ada lembu dan kambing di hujung sana. Kamera aku tak mampu nak teropong jauh dari itu. Jadi lihat gambar bunga dah la!
Di bawah itu gambar blue berry. Buah ini biasanya dibuat jem atau perasa ais krim. Seperti buah senduduk di Malaysia, melihat rupa batang, daun dan buahnya. Cuma pohon senduduk agar kasar, tetapi bentuknya sama. Rasa buahnya juga tidak berbeza. Eh, korang tahu ke buah senduduk ni?
Masuk ke ladang ini percuma. Cuma apabila memetik buahnya, ia akan ditimbang. Sekilo dalam AUD 16.00. Aku tidak berapa pasti sangat. Aku cuma masuk ambil gambar untuk tunjukkan gambar kepada orang yang tidak tahu. Gambar bawah itu ialah cara yang betul memetik buah berry.
Bawah ini pohon buah cherry. Ada sepohon dalam ladang ini. Mungkin tumbuh secara tak sengajIa sama seperti buah keriang di Malaysia yang banyak tumbuh di kawasan bendang. Rasanya pun begitu. Cuma buah keriang agak kecil.
Ini pula ketika kami singgah di 'mini zoo'. Banyak kanggaroo, burung, buaya dan kaola.
Bagus tempat ini. Sesuai untuk budak sekolah. Juga sesuai untuk bawa perwakilan UMNO bagi melobi mereka. Sebabnya kangaroo di sini mesra. Aku dah dua kali sampai ke tempat ini. Lihat cara kangaroo menjelir lidah tu. Nanti petang, kalau ada masa aku sambung cerita pasal Victor Harbor. Kalau tak sempat, esok aku sambung. Sebab belum sampai lagi ke Victor Harbor pun banyak tempat kami singgah.

Thursday, 25 December 2008

Adelaide di pagi Natal

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini gambar kampus aku di City East. Ada 4 kampus semuanya - 3 di Adelaide, 1 di Whayalla. Kampus di Whayalla jauh dari sini. Ia di kawasan country. Kampus City East inilah tujuan aku pagi ini. Aku tahu semua orang bercuti. Jadi ini hari paling baik. Senanglah aku berfikir dan menyiapkan kerja-kerja yang terbengkalai.

Malang sungguh. Semua bangunan berkunci. Apa yang patut aku buat? Nak ke kedai, kedai tutup. Nak menonton wayang, aku tak tahu di mana panggung. Nasib baik aku ada ambil gambar semasa berjalan kaki ke universiti tadi. Jadi aku ambil keputusan balik dan update blog ini.Ini jalan besar. Biasanya sibuk. Tapi lihat. Jalannya lengang. Tidak ada kereta lalu lalang. Kalau nak tidur tengah jalan pun boleh.Banyak orang Adelaide balik country agaknya. Aku agak ada yang balik kampung macam kita juga. Sebab supervisor aku balik kampung di Border Town - pekan kecil di sempadan South Australia dan Victoria. Ini jalan di sebelah sebuah taman. Ada kereta yang parking di sini. Aku lihat ada beberapa orang putih sedang berjogging. Mungkin itu kereta mereka. Datang berjogging di pagi raya. Mungkin caranya mereka menyambut hari Natal. Uniknya Adelaide - ia banyak taman. Ada di mana-mana. Siap dengan kemudahan berjogging, tempat permainan anak-anak, tandas, kerusi dan meja serta kemudahan barbeque. Di tempat kita susah kot. Buat taman libatkan banyak kos. Lebih untung bina supermarket atau kondominium. Lagi pun, kalau buat taman - nanti jadi sarang maksiat. Kerusi nanti budak dadah curi.

Taman ini menghijau. Pokok-pokok pun dah tua. Cantik. Sebab itu mungkin di Adelaide ini banyak burung. Ada burung nuri, itik belibis, tekukur, mala kerbau, merbah dan macam-macam lagi. Senang mereka buat sarang. Nanti aku story bab burung di lain waktu.

Ini gambar dalam universiti aku. Lihat kat situ ada papan tanda. Tak sibuk pun nak tulis dalam bahasa Greek atau Itali. Orang Cina, Pakistan dan Arab pun banyak. Tak kacau pun nak papan tanda sendiri. Di Siam dan Indonesia, bukan sekadar papan tanda, nak tulis nama pun kena pakai bahasa kebangsaan negara.
Ini gambar burung nuri. Ada sarang kat dalam pohon tu. Ini buktinya Adelaide ni bandar burung

Sedikit fasal bahasa

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Isu bahasa berbangkit lagi. Ada satu pihak tegas inginkan bahasa Melayu dinaiktaraf semula. Baca sini. Datuk Nik Aziz Nik Mat pula, bercakap hal bahasa juga di sini.

Kita tidak tahu sampai bila kita akan bercakap-cakap, berdesas desus soal bahasa. Mungkin kita akan diam bila bahasa kita pupus seperti yang berlaku dengan bahasa Pitjantjatra. Apa itu?

3,000 daripada 6,000-7,000 bahasa diramal pupus sebelum tahun 2100. Harapnya bukan bahasa Melayu.

Di Australia - orang Greek, Jerman dan Itali bertutur bahasa mereka sendiri. Mereka tidak pula sibuk untuk ada papan tanda atau papan iklan dalam bahasa sendiri. Suratkhabar dalam bahasa Cina atau India itu hal lain. Kita kena tahu bezakan. Tapi kita tak boleh memuaskan hati semua orang dengan mahu menggunakan semua bahasa. Kena ada satu sahaja. Lebih baik kita ajar semua bahasa di sekolah. Itu lebih baik daripada berebut nak menunjuk taring etnik.

Jangan nanti bila sebut bahasa Melayu - orang bertanya apa itu?

Monday, 22 December 2008

Cerita tuan rumah

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Malam ini sungguh tiada 'mood' untuk study atau buat apa-apa kerja yang berfaedah. Masuk universiti - semua dah bercuti. Lalu lalang depan Rundle Mall, dah jadi semacam Chow Kit musim raya Aidilfitri. Begitulah suasananya. Seolah-olah kita pula yang sedang berhari raya. Cuma tadi, bila aku balik dari kedai IGA, ada banyak buah atas meja. Rupanya, tuan rumah aku, Mama yang beri. Dia yang berketurunan Greek ini selalu beri macam-macam.

Mungkin sebab aku bayar sewa rumahnya tepat - sebulan sekali pula tu - membuatkan dia gembira. Mungkin juga sebab dia sudah tua - dalam lingkungan 80-an, jadi dia teringin buat kerja amal. Suaminya sudah lama tak lalu depan rumah aku sejak jarinya dipotong kerana kencing manis. Maka, yang selalu lalu depan rumah aku ini - cuma Mama.

Orang Greek ini tabiatnya seperti orang Melayu. Mereka rajin berkebun. Suka bersembang. Pernah sekali semasa bayar sewa rumah, aku ke rumah Mama. Dia bancuh secawan kopi kat aku. Dia baik. Nak jamu aku makan sekali. Hah. Nasib baik aku tipu yang perut aku dah 'full'. Kalau tak mahu aku makan daging yang tak disembelih tu. Dah la tu - anjing-anjing dia kat dapur tu tu menjilat kaki aku pula. Tak apalah. Nak buat macam mana. Tak kan nak sepak pula kot. Balik rumah, aku samak. Itu cara paling baik.

Tapi - bab buruk yang lain - kononnya orang Greek ini kedekut. Tak tahulah itu streotaip kaum atau tidak. Tapi tuan rumah aku ni taklah macam tu sangat kot. Oh - sebenarnya buah-buahan ini ditanam di belakang rumah aku. Ada semacam kebun jugalah. Aku tak pernah masuk sebab berpagar. Cuma sesekali aku sempat menjenguk. Ada juga reban ayam kat belakang tu. Bila dengar ayam berkokok - terasa macam kat kampung aku di Changlun pula. Hilang rindu dekat ayam mak aku!

Moonta Bay - part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Selepas siap berkemas-kemas, kami meninggalkan Moonta Bay. Mengikut jalan ke arah Wallaroo. Ia pekan pinggir laut yang cantik, bersih dan kemas. Sebenarnya tidak ada tempat di sini yang tidak bersih. Mungkin sebab manusia kurang, atau juga sebab tamadunnya yang maju. Sepanjang jalan ke sana, kita akan melewati ladang gandum seluas mata memandang.


Pekan ini kecil sahaja. Sebesar pekan Kodiang. Tidak banyak yang ada. Ada sebuah muzium maritim, bank dan beberapa kedai kecil lain. Di kelilingi taman perumahan. Ada juga satu kuarter untuk kelasi yang bersara. Selain pelancongan dan aktiviti perikanan, pekan ini hidup dari aktiviti gandum. Ia boleh digambarkan oleh kilang besar itu. Anda boleh juga menggoogle "AusBulk' untuk melihat apa aktiviti syarikat atau kilang ini.


Ada sebuah jeti panjang di sini. Tidak seperti jeti lain, jeti ini merupakan tempat penyaluran gandum yang disimpan di sebuah kilang besar di sini. Aku tidak pasti sama ada gandum itu disalurkan dari kilang itu ke kapal di laut, atau ia disalurkan dari arah laut ke kilang itu. Mungkin kedua-duanya. Anda boleh melihat gambar saluran seperti paip itu di dalam gambar.


Selepas sesi bergambar, kami meneruskan perjalanan ke Adelaide. Pulang untuk melupakan kegagalan trip memancing kami. Tunggu trip yang lain - di tempat yang lain.


*Nota: Itu bukan gambar aku.

Sunday, 21 December 2008

Welcome to Moonta

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Monta Bay - bandar kecil dan sunyi yang berada 180 km di sebelah utara Adelaide. Dikelilingi pantai dan teluk - menjadikan ia kawasan pelancongan yang agak popular. Mungkin yang tinggal menetap di sini hanya sebilangan kecil sahaja. Kebanyakan yang datang ialah pelancong dari luar. Ini merupakan kali ke 3 aku ke Moonta Bay - mencukupkan misi kegagalan memancing di masa lalu. Di bandar ini ada sebuah kedai Foodland, Salvos dan sebuah stesen minyak. Kedai-kedai lain mungkin hanya menjual barangan untuk penduduk setempat.

Sepanjang perjalanan kita dapat melihat ladang gandum yang sedang matang - menguning seperti padi di kawasan sawah di lebuhraya Gurun-Alor Setar. Aku bernasib baik - ketika perjalanan pulang sempat melihat gambar pohon gandum ini sedang dituai oleh jentera. Seperti juga mesin padi di negara kita. Yang mungkin menjadikan pertanian mereka berbeza ialah kerana mereka mempunyai kelengkapan teknologi lengkap bagi semua pekerjaan. Sesekali kita juga terserempak dengan ladang pohon zaitun dan anggur.

Di Moonta Bay ini, kami menginap di sebuah motel 3 bilik. Dari motel ini anda boleh melihat begitu banyak - mungkin ratusan - tiang pemancar antena tv yang tinggi. Mungkin menggambarkan gangguan gelombang tv di kawasan teluk ini. Atau melambangkan ia bandar yang jauh dari Adelaide. Uniknya, tiang pemancar ini dibuat dengan begitu baik. Tidak seperti kita yang lebih kerap menggunakan pancang buluh untuk meninggikan antena. Mungkin inilah yang membezakan antara kita dengan mereka.

Misi memancing kami bermula jam 5 petang. Seperti biasa - kami gagal. Aku cuma mendapat 2 ekor ikan Tommy Ruff. Itu sahaja. Walaupun malamnya kami mendapat lebih 40 ekor ketam - tapi itu tidak memadai. Tidak seperti masa lalu, kali ini tidak ramai pemancing, 'penyotong' dan 'pengetam' di atas jeti. Mungkin kerana sekarang musim Krismas. Mereka bercuti di tempat lain. Bandar Moonta Bay tidak ada apa-apa yang menyeronokkan. Walaupun tidak ramai pesaing, kami gagal juga!

Jam 12 tengahari tadi - kami bertolak balik. Sempat singgah di Wallaroo. Ia pekan kecil pinggir laut- tidak jauh dari Moonta Bay. Mengikut sejarah - ia merupakan bandar pelabuhan di masa silam. Khabarnya - ada seorang kelasi Melayu yang mati di pekan ini. Ia mati ketika kapalnya berlabuh dan dikebumikan di kubur orang Kristian. (Bersambung esok)

Friday, 19 December 2008

Ini bukan update

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada berita hari ini. Tiada peristiwa hari ini. Aku sedang sangat sibuk. Entah apa yang disibukkan. Otak berputar-putar. Sedang mencari ilham. Kadang-kadang datang, selalunya hilang. Esok baru aku nak mulakan perjalanan ke satu tempat dalam jarak 180km dari Adelaide ini. Kemana tu?

Harap-harap aku berjumpa sesuatu. Nanti baru aku update apa yang aku jumpa dan aku rasa.

Ini berita yang baru diupdate

Petang tadi - selepas balik sembahyang Jumaat, lagi beberapa kali berpusing-pusing di dapur. Akhirnya aku keluar. Naik bas ke universiti jam 4.30 petang. Di Rundle Mall orang putih sedang sibuk bershopping. Banyak orang di situ.

Masuk universiti - dah lengang. Tak ada orang. Ingat nak ke ofis - berkunci pula. Semua dah pakat balik gamaknya. Aku singgah sekejap di computer pool. Cetak apa yang patut. Balik.


Tunggu bas J1. Entah apa gamaknya, hari ini bas begitu lambat. Tak tahu nak buat apa, sambil duduk aku sempat ambil gambar. Bolehlah kalau ada yang bercita-cita hendak ke Adelaide melihat bandar 'besar' ini.


Itu sahaja update yang bukan update hari ini. Tunggu aku balik Moonta Bay. Nanti aku lapor apa yang boleh dilapor.

Thursday, 18 December 2008

PhD - Part 3 - Stimulus minda

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Apa yang boleh membantu anda ketika menulis? Sebenarnya ia bukan sekadar jurnal, artikel atau buku-buku sahaja. Ia memang diperlukan, tetapi ada juga hal-hal lain anda perlukan bagi memastikan anda terus fokus dengan komitmen anda.

Antara bahannya ialah:
a) Maggie - ia boleh menghilangkan lapar perut anda - boleh dibeli di Asian Grocery atau Foodland.
b) Rokok Marlboro - boleh dibeli di kebanyakan kedai dengan harga yang berbeza-beza. Jangan merokok kalau anda bukan perokok. Jangan juga belajar merokok. Ia bukan sesuatu yang patut dipelajari (2 orang anak saudara aku yang masih bersekolah menengah telah mencubanya. Ketika balik ke Malaysia dahulu; aku telah bertanya - siapakah di antara mereka yang telah mencuba merokok. 2 daripadanya mengangkat tangan. Mereka mendakwa telah berhenti. Aku tahu mereka berbohong. Aku tahu benar hal itu. Aku telah memberi jawapan yang sama 23 tahun dahulu).
c)Red Bull (dalam bahasa Siam ialah Krating Daeng - Seladang Merah) - ia kononnya boleh menguatkan tenaga fizikal anda. Mungkin betul - sebab bahannya mengandungi kafien.
d)Telur ayam - boleh merangsang otak anda agar tidak menjadi setaraf bapa ayam. Boleh dibeli di kedai, atau dicuri di reban ayam jiran anda.
e)Nurofen Plus - ia ubat yang baik kalau anda mengalami sakit urat kerana duduk terlalu lama di depan komputer.

Kalau begitu, untuk siapkan PhD anda - jangan hanya ke library. Singgah juga ke kedai.

Wednesday, 17 December 2008

Bingkisan untuk graduan muda

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kelmarin, ketika aku lalu di celah-celah bangunan Universiti Adelaide, para pelajar sedang bergambar, bertemasya dan bersuka ria menyambut majlis graduasi mereka. Aku tidak begitu pasti ada orang Malaysia atau tidak di celah-celah kelompok yang berseronok itu. Aku sudah lama melewati zaman keseronokan itu. Tahun 1995 lagi.

Masa itu kita beranggapan dengan lulus ijazah pertama, kita adalah raja yang boleh menakluk dunia. Apa tidaknya - itulah dongeng yang diajar oleh banyak orang sejak kita mula tahu makna kata. Masuk universiti adalah segala-galanya. Aku tidak bersetuju dengan label ini walaupun aku juga masuk universiti beberapa kali. (Lihat sini)

Mereka yang baru bergraduasi ini juga sewajarnya menghabiskan masa seminggu dua ini untuk terus bermimpi. Tidak akan ada lagi keseronokan untuk anda selepas ini. Ulang - tidak ada lagi keseronokan untuk anda selepas ini. Banyak sebabnya. Sekalipun anda mungkin akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, tetapi waktu itu usia anda sudah tidak remaja lagi. Anda akan merasakan betapa anda banyak kehilangan teman-teman. Berfoya-foya, membuat lawak bodoh dan hidup 'happy go lucky' tidak lagi boleh diterima.

Pada waktu anda melanjutkan pengajian ke universiti untuk kali keduanya - anda akan merasa begitu janggal dan terhina untuk meminta wang poket dari ibu bapa. Apa tidaknya, anda sudah dewasa. Anda akan merasa bersalah pula meminta wang. Sebab itulah, anda patut menghabiskan masa seminggu dua ini untuk bersuka ria dan bertemasya. Tidak ada lagi keseronokan untuk anda selepas ini.

Ada juga yang akan berkahwin. Ini bermakna anda akan menjadi isteri atau suami orang. Keseronokan orang bujang akan segera tamat dalam riwayat hidup anda. Anda akan menghadapi pelbagai simptom rumahtangga seperti yang pernah aku tulis di sini. Ada juga yang akan memulakan kerja. Anda juga akan dihadapkan dengan banyak cerita yang pelik dan aneh. Sebahagiannya sudah aku paparkan di sini. Semua ini akan menjadikan kehidupan anda di luar universiti begitu janggal sama sekali.

Ada satu ingatan besar untuk mereka. Jangan mudah terpedaya dengan dunia 'sang buaya' di luar sana. Banyak graduan muda yang telah terperangkap. Mereka ditawarkan dengan jawatan besar dan gaji lumayan. Ia memang mengiurkan. Tetapi lihatlah apa yang berlaku? Mereka diperangkap dengan 'tugasan luar negara', dan akhirnya ditangkap dan dipenjarakan. Kasihan mereka. Moga-moga mereka diberikan kesudahan yang baik.

Semua ini kerana kita percaya dengan ijazah universiti - kita dibayar dengan gaji yang mahal dan mendapat kerja yang bagus. Semua 'kepercayaan' ini telah memerangkap sebahagian besar graduan. Logiknya, siapakah anda untuk dibayar dengan gaji yang begitu besar dengan tugasan "mission impossible" seperti hero James Bond itu. Ia bukan tugas untuk graduan muda seperti anda.

Ada baiknya mulakan apa sahaja pekerjaan - biar murah gajinya - asal ia memberikan tapak untuk kita berjalan lebih jauh. Graduan muda yang berkerja juga jangan lupa untuk menghulurkan gaji mereka kepada kedua ibu bapa mereka. Tidak perlu besar - biar kecil tetapi memberi. Memang, ibu bapa anda orang berada. Mereka tidak mengharapkan sedikit pun wang anda.

Hakikatnya - dengan wang anda itu - ibu bapa akan tahu status ekonomi anda. Sekiranya ada waktunya anda tidak menghulurkan wang seperti lazimnya, mereka akan tahu kehidupan anda tidaklah begitu menyeronokkan. Pastilah - wang itu juga akan mengingatkan mereka dengan anda - dan mereka akan terus mendoakan kebahagian anda sepanjang masa.

Apabila anda pulang semula ke tempat anda nanti, janganlah pula anda melihat diri anda seperti helang yang terbang tinggi. Jangan bongkak dan sombong diri. Letakkan diri anda pada tempat yang paling rendah - sesuai dengan persekitaran anda. Mereka tidak akan melihat anda sebagai orang yang hina. Bahkan, mereka akan lebih menghormati anda.Jangan sesekali melihat mereka sebagai orang yang tidak tahu apa-apa. Benar, mereka mungkin tidak ke universiti. Tetapi mereka belajar lebih banyak makna perit hidup dari universiti pengalaman. Dengan merendah diri -itulah caranya anda akan dilihat sebagai manusia berilmu.

Itu sahaja bingkisan untuk anda. Sebab itulah tajuk ini bukannya 'pesan untuk graduan muda', sebab anda sememangnya terlalu bijak untuk diberi pesan.

Dan untuk seminggu dua ini, teruslah berseronok dan bersuka ria. Bermimpilah. Kerana selepas itu, tidak ada waktu untuk bermimpi lagi untuk anda. Pagi anda akan diterangi matahari realiti - panas, bersilau dan menakutkan. Tidak akan ada lagi keseronokan selepasnya. Tahniah.

Tuesday, 16 December 2008

Habis BOREH!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Harga minyak di Adelaide jatuh lagi. Sekarang ini dah jadi $0.95 seliter. Itu tentu berita gembira. Di Malaysia pun harga minyak jatuh lagi 10 sen. Itu juga berita gembira. Khabarnya harga getah juga jatuh. Sekarang ini dah jadi RM1.10 sen. Itu tentu bukan berita gembira. Itu berita luka.

Tidakkah ada cara untuk membantu para penoreh ini? Mereka sekarang sudah jadi susah. Memanggil pakar motivasi terbaik negara pun belum tentu dapat menaikkan motivasi mereka. Sekarang ini - kita ada banyak sangat NGO. Ada NGO yang cenderung dalam hal-hal politik, ada yang sibuk hal-hal pengkid. Ada juga pandai cakap soal Islam sekular - entah dari kitab mana yang mereka baca. Ada pula yang gelar diri mereka sebagai JERIT, ada pula yang panggil diri mereka sebagai REFORMIS. Kita tidak kisah itu semua. Itu mereka punya fasal.

Tetapi - sekarang ini Pak Abu di Kampung Bukit sudah mula susah hati. Dia kena bangun seawal jam 5.30 pagi. Balik jam 12 tengahari. Tangannya busuk dan berdaki. Kena pula tanggung beberapa guni sekerap. Air busuknya meleleh seluruh badan. Dulu tak mengapa. Sekilo boleh jual RM5.00 lebih. Sekarang, dengan harga RM1.10 maksudnya dia tanggung getah seberat itu juga. Mahu tidak mahu, anaknya bersekolah. Isterinya juga cuma tahu menganyam atap rumbia. Jadi apa lagi yang boleh dia buat?

Mana NGO semua pergi? Mengapa tak bercakap soal subsidi utk penoreh? Kemana ahli politik yang beberapa hari dulu sibuk berkempen ke sana ke mari. Bercakap soal ketuanan dan survival bangsa. Mengapa tak bercakap soal penoreh? Mengapa tidak ada wartawan yang bising-bisingkan cerita harga getah. Sekurang-kurangnya ada yang tahu apa yang patut kita buat. Jangan hanya siar berita tanah runtuh. Getah jatuh pun penting juga.

Kalau belum ada NGO untuk penoreh, aku cadangkan nama ini - HABIS BOREH - " Habis-habisan Bantu Orang Menoreh". Mula berkempen sekarang! Jangan tunggu dekat pilihanraya.

Saturday, 13 December 2008

Ini baru "Garage Sale"

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Banyak kali aku sebut 'garage sale' dalam blog ini. Tapi tentu orang yang tak biasa tak tahu dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan 'garage sale'. Garage sale bukanlah 'perniagaan' yang rasmi. Ia merupakan cara penduduk di sini mengurangkan barang-barang yang ada di dalam rumah mereka dengan menjualnya di dalam garaj. Ia hanya ada pada hari Sabtu dan Ahad. Ia murah. Ia bukan 'car boot sale' seperti di UK. Tidak pasti ada atau tidak garage sale di sana. Nanti kita minta Sdr K.A.M.K tulis. Dia pun dah lama diam.


Apa yang boleh kita beli di garage sale ini? Macam-macam ada. Di rumah aku isteri aku telah mencukupkan koleksi 18 novel karya Sidney Sheldon yang ternama itu. Anda jangan bernafsu serakah untuk mencari buku ke-19 di garage sale di kampung anda. Sidney Sheldon dah mati. Buku yang ke-19 ialah buku biografi Sidney Sheldon yang ditulis anaknya.


Apa lagi yang ada? Kita juga boleh mengkoleksikan segala jenis tupperware yang berjenama 'tupperware' itu. Harganya mungkin hanya $ 0.10 sebiji. Anda juga mungkin begitu teruja untuk membongkak kekayaan anda itu dengan menunjukkan koleksi pinggan mangkuk berjenama terkenal Corell dan Noritake. Ia juga boleh dibeli dengan harga tidak lebih $10.00. Harga di Malaysia mungkin ratusan ringgit, bahkan mungkin mencecah angka puluh ribu untuk set Noritake. (Nota: tidak semua Noritake boleh dipakai oleh orang Islam kerana ada salutan emas pada pinggan tersebut. Ada juga yang diperbuat daripada tulang).


Anda juga boleh membeli banyak lagi keperluan lain yang pelik-pelik. Termasuk tempat untuk mengisi rempah ratus yang unik lagi sentimental. Semua ini tentu tak ada (tak mampu) kalau kita tidak membelinya di garage sale. Jadi, untuk kali ini aku memuji seluruh kaum hawa di Adelaide yang berkerja keras ke garage sale. Biarlah sesekali kita terngaga mengantuk di dalam kereta. Itu lebih baik daripada mereka mengubah fikiran berbelanja di DisignerDirect atau di Harris Scarf yang boleh menyebabkan kita pening kepala.


Begitulah hebatnya garage sale. Ia menjual segala kelengkapan anda dari barang yang perlu sehinggalah kepada barang-barang yang tidak perlu. Cuma yang belum orang jual di garage sale ialah lembu dan kerbau! Oh ya - Aku juga mempunyai topi koboi kulit yang dibeli dengan harga $1.

Jadi tahniah untuk wanita. Pergilah ke garage sale. Kalau boleh bawalah tilam bantal bersama!

Friday, 12 December 2008

The Diggers!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
The Diggers! Apa benda ni? Sepanjang aku belajar orang putih dari sekolah rendah sampailah ke universiti, aku tak pernah terdengar ayat ini. Mungkin aku malas membaca. Atau aku memang membaca tapi tak faham. Atau aku memang bukan kategori yang tahu bahasa Inggeris. Setahu aku di Changlun tak pernah orang pakai istilah ini.

The Diggers - inilah tentera-tentera yang terselamat, mungkin tak ada kerja nak buat kot, jadi buat jalan untuk mengenang rakan-rakan mereka yang terkorban. Mereka inilah yang buat jalan Great Ocean Road. Jalan ini memang cantik. Berliku-liku. Bayangkan orang zaman dahulu cuma guna cangkul dan alat tradisional, kerja mereka dianggap hebat. Mungkin kita perlu kembali kepada cara lama untuk elak tanah runtuh berulang lagi.

Nak tahu lebih lanjut sejarah Great Ocean Road, jangan malas. Cuma klik dan baca.

Thursday, 11 December 2008

Ini bukan Garage Sale

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini tidak ada banyak hal untuk diceritakan. Aku menghabiskan banyak masa duduk di bawah garage untuk menulis. Setelah sekian lama, baru aku tahu garage itu tempat yang begitu sesuai untuk menulis. Di garage itu, walaupun keadaannya agar tidak tersusun, tetapi ia memberikan banyak idea untuk terus menulis. Jadi tajuk cerita ini seharusnya "INI BUKAN GARAGE SALE"

Aku tidak ingat sejak bila aku mula menulis. Mungkin sejak zaman sekolah rendah. Tetapi aku sudah mula dikenalkan dengan huruf sejak sebelum masuk sekolah lagi. Waktu itu, bapaku yang mengajar kami huruf. Tapi bukan seperti taxonomi pengajaran moden, cara orang tua mengajar agak berbeza. Autokratik dan didenda. Kadang-kadang kami ditunjukkan bulu landak yang tajam itu agar memerhatikan huruf dengan teliti. Itu cara orang dulu.

Aku mula menulis secara rasmi (dalam erti kata yang lain dibayar gaji) sekitar tahun 1998. Aku masih ingat lagi temuduga pertama itu berlaku di sebuah kedai mamak. Memandangkan aku tidak mempunyai sebarang hasil tulisan, melainkan hanya tesis - jadi aku tunjukkan koleksi sajak-sajak yang aku tulis di bangku universiti. Aku ada banyak sajak, tapi hilang.

Antara sajak yang aku masih ingat ialah "Lukisan yang tak siap". Antara isinya - 'maafkan aku, jika lukisan itu tak sempat kita siapkan, engkau kehilangan warna, aku kehilangan kata'. Itu sajak orang kecewa, orang putus asa. Merry kawan aku tentu tau cerita sajak ni. Aku tulis tahun 1995.

Sejak itu aku mula menulis. Jangan tanya apa yang aku tulis. Bukan sajak atau novel tentunya. Tapi itulah pekerjaan yang lakukan sejak beberapa lama. Hingga kadang-kadang terasa ingin termuntah. Sesekali ada juga aku jadi juri budak-budak menulis cerpen. Sesekali jadi pembantu editor untuk buku pelancongan.

Kemudiannya bila umur semakin tua - aku ditugaskan dengan pekerjaan lain. Tapi aku fikir itulah pekerjaan yang baik dan menyeronokkan. Aku cuma menulis ayat-ayat untuk iklan di suratkhabar, radio atau kata-kata di televisyen. Ini memang kerja bagus. Cuma fikir ayat yang ringkas. Din, kawan aku itu pula akan mencari gambar yang sesuai. Jadi dia tak boleh berkerja tanpa ayat yang aku beri, dan aku pula tak mungkin memberikan ayat tanpa gambar yang dia tunjukkan.

Pernah sekali kami cuba mencari projek luar untuk sebuah parti politik. Kami hanya dibekalkan dengan gambar dengan sedikit penerangan. Kami hanya mempunyai masa 24 jam untuk menyiapkan kerja kami. Kerana tempoh yang singkat, tak ada yang mahu buat. Cuma aku dan Din yang sanggup buat. Hari itu selama 12 jam cukup dari 8 malam hingga ke 8 pagi kami tak tidur. Kerja aku cuma meng'ayat', Din pula melakukan kerja-kerja grafik dan layout. Bagusnya kerja seperti ini kami dapat 'cash'.

Sekarang ini - nampaknya terpaksa menulis lagi. Walaupun aku tidaklah takut untuk menulis, tetapi menulis PhD nampaknya tidaklah begitu mudah sangat. Tapi ingat, ia juga bukanlah sesuatu yang susah. Tugas anda ialah mencari garage yang sesuai untuk menulis.

Wednesday, 10 December 2008

PhD - Part 2

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jam sudah 7.47 pm. Kalau di Malaysia kita tentu sudah maghrib. Begitulah musim panas. Matahari turun lambat dan bangun awal. Cuma aku yang tidak ikut matahari - tidur awal, bangun lambat!

Aku pula sudah duduk di atas meja ini sejak pagi tadi lagi. Berselang seli dengan tidur, makan, merokok dan macam-macam aktiviti. Rancangannya untuk menyudahkan artikel untuk dimasukkan ke dalam jurnal. Tapi nampaknya masih belum juga mahu siap. Kalaulah PhD itu seperti menulis blog, sudah lama aku grad gamaknya.


Serabutnya kepala itu sebenarnya tak boleh dilihat jelas dari mata orang. Serabutnya meja itulah yang boleh kita gambarkan. Oh ya. Di atas meja aku ada 2 biji notebook, sebiji modem, sepasang speaker, dan bekas tupperware yang ada tapai pulut di dalamnya. Satu ingatan - walaupun anda mempunyai 8 biji komputer, ia tak mampu menyudahkan kerja PhD anda. Itulah kelemahan teknologi. Fail-fail dan kertas-kertas yang berselerak itu nanti boleh aku jual kepada Cina suratkhabar lama.

Dah lama tak mendengar suara laungan "SURATKHABAR LAMA'. Gamaknya itulah pekerjaan yang boleh aku buat kalau PhD ini tak siap!

Apa yang runtuh?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa! Ia jadi berita sensasi dan segala yang bernama wartawan dikerah ke sana untuk mencari berita. Tak kurang juga yang bertugas menjaga hal ehwal bukit membuat mesyuarat tergempar dan sidang akhbar di sana sini. Seolah-olah ada dinasour yang sedang menyerang kita.

Mengapa terkejut? Ia bukan hal baru. Sekarang ini kes tanah runtuh mungkin sama banyaknya dengan bilangan durian yang runtuh. Mengapa kita cepat melatah apabila berlaku hal-hal semacam itu? Seolah-olah ia hal pelik dan janggal berlaku di negara kita. Seolah-olahnya kita sudah membuat banyak perkara bagi menghalang perkara itu dari berlaku

Jadi - jangan menjadi gelabah tak tentu pasal kalau diumumkan ada larangan untuk kita menarah tanah di atas bukit, menambun lombong menjadi pulau atau apa sahaja larangan lain. Jangan bimbang - selepas sebulan daripada tarikh itu kita bolehlah panjat ke atas bukit, malah atas gunung sekalipun. Tarahlah bahagian mana yang kita suka. Tidak sesiapa pun yang akan larang. Biarlah ia jadi padang gurun yang datar. Binalah sebanyak mungkin rumah yang kita mahu. Lagi tinggi lagi bagus. Orang akan diam sehingga ia runtuh lagi.

Memang kita perlukan kejadian besar untuk mengingatkan kita. Dulu ketika aku masih muda lagi, kondominium Highland Tower runtuh. Banyak yang mati. Memang selepas itu tidak ada lagi pembangunan di tanah tinggi. Tapi itu cuma di sebelah Highland Tower. Ada juga sekali kejadian lebuhraya yang runtuh kerana tanah gelungsur di Gua Tempurung. Orang terkejut seketika. Kemudian lupa balik. Tak percaya cubalah dongak ke atas melihat apa yang dah jadi dengan Cameron Highland dan Genting Highland. Bukit Telipong di kampung aku pun dah licin orang tarah sampai ke atas puncak. Jadi apa yang pelik kalau ada yang mahu tarah bukit dan tanah tinggi?

Beberapa tahun lalu kita semua jadi gempar dengan kisah jambatan Middle Ring 2 retak. Kisah Middle Ring 2 itu pun sekarang kita dah lupa. Lebih baik hafal kisah dongeng Lord of The Ring.


Jadi untuk para kontraktor, pemaju dan segala yang bertanggungjawab melulus (melolos?) segala yang bernama projek di atas bukit, lebih baik rehat seketika. Tunggulah semuanya diam dahulu. Nanti kita bermain lagi di atas bukit. Moga-moga kita semua mendapat durian runtuh lagi.

Tuesday, 9 December 2008

Catatan Raya Haji

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Aku pun tidak berapa pasti ini kali ke berapa aku berhari raya Aidil Adha bukan di kampung. Seingat aku, beberapa kali juga aku hanya beraya di rumah di Kuala Lumpur. Pernah juga berhari raya di Jakarta. Tapi nampaknya dalam masyarakat kita hari raya kurban tidak lagi istimewa. Mungkin kerana kurang bunyi letupan mercun, cuti yang pendek dan kita juga tidak merasakan apa-apa. Jika raya puasa, mungkin kita merayakannya kerana itulah saat membolehkan kita makan dan minum semula.

Sebagai masyarakat minoriti di sini, kami tidak mempunyai sebarang rumah terbuka. Yang ada hanyalah berpakat-pakat berkongsi wang untuk membeli pelbagai keperluan dan dirayakan di satu tempat sahaja. Kaum hawa berpakat memasak dan menyediakan hidangan, manakala kaum lelakinya membantu untuk pakat-pakat makan. Bagaimana pun, memandangkan acara makan-makan sudah menjadi tradisi di sini, maka pertemuan hari raya itu pun tidaklah dirasakan lagi.

Ada juga sebahagian kecil Melayu di sini yang membuat kurban dan dagingnya diagihkan dari rumah ke rumah.

Seperti biasa - kami memulakan tradisi bersembahyang sunat di 3 buah masjid utama di sini. Nampaknya kali ini aku tak berkesempatan kerana mengikuti bengkel sejak jam 9.00 pagi lagi. Mungkin tahun depan.

Seingat aku, selain pelajar terdapat juga beberapa orang Melayu lain yang menjadi penduduk tetap di sini. Kebanyakannya doktor yang mendapat pendidikan di Australia. Selebihnya mungkin berkerja di bidang yang lain. Sungguh pun begitu, memandangkan kumpulan Melayu di sini kecil - maka bolehlah kami mengenali setiap orang. Termasuk juga Melayu dari Pulau Singapura yang sesekali hadir dalam majlis kami.

Itu sahaja cerita edisi Raya Kurban ini.

Salam Hari raya dari aku dan keluarga kepada semua teman-teman lama di Eden Capital Kuala Lumpur dan Jakarta, teman-teman di UKM, bekas pelajar SMJ 1985-1991, mereka yang jauh dan dekat. Juga untuk teman-teman kopi - kedua-dua sahabat yang bernama Din, Cipoi, Mat Jun, Hasni di Brunei, serta sesiapa sahaja yang mengenal aku. Termasuk juga anda yang sedang membaca blog ini. Maaf Zahir Batin.

Monday, 8 December 2008

Salam Aidil Adha

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat Hari Raya Aidil Adha

Aku mengambil kesempatan ini mengucapkan Salam Aidil Adha untuk semua pembaca dan pengunjung blog ini yang secara sengaja atau tidak, yang selalu singgah atau tersesat jalan. Maafkan jika ada tulisan yang tak menyenangkan sama ada memang ditulis dengan sengajanya, atau secara tidak sengaja.

Juga buat semua rakan-rakan yang kenal dan tidak, benci atau suka.

Juga semua teman-teman blog yang di'list' dan menge'list' blog ini.

Selamat berhari raya - maaf zahir batin.

Saturday, 6 December 2008

Apa politik wang?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Tun Mahathir dalam Che Det ada cakap fasal politik wang. Dalam suratkhabar pun cakap hal politik wang. Di warung kopi, di dalam teksi pun orang cakap hal politik wang. Apa benda ni? Mengapa ada politik wang dalam politik kita? Hari ini kita pun nak ulas fasal politik wang.

Kenapa wang, dan bukan daun kayu? Mudah sahaja puncanya. Tak payah nak buka buku sains politik karya Dorothy Pickles atau HD Laswell yang budak-budak universiti selalu pakai. Lihat balik tujuan masuk politik. Sekarang ini politik dah jadi 'kuda' orang buat duit. Mana ada orang masuk politik untuk daun kayu. Sebab itu tak ramai yang nak bercakap fasal bangsa, fasal agama atau fasal budaya. Sekarang yang banyak nak berebut kuasa politik ini - yang nak jadi kontraktor. Yang berniat baik dah berkurang. Kalau ada pun nanti kalah. Itu masalahnya.

Kaya sangatkah orang politik ni sehingga mampu bagi duit kat orang untuk undi dia? Hah. Belum tentu kaya. Belum tentu duit dia. Ahli politik banyak fungsinya. Ada yang hanya berfungsi sebagai 'badut'. Dia hanya pelakon. Yang bagi duit mungkin orang lain. Jadi 'invisible hand' inilah yang jadi pelabur. Dia mungkin tak melabur hanya untuk seorang ahli politik - mungkin dua atau tiga. Itu tak kisah. Bisnis beb!

Orang tak nampakkah orang itu bagi? Nampak pun apa salahnya, itukan sedekah. Tak nampak lagi bagus. Nak buat tak nampak senang sahaja. Si pelabur@invisible hand ini suruh office boy dia serah di kaunter hotel kelas 5 bintang, minta si anu-anu turun ambil. Itu yang high kelas. Yang kelas kampung, transaksi boleh buat sambil berselisih kereta sahaja. Si anu-anu ini bukanlah orang terkenal pun. Budak sangat lagi. Jadi si anu-anu ini pula nanti bahagi-bahagi dekat ejen tak rasmi untuk hulur-hulurkan wang tadi. Dia mungkin beri sambil berbisik, undi si Anu tau. Jadi tak ada siapa yang nampak pun.

Jadi - siapa yang berpolitik wang ni? Mungkin si Anu yang berpolitik tak tahu pun ada orang tolong beri duit bagi pihak dia. Atau si Anu buat-buat tak tahu. Atau si Anu memang tak nak ambil tahu. Yang penting kerjaya politiknya naik terus. Biar melonjak dan mencanak. Jadi ketua cawangan boleh dapat projek kelas F. Nanti banyak contact. Semua orang kenal. DO pun dia tak hairan. Si Pelabur boleh jadi tukang supply simen. Apatah lagi kalau dah jadi ketua bahagian. Silap-silap nanti dapat kerusi.

Kalau begitu siapa yang untung? Banyak yang untung. Si Anu untung, Si Pelabur untung. Si Anu-anu yang bahagi wang pun untung juga. Silap-silap dapat banyak dari banyak puak.

Hah! Kalau semua untung apa masalahnya? Masalahnya orang politik tak begitu pandai lagi bercakap soal bangsa, soal agama, soal budaya. Bimbang nanti mereka hanya pandai cakap soal duit.

Friday, 5 December 2008

Pesan untuk yang mahu sampai

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Disember 2008 datang lagi. Ia datang bersama angin panas musim baru. Dan apabila tiba Januari nanti, kita juga akan melihat wajah-wajah baru dari bumi Malaysia untuk mengikuti pengajian mereka di 3 buah universiti utama di Adelaide ini. 

Seperti biasa - menghadapi kehidupan di tempat baru adalah sesuatu yang tidak menyenangkan. Lainlah kalau kehidupannya di Malaysia saban hari dikejar ceti dan along - jadi lebih baik hidup di bumi orang. Bagi yang belum pernah menetap di luar negara - melangkah masuk ke dalam bangunan KLIA dan meninggalkan orang yang tersayang sudah cukup menyedihkan. 

Bagaimana pun, sekiranya anda telah ditakdirkan ke Australia ini - ada beberapa hal yang perlu anda ketahui. Ejen anda mungkin telah memberikan nasihat yang sewajarnya bagi hal ini.

1. Perlu mendapatkan kediaman - ejen anda mungkin tidak memberitahu adanya laman RealEstate untuk anda melihat bentuk, lokasi dan senarai harga rumah yang bersesuaian. Bukan rumah yang sesuai dengan citarasa mata anda, tetapi citarasa poket anda. Harga rumah di bawah AUD 250 mungkin sudah relevan bagi yang berkeluarga.

2. Anda juga perlu terlebih dahulu tiba di Adelaide sebelum boleh mencari rumah sewa. Banyak sebabnya. Ada pemilik/ejen rumah yang memerlukan financial afidavit, akaun bank, passport dan sebagainya sebelum anda boleh mengisi borang mendapatkan rumah. Anda juga perlu mengisi borang bon penyewaan rumah.

3. Ada rumah yang dilengkapi dengan perabot, ada yang tidak. Bagi yang tidak, anda boleh membelinya di kedai-kedai. Itu kalau mampu. Kalau tidak mampu, anda boleh pergi membeli di Garage Sale yang ada setiap Sabtu dan Ahad (bergantung nasib). Anda juga boleh membelinya di jualan amal Lion di Newton setiap Sabtu pertama. Ada juga jualan amal tidak jauh dari Harbour Town setiap Rabu/Sabtu/Ahad ke 2. Harganya murah dan berbaloi.

4. Ketika dalam pesawat, anda diminta mengisi borang ketibaan. Anda perlu tahu alamat yang hendak anda tuju. Sebaik-baiknya anda dapatkan contact sesiapa sahaja yang boleh anda pinjamkan alamat untuk dituju sebelum naik pesawat. Ingat - di atas pesawat telefon bimbit anda tidak boleh dihidupkan!

5. Anda perlu membayar bagi persekolahan anak-anak anda di SA. Ia berbeza bagi Victoria. Di sana khabarnya percuma. Sekiranya anda mempunyai 5 anak yang bersekolah, ia mungkin sesuatu yang perlu anda fikirkan sebelum memilih ke Adelaide!

6. Walaupun di kampung anda mungkin mempunyai banyak durian atau rambutan, jangan bawa ke sini. Ia memang dilarang. Anda boleh membawa masuk tempoyak, tetapi sama ada berjaya atau tidak tergantung nasib anda pada hari anda sampai. Jangan juga cuba-cuba tipu semasa isi declaration form. Lainlah kalau anda memang berhasrat untuk duduk di penjara!

7. Jangan juga cuba berfoya-foya dengan wang biasiswa KPT untuk membeli baju sejuk di Malaysia. Pakai baju yang tebal dan ala kadar sahaja. Datang sini kita beli baru di Salvos dengan harga dalam lingkungan AUD10-30. 

8. Jangan sesekali anda terasa nak tidur di hotel semasa sampai. Cukuplah sekadar menumpang dulu di rumah sesiapa yang anda tahu. Sebab itu anda perlu contact mereka sebelum sampai. 

9. Ini pesan tambahan yang tidak kurang penting. Anda mungkin tidak merokok. Tetapi ada baiknya anda dan pasangan anda membeli seorang sekartun rokok Dunhill atau Marlboro untuk disedekahkan kepada teman-teman baru anda. Sekurang-kurangnya anda sudah ada modal untuk mula bersahabat. Jangan lupa, mereka inilah nanti yang akan membantu anda mencari rumah, membuka akaun bank dan menunjukkan kedai halal untuk membeli daging. Nota: seorang boleh membawa masuk tidak lebih 210 batang rokok. 1 kartun = 200 batang.

10. Cukup dulu. Terima kasih kepada cik Intan dan Aini yang menumpangkan aku, isteri dan anak semasa sampai dahulu. Cik yang pertama dah balik Malaysia, yang kedua tu sudah hilang.

Wednesday, 3 December 2008

Merokok hanya merosakkan telinga?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bekalan sudah sampai! Jika anda mahu ke Adelaide, sila bawa sekartun rokok Marlboro atau Dunhill. Sediakan payung sebelum hujan.

Mengapa ni? Adakah rokok di Adelaide ini tiada kualiti? Atau rokok tidak dijual di kedai-kedai?

Sebenarnya bekalan rokok di Adelaide jauh dari cukup. Belum lagi terdengar ada kedai yang mogok atau kehabisan stok. Berlambak-lambak rokok yang ada. Selain jenama yang biasa kita dengar, ada juga Holiday, Winfield, King, Peter Jackson dan macam-macam. Ada juga kedai yang hanya menjual rokok seperti SmokeMart. Lighter termurah seperti Cricket sampailah kepada Zippo yang paling mahal. Semuanya ada di sini.

Tapi - itulah perokok. Mereka cuma bising bila harga petrol naik. Mereka diam, kelu dan bisu bila harga rokok naik. Dengan harga AUD10 sebungkus bagi jenama seperti Dunhill, Marlboro atau Benson & Hedges, anda sebenarnya boleh memasukkan 10 liter petrol ke dalam kereta. Ia boleh membawa anda turun naik Adelaide Hill bagi memetik cherry beberapa kali. Malah, mungkin anda boleh memandu sampai ke Monarto Zoo di Murray Bridge bagi melihat cheetah dan unta.

Dengan nilai AUD10 bagi sekotak rokok sehari, maknanya kita boleh menabung sebanyak RM30 sehari menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM900 sebulan. Ini membolehkan anda membeli seekor anak lembu sebulan. Kalau setahun, anda akan mempunyai 12 ekor lembu. Kaya bukan?

Walau apa pun - bagi perokok sejati - hanya ada satu bahaya. Merokok hanya merosakkan telinga. Ia tidak menjejaskan organ lain seperti banyak diperkatakan. Apa tidaknya - isteri anda akan terus berleter sepanjang hari!

Kami juga tidak pernah melihat orang yang tidak merokok membeli seekor anak lembu setiap bulan, atau turun naik ke Adelaide Hill berkali-kali.

Apa orang fikir ketika menunggu bas?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini ialah gambar perhentian bas Stop 1 di Jalan Henly Beach. Menunggu bas di sini tidak merimaskan. Bas akan datang tepat waktu, dan pemandunya akan menghulurkan senyuman untuk penumpang (walaupun bukan semua!). Tetapi jangan hairan, lihat sahaja jalannya yang lengang. Kalau drebar bas itu memandu bas Len Heng ke Kajang, atau membawa bas Intrakota ke Jalan Pasar, mungkin dia juga tidak akan senyum.

Hari ini kita tidak bercerita mengenai bas. Kita berbincang hal lain.

Apa yang selalu orang buat ketika menunggu bas? Apakah yang orang selalu fikir ketika menunggu bas? Adakah kita berfikir hal yang sama - hutang bank, bil letrik yang belum berbayar, kerja yang belum siap, hendak makan apa, etc. Mengapa orang yang menunggu bas lambat bertindak menolong orang yang diragut berbanding orang yang sedang berkumpul dalam majlis ceramah politik? Mengapa orang yang menunggu bas jarang bercakap di antara satu sama lain walaupun duduk bersebelahan?

Semua ini adalah simptom psikologi yang boleh diuji.

Tuesday, 2 December 2008

Santa Claus sudah datang!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bulan Disember datang lagi. Bulan yang dinanti-nantikan oleh ramai warga kulit putih dan hitam yang beragama Kristian. Mereka bukan hanya menantikan ketibaan musim panas ini untuk berjemur di tepi pantai, tetapi ini jugalah masanya untuk mereka bercuti Krismas. Melihat kepada arca Santa Claus yang tergantung di tepi dinding bangunan itu sudah cukup melambangkan inilah masanya mereka berbelanja sakan.

Di kebanyakan supermarket, sekarang ini pelbagai biskut perayaan sudah mula dijual. Seperti juga halnya di negara kita apabila menyambut Aidilfitri atau Tahun Baru Cina. Kad-kad raya juga sudah berlambak-lambak di kedai, walaupun mungkin tidak lagi begitu efektif di zaman sms dan e-mel hari ini.

Sebenarnya, tradisi menyambut Krismas ini bermula sejak November lagi. Mereka sudah berkumpul dengan pelbagai perarakan. Lihat catatan bertarikh 8 Nov 2008 di fakirfikir.blog. Mereka sudah bertemasya waktu itu lagi. Mereka berarak. Mereka juga melukis di jalan-jalan. Itu cara mereka bersuka ria. Mungkin boleh melupakan seketika nilai dolar Australia yang jatuh.
Ini bukan hal yang pelik untuk mereka. Cuma yang peliknya apabila orang kita juga nampaknya begitu bertemasya sakan menyambut ketibaan Aidilfitri. Ia bukan budaya milik kita. Seperti juga kita tidak pernah menanti Santa Claus mengetuk pintu rumah memberi hadiah. Melainkan ada anak-anak yang mengetuk pintu rumah meminta wang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails