Yang Ikut

Wednesday, 20 February 2008

Selamat berpilihanraya

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat datang musim pilihanraya. Semua yang berada di Malaysia kini pastinya sedang sibuk, baik yang benar-benar ahli politik, ataupun yang hanya sekadar berpolitik di kedai kopi. Dari pembesar yang menguasai kerusi parlimen dan jawatan penting, sampailah ke pembancuh teh tarik di lorong belakang kedai ubat di Changlun akan memperkatakan banyak perkara berkaitan politik. Bercerita tentang si anu dan si anu telah bersekongkol membaham banyak projek itu dan ini, atau si anu dan si anu sedang menaburkan air liur basi untuk memikat undi. 

Inilah juga masanya kita melihat kereta besar keluar masuk ke setiap ceruk hutan belukar melawat orang susah dan sakit, tanpa menghiraukan tahi lembu yang terpercik ke Mercedes Benz mata belalang itu.

Di sudut yang lain, sumbangan itu dan ini akan turun bagi hujan di musim tengkujuh, menyebabkan Pak Man di Kampung Lubuk Sireh kebingungan memilih di antara kain pelekat berwarna merah dan kelabu dan tak berhenti memuji penyumbang kain pelekat tadi. Musim politik ini juga menjadikan banyak anak kehilangan bapa atau ibu yang turut terlibat berkempen, atau banyak masa dihabiskan mendengar ucapan yang disampaikan dengan penuh jenaka oleh Mat Sabu di sebuah padang di belakang surau. 

Lembu dan kerbau juga jadi tidak keruan apabila disembelih di sana sini untuk dijamu dalam majlis meraikan rakyat. Jalan tanah merah yang becak 4 tahun dulu tiba-tiba diturap dengan tar baru oleh seorang kontraktor kelas F yang berwibawa. Majlis kenduri kahwin tiba-tiba dihadiri tetamu VIP yang dulunya tidaklah mesra sangat, cuma datang akhir-akhir ini menghulurkan sekeping sampul yang entah berapa ringgit ada di dalamnya. 

Pak Ali yang dari kecilnya hanya bekerja sebagai pengembala lembu tiba-tiba tidak tentu pasal berhujah pasal turun naik ekonomi global yang diasaskan kepada teori Adam Smith, dan ini seterusnya dibangkang oleh Lebai Karim dengan memetik satu ayat al-Quran. Dengan tidak semena-mena, anak Pak Latif yang baru kemalangan dalam merempit tidak disembahyangkan oleh satu kumpulan masyarakat kerana kononnya Pak Latif adalah pengikut parti X.

Begitulah senario politik kita. Meriah dan ada pelbagai cerita. Cuma masa dapat menentukan.

Tuesday, 5 February 2008

Sedikit cerita universiti

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini merupakan gambar sebahagian daripada University Adelaide bangunan yang didirikan dengan senibina tradisional Inggeris. Ia berada di tengah bandar Adelaide. Tidak seperti kebanyakan universiti di negara kita, konsep universiti di sini tidak mempunyai pagar dan sesiapa sahaja bebas keluar dan masuk ke dalamnya. Di sebelah universiti ini ialah Universiti of South Australia (bangunan berbata merah). Untuk sampai ke sini, kita boleh menaiki kebanyakan bas utama. Walaupun kawasan universiti ini tidaklah seluas Universiti Putra Malaysia atau Universiti Kebangsaan Malaysia, tetapi kedua-dua universiti ini mempunyai begitu banyak cawangan. Universiti South Australia sahaja mempunyai 3 lagi kampus dalam radius 25km di sekitar Adelaide. Kedudukan universiti sebelah menyebelah ini tidak pula menunjukkan tanda-tanda mengkategorikan sesebuah universiti dengan universiti lain. Ia dianggap setara sahaja. Tidak ada pengelompokan atau rasa kebanggaan bahawa itu universiti elit, dan ini universiti baru. masing-masing bergerak dengan peranannya sendiri. Malah, pelajar bebas untuk meminjam buku dari mana-mana universiti, dan ada ketikanya boleh berkongsi bilik kuliah. Dari segi prasarananya pula, kita boleh mendownload jurnal-jurnal yang diperlukan dari komputer tanpa perlu berkunjung ke perpustakaan. Jadi, yang banyak di sini ialah komputer yang berada di merata-rata tempat.

Kedua-dua universiti ini adalah universiti utama di South Australia selain Universiti Flinders yang berada agak jauh sedikit dari bandar Adelaide. Ia berada di samping jalan utama. Tradisi universiti juga berbeza. Tidak ada sebarang kegigihan untuk mencipta rekod bagi hal-hal yang tidak berdasarkan keupayaan akademik seperti memasang bendera terpanjang dunia dan sebagainya. Pensyarahnya juga walaupun mempunyai gelar professor, tidak pula memestikan kita memanggil mereka dengan nama professor. Cukup dengan sekadar nama sahaja. Tidak begitu banyak protokol dan birokrasi di sini.

Monday, 4 February 2008

Trip ke Moontabay

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Sabtu, 2 Feb: Selamat Datang ke Moontabay. Bertolak dalam jam 10.30 pagi dari Adelaide, kali ini kami cuba singgah di Moontabay, kira-kira 200 kilometer dari Adelaide. Dengan ketua perancang, Sdr Fahmi mengaturkan urusan mem'buking' tempat menginap, dianggotai juga oleh Abang Zul, Sdr Nizam, Jabar, Aku dan seluruh ahli keluarga yang lain. Menggunakan 4 buah kereta, baru dan lama, buruk dan elok, kami sampai di sana kira-kira jam 1.30 petang setelah melewati cerun, ladang dan bukit-bukit bukau.


Moontabay merupakan pekan kecil yang berada di hujung teluk. Tidak ada apa-apa di sini, melainkan tempat untuk berehat dan mereka yang gemarkan aktiviti memancing atau kehidupan laut. Ia ibarat sebuah pekan laut seperti Dungun, Terengganu. Kecil dan mungkin tidak ada apa-apa aktiviti di sini. Ada beberapa buah bar, supermarket Foodland, serta kedai "Salvation Army" yang terkenal itu. Kami menyewa sebuah rumah di sana dengan harga AUD 150 semalam. Rumah tiga bilik itu lengkap dengan kemudahan asas.

Di sana, kami memulakan aktiviti memancing sejak jam 3 petang sampai ke jam 6 pagi besoknya. Selain memancing, ada juga yang memancing sotong selain seperti biasa mengetam.Umpan ayam untuk mengetam telah kami bawa dari Adelaide. Malangnya, kami terlupa membeli umpan untuk memancing. Bernasib baik, ke rana di hujung jeti itu ada sebuah kedai menjual umpan anak ikan tamban dan juga coacles. Itu sahajalah umpan yang boleh kami dapatkan. tapi harganya luar biasa mahal.

Jeti di Moontabay ini panjangnya kira-kira 600 meter dari daratan dan menganjur ke tengah laut. Agak penat juga berjalan dari hujung ke hujung. Petang itu, sepanjang jeti itu telah dipenuhi dengan manusia. Tidak pula kelihatan orang asing seperti Cina atau India seperti yang sering kami lihat di jeti Henley Beach atau Grange. Cuma, kami terserempak dengan segerombolan pelajar Melayu bujang di sini. Kedudukan Moontabay agak pendalaman dan jauh dari kebisingan kota, maka ia sangat sesuai untuk peminat ketam dan sotong. Ia destinasi yang popular untuk aktiviti memancing dengan menggunakan bot. Mungkin lain kali kami akan mencuba memancing dari atas bot pula. Bukan sekarang tentunya.Jalan untuk sampai ke sana baik walaupun tidaklah ada R&R seperti di Malaysia. Di sepanjang jalannya, boleh kita lihat beberapa buah tasik yang sedang mengering, selain ladang-ladang yang menjadi nadi hidup Australia. Kita akan juga menempuh beberapa buah pekan kecil sebelum sampai ke sana. Pekan-pekan ini mungkin sebesar pekan Napo, di Changlun Kedah. Hanya menyediakan stesen minyak atau beberapa kedai kecil lain. Berdasarkan pemerhatian, ladang-ladang ini mungkin digunakan untuk menternak kambing, lembu atau pusat tanaman anggur dan zairun. Kelajuannya juga berubah-rubah, adakalanya kita boleh memecut selaju 110km/j, adakalanya cuma 50km/j menjadikan jarak Moontabay semakin jauh dari Adelaide. Moontabay hanya hidup di hari cuti atau hujung minggu seperti ini. Kebanyakan pemilik rumah di sini tinggal atau berkerja di tempat lain.
Tangkapan pertama kami ialah seekor sotong yang berjaya diangkat naik oleh Fahmi. Sotong ini agak besar juga. Menjelang ke Maghrib, Fahmi hanya berjaya mengangkat naik 4 ekor sotong, selebihnya bagi pemancing ikan kami tidak berjaya membawa pulang apa-apa. Yang boleh kami dapatkan, hanyalah sekadar kemarahan untuk memancing lagi!
Sekadar catatan, Abang Zul hampir-hampir berjaya membawa naik ikan yu Jackson (seperti dalam gambar), tetapi memandangkan terlalu berat, maka seperti biasa dengan kualiti tali yang tidak baik, ikan itu terputus ditimpa ladung ke dalam air. Sungguhpun begitu, ikan ini biasanya tidak jarang dimakan orang. Seperti ikan bandaraya sifatnya. Petang itu, cuma beberapa ekor ketam yang dapat ditangkap pada petang itu.

Menjelang malam, kami mengubah strategi berpindah ke sebuah jeti yang lain yang letaknya kira-kira 2 kilometer dari jeti yang pertama ini. Kali ini nampaknya sangat lumayan. Aku berjaya membawa naik seekor ikan sembilang dan seekor ikan salmon bluefish, setelah 2 ekor salmon yang cuba dibawa naik terputus dalam cubaan sebelum ini. Selain ikan, malam ini kami mendapat ketam dengan jumlah yang agak banyak. Mungkin lebih dari 70 ekor. Menjadikan aku jadi muak hendak makan ketam yang dibeli di Asian Grocery!

Kaum wanita, seperti biasanya pula sesekali datang menjenguk kami di jeti pada malam itu. Mereka membawa pulang ketam-ketam yang kami tangkap untuk disembunyikan di rumah. Banyak alasan untuk berbuat begitu. Pertamanya ketam yang ditangkap ada yang tidak mencukupi saiz. Kami membelasah semuanya mengikut peraturan di Malaysia! Keduanya, semua jenis ikan sembilang laut adalah salah untuk ditangkap. Kami juga menafsirkan tangkapan kami berdasarkan peraturan laut Sungai Kerang, dan terpaksa membawa pulang ikan tersebut.


Luqman, seperti biasa menghabiskan masanya dengan membuas dan memukul teman-teman kanak-kanak yang lain. Kadang-kadang dia menembak Adam, Balqis dan Alisha dengan jari kanannya - Bang! Bang!.


Selain aktiviti memancing, trip kali ini juga memfokuskan kepada konsep makan dan kenyang. Ini tentulah diketuai oleh kaum hawa. Kak Ros, Fadilah, Zaharah, Liza dan bini aku sendiri menghabiskan percutian Sabtu dan Ahad ini memasak di Moontabay. Sebenarnya percutian kami ini sungguhlah memenatkan kerana selain sepanjang malam tidak tidur, tengahhari Ahad itu kami terpaksa pula pulang ke Adelaide dan menempuh jarak yang panjang lagi.
Atas semangat Malaysia Boleh!, kami sudah bersoksek-soksek untuk datang lagi. Mungkin pada masa hadapan boleh aku terbangkan Din dan Hairi dari Malaysia untuk memancing di sini. Itupun kalau aku dah berjaya dapat PhD dan dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor!

Friday, 1 February 2008

Selamat datang ke bumi kangaru

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat datang ke bumi kangaru. Entah bagaimana agaknya kangaru ini boleh sampai ke bumi Australia ini. 

Sebenarnya makhluk yang menyembunyikan dua kaki depannya ini bukan hanya menetap di Australia, sebetulnya kangaru juga ada di Papua New Guinea. Aku pernah melihatnya di Taman Safari Indonesia lama dahulu. Saiznya kecil sedikit, sebesar seekor kucing. Tapi fizikalnya memang menunjukkan ia adalah kangaru.

Sekarang sudah menjangkau bulan Februari. Biasanya, bulan seperti ini semester baru akan dibuka. Maka ramailah pelajar-pelajar baru dari Malaysia yang akan berkelana ke bumi abrogine ini. Akan mengadaplah mereka dengan perubahan cuaca dan budaya. 

Berhadapan juga tentunya dengan masalah penginapan. Biasanya, kalau ada pelajar dari Malaysia yang bakal datang ke Adelaide ini, kami sudah dimaklumkan melalui sms. Itupun kalau pelajar tadi ada menghubungi sesiapa di bumi Adelaide ini, sama ada secara sengaja atau tidak. Seperti biasa, kami akan cuba membahagi-bahagikan rumah kami untuk ditumpang sementara. 

Bagaimanapun, bukanlah bermaksud 'kami' dalam konteks ini semuanya akan cuba menolong pelajar yang baru sampai ini. Ada juga yang banyak sok sek. Bukan salah juga mereka berbuat begitu, kerana hakikatnya kita ini manusia. Aku bernasib baik ketika sampai dahulu kerana sempat menumpang sekejap di rumah 4 anak dara sebelum kemudiannya menumpang di rumah pelajar yang lain. 

Namun untuk membayangkan bandar Adelaide ini semudah pekan Trong untuk mendapatkan rumah samalah seperti membayangkan menggunakan tangga kayu memanjat bangunan KLCC. Sekarang ini, bandar Adelaide tidak hanya merupakan tempat untuk warga tua Australia, tetapi juga dipenuhi manusia Greek, Itali, China, India, Vietnam dan segala macam. Menjadi Melayu di sini seperti sebutir permata di tengah gurun pasir yang luas.
Harga rumah sewanya juga tidaklah semurah bandar Arau yang cukup di antara RM180-250 sebulan. Rumah di sini rata-rata di antara AUD 250-350 seminggu bagi rumah bersaiz biasa, atau minima RM 750-800 seminggu. Jadi, kalau kita terasa ingin 'convert' sewanya dengan nilai ringgit Malaysia, maka memilihlah kita untuk menginap di bawah terowong di Jalan Pantai Henley selama sebulan. Tidak ada pilihan lain. Atau boleh jadi juga menginap bersama kangaru di Zoo Adelaide!


Selain hal-hal berkaitan tempat tinggal, soal halal haram makanan juga sangat penting. Memang di sini orangnya bersih. Tapi babi dijual di mana-mana. Banyak juga orang Arab yang berjanggut panjang. Tapi bukan semuanya Islam. Mungkin ada yang Yahudi, atau juga berfahaman Syiah. Jadi, sedikit sebanyak hal-hal berkaitan pengetahuan mengenai soal makan minum ini diambil kira. 

Ada pelajar kita di sini yang sudah membuat fatwa makan di Hungry Jack halal. Perlu ambil maklum, halal bukan sekadar tidak makan khinzir atau kura-kura, halal juga berkait dengan soal penyembelihan. Soal siapa yang memaklumkan yang makanan itu halal juga perlu diambil kira. Tidak semua orang layak menjadi saksi. 

Kepada mereka yang berhasrat datang ke sini, selain soal paspot dan tiket kapalterbang, ada baiknya bawa juga sebiji dua buku agama. Banyak hukum hakam yang tak perlu kita fikirkan di Malaysia perlu diambil kira di sini. Eh, makan kangaru boleh ke? Tanya seorang kawan. Aku pun terasa ingin makan, tetapi melihat perangai kangaru yang suka menyembunyikan anaknya dan kedua kaki depannya, terasa meloya pula. Tapi, untuk mereka yang ingin menjadi ibu yang baik, belajarlah dari kangaru. Dia menjaga anaknya dengan cara yang luarbiasa.

Kangaru. Inilah penduduk asal bumi Australia. Maka ada baiknya kita menghormatinya. Selamat datang ke bumi kangaru!

Hidup di semak anggur

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Anggur memang makanan yang agak mewah bagi kebanyakan orang susah di Malaysia. Untuk mendapatkan buah anggur, mungkin mereka terpaksa bergolok bergadai. Tidak mustahil memakan anggur bukanlah hobi terlebih baik dari memakan buah macang atau mempelam pauh yang berguguran jatuh di belakang rumah. 

Tapi di sini, buah anggur merah itu kini sedang menyemakkan rumahku. Mungkin sebab aku juga tergolong dalam kumpulan manusia yang susah mendapatkan anggur di zaman kecil, maka buah anggur itu sedikit sebanyak mencatatkan sebahagian kejayaan hidupku.

Di sini, pepohon anggur merah dan hijau sedang meranum masak. Kelihatannya, mereka tidaklah begitu berahi untuk memakan anggur seperti mana kita memberahikan durian. Mungkin kerana tujuan mereka ialah untuk menjadikan anggur itu sebagai wain. Aku cuma membuat ramalan sahaja. Sebab, di kebanyakan rumah jiran-jiranku di sepanjang Jalan Rose ini, anggur merah mereka sudah menjadi hitam melegam. 

Aku selalu mendoakan agar buah anggur itu dihantar ke dalam peti pos rumahku. Tapi, tidak pernah tercapai. Melainkan nenek tua yang berumur 83 tahun dari Greek itu, yang kebetulannya tuan punya rumah sewa itulah yang selalu menghantar anggur dari laman rumahnya ke pintu dapur rumahku. Biasanya, aku tidak sempat lagi untuk mengunyah anggur di sini, jadi kami masukkan ke dalam blender menjadikan ia air anggur pertama yang tidak mabuk diminum.

Luqman Hakiem mungkin masih kecil untuk tahu betapa anggur itu sesuatu yang sangat istimewa untuk ayahnya 25 tahun silam, hanya boleh didapatkan setahun sekali. Dia selalu memetik buah anggur yang belum masak itu dan dibuangnya ke laman rumah. Kata emak, daripada membeli anggur, lebih baik aku belikan ikan gelama di kedai yang boleh menghidupkan kami. Belum ada yang mati kerana tidak makan anggur nak!

Memancing di Jeti Grange

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Membuka tahun baru 2008, setelah dua hari kepenatan menshopping sempena Boxing Day, kami seperti lazimnya menghabiskan waktu dengan menjadi nelayan pinggir pantai: memancing dan mencari ketam. Edisi kali ini ialah di Jeti Grange.Dunia mencari ikan ini sebenarnya bukanlah baru sangat dalam hidup aku. Sejak kanak-kanak lagi aku sudah berjinak-jinak dengan dunia ikan lampan dan sepat benua di anak-anak sungai atau di bendang.

Kampung kelahiranku, sebenarnya adalah episod pengalaman para petani yang susah. Jadi, mencari ikan sungai adalah sebahagian daripada cara untuk para penghuninya mengurangkan biaya hidup. Bayangkan pada waktu itu sekitar hujung 70-an dan awal 80-an, dengan hanya menanam padi setahun sekali, dengan cara yang masih tradisional, masih ada yang menggunakan kerbau membajak bendang, berapa sangat hasil yang mampu kita dapatkan. Itu belum termasuk dengan pelbagai penyakit padi termasuk kutu beruang, padi angin dan segala macam musibah yang hanya para petani yang faham mengenainya.

Jadi, untuk menampung payah dan payaunya hidup, ikan sungai adalah sebahagian sandaran kami. Ketika aku kecil, ada satu tradisi 'mengacau ikan'. Ia fenomena unik yang sudah pupus. Biasanya dilakukan selepas solat Jumaat pada musim kemarau. Ia mengambil masa dalam 4-5 jam. 

Semua penduduk kampung akan turun ke dalam sungai dengan segala macam peralatan menangkap ikan, akan menyelongkar setiap sudut dan bucu sungai, menyebabkan ikan kemabukan dan berenang lintang pukang. Jadi, ikan-ikan yang mabuk seperti ikan lampam, seluang dan selar boleh ditangkap dengan lebih mudah. 

Ikan-ikan yang dikategorikan sebagai 'ganas' seperti haruan atau keli, biasanya akan cuba menyembunyikan dirinya ke dalam lubang kayu atau di bawah semak pohon rumbia atau akar bemban, akan ditangkap dengan menggunakan tiruk, penjuk atau serkap. Ikan-ikan ganas peringkat sederhana biasanya akan bersembunyi di dalam lumpur di dasar sungai. Ia boleh ditangkap dengan mudah. Hanya dengan meraba dan menangkapnya di bekas tapak kaki. Tapi, kini tradisi mengacau ikan ini sudah lama pupus, seiiring dengan pupusnya ikan di setiap bucu anak sungai dan lopak bendang di kampung aku.

Di Adelaide kini, mencari ikan sebenarnya bukanlah perkara yang baru sangat. Ia adalah penonjolan nolstalgia lama di alam separa sedar yang dimunculkan kembali di alam dewasa.
Isteriku, seperti yang sedang dipotretkan di dalam gambar bersama Luqman Hakiem juga bukanlah orang baru sangat dalam alam perikanan. 

Dia sebenarnya sangat anti pemancing seperti aku kerana baginya memancing hanya membazirkan waktu. Tapi, segalanya berubah secara tiba-tiba. Ketika kami di Jakarta 3 tahun dahulu, dia sebenarnya telah secara tak sengaja mengikut aku dan Sdr. Junhairi dan teman-teman dari Indonesia yang lain, untuk memancing di Kepulauan Seribu. 

Tujuan utamanya bukanlah memancing, tetapi sebenarnya mahu melihat apakah sebenarnya yang menyebabkan kami menghabiskan masa dari Subuh sampai ke Asar setiap kali memancing. Dengan berbekalkan semangat 'ingin tahu' dan 'anti pemancing', isteriku bersama-sama menaiki bot dari Muara Angke sampai ke Kepulauan Seribu di Teluk Jawa itu. Ketika kami semua cuma sekadar mendapat beberapa ekor ikan, nampaknya isteriku telah mendapat ikan yang besar dan bilangannya juga banyak. Itu belum termasuk ikan kembung yang mampu dibawa naiknya dengan menggunakan mata kail tanpa umpan.

Sejak itu segalanya berubahKini, setiap kali ke garage sale, isteri aku akan membelikan aku batang joran atau mesin. Dan setiap kali aku mahu memancing, dia juga ingin mengekoriku. Segalanya boleh berubah. Kalau pantai lagikan berubah, inikan pula...

Kembali menjadi kanak-kanak: Mimpi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Kembali menjadi kanak-kanak adalah idaman bagi kebanyakan orang. Kanak-kanak tidak perlu berfikir banyak. Sekadar untuk makan, bermain dan tidur. Selebihnya, semua urusan adalah menjadi urusan siapa yang menjaganya. Aku tidak pasti sejauh mana aku melalui zaman kanak-kanak. 

Banyak ingatan yang telah dipendamkan ke alam tidak sedar. Apa yang pasti, dunia kanak-kanak kini dan dulu juga mengalami proses evolusi. Dulu, ketika masih kanak-kanak, di zaman pertengahan 70-an, kami begitu terangsang untuk menonton filem-filem ganas seperti "Combat', 'High Chaprall', "BJ & the Bear", dan yang mutakhirnya mungkin "Hero Lima". 

Filem-filem Melayu seperti "Panglima Harimau Berantai" juga tentulah menjadi idaman kami. Watak-watak utama filem Melayu ketika itu seperti E.D Osmera atau Husin Abu Hasan seolah-olahnya hero yang tidak mungkin dikalahkan. Sangka kami dari perspektif kanak-kanak, dunia ini hanya dipenuhi dengan watak hero, dan yang jahat selalunya akan mengalami kekalahan dengan sendirinya, atau bakal dihukum Tuhan.

Dari perspektif yang lain, menonton televisyen yang masih berlatarkan 'hitam putih' ketika itu juga sebenarnya satu keajaiban. Dalam satu kampung, seingat aku cuma ada 3 buah rumah yang mempunyai televisyen. Ketika itu, mereka masih menggunakan generator. Bayangkan, ketika rata-rata rumah masih menggunakan pelita minyak tanah, cuma yang kaya sahaja mempunyai generator. Biasanya bukanlah setiap malam kami boleh menonton. Banyak sebabnya.

Pertamanya kebenaran yang sangat sukar diperolehi dari orang tua, maklumlah kami akan bertandang ke rumah orang lain yang mungkin sangat meluat melihat kehadiran kami - kaum kanak-kanak. Keduanya, kadang-kadang apabila kami sampai ke rumah empunya televisyen itu, mereka sengaja tidak membuka televisyen. Membiarkan kami ternganga-ngaga di ruang tamu rumah mereka.

Apabila dunia semakin maju, kampung aku sudah boleh berbangga dengan senario kehadiran Bateri YUASA. Waktu itu jumlah pemilik televisyen semakin ramai. Salah seorang yang memilikinya ialah jiran rumah aku. Jadi, peluang aku menonton televisyen semakin besar. Rumah aku, seperti biasa tidak pernah berpeluang untuk menghadirkan televisyen ke dalamnya. Susah gamaknya hidup ayah aku ketika aku kanak-kanak dahulu. Sekarang baru aku tahu, perit juga menjadi orang tua yang membesarkan anak. 

Sekarang ini, dunia sudah berubah. Kita bukan sekadar memiliki televisyen, malah segala yang berkaitan dengan keseronokan hiburan telah menyemakkan ruang rumah. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya anak-anak kita tidak menyusahkan kehidupan orang lain.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails